Sabtu, 11 Februari 2012

UMAT ISLAM MEMANG DILARANG MENYAMBUT HARI VALENTINE...SESUAI DENGAN HADIS AKHIR ZAMAN..AWAS..NI PERANGKAP SYAITAN SERTA KUNCU2NYA...

MB: KSSB dipantau SPRM, TI sejak awal

Harakahdaily, 11 Feb 2012

KUALA LUMPUR, 11 Feb: Bagi memastikan syarikat Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) yang menjalankan operasi pasir diuruskan secara telus dan bertanggungjawab, kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat terlebih dahulu telah mengambil langkah perlu seawal memegang pemerintahan negeri.

Antara inisiatif itu kata Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim termasuklah memberi kebenaran kepada pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masuk secara bebas ke pejabat KSSB sejak 2009 untuk menjalankan siasatan sekiranya perlu.

“Ketika KSSB dikritik pada 2009, saya telah mengadakan perjumpaan dengan pegawai-pegawai kanan SPRM  diketuai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Sutinah Sultan dan menawarkan mereka untuk menempatkan pegawai-pegawai di pejabat KSSB.

“SPRM menerima menerima tawaran ini dan sejak itu pegawai dan kakitangan SPRM bebas keluar masuk ke pejabat KSSB,” katanya semalam ketika mengulas dakwaan rasuah melibatkan operasi pasir di Selangor yang disiarkan di sebuah laman blog.

Dipantau Transparency International

Menurut Khalid lagi, semua transaksi perniagaan pasir di Selangor dipantau Transparency International (TI) dan dua pengarah bebas badan itu juga dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah KSSB sejak tahun lalu.

“Kita meminta Transparency International mencalonkan dua nama untuk dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah KSSB kerana kita berpendapat, sekiranya lantikan dibuat oleh kerajaan negeri, individu berkenaan mungkin tidak berlaku bebas.

“Transparency International telah melantik Chong Seng Gee dan Sabtu Md Ali untuk menduduki jawatan Ahli Lembaga Pengarah KSSB sejak tahun lalu,” katanya sambil menambah, KSSB juga diaudit setiap suku tahun oleh juruaudit bebas.

Menteri Besar berkata beliau tidak akan menghalang sesiapa yang ingin memberi maklumat mengenai rasuah dan salah guna kuasa dalam pentadbiran Kerajaan Negeri dan anak-anak syarikat.

“Kita bersedia menerima maklumat daripada orang ramai untuk membantu Kerajaan Negeri dan anak syarikat supaya  lebih telus dan bertanggungjawab. Kita serius membanteras rasuah dan kerana itu kita telah mengambil langkah-langkah tertentu sejak beberapa tahun lalu.

Suburkan dialog dan debat intelektual

Wan Mohamad Rasyadan,
Rakyat pada hari ini mempunyai selera politik yang berbeza berbanding dahulu. Mereka lebih cenderung menilai agenda yang ditawarkan oleh parti-parti politik dan seterunya memilih parti yang mampu memberi perkhidmatan yang terbaik kepada mereka.
Mereka bukan lagi taasub kepada satu parti politik, hasilnya, setiap parti politik berusaha keras merencanakan agenda yang dibawa bagi memastikan persepsi positif pengundi sentiasa konsisten terhadap mereka.

Political will (keazaman politik) bagi sesebuah parti politik menjadi satu perkara yang penting bagi rakyat menilai kesungguhan parti politik membawa agenda yang telah direncanakan iaitu bukan sekadar omongan kosong, ia perlu direalisasikan.

Salah satu usaha yang mesti diambil perhatian bagi memenuhi tuntutan budaya politik baru ini ialah dengan menyuburkan dialog dan debat intelektual secara terbuka tanpa ada manipulasi dari pihak tertentu dari sudut maklumat. Ini sangat penting bagi memastikan rakyat mendapat sumber maklumat yang segar dan telus.

Bukanlah budaya baru

Dialog dan debat intelektual bukanlah sesuatu yang baru di dunia. Mungkin diMalaysia ia agak kurang popular, kerana adanya sikap ketidak terbukaan parti politik dalam menganjurkan dialog dan debat intelektual, dan juga ketelusan media arus perdana dalam menyiarkan debat dan dialog tersebut.

Jika kita menyoroti sejarah, bagaimana kisah nabi Musa a.s. ketika berhadapan dengan puluhan ribu ahli sihir yang dikumpulkan oleh Firaun untuk mengalahkan baginda. Walaupun dari sudut keadilan boleh dipertikaikan kerana puluhan ribu ahli sihir melawan seorang nabi, akan tetapi perkara yang menarik ialah pertandingan ini secara terbuka dengan kehadiran pembesar negara dan rakyat jelata dari seluruh Mesir. Penonton dapat menilai secara langsung pihak yang benar dan pihak yang batil.

Kita juga masih ingat bagaimana John McCain berhadapan dengan Obama dalam Final US Presidential Debate. Ketenangan yang dibawa oleh Obama dan cemasnya McCain telah memberikan satu klu kepada pengundi, siapakah yang sebenarnya layak dipilih sebagai presiden di samping keyakinan Obama dalam menyampaikan agenda yang mahu dibawa untuk membangunkan Amerika.

Perlu disuburkan

Harga petrol yang dijadikan isu perdebatan antara Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan Datuk Ahmad Shabery Cheek cukup memberi impak yang besar kepada rakyat. Dengan jelas dan telus rakyat dapat menyaksikan bagaimana hujah yang dilontarkan oleh pemimpin dari pemerintah dan juga pembangkang dalam membela nasib rakyat.

Kesediaan PAS dalam berdialog dengan mana-mana komponena BN menunjukkan kematangan politik yang wujud dalam PAS. Menurut Datuk Husam Musa, Naib Presiden Pas sesi dialog yang bertujuan untuk mencari jalan penyelesaian masalah tertentu adalah digalakkan dan ia tidak perlu dilakukan secara tertutup.

Tidak kurang hebat juga dengan ajakan debat satu sama satu secara terbuka oleh Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin, Menteri Pembangunan Wilayah dan Pembangunan Bandar kepada anggota parlimen pembangkang berhubung isu penggunaan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membiayai skim perumahan kos rendah.

Debat politik anjuran Himpunan Mahasiswa United Kingdom dan Ireland (UKEC) membabitkan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Ketua Pemuda UMNO dan Rafizi Ramli, Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerlahkan kematangan mereka berhujah dan mengetepikan sentimen peribadi dan kepartian. Mereka berhujah dan mencabar minda mengenai Wawasan 2020 dan benarkah Malaysia berada di landasan betul untuk mencapai taraf negara maju yang tinggal 8 tahun lagi. Sayang sekali debat tersebut dianjurkan di luar Malaysia.

Budaya ini juga mesti disuburkan di dalam kampus, ketepikan dahulu isu AUKU yang sempit. Kita ketengahkan agenda memperkayakan minda mahasiswa. Pihak pentadbiran sewajarnya memberi galakan kepada mahasiswa menganjurkan dialog dan debat intelektual bukannya menyekat secara membuta-tuli. Apa salahnya kita tokoh-tokoh politik seperti Datuk Mustapha Mohamed, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Salahuddin Ayub, Saifuddin Nasution Ismail dan Anthony Loke Siew Fook diundang berdialog di pusat pengajian tinggi? Jawapannya tentu sekali tidak salah, kerana pentadbiran pusat pengajian tinggi sepatutnya tidak ada kepentingan dalam politik.

Harapan anak muda

Oleh sebab itu, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) melalui Majlis Politik Nasional (MPN) pernah menawarkan diri sebagai penganjur debat terbuka antara Dato Seri Najib Tun Razak dengan Dato Seri Anwar Ibrahim.

Dialog dan debat intelektual salah satu pemangkin kepada pendidikan politik. Sasaran yang ingin dicapai dalam pendidikan politik ialah wujudnya wa’yu siyasi (kesedaran politik) dalam setiap diri individu. Kita juga mengharapkan media arus perdana selaku medium pengantar maklumat memainkan peranan secara telus dan adil tanpa ada manipulasi dari sudut maklumat.

GAMIS sangat optimis sekiranya budaya ini disuburkan, di Malaysia akan wujudnya parti politik yang mempunyai keazaman politik yang tinggi dan rakyat tersedia dengan pendidikan politik yang baik, dikukuhkan dengan sistem pilihanraya yang telus dan adil. Seterusnya melahirkan politik baru Malaysia.

GAMIS Inspirasi Anak Muda!

Wan Mohamad Rasyadan Wan Hussin
Ketua Penerangan GAMIS


 


Awas jerat Valentine

Jakim, 11 Feb 2012
Fenomena sebahagian remaja hari ini yang menjadikan Valentine’s Day sebagai perayaan paling diminati dan sangat-sangat ditunggu untuk diraikan bersama kekasih amat menggusarkan kita sebagai umat Islam. Menurut Ken Sweiger, perkataan “Valentine” berasal dari bahasa Latin yang mempunyai maksud “Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuat, dan Yang Maha Kuasa”. Menurutnya lagi, kata ini sebenarnya digunakan pada zaman Rom Kuno ditujukan kepada Nimrod dan Lupercus, tuhan orang Romawi. Sedar atau tidak, jika seseorang meminta orang lain atau pasangannya menjadi “To be my Valentine?”, maka dengan hal itu sesungguhnya ia telah secara terang melakukan suatu perbuatan yang bercanggah dengan aqidah umat Islam dan dimurkai Allah SWT. Ini kerana ia telah meminta seseorang menjadi “Sang Maha Kuasa” dan hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali budaya pemujaan berhala.
Berdasarkan kepada pandangan sebahagian besar tokoh-tokoh agama telah menyatakan bahawa menyambut atau meraikan Sambutan Hari Valentine ini adalah bertentangan dengan Syarak. Menurut Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia amalan ini adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam. Begitu juga Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Oleh itu, mimbar ingin menegaskan bahawa pengharaman dan larangan ini bukanlah kerana ingin menghalang keseronokan di atas aktiviti trend baru zaman moden tetapi ianya berlandaskan kepada apa yang dinyatakan di dalam al-Quran dan as-Sunnah yang menjadi panduan umat manusia bagi mengecapi keindahan hidup di dunia dan di akhirat. Justeru mimbar menyeru kepada jemaaah sekalian dan umat Islam agar tidak merayakan hari tersebut kerana ianya bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar serta boleh merosakkan akidah dan akhlak umat Islam.

Persoalan besar timbul ialah apakah yang menyebabkan gejala negatif seumpama ini terus berlaku? Jawapannya ialah kerana kualiti keimanan umat Islam yang lemah dan kekaburan kita di dalam menegakkan prinsip-prinsip asas agama yang menjadi tunjang kehidupan seseorang muslim. Dengan ini kita terpesong dengan cara hidup yang sebenar. Kita juga jangan lupa bahawa syaitan dan sekutunya telah berjanji kepada Allah SWT untuk terus menyesatkan orang yang beriman.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa ayat 119:
Maksudnya: “Dan sungguh, aku akan menyesatkan mereka, dan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan menyuruh mereka membelah telinga binatang ternak; dan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang dita'ati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata".

Ingatlah bahawa agama Islam sangat mengambil berat dalam memperbetulkan pegangan akidah umatnya supaya pandangan dan sikap mereka menjadi lurus dan tasawwur mereka tentang sesuatu perkara menjadi jelas. Jangan kita mengikut contoh umat jahiliyah dahulu yang menganggap persoalan akidah hanya  sekadar mengumumkan identiti diri dan melahirkan perbuatan baik sahaja sedangkan hakikat iman ialah panduan antara keyakinan dihati tentang dasar-dasar akidah dengan melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan tegahan-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 15:
Maksudnya: “ Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman ialah orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang yang benar.

Ayat ini mengisyaratkan bahawa kualiti iman boleh diukur dan dinilai melalui amalan seharian. Banyak dan berkualitinya amal soleh seseorang itu, maka tinggilah kualiti iman yang dimiliki dan begitulah sebaliknya. Oleh itu, iman yang sebenar adalah merupakan penjana kekuatan dan kecemerlangan ummah.

Islam sebagai agama fitrah dan sempurna, sentiasa menganjurkan kasih sayang sesama umatnya. Ini dapat dilihat melalui apa yang diungkapkan di dalam Kitab al-Quran dan dijelmakan oleh Rasulullah SAW. Menzahirkan kasih sayang kepada kekasih perlulah ada batasan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang diantara dua jantina berbeza tidak boleh hanya dengan janji manis di bibir. Tetapi ia perlu diikat dengan satu ikatan akad yang mampu menyimpul ikatan kukuh bagi menjamin zuriat, akhlak dan peribadi yang dinamakan sebagai perkahwinan. Keindahan dalam menzahirkan kasih sayang itulah yang dianjurkan oleh Islam dan perlulah disemai dan dibajai setiap hari tanpa perlu menunggu detik satu hari dalam setahun. Ingatlah bahawa kasih sayang yang utama adalah hanya kepada Allah SWT, rasul-Nya dan berjihad di jalan-Nya. Kasih sayang berlandaskan keimanan akan melahirkan cahaya keinsafan kepada hakikat diri dan pencipta-Nya sehingga sanggup berkorban dan mampu menundukkan hawa nafsu jahat.

Firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 207:
Bermaksud: “ Dan di antara manusia ada Yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.

Justeru bagi menyelamatkan agama dan ummah dari terus musnah akibat impak amalan-amalan bertentangan dengan aqidah dan syariah, mimbar menyeru kepada semua pihak agar  mewar-warkan larangan Sambutan Valentine’s Day dari terus diraikan oleh umat Islam khususnya di negara kita ini, jangan kita terlibat dengan budaya songsang yang boleh melemahkan ummah dan menyesatkan. Wujudkanlah perasaan anti Valentine’s Day di dada dan minda, hadirkanlah rasa benci dan tidak akan meraikannya melalui penyertaan aktiviti-aktiviti yang menyalahi aqidah, syarak dan tamadun manusia. Mengakhiri khutbah pada minggu ini, sekali lagi mimbar menyeru semua pihak marilah sama-sama kita memperkasakan akidah kita, keluarga dan masyarakat kita demi masa depan agama, ummah dan negara dengan langkah berikut:

Pertama:          ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak dididik dengan ajaran Islam yang sebenar;
Kedua:            umat Islam khususnya remaja dilarang meniru amalan atau budaya kaum musyrik;
Ketiga:            menanam rasa cinta dan kasih sayang kepada Allah SWT dan rasul-Nya;
Keempat:         menjauhi aktiviti bergaul bebas dengan pasangan yang bukan mahram dalam menyambut majlis tertentu; dan
Kelima:            meninggalkan sambutan atau perayaan yang tiada dalam syariat Islam.

Firman Allah SWT dalam surah al-A'raf ayat 96:
Maksudnya: "Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."

Artikel di atas adalah petikan khutbah Jumaat pada 10 Februari 2012 yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.




Hadis Kelima : -



UMAT ISLAM MENGIKUTI
LANGKAH-LANGKAH YAHUDI DAN NASRANI




H.R. MUSLIM



Daripada Abu Said Al-Kudri ra berkata : Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda :" Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka". Sahabat bertanya, " "Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?" Nabi SAW menjawab, " Siapa lagi kalau bukan mereka".

Umat Islam yang mengikut jejak langkah apapun "cara hidup" orang-orang Yahudi dan Nasrani, hinggalah dalam urusan orang kecil dan perkara-perkara yang tidak munasabah. Contohnya, jikalau orang Yahudi dan Nasrani masuk ke lubang biawak yang kotor dan sempit sekalipun, orang Islam akan terus mengikut mereka.

Zaman sekarang ini kita dapat melihat kenyataan sabdaan Rasulullah SAW ini. Ramai orang Islam yang kehilangan pegangan di dalam kehidupan. Mere hanya meniru "cara hidup" Yahudi dan Nasrani samada mereka sedar atau tidak. Ramai orang Islam yang telah terperangkap dengan tipu helah Yahudi dan Nasrani dan ramai pula orang yang menjadi alat dan tali barut mereka.

Ya Allah ! Selamatkan lah kami daripada mereka.



Tanah adat: Komen Peguam Sabah bercanggah OTS

Harakahdaily, 11 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 11 Feb: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memandang berat dan bimbang dengan kenyataan terkini yang dilaporkan dibuat oleh Peguam Negeri Sabah bahawa Ordinan Tanah Sabah (OTS) yang berkuatkuasa pada tahun 1930 tidak membenarkan wujudnya Hak Tanah Adat yang baru di Sabah.


Menurut Peguam Negeri Sabah tidak ada peruntukan dalam OTS bagi anak negeri untuk membuat penempatan selepas 1930 dan menuntut Hak Tanah Adat, yang mana ianya jelas bercanggah dengan kedudukan Hak Tanah Adat yang merupakan hak asas masyarakat Orang Asal/Asli sepertimana dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Suruhanjaya juga rasa terkejut dengan komen Peguam Negeri Sabah kerana kedudukan yang dinyatakan ini adalah sama sekali baru dan bercanggah dengan semua dasar-dasar yang sedia ada dan interpretasi OTS, khususnya undang-undang adat dan perspektif bumiputera,” kata Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam dalam satu kenyataan.

Katanya, pendirian tersebut amat membimbangkan kerana ianya mungkin akan terus menambahkan kesulitan yang sedang dihadapi oleh anak negeri Sabah berhubung dengan pemilikan tanah di bawah dasar dan undang-undang sedia ada.

Beliau berkata, Suhakam terus menyeru pihak berkuasa agar dapat memastikan sebarang keputusan polisi oleh kerajaan negeri, terutama sekali tentang hal-hal tanah mestilah berdasarkan kepada konsultasi yang berkesan dan bermakna serta mendapat persetujuan dari masyarakat dan pihak-pihak lain yang berminat.

Menurutnya lagi, Suhakam juga menggesa agar penangguhan kepada sebarang polisi baru berkaitan dengan hal-hal tanah dibuat sehingga selesai Inkuiri Nasional mengenai Hak Tanah Orang Asal/Asli, di mana terma rujukannya termasuklah kajian semula undang-undang tanah domestik dan undang-undang serta dasar-dasar lain berkaitan yang bertujuan untuk menggabungkan fokus hak asasi manusia dan menangani masalah yang dihadapi oleh Orang Asli di Semenanjung dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dalam tuntutan mereka terhadap tanah bagi memastikan mereka dapat menikmati hak tanah sejajar dengan keperluan dan kehendak mereka.

Tiada ulasan: