Sabtu, 25 Februari 2012

NI ZAMAN ISLAM KEMBALI GEMILANG..BANGUN DISELURUH PELUSUK DUNIA...KITA KETINGGALAN ZAMAN JIKA MENOLAK ISLAM...ATAU TAK BELAJAR@MENGKAJI TENTANG ISLAM...

Anak gesa tarik balik ‘borang durian runtuh’

Khairil Abdul Rahim, 24 Feb 2012
TEMERLOH, 24 Feb: Presiden Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman memberi kata dua kepada pihak Felda sama ada menarik balik ‘pekeliling durian runtuh’ yang diedarkan kepada peneroka atau laporan polis akan dibuat.


Katanya, ini disebabkan timbul keadaan yang amat mengelirukan dan kegelisahan di kalangan peneroka kerana semua dokumen seperti salinan kad pengenalan, geran ladang, rumah digunakan untuk tujuan tertentu.

“Saya banyak terima aduan dalam seminggu ini tentang edaran borang untuk mendapat ‘durian runtuh’ dengan maklumat penting iaitu fotostat kad pengenalan, geran ladang, rumah, status senarai hitam bank dan pewaris.

“Isinya agak berbeza tetapi membawa implikasi yang sangat besar kerana dokumen-dokumen penting boleh dimanipulasi.

“Jadi saya nak minta satu penjelasan siapa yang keluarkan arahan itu? Saya tak salahkan pengurus-pengurus Felda kerana mereka hanya menjalankan arahan daripada pihak atasan,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Tambah Mazlan, ini berkaitan dengan janji kepada peneroka.

“Ada pengurus yang janji nak bagi duit tunai RM10,000 ada yang janji dalam bentuk saham. Ini satu harapan kepada peneroka dan bila nak bagi duit mereka tak fikir panjang lalu serah semua dokumen,” katanya.

Katanya, ada beberapa tempat seperti di Jengka 18 peneroka disuruh membuat buku akaun dan agen bank sendiri datang ke balai raya.

“Bagi saya ini akan menimbulkan keadaan yang mengelirukan terutama sebenarnya janji durian runtuh itu tidak wujud sama sekali,” jelasnya.

Mazlan juga berpendapat, ini mungkin juga satu helah di mana akhirnya pihak tertentu akan menggunakan semua dokumen tersebut untuk mereka akhirnya menjustifikasikan peneroka Felda secara majoriti setuju dan menyokong penyenaraian FGVH.

Tambahnya, tidak mustahil secara halus atau pintu belakang mereka menggunakan referendum itu untuk meneruskan penyenaraian dengan paksaan tetapi secara halus.

“Sebab itulah saya sudah beritahu peneroka yang menghubungi saya supaya buat laporan polis kerana ada unsur ugutan, penipuan dan salah guna kuasa.

“Jadi oleh kerana isu ini begitu besar dan melibatkan warga Felda seluruh negara, saya minta surat arahan itu ditarik balik serta merta. Saya nak katakan durian runtuh itu satu pembohongan sebab mesyuarat agung khas (EGM) semalam (kelmarin) pun dibatalkan, KPF tiada kaitan dengan penyenaraian jadi nak dapat durian runtuh dari mana.

“Sebab itu saya katakan durian runtuh itu cerita karut dan yakin ada satu agenda halus yang menjurus kepada mereka nak bina satu keyakinan  sebenarnya yang hendakkan penyenaraian itu kononnya besar dan yang menolak itu kecil,”  tegasnya.

Mazlan tidak menolak usaha itu mungkin ada kaitan dengan kenyataan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad yang mahu Felda disenaraikan juga menggunakan mekanisme yang lain setelah gagal EGM.

Dalam sidang media yang sama, Mazlan mengucapkan syabas kepada Tengku Razaleigh Hamzah yang berani mengeluarkan kenyataan terbuka dan jelas bahawa bahaya bagi Felda jika disenarai di bursa saham kerana beliau seorang yang berpengalaman dalam ekonomi.

Katanya, kenyataan berani tersebut sangat signifikan dalam hala tuju penyenaraian Felda dan itu jugalah sebenarnya kebimbangan warga Felda selama ini justeru minta Perdana Menteri membatalkan saja usaha penyenaraian itu.

Mahathir beri isyarat mahu kembali jadi PM

Datuk Kamarul Baharin Abbas, 24 Feb 2012
Mutakhir ini nampaknya Dr. Mahathir kerap memberikan kenyataan-kenyataan bagi pihak Kerajaan UMNO/BN di bawah pimpinan Najib Tun Razak. Jika ketika zaman Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) dahulu ada sahaja kritikan Dr. M terhadap Pak Lah dan pimpinan UMNO/BN. Semuanya tidak betul dan tidak kena. Islam Hadhari zaman Pak Lah tidak disokongnya Dr. M. Kali ini gagasan 1Malaysia Najib Razak juga tidak bersambut baik oleh Mahathir. Hanya Wawasan 2020 Mahathir sahaja yang kononnya terbaik.


Setelah banyak pertikaian pandangan ketika zaman Pak Lah, akhirnya Dr. Mahathir mengambil keputusan untuk keluar daripada UMNO ketika zaman Pak Lah sebagai Presiden UMNO. Ini suatu yang cukup memalukan pimpinan UMNO/BN. Bekas Perdana Menteri yang juga bekas Presiden UMNO serta Pengerusi Barisan Nasional keluar daripada UMNO. (Nota: bekas PM yang meninggalkan UMNO Tengku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn ).

Hari ini pertembungan politik ialah pertembungan politik antara kerakusan Dr. M dengan ketelusan Anwar Ibrahim. Kali ini terutamanya selepas tsunami politik 8 Mac 2008, lapangan politik bukan pertempuran Anwar-Pak Lah atau Anwar-Najib, tetapi adalah pertarungan politik Anwar-Mahathir.

Pilihanraya Umum Ke-13 adalah medan kumpulan Dr. M untuk kembali mencari landasan. Mereka sudah melihat kemungkinan Najib Razak sudah tidak punyai upaya untuk mengimbangi kepintaran politik Anwar Ibrahim dengan misi Kerajaan Reformasi dan kebajikan untuk rakyat. Sebab itu mahu tidak mahu, Mahathir merasakan bahawa perlu bagi dirinya menjadi Perdana Menteri semula.


Dalam isu semasa terkini, soal penyenaraian FELDA Global Ventures Holding (FGHV), Dr. Mahathir terlebih lagi memberikan kenyataan bahawa penyenaraian tersebut sebagai ‘peluang besar’ mengembangkan perniagaannya. Kenyataannya itu lebih yakin daripada kenyataan Perdana Menteri Najib Razak.

Isu-isu negara termasuk soal cabaran debat dengan Anwar Ibrahim dalam isu Palestin-Israel juga sibuk dijawab Mahathir tanpa Najib Razak menjawab. Najib diam membisu untuk menyatakan pendirian. Yang dicabar debat adalah Najib, tetapi bekas PM yang nampaknya agak serabut untuk menjawab.

Najib banyak diam seribu bahasa dalam isu-isu penting negara termasuk soal FELDA, Isu Palestin-Israel, Isu NFC, isu kaum, isu rasuah, serta kelemahan pentadbiran tetapi dalam masa yang sama Dr. Mahathir bertungkus lumus menjawab setiap isu. Maka ini adalah isyarat kuat (signal) daripada Mahathir kepada UMNO bahawa UMNO perlu beliau sebagai Perdana Menteri. Najib Razak tidak cukup kuat karektornya untuk berdepan dengan karisma kepimpinan Anwar Ibrahim. Pasukan Najib Razak tidak cukup bersedia untuk memastikan UMNO/BN menang dalam PRU-13 akan datang.

Pada pandangan Mahathir kelemahan Najib Razak sebagai PM ini tidak boleh dibiarkan. Situasi ini akan membahayakan Dr. M, keluarga serta kroninya. Hari ini isu Palestin-Israel sebenarnya adalah sindiran yang terkena batang hidung Mahathir sendiri. Dia yang pernah berutus surat dengan PM Israel. Ada menteri UMNO yang pernah berjumpa Menteri Luar dan Menteri Pertahanan Israel. Najib Razak tidak membelanya. Mahathir terpaksa memberi penjelasan. Anaknya juga yang menjadi Tim. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menjadi sasaran dalam kes kapal dagang Israel di Pelabuhan Klang. Sebab itu Mahathir mahu menunjukkan kepada ahli UMNO bahawa dia perlu kembali sebagai PM kerana dirinya sahaja kononnya boleh menjawab segala hujah Pakatan Rakyat. Najib Razak dilihat lemah untuk mempertahankan UMNO. Dalam isu hubungan dengan Israel juga peranan Najib juga tidak mampu untuk mempertahankan imej UMNO dan APCOnya. RM77 juta yang dibayar setahun (Agensi yang punyai hubungan dengan Zionis-Israel) oleh Najib Razak juga tidak banyak membantu terutamanya kerosakan dalam integriti pentadbiran yang telah dibuat oleh Mahathir.

Sebelum ini, Mahathir menyifatkan kepemimpinan Umno sekarang seperti usus yang sudah busuk.

Kenyataan Mahathir itu kita percaya ditujukan kepada Najib. Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dilihat lebih menyokong Mahathir berbanding Najib.

Jika dahulu Muhyiddin boleh berkomplot untuk menjatuhkan Pak Lah, maka apakah tidak mustahil untuk Muhyiddin sekali lagi menyusun komplot untuk menjatuhkan Najib lalu mengangkat Dr. Mahathir?

Pertikaman lidah dalaman antara beberapa pemimpin UMNO sekaligus menyaksikan bahawa Umno sedang mengalami dilema sama ada untuk kekal memperjuangkan rasis-Melayu atau mengubah ideologinya mengikut cara Najib melalui konsep 1Malaysia. Sanggahan-sanggahan Mahathir terhadap kepimpinan UMNO masa kini menguatkan gambaran kepada ahli UMNO bahawa mereka perlu kembalinya Mahathir sebagai PM.

Mahathir sedang menunggu.......http://telokkemang.blogspot.com/

Datuk Kamarul Baharin Abbas ialah MP Telok Kemang/Pengerusi Keadilan N. Sembilan

Bakar al-Quran: Ratusan berdemo di kedutaan AS

Hazayani Zakaria Foto: Nasir Sudin, 24 Feb 2012



(Demo membantah tindakan Amerika di perkarangan kedutaan Amerika di Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 24 Feb: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPP) hari ini menyerahkan memorandum bantahan ke Kedutaan Amerika berhubung tindakan tentera Amerika Syarikat yang membuang dan membakar al-Quran yang diambil dari perpustakaan penjara di Pangkalan Udara Afghanistan, Selasa lalu.

Memorandum tersebut diserahkan sendiri oleh Ketua DPPP, Nasrudin Hassan kepada pegawai keselamatan kedutaan dengan diiringi Ketua Penerangan DPPP, Ridhuan Md Noor dan Ketua DPP Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad.

Kira-kira 200 orang mengiringi serahan memorandum itu terdiri daripada pemuda dan pemudi termasuk Gerakan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis).

Mereka berarak dari Masjid Tabung Haji selepas menunaikan solat Jumaat menuju ke kedutaan AS  dengan dikawal kira-kira 50 anggota polis.

Laungan takbir, laknat Amerika, hidup Islam bergema sepanjang perarakan aman itu.

Berucap kepada peserta perarakan selepas serahan memorandum, Nasrudin berkata, antara isi kandungan memorandum itu ialah memberi amaran keras kepada Amerika agar tidak mengulangi tindakan jahat yang mencemarkan keharmonian antara agama itu.

"Kita berharap ini kali terakhir peristiwa ini berlaku dan jika tindakan mencemarkan kesucian al-Quran ini berulang, kita tidak teragak-agak melakukan demonstrasi besar-besaran," katanya disambut laungan takbir.

Perhimpunan tersebut berakhir kira-kira jam 3 petang dengan bacaan doa oleh Nasrudin dalam keadaan hujan lebat.

Pada 2010, Gereja Florida telah mencetuskan kemarahan umat Islam apabila merancang untuk membakar al-Quran pada ulang tahun kesembilan peristiwa 11 September di New York dan Washington.

Rancangan serupa, ujarnya diulang oleh Terry Jones Paderi Amerika Syarikat pada tahun lalu 2011 sempena ulang tahun peristiwa 11 September, malah pembakaran al-Quran telah dilakukan oleh Paderi Wayne Sapp di bawah pengawasan Jones.

Al-Quran pada waktu itu telah direndam dalam minyak tanah selama sejam dan diletakkan dalam dulang besi di tengah-tengah gereja sebelum ianya dibakar dengan pemetik api barbeku, al-Quran dibakar selama 10 minit dan gambar pembakarannya dirakam

Tidak undang MB Pakatan Najib tidak profesional

Mohd Sayuti Omar, 24 Feb 2012

Keengganan Ha Najib Razak untuk memanggil sama menteri besar Kelantan, Selangor, Kedah dan ketua menteri Pulau Pinang menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Besar menunjukkan apa yang diucapkan Najib masih tidak terlaksanakan.

Najib masih menerusikan politik dendam yang diamalkan sejak zaman Mahathir Mohamad dan sebelumnya yang tidak sedia menjemput menteri besar negeri pembangkang hadir sama dalam mesyuarat itu meskipun ada peruntukan untuk berbuat demikian.

Sekali lagi saya bersetuju dengan pandangan MB Selangor, Khalid Ibrahim; kalau Najib tidak mahu mengundang sama menteri besaar Pakatan Rakyat eloklah mesyuarat itu diubah kepada nama mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri BN. Jangan kelirukan rakyat dengan menamakan mesyuarat itu - Mesyuarat Bersama MB.

Bukan saja Khalid dan menteri besar kerajaan Pakatan Rakyat, rakyat di negeri berkenaan juga sedih dengan tindakan Najib itu. Seperti mana kata Khalid, tindakan Najib mengasing dan mengenepikan menteri besar kerajaan Pakatan menunjukkan Najib tidak sedia mengimplimentasikan slogan yang dilaungkan sendiri, sloga 1 Malaysia.

Tidak sepatutnya MB dari Pakatan dikecualikan kerana sumbangan mereka kepada pembangunan negara bukn sedikit. Lebih separuh sumbangan ekonomi kepada kerajaan Persekutuan datang dari kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Najib beriya mahu melakukan transformasi politik dan perubahan pendekatan dari mengekang mana-mana pihak kepada keadilan. Namun dengan apa yang beliau lakukan itu jelas menunjukkan dia membohongi dirinya sendiri. Beliau masih meneruskan pendekatan lapok berdendam dengan rakyat yang tidak menyokong UBN di dalam pilihan raya.

Apa yang sedang dilakukan Najib diperhatikan.


Dr Mahathir selama menjadi PM 22 tahun itulah yang dipraktikan. Beliau tidak sekali pun mengundang Nik Aziz untuk sama-sama menghadiri mesyuarat menteri-menteri bersar berkenaan. Jadi janji Najib hendak membawa perubahan hanya janji semata-mata bukan sesutau yang benar. Apakah Najib masih menerima nasihat Mahathir dalam hal ini agar terus mengenepikan kerajaan yang tidak sehaluan dengannya?


Walhal konsep federalisme jelas sekali melarang seorang perdana menteri bersikap demikian. Negeri Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang masih tertakluk dengan konsep federalisme itu. Najib sepatutnya tidak boleh merenggangkan mereka.


Kepada saya sikap dan tindakan Najib itu satu kesalahan. Ia tidak memberi markah tinggi kepada pentadbirannya sebagai perdana menteri. Malahan ia salah dan memberi imej buruk kepada dirinya sendiri. Zaman sekarang zaman rakyat sudah cerdik dan pintar serta tahu apa juga undang-undang. Usaha melindungi kebenaran dan meneruskan tindakan zalim dan dendam menyebabkan rakyat akan membenci Najib dan UBN.


Penerusan dasar atau tindakan politik Mahathir Mohamad dan Abdullah Badawi tidak memberi keuntungan kepada Najib dan UBN. Orang ramai akan melihat Najib tidak memiliki apa-apa kekuatan untuk mengubah pendekatan atau tindakan sebelum ini melainkan menuruti acuan yang sedia ada. Ketidakmampuan Najib melakukan transformasi pentadbirannya itu akan dilihat sebagai kelemahan sebenar Najib dalam politik.[wm.kl.9:10 am 24/02/12] - http://www.msomelayu.blogspot.com/

Abdullah Ali yakin PAS dapat Terengganu balik

Harakahdaily, 24 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 24 Feb: Bekas lagenda bola sepak negara, Haji Abdullah Ali yakin, PAS dan Pakatan Rakyat boleh memenangi negeri Terengganu dalam pilihan raya umum akan datang ini.

(Abdullah Ali bercakap dalam rancangan Persepsi Harakahdaily)

"Dengan saya menyertai PAS, saya boleh membantu untuk memberikan kesedaran khasnya orang baru untuk menyokong PAS," kata beliau dalam wawancara khas dengan Harakahdaily.

Abdullah Ali, bekas pemain bola sepak negara yang terkenal dengan tendangan 'inswinger' dari sudut penalti di lewat 1970an dan awal 1980an dahulu.

Pasukan Malaysia yang disertai beliau pernah layak ke sukan Olimpik Moscow pada tahun 1980 tetapi tidak berjaya menyertai kejohanan itu kerana Malaysia menarik diri dari menyertai Olimpik Moscow ekoran serangan Rusia ke atas Afghanistan.

Baru-baru ini, Abdullah menyerahkan borang menyertai PAS kepada Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Bharu.

Hari ini Abdullah menyertai wawancara di Harakahdaily untuk rancangan "Persepsi".

Dalam rancangan itu, Abdullah melahirkan keyakinan beliau dengan barisan pimpinan baru PAS Terengganu yang ada mampu mengembalikan negeri itu ke tangan PAS selepas kehilangannya pada pilihan raya 2004.

"Insya Allah kita sama-sama doa dan kerja kuat. Saya juga telah bercakap dengan jawatankuasa PAS Terengganu, kalau ada program saya boleh bantu PAS di Terengganu.

"Insya Allah, kali ini Terengganu akan dimenangi balik oleh Pakatan Rakyat," kata Abdullah.

Ketika ditanya kenapa menyertai PAS, Abdullah berkata, suasana politik sekarang yang ada sangat tidak baik akibat dari sikap Umno sendiri.

"Misalnya skandal NFC yang diberikan pinjaman RM250 juta.

"Begitu juga yang berlaku di sebelah kampung saya, Kampung Surau Haji Mat Zin. Rakyat di sini sangat  miskin. Pemimpin Umno hanya datang semasa pilihan raya membawa lori yang berisi makanan untuk diberikan kepada rakyat.

"Ini cara yang tidak baik sepatutnya kita ikut macam Khalifah Omar Al Khattab yang datang malam-malam melihat rakyat untuk menjaga kebajikan mereka," katanya.

Najib sendiri tidak mahu mendarat di LTA Melaka

Ahmad Denial, 24 Feb 2012
MELAKA, 24 Feb: Tindakan helikopter yang membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam adalah satu tamparan hebat kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam.

Demikian pendapat Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka, Wan Mohd Azmi Wan Abdul Aziz yang sangat hairan dengan tindakan PM Najib itu.

Najib melawat Melaka hari ini. Beliau tiba dengan menaiki helikopter yang mendarat di Dusun Datuk
Murad, Ayer Keroh berdekatan Penjara Agro.

Ketibaan beliau disambut oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pagi ini.

Wan Mohd Azmi hairan mengapa pesawat yang membawa Perdana Menteri tidak mendarat di LTAM Batu Berendam tetapi sebaliknya mendarat di Dusun Datuk Murad, Ayer Keroh.

"Rakyat tertanya-tanya mengapa pesawat yang membawa Perdana Menteri tidak mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) tetapi sebaliknya mendarat di Dusun Datuk Murad.

"Siapa yang mencadangkan kepada Datuk Seri Najib untuk mendarat di Dusun Datuk Murad? Adakah ianya atas kehendak beliau sendiri atau ada sesiapa yang tidak suka Perdana Menteri mendarat di LTAM bagi menyembunyikan keadaan sebenar betapa lengangnya LTAM," ujar Wan Mohd Azmi.

Beliau berkata jika ada pihak yang cuba 'menyorokkan' LTAM dari Perdana Menteri itu tindakan yang silap kerana Perdana Menteri sudah tentu mempunyai maklumat tentang LTAM.

"Najib pasti tahu betapa 'sibuk'nya  LTAM mungkin lebih kurang sama kesibukannya dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow di London.

"Malah isu ini juga sudah banyak kali dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kota Melaka semasa sidang Parlimen dan ianya telah dijawab oleh Menteri Pengangkutan. Sudah tentu Perdana Menteri arif tentang kegagalan LTAM menarik syarikat penerbangan beroperasi LTAM," tambah Wan Azmi.

Menurutnya jika Perdana Menteri memilih Dusun Datuk Murad sebagai tempat pendaratan pesawatnya, ini merupakan tamparan hebat kepada Mohd Ali kerana terbukti Najib sendiri tidak yakin dengan prasarana LTAM sehingga beliau tidak sudi mendarat di LTAM.

"Mungkin juga Perdana Menteri tidak berpuashati dengan kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan masalah LTAM yang gagal menarik minat syarikat penerbangan beroperasi di LTAM."

"Atau mungkin Najib 'bengang' dengan pembaziran duit rakyat sebanyak RM240juta yang digunakan untuk menaiktaraf LTAM sedangkan pada hakikatnya projek ini tidak berdaya maju.

"Kegagalan ini sebenarnya membuktikan kerajaan negeri tidak membuat kajian terperinci sebelum LTAM dinaiktaraf," ujar beliau

Tiada ulasan: