Khamis, 16 Februari 2012

BELANJALAH WANG ZAKAT SEBAGAIMANA KEHENDAK ALLAH...JANGAN NGILAT..NGILAT BERMAKNA KITA@PEKERJA2 PUSAT ZAKAT BERSERTA KUNCU2NYA MENCAMPAK DIRINYA KEDALAM NERAKA JAHANAM...

DEB: Titah Raja Nazrin wajar diberi perhatian

Harakahdaily, 16 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 16 Feb: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyanjung tinggi titah ucapan Raja Muda Perak, Dr Raja Nazrin Shah yang menyelar sesetengah pihak yang tidak amanah dalam menjalankan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sehingga dasar yang baik itu gagal mencapai matlamat untuk membantu orang Melayu dan umat Islam.


“Bagi DPPM, ucapan Dr Raja Nazrin lahir dari keikhlasan hati beliau melihat kegagalan Dasar Ekonomi Baru dalam membantu meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya orang Melayu dan umat Islam di negara ini,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor.

DPPM, katanya merasakan Dr Raja Nazrin Shah sememangnya seorang yang prihatin terhadap nasib dan masa depan rakyat sehingga menjadikan isu pembangunan rakyat dan ekonomi negara dalam ucapan baginda.

Justeru, ujarnya amat bertepatan isu kegagalan DEB diangkat sebagai isu utama untuk diberi perhatian.

Tambahnya, DPPM menganggap titah ucapan Dr Raja Nazrin Shah wajar diberikan perhatian serius oleh kerajaan.

Menurutnya, dalam titah baginda juga menyebut bahawa kajian menunjukkan hanya enam peratus daripada kekayaan individu Melayu yang sempat sampai ke generasi ketiga dan hanya dua peratus sahaja disambungkan ke generasi seterusnya.

Ini, ujarnya menunjukkan ada pihak yang menyalahgunakan DEB untuk kepentingan dirinya mereka, bukan untuk kepentingan orang Melayu seperti niat asalnya.

Katanya lagi, ini juga menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena pada pelaksanaan DEB sejak ia dilancarkan sehingga kini.

Menurutnya, meskipun niat asal penubuhan DEB amat baik tetapi mengapa ia gagal dan tidak menepati matlamat setelah beberapa tahun ia dilaksanakan.

“Mungkinkah amalan rasuah, ketirisan, penyalahgunaan kuasa dan wang oleh segelintir mereka yang berkuasa, pelaksanaan yang lemah, pentadbiran yang tidak cekap, sikap monopoli, amalan kronisme sebagai faktor kegagalan?” tanya beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, yang lebih menghairankan adalah, mengapa orang Melayu pada hari ini masih ramai yang berada di bawah paras kemiskinan dan tidak ramai yang mampu berdaya saing dengan bangsa lain dalam aspek ekonomi dan perniagaan.

Katanya, ramai orang Melayu ketinggalan serta terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu bersaing dengan gergasi perniagaan di negara ini yang dimiliki oleh bangsa lain.

Rakyat juga, tambah beliau merasa musykil kerana meskipun negara ini memiliki aset dan kekayaan yang melimpah ruah namun semakin ramai rakyat terutama orang Melayu hidup merempat di bumi sendiri.

Apa yang pasti, ujarnya lagi kegagalan DEB membuktikan kegagalan kerajaan menguruskan negara selama ini.

“Sudah cukuplah kegagalan ini menjadi indikator bahawa rakyat di negara ini perlu menukar kepada kerajaan yang telus, bersih dan amanah!” katanya.

Aziz Desa berhijrah ke Kelantan

Salmah Mat Husain, 16 Feb 2012
KOTA BHARU, 16 Feb: Jarang orang tidak mengenali siapa Aziz Desa, seorang pengacara yang petah bercakap. Wajahnya sering dilihat di kaca-kaca televisyen. Malah masih lagi boleh disaksikan di TV9.

Namun agak mengejutkan apabila sekarang beliau berkhidmat di Kelantan Trade Centre (KTC), anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO).

Sebelum menyertai TV9, Aziz pernah menjadi Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Junid.

Semalam kenyataan medianya difaks kepada media-media tempatan bagi memaklumkan tugas barunya  di KTC.

“Atas sokongan rakan rakan fb, saya terima cabaran berkhidmat di Kota Bharu. Bermula semalam saya kini adalah ketua pegawai operasi (COO) Kelantan Trade Centre Hotel, Apartment & Convention Sdn Bhd.

“Saya juga masih dalam kontrak dengan TV9 dan akan bersiaran dari masa ke semasa apabila diperlukan. Dari langkawi ke Kota Bharu, selamat pagi, sekadar makluman pemberitahu,” katanya, dipetik dalam facebooknya.

Dalam kenyataan medianya semalam beliau berkata, KTC mensasarkan 76 acara bertaraf nasional dan antarabangsa sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK@12) tahun ini.

Katanya, selain inisiatif sendiri, penganjuran acara sempena TMK@12 akan dibuat dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, agensi kerajaan pusat dan swasta.

Kata beliau KTC mempunyai dewan pameran dan konvensyen seluas 1,200 meter persegi, boleh memuatkan 58 ruang niaga berukuran 3 x 3 meter dan menampung 1,500 tempat duduk.

Sasaran jumlah acara juga sempena memperingati 76 tahun pengisytiharan Bandar Kota Bharu oleh Sultan Muhammad ke-ll pada 1936.

“Antara program yang bakal diadakan Fiesta Kerana Kelapa, Karnival Budaya Iqra’, Fiesta Kanak-Kanak, Pameran Haiwan Peliharaan, Seminar Perubatan dan Rawatan al-Quran,” ujarnya.

Selain itu Pekan Batik, Ekspo Kraftangan, Fantasia Bulan Madu, Ekspo Pengantin Muslim, Ekspo Wakaf Che Yeh, Apresiasi Filem Ketuhanan dan Kemanusiaan dan Karnival Pelancongan Budjet juga akan diperkenalkan.

Ruang niaga yang masih berbaki ditawar kepada sesiapa yang berminat. Maklumat lanjut boleh hubungi talian 09-7471222.

Bagaimana zakat dibelanjakan?

Mohd Syahir Sulaiman, 16 Feb 2012
"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh berbuat kebajikan dan mencegah berbuat kejahatan, dan mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (At-Taubah: 71)

Ada teman yang meminta saya membantu beliau membuat kajian impak yang terhasil daripada instrumen dan program agihan dana zakat kepada golongan asnaf, dalam agenda pembangunan sosio-ekonomi umat Islam di Malaysia. “Mahu dirungkai beberapa kekusutan”, katanya.

Saya tidaklah keberatan untuk menghulur tangan membantu, sekadar diberi tugasan membelek lembaran laporan tahunan beberapa majlis agama dan baitulmal negeri, menghadam angka-angka yang tercatit, dan menelaah beberapa kajian akademik dan empirikal yang telah dijalankan sebelum ini.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada beberapa cendekiawan negara yang bukan sahaja telah mengkaji dan menganalisa impak zakat secara empirikal dengan mengaplikasi indikator gini-coefficent dan indikator-indikator ekonomi lain yang rumit, malah tampil mengemukakan cadangan solusi yang praktikal demi penambahbaikan sistem yang sedia ada.

Ruang penulisan yang terhad ini bukanlah bertujuan untuk membahas hasil penemuan tersebut, cuma sekadar ingin berkongsi beberapa pemerhatian yang boleh dijadikan muhasabah bersama, khususnya kepada tangan yang diberikan tanggungjawab untuk mengurus amanah ummah yang besar ini.

Besar kutipan, besar amanahnya. Umum mengetahui, dana zakat yang terkumpul di Malaysia adalah amat besar nilainya dan sentiasa meningkat dari tahun ke tahun. Ini terhasil daripada peningkatan kesedaran umat Islam terhadap tanggungjawab menunaikan zakat, kaedah pembayaran zakat yang dipermudahkan di samping aktiviti promosi yang dijalankan oleh pihak lembaga zakat.

Saiz dana tersebut bukanlah kecil. Jika digabungkan hasil kutipan zakat di Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Johor, jumlahnya boleh mencecah angka berbilion ringgit.

Sebagai contoh, dana pendapatan terkumpul Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi tahun 2010 mencecah angka RM410 juta, di mana pendapatan dari hasil zakat berjumlah RM280 juta.

Daripada hasil zakat yang bernilai RM280 juta ini, RM186 juta diagihkan terus kepada golongan asnaf manakala RM68 juta dibelanjakan untuk urusan pengurusan, harta modal, projek pembangunan, dan pegangan saham subsidiari.

Nilai RM186 juta agihan oleh MAIWP kepada golongan asnaf ini adalah setara dengan jumlah peruntukan perbelanjaan pengurusan oleh Kerajaan Negeri Perlis di dalam unjuran Bajet 2012 yang berjumlah RM181 juta, sedangkan hasil Kerajaan Negeri Perlis hanya diunjurkan pada nilai RM74 juta.

Ini bermakna, kekuatan ekonomi MAIWP adalah jauh lebih besar daripada kekuatan ekonomi kerajaan negeri Perlis.

Hanya 60% hasil zakat diagih?


"Sesungguhnya sedeqah-sedeqah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang faqir, orang-orang miskin, ‘amil yang mengurusnya, orang muallaf yang dijinakkan hatinya, hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah dan orang-orang musafir (yang terputus) dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang difardhukan oleh Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." (At-Taubah: 60)

Meneliti kembali angka-angka yang dilaporkan oleh MAIWP, kita dapati daripada hasil zakat yang bernilai RM280 juta pada tahun 2010, hanya 66% atau RM186 juta diagihkan terus kepada golongan asnaf manakala 24% atau RM68 juta lagi dibelanjakan untuk urusan pengurusan, harta modal, projek pembangunan, dan pegangan saham subsidiari.

Manakala bagi tahun 2009, nisbah agihan kepada asnaf adalah pada kadar 54% daripada RM248 juta zakat yang dikutip.



Nisbah agihan sekitar 60% juga dapat dilihat di dalam laporan operasi Yayasan Taqwa, sebuah organisasi di bawah naungan MAIWP yang objektif utama penubuhannya adalah untuk menerima dan menguruskan dana peruntukan dari MAIWP, sumbangan-sumbangan individu, kumpulan dan organisasi dari dalam dan luar negara bertujuan untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti kebajikan, sosial dan kemajuan agama Islam.

Memetik Laporan Tahunan MAIWP 2010, “Yayasan Taqwa telah membelanjakan sebanyak RM4.98 juta bagi sumbangan kepada masyarakat Islam iaitu 64% daripada pendapatan yang diterima sebanyak RM7.78 juta.

Bagi belanja pengurusan, Yayasan Taqwa telah membelanjakan sebanyak RM2 juta merangkumi perbelanjaan pentadbiran pejabat dan perbelanjaan program/aktiviti.”




Selain kos pengurusan dan operasi yang agak signifikan, peruntukan besar turut diberi kepada golongan amil yang merupakan sebahagian daripada golongan asnaf.

Meneliti pecahan agihan zakat MAIWP kepada asnaf yang berjumlah RM186 juta pada 2010, 12% atau RM23 juta diagih kepada golongan amil, berbanding 2% atau RM4 juta diagih kepada golongan muallaf.

Laporan Tahunan MAIWP 2010 turut menyatakan nilai pendapatan dari keuntungan pelaburan bagi tahun 2010 adalah sekitar RM5 juta, atau hanya 1% daripada jumlah pendapatan terkumpul MAIWP yang berjumlah RM410 juta.

Apa yang lebih memeranjatkan, tercatit di nota 17 dan nota 27 kepada Lembaran Imbangan (Balance Sheet) MAIWP 2010, MAIWP ada menanggung pinjaman berjumlah RM448,865 di mana sejumlah RM39,368 adalah merupakan pinjaman konvensional sewa-beli yang dikenakan caj pinjaman 5.50%. Ini amat serius dan mendukacitakan.

Pemerhatian ini menuntut kepada nilai amanah dan ketelusan oleh pihak pengurusan, khususnya di pihak atasan.



Berilah zakat kepada mereka

Bukanlah hasrat penulis untuk menafikan kejayaan program-program yang dibuat oleh pihak baitulmal serta justifikasi untuk menampung kos operasi dan pengurusan yang tinggi.

Pastinya, 1001 alasan boleh diberi untuk justifikasi penggunaan dana zakat untuk tujuan pelaburan, kos gaji dan elaun lembaga pengarah dan pegawai, kos kenderaan dan tuntutan perjalanan, kos penyelenggaraan bangunan yang tersergam indah, pembelian dan pemerolehan, serta kos sewaan kanopi dan jamuan untuk majlis dan program yang dianjurkan.

Namun setiap ringgit yang dibelanjakan untuk tujuan ini menuntut kepada akauntabiliti dan integriti
oleh pihak pengurusan yang diamanahkan untuk mengutip dan mengagih hasil zakat, agar maqasid kefardhuan zakat dapat dinatijahkan mengikut piawaian Allah s.w.t.

Seulas saranan untuk merealisasikan maqasid agihan zakat ini, pastinya ia menuntut sinergi dari semua pihak, terutama pihak baitulmal, kerajaan, dan golongan asnaf sendiri.

Pihak baitulmal perlu mengkaji semula nilai dan bentuk agihan zakat agar munasabah dan berimplikasi membinaupaya, sebagaimana yang diungkapkan oleh Saidina Umar r.a.,

“Apabila engkau memberi zakat, kayakanlah mereka”.

Keyakinan pembayar zakat terhadap kejayaan agihan zakat perlu ditingkatkan. Penulis berpendapat, hasil zakat akan meningkat berkali-ganda apabila agihan zakat dilihat telus, diyakini dan diperluas agar tidak ada yang tercicir.

Pihak kerajaan juga sebenarnya mampu mewujudkan budaya ‘berlumba membuat kebajikan’ di kalangan rakyat dengan membuka ruang yang lebih luas untuk meningkatkan dana baitulmal melalui kutipan zakat, sedeqah dan waqaf.

Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan beban kerajaan untuk menampung perbelanjaan dalam aspek kebajikan, pembinaan masjid dan seumpamanya, seterusnya mewujudkan suasana harmoni di antara yang kaya dengan yang miskin.

Berilah zakat kepada mereka, dan berbanggalah kita dengan pengagihannya.

"Apa saja harta rampasan (fai’) yang diberikan Allah kepada RasulNya yang berasal dari penduduk kota maka adalah untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya di kalangan kamu.

"Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka  tinggalkanlah, dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukumanNya
." (Al-Hasyr: 7)

--------------------------
Mohd Syahir Sulaiman adalah Pengarah Institut Polisi Studi, Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau yakin peranan institusi baitulmal akan lebih gemilang di bawah naungan negara berkebajikan.

Tiada ulasan: