Golongan rasis bukan kuasa ke-3
Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com, | 09 Feb 2012 |
Ada beberapa pihak mulai bercakap mengenai ‘kuasa ke-3’ dan peranannya dalam menentukan keputusan PRU Ke-13 nanti.
Pihak ini kelihatannya ada yang keliru dengan konsep ‘kuasa ke-3’ ini ataupun untuk pertama kali menyebut mengenai kewujudan ‘kuasa ke-tiga’ ini. Kata-kata ini mulai popular dalam waktu kebelakangan ini, terutama menjelang PRU Ke-13 nanti.
Ada pihak yang mendakwa bahawa oleh kerana ia tidak berpihak kepada parti yang memerintah mahupun parti pembangkang, lalu mendakwa pihaknya adalah ‘kuasa ke-3’ yang digambarkan sebagai kuasa penentu keputusan PRU tersebut.
Sebenarnya ‘kuasa ke-3’ diilhamkan atau dicetuskan oleh civil society, atau masyarakat sivil iaitu manyarakat yang diasosiasikan dengan masyarakat yang tinggi tamadunnya, menjunjung demokrasi, kebebasan dan hak asasi manusia, menolak fahaman perkauman, pemahaman agama yang sempit dan juga menolak nilai-nilai feudal yang menyebabkan fanatisme, diskriminasi dan seumpamanya.
Ada yang mengatakan konotasi ‘masyarakat sivil’ ini dicetuskan oleh Barat, justru Barat sangat diwar-warakan sebagai bumi yang sangat subur demokrasi dan kebebasan manusia.
Namun begitu, kalau kita menyedari bahawa konep masyarakat sivil ini ada digambarkan oleh Ibnu Khaldun, ahli sains sosial Islam yang tersohor itu dalam dalam kitabnya ‘Muqaddimah Ibnu Khaldun’ dan beberapa kitabnya yang lain.
Beliau tidak menyebut akan istilah ‘masyarakat sivil’, tetapi ia menggambarkan sebagai masyarakat madani yang di dalamnya wujud keluhuran undang-undang, menjunjung martabat ilmu, terpeliharannya martabat insan dan hak-haknya dalam batas yang dibenarkan oleh syara’.
Konsep masyarakat madani yang digambarkan oleh Ibnu Khaldun tidak lansung menjunjung fahaman fanatik perkauman dan agama, bahkan ia adalah sebuah masyarakat yang sangat berbuka, toleransi dan menghargai pelbagai idea dan pandangan. Namun ia tunduk kepada syariat Islam dengan segala tuntutannya.
Oleh kerana demikian keadaannnya – baik dari pandangan Barat mengenai masyarakat sivil, mahupun pandangan Islam mengenai masyarakat madani - sama sekali tidak memberi tempat kepada golongan rasis, atau panatik perkauman dan fahaman agama yang sempit.
Oleh itu ‘the third force’ atau ‘kuasa ketiga’ sama sekali menolak golongan perkauman dan fahaman agama yang sempit. Malah Nabi s.a.w. sendiri memberi ingatan jauh lebih awal dalam hadis sohehnya bahawa, “Bukan dari golonganku mereka yang menyeru kepada perkauman”. Tentu ada sebab yang sangat jelas mengapa Islam menolak fahaman perkauman itu sejak dulu lagi.
Berdasarkan pengertian ini semua, nyatalah bahawa golongan yang bergelut dengan fahaman perkauman ini sama sekali tidak boleh dipanggil sebagai ‘the third force’. Oleh itu, jika ada pihak yang masih bersungguh-sungguh – hingga parau suaranya meneriakkan bahawa pihaknya adalah ‘kuasa ketiga’ maka dakwaan itu adalah palsu semata-mata.
Dalam konteks Malaysia yang akan mengadakan PRU Ke-13 bila-bila masa sekarang, rakyat sewajarnya jangan keliru dengan seruan ini. Ia hanya seruan atau pandangan yang mengelirukan untuk mempengaruhi rakyat berdasarkan prejudice, kebencian, tantangan terhadap pihak yang tidak sehaluan dengannya.
Dalam situasi sekarang, boleh diduga akan muncul pelbagai golongan atau pihak yang akan tampil memberikan pandangan parti mana atau siapa tokoh yang sewajarnya dipilih oleh pengundi nanti.
Mereka ini, sesetengahnya datang dari golongan intelektual, pelajar universiti, ngo-ngo yang prihatin terhadap situasi yang ada sekarang. Ini seiringi dengan demokrasi dan kebebasan yang ada.
Namun dalam keadaan yang semikian, saya yakin para pengundi akan menolak mana-mana ngo atau orang perseorangan yang beriya-iya mendakwa sebagai ‘kuasa ketiga’ yang kononnya mampu untuk menentukan nisbah aliran pengundian, pada hal di antara mereka ada yang lantang meneriakkan faham perkauman dan pemahaman agama yang sempit.
Saya yakin hanya ngo dan pihak yang benar-benar berjuang untuk kebebasan dan hak-hak rakyat, prihatin dengan apa yang berlaku kepada negara, menentang rasuah dan penyelewengan, bukan perkauman dan fahaman sempit agama, yang wajar dianggap sebagai ‘kuasa ketiga’ dan yang boleh dipercayai oleh pengundi.
Golongan bukan perkauman sempit ini diyakini akan mengambil peranan penting, terutama menjelang PRU Ke-13 nanti dan mampu mempengaruhi rakyat untuk membuat perubahan.
Sewajarnya kita mengimbau kembali peristiwa Perhimpunan Bersih 2.0 di Ibu Negara tahun lalu, di mana pada pendapat saya, ia adalah cetusan kebangkitan masyarakat sivil, bukan didorong oleh sentimen parti politik atau sebagainya. Mereka bangkit untuk menuntut sebuah pilihan raya bersih dan demokratik.
Pesertanya bukan sekedar pendukung parti politik tertentu, tetapi pelbagai golongan – buruh, kalangan profesional, cendekiawan, mahasiwa, artis, malah Sasterawan Negara, A. Samad Said, hingga kasutnya terpelanting ketika bersama rakyat diburu oleh gas pemedih mata.
Tidak ada elemen perkauman dan fahaman agama yang sempit di situ walaupun ada pihak tertentu memberikan pandangan negatife, dengan menuduh kononnya ada elemen perkauman dan agama di situ. Tudahan ini tidak benar sama sekali. Ternyata Bersih 2.0 itu adalah bersih dan tulin dari masyarakat sivil yang mahukan perubahan.
Dalam hubungan ini golongan yang benar-benar tulin, yang boleh dipanggil ‘the third force’, ialah mereka yang tidak perkauman dan fahaman sempit agama, juga tidak berkepentingan dan sebagainya. Mereka akan mengambil peranan penting menjelang PRU Ke-13.
‘Kuasa ketiga’ yang tulin inilah yang benar-benar menawarakan sebuah perjuangan untuk kebebasan, demokrasi, keluhuran undang-undang, pro-rakyat, anti rasuah dan penyelewengan dan sebagainya.
Pada akhirnya, rakyat Malaysia berpeluang memilih calon terbaik dari kalangan individu terbaik dan dari parti terbaik yang mereka wakili.
Maulidur-Rasul: Nabi sebagai contoh kepimpinan
09 Feb 2012 |
Allah berfirman, maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)” (Surah Al-Ahzab ayat 21).
Bulan ini bulan Rabiul Awal, bulan Maulidur-Rasul, bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW. Maka setiap 12 Rabiul Awal akan disambut dan diingati kelahiran baginda.
Sebagaimana yang kita yakin, Nabi Muhammad adalah pembawa agama Islam. Baginda mengajar kita segala ajaran agama. Nabi meminta kita sebagai umatnya agar terus berpegang teguh kepada dua perkara, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.
Al-Quran pula diturunkan kepada Nabi dan baginda menyampaikan kepada kita semua kandungan Al-Quran sebagai panduan untyuk semua umat manusia. Namun sekarang Nabi telah meninggalkan kita sudah lebih 1400 tahun. Sekarang yang ada adalah sunnahnya. Justeru Nabi tinggalkan kita Al-Quran dan As-Sunnah.
Selain itu Nabi juga meninggalkan keturunannya serta orang-orang yang beriman. Apa yang penting, Al-Quran dan As-Sunnah hendaklah menjadi ikutan bagi memastikan kita termasuk ke dalam kumpulan orang-orang yang beriman.
Justeru Al-Quran adalah petunjuk dan panduan bagi menjamin hidup kita semua tidak terkeluar daripada apa yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW. Sementara As-Sunnah pula adalah apa yang dicontohkan oleh Nabi untuk kita semua ikuti. Kerana Nabi merupakan pemimpin kita dan contoh kepimpinan di sepanjang zaman.
Atas nilai mencontohi kepimpinan Nabi itu, maka setiap kita adalah pemimpin dan sebagai pemimpin seharusnya kita mampu menzahirkan kepimpinan yang boleh menjadi contoh. Malah, paling baik apabila seorang pemimpin itu sendiri berani berkata, aku ni mencontohi Nabi Muhammad SAW.
Lebib-lebih lagi bagi pemimpin dan perjuang Islam, kita kena mengaku bahawa contoh kepimpinan kita ialah Nabi Muhammad SAW. Justeru atas sebab mencontohi Nabi, kita hendaklah melengkap diri dengan ilmu-ilmu Islam dan mengamalkan ilmu itu, agar kita menjadi pemimpin yang berilmu dan berakhlak serupa dengan kealiman dan kemuliaan Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin ummah.
Semoga sambutan Maulidur-Rasul bagi tahun 1433 Hijriah kali ini bakal merahmatkan kita semua, di samping mendapat keberkatan Allah SWT jua di sepanjang masa. Mudah-mudahan di akhirat nanti kita termasuk dalam kalangan orang-orang yang mendapat syafaat Nabi Muhammad SAW dan keredahaan Allah SWT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan