Sabtu, 11 Februari 2012

JANGAN KITA TEMPELAK KEPADA ORANG@MUSUH...NANTI MAKAN DIRI SENDIRI...SENJATA MAKAN TUAN..JERAT TAK LUPA PELANDUK...HANYA PELANDUK LUPAKAN JERAT..ITU BELUM JERAT YANG DIBUAT MENYUKARKAN KITA DIAKHIRAT...LEKA MELIHAT KESALAHAN ORANG...KESALAHAN KITA MEMBUKIT SERTA MENGUNUNG TINGGINYA....KUMAN DISEBERANG LAUTAN KITA NAMPAK...GAJAH BESAR DIDEPAN MATA TAK NAMPAK...

KWSP bukan tabung buluh kerajaan

Idris Ahmad, 11 Feb 2012
Wang KWSP ialah wang simpanan hari tua, ia bukan tabung buluh kerajaan BN untuk dibelanja sewenang-wenangnya bagi maslahat politik.

Terbaru Senator Datuk Nong Chik mengumumkan kerajaan akan menggunakan wang KWSP sebanyak RM1.5 bilion untuk membantu 20,000 penyewa di Kuala Lumpur membeli rumah.

Kenapa wang KWSP yang digunakan? Kenapa kerajaan tidak menggunakan dana kerajaan sendiri? Apakah ini petanda kerajaan BN sudah kritikal dari segi kewangan sehingga terpaksa mengguna dana awam?

Bagaimana pula nasib rakyat di luar Kuala Lumpur yang menjadi penyumbang kepada KWSP? Kenapa mereka dianak tirikan? Rakyat Sabah dan Sarawak juga perlukan rumah.

Adakah ini hanya projek untuk mengambil hati pengundi di Parlimen Lembah Pantai yang bakal  ditandingi oleh Senator Datuk Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Paling menyedihkan sekali menurut Bekas Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja Komersial Sabah (SCEU) Rebecca Chin tidak dimaklumkan semasa beliau menghadiri mensyuarat Lembaga Pengarah KWSP.

Beliau mewakili kesatuan di lembaga KWSP dari tahun 2007 hingga 31 Januari 2012.

Sebelum ini dana KWSP juga digunakan untuk valueCap sebanyak RM5 bilion, Felda RM6 bilion, pinjaman kepada GLC tanpa penjamin RM55.1 bilion.

Dana KWSP untuk simpanan hari tua, bagaimana nasib para pekerja selepas bersara, terutama mereka yang berpendapan rendah. Dividen KWSP hanya berkisar 5 hingga 6 peratus. Sedangkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera boleh memberi sebanyak 15 peratus.

KWSP berada di tangga ke 9 pada tahun 2010 berbanding tahun 2009 di tangga ke 18. Ini menunjukkan pungutan KWSP setiap tahun meningkat. Anggaran setiap bulan KWSP memungut sebanyak RM500 juta. Malangnya ia tidak diurus dengan baik oleh kerajaan BN.

Keluarga Sharizat belanja atasi 523 sekolah Tamil?

Harakahdaily, 10 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 10 Feb: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan BN telah membelanjakan RM200 juta untuk sekolah-sekolah Tamil sejak tahun 2009.


“Adakah jumlah ini cukup besar untuk dibanggakan?” tanya Timbalan Pengerusi DAP Perak, V Sivakumar (gambar) dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Sehubungan itu, beliau yang juga Adun Tronoh mendakwa Kerajaan Barisan Nasional sentiasa menganak tirikan sekolah-sekolah Tamil di negara ini.

Katanya, perbelanjaan RM200 juta itu tidak memadai untuk menaik taraf semua sekolah-sekolah Tamil yang sedia ada.

Menurutnya, banyak sekolah Tamil di negara kita berada dalam keadaan yang usang dan perlu dinaik taraf dan diperbaiki dengan segera tetapi kerajaan tidak mengambil langkah-langkah proaktif untuk membantu menyelesaikan masalah sekolah-sekolah itu.

Menurutnya, pemberian wang untuk beberapa sekolah Tamil baru-baru ini adalah satu gimik politik untuk mendapat sokongan orang-orang India untuk memenangi PRU13.

Katanya lagi, jumlah RM200 juta bagi sekolah-sekolah Tamil yang telah dibelanjakan untuk beberapa tahun bukanlah satu jumlah yang besar dan boleh dibanggakan.

Baginya, sedangkan keluarga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil telah membelanjakan wang  sebanyak RM250 juta di bawah NFC secara sewenang-wenangnya yang mana wang rakyat didakwa telah disalahgunakan untuk ‘membela lembu di kondo’.

Katanya, kerajaan BN sanggup mengalami kerugian RM250 juta yang didakwa telah disalahgunakan oleh Ketua Wanita Umno tetapi tidak berminat untuk membantu sekolah-sekolah Tamil yang berada dalam keadaan yang buruk.

Menurutnya lagi, sekolah-sekolah Tamil hanya diberi peruntukan RM200 juta untuk beberapa tahun sejak tahun 2009.

“Saya mencabar Menteri Pelajaran untuk memberitahu kepada rakyat jumlah peruntukan yang  diberikan kepada sekolah-sekolah Tamil bagi tahun 2006, 2007, 2008, 2009, 2010, dan 2011 secara berasingan,” ujarnya.

Beliau berkata, RM200 juta yang diberikan untuk 523 sekolah Tamil yang mempunyai murid-murid lebih kurang 100,000 orang bukanlah satu jumlah yang besar, jika dibandingkan dengan skandal keluarga Sharizat yang didakwa menyalahgunakan RM250 juta untuk kepentingan sendiri.

Lajnah Pendidikan PAS tubuh Pendidik 12 Feb

Harakahdaily, 10 Feb 2012


KUALA LUMPUR, 10 Feb: Lajnah Pendidikan PAS Pusat bakal melakar sejarah baru dalam dunia pendidikan tanah air kerana akan menubuhkan NGO bagi warga pendidik iaitu Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) pada 12 Februari  ini.

Program yang bermula jam 2.00 hingga 5.30 petang itu akan diadakan di Dewan Putra, Kolej Integrasi Tahfiz Tunas Ilmuan Selangor, Kampung Delek, Selat Klang, Selangor.

Pengarah program, Normala Sudirman (gambar) berkata, program anjuran Lajnah Pendidikan PAS Pusat dengan kerjasama Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Pusat melibatkan peserta yang terdiri daripada Ketua DMPP dan Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat, Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS Negeri / Wilayah Persekutuan atau wakil dengan minima 5 orang.

Katanya, ia juga mensasarkan peserta daripada guru-guru di bawah institusi pendidikan yang dimiliki oleh ahli PAS, NGO seperti JIM, Abim dan lain-lain, sekolah agama rakyat dan swasta, Pusat Tahfiz Al- Quran, Pasti dan Kafa, pesara guru dan professional pendidik, aktivis pendidikan ahli dan penyokong PAS.

Beliau berkata, antara objektif  Pendidik ialah sebagai satu wadah atau platform untuk menggerakkan kesedaran dan kebangkitan warga pendidik di seluruh Malaysia berkaitan isu-isu pendidikan dan perguruan di negara ini.

Tambahnya, ia juga untuk menyatukan semua golongan pendidik di bawah satu NGO agar semua tuntutan dan desakan atas apa jua isu pendidikan dan perguruan ’didengari’ oleh semua pihak yang berautoriti dan berkepentingan.

“NGO Pendidik juga sebagai satu saluran suara untuk memperjuangkan hak dan kebajikan guru yang tertindas dan dizalimi di samping menghimpunkan warga pendidik untuk menjalin ukhuwwah, hubungan komunikasi, kesefahaman dan kerjasama yang baik antara golongan pendidik di seluruh Malaysia,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga AJK Lajnah Pendidikan PAS Pusat memberitahu, majlis pelancaran itu akan diserikan dengan 100 orang pemuda daripada Jabatan Amal Malaysia yang menyertai konvoi bermotor untuk mengiringi ketibaan Tuan Guru Presiden PAS bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Pelancaran NGO Pendidik

Menurutnya, antara tetamu yang bakal hadir dan menyampaikan ceramah untuk berkongsi pengalaman tentang dunia pendidikan tanah air ialah Datuk Adnan Ibrahim, mantan Pengarah Pelajaran Negeri Perak yang kini telah menyertai PAS.

Tambahnya, tetamu lain yang akan hadir untuk menyampaikan ucapan ialah Dr Halimah Ali, Exco Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor dan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Ustaz Datuk Abu Bakar Chik.

"Semoga dengan pelancaran NGO Pendidik ini dapat membangkitkan kesedaran dan momentum perjuangan para pendidik di seluruh tanah air agar berani membuat perubahan dalam memperjuangkan hak dan kebajikan para guru selain daripada prihatin terhadap nasib para pelajar demi kelangsungan generasi pewaris kepimpinan masa hadapan," ujarnya.

Najib diminta selesai kemiskinan di Pekan

Khairil Abdul Rahim, 10 Feb 2012
PEKAN, 10 Feb: Daripada terus menabur janji merata-rata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diingatkan agar tidak lupa menangani kemiskinan melampau di kawasan parlimennya sendiri.

Yang Dipertua PAS Kawasan Pekan, Ustaz Abu Kassim Manaf berkata, antara kawasan yang paling daif keadaan ekonomi dan sosialnya di sini ialah di Kuala Pahang.

Tambah Abu Kassim, meskipun penduduknya merupakan warga tempatan namun keadaan hidup, ekonomi dan sosial mereka tidak sebaik nasib ‘penduduk import’ orang Kemboja di kampung Tanjong Agas dan orang Myanmar di Sungai Miang.

“Kebanyakan mereka nelayan dengan pendapatan tak tetap dan rezeki menyara keluarga bergantung kepada hasil laut yang tidak menentu, ditambah pula musim tengkujuh selama tiga bulan.

“Sekarang ini tiap-tiap hari orang Kuala Pahang datang minta bantuan di Pusat Khidmat PAS Pekan, ini mumbuktikan kerajaan dan ahli parlimennya sendiri gagal membela nasib mereka.

“Nasib mereka tak terbela sejak berpuluh tahun sedangkan kelompok inilah yang memenangkan Umno dan BN selama ini,” katanya.

Difahamkan, pernah Umno menjalankan program ‘Gempur Kemiskinan’ dengan inisiatif mewujudkan pusat jahitan semasa Najib menjadi Timbalan Perdana Menteri. Namun tiada perubahan yang dicapai dan penduduk terus dibelenggu kemiskinan jauh sekali daripada hidup selesa.

Tinjauan Harakahdaily ke lokasi baru-baru ini mendapati keadaan penempatan penduduk tidak menggambarkan berada di kawasan Perdana Menteri kerana rumah yang buruk dan berhimpit-himpit sehingga menyakitkan mata. (Gambar kiri)

Menurut penduduk, kerajaan telah beberapa kali berjanji terutama menjelang pilihan raya untuk membina kediaman tersusun yang tidak jauh dari sini. Malangnya sehingga hari ini, di lokasi tersebut hanya tapak sahaja yang ada.

Tambah mereka lagi, ketika Tun Razak menjadi Ahli Parlimen Pekan atas usaha beliau telah membina perumahan kos rendah rakyat di Kuala Pahang pada tahun 1969 dengan bayaran sebanyak RM10 sebulan. Manakala rumah pemindahan banjir pula penduduk membayar RM15 sebulan pada tahun 1971.

Apa yang mengecewakan mereka, pada zaman Najib menjadi ahli parlimen dan Perdana Menteri ini tiada usaha serius untuk mengubah nasib mereka.

Bagi menambah pendapatan penduduk, kerajaan juga telah membina kolam simen yang besar untuk mereka memelihara ikan terutama pada musim tengkujuh. Namun setakat ini tiada ikan yang diisi.

Abu Kassim berkata, di Kuala Pahang masyarakatnya tidak tersusun sebab itu selain daripada masalah ekonomi, keadaan sosial di sini juga teruk dengan penagihan dadah dan gejala anak luar nikah.

“Itu yang kami kesal sedangkan Parlimen Pekan sudah melahirkan dua Perdana Menteri, tiga Menteri Besar dan dua Timbalan Menteri Besar. Tetapi nasib penduduk Kuala Pahang tidak berubah,” katanya.

(Sekolah Cina ini majoriti muridnya di kalangan pelajar Melayu.)
Perdana Menteri yang berasal dari Pekan ialah Tun Razak Hussein dan anaknya Najib. Manakala Menteri Besar Pahang yang datang dari daerah ini ialah Datuk Mohamad Jusoh, Najib dan Tun Khalil Yaakob.

Timbalan Menteri Besar pula ialah Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman dan Datuk Abdul Jabbar Ibrahim.

Dewan Undangan Negeri Kuala Pahang (kini Peramujaya) pernah dimenangi PAS pada pilihan raya umum (PRU) 1999 melalui Mohd Iqbal Hamdy Rusdi. Sementara Najib pula hanya menang tipis pada tahun tersebut dengan majoriti 241 undi.

“Sekarang ini Najib dan pemimpin Umno lain berjanji di negeri-negeri seperti Selangor dan Kelantan jika pilih BN semua masalah akan selesai. Kami minta selesaikanlah dulu masalah di Kuala Pahang ini,” tegas Abu Kassim.


Mengapa Najib membisu kekejaman Syria?

Muhammad Faizal, 10 Feb 2012

KUALA LUMPUR, 10 Feb: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Idris Ahmad mempertikaikan tindakan kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih mendiamkan diri dalam soal keganasaan yang sedang berlaku di Syria.

"Hari ini kita melihat satu desakan awal rakyat Malaysia berhubung dengan keganasan yang berlaku di Syria.

"Desakan ini merupakan kebencian kita sebagai rakyat Malaysia yang mana keganasan dan pembunuhan yang dilakukan oleh kerajaan Syria di bawah rejim Presiden Bashar Al-Assad telah melanggar hak asasi manusia," jelasnya pada himpunan aman di hadapan Kedutaan Syria, di sini, petang ini sebagai membantah kekejaman rejim Presiden Syria, Bashar Al-Assad membunuh rakyatnya.

Memorandum juga diserahkan kepada wakil kedutaan Syria mendesak agar dihentikan segera keganasan serta Presiden Bashar perlu meletak jawatan.

Beliau berkata, Malaysia salah sebuah negara yang turut berada dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) perlu membuat desakan agar diadakan persidangan khas bagi membincangkan keganasan tersebut.

"Tapi apa yang menghairankan kepada Malaysia sehingga sekarang masih lagi berdiam diri tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keganasan tersebut.

"Sepatutnya sebagai salah sebuah negara yang menganggotai OIC, Malaysia boleh mendesak agar diadakan persidangan khas bagi membincangkan isu tersebut dan ini dapat menyelamat rakyat Syria dari terus menjadi mangsa kepada rejim yang zalim itu," sambungnya.

Tambahnya lagi, keganasan tersebut perlu dihentikan segera dan sebagai sebuah negara yang menghormati hak asasi serta menentang kezaliman desakan agar Bashar Al-Assad akan diteruskan jika keganasan tersebut masih terus berlaku.

Sementara itu Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin juga mempersoalkan kenapa Najib begitu takut untuk mengeluar kenyataan mengutuk keganasan tersebut.

"Kenapa Malaysia masih berdiam diri walaupun telah beribu rakyat Syiria dibunuh tanpa sebab, adakah Najib takut akan mendapat kecaman dari pihak lain dan itu sepatutnya diperjelaskan.

"Ini adalah satu permulaan dan kita akan pastikan himpunan seperti ini akan terus berlaku pada masa akan datang, kenapa kita perlu takut untuk berhimpun kalau apa yang dilakukan di Syria jelas bersifat kejam.

"Saya hari ini mendesak agar Najib mengeluarkan kenyataan beliau samada menyokong tindakan Bashar Al-Assad itu ataupun tidak, rakyat juga ingin tahu pendirian Malaysia dalam soal tersebut," jelasnya lagi.

Sebelum itu perarakan perhimpunan aman itu telah telah disertai lebih kurang 150 orang yang terdiri dari pimpinan parti politik di dalam Pakatan Rakyat dan juga Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Selain itu juga terdapat rakyat Syria yang tinggal di negara ini juga hadir memberi sokongan bantahan tersebut.

Tiada ulasan: