Rabu, 29 Februari 2012

TAK SALAH TAK PERLU GELABAH...KALAU ADA SALAH MEMANGLAH GELABAH..AKHIRAT NANTI BERPELUH2 BAGI ORANG YANG BANYAK DOSA DAN DERHAKA PADA ALLAH SEMASA DIDUNIA

Mahathir tak perlu gelabah, kaitkan orang lain

Harakahdaily, 29 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 29 Feb: Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dinasihat tidak gelabah sehingga menuding jari kepada orang lain berhubung desakan audit dijalankan ke atasnya ekoran kerugian hampir RM100 bilion dana awam di zamannya.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Riduan Mohamad Nor berkata, tindakan gelabah Dr Mahathir itu hanya memperlihatkan diri beliau semakin tersepit dengan desakan itu.

"DPPM merasakan Tun Dr Mahathir berada dalam keadaan terdesak sehingga terpaksa mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Beliau seharusnya bertenang... beliau tidak seharusnya merasa panik dengan cadangan tersebut kerana ia boleh menyelesaikan isu yang berbangkit," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir hari ini yang mahu sebarang siasatan audit berhubung kerugian dana awam semasa pemerintahan 22 tahunnya, mesti juga membabitkan siasatan ke atas semua mereka yang bergelar Tun, atau bekas perdana menteri.

Desakan audit terhadap Dr Mahathir itu sebelum ini dicadangkan penasihat DAP Lim Kit Siang

Dr Mahathir berkata demikian sebagai mengulas desakan pemimpin supremo DAP Lim Kit Siang.

Mengulas lanjut, Riduan berkata kenyataan Dr Mahathir hari ini itu sebagai mengalih pandangan dan cuba mengaitkan pemimpin negara yang pernah dan sedang berada di puncak kuasa supaya mereka juga turut disiasat.

Katanya lagi, ini termasuklah Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai bekas Perdana Menteri serta Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini menjadi Perdana Menteri.

"Datuk Seri Najib adalah anak kepada Tun Abdul Razak, Perdana Menteri yang kedua. Ia seakan memberi mesej bahawa kesemua mereka perlu diaudit dan disiasat secara terperinci kerana turut terbabit dengan dakwaan kerugian dana awam bernilai RM 100 bilion di bawah pemerintahannya.

"Ia juga sebagai suatu peringatan bahawa kesemua mereka juga bermasalah dan perlu disiasat seperti mana beliau," kata Riduan lagi.

Sambil menyokong audit dijalankan terhadap Dr Mahathir, beliau juga menasihatkan bekas perdana menteri itu bersedia dinilai oleh rakyat.

Lagipun kata Riduan, dakwaan terhadap Dr Mahathir itu membabitkan dana rakyat dan negara dan jumlahnya terlalu banyak, iaitu RM100 bilion yang boleh menyebabkan negara menjadi muflis dan rakyat papa kedana.

"Tun Dr Mahathir tidak perlu risau dengan cadangan ini dan pelaksanaannya nanti sekiranya beliau benar tidak bersalah," tegasnya.

Selesai isu Felda atau hadapi himpunan rakyat

Harakahdaily, 29 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 29 Feb: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta kerajaan agar menyelesaikan segera isu Felda sekiranya tidak mahu menghadapi tentangan paling hebat dalam sejarah politik negara.
“Ini kerana Felda adalah isu orang Melayu dan pengundi Felda semenjak dahuku sehinga sekarang merupakan ‘deposit simpanan tetap’ Umno BN, justeru itu mereka perlu menangani isu ini dengan cermat dan berhati-hati,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar).

Namun demikian, katanya dengan polemik yang berlaku khususnya membabitkan pelantikan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda ia menggusarkan banyak pihak.

Katanya, warga dalaman Felda meluahkan rasa tidak puas hati mereka ekoran pelantikan itu kerana membelakangkan suara warga Felda sendiri sementara Isa Samad seakan suatu bayangan yang mengerikan buat warga Felda.

Selain itu, ujarnya lagi isu penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) di Bursa Malaysia turut mengundang kemarahan banyak pihak khususnya warga felda.

Menurutnya, ramai beranggapan isu itu bakal menggadaikan tanah peneroka Felda seluruh negara.

Katanya, pelbagai bantahan, rundingan, memorandum dibuat namun kerajaan masih tetap berdegil meneruskan hasratnya.

Justeru, ujarnya DPPM mengingatkan jika Perdana Menteri tidak mampu menyelesaikan kemelut dalaman Felda dalam masa yang singkat, tidak mustahil himpunan sebesar Himpunan Hijau 2.0 atau lebih besar dari itu akan dibuat.

“Sekiranya Himpunan Hijau 2.0 diadakan kerana ianya membabitkan penduduk di kawasan Kuantan, Pahang, isu Felda pula amat menyeluruh dan melibatkan 112,635 peneroka divseluruh negara dengan 800,000 daripadanya merupakan generasi kedua dan ketiga,” katanya kepada Harakahdaily.

Felda pula, katanya memiliki 317 tanah rancangan dan memiliki keluasan 360,000 hektar tanah di seluruh negara.

“Ini bererti kepentingan Felda dimiliki oleh ratusan ribu rakyat yang secara khususnya mereka ini adalah orang Melayu,” katanya.

Oleh itu, katanya DPPM menasihatkan kerajaan supaya menangani isu Felda dengan bersungguh-sungguh dengan mengambil kira pandangan rakyat umum.

Tambahnya, kerajaan tidak boleh silap percaturan, kerana ia melibatkan masa depan rakyat, lebih dari itu, ia mungkin menjadi noktah terakhir buat Umno BN berkuasa di negara ini.

Masalah Azizan, demokrasi subur dalam PAS

Subky Latif, 29 Feb 2012
SYUKUR Dato Seri Azizan Razak sebagai Menteri Besar menangguhkan angkat sumpah dua Exco Kedah yang belum bersedia menyambung khidmatnya setahun lagi. Beliau menangguhnya seminggu lagi sama ada kedua Exco itu sedia menyambung khidmat atau berundur.

Beliau tidak segera menggantikan dengan orang lain.

Tentunya Ustaz Azizan menggunakan demokrasi yang ada dalam partinya mendengar pandangan dan nasihat pihak lain antaranya PAS Pusat bagi menangani perkembangan demokrasi PAS di Kedah.

Apa pun perkembangan itu mengejutkan semua pihak apabila berlaku di saat PRU 13 sudah di ambang – mungkin esok atau lusa atau tahun depan. Tentulah semuanya  bertanya apakah ia satu krisis atau sekadar memenuhi kehendak dan amalan demokrasi.

Dalam demokrasi semua orang menerima perlantikan, boleh menolak, boleh berundur, bersedia ditamatkan perkhidmatan, setuju disambung perkhidmatan, boleh menyatakan tidak setuju pada kerajaan dan boleh tidak bersetuju dengan Menteri Besar.

Sejak menjadi Menteri  Besar tahun 2008 tidak pernah menangguh angkat sumpah mana-mana Exco dan tidak ada yang minta tangguh perlantikan perkhidmatannya. Exco  yang ditangguhkan angkat sumpahnya itu baru beberapa bulan diangkat atau diangkat semula sudah jadi Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah oleh Ustaz Azizan.

Bukan Ustaz Hadi Awang atau Mursyidul Am minta mereka dijadikan Exco dan Timbalan Pesuruhjaya PAS. Azizan menggunakan demokrasi melantik mereka.

Orang tidak mahu mendengar jika perkembangan itu benda biasa dan bukan satu krisis dalam bentuk apa jua. UMNO tentunya syok walau pun ia terkejut kerana Azizan dapat mengawal parti sejak menggantikan Ustaz Fadzil Noor sebagai Pesuruhjaya hingga dapat membentuk kerajaan dan dapat mengawal kerajaan dengan baik.

Penyokong Pakatan Rakyat dari jauh tentu cemas dengan kejadian itu, kerana kalau ia krisis, ia boleh mengurangkan peluang untuk menyambung kemenangan.

Umum berpendapat dengan gaya pimpinan dan pentadbiran Azizan, PAS dan Pakatan payah dikalahkan oleh UMNO, tetapi boleh jatuh oleh masalah PAS sendiri. Jika kerajaannya tumbang bukan kerana UMNO kuat dan berada pada jalan yang betul, tetapi kerana kejutan amalan demokrasi yang terbuka bebas dalam PAS.

Demokrasi yang ada dalam UMNO menyebabkan ahli UMNO takut kepada UMNO dan takut kepada pemimpin UMNO. Sekali pun mereka cah keting pemimpin-pemimpin mereka, tetapi ia dibaut diam-diam di belakang. Mereka tidak berani mengata UMNO dan pemimpin di kedai kopi atau berterangan.

Mungkin kerana takut dicantas dan amat malang bagi ahli UMNO kalau tidak termasuk dalam senarai orang-orang pemimpin parti.

Orang PAS tidak takut pada PAS dan tidak takut pada pemimpin. Mereka takut pada Allah saja. Tetapi mereka hormat parti dan hormat pemimpin. Demokrasi yang mereka faham disesuaikan dengan ajaran syura mereka digalakkan menegur apa yang dirasakan tidak tepat, dan membisu terhadap ketempangan adalah satu sikap salah dan tidak jujur.

Dalam suasana keterbukaan dan amalan demokrasi yang bebas itu orang PAS merasa bebas untuk memberi pandangan kedua tentang pentadbiran dan kepimpinan pemimpinnya. Orang kecil bebas bercakap tentang kerajaan, parti dan pimpinan sesuai dengan kedudukannya di kedai kopi dan sesama mereka.

Yang besar seperti Timbalan Pesuruhjaya di samping ada pandangannya yang tersendiri tentang perkara-perkara tentu bebas memutuskan untuk tidak menyambung perkhidmatan dalam kerajaan seperti yang dibenarkan oleh demokrasi dan politik terbuka.

Dua anggota Exco itu bertindak mengikut apa yang dibenarkan semangat perlembagaan dan oleh demokrasi. Cuma pimpinan pusat merasa perlu campur tangan. Apa jua keputusan seperti berundur dari Exco boleh ditimbang semula dan apa juga perbezaan pandangan sesama sendiri dibenarkan oleh demokrasi untuk diselesaikan secara perbincangan.

Azizan bersetuju menangguhkan angkat sumpah semula dua Exco itu kerana dia mahu semua ahli Exco berkhidmat hingga penggal sekarang tamat iaitu apabila DUN dibubarkan bagi pilihan raya baru. Seluruh ahli PAS Kedah yang susah payah menegakkan kerajaannya sekarang dan yang pertama baginya tidak mahu kejadian itu menyebabkan ia tidak dapat menyambung kemenangan.

Sejak jadi Menteri Besar inilah ujian besar baginya. Dia diperhatikan bagaimana dia dapat menggunakan kebijaksanaannya menggagalkan UMNO mendapat manfaat atas isu itu.

The Star tidak hirau sensitiviti umat Islam

Harakahdaily, 29 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 29 Feb: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) membantah keras penyiaran gambar artis Amerika Syarikat, Erykah Badu di akhbar The Star yang secara jelas tidak langsung menghiraukan sensitiviti umat Islam di negara ini.
“Sehubungan dengan itu, PKPIM melihat bahawa isu ini sangat berkait rapat mengenai kebebasan media-media yang semakin hari meracuni pemikiran golongan pelajar terutamanya dalam pembentukan pemikiran dan pembacaan yang negatif,” kata setiausaha agungnya, Mohd Shazni Abdullah (gambar).

Katanya, PKPIM khuatir jika perkara itu tidak dibendung dari awal secara serius akan menyebabkan wabak itu timbul lagi pada masa akan datang.

Beliau menambah, PKPIM melihat bahawa kenyataan maaf yang dikeluarkan sebelum itu sememangnya tidak cukup untuk sekadar melepaskan batuk di tangga.

Menurutnya, merujuk kepada artikel juadah berbuka puasa yang juga sebelum ini dikeluarkan oleh The Star, mereka seolah-olah cuba memulakan permainan mereka.

Katanya lagi, walaupun pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mendapatkan keterangan, tetapi dengan hanya menyiarkan kenyataan maaf sudah cukup untuk membisukan umat Islam di Malaysia.

Akibatnya, tambah beliau mereka sekali lagi berani mencuba untuk memaparkan gambar Erykah Badu yang bertatoo dengan kalimah Allah di dadanya dan meminta maaf buat kali kedua.

Justeru, ujarnya PKPIM sekali lagi menegaskan bahawa pembentukan generasi pada masa hadapan perlu didasari dengan ilmu-ilmu pengetahuan dan pemahaman yang jelas tentang kefahaman Islam.

“Kita tidak mahu pelapis pada hari ini sering dibaja dengan bahan-bahan bacaan umum yang bersifat tidak langsung mendidik pemikiran yang sihat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pembinaan budaya kefahaman Islam yang  sering dilakukan pada hari ini kadang kala diruntuhkan juga oleh pelbagai pihak dan anehnya  mendapat sokongan luar biasa pihak berwajib.

Oleh itu, tegasnya PKPIM mendesak agar tindakan yang sewajarnya perlu diambil agar perkara itu tidak berulang lagi.

“Semoga ia menjadi pengajaran kepada semua golongan yang berada di arus perdana agar mereka peka dan bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dikeluarkan,” ujarnya.

Abim gesa henti keganasan politik

Harakahdaily, 29 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 29 Feb: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) ingin melahirkan kesal dan kecewa dengan beberapa insiden keganasan politik yang berlaku semenjak kebelakangan ini.


Presidennya, Amidi Abd Manan berkata, berdasarkan dari pengamatan pihak Abim, gejala keganasan politik itu tampak semakin menggejala terutama sekali dalam suasana teka-teki tarikh Pilihanraya Umum ke-13 yang semakin rancak diperkatakan.

“Insiden-insiden bermotif politik semakin kerap berlaku kebelakangan ini seperti mengganggu ceramah dan penerangan politik, mengakibatkan kecederaan fizikal dan kemusnahan harta benda, serta memecah masuk premis dan rumah tokoh politik, telah menyorot perhatian dan mencetuskan kebimbangan para pengamat politik serta rakyat secara umumnya,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Ini, katanya jelas menunjukkan ketidakmatangan budaya politik di peringkat akar umbi dan keluhuran demokrasi.

Beliau berkata, tambah mendukacitakan perkembangan itu terjadi ketika negara sedang menyaksikan keterbukaan wacana politik di kalangan para pemimpin serta parti-parti politik di negara ini.

Menruutnya, insiden-insiden keganasan politik yang berlaku kebelakangan ini seharusnya menyedarkan para pemimpin politik bahawa para pendukung politik di peringkat akar perlu dididik serta dilatih, untuk mengamalkan budaya politik terbuka serta matang.

Dalam erti kata lain, ujarnya gagasan serta idealisme politik yang sering dicanangkan oleh para pemimpin politik tidak ubah sebagai retorik kosong semata-mata sementelahan amalan politik akar umbi terus-terusan dizahirkan menerusi kebobrokan akhlak, gejala fitnah memfitnah yang mengaibkan seteru politik, keganasan, caci maki dan ugutan.

Justeru, katanya Abim menyeru pimpinan politik supaya mendidik serta mengawal perilaku serta akhlak tindak tanduk politik para penyokong masing-masing agar menjunjung tinggi prinsip Kedaulatan Undang-undang sepertimana yang digariskan dalam Rukun Negara.

Beliau menambah, selain integriti kepimpinan politik, amalan demokrasi yang positif turut menekankan peri pentingnya budaya kepengikutan yang bersandarkan nilai-nilai moral dan keagamaan yang menghormati tidak sahaja kawan tetapi juga lawan.

“Abim berharap agar insiden-insiden ini tidak berulang di masa hadapan taktala negara sedang meniti detik-detik getir menjelang Pilihanraya Umum Ke-13.

“Kita tidak mahu insiden-insiden keganasan politik yang sering berlaku di luar Negara menggejala lantas mencemarkan kestabilan, keamanan dan keharmonian negara kita,” katanya lagi.

Justeru, tambah beliau Abim menggesa agar pihak berwajib memelihara hak-hak bersuara serta berhimpun seperti yang termaktub di dalam perlembagaan persekutuan serta mengambil tindakan keras terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan keganasan politik secara adil dan tanpa memilih bulu.

Sesungguhnya, kata beliau rakyat sudah jelik dengan amalan politik ‘matlamat menghalalkan cara’ yang semakin berleluasa dan menyeru semua pihak memainkan peranan untuk membawa rakyat kembali  berpegang kepada prinsip ‘Negara Barakah’ yang menjunjung tinggi prinsip, nilai akhlaq serta etika dan moral.

Indeks kemiskinan Kelantan 4.8, Sabah 19.2

Aslani M, 29 Feb 2012

KOTA BHARU, 29 Feb: Laporan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri menjelaskan indeks kemiskinan di Kelantan 4.8 iaitu lebih rendah berbanding Perlis (6.0), Kedah (5.3) dan Sarawak (5.3).

Bahkan jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan Sabah yang mencatat paling tinggi iaitu 19.2.

Laporan itu berdasar Jadual 6, Insiden Kemiskinan Mengikut Etnik, Strata dan Negeri Malaysia 1970-2009.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman (gambar) berkata, sekiranya dibuat perbandingan, nyata sekali Kelantan bukannya negeri termiskin.

“Apakah Perdana Menteri tidak diberi maklumat yang betul sedangkan Unit Perancang Ekonomi berada di bawah dagunya sendiri melaporkan sebaliknya.

“Atau sememangnya Dato’ Seri Najib sengaja mengundang kemarahan rakyat Kelantan dengan melontarkan penghinaan sebelum ini,” katanya di sini.

Ketika berucap merasmikan Mini Estet Sejahtera di Kampung Nala, Lahad Datu di Sabah pada 18 Februari lalu Perdana Menteri menyifatkan Kelantan sebagai negeri yang termiskin di Malaysia.

Abdul Latif yang juga Adun Mengkebang berkata, Pengarah Sektor Pembangunan Manusia Bank Dunia (Asia Timur dan Pasifik), Emmanuel Jimenez turut mengesahkan Sabah merupakan negeri termiskin di Malaysia.

Katanya, kenyataan itu dibuat berdasar kepada kajian yang dibuat dan pada pengamatannya Sabah dijangka terus kekal sedemikian dalam tempoh agak lama berdasar perkembangan ekonominya sekarang.

Menurut beliau fakta tersebut bukan bertujuan menghina Sabah, sebaliknya pelbagai masalah melanda negeri itu termasuk kebanjiran warga asing di bawah kerajaan BN sekarang.

Selain itu skandal pemberian kad pengenalan dikatakan begitu berleluasa sekali.

“Rakyat Kelantan tidak boleh menerima penghinaan seorang Perdana Menteri yang mengeluarkan kenyataan tanpa berasaskan kepada fakta.

“Apakah lawatan Datuk Seri Najib ke Kelantan pada 2 Mac ini cuba mengulangi penghinaan serupa,” katanya.

Menurutnya tidak wajar sama sekali seorang Perdana Menteri melontarkan penghinaan sebegini kepada sebuah negeri yang termaktub dalam perlembagaan berada di bawah persekutuan Malaysia.

Kata Abdul Latif juga kerajaan BN meninggalkan pentadbiran Kelantan pada 1990 dengan hutang sebanyak RM700 juta. Selain itu dinafikan pelbagai hak termasuk royalti minyak.

“Kami menuntut agar Perdana Menteri menarik balik kenyataannya sebelum ini dan memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Kelantan di atas penghinaan tersebut,” ujarnya.

MP Sabak Bernam bersalah buat tuntutan palsu

Muhammad Faizal, 29 Feb 2012
SHAH ALAM, 29 Feb: Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Abdul Rahman Bakri (gambar) didapati bersalah kerana membuat lapan tuntutan palsu berjumlah RM80,000.

Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Azhaniz Teh Azman Teh membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan.

Bagaimanapun hakim akan menjatuhkan hukuman jam 11 pagi esok.

Abdul Rahman dituduh mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Beliau dituduh membuat tuntutan sebanyak RM10,000 setiap satu di antara 21 Januari dan 4 Februari 2008 ketika menjadi Adun Sungai Ayer Tawar.

Antara tuntutan yang dinyatakan ialah membeli hadiah dan cenderamata serta penganjuran jamuan Program Motivasi Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili beliau.


Beliau juga didakwa membuat tuntutan menggunakan butiran palsu mengenai Program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga KRT di DUN Sungai Ayer Tawar, Program Forum Perdana Peringkat Mukim Bagan Nakhoda Omar, program mesra rakyat dan Hari Keluarga Guru-guru KEMAS serta Program Mesra Rakyat dan sambutan Maulud Nabi.



Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa manakala peguam Kamarul Hisham Kamaruddin mewakili Abdul Rahman.

Mahkamah ditangguhkan pada jam 3.40 petang ini.

Tiada ulasan: