Rabu, 8 Februari 2012

KHIDMATLAH NI KERJA2 KEBAIKAN..WALAUPUN TIADA APA2 KEPENTINGAN...KHIDMAT YANG IKHLAS...SANGAT TINGGI DISISI ALLAH SWT

Pembohong tidak layak jadi pemimpin

Abdul Latiff Abd Rahman,08 Feb 2012
Saya ingin mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed seperti yang tersiar di dalam akhbar Mingguan Malaysia, Ahad 5 Februari 2012. Beliau di dalam kenyataan yang disiarkan pada hari seluruh umat Islam di dunia menyambut perayaan Maulidur Rasul itu antara lain menyatakan, “RM600 juta sudah diberi kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat secara percuma tetapi sampai ke hari ini mereka gagal menyelesaikan masalah air. Duit sebanyak ini kalau kita buat pinjaman di bank akan dikenakan kadar faedah sehingga tujuh peratus, tetapi mereka dapat percuma namun tiada hasil yang dapat dilihat..”. Menurut laporan tersebut, kenyataan itu dikeluarkan oleh Mustapa ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Parlimen Tanah Merah pada 4 Februari 2012.

Hakikatnya, kenyataan yang dikeluarkan oleh Mustapa itu merupakan satu pembohongan yang sangat jelas. Saya begitu hairan bagaimana beliau sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan yang pernah mengeluarkan kenyataan bersedia untuk menjadi Menteri Besar Kelantan pada November tahun lepas tergamak mengeluarkan kenyataan yang sangat jelas tidak benar. Samada beliau sengaja berbohong atau mendapat maklumat yang salah? Sebagai seorang Menteri, amatlah tidak logik jika beliau mendapat maklumat yang salah, justeru jika beliau berbohong, layakkah seorang pembohong ditabalkan menjadi pemimpin

Perlulah diingatkan, pinjaman RM600 juta yang dijanjikan kepada Kelantan itu bukannya percuma, bahkan ia merupakan pinjaman yang perlu dibayar. Pada peringkat awalnya, caj kadar faedah dikenakan sebanyak 2 peratus bersama-sama negeri Terengganu yang pada masa itu berada di bawah penguasaan PAS. Semenjak tahun 2004 apabila Umno kembali menguasai negeri Terengganu, caj kadar faedah terhadap Terengganu telah dimansuhkan. Pemansuhan ini sekaligus melibatkan negeri Kelantan. Sekalipun caj kadar faedah dimansuhkan, ia tetap merupakan pinjaman yang perlu dibayar. Dan pinjaman yang perlu dibayar amat bertentangan maknanya dengan ‘pemberian percuma’ seperti yang didakwa oleh Mustapa.

Selain itu, pinjaman tersebut bukannya diberikan sekaligus bahkan diluluskan di bawah tiga Rancangan Malaysia (RMK) iaitu Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) sebanyak 96 juta, RMK-9 (RM160 juta) dan RMK-8 (RM291 juta) menjadikan jumlah kesemuanya ialah RM547 juta, sedangkan yang dijanjikan ialah sebanyak RM600 juta.

Justeru, amat jelas bahawa Mustapa yang merupakan pemimpin nombor satu Umno Negeri Kelantan pada hari ini merupakan seorang pembohong yang nyata. Adakah rakyat Kelantan rela melantik individu seperti ini menjadi pemimpin? Tentu rakyat masih ingat bagaimana Mustapalah orangnya yang pernah membuat pengakuan di dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 24 November 2007 ketika membahaskan usul ucapan terima kasih terhadap titah ucapan Tuanku Al Sultan Kelantan bahawa beliau pernah berperanan menyekat Negeri Kelantan dari menerima peruntukan dari Kerajaan Pusat. Sehingga ke hari ini, Mustapa masih belum memohon maaf terhadap rakyat Kelantan di atas kesalahannya itu.


Rakyat juga masih belum lupa bagaimana Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika kempen pilihan raya kecil di Manek Urai pada tahun 2009 sebelum ini bertegas menyatakan bahawa Kelantan tidak berhak ke atas royalti minyak dan gas kerana kedudukan pelantar minyak terletak di kawasan bertindih. Namun apabila dibuktikan bahawa ia termasuk di dalam kawasan perairan Kelantan, Mustapalah orangnya yang beria-ria mendapatkan wang ehsan untuk dipolitikkan demi kepentingan UMNO. Saya ingin bertanya, pemimpin jenis apakah ini yang sanggup memperjudikan segala kepentingan rakyat demi masa depan politiknya?


Justeru, saya mengira kenyataan terkini Mustapa itu sebenarnya lebih mendedahkan belang sebenar beliau yang sanggup berbohong sekalipun sedar pembohongannya tetap akan terbongkar. Sungguh benar kata pepatah, “siakap sinohong gelama ikan duri, bercakap bohong masih kekal sebagai menteri…”

Penulis adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

Lynas: Kerajaan pertaruh nyawa rakyat

Harakahdaily,08 Feb 2012
KUANTAN, 8 Feb: Keputusan tergesa-gesa kerajaan melalui AELB dalam meluluskan lesen sementara TOL kepada Lynas mengundang seribu satu persoalan.

Bahkan tindakan tersebut menimbulkan gelombang baru kesedaran dan penentangan rakyat terhadap projek merbahaya tersebut.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Suhaimi Saad apa yang berlaku beberapa hari sebelum lesen tersebut dikeluarkan menimbulkan persoalan kepada rakyat apakah benar kerajaan sekarang terpaksa menurut sahaja tuntutan Lynas yang begitu terdesak untuk memulakan projek mereka dengan segera.

Katanya, jika tidak masakan Lynas kelihatan sedari awal lagi melaungkan keyakinan mereka untuk di berikan lesen sementara dalam tempoh terdekat.

Tambahan pula, ujarnya kenyataan Pengerusi Eksekutif Lynas, Nicholas Curtis yang dikeluarkan pada 30 Januari iaitu pada hari yang sama mesyuarat lembaga AELB yang menuduh PAS menyokong kilang Lynas seolah-olah ada kaitan satu sama lain.

“Tuduhan jahat beliau tersebut segera ditangkis oleh Ketua Penerangan PAS Pusat yang menerangkan bahawa PAS tetap teguh dengan pendiriannya menentang Lynas dan sama sekali tiada kaitan dengan individu ataupun projek di Lynas,” jelasnya.

Mengulas perkara yang sama, Pengarah BADAR, Andansura Rabu melahirkan rasa kesal beliau di atas sikap semberono kerajaan dalam menangani isu sebegini besar.

"Apabila kerajaan membuat syarat Lynas mesti membayar cagaran USD50 juta atau RM125 juta atas projek ini, ianya membayangkan 3 perkara yang amat menakutkan kita.

“Pertama projek ini sememangnya merbahaya sebagaimana yang kita perjuangkan selama ini.

“Jika tidak merbahaya mengapa perlu diletakkan deposit keselamatan? Kilang lain di Gebeng tidak perlu pun deposit sedemikian,” katanya.

Kedua, tanya beliau, berbaloikah RM125 juta itu dengan kesengsaraan  rakyat yang mendiami kawasan sekitar kilang itu.

Jika sakit, katanya klinik swasta berhampiran jugalah yang akan mengaut keuntungan dan kerajaan pada masa itu entah apa alasan yang akan diberikan.

Ketiganya, kata beliau penerimaan cagaran tersebut seolah-olah menjadikan Pahang laksana 'tandas awam' yang mana bayar 20 sen dapat melepaskan hajat dan sisanya akan diurus oleh tuan tandas, begitulah nasib Pahang dan rakyatnya nanti.

Menurutnya lagi, dengan RM125 juta itulah juga akan digunakan andainya berlaku apa-apa kerosakan dan kemusnahan terhadap kawasan persekitaran di situ dan duit itulah yang akan digunakan untuk membersihkan sisa-sisa yang bakal ditinggalkan nanti.

“Rakyat yang sakit dan merana pandai-pandailah mencari ubat-ubatan sendiri. Yang kaya bolehlah ke hospital pakar swasta dan yang miskin tunggulah giliran di panggil petugas hospital kerajaan.

“Apakah nasib yang menimpa penduduk Bukit Merah, Perak bakal berulang di sini dan adakah rakyat Pahang bersedia menjadi bahan uji kaji atau tikus makmal?” ujarnya.

Justeru, ujarnya perhatikanlah bagaimana sukarnya proses menguruskan sisa di Bukit Merah.

Beliau bekata, pelaburnya sudah tiada, yang tinggal hanyalah sisa merbahaya yang terpaksa dilitupi batu menggunung yang menelan belanja lebih RM300 juta untuk menguruskannya.

Lynas, jelasnya adalah 10 kali ganda lebih besar dari ARE Bukit Merah dan sudah pastinya sisanya jauh lebih besar dan kawasan yang diperlukan tidak terkata luasnya.

“Kawasan manakah dalam negeri Pahang akan dinobatkan sebagai kawasan 'bertuah' untuk dihuni oleh 'najis' ini?

“Mungkinkah Pekan? Sekiranya Pekan sekalipun kita tetap menentangnya kerana ianya tetap sebahagian dari bumi Malaysia tercinta,” tegasnya.

Sebaiknya, kata beliau Lynas ditutup sahaja dan buatlah apa sahaja bahana di tempat asal galian tersebut berasal.



Lynas: SLC sokong penuh Himpunan Hijau 26 Feb

Harakahdaily,08 Feb 2012
KUANTAN, 8 Feb: Gabungan Hentikan Lynas (Stop Lynas Coalition – SLC) menyokong penuh seruan Himpunan Hijau 2.0 yang bakal diadakan pada 26 Februari ini pukul 9.30 pagi di Padang MPK 1, berhadapan Masjid Sultan Ahmad Shah, di sini.

Menurut Pengerusi SLC, Andansura Rabu program tersebut mesti disokong memandangkan matlamat Himpunan Hijau 2.0 ialah untuk menggabungkan usaha semua pihak dan pertubuhan yang berjuang untuk kesejahteraan, kelestarian dan keadilan terhadap alam sekitar selaras dengan Piagam Bumi (Earth Charter).

Menurutnya, mengambil kira ancaman serius terhadap alam sekitar yang bakal terhasil jika kilang Lynas beroperasi kelak, sekretariat Himpunan Hijau memutuskan untuk mengadakan Himpunan  Hijau 2.0 dengan menjadikan matlamat mendesak penutupan operasi Lynas di Malaysia sebagai perjuangan yang utama Himpunan Hijau buat masa ini.

Justeru itu, katanya SLC amat menghargai sokongan padu dari sekretariat Himpunan Hijau dan akan menggerakkan semua ahli-ahli lebih 20 NGO di bawah gabungannya untuk menjayakan himpunan tersebut.

Menurut sekretariat Himpunan  Hijau, Seet Ping masanya sudah tiba untuk segenap lapisan masyarakat di negeri Pahang untuk bangun menyuarakan bantahan mereka demi masa depan anak-anak mereka.

Pandangan beliau dikongsi oleh Clayment Chin yang merupakan aktivis masyarakat dalam isu ini yang mengatakan sudah tiba masanya rakyat mengajar kerajaan yang memerintah agar menghormati hak-hak rakyat dan kemahuan mereka.

Rakyat harus diberikan kebebasan untuk menolak sebarang projek yang bakal mengundang masalah kepada generasi akan datang walaupun tiada kesan pada masa sekarang.

Bubar parti KITA pandangan peribadi Zaid

Mohamed Mazlan,08 Feb 2012
Kenyataan akhbar ini bertujuan memperjelas pendirian rasmi parti mengenai saranan Ketua Parti, Datuk Zaid Ibrahim, untuk membubarkan parti, yang telah dilaporkan secara meluas di dalam media.


Parti KITA ditubuhkan bagi mengubah jenis politik di Malaysia kepada sebuah politik yang lebih sesuai demi mewujudkan sebuah masyarakat yang betul-betul demokratik, moden, berpendidikan dan progresif. Parti ini ditubuhkan bagi menyediakan rakyat Malaysia sebuah parti politik alternatif yang menggalakkan prinsip demokrasi, kesederhanaan, toleransi serta menyediakan langkah-langkah yang berkesan untuk meletakkan Malaysia pada kedudukan yang lebih tinggi di pentas global. Matlamat ini hendak dicapai dengan cara mempromosikan dan menggalakkan dialog yang terbuka, bermakna dan membina yang memfokuskan isu. Parti ini TIDAK MEMBENARKAN taktik kotor dan politik jijik
(gutter politics).

Malangnya, apabila keahlian parti bertambah, ada sesetengahnya yang menyusup masuk menjadi ahli parti dengan satu-satunya agenda mereka iaitu untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang. Walaupun kami mengalu-alukan ahli-ahli yang benar-benar ingin bertanding dalam pilihan raya demi memperjuangkan manifesto dan prinsip parti, kami tidak akan meletakkan calon-calon yang objektifnya adalah untuk "merosakkan undi", Parti juga tidak akan sekali-kali meletakkan calon yang diperalatkan oleh kumpulan-kumpulan tertentu yang hendak bertanding untuk mencapai matlamat politik mereka. Tindak-tanduk seperti itu adalah keji dan ia bertentangan dengan prinsip parti. Sudah tentu kami tidak akan membenarkan parti diperalatkan seperti itu.

Kenyataan ketua parti Datuk Zaid Ibrahim untuk membubarkan parti merupakan pandangan peribadi beliau dan adalah antara pilihan yang akan dibincangkan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti akhir bulan ini. Sekiranya parti boleh dibebaskan daripada serangan anasir-anasir yang tidak diingini dan oleh mereka yang menyusup masuk tanpa perlu membubarkan parti, maka itu adalah satu pilihan yang akan diberi keutamaan. Akan tetapi jika kepimpinan parti berpendapat bahawa jalan terbaik untuk menghalang parti daripada dijadikan alat atau tunggangan bagi menyalahgunakan proses pilihan raya adalah dengan menutup parti, maka keputusan itulah yang bakal diambil kelak.

Mohamed Mazlan Abdul Manaf,
Ketua Penerangan Pusat Parti KITA

PAS Titiwangsa terus berbakti walau tanpa MP

Hazayani Zakaria,08 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 8 Feb: Komitmen PAS Titiwangsa dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai tidak pernah padam walaupun selepas kematian Ahli Parlimennya (MP), Allahyarhamuha Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali pada Julai tahun lalu.

Tanpa wakil rakyat, PAS Titiwangsa dilihat tidak tenggelam dalam mengenengahkan isu-isu penduduk di Parlimen tersebut khususnya isu pemilikan hartanah Kampung Baru yang telah berlarutan sejak bertahun-tahun lalu.

Selepas pemergian Allahyarhamuha Dr. Lo' Lo', Parlimen Titiwangsa dijadikan 'parlimen angkat' oleh tiga Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub.

Mereka bertiga bertanggungjawab memantau perkembangan di Titiwangsa termasuk meneruskan perjuangan Allahyarmuha Dr. Lo' Lo' membawa suara penduduk Kampung Baru ke Dewan Rakyat.

Organisasi PAS Titiwangsa dimantapkan dan Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa di Kampung Baru dipastikan terus berperanan sebagai tempat rujukan penduduk di parlimen itu.

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad diamanahkan sebagai Penyelaras Pusat Khidmat Parlimen Titiwangsa, ahli jawatankuasa Lajnah Kebajikan PAS Pusat, Mohd Yusoop Abd Hamid sebagai Pengurus Pusat Khidmat dan di bawahnya ketua pemuda dan muslimat serta setiausaha perhubungan Wilayah Persekutuan.

Menurut Mohd Yusoop atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Yusoop, Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa di Kampung Baru tidak pernah sunyi menerima kedatangan orang ramai atas pelbagai urusan.
(Gambar: Cikgu Yusoop bersama pimpinan PAS Titiwangsa santuni warga marhaen.)
Sehubungan itu, pejabatnya beroperasi seperti biasa dan dijaga oleh petugas tetap setiap hari.

"Pusat khidmat masih beroperasi seperti biasa dan orang ramai datang seperti biasa bagi mendapatkan bantuan seperti mendapatkan pengesahan borang-borang tertentu walaupun tanpa wakil rakyat di sini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.


Beliau juga berkata, wakil-wakil di empat zon iaitu Pandan, Dato Keramat, Desa Rejang dan Kampung Baru masih komited dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan termasuk wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS hasil hubungan yang baik dengan Allahyarhamuha Dr. Lo' Lo' dahulu.

"Setiap zon masih aktif dengan program masing-masing malah semakin rancak.


"Wakil bukan Islam pun masih setia bersama PAS dan banyak membantu dalam menyalurkan maklumat mengenai masalah-masalah orang bukan Islam di parlimen ini," katanya.


Tambahnya, PAS Titiwangsa juga meningkatkan fokus terhadap program pendaftaran pemilih dengan membuka kaunter semakan dan pendaftaran pemilih pada setiap hujung minggu secara bergilir-gilir mengikut zon.

Selain itu, PAS Titiwangsa juga menjadikan program Sebersih iaitu pemberian bantuan barang keperluan dapur sebagai program berkala di setiap perumahan awam (PPR) yang kebanyakannya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.


"PAS bekerjasama dengan sebuah NGO menjalankan program Sebersih kepada golongan memerlukan kebanyakannya di PPR.

"Di kawasan Titiwangsa banyak PPR yang perlu diberi perhatian, jadi memerlukan komitmen yang tinggi dari sudut tenaga dan kewangan," katanya.


Isu PPR agenda penting selain Kampung Baru


Cikgu Yusoop berkata, masalah pemilikan PPR masih menjadi masalah utama di kalangan penduduk walaupun isu ini telah berkali-kali dibawa kepada kerajaan.

Kebanyakan penduduk masih menyewa dan tidak  mampu memiliki unit sendiri kerana harganya yang tinggi.
(Gambar: Petugas Pusat Khidmat Masyarakat MP Titiwangsa menerima aduan rakyat.)

"Isu Kampung Baru memang PAS ada sekretariat sendiri tanpi selain itu isu PPR masih menjadi masalah utama dan kita sering terima aduan.


"Contohnya di Desa Rejang, penduduk dipindahkan ke PPR dari flat Pekeliling yang kononnya untuk dibangunkan tapi sehingga hari ini masih belum selesai," katanya.


Beliau juga berkata, peniaga di Dato Keramat juga membuat aduan mengenai perniagaan kian merosot setelah berpindah ke Keramat Mall.


Selain tempat yang tidak strategik, DBKL juga mengenakan sewa yang mahal.


"Peniaga barang basah di Keramat Mall mengadu perniagaan mereka bermasalah.


"Tempat tak strategik dan reka bentuknya juga kurang sesuai untuk jualan barang basah seperti ikan dan sayur-sayuran," katanya sambil menambah, peniaga lebih selesa berniaga di Pasar Keramat yang mempunyai kedudukan yang strategik iaitu berhampiran stesen LRT dan masjid.

Perbezaan sebelum dan selepas pemergian Allahyarhamuha Dr. Lo' Lo'

Meskipun PAS Titiwangsa tetap aktif selepas ketiadaan Allahyarhamuha, Cikgu Yusoop tidak menafikan Allahyarhamuha memiliki kelebihan tersendiri yang sukar dicari ganti.

"Memang Allahyarhamah mempunyai sentuhan peribadi yang berbeza dengan masyarakat.

"Sampai sekarang pun orang ramai yang biasa berurusan dengan dia akan cakap mereka rasa kehilangan dan mahukan wakil rakyat seperti itu," katanya.
Tambah beliau, selepas pemergian Allahyarhamuha, PAS Titiwangsa mengalami sedikit kesukaran berurusan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana tiada suara yang kuat.
"Hubungan dengan DBKL susah sikitlah sekarang ini sebab kita tak ada suara yang kuat untuk berbicang dengan DBKL.
"Kalau dulu Allahyarhamah berurusan terus dengan DBKL, kalau nak minta khemah ke peralatan untuk program senanglah," katanya lagi.
Namun begitu katanya, perkara itu bukanlah satu halangan untuk PAS Titiwangsa bekerja kuat bagi mempertahankan kemenangannya pada pilihan raya umum ke-13.

Tiada ulasan: