PASIR MAS - Jentera pilihan raya Wanita Barisan Nasional (BN) kini sudah bersiap sedia untuk  menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13, kata Pengerusi Wanita BN Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau yang berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan Wanita BN, berkata kekuatan jentera pilihan raya Wanita  BN adalah di peringkat akar umbi.

"Jentera wanita BN kini berada dalam siap siaga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Memperkukuhkan Ekonomi Masyarakat Siam Negeri Kelantan di Wat Uttamaram, Kampung Teresek, Repek di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed, Pengerusi Persatuan Wanita Siam Kelantan KC Ngiam dan Presiden Persatuan Masyarakat Siam Malaysia, Siri Neng Buah.

Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno, meminta semua ketua Wanita BN negeri memperluaskan program mendekati dengan melibatkan semua komuniti termasuk masyarakat Siam.

Sementara itu, Ngiam berkata masyarakat Siam di Kelantan amat menghargai pelbagai bantuan yang diberikan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kebanyakan bantuan untuk masyarakat Siam di Kelantan adalah daripada  kerajaan Barisan Nasional dan kami amat menghargainya," katanya.- Bernama