Khamis, 9 Februari 2012

BILA ALLAH NAK BAGI FAHAM..BILA ALLAH NAK BONGKAR KEBURUKAN...BILA ALLAH NAK BERI TAUFIK HIDAYAH...TIADA SAPE BOLEH SEKAT...

Kelantan sedia lepaskan Salahuddin

Rizal Tahir,09 Feb 2012
KOTA BHARU, 9 Feb: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bersedia melepaskan Naib Presiden Salahuddin Ayub (gambar)sekiranya Johor memerlukan beliau walaupun keberatan.

Tuan Guru berkata, pucuk pimpinan parti bersedia memberi laluan kepada Salahuddin untuk bertanding di negeri Johor yang juga tempat kelahirannya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) sekiranya Anggota Parlimen Kubang Kerian itu lebih diperlukan di sana.

"Saya sedia lepaskan dia (Salahuddin) bertanding di sana (Johor), jika PAS Johor betul-betul perlukan khidmatnya,” ujarnya.

Tuan Guru berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed untuk menarik Salahuddin bertanding di negeri itu.

Selain itu, Nik Aziz juga berharap dengan perpindahan Salahuddin itu juga dapat mengukuhkan lagi kedudukan Pakatan Rakyat yang semakin diterima masyarakat di negeri itu.

“Apa-apa pun biar PAS Johor berbincang dahulu dan tentukannya.

“Jika itu adalah untuk kemenangan parti, kita kena lepaskannya,” katanya keberatan.

Nik Aziz berkata, di samping akur kepada keputusan pucuk kepimpinan beliau juga memberi ruang kepada Salahuddin bertanding di mana-mana kerusi yang bersesuaian.

Semalam,  Salahuddin dalam kenyataannya menyatakan kesediaan beliau untuk bertanding di mana-mana kawasan.

Bagaimanapun tidak bermaksud untuk menjadikan tawaran sebagai Menteri Besar sebagai matlamat utama perjuangannya dalam parti.

“Saya hanya menerima keputusan parti,”ujarnya semalam.

Menjawab komen Fuad Zakarshi

Nik Abdul Aziz Nik Mat,09 Feb 2012
Merujuk kepada komen Fuad Zakarshi (UM & BH 8 Februari 2012) yang mencadangkan agar saya ditarbiyah semula atas sebab enggan memberi komen terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim atas isu negara Israel. Ia sesuatu yang jelas tersesat.

Saya amat kesal atas pemikiran sekular seorang timbalan menteri juga bekas seorang guru Yayasan Anda di bawah bumbung ABIM yang dikatakan pernah menyokong kepimpinan Anwar Ibrahim kelihatan begitu dungu dalam menilai mana satu yang benar dan mana pula yang salah.

Sepatutnya sebagai seorang yang pernah mengagumi Anwar Ibrahim dan pernah duduk sebumbung Yayasan Anda/Markaz ABIM sepatutnya sudah tahu permainan kotor media tajaan Barat (WSJ) itu yang kerjanya untuk menjatuh kredibliti seorang yang tidak sebulu dengan Israel. 

Begitu juga akhbar Barat dan pro-Barat juga yang acapkali mengulang-ulang kes liwat (menuduh Anwar) atas sebab untuk memalukan hamba Allah ini.

Apakah hak Fuad Zakarshi mencadang saya ditarbiyah semula? Sedang beliau sendiri sudah dilihat gagal memahami prinsip tarbiyah. Kalau benar dia memahami tarbiyah, masakan boleh membuat respon atas fakta yang diputar oleh WSJ, hantu media Barat yang sentiasa bertindak untuk memecah belah umat Islam. Logikkah saya mengulas atas fakta yang belum pasti benar kerana ia bukan dari sumber pertama.

Sebaiknya Fuad dapat berjumpa sendiri Anwar jika benar ingin mencari pencerahan. Kerana Anwar pernah jadi ketuanya.

Justeru adalah sesuai kalau dia ingin mencari kebenaran, baik sahaja pergi beribadat di masjid. Tapi bagi seorang yang mendokong ideologi kebangsaan sekular, sudah tentu tidak sesuai mencari kebenaran di masjid. 

Saya cadangkan lebih baik mencari kebenaran di bilik tandas. Kerana dalam tandas sudah tentu sesuai––banyak syaitan dan iblis yang boleh merangsang fikirannya––menjadi waras selari dengan otak sekular.

Maka, tak payahlah asak dan menyibuk untuk mentarbiyah semula orang lain. Kerana asas tarbiyah itu hendaklah dipaksikan dengan keredahaan Allah. 

Mana ada hak bagi manusia seumpama Fuad Zakarshi untuk mentarbiyah orang lain, sedangkan dia sendiri sedang menganut ideologi yang bercanggah dengan keredhaan Allah SWT.

KSSB nafi Double Dignity terlibat dalam industri pasir

Harakahdaily,09 Feb 2012
SHAH ALAM, 9 Feb: Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Selangor, menafikan dakwaan bahawa syarikat Double Dignity (M) Sdn Bhd terlibat dalam industri pasir di Negeri Selangor.

Menurut kenyataan KSSB, syarikat Double Dignity tidak berdaftar di bawah KSSB dan tidak boleh terlibat dalam aktiviti mengorek dan menjual pasir sama ada atas tanah milik persendirian atau tanah kerajaan.

Sejak KSSB ditubuhkan pada 2008 yang bertujuan mempelopori industri pasir dan batuan di Negeri Selangor, KSSB ini tidak pernah menerima permohonan dari syarikat Double Dignity untuk menjalankan sebarang aktiviti melibatkan industri pasir di negeri ini.

"KSSB sedia untuk disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama kepada SPRM dan pihak berkuasa lain dalam apa jua siasatan yang melibatkan KSSB," kata kenyataan itu.

Double Dignity adalah nama syarikat yang didakwa oleh blogger Raja Petra Kamarudin terlibat dalam kerja-kerja mengorek pasir di Selangor.

Soal kerusi Zaid terserah kepada PAS - Nik Aziz

Rizal Tahir,09 Feb 2012
KOTA BHARU, 9 Feb:Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata beliau tidak boleh membuat sebarang keputusan berhubung parti melainkan pihak PAS Pusat sendiri.

Katanya, begitu juga cadangan berhubung Presiden KITA Datuk Zaid Ibrahim, bertanding atas tiket PAS pada Pilihanraya Umum ke-13 akan datang di Kota Bharu.

Nik Aziz berkata ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar harian hari ini yang bertajuk ‘Zaid ditawar calon kerusi PAS’ melalui kenyataan Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Pulau Pinang, Tan Tee Beng.

Tee Beng mendakwa Timbalan Presiden PAS, Mohamed Sabu telah memujuk Zaid untuk bertanding atas tiket PAS.

“Saya tidak boleh membuat sebarang keputusan sendiri, PAS Pusat yang akan menentukannya, saya tidak boleh buat,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program Sambutan Hari Suami Isteri 2012 Negeri Kelantan, di Balai Islam Lundang, hari ini.


Ikon Keluarga Mawaddah

Terdahulu Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan isteri Datin Tuan Sabariah, mendapat penghargaan Ikon Keluarga Mawaddah Negeri Kelantan.

(Mohd Amar menyampaikan frame gambar kepada Nik Aziz setelah diumumkan sebagai ikon keluarga mawaadah  pertama.)
Beliau dipilih berdasarkan kejayaannya melayari bahtera ‘perkahwinan’ bersama selama 50 tahun hingga dianugerahkan 10 orang anak dan bakal menyambut kelahiran cucu yang ke 57 pertengahan tahun ini.

Cenderahati penghargaan itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri, Wan Ubaidah Omar.

Sementara itu seramai 10 pasangan telah terpilih mendapatkan cenderahati masing-masing antaranya Adun Limbongan Drs Zainuddin Awang Hamad dan isteri Mariah Ibrahim.

Mereka dipilih kerana keserasian sebagai wakilrakyat yang sering bersama ke mana sahaja terutama menghadiri program kerajaan negeri dan turun ke bawah.

Ceramah khas dedah BN gadai tanah orang Melayu

Aziz Muda,09 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 9 Feb: Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat akan mengadakan ceramah perdana khas berhubung isu penggadaian tanah orang-orang Melayu di negara ini oleh pihak Umno dan Barisan Nasional (BN). 

Ceramah tersebut akan diadakan pada 12 Februari ini mulai jam 9.00 malam di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM) di Taman Melewar, di sini.

Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Cawangan Lembah Klang (Anak Lembah Klang), Mohd Nasaie Ismail berkata, tujuan ceramah itu diadakan bagi mendedahkan usaha penggadaian tanah rakyat Malaysia, khususnya tanah-tanah Felda dan Felcra, oleh pemerintah Barisan Nasional. 

Menurutnya, ceramah tersebut akan disampaikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. 

Katanya, selain itu, beberapa penceramah lain yang pakar dan berpengalaman khas dalam hal ehwal tanah, Felda dan Felcra, turut terlibat. 

"Di antaranya ialah bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Tak Kee Kong, bekas Naib Presiden Kanan Felcra, Datuk Ramli Buyung dan Presiden Anak Kebangsaan, Mazlan Aliman," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai di seluruh Lembah Klang terutamanya dijemput hadir untuk mengikuti ceramah tersebut bagi memahami secara dekat masalah penggadaian tanah rakyat Malaysia oleh pihak Umno BN.

Katanya, tindakan penggadaian tanah orang-orang Melayu, khususnya dalam Felda, kini amat giat dilakukan oleh pihak Umno BN menerusi pihak pentadbiran organisasi tersebut melalui usaha penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) ke Bursa Saham Malaysia. 

Kini pihak Umno BN termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bagaimanapun sedang giat mempengaruhi orang ramai dengan dakwaan tindakan yang dilakukan itu akan mendatangkan keuntungan besar kepada orang-orang Melayu khususnya kepada para peneroka sendiri.

Walaupun tentangan telah diberikan oleh pelbagai pihak termasuk para peneroka sendiri, pihak pentadbiran Felda dan para pemimpin Umno BN bagaimanapun tetap berusaha untuk meneruskan tindakan tersebut demi kepentingan peribadi mereka sendiri.

Jawapan balas para pemimpin Umno BN berhubung perkara itu sememangnya boleh mengelirukan orang ramai jika tidak dihalusi dengan betul. 

Usaha Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat dan Anak mengadakan ceramah tersebut, tegas Nasaie, perlu dimanfaatkan oleh orang ramai dengan baik, dengan bersama-sama hadir mengikutinya, bagi membolehkan pelbagai pihak mengetahui rahsia sebenar tindakan tersebut dengan lebih jauh.

Tiada ulasan: