Selasa, 28 Februari 2012

SEDAR2LAH DIRI TU...TAK DE SAPE YANG SOKONG...ORANG YANG KURANG CERDIK SAJA YANG SOKONG...BUDAK2 SEKOLAH AGAMA PERINGKAT RENDAH PUN TAHU NAWAITU TU SALAH...MENSYIRIKKAN ALLAH...ALLAH DIKONGSI DENGAN MELAYU DAN RAJA2...BERJUANGLAH KERANA ALLAH...SEMUA TERANGKAT...MERANGKUMI SEMUA SEKALI...NI DIKATA PHD KURANG CERDIK...TAK CAKAP TAK TAHU BODOH...CAKAP SAJA..CONFIRM MEMANG BODOH

Kalau bas tak angkut, ceramah Hasan lengang

Saya sebenarnya tidak mahu menulis lagi tentang Dr Hassan Ali, tetapi kerana ceramahnya di Cukai, Kemaman, maka saya tulis artikel ini. Banner besar mengenai ceramah Dr Hasan Ali memenuhi seluruh Kemaman. Siang di Stadium negeri Terengganu di Kuala Terengganu dan malamnya di Padang bandar Chukai, Kemaman.

Malam ceramah itu sebenarnya ada 2 ceramah. Ceramah Adam Adli anjuran MTD Cukai di Kampung Dusun Nyior dan ceramah Hassan Ali di Padang Astaka Chukai. Usai merasmikan mesyuarat agung sebuah cawangan malam itu, saya meronda sekitar tempat ceramah.

Bas-bas yang disewa memenuhi sekitar padang. Ada yang beritahu padang tak penuh, tapi jumlah sebenar pengunjung saya tak pasti. Diberitahu bahawa semua JKK, Wanita Umno, Puteri dan belia dikerah untuk menghadiri ceramah tersebut. Benarkah demikian?

Di kawasan letak kereta dan tempat lain, RELA ramai juga. Saya teringat dengan tulisan Dato’ Tuan Ibrahim mengenai kebimbangannya dengan RELA sebagai reaksi kepada ucapan Najib yang akan mempertahankan Putrajaya dengan apa cara sekalipun.

Tema ceramah Himpunan Sejuta Umat mengajak umat menjaga aqidah. Siapa sebenarnya penganjur ceramah? NGO atau Umno Kemaman? Umno cakna kepada aqidah? Jauh panggang dari api.

Dr Hassan Ali mungkin teruja dengan sambutan. Rupanya selepas tidak menjadi ahli PAS, sambutan masih banyak. Cuma yang banyak itu dari siapa ya? Kalau nak uji pengaruh, boleh uji di kawasan DUN yang Dr menjadi wakil rakyatnya. Letak jawatan dan bertanding di atas tiket JATI atau BN.

Dr Hassan Ali sebut bahawa pemecatannya kerana Islam, perjuangkan Islam. Lantas beliau memberikan justifikasinya. Saya tak fikir Presiden PAS memecat Dr Hassan Ali kerana Islam atau perjuangkan Islam. Di sana ada pelbagai isu lain yang berlaku. Mungkin Dr Hassan Ali mahu menuding jari kepada beberapa orang sahaja di dalam PAS tetapi apabila ceramah dan roadshow yang dibuat, maka ia menjadi seperti marahkan nyamuk kelambu dibakar, atau beruang menampar lalat di pipi tuannya.

Dasar perjuangan PAS tidak lari hanya dengan sebab ada beberapa orang yang kurang disenangi tadi kerana PAS tetap dipandu oleh Majlis Syura Ulama. Kita juga punya Dewan Ulama yang tidak akan mendiamkan diri jika perjuangan PAS dibawa secara salah. Apatah lagi MursyidulAm dan Presiden PAS sendiri ialah ulama haraki yang berpengalaman.

Di atas kapasiti seorang pakar motivasi, mungkin ucapan Dr Hassan Ali ada yang mengiakan selurruh ucapannya. Mungkin ada sedikit kebenarannya, dan banyak juga yang perlu dijelaskan kembali. Mungkin juga ada orang atas yang terpengaruh lalu tidak lagi mengundi PAS dan Pakatan Rakyat. Lagi banyak roadshow yang dibuat lagi banyak ucapan dibuat. Lagi banyak ucapan lagi banyak kekeliruannya.

Peluang untuk kembali kepada PAS belum berakhir. Presiden PAS pernah mengimbau seorang tokoh dalam PAS yang aktif menulis dan aktif juga mengkritik secara berlebihan. Beliau akhirnya kembali kepada PAS di hujung umur. Bagi Dr Hasan Ali, sekarang suara masih kuat dan lantang. Adakah Dr akan kembali kepada PAS di hujung umur juga atau bagaimana?

Nik Nasri Nik Malek,
Kemaman, Terengganu

Sebab Hasan dipecat....
Farush Khan; Editor Terengganu, Wan Normi Hasan, Wan Saidatul Fadzilah Wan Najemudin
4 Februari 2012
Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Dalam wawancara selama 1 1/2 jam bersama Sinar Harian baru- baru ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bukan sahaja menegaskan tidak mempunyai ajenda untuk menjadi perdana menteri, tetapi juga mengulas tindak-tanduk bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, yang dipecat daripada parti itu kerana melanggar disiplin dan pelbagai cabaran serta halangan dihadapi Pas, terutama dalam usaha mengambil alih Putrajaya.

Ikutilah wawancara Timbalan Pengarang Berita, Farush Khan; Editor Terengganu, Wan Normi Hasan dan wartawan Wan Saidatul Fadzilah Wan Najemudin dengan tokoh agama dan politik itu, yang berlangsung di kediaman beliau di Rusila, Marang, Terengganu.

Kenyataan Datuk Hasan menjejaskan juga prestasi parti?

HADI: Dalam sehari dua, apabila sudah banyak hari akan terserlahlah langkah kita itu betul. Contohnya, isu berkait dengan Himpunan Sejuta Umat. Kita lihat isu ini banyak benda tidak tepat. Contohnya, orang Melayu masuk Kristian sampai ratus- ratus ribu. Pernah dengar kan?

Bila polis siasat, maklumat itu tidak betul, orang yang disiasat dibebaskan.

Mengapa tiada diambil tindakan?

Kerana ada pelindung dia; kita tahu. Pada kita murtad ini bukan sahaja masuk Kristian, tapi termasuklah hina hukum Islam. Boleh jadi murtad dengan kejahilan dia, berlaku begitu rupa. Menghalalkan yang haram, mengharamkan yang halal.

Jadi, murtad ini luas.

Dan kita nampak isu ini dipolitikkan dan pada PRU 2008 ada yang berhempas-pulas mendapatkan undi Melayu. Rata-rata orang Melayu tak tahu agama kebanyakannya dan mereka sayang pada Islam. Mereka jadikan isu ini untuk tarik undi Melayu, bukan untuk mempertahankan Islam.

Saya pernah bawa usul menangani murtad di Parlimen pada 1998. Mengikut standing order di SAMBUNGAN WAWANCARA HADI AWANG Parlimen, usul bukan kerajaan hendaklah diletakkan di belakang.

Yang kedua, usul seperti ini hendaklah dibawa oleh seorang menteri kerajaan yang boleh disokong, dirujuk kepada standing order. Apabila menteri bawa, ada sokongan.

Setelah ada undi barulah saya bawa usul ini, banyak lapis, akhirnya ditinggalkan begitu sahaja usul ini.

Tetapi akhir-akhir ini dibawa isu ini dengan Himpunan Sejuta Umat.

Tidak lebih daripada mempolitikkan isu, bukan nak pertahankan akidah dan nak gunakan orang Pas untuk mengerah orang Pas ramai-rami hadir di stadium Shah Alam. Saya tahu ada kalangan yang nak sediakan bas. Apabila kita tahu macam ini, kita kata jangan pergi, Datuk Hasan Ali pergi,  kemudian pergi lagi ke Perak dan buat kenyataan.

Kenyataan ini tidak tepat dengan apa yang kita nak. Memang kita tidak setuju dengan murtad; lawan murtad, tapi Saidina Ali (Abu Talib, Khalifah Islam keempat) berkata, kata-kata yang betul, tetapi tujuannya kebatilan. Atau matlamatnya tak betul.

Tak ada dalam Islam ini, matlamat menghalalkan cara. Matlamat mesti betul, cara mesti betul. Kalau matlamat betul, cara salah, tidak boleh.

Matlamat salah, cara betul, tidak boleh. Dua-dua kena betul. Itu lagi kena faham dan Pas bukan milik siapa, milik organisasi, kumpulan kita.

Pas ini ada Majlis Syura Ulama dilantik dalam Jawatankuasa Pas Pusat empat orang, Dewan Ulama lantik empat orang, Dewan Pemuda dua orang, Dewan Muslimat dua orang kemudian mereka dilantik ini pilih lima orang lagi dalam kalangan ulama yang boleh merujuk dalam bahasa Arab, merujuk kitab-kitab Islam; yang kita ketahui kewibawaan, akademik dan kemampuan.

Kita tahu moral dia konsisten dengan pendirian dan dia boleh buat keputusan, boleh membatalkan keputusan parti, sekiranya bercanggah dengan al-Quran dan hadis, ijmak ulama dan kias. Ini jaminan yang ada dalam Pas. Kalau ada ahli parti yang nak buat sendiri, bertindak sendiri, maka kalau dia bercakap sebagai orang Pas, orang kaitkan dengan Pas, jadi lebih baik dia bebas.

Bangunan Umno Hulu Terengganu disimbah dengan cat hijau?

HADI: Saya rasa kita orang Pas tidak buat sampai begitu. Kita ajar orang kita tidak boleh melampaui batas. Kalau ada orang Pas bertindak begitu kita disiplinkan dia kerana Islam ajar kita, kita berlawan dalam perang pun tidak boleh melampaui batas, apa lagi perang melalui demokrasi.

Itu boleh jadi pihak lain yang buat provokasi, boleh jadi belaka.

Dalam politik boleh jadi semua.

Siapa Menteri Besar Terengganu kalau Pas menang dalam PRU13?

HADI: Itu ditentukan parti. Belum tentu saya bertanding di state (negeri).

Kalau bertanding di state pun, belum tentu lagi saya jadi menteri besar. Bahkan di Kelantan, saya bagi contoh; tahun 1959, yang jadi menteri besar Datuk Ishak Bakri. Datuk Asri tidak jadi menteri besar. Lepas tu Ishak jadi Speaker, Datuk Asri jadi menteri besar, dia bukan Pesuruhjaya Pas Kelantan.

Lepas tu Datuk Asri tidak jadi menteri besar walaupun dia pesuruhjaya. Tuan Haji Mat Amin Haji Yakob Almarhum.

Di Terengganu juga pernah begitu, masa Daud Saad Almarhum menteri besar, dia pegang pesuruhjaya.

Yang dilantik ialah diterima rakyat, diterima pegawai pentadbir negeri. Kerana kita nak memerintah negeri ini ada beberapa orang di kalangan tuanku sultan, pegawai tadbir negeri, wakil rakyat, yang keempatnya rakyat. Ini kita mesti lihat penerimaan semua sekali.

Tidak boleh kita nak tentutentukan begitu.

Siapa Perdana Menteri (jika PR menang PRU-13?)

HADI: Pada peringkat ini kita dalam Pas tidak bincang. Di peringkat PR pun tidak bincang. Kita bincang untuk ke Putrajaya dulu. Jadi, macam orang kampung cerita, kambing tak bela lagi, sirih tak tanam lagi. Jadi duk bergaduh nak buat pagar. Yang ni kata nak buat pagar, yang ni kata nak tambat kambing. Apabila tanya mana kambing, tiada kambing lagi.

Mana sirih, tidak tanam lagi pun.

Apabila sampai masa, insya-Allah kita ada orang layak. Macam saya kata dululah, saya tiada dalam agenda menjadi perdana menteri.

Yang penting, kita nak perkasakan Islam. Siapa duduk di atas, saya terima, bahkan saya boleh rehat; balik kampung jadi pembantu sahaja, pergi ke laut, balik jadi nelayan.

Dari segi politik, kepimpinan negara mesti Melayu Islam kerana majoriti adalah orang Melayu. Itu mengikut kaedah politik Islam.

Kalau orang Cina masuk Islam, jumlah mereka besar, mereka ada tokoh, mereka layak jadi pemimpin.

Kita orang Melayu kena terima, kalau India begitu juga.

Jadi realiti hari ini majoriti orang Melayu adalah Islam. DAP sudah terima Islam sebagai agama Persekutuan. Hak istimewa orang Melayu dia terima, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dia terima.

Dalam masa yang sama, agama lain ada hak dia. Bangsa lain yang miskin tidak boleh diabaikan, hak dia untuk mengajar bahasa ibunda tetapi bahasa Melayu jadi bahasa rasmi. Dan kita kena sedar Umno tidak buat benda ini dalam masa 50 tahun lebih. Tidak perkasakan; itu silap dialah. Yang kita silapkan MCA, MIC, silapkan Gerakan; silap Umno sendiri.

Dalam Pas sendiri, kita tidak tolak ansur dan DAP menerima kerana kita tegas dalam masalah ini.

Barangkali saudara-saudari ingat masa tahun 2000 DAP keluar daripada Barisan Alternatif, minta Pas batalkan beberapa agenda Pas, kita tegas; kita tidak berganjak dan DAP keluar dan masuk balik.

Dengan kita tidak berganjak itu menunjukkan kita tidak menggadaikan prinsip kita. Dan kita tidak zalimi rakan- rakan kita.

Dari segi hudud, adakah DAP terima?

HADI: Memang dia orang bukan Islam, tidak terima, tetapi untuk melaksanakannya dia tidak boleh halang kita. Dan dalam konteks Islam kita bukan sahaja tidak boleh paksa orang bukan Islam masuk Islam, tetapi juga termasuk dalam melaksanakan undang-undang.

Dengan sebab itu, dalam undang- undang hudud, qisas dan takzir di Kelantan dan Terengganu, kita buat satu peruntukan orang bukan Islam boleh diberi pilihan sama ada mereka menerima Islam atau menerima satu cara yang lain. Kepada saya, saya yakin orang bukan Islam akan terima pada akhirnya.

Jangan kita tanya perompak, tanya mangsanya. Kalau tanya perompak, perompak tak sukalah kena hukum.

Dalam Islam, kalau bunuh hukumnya bunuh. Mungkin Undang-undang barat pun sama hukum membunuh, tetapi kalau ambil harta, kalau perompak kena potong tangan, potong kaki. Kalau tanya Cina-Cina yang kena rompak tu, dia setuju kalau potong tangan, potong kaki.

Kemudian ada teori mengatakan kalau kita laksanakan pada orang Islam, orang Islam jadi kudung, jadi apa, itu tidak betul. Kita kena faham, undang-undang hudud ini undangundang mendidik, bukan menghukum.

Nak hukum payah, mendidik.

Apabila dilaksanakan, orang Melayu, orang Islam jadi moral dia tinggi. Penjenayah tidak banyak.

Orang lainlah penjenayah. Ia akan jadi macam itu. Itu hikmat dia kena faham. Dengan itu kita terima kalau DAP tidak setuju, tak apalah. Yang peliknya Umno kata dia tidak setuju.

Barangkali dia anggap itu hudud ala Pas?

HADI: Kalau hudud Pas kita muzakarahlah. Kita bincang. Hudud ini ayat Quran, bukan Pas boleh buat.

Pas tidak boleh reka hukum hudud ini.

Percanggahan berhubung pelaksanaan hudud antara Pas dan DAP, bagaimana dineutralisekan?

HADI: Kita neutralisekan dengan utamakan perkara yang jadi bersama.

Contohnya negara berkebajikan, tolong bela rakyat miskin, tolong rakyat miskin, khidmat pada masyarakat.

Rawatan percuma pendidikan percuma. Ada pendidikan swasta, dengan pengawasan dia, ini semua parti bersetuju, kita utamakan yang ini dulu. Nak laksanakan hudud itu, dia makan masa. Ini boleh dibuat. Contohnya nak hapuskan tol, Pas setuju, DAP setuju. Nak bantu kemudahan makanan kepada rakyat, semua setuju. Ini halal, ini haram, bezalah. DAP boleh makan babi, kita tidak boleh makan babi; memang kita tidak setuju dengan babi, tapi kita
tidak boleh halang DAP.

Datuk Hasan Ali kata negara berkebajikan bercanggah dengan konsep Islam?

HADI: Ada kenyataan mengenai perkara itu, dia tarik balik, dia minta maaf. Sebab dalam Islam tidak disebut sembahyang Islam, puasa Islam, nikah Islam. Disebut negara, kemudian negara berkebajikan, negara adil, negara ihsan. Itu istilah-istilah yang disebut dalam Quran, tetapi dia merangkumi sekali aspek ini.

Dan saya ada tulis buku, negara berkebajikan, berdasarkan huraian yang saya bentang di muktamar Pas. Dan negara berkebajikan sudah diterima
di muktamar. Bila muktamar terima dia tolak, itu sudah melanggar partilah.

Berkenan hudud dilaksanakan tetapi proses tidak sebagaimana yang diharapkan? Adakah manifesto senasib?

HADI: Yang pertama, hudud pada undang-undang jenayah sudah diwartakan. Tuanku sudah sain.

Sudah lulus. Yang kedua kita balik pada Perlembagaan Malaysia.

Perlembagaan Malaysia kata Islam adalah agama Persekutuan. Agama ini, ada dua. Mengikut tafsiran Barat, religion.

Pentafsiran Islam addin. Bila kita sudah merdeka kita kena tafsir mengikut addin, bukan religion. Addin merangkumi segala aspek, cumanya berlaku di Kelantan bila kita lulus di Kelantan, Tun Mahathir, Perdana Menteri pada masa itu, hantar surat kepada Yang Amat Berhormat Tok Guru Mursyidul Am, Nik Abdul Aziz memberi amaran sekiranya Kelantan melaksanakannya, Kerajaan Pusat akan bertindak. Bagi Terengganu tiada surat itu. Terengganu ada bantahan daripada seorang pimpinan Umno yang bukan pimpinan utama, bawa ke mahkamah, tetapi tarik balik benda itu.

Jadi kita harap, setelah gagalnya undang-undang yang diamalkan hari ini, masalah rompakan, masalah jenayah, ada negeri tidak boleh saya sebut takut malu dia, tiap-tiap hari ada kadar jenayah. Tiap hari, bukan tiap-tiap bulan; sehari ada kes bunuh. Negeri yang jumlah penduduk dia ramai di Malaysia yang gejala sosialnya lebih kerana kemajuan industrinya pesat sampai satu hari satu kes bunuh. Itu polis beritahu saya. Tak payahlah saya dedah negeri mana. Itu bahayanya; itu yang media tidak dedah, yang media dedah pun banyak dah. Walaupun yang buat jenayah itu bukan orang kita, orang luar, pendatang tanpa izin, macam-macam, tetapi kesimpulannya jenayah besar.

Kalau laksanakan undang-undang qisas dan hudud ini saya yakin Tuhan kata ‘Dan bagi kamu hukuman jenayah qisas ini membawa kehidupan’.

Quran mengatakan demikian, maknanya membawa kehidupan, di sini jenayah akan berkurang dan hapusnya kes ini, membawa kehidupan kepada manusia. Yang kita ingat kalau laksana hukuman ini banyak orang kena hukum. Barangkali oleh kerana pencuri 30,000 - 40,000 di seluruh negara dalam masa setahun.

Barangkali banyak tangan kena potong. Kita fikir begitu.

Bila diisytihar sahaja undang-undang ini maka habis takut mencuri, berhenti mencuri. Dia akan jadi macam itu. Di Arab Saudi, masa pemerintahan Kiya ul Aziz, dalam masa 20 tahun, tidak sampai 10 orang kena potong tangan. Mereka yang pergi buat umrah, pergi haji lihat sendiri tempat pengurup wang, sebagai contohnya, tutup dengan kain sahaja.

Pergi sembahyang, tutup dengan kain, orang takut nak mencuri, itu dia punya kehebatan. Yang pentingnya, kehebatan undang-undang; undang-undang itu hebat. Yang ada hari ini undang-undang tidak hebat, orang tidak gerun, penguat kuasa pun orang tidak gerun. Bahkan rumah polis pun dia masuk, rumah ketua polis boleh perompak masuk. Itu menandakan tidak hebat.

Dengan sebab itu, saya rasa tidak timbul terhalang. Kita tengok dululah apabila kita menang kali ini.

Apa akan berlaku, respons daripada Pusat bagaimana, kita tengok.

Ada tak calon wanita di Terengganu?

HADI: Kita usaha nak tonjolkan calon wanita kerana calon kita ini mesti daripada akar umbi, daripada cawangan-cawangan dan daripada atas. Kalau daripada atas sahaja, respons cawangan tiada, tidak boleh.

Kadang-kadang kita ada tokoh, tapi tokoh tu tempat dia orang tidak kenal kena, bawa tempat lain. Calon lelaki pun begitu. kita nak orang ini, contohnya, Mat Sabu Timbalan Presiden Pas, Muhamad Sabu pada 2008, tetapi boleh kalah, walaupun dia seorang tokoh yang besar. Dulu pernah di sini tahun 1950 - 1960 Parlimen Dungun, wanita, Khadijah Sidek. Di sini, pernah orang Johor, bukan Terengganu. Menang di sini, jadi calon wanita. Ini bukan kali pertama.

Dan kita ada calon wanita, kita kemukakan dan saya sebagai ahli Majlis Syura Ulama, semua nama calon dihantar ke Pusat dan ada dua tiga orang wanita di Terengganu. (Penceramah bebas) Ustaz Azhar Idrus?

HADI: Tidak termasuk.

Nampaknya Pas pun laksanakan calon boleh menang?

HADI: Calon yang boleh menang yang cukup syarat. Dia mengikut kehendak parti kita, ikut syarat dan boleh menang. Kalau boleh menang sahaja, tapi tidak cukup syarat parti kita, kita tidak beri jadi calon.

Kalau selamat, bina kilang Lynas di Putrajaya

Tulang Besi,
Najib Tun Razak memberi sepenuh jaminan bahawa kilang Lynas di Gebeng Kuantan itu selamat.

Beliau dilaporkan berkata:


Datuk Seri Najib Razak mengetepikan kebimbangan yang dibangkitkan peserta demonstrasi anti-Lynas, menegaskan loji pembersihan nadir bumi bernilai RM700 juta di Kuantan adalah selamat dari segi “fakta dan saintifik”.


Maka, Tulang Besi mencadangkan supaya kilang Lynas ini dipindahkan dari Gebeng ke Putrajaya.


Lebih elok, kilang Lynas ini dibina di belakang kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya.


Lagi satu, Tulang Besi ada mendapat maklumat yang Tulang Besi tidak boleh mengesahkannya.


Iaitu, seorang MP PAS yang menyokong projek Lynas ini pernah menjadi konsultan kepada Lynas sebelum projek ini berjalan.


Maka, tidak hairanlah pihak media seluruh Malaysia sedang berusaha bersungguh2 untuk mendapat kenyataan MP PAS ini bagi menyokong projek Lynas.

SPRM: Najib tidak perlu tunggu BN 2/3 majoriti

Harakahdaily, 28 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 28 Feb: PAS akan mengemukakan usul penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Anti Rasuah seperti yang dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam pada sesi parlimen terdekat supaya Umno BN tidak perlu menanti mendapat 2/3 majoriti parlimen untuk melaksanakannya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan bahawa sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan Anti Rasuah (SPRM), seperti yang dicadangkan oleh lembaga penasihat SPRM, akan ditubuhkan untuk membolehkan badan pemantau anti-rasuah itu mempunyai kawalan penuh ke atas pegawai-pegawainya, termasuk kuasa untuk melantik dan memecat mereka.


Namun begitu, beliau menyatakan bahawa isu ini perlu pindaan perlembagaan.

Dalam reaksi balas, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata PAS melalui Jawatankuasa Khas Parlimen akan meneliti dan mengemukakan usul penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Anti-Rasuah yang dicadangkan Najib bersama beberapa perkara lain.

Menurut beliau, PAS akan mengemukakan usul tersebut di dalam sidang parlimen akan datang.

“Perdana Menteri tidak perlu menunggu untuk mendapatkan 2/3 majoriti dalam pilihanraya akan datang, kerana rakyat akan menilai sejauhmana kerajaan mendokong usaha membanteras rasuah dengan menilai sokongan BN terhadap usul yang akan dibawa PAS,” tambah beliau dalam kenyataannya hari ini.

Sepatutnya, kata Tuan Ibrahim, bukan sahaja kuasa pemantauan diberikan kepada kakitangan SPRM, bahkan kuasa pendakwaan juga sepatutnya diberikan kepada SPRM, dan bukan lagi tertakluk kepada budi bicara Peguam Negara sebagaimana kini.

“Apa yang penting bagi SPRM bukan semata-mata siasatan, tetapi turut mempunyai kuasa pendakwaan. Rakyat masih bertanya kemana pendakwaan kes berprofile tinggi yang pernah dinyatakan oleh Datuk Seri Rais Yatim, demikian juga isu besar NFC dan sebagainya,” kata Pesuruhjaya PAS Pahang itu.

Mengenai komitmen Umno-BN untuk membanteras rasuah, Tuan Ibrahim mengingatkan rakyat mengenai wayang ‘anti-rasuah’ yang dimainkan ketika zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi yang melibatkan pendakwaan terhadap Tan Sri Kasitah Gaddam dan Tan Sri Eric Chia, di mana kedua-duanya akhirnya didapati tidak bersalah.

“Jika PM ikhlas dalam membanteras rasuah, beliau tidak perlu mengambil usul ini sebagai satu lagi janji berbentuk ‘you help me, I help you’ untuk mendapatkan undi rakyat, kerana pihak PAS dan Pakatan Rakyat sudah tentunya akan menyokong usul tersebut asalkan ia memberi manfaat kepada negara dan rakyat,” tegas beliau.

8 Exco selamat angkat sumpah

Harakahdaily, 28 Feb 2012
ALOR SETAR, 28 Feb: Lapan orang Exco Kedah mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari ini di depan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah.

Dua lagi exco dijangka akan mengangkat sumpah jawatan mereka selepas ini.

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Pemangku Sultan Kedah apabila Tuanku Sultan Kedah kini menjadi Yang Dipertuan Agung.

Azizan dalam sidang media sebelum ini berkata, hanya lapan Exco akan mengangkat sumpah jawatan hari ini manakala dua lagi dijangka mengangkat sumpah jawatan dalam majlis kedua, memandangkan tempoh lantikan bagi penggal 2011 hanya akan berakhir 7 Mac ini.

Azizan berkata, beliau sedia melantik semula semua exco Kedah yang ada sebagaimana yang diarahkan oleh PAS Pusat.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam sidang medianya semalam memaklumkan, Presiden PAS telah mengarahkan agar kesemua 10 Exco Kedah dipilih dan dilantik semula.

Lapan yang mengangkat sumpah jawatan hari ini ialah Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul (Agama, Pelajaran dan Koperasi), Datuk Ir Amiruddin Hamzah (Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan).

Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib (Belia dan Sukan, Kesenian, Warisan dan Kebudayaan), Datuk Siti Ashah Ghazali (Pembangunan Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Masyarakat) dan Abd Ghani Ahmad (Penerangan dan Pembangunan Usahawan).

Tiga Exco dari PKR, Datuk S Manikumar (Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Hal Ehwal Masyarakat Siam), Lim Soo Nee (Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Perpaduan dan Pengurusan Sumber Manusia) dan Tan Chow Kang (Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan).

Bai’ah menjadikan Umno gelisah?


28 Feb 2012
1. Dewan Pemuda PAS Malaysia merasakan isu bai’ah di dalam PAS benar-benar menjadi beban yang membuatkan UMNO resah dan gelisah. Lihat bagaimana kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada 25 Febuari yang lalu di Sinar Harian dan Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia pada 24 Febuari di Utusan Malaysia.
2. Ustaz Fathul Bari melarang guna istilah syarak untuk tujuan politik. Ini satu perkara yang tidak masuk akal. Sekiranya istilah syarak yang membawa kepada pemahaman yang betul terhadap sesuatu syariat tidak boleh digunakan, bagaimana untuk kita mahu memahami dan membawa syariat yang sebenar dalam kehidupan kita termasuk berpolitik dan mentadbir negara?

3. Contohnya politik, ia adalah proses dan cara membuat keputusan untuk sesuatu kumpulan. Walaupun ia biasanya digunakan bagi merujuk kepada kerajaan, tingkah laku politik juga boleh didapati dalam sektor  korporat, akademik, agama, dan institusi lain.

4. Kefahaman awam mengenai politik berbeza dengan makna yang difahami dari sudut pandangan Islam, politik ialah menjaga urusan umat di dalam dan di luar negara dengan cara yang tidak menyalahi syariat Islam. Siasah syar’iyyah  [politik berasaskan syara'] tidak hanya terhad kepada apa yang disebut oleh syara’, tetapi disyaratkan agar tidak menyalahi teks al-Quran, sunah, ijmak dan kaedah-kaedah syara’ serta dasar-dasar amnya.

5. Melihat kepada dua contoh ini, memahami politik dari sudut pandang Islam itu adalah sangat penting. Dewan Pemuda PAS Malaysia merasakan inilah politik yang sepatutnya diamalkan dan diperjuangkan oleh mereka yang mengaku muslim. Sekiranya kita tidak boleh menggunakan istilah politik yang menepati syara' atau istilah syara' dalam berpolitik, bagaimana kita mahu mentadbir bumi Allah ini sesuai dengan apa yang telah Allah sampaikan melalui rasulNya?

6. Bagi kami selaku ahli PAS, istilah syara’ itu perlu digunakan untuk tujuan politik agar masyarakat dapat memahami konsep sebenar berpolitik di dalam Islam. Sekiranya Ustaz Fathul Bari menafi atau melarang ahli politik menggunakan istilah syara’ untuk berpolitik maka Dewan Pemuda PAS merasakan tidak perlunya wujud “Islam Wasthiyyah” yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib.

7. Selain daripada itu, beliau juga turut melemparkan tuduhan dengan mengatakan bai’ah di dalam PAS bersifat radikal  sehingga dikatakan boleh mendatangkan kecelakaan dunia dan akhirat kepada sesiapa yang melanggarnya. Firman Allah di dalam surah al-Fath ayat 10 berbunyi:

إِنَّ الَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ اللَّهَ يَدُ اللَّهِ فَوْقَ أَيْدِيهِمْ فَمَنْ نَكَثَ فَإِنَّمَا يَنْكُثُ عَلَى نَفْسِهِ وَمَنْ أَوْفَى بِمَا عَاهَدَ عَلَيْهُ اللَّهَ فَسَيُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا

“Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad - untuk berjuang menentang musuh), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya sendiri dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar”.

8. Sebagai calon yang bertanding di atas tiket PAS, mereka perlulah menjalankan kewajipan dan amanah mereka setelah dipilih oleh rakyat. Sebagaimana rakyat telah memilih mereka yang mewakili parti, maka mereka perlu melaksanakan tanggungjawab setelah mereka dipilih. Justeru bai’ah ini adalah untuk memastikan bahawasanya setiap daripada calon PAS menjalankan semua amanah dan tidak mengkhianati kepercayaan rakyat yang telah memilihnya sebagai wakil mereka.

9. Tidak salah sekiranya PAS memperingatkan malah mengikat komitmen setiap calonnya untuk melaksanakan amanah Allah ini agar mereka tidak dicelakakan oleh Allah sama ada ketika di dunia mahupun di akhirat kelak. Bai’ah di dalam PAS adalah tertakluk dengan syarat sebagaimana firman Allah dalam surah al-Nisa' ayat 59 berbunyi :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu…”

10. Memetik daripada kenyataan Datuk Seri Jamil Khir yang mengatakan bai'ah memang ada dalam Islam, yang merupakan pertautan janji daripada kepimpinan untuk mematuhi amanah dan memikul tanggungjawab yang diberikan. Justeru, inilah yang dilakukan oleh PAS sebagaimana yang diungkapkan oleh Presidennya bahawasanya bai’ah di dalam PAS adalah untuk memastikan bahawasanya setiap daripada calonnya tidak menyeleweng daripada dasar, cara dan matlamat Islam itu sendiri.

Akhirnya, tidak perlulah UMNO bersusah payah mengenai isu bai’ah yang dilakukan oleh PAS,  kerana PAS mempunyai sokongan dasar dan asas yang kukuh daripada nas dan pendirian alim ulama' haraki dalam perkara ini.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Wanita kes Badrolamin: 'Fitnah, saya tidak khalwat'

Harakahdaily, 28 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 28 Feb: Wanita dalam kes khalwat Dr Badrolamin Bahron menafikan mereka berkhalwat sebagaimana yang didakwa.

“Fitnah! Saya tidak berkhalwat. Saya tidak lakukan perbuatan itu!

“Saya tidak berada dalam satu bilik dengan ustaz (Badrolamin). Orang fitnah saya berniat jahat. Tidak bertanggungjawab!"

Pengakuan wanita itu dibuat kepada wartawan Sinar Harian sebagaimana yang dilaporkan hari ini.

Akhbar berkenaan berjaya menjejak wanita didakwa berkhalwat dengan Badrolamin itu.

Walau enggan namanya disiarkan, namun wanita itu tidak keberatan berkongsi cerita dan menerangkan kedudukan sebenar kepada pembaca Sinar Harian khasnya.

Wanita berkenaan didakwa berkhalwat dengan Badrolamin di sebuah hotel di Kuantan baru-baru ini. Laporan berkhalwat berkenaan dibuat oleh suami beliau kepada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Ekoran itu, Badrolamin dinasihatkan bercuti sebulan dari jawatan Ketua Penerangan Pejabat Menteri Besar kerajaan negeri Selangor.

“Fitnah! Saya tidak berkhalwat. Saya tidak lakukan perbuatan itu!

“Saya tidak berada dalam satu bilik dengan ustaz (Badrolamin). Orang fitnah saya berniat jahat. Tidak bertanggungjawab!

“Saya berada di luar bilik hotel. Bukan bersama ustaz dalam sebuah bilik seperti dakwaan.

“Namun kerana tindakan khianat itu, ustaz kena kurung dan dibelasah dalam biliknya.

“Saya pergi menemui ustaz Badrolamin atas tujuan mahu melarikan diri daripada suami, bersama anak saya yang berusia dua tahun. Saya bimbang keselamatan kami terancam.

“Saya sudah puas berusaha dan tidak mampu lagi menanggung segala bebanan ini.

“Saya memang kenal rapat ustaz dan isterinya sejak mengikuti rombongan umrah pada 1 Mei tahun lalu dan kami sering berhubung antara satu sama lain.

“Ustaz pun ada datang ke sini (Rompin) dan saya juga mengenali rapat isteri beliau. Malah isterinya juga menasihatkan saya supaya bersabar menghadapi kes fitnah ini.

“Saya juga kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang menuding jari tanpa beri kami peluang untuk bela diri, sedangkan kes ini belum diputuskan di mahkamah.

“Tambah kesal kerana ada pihak menabur fitnah dengan meletakkan gambar palsu dan wajah yang tersebar di Internet bukan saya,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh akhbar berkenaan.

Kakitangan di Kolej Komuniti Rompin berusia 28 tahun itu ke mahkamah semalam, bagi sebutan kesnya di hadapan Hakim Syarie, Abu Kasim Pilus, kira-kira jam 11.15 pagi, sebelum keluar semula kira-kira 10 minit selepas memberi keterangan.

Beliau hadir seorang diri di Mahkamah Rendah Syariah Rompin pada jam 9 pagi semalam. Beliau ke sana bagi proses tuntutan penceraian terhadap suaminya.

“Saya nekad mengemukakan tuntutan cerai memandangkan pelbagai usaha dilakukan untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga gagal.

“Itulah jalan penyelesaian terbaik bagi memastikan keselamatan dan masa depan saya serta anak terbela,” katanya.

Ketika ditanya adakah punca dia menuntut cerai disebabkan sikap suaminya, wanita itu enggan mengulas dan mahu isu berkenaan diselesaikan di mahkamah nanti.

The Star terus menerus hina Islam

Mohd Sayuti Omar, 28 Feb 2012
Apa jadi dengan harian berbahasa Inggeris yang tertinggi edarannya di negara ini iaitu The Star?

Dalam tempoh tidak begitu lama sudah dua kali akhbar itu menyiarkan sesuatu yang boleh menyinggung hati umat Islam.

Apakah akhbar berkenaan sengaja melakukan begitu untuk menguji sensitiviti umat Islam atau pun memang ia berlaku secara tidak sengaja.

Terbaru akhbar berkenaan telah menyiarkan gambar artis Amarika Eryah Badu yang menebengkan pangkal buah dadanya yang ada tatu menggambarkan kalimah Allah. Akhbar berkenaan telah memohon maaf atas apa yang berlaku itu.

Seelum ini akhbar berkenan telah menyiarkan gambar daging babi di dalam akhbar berkenaan di dalam rencana mengenai juadah berbuka puasa tahun lepas.

Akhbar berkenaan memohon maaf atas penyiaran gambar berkenaan. Alasannya ia tidak sengaja dan tidak fikir gambar itu menyinggung sensitiviti umat Islam?

Yang peliknya sudah dua kali akhbar berkenaan melalukan perkara sama. Apakah tidak ada orang Islam yang bekerja di akhbar berkenaan. Atau orang Islam yang bekerja di The Star terutamanya yang berkerja di Jabatan Pengarang juga tidak begitu peka mengenai perkara-perkara berkenaan?

Bagi saya bila dua kali perkara seperti itu berlaku dalam masa tidak senggang lama, akhbar berkenaan mungkin ada agenda tersendiri mengenainya. Ia bukan sesutau yang tidak disengajakan. Sewajarnya pihak KDN mengambil tindakan keras atas apa yang berlaku dan bukan sekadar memberi peringatan dan amaran sahaja.

Saya bimbang ia akan menjadi kesalahan-kesalahan seperti perkara biasa, seperti kesalahan ajaan atau fakta dalam penyiaran kemudian diralatkan. Harus disedari walaupun kecil apa yang berlaku itu satu penghinaan kepada umat Islam. Melihat atau mengetahuinya tanpa ada sebarang protes satu sikap kurang prihatin kepada kesucian agama Islam.

Tidak timbul minta maaf atau ralat. Yang pentingnya berita atau perkara itu sudah disiarkan dan ia dibaca oleh ribuan pembaca. Tidak semua pembaca yang baca mengetahui permohonan maaf atau ralyat oleh akhbar berkenaan.

Kalau itu berlaku ia bleh menyebabkan pembaca itu menganggap penyiaran berita-berita itu sebagai wajar dan tidak menjadi apa-apa masalah kepada umat Islam. Rasanya dengan dua kali dan berapa kali melakukan kesalahan itu sudah cukup kalau KDN perlu mengenakan tindakan keras ke atas akhar berkenaan.
---------------------------------------------------
Daripada blog http://msomelayu.blogspot.com/

Cerita Ustaz Azhar, rakan bantu mangsa sihir

Aziz Muda, 28 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 28 Feb: Meskpun sentiasa sibuk dengan aktiviti dakwah, pendakwah selebriti terkenal yang juga ikon anak muda, Ustaz Azhar Idrus (gambar) suatu ketika terpaksa bertarung dengan jin untuk membantu sebuah keluarga yang mengalami penderitaan akibat sihir.

Pertarungan tersebut terpaksa dihadapi ketika beliau berusaha membantu keluarga terbabit yang mengalami penderitaan sehingga 16 tahun dipercayai disihir jiran dengan menggunakan khidmat bomoh Siam.

Menurut Ustaz Azhar, punca tindakan sihir itu hanya disebabkan keengganan keluarga itu menjualkan tanah kepada jirannya.

Katanya, jika dilihat dari luaran memang tiada siapa yang menyangka lelaki tersebut tergamak menyihir jirannya itu kerana beliau sering mendirikan solat berjemaah di masjid, malah sering berada pada saf pertama di belakang imam.
"Tapi di luar pengetahuan orang ramai, pada dirinya terdapat perangai sebegitu buruk sehingga tergamak menzalimi jirannya sendiri sehingga sedemikian rupa," katanya pada satu majlis di sini.

Akibat perbuatan sihir itu, menurutnya, keliarga tersebut mengalami pelbagai kepayahan dalam hidup sehingga batuk berpanjangan dan tidak boleh masuk ke dalam rumah mereka sendiri.

"Bermacam-macam ikhtiar telah dilakukan oleh keluarga itu. Ketika tertentu ikhtiar mereka itu dapatlah mengurangkan sedikit penderitaan mereka, tapi jiran mereka itu pula sentiasa "update" sihirnya dengan bomoh Siam supaya keluarga itu terus menderita berpanjangan," jelasnya.

Disebabkan kebuntuan fikiran, tambah beliau, suatu hari ketua keluarga kepada keluarga itu datang menemuinya untuk mendapatkan bantuan daripada beliau bagi mengatasi masalah mereka.

"Pada hal saya bukan bomoh. Tak pasal-pasal saya pula yang kena bantunya. Terpaksalah saya ajak beberapa orang rakan untuk membantu saya untuk tolong selesaikan masalah mereka itu," ujarnya.

Antara langkah yang dilakukan oleh pendakwah tersebut untuk mengatasi masalah yang dialami oleh keluarga itu termasukah dengan mengajak rakan-rakannya berselawat di sekeliling rumah keluarga berkenaan sehingga mengelilingi rumah itu beberapa kali.

"Ketika itu terlihatlah beberapa lembaga hitam sebesar kerbau di sekeliling rumah itu. Saya yang berada di hadapan, memang takut juga, tapi terpaksa berpura-pura berani. Kalau saya yang cabut, yang lain pasti cabut sama," katanya merendah diri dengan disambut gelak ketawa orang ramai.

Untuk mengatasi sihir, beliau mengingatkan orang ramai supaya memperbanyakkan selawat kepada Nabi, manakala antara tanda orang yang terkena sihir termasuklah akan batuk berpanjangan jika seseorang itu berselawat.

Batuk tersebut, jelasnya, berlaku sebagai tindak balas makhluk halus yang berada di badan seseorang itu yang dijadikan alat bagi sihir yang dikenakan terhadapnya oleh manusia yang tidak berperikemanusiaan.

Beliau menegaskan, dalam Islam, sihir jelas haram hukumnya dan setiap umat Islam perlu mengelakkan diri dari terbabit dengan perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu.


Mohon maaf demi maaf dari The Star

Harakahdaily, 28 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 28 Feb: Mula-mula juadah daging babi untuk berbuka puasa, kini akhbar MCA, The Star sekali lagi menghina umat Islam Malaysia melalui tatoo nama Allah.

Selepas menyiarkan juadah daging babi untuk berbuka puasa, The Star minta maaf.

Semalam, akhbar ini sekali lagi menyiarkan gambar besar tatoo nama Allah pada dada penyanyi Erykah Badu.

Dan sebagaimana sebelum ini, The Star minta maaf sekali lagi.

Serangan yang dibuat The Star ini selari sahaja dengan serangan yang dibuat oleh presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek terhadap Islam.

Ia terbukti dalam debat antara beliau dengan Lim Guan Eng baru-baru ini.

Inilah suara-suara pembaca yang memenuhi komen-komen dalam Facebook Harakahdaily ekoran tersiarnya berita ini.

Mereka marah kerana ia dibuat berulang-ulang seolah-olah ia disengajakan oleh akhbar MCA ini untuk merenggangkan hubungan antara Islam dan bukan Islam.

Tambahan pula, ia dibimbangi sengaja dibuat ekoran dengan kekecewaan MCA terhadap orang Cina yang kini sudah 80 peratus lebih menyokong Pakatan Rakyat.

Seorang pembaca bernama Joe Radzif menulis: "Senang-senang je minta maaf?  It is already too late. Apa editor diorang buta? Atau saja nak buat huru-hara. Tak kan la duduk malaysia tapi bodoh sangat sampai tak tahu langsung. penuhkan email diorang dengan suara bantahan."

Seorang lagi pembaca, Fatimatul Asmak pula menulis: "Tiada maaf. Bawak keluar makhluk ni . Nanti, esok2...buat perkara yang dah tahu salah, lepas tu mohon maaf. Hilang akal ke...benda simple ni tak boleh fikir?"

Osman Abdul Ghani pula menulis: "These papers have no respect and sensative to other beliefor religion. I wonder how just star can simply escape without full investigation of their hidden motive. Not a first incident by star don't you know!"

Kuin tawar jurusan perubatan Mei ini

Mohd Shubihi Muhamad Zain, 28 Feb 2012
JERAI, 28 Feb: Kolej Universiti Insaniah (Kuin) menawarkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan mulai Mei tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutid InsanMedik, Dr Ramli Saad berkata, pihaknya telah mendapat kelulusan dari Majlis Perubatan Malaysia (MMC) baru-baru ini untuk membolehkan kursus pengajian itu dijalankan..

"Pengambilan pertama pelajar akan dilakukan Mei nanti yang akan melibatkan kemasukan 50 pelajar, dan mereka akan didedahkan dengan topik-topik asas perubatan di dalam tahun pertama dan kedua manakala pada tahun tiga dan seterusnya mereka akan menjalani pembelajaran klinikal di  Hospital  Sultan Abdul Halim di Sungai Petani, Hospital Daerah Kulim dan juga Hospital Daerah Baling atas kelulusan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya pada sidang media di The Regency HIll Resort, petang kelmarin.

Menurut beliau, sukatan pelajaran bagi program pengajian perubatan di Kuin diolah dan dikaji dengan teliti bagi mencapai matlamat melahirkan doktor yang terlatih serta memiliki nilai-nilai murni ketika menjalankan tugas kelak.

"Pelajar perubatan di sini akan ditekankan dengan aspek profesionalisma dan diterapkan dengan nilai-nilai Islam yang tinggi sepanjang sesi pengajian yang mengambil masa selama lima tahun ini.

"Inilah yang membezakan pengajian perubatan di Kuin dengan universiti-universiti lain supaya produk yang akan dikeluarkan nanti adalah doktor-doktor yang terlatih dan mahir dalam selok belok hukum agama yang melibatkan perubatan.

"Ini adalah bertepatan dengan konsep 'insaniah' iaitu seorang insan dalam ertikata yang sebenarnya. Insya Allah, Kuin bukan sahaja mampu melahirkan doktor-doktor yang cekap malah berupaya menjadi pemimpin dalam masyarakat kita nanti," katanya.

Program pengajian perubatan itu akan dijalankan di kampus Kuin di Mergong yang telah dilengkapi prasarana serba baru dan barisan tenaga pengajar yang berpengalaman serta mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.

Tiada komplot jatuhkan MB Kedah - Phahrolrazi

Muslim Abdul Razak, Warta Kedah, 28 Feb 2012
ALOR SETAR, 28 Feb: Laporan kononnya ada gerakan yang diketuai oleh Phahrolrazi Zawawi untuk menyingkirkan Menteri Besar, Datuk Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak hanyalah tuduhan semata-mata dan merupakan tuduhan yang tidak berasas.

Exco Perumahan & Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, tuduhan tersebut adalah tidak benar dan hanyalah spekulasi yang dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu sahaja.

Beliau berkata demikian semasa mengulas mengenai khabar angin menyatakan beliau mengetuai gerakan menyingkirkan Menteri Besar, selepas mengadakan perjumpaan dengan petani di Tandop semalam.

“Saya bukanlah individu yang mengetuai gerakan tersebut seperti yang dinyatakan oleh sesetengah pihak. Saya tidak ada sebarang gerakan ke arah itu, kerana saya hanyalah pimpinan di peringkat tertinggi PAS Kedah dan juga menyertai gerakan dalam Parti PAS kawasan saya.

“Selain itu, komplot yang berkaitan dengan diri saya adalah tidak berasas dan saya tidak tahu pula ada dalang seperti yang dikatakan, sedang bergerak aktif menjatuhkan Ustaz Azizan," jelas beliau sebagaimana dilaporkan Warta Kedah, lidah rasmi kerajaan negeri Kedah.

Katanya lagi, sama ada ada dalang atau tidak di sebalik spekulasi ini, beliau tidak mengetahuinya dan saya juga tidak mengenali dalang yang dimaksudkan.

Beliau juga menafikan bahawa kononya beliau kecewa dengan pentadbiran dan pimpinan Ustaz Azizan.

Phahrolrazi dan seorang lagi exco, Dr Ismail tidak mengangkat sumpah exco hari ini apabila majlis mengangkat sumpah berjalan.

Tiada ulasan: