Azmi usah berdolak-dalik lindungi NFC
Abdul Aziz Mustafa, | 17 Feb 2012 |
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) juga meminta Azmi supaya menghentikan palbagai dolak-dalik yang dilihat cuba mengelakkan minit mesyuarat PAC mengenai NFCorp disiarkan kepada umum.
"Saya difahamkan oleh mereka yang menghadiri mesyuarat tersebut, Azmi memperlihatkan sikap yang seimbang dan bertanggungjawab ketika mempengerusikan mesyuarat tersebut.
"Malangnya, sikap beliau kini berpusing 360 darjah dan beliau semakin dilihat cuba mengelakkan minit mesyuarat tersebut didedahkan kepada umum.
"Apa yang hendak disembunyikan? Apa yang hendak beliau lindungi?" kata Mahfuz.
Mengulas syarat terbaru Azmi, Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, beliau bersedia berusaha untuk memastikan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang menulis surat kepada Pengerusi PAC itu supaya beliau mendedahkan kepada umum minit mesyuarat berkenaan.
"Rakyat berhak tahu adakah pinjaman mudah RM250 juta dari Kementerian Kewangan kepada NFCorp itu dibuat mengikut peraturan kewangan, adakah pinjaman itu mempunyai jaminan peribadi, adakah perjanjian pinjaman itu mempunyai jadual bayaran dan sebagainya," kata Mahfuz.
Dalam kenyataan terbarunya, Azmi menambahkan satu lagi syarat sebelum beliau mendedahkan minit mesyuarat PAC berkaitan NFCorp itu.
Syarat tambahan tersebut, kata Azmi, ialah ketua ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat mesti menulis surat kepada beliau mempersetujui minit tersebut didedahkan kepada umum.
Sebelum ini, Pengerusi PAC itu berkata beliau hanya memerlukan surat dari Ketua Pembangkang sahaja.
Tetapi dalam syarat terbarunya itu, Azmi juga memerlukan surat persetujuan dari Presiden PAS dan Penasihat DAP.
Isu NFCorp yang dimiliki keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abul Jalil semakin menarik apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri memberi tekanan kepada Shahrizat.
Bekas presiden Umno itu menyarankan Shahrizat supaya lebih menyayangi Umno dengan meletakkan jawatan daripada menyayangi jawatannya kerana masalah peribadinya boleh menjejaskan parti.
"(Beliau) mesti fikirkan kesan kepada parti. Jangan terlalu sayangkan sangat jawatan,” kata Dr Mahathir.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula dilaporkan tidak memberikan jawapan yang jelas mengenai kedudukan Shahrizat.
"Ia tidak dibincangkan di sini. Ini adalah prerogatif Perdana Menteri," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.
Shahrizat pula tidak kelihatan mahu berundur dari jawatannya.
Malah, beliau pernah berkata kepada Sin Chew, "Beritahu saya, pemimpin Umno mana yang tidak ada masalah?"
Peniaga akhbar lama dan pemandu teksi
Ahmad Lutfi Othman, | 17 Feb 2012 |
"Okey, ambiklah," balas saya selepas mengecam lelaki Tionghua dalam usia 30-an itu. Dia bagai pembeli tetap akhbar dan majalah lama saya.
"Harakah? Ini PAS punya, ya?" tanyanya menunjukkan minat, sambil membelek naskhah terbaru di buaian besi, berdekatan pintu rumah. "You baca Harakah?" tanya saya. "Saya orang roket," jawabnya pantas, tanpa selindung.
Sambil beliau menyusun akhbar lama secara tertib, kami bersembang santai isu-isu politik. Ternyata dia mempunyai minat yang tinggi tentang perkembangan semasa.
"Ada minta bantuan RM500?" saya menduganya. "Tak mahulah, lagi pun belum tentu dapat, ramai juga kawan-kawan saya yang susah mohon, tapi tak berjaya, yang senang, ada bas, dapat pula, " katanya.
"You sudah kaya, kot?" usik saya. "Tak adalah ... boleh cukup makan aja, tapi biarlah orang lebih susah dari saya yang dapat," jawabnya, jujur. Saya agak terkedu mendengarnya.
"Kerajaan bukannya ada duit, saya dengar Najib guna EPF untuk beli undi, nanti rosak teruk ekonomi kita," tambahnya lagi.
Mungkin menyedari saya mempunyai minat politik yang sama, lelaki yang kaya dengan senyuman dan berwajah ceria itu ghairah bercerita: "Saya kenal rapat dengan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai." Dia merapati saya, bangga menunjukkan telefon bimbitnya, "tengok ini nombor Tan Kok Wai, dia selalu jawab call saya kalau dia tak sibuk".
Seterusnya dia nampak seronok berbicara tentang kesederhanaan hidup Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. "Kawan-kawan saya di Penang suka dengan kerajaan negeri. Rakyat yang susah ditolong, wakil rakyat tak cari untung sendiri," katanya. "Saya ingat, kalau menang Putrajaya lagi senang kita cari makan ... tapi lagi lama BN perintah, negara boleh bankrap," tambahnya.
"Kali ini, kita mesti ajak semua kawan-kawan, adik-beradik, sama-sama undi roket, undi bulan," katanya, sambil memegang tangan saya dan menunjukkan lengannya. "Jangan kira apa warna kulit atau agama, kita kena tukar kerajaan. Ini bukan soal bangsa, kita mesti ubah Putrajaya,"
Bukannya dia tidak tahu saya Ketua Pengarang Harakah, lidah rasmi Parti Islam, namun kesungguhannya berkempen membuatkan saya agak tersentak. Tentulah sama sekali dia tidak meragui siapa yang akan saya undi dalam PRU13, tetapi ia tidak menghalang untuknya meyakinkan saya bahawa era BN mesti ditamatkan.
Ini bukan kali pertama saya bertemu lelaki Cina yang begitu obsesif dengan perlunya perubahan besar dalam pilihan raya akan datang. Ketika saya kerap berulang-alik ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di Bandar Tun Razak, Cheras, hampir semua pemandu teksi Tionghua yang saya temui menzahirkan sokongan mereka kepada Pakatan Rakyat.
Malah, seperti peniaga akhbar lama tadi, sekiranya diajak berbual tentang politik, mereka seperti mahu berkempen menolak BN. Kecondongan undi mereka bukan lagi perkembangan luar biasa tetapi hujah yang diberikan ada kalanya menakjubkan, jika diambil kira latar belakang kerjaya sebagai pemandu teksi.
Pernah pada suatu pagi Ahad, semasa menunggu isteri dan anak-anak melawat Taman Rama-Rama di Taman Tasik Perdana, saya mendengar celoteh seorang pemandu bas pelancong, juga seorang lelaki Cina, awal usia 30-an dengan kerani tiket di kaunter.
Dia seperti bersyarah ringkas tentang rasuah kepada dua wanita, seorang Melayu dan seorang lagi India, sambil mengelek sebuah buku. Tidak pasti apa tajuk buku tersebut. Sesekali dia menyebut rasuah dalam bahasa Arab, rasywah; mungkin merujuk kepada kandungan buku yang sesekali ditatapnya.
Semasa saya mengiringi Adun Lembah Jaya, Khasim Abd Aziz, pertengahan Januari lalu, untuk menyampaikan sumbangan Harakah sempena Tahun Baru Cina di kawasan sekitar, sambutan masyarakat Tionghua begitu menggalakkan. Saya perhatikan jiran-jiran penerima sumbangan melambai tangan penuh keriangan ketika kereta kami melintasi rumah mereka.
Isteri saya menegur, mengapa kami tidak memberhentikan kereta sekadar menghulur limau mandarin, tanda membalas respons positif mereka. "Ramai orang Cina sekarang nampak hormat kepada wanita bertudung labuh," kata isteri saya, "dan mereka faham budaya kita seperti tidak bersalam dengan lelaki."
Sebenarnya fenomena (ada yang menyifatkannya sebagai keghairahan) pengundi Cina menolak BN sudah dijangka, malah mungkin dalam skala lebih berbesar, berbanding PRU12 yang mencetuskan tsunami politik ketika itu.
Banyak pihak meramalkan, termasuk badan-badan penyelidikan, bahawa beberapa kerusi campuran milik BN, misalnya Pandan dan Raub, yang mana pengundi Cina menjadi penentu, akan dikuasai Pakatan dalam PRU13.
Jika dalam Pilihan Raya Umum 1999, pengundi Cina dikira menjadi penyelamat kepada kerajaan BN (dan hakikat ini diakui sendiri Dr Mahathir Mohamd) yang dicabar hebat Barisan Alternatif, ekoran pemecatan Anwar Ibrahim, maka pada "ibu segala pilihan raya" nanti, tumpuan diberikan kepada pengundi Melayu.
Apakah kecenderungan mengundi mereka, terutama di kampung tradisi dan penempatan Felda, tidak akan banyak berubah seperti 2008 dan dengan itu menjadi sandaran bukan sahaja kepada pemimpin Umno, malah parti komponen BN yang lain?
Tidak hairanlah apabila Pengerusi KeADILan Johor, Chua Jui Ming menjangkakann rakan lamanya, Dr Chua Soi Lek, akan bertanding di kersui majoriti Melayu pada PRU13, sambil mendakwa Presiden MCA itu tidak mampu mendapatkan sokongan pengundi Cina.
Sementara itu, seorang rakan karib, wartawan kanan akhbar harian popular mengingatkan saya tentang keperluan PAS dan Harakah melipatgandakan lagi usaha penerangan bagi mengubah persepsi sebahagian pengundi Melayu yang dilihat agak sukar untuk berubah.
Beliau mendakwa, menurut sumber Umno, kerajaan Pakatan Selangor mungkin goncang disebabkan beberapa faktor. Selain manipulasi senarai daftar pemilih yang begitu menjolok mata, yang menyaksikan penambahan ketara pengundi sehingga 35 peratus, isu Dr Hasan Ali juga tidak boleh diremehkan.
"Kalau semua orang kenal siapa Hasan Ali memang mudahlah kerja PAS, tetapi isu yang dibangkitkannya, seperti dakwaan penguasaan DAP dan PAS yang dicucuk hidung, boleh meracuni pemikiran pengundi Melayu yang masih terkepung dengan sentimen perkauman.
"Saya yakin hujah basi Hasan Ali itu dari segi jangka panjang, ia langsung tidak relevan, tetapi untuk PRU13, yang bakal berlangsung bila-bila masa, peralihan undi yang kecil mampu merubah sebuah kerajaan. Kekhuatiran tidak berasas tentang kuasa politik Melayu yang kononnya terancam bukan hanya mempengaruhi orang kampung tetapi juga sebahagian kelas menengah," tambahnya lagi.
Saya secara peribadi bersetuju dengan ingatan bahawa PAS mesti memberikan perhatian khusus untuk menangani "kebimbangan tidak berasas" itu. Dalam politik, persepsi ada kalanya mengatasi fakta, apatah lagi jika ia tidak disanggah dengan berkesan.
"Semasa masyarakat Cina dilihat berbondong-bondong, malah tidak sabar lagi, untuk memberikan sokongan kepada Pakatan dalam PRU13, dan ini tentunya memberi kelebihan kepada DAP, dan juga KeADILan di kawasan tertentu, maka amat malang kepada PAS jika konstituensi tradisinya yang berakar kepada sokongan orang Melayu tidak turut serta dalam gelombang besar itu," hujah panjang rakan saya itu.
Beliau seterusnya merujuk ramalan penganalisis politik, Ong Kian Ming bahawa PRU13 tidak akan menyaksikan tsunami seperti yang diharapkan oleh Pakatan Rakyat bagi membawa mereka ke Putrajaya. "Saya rasa unjuran Ong itu lebih realistik," kata rakan saya
Ong berkata, bagaimanapun, keputusan berkenaan akan menyediakan pentas bagi Pakatan mengambil alih kerajaan pada PRU14. Tambah Ong, dalam PRU13 nanti BN tidak akan mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen, mereka juga akan kehilangan kerusi di Johor, Sabah dan Sarawak, selain tidak mampu merampas kembali Selangor.
Kelihatan rakan saya itu tertarik dengan kesimpulan Ong: "PRU13 adalah permulaan bagi BN kehilangan kuasanya."
Bagaimanapun, saya kira aktivis Pakatan, terutama penggerak PAS, pastinya tidak mudah mengalah "sebelum berjuang". Ramai tidak sanggup untuk menunggu lebih lama menyaksikan Putrajaya beralih terajunya. PRU14 dianggap terlalu lama dan "macam-macam boleh berlaku" dalam tempoh itu.
PRU13 masih dilihat sebagai medan paling berpotensi buat Pakatan mencipta sejarah Malaysia Baru, yang bebas daripada penguasaan Umno-BN dan cengkaman zaman gelap-gelita korupsi, salahguna kuasa dan ketamakan kroni suku-sakat membaham khazanah kekayaan negara.
Jika benar sejumlah pengundi Melayu, yang tidak kecil jumlahnya itu, terus dapat diperdaya dakyah pemimpin Umno, ia harus dilihat sebagai cabaran terbesar untuk "dilangsaikan". Jarum-jarum halus perkauman yang dikira mampu "membingungkan" mesti ditangani secara bijaksana.
Dalam masa sama, aktivis PAS akar umbi, yang berada di segenap pelosok tanahair wajar memainkan peranan sepertimana peniaga akhbar lama dan pemandu teksi yang saya temui itu. Mereka mungkin bukan ahli parti pun tetapi mempunyai kesungguhan semulajadi untuk menjadi agen perubah dan tidak rela melihat BN memerintah lebih lama lagi.
Konvoi Penerangan PAS bergerak ke selatan pula
Harakahdaily, | 17 Feb 2012 |
(Tuan Ibrahim bergambar dengan pasukan pengiring bermotor semasa konvoi jelajah Kelantan yang lepas)
KUALA LUMPUR, 17 Feb: Lebih 50 peserta konvoi penerangan PAS yang diketuai, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS akan menjelajah Negeri Sembilan, Melaka dan Johor pula mulai hari ini.
Di samping anggota Lajnah Penerangan PAS Pusat, konvoi ini akan turut disertai AJK Dewan Ulamak PAS.
Konvoi ketiga dalam siri jelajah seluruh negara ini akan bermula membuat perhentian pertama di Seremban jam 3 petang ini untuk taklimat penerangan yang akan diberikan sendiri oleh Tuan Ibrahim.
Ia bakal mengumpulkan semua jentera penerangan PAS dari seluruh Negeri Sembilan.
Sebelum ini, konvoi anjuran Lajnah Penerangan PAS Pusat telah menjelajah selama lima hari di Sabah dan Sarawak.
Siri kedua adalah negeri-negeri Pantai Timur yang bermula di Kelantn 4 Februari lepas diikuti Terengganu dan Pahang pada hari-hari berikutnya.
Dalam program kali ini, konvoi akan dipenuhkan dengan pelbagai program termasuklah penyebaran risalah, hi tea, kuliah Magbrib dan ceramah.
Pagi esoknya pula, program kuliah Subuh akan diadakan seluruh Negeri Sembilan sebelum konvoi bergerak pula ke Melaka.
Di Melaka, konvoi akan bersatu dengan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang akan turut mengisi program di negeri itu.
Keesokan harinya, 19 Februari, konvoi ini akan berangkat ke Johor pula untuk memenuhi program di sana.
"Kita telah berjaya menjalankan tugas kita dengan baik di Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum ini dengan mendapat sambutan yang menggalakkan.
"Kita yakin, program di negeri-negeri selatan ini akan juga mendapaat sambutan yang baik kerana kita dimaklumkan akan berlaku tsunami politik dalam pilihan raya akan datang ini di negeri-negeri ini," kata Misbahul Munir Masduki, Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Pusat.
Stadium runtuh: PAS perbaharui laporan kepada SPRM
Buletinonline, | 17 Feb 2012 |
(Mohd Nor, Dr Syed Azman dan Dr Alias dalam sidang media selepas membuat laporan kepada SPRM sekali lagi ekoran keruntuhan Stadium Sultan Mizan)
KUALA TERENGGANU, 17 Feb: Kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) yang runtuh dan kecurian peralatan stadium tersebut yang bernilai RM50 juta adalah tragedi yang sangat-sangat memalukan rakyat negeri Terengganu.
Oleh itu, tiga orang wakil rakyat PAS, ADUN Batu Burok Dr Syed Azman Syed Ahmad bersama ADUN Bukit Tunggal Dr Alias Razak dan ADUN Bukit Payong telah memperbaharui laporan berkaitan perkara tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ustaz Mohd Nor yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu berkata, rakyat perlu diberi penjelasan terhadap lapan persoalan yang timbul ekoran ‘tragedi’ itu.
“Persoalan besarnya bilakah baikpulih stadium itu akan dijalankan? Pihak manakah yang akan menanggung kos baikpulih tersebut? Berapakah kos sebenar baikpulih stadium itu? Berapakah kos yang akan ditanggung oleh kerajaan negeri untuk baikpulih itu?
“Adakah seluruh struktur stadium selamat digunakan? Dan siapakah yang ‘dalang’ yang bertanggungjawab terhadap kecuarian peralatan stadium itu?”soalnya.
Beliau menegaskan, kerajaan Umno dan Barisan nasional (BN) Terengganu perlu memberi jawapan segera untuk pengetahuan seluruh rakyat Terengganu.
Sehubungan itu, Dr Alias Razak selaku Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu pula berkata tragedi itu menunjukkan kelemahan tadbir urus dan ketidakupayaan kerajaan Umno dan barisan Nasional (BN)
“Setelah dua tahun (bumbung) stadium runtuh dibiar (dan) tidak dibaiki, wlaupun ada jaga satu dua orang, stadiu itu besar dan jauh (terpencil) maka ia terdedah kepada mereka yang tidak bertanggungjawab untuk mencuri peralatan,
“Ini semua (merupakan) satu kelemahan dan ketidakupayaan tadbir urus kerajaan Umno (dan) Barisan Nasional terhadap harta rakyat,”jelasnya.
Beliau juga menempelak tindakan ‘pendakwaan terpilih’ yang hanya dibuat ke atas seorang juruteknik kerana menurutnya begitu banyak kesalahan yang berlaku dalam pembinaan stadium tersebut sebagaimana dilaporkan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Menurutnya, dalam taklimat JKR kepada Jawatankuasa Kira-kira dan Kewangan Negara (PAC) punca-punca keruntuhan termasuk rekabentuk yang tidak memadai bagi menyokong struktur bumbung, salah jajaran geometri dan kawalan kualiti tidak dilaksanakan di tapak pembinaan.
Justeru, Dr Syed Azman yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS hairan, bagaimana peralatan stadium yang dilaporkan bernilai RM50 juta itu telah dicuri.
Beliau berkata, adalah mustahil set penjana kuasa yang begitu besar boleh diangkut oleh seorang atau dua orang manusia.
“Bagaimana boleh berlaku kecurian yang kitatidak dapat gambarkan! Kalau (set) penjana kuasa bagaimana (orang boleh curi sedangkan) 10 orang tak boleh angkat? ke hantu yang curi?
“peralatan latihan pun dicuri…….kerusi pun dicuri! Ini satu (kejadian) yang cukup malang,”katanya.
Ketiga-tiga ADUN PAS tersebut berkata demikian dalam sidang media, selepas memperbaharui laporan ‘tragedi’ SSMZA di pejabat SPRM Kuala Terengganu pada Khamis 16 Februari.
Tujuan laporan tersebut adalah meminta pihak SPRM menyiasat kejadian yang menimpa SSMZA sehingga ke akar umbi dan membawa pihak yang bertanggungjawab melakukan kesalahan dan penyelwengan tersebut ke muka pengadilan.
Dr Syed Azman menyifatkan ‘tragedi’ SSMZA yang bernilai RM292 juta adalah skandal yang lebih besar daripada ‘skandal lembu negara (National Feedlot Corporation - NFC) yang meilbatkan pinjaman RM250 juta.
“Memalukan….sangat-sangat memalukan kita sebagai rakyat Terengganu!,”tambahnya
Isteri Muhyiddin shopping sakan di KLCC?
Shahbudin Husin , | 17 Feb 2012 |
Sudah mula kedengaran cakap-cakap dan perbualan di kalangan rakyat bahawa isteri Muhyiddin yang sering bergaya anggun dan bertudug itu pun kelihatan gagal mengawal dirinya sejak akhir-akhir ini.
Dikhabarkan baru-baru ini beliau telah mengunjungi dan membeli belah di sebuah butik terkenal di KLCC. Tidaklah menjadi kesalahan bagi seorang isteri TPM yang sering muncul di khalayak ramai sama ada secara sendirian atau menemani suaminya untuk sesekali membeli belah di butik-butik mewah tetapi yang menjadi persoalan ialah bilamana beliau telah membeli sebanyak 18 pasang kasut di butik itu.
Kalau pun beliau begitu kerap muncul di khalayak ramai dan ingin kelihatan tampil berbeza serta bergaya, pembelian sebanyak 18 pasang kasut sekaligus tentulah agak tidak munasabah. Tidak bolehkah dibeli hanya tiga atau empat pasang saja? Atau tidak bolehkah ditunggu sehingga selepas pilihanraya dan selepas BN menang cemerlang dulu?
Diberitakan juga bahawa selain "memborong" sebanyak 18 pasang kasut, isteri TPM itu juga membeli beberapa beg tangan yang turut mencecah puluhan ribu ringgit jumlah keseluruhannya.
Jika benarlah perkhabaran yang kini mula dibualkan secara meluas ini, ia adalah episod malang bagi UMNO, BN dan rakyat Malaysia kerana dalam suasana negara menghadapi piliharaya dan negara pula berhadapan dengan pelbagai macam masalah serta skandal, kita terus juga dihidangkan dengan cerita-cerita pembaziran dan pemborosan begini.
Rakyat pada umumnya sudah muak dengan berita-berita sebegini dan ia pastinya sedikit-sebanyak makin menghakis kepercayaan rakyat kepada UMNO, BN, kerajaan yang sedang memerinrah sekarang ini. Dalam suasana kesedaran rakyat makin tinggi sekarang ini, apa saja perilaku pemimpin dan keluarga mereka sering menjadi perhatian dan jika keterlaluan, pastinya bahana besar sedang menunggu.
Sebelum ini beberapa siri kemewahan isteri Najib iaitu Rosmah Mansor yang banyak didedahkan media dalam dan luar negara, pelbagai skandal dan penyelewengan yang melibatkan pemimpin termausk isu lembu NFC, sudah cukup meletakkan UMNO, BN dan kerajaan terperosok dan begitu hodoh di mata rakyat. Dan perkhabaran mengenai isteri Muhyiddin ini hanya menambahkan lagi titik hitam pada wajah politik negara.
Sebelum ini, di pelbagai negara seperti Filipina, Mesir dan Tunisa, perbuatan isteri pemimpin yang bergaya mewah, membazir dan bernampilan berlebih-lebihan sudah banyak dicatatkan dan menjadi antara sebab kepada penolakan rakyat terhadap sesebuah kerajaan itu dan akhirnya ditolak jatuh oleh rakyat.
Apa-apa pun, sebelum lebih banyak berita-berita lain didedahkan, adalah penting untuk Muhyiddin membuat penjelasan mengenai perkara ini kerana sebelum ini penglibatan anak dan menantunya dalam pelbagai perniagaan yang berkaitan bidang kuasa Timbalan Perdana Menteri serta dakwaan seorang setiausaha di kementeriannya menerima sogokan, turut didedahkan kepada umum dan menjadi perbualan ramai. (SH 16/02/2012) - http://shahbudindotcom.blogspot.com
Peniaga pasar borong mengeluh, bayar sewa kemudahan tiada
Buletinonline, | 17 Feb 2012 |
KUALA TERENGGANU, 17 Feb: Para peniaga di Pasar Borong Gong Pauh dekat sini melahirkan rasa tidak puas hati kepada pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kerana tidak memperbaiki infrastruktur asas pasar tersebut walaupun mereka membayar sewa.
Kemudahan asas seperti jalan dan perparitan yang rosak dan bekalan air yang terputus bekalannya tidak dipulihkan sejak sekian lama.
Seorang peniaga ikan, Johari Abdullah, 50, (Gambar bawah kiri) berkata semua peniaga pasar tersebut adalah terdiri daripada orang-orang Melayu tetapi kerajaan tidak memberikan perhatian.
“Kalau pasar (orang) Melayu dia buat begini, kalau pasar bangsa lain nombor satu dia buat, ke dia nak suruh kita angkat sepanduk (bantahan),
“Tangki air besar tapi (bekalan) air tak ada, kita minta paip (setiap) kedai satu, pasal apa dia tak beri, kita bayar ke dia (pihak berwajib) bukan free (percuma),”ujarnya ketika ditemui.
Katanya, kalau peniaga tidak bayar sewa, pihak berkenaan akan rentang kain merah, bagi menyekat peniaga dari menjalankan perniagaan.
Beliau berkata, kerajaan menghabiskan belanjawan lebih RM1 bilion tapi kemudahan asas pasar tersebut tidak juga diperelokkan.
Menurutnya, beberapa kali aduan dibuat kepada pihak berkenaan, tetapi tidak dilayan kerana pihak terbabit berkata kerajaan akan mendirikan pasar borong yang baru.
Namun begitu, Johari berkata, jawaan yang sama telah diberi sejak lima tahun yang lalu.
“bila kita cakap-cakap (mengadu) dia kata nak buat pasar baru….tapi bila? Lama dah cerita nak buat pasar baru tu,”jelasnya.
Manakala rakannya, Haji Omar Mohamad, 60, (Gambar kanan) seorang peniaga barangan keperluan dapur berkata kemudahan air yang paling teruk kesannya kepada peniaga.
Beliau berkata, surau tempat para pemiaga menunaikan solat setiap pada setiap hari juga tidak ada bekalan sejak sekian lama.
Oleh itu, beliau merayu supaya kerajaan dapat memberikan perhatian kepada peniaga pasar borong terseut yang menurutnya terdiri daripada 99% orang-orang Melayu.
“Kerajaan kata nak tolong orang-orang Melayu, peniaga dalam pasar ni 99% orang Melayu, kerajaan sepatutnya membantu peniaga-peniaga Melayu,”tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan