Khamis, 9 Februari 2012

USRAH NI JENTERA JEMAAH@GERAKAN...JENTERA JEMAAH KENA BERGERAK...MAKA HUKUMNYA WAJIB BAGI SATU2 GERAKAN ISLAM...MENUNTUT ILMU FARDU AIN JUGA WAJIB...CERAMAH PEMBERI SEMANGAT...SEMANGAT SAJA TAK BOLEH..TANPA ILMU...ILMU SAJA..TAPI TAK ADA SEMANGAT LAGILAH...KEDUA2NYA SAMA PENTING...

Pemuda Jeli minta polis siasat kenyataan Mustapa

Aslani M,09 Feb 2012

JELI, 9 Feb: “RM600 juta sudah diberi kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat secara percuma tetapi sampai ke hari ini mereka gagal menyelesaikan masalah air.

“Duit sebanyak ini kalau kita buat pinjaman di bank akan dikenakan kadar faedah sehingga tujuh peratus, tetapi mereka dapat percuma namun tiada hasil yang kita lihat,” petikan kenyataan Datuk Seri Mustapa Mohamed seperti disiar beberapa akhbar 5 Febuari lalu.

Ekoran penyiaran dakwaan itu Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Ir Hanapi Mahmud menjelaskan kenyataan menteri terbabit tidak berasas sama sekali.

Malah katanya, sebanyak RM12 juta telah dibayar pada 2008 daripada lebih RM500 juta pinjaman yang dilulus kerajaan pusat pada 2001.

Penjelasan itu dimuatkan Harakahdaily dan Harakah dengan menyifatkan Mustapa secara terang-terangan membohongi rakyat Kelantan.

Namun dua hari kemudian Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan mendakwa kenyataannya diputar belit Harakah sambil menjelaskan beliau tidak kata RM600 juta itu percuma.

Biar apa pun usaha Mustapa cuba menegak benang basah, namun kenyataan awalnya sudah tersebar luas dalam media baru sehingga membangkit kemarahan rakyat.

Dan petang semalam seorang pemuda, Abdullah Hasyim Abdullah, 22 dari Kampung Layat dekat sini membuat laporan polis terhadap anggota parlimen Jeli di atas kenyataan tersebut.

Beliau berkata, akhbar tempatan pada Ahad lalu secara jelas melaporkan kenyataan menteri terbabit dengan menyebut, RM600 juta diberi kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz secara percuma tetapi sampai ke hari ini mereka gagal menyelesaikan masalah air.

“Setahu saya RM600 juta tersebut merupakan pinjaman kerajaan pusat kepada kerajaan Kelantan dan bukannya pemberian percuma sebagaimana dakwaan Datuk Mustapa.

“Oleh yang demikian saya mohon pihak polis menyiasat dakwaan tersebut kerana ia terdapat unsur penipuan serta memburukkan nama kerajaan negeri,” katanya dalam laporan tersebut.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Jeli, Khairul Anwar Ismail berkata, pihaknya mengutuk keras kenyataan Mustapa yang cuba mengelirukan rakyat Kelantan berhubung pinjaman RM600 juta.

“Ini suatu pembohongan bertujuan menggugat kredibiliti kerajaan negeri menjelang PRU-13,” ujarnya.

Ameerah pastikan aktiviti MTD berjalan lancar

Mohd Sabri Said,09 Feb 2012
TASEK GELUGOR, 9 Feb: Ameerah bertekad tidak akan mensia-siakan tanggungjawab yang diberikan oleh Dewan Muslimat PAS Pusat untuk membantu memperkemas, memperkasa dan menggerakkan Bilik Gerakan Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang ditandingi PAS di seluruh Malaysia supaya pergerakan lebih lancar dan tersusun.

Setiausaha Ameerah, Nurul Suhadah Shuib(gambar) menambah, peranan Ameerah amat berat sekarang untuk memastikan aktiviti di Dun terurus dengan baik.

Justeru, katanya sesiapa yang berminat untuk menyertai politik secara serius di usia muda boleh mendaftarkan diri sebagai ahli 'Ameerah' dengan segera di negeri masing-masing agar peranan dapat dibahagikan mulai sekarang.

"Semua muslimat muda yang berminat kepada politik secara serius boleh sertai Ameerah kerana peranan yang diberikan membolehkan kita menimba pengalaman.

“Maklumlah kerja politik bukan mudah sepertimana yang disangkakan.  Ia memerlukan kemahiran berfikir, mengkaji, meneliti atau merancang," katanya ketika pada Karnival Penerangan Terkini (KarPenTer) 2012 di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Simpang Empat Permatang Buluh, di sini.

Baginya, Ameerah boleh ditonjolkan sebagai sayap gerakan yang akan merangka strategi bagi dimanfaatkan di Dun sewaktu pilihan raya umum atau kecil nanti.

Ameerah, ujarnya akan ditugaskan di bilik gerakan untuk memikirkan dan membantu jentera MTD yang sedia ada supaya perancangan dapat dibuat dengan lebih baik serta mengenai sasaran.

"Terengganu merupakan negeri paling awal menyahut seruan penubuhan Ameerah. Kemudian Pulau Pinang dan Kedah serta kini sedang ke Perak. Ameerah juga berharap negeri lain segerakan penubuhanya bagi mencapai matlamat yang dikehendaki," jelasnya.

Kuliah dhuha dan usrah Perantau 11 Feb

Harakahdaily,09 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 9 Feb: Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (Perantau) akan menganjurkan semula program Kuliah Dhuha dan Usrah (KDU) umum pada hari Sabtu, 11 Februari ini bertempat di Rumah Anak-Anak Yatim Darul Fuqaha, Sungai Merab, Bangi.
Menurut Setiausaha Perantau, Suhaimi Embong, sebelum ini Perantau telah beberapa kali mengadakan sesi makan nasi dagang dan keropok lekor pada tahun-tahun yang lepas tetapi tidak disertai dengan kuliah dan usrah.
Katanya, program kuliah dan usrah umum seperti itu telah tertangguh sejak tahun 2008 lagi kerana sebab-sebab teknikal.
Tambahnya, tujuan majlis itu diadakan bagi merapatkan tali silaturahim dan kekeluargaan di kalangan anak-anak Terengganu yang berada di perantauan di samping mendapatkan ilmu keagamaan secara tidak formal dari penceramah-penceramah agama yang bercakap dalam loghatTerengganu.
“Saya bagi pihak penganjur menjemput anak-anak Terengganu di perantauan untuk menghadiri majlis ini yang dijangka bermula jam mulai jam 9.30 pagi hingga 11.30 pagi mengeratkan tali silaturahim dan ukhuwah kekeluargaan di kalangan Perantau disamping menikmati makanan tradisi rakyat Terengganu nasi dagang dan keropok lekor,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.
Beliau berharap, mana-mana pihak yang berminat untuk hadir dapat menghubungi pihak sekretariat Perantau supaya pengajur dapat membuat persiapan untuk menempah nasi dagang dan keropok lekor yang secukupnya.
Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut berhubung majlis itu boleh menghubungi atau sms kepada Zulhilmi Abdul Rahman di talian 012-9283560.

PAS kutuk keganasan Syria bunuh rakyatnya

Aziz Muda,09 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 9 Feb: PAS melalui Lajnah Hubungan Luar dan Hal Ehwal Antarabangsa mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan pemimpin dan pihak berkuasa Syria dalam menangani kebangkitan rakyat di negara itu.

Tindakan tidak sepatutnya oleh pihak keselamatan negara itu yang sepatutnya menjadi benteng kepada rakyat amat dikesali sehingga mengakibatkan beribu kematian di kalangan orang awam.

Setiausaha Lajnah Hubungan Luar dan Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, Mohd Faiz Mohd Nawi berkata, pihaknya amat prihatin dengan penderitaan dan ketidakadilan yang dialami oleh rakyat Syria dalam usaha mereka menuntut hak dan kebebasan di negara mereka.

Menurutnya, Lajnah Hubungan Luar dan Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat menggesa institusi serantau dan antarabangsa Islam seperti Liga Arab dan Pertubuhan Persidangan Islam agar segera menjalankan peranan mereka sebagai orang tengah yang boleh mendamaikan kemelut yang semakin bertambah serius itu.

"Lajnah Hubungan Luar dan Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat menolak semua bentuk campur tangan asing di Syria," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, pihaknya turut mengingatkan kepada semua pihak yang terbabit dalam kemelut itu agar dapat menghentikan segera tindakan keganasan bagi memulihkan kembali keamanan di bumi yang berkat itu.

"Kami meminta pihak pemerintah di negara itu agar mengembalikan semula hak rakyat melalui proses demokrasi yang lebih telus," tegasya.

Tindakan tersebut, tambahnya, perlu dilakukan segera oleh pemerintah Syria sejajar dengan hasrat rakyat negara itu yang bangkit menentang segala macam penindasan sejak sekian lama.

Bagi menyatakan sokongan terhadap rakyat Syria, pihaknya menyeru orang ramai hadir ke perhimpunan aman yang akan diadakan di hadapan Kedutaan Syria, Jalan U Thant, di sini, esok, 10 Februari, selepas solat Jumaat.

Untuk mengikuti perhimpunan aman itu, katanya, orang ramai boleh menunaikan solat Jumaat di Masjid Tabung Haji atau masjid yang berdekatan sebelum berarak ke Kedutaan Syria.

Semalam Harakahdaily telah melaporkan mengenai himpunan aman yang akan diadakan itu yang akan dipimpin oleh pemimpin PAS, pimpinan NGO dan aktivis-aktivis masyarakat yang prihatin.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan antara lain dilaporkan berkata, himpunan tersebut diadakan bagi membantah dan mengecam pembunuhan ke atas rakyat Syria oleh rejim Bashar al-Assad yang semakin meningkat.

Semalam, enam anggota Majlis Keselamatan Negara Teluk (GCC) telah bertindak mengusir diplomat Syria dan memanggil pulang duta masing-masing yang berada di Damsyik ekoran kematian orang awam yang terus meningkat di negara itu.

GCC dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan turut mengutuk pembunuhan yang dilakukan terhadap rakyat Syria yang tidak bersenjata sejak demonstrasi menentang Presiden Bashar al-Assad tercetus 11 bulan yang lalu.

“Saya menyeru kepada seluruh ahli-ahli PAS, NGO-NGO dan seluruh rakyat prihatin agar keluar beramai-ramai untuk berhimpun menyatakan solidariti kita bersama rakyat Syria yang tertindas,” kata Nasrudin kepada Harakahdaily.

Tiada ulasan: