Khamis, 9 Februari 2012

HARI KEKASIH BUKAN BUDAYA KITA DAN AJARAN ISLAM...TINGGALKANLAH...HARI PENGAJIAN FARDU AIN...HARI2 ADA...DATANGLAH...WALAUPUN DAH RASA PANDAI...KALAU BODOH MEMANG WAJIB DATANG..NI PATUT PROMOSI..

PAS gesa media tidak promosi Hari Kekasih

Harakahdaily,09 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 9 Feb: PAS Wilayah Persekutuan (WP) berharap semua pihak terutama media-media utama di negara ini tidak memainkan peranan mempromosikan Hari Kekasih atau Valentine’s Day yang biasa disambut pada 14 Februari setiap tahun kerana ia boleh menyumbang kepada gejala keruntuhan akidah dan akhlak khususnya remaja di negara ini.

Ketua Penerangannya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, dalam hal itu, PAS WP ingin memberi ingatan bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwanya berkenaan hukum menyambut Valentine’s Day:

“Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 Nov 2005 telah membincangkan Hukum Orang Islam  Menyambut Perayaan Valentine's Day. Muzakarah berpandangan bahawa  ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.
Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.”

Katanya, dengan gejala sosial yang semakin meningkat seperti pergaulan bebas lelaki dengan perempuan, berzina, bersekedudukan, pelacuran sehingga membawa kepada perlakuan jenayah seperti rogol, buang anak, dan lain-lain lagi, sudah tentu perayaan mengarut seperti Valentine’s Day juga menjadi penyumbang kepada peningkatan kadar gejala sosial yang semakin parah di negara ini.

Tambahan pula, ujarnya dengan kepesatan bandaraya besar seperti Kuala Lumpur yang menjadi pusat kepada kelab-kelab malam, pusat-pusat hiburan, rumah-rumah urut, hotel bajet serta rumah tumpangan, di samping konsert-konsert yang dianjurkan, gejala sosial sudah seakan tidak terkawal.

“PAS WP merasa bimbang dengan semua aktiviti hiburan yang diadakan di negara ini,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Justeru, katanya media tidak sewajarnya menambah rancakkan lagi promosi Hari Kekasih atau Valentine’s Day.

Selain itu, tambahnya PAS WP juga meminta pengusaha-pengusaha restoran, hotel, rumah tumpangan, dan lain-lain tidak mempromosikan hari tersebut dengan pelbagai tawaran menarik seperti diskaun, pakej tertentu, harga promosi dan lain-lain lagi.

Katanya lagi, PAS WP mengingatkan bahawa usaha mempromosi hari tersebut boleh mengundang dosa kerana membantu mempromosikan aktiviti maksiat yang telah dihukumkan haram.

“Akhirnya, PAS WP menasihati remaja dan belia di Wilayah Persekutuan agar menunjukkan akhlak dan tauladan yang baik dalam setiap masa.

“Valentine’s Day’  bukan budaya umat Islam dan jangan jadikan hari tersebut sebagai hari melepas nafsu bersama pasangan masing-masing,” ujarnya.

Fitnah anak: Lim Guan Eng ke SKMM pula

Harakahdaily,09 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 9 Feb: Pegawai Khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap laman-laman web Umno-Online, Pisau.net dan Papa Gomo.
(Lim Guan Eng...kesal anak jadi mangsa)

Ini berikutan tindakan laman ini yang terus-terusan mengacau anak Lim Guan Eng dengan dakwaan yang bukan-bukan melalui blog mereka.

Walaupun sudah terbukti tidak bersalah, anak Ketua Menteri masih lagi dimangsakan dengan sindiran berunsur fitnah, kata Zairil Khir Johari dalam laporannya.

Laporan ini dibuat susulan daripada laporan polis yang telah dibuat oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada 12 Januari 2012.

Mengimbas kembali peristiwa-peristiwa yang berkaitan dengan isu ini, pada bulan Oktober tahun lepas beberapa laman web telah memainkan desas-desus kononnya anak Ketua Menteri Lim Guan Eng telah ditukarkan sekolah gara-gara mencabul kehormatan seorang pelajar perempuan di sekolah lamanya. 

Tambahan pula, laman-laman web tersebut, termasuk laman web rasmi Umno iaitu Umno-Online, telah mendakwa bahawa Ketua Menteri telah membayar RM200,000 kepada pelajar perempuan tersebut sebagai sogokan untuk berdiam.

Ekoran daripada itu, pelbagai pihak telah muncul untuk menyangkal tuduhan-tuduhan tersebut sebagai fitnah yang langsung tidak berasas. 

Misalnya, “pelajar perempuan” yang terbabit, Anya Corke, telah menegaskan bahawa beliau tidak pernah sesekali pun bertemu dengan Ketua Menteri atau anaknya.

Kenyataan Anya telah diikuti dengan pengesahan daripada Pengarah Pelajaran Pulau Pinang Ahmad Tarmizi Kamaruddin bahawa tidak ada sebarang bukti untuk mengaitkan anak Ketua Menteri kepada apa-apa kejadian sedemikian. 

Tambahan pula, pengetua SMJK Heng Ee, iaitu sekolah lama anak Ketua Menteri, juga telah menafikan kejadian itu.

Walaupun macam-macam bukti telah ditampilkan, laman-laman web tersebut masih lagi meneruskan serangan mereka tanpa melaporkan perkara yang sebenar, kata Zairil dalam kenyataannya. 

Sehingga sekarang, katanya, artikel-artikel yang palsu dan fitnah itu masih lagi dipaparkan dalam laman-laman web tersebut.

"Sebagai contoh terbaru, saya memetik daripada artikel Papa Gomo pada 7 Februari 2012 yang bertajuk “Lim Guan Eng Nenen Memang SIAL - Ibrahim Ali”, di mana Papa Gomo telah membuat sindiran berikut:

"Psssttt.. Guan Eng Kaki Nenen, patut anak pun suka Raba Tetek... Memang SIAL”

Adalah jelas di sini bahawa laman-laman web seperti Papa Gomo mempunyai motif jelik dan keji serta sanggup melakukan apa-apa termasuk memainkan sindiran yang bukan sahaja memfitnahkan Ketua Menteri tetapi juga memangsakan seorang kanak-kanak dalam usia persekolahan yang tidak bersalah, dakwa Zairil.

Sehingga hari ini, katanya, tindakan daripada pihak berkuasa masih lagi ditunggu-tunggu. 

Pada 12 Januari 2012, pihak polis telah menghubungi Ketua Menteri dan menasihati supaya beliau membuat laporan polis untuk memudahkan tindakan susulan ke atas pengendali-pengendali laman-laman web berkenaan. 

Malah, Ketua Menteri telah diberitahu bahawa permintaan untuk membuat laporan ini telah datang daripada “pihak atasan”. 

Namun demikian, setakat ini siasatan masih belum lagi menghasilkan sebarang tangkapan, katanya.

"Berikutan ini, saya telah diarahkan untuk membuat aduan kepada SKMM atas perkara ini kerana penerbitan dan penyiaran artikel-artikel palsu dan fitnah oleh Pisau.net, Umno-Online dan juga Papa Gomo merupakan suatu kesalahan di bawah, antara lainnya, Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Saya berharap dan memohon agar pihak SKMM dapat mengambil tindakan siasatan yang segera serta tindakan susulan yang sewajarnya ke atas pihak-pihak tersebut," kata Zairil lagi.

Rakyat Jeli kecewa Mustapa ‘bohongi’ fakta

M Faqih,08 Feb 2012

KOTA BHARU, 8 Feb: Kewibawaan Datuk Seri Mustapa Mohamed kini semakin terjejas apabila secara berterusan mengeluarkan kenyataan tidak berasas dan ‘membohongi’ rakyat Kelantan.

Ketika kempen pilihan raya kecil Dun Manek Urai pada Julai 2009 Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu mendakwa Kelantan tidak berhak ke atas royalti minyak kerana pelantar minyak terletak di kawasan bertindih.

Namun tidak lama selepas itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membayar royalti yang ditukar menjadi wang ehsan dan dibayar melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan.

Malah ketika berucap di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 24 November 2007 Mustapa pernah mengakui turut terbabit menyekat peruntukan pusat kepada Kelantan.

Dan baru-baru ini pula mendakwa pinjaman RM600 juta bagi meningkatkan bekalan air diberi kepada Kelantan secara percuma tanpa perlu dibayar balik.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman mempersoalkan mengapa Ketua Umno Jeli itu sanggup memperjudikan segala kepentingan rakyat demi masa depan politiknya.

“Kenyataan itu merupakan satu pembohongan yang sangat jelas. Saya hairan bagaimana sebagai Pengerusi Umno Kelantan tergamak mengeluarkan kenyataan yang sangat tidak benar.

“Sebagai seorang menteri, amatlah tidak logik jika beliau mendapat maklumat yang salah. Layakkah seorang pembohong ditabal sebagai pemimpin.

“Perlu ingat pinjaman RM600 juta yang diberi itu bukannya percuma, bahkan ia merupakan pinjaman yang perlu dibayar,” katanya di sini.

Pada 5 Febuari lalu Mustapa dilapor mendakwa RM600 juta diberi kepada Kelantan bagi meningkat pengurusan bekalan air diberi secara percuma, namun masih gagal menyelesaikan masalah air.

Menurutnya duit sebanyak itu kalau dipinjam di bank akan dikenakan kadar faedah tujuh peratus, tetapi mereka dapat percuma.

Abdul Latif berkata, tindak tanduk Mustapa secara tidak langsung menjatuhkan imej Umno Kelantan yang bercita-cita mahu merampas negeri ini pada pilihan raya umum ke-13.

Sementara itu dalam perkembangan sama orang ramai di Jeli melahirkan rasa terkejut kenyataan anggota parlimen kawasan berkenaan yang secara terang-terangan disifatkan membohongi rakyat Kelantan.

Seorang penduduk memberitahu mereka tidak teragak-agak membuat laporan polis terhadap pemimpin terbabit kerana cuba menipu rakyat Kelantan dengan fakta salah.

Saya nak pastikan PAS menang, bukan kejar jawatan

Harakahdaily,08 Feb 2012
KOTA BHARU, 8 Feb: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berazam untuk mempastikan PAS menang cemerlang dalam pilihan raya umum akan datang tanpa memikir apakah jawatan yang beliau akan pegang selepas itu.
(Salahudin...saya mahu pastikan PAS menang sahaja)
Beliau yang sampai kini belum pasti akan bertanding di Kubang Kerian atau dipindahkan ke tempat lain sebagaimana yang diura-urakan berkata, beliau tidak pernah mengejar apa-apa jawatan sebagaimana yang diura-urakan.

“Bukan matlamat  saya untuk menjadi Menteri Besar,  yang saya nak adalah untuk melihat PAS menang dalam pilihan raya umum nanti,” katanya.

Salahudin mengulas ura-ura beliau adalah calon Menteri Besar Johor jika Pakatan Rakyat menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Bagi Salahudin, terlalu awal untuk bercakap tentang jawatan MB itu buat masa sekarang kerana ia hanya akan dibincangkan selepas Pakatan menang dalam pilihan raya umum nanti.

Sebuah akhbar harian hari ini menyiarkan berita kononnya Salahudin adalah bakal MB Johor jika Pakatan menang di Johor nanti.

Namun, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, PAS belum membuat sebarang keputusan akhir mengenai calon-calonnya dalam pilihan raya umum akan datang.

“Begitu juga soal siapa yang akan menjadi Menteri Besar Johor belum lagi dibincangkan di kalangan Pakatan Rakyat atau di peringkat pimpinan PAS Pusat.

“Ini kerana, soal siapa yang akan menjadi MB Johor hanya diputuskan setelah pilihan raya selesai dan Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya tersebut,” kata Mustafa dalam kenyataannya hari ini.

Sehubungan itu, katanya, pihak media khasnya Sinar Harian tidak sepatutnya membuat spekulasi siapa bakal menjadi MB Johor sebagaimana laporan mereka hari ini.

“Sehingga kini, kita hanya berbincang soal bagaimana mahu memperkuatkan PAS di Johor dalam pilihan raya umum akan datang dan nama Salahudin hanya disebut sebagai salah seorang calon untuk menjadi pemangkin PAS di Johor,” kata beliau.

Sebagai ahli PAS, Salahuddin memberi laluan dan kepercayaan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan untuk menentukannya kerana beliau tidak berhak tentukan.

Salahudin belum pasti apakah beliau akan kekal di Kubang Keriang atau balik ke Johor sebagaimana yang disebut-sebut media.

"Terpulanglah kepada parti. Saya sedia bertanding di mana-mana kerusi yang ditetapkan nanti,” katanya.

Mujahid teruja dengan forum Yusof Rawa

Aziz Muda ,08 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 8 Feb: Dr Mujahid Yusof Rawa secara jujur mengakui berasa amat teruja dengan inisiatif Penang Institute yang akan mengadakan Forum Legasi Kepimpinan dan Pemikiran Yusof Rawa pada malam esok.

Namun dalam masa yang sama, beliau berusaha menolak tawaran yang dibuat oleh agensi Kerajaan Pulau Pinang itu terhadap beliau agar menjadi salah seorang panel pada seminar tersebut.

Menurut Mujahid, Allahyarham ayahandanya, Yusof Rawa sememangnya diakui pelbagai pihak sebagai tokoh penting yang banyak berjasa bukan sahaja kepada rakyat Pulau Pinang, tetapi juga kepada seluruh rakyat negara ini, malah rantau Nusantara.

Katanya, oleh itu, keperibadian, pemikiran, prinsip hidup dan asas perjuangannya amat perlu ditonjolkan oleh pelbagai pihak untuk dikenali dan dihayati oleh seluruh lapisan rakyat negara ini terutama kepada generasi muda. 

"Sejarah hidup dan perjuangan Allahyarham Haji Yusof Rawa sebenarnya bukan sahaja terhad dalam aspek politik, tetapi juga merangkumi agama, pendidikan, keusahawanan dan perpaduan antara kaum di negara ini. 

"Jadi forum seperti itu amat wajar diadakan oleh pelbagai pihak bagi membolehkan tokoh tersebut dikenali dengan lebih dekat oleh setiap rakyat negara ini bagi dijadikan inspirasi dalam perjuangan," katanya yang juga AJK PAS Pusat ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Penang Institute atau Institut Pulau Pinang yang dahulunya dikenali sebagai Seri kini telah mengambil langkah untuk mengembalikan fungsi Pulau Pinang sebagai hub intelektual Nusantara dengan menganjurkan Forum Intelektual Nusantara. 

Forum tersebut merupakan siri forum awam yang mengetengahkan pandangan alam dan budaya fikir cendekiawan, sasterawan, budayawan dan institusi-institusi kelimuan yang ada kaitan dengan Pulau Pinang dan hubungannya dengan kebudayaan Nusantara secara keseluruhannya. 

Pulau Pinang yang suatu ketika dulu merupakan pusat pertembungan perdagangan, kebudayaan dan keilmuan yang sangat kosmopolitan sifatnya telah banyak mencambahkan benih perubahan dalam masyarakat.

Tidak mahu hanya dibelenggu oleh romantism silam, Penang Institute turut terpangil untuk mengajak seluruh rakyat Pulau Pinang untuk bersama-sama mengembalikan kegemilangan itu kepada kejayaan masa depan rantau Nusantara.

Setelah dua siri forum berlangsung, Penang Institute kini turut mengambil inisiatif menganjurkan Forum Legasi Kepimpinan dan Pemikiran Yusof Rawa pula pada malam esok, 9 Februari, mulai jam 7.30 malam di Auditorium Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. 

Forum yang akan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman itu akan dipengerusikan pengamal media dan penggiat politik, Mohd Hashim, manakala barisan panelnya terdiri daripada Dr Mujahid sendiri, pengarang dan tokoh wartawan, Subky Abdul Latif dan ahli akademik yang juga penyelidik, Prof Madya Dr Fadlullah Jamil. 

Allahyarham Tuan Guru Yusuf Abdullah Ar-Rawi atau lebih dikenali sebagai Tuan Guru Yusof Rawa dilahirkan pada 8 Mei 1922 dan meninggal dunia pada 28 April 2000 yang bukan sahaja pemikir dan ahli politik, malah ahli perniagaan yang dihormati.

Beliau adalah pengasas Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang dan dilantik sebagai Bendahari Kehormat yang pertama dalam pertubuhan tersebut. 

Allahyarham, anak kepada Abdullah Mohamad Noordin ar-Rawa yang banyak menerbitkan kitab-kitab jawi, adalah tokoh gerakan Islam dan bekas Yang Dipertua atau Presiden PAS dan merupakan satu-satunya pemimpin PAS yang memegang kedua-dua jawatan terpenting dalam parti iaitu Presiden dan juga Mursyidul Am. 

Beliau yang dilahirkan di Lebuh Acheh, Pulau Pinang dari kalangan peniaga dan pengusaha percetakan merupakan anak Pulau Pinang yang pertama menjawat jawatan menteri dalam kabinet Malaysia.

Allahyarham bersekolah Melayu Jalan Carnarvon, sekolah menengah di Government English School dan kemudian ke Penang Free School sehingga lulus peringkat Junior Cambridge sebelum ke Mekah. 

Beliau berperanan penting dalam penerbitan majalah al-Islah yang membawa idea-idea progresif pada tahun 1970 dan mengajukan perspektif yang luas terhadap hubungan pendidikan dan konsep kewarganegaraan.

Menurut Mujahid, sebelum menganjurkan forum itu, pihak Penang Institute telah mengadakan perbincangan dengan beliau terlebih dahulu dan sehubungan itu turut menawarkan kepadanya untuk menjadi panel pada forum tersebut. 

"Disebabkan saya adalah anaknya, tentunya tidak kena jika saya yang menjadi anggota panelnya bagi menerangkan tentang jasa-jasa bapa saya sendiri kepada orang ramai. 

"Jadi, saya telah mencadangkan kepada pihak Penang Instutute agar mencari tokoh-tokoh lain sebagai panelnya. Sekiranya hendak dilibatkan saya juga, memadailah jika saya membicarakannya dari aspek kekeluargaan sahaja yang membabitkan antara saya dan ayah saya secara langsung," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar. 

Beliau yang jelas tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya di atas inisiatif tersebut turut merakamkan penghargaan yang tinggi kepada pihak Kerajaan Pulau Pinang dan Penang Instutute kerana berusaha menonjolkan bapanya kepada orang ramai. 

"Tentunya amat rugi jika anak-anak muda terutama yang tinggal di Pulau Pinang tidak mengambil manfaat untuk sama-sama hadir mengikuti forum itu nanti.

"Tambahan pula, panel-panel yang terlibat kesemuanya bukan sekadar rapat dan mengenali Allahyarham secara dekat, malahan juga turut berkemampuan mengupas segala pemikiran Allahyarham dengan jelas dan tepat," katanya. 

Sebelum ini, tambahnya, forum seperti itu pernah dianjurkan oleh pihak Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang, tetapi penganjuran oleh Penang Institute pada malam esok ternyata lebih besar, terbuka dan lebih memudahkan orang ramai mengikutinya. 

Sejajar dengan pengorbanan dan jasa-jasa Allahyarham yang sebegitu besar kepada negeri Pulau Pinang khasnya, beliau serta keluarganya dan beberapa pihak kini sedang mengambil beberapa inisiatif untuk mengabadikan nama bapanya kepada pertubuhan atau pembinaan tertentu. 

Antaranya termasuklah menamakan sebatang jalan di Pulau Pinang dengan nama bapanya dan pembinaan sebuah yayasan yang akan diberi nama Yayasan Yusof Rawa tidak lama lagi. 

Dengan itu diyakini seluruh rakyat Pulau Pinang khasnya dan rakyat Malaysia amnya akan sentiasa mengingati pengorbanan dan perjuangannya yang melepasi sempadan politik dan kaum, bagi dijadikan sumber inspirasi generasi muda ke arah perjuangan yang benar-benar memberi nilai kepada agama dan negara.

Tiada ulasan: