Jumaat, 3 Februari 2012

DALAM PILIHAN RAYA..KEJUJURAN...BERSIH DARI PENIPUAN ITU WAJIB AGAR TAK DIDAKWA OLEH ALLAH DIAKHIRAT KELAK...

PRU13: Dakwat kekal tak cukup, media mesti bebas

Khairul Azlam Mohamad,03 Feb 2012
MARANG, 3 Feb:Penggunaan dakwat kekal yang bakal dilakukan oleh pemerintah Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) nanti tidak cukup, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.


Katanya, antara perubahan yang terpenting adalah kebebasan media sebagaimana yang dituntut oleh PAS dan Pakatan Rakyat selama ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual oleh wartawan New Straits Times di kediamannya di Rusila, hari ini.

Menurutnya, peranan media sangat penting selaku saksi yang bertanggungjawab terhadap keterangan-keterangan yang diutarakan kepada rakyat.

Manakala, katanya rakyat pula bertindak sebagai ‘hakim’ yang adil dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, demokrasi barat telah pun melakukan perubahan dengan cara mengambil pendekatan feqah politik Islam.

Katanya, barat melakukan perubahan dengan memberi hak kepada rakyat membuat pilihan serta menjadi ‘hakim’ yang adil.

Menurutnya, peranan media pula sama seperti peranan saksi di mahkamah yang perlu memberi keterangan nyata dan adil kepada hakim.

“Bagaimana rakyat boleh jadi hakim yang adil sekiranya mereka hanya mendengar dari sebelah pihak sahaja,” ujarnya yang juga Adun Ru Rendang.

Menurutnya lagi, liputan media arus perdana terutama media elektronik di negara ini masih berlaku sebelah pihak sahaja.

Bahkan, katanya peranan media cetak juga terhad yang diberikan pemerintah kepada parti-parti bukan kerajaan

Macam Muhyiddin lawan Najib, menang Soi Lek

Harakahdaily,03 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 3 Feb: Pemimpin Umno berkempen di kawasan pengundi Melayu mendakwa jika mengundi PAS maka yang menang ialah DAP manakala MCA pula berkempen di hadapan pengundi Cina, jika mengundi DAP yang berkuasa nanti ialah PAS.

“Inilah dakwaan terbaru Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek kepada orang Cina,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad sebagai respons kepada kenyataan Soi Lek hari ini.

Katanya, itulah hujah dua parti utama komponen BN ketika berhadapan dengan pengundi masing-masing demi mengekalkan kuasa di dalam pilihanraya akan datang walau pun hujah yang dikemukakan penuh dengan pembohongan dan pendustaan.

Menurutnya, Presiden MCA terpaksa berhujah begitu kerana partinya sudah tidak serasi lagi kepada orang Cina, maka satu hujah yang masih ada ialah hujah perkauman dan membelit fakta.

“Malahan yang paling kelakar mereka menuduh YAB Lim Guan Eng menindas orang Cina di Pulau Pinang sedangkan proksi Umno pula mengadakan siri demonstrasi kononnya kerajaan Pulau Pinang menindas orang Melayu,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Manakala Umno pula, katanya berjaya menakutkan orang Melayu, terutama di kawasan pedalaman yang mengatakan negara ini akan diperintah Cina jika Umno tewas kepada PAS.

Paling lucu sekali, ujarnya ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan DAP ganti PAS, bukan PAS ganti Umno ketika merasmi Persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri tempoh hari.

“Macam mana seorang Menteri Pelajaran boleh menyebut sedemikian rupa kerana realiti yang berlaku ialah PAS lawan Umno, macam mana pula DAP yang menang. Kalau begitu samalah analogi songsang Muhyiddin lawan Najib yang menang ialah Soi Lek,” ujarnya.

Anak, Bapa, Kerabat serah memo kepada Zambry

Muhammad Faeez,03 Feb 2012
IPOH, 3 Feb: Tiga badan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Badan Bertindak Peserta Felcra (Bapa) dan Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera Malaysia (Kerabat) menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, hari ini.

Pengerusi Bapa, Razman Zakaria mengetuai penyerahan memo itu kepada wakil Zambry di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, di sini jam 4 petang tadi.
Katanya, Kerabat mendesak kerajaan supaya menunaikan janji-janji kepada bekas tentera dan parajurit.
Ujarnya, ini kerana kerajaan berjanji akan menyediakan 7,000 lot tanah kepada bekas tentera tetapi sehingga kini janji tersebut tidak ditunaikan.
“Saya berharap janji kepada lebih 36 ribu bekas tentera dapat direalisasikan dengan segera,” katanya.
Tambahnya, kerajaan juga pernah berjanji dengan Majlis Bekas Tentera bahawa bekas-bekas tentera layak mendapat tanah pertanian tetapi hingga sekarang janji tersebut belum direalisasikan.
Anak pula, katanya di dalam memorandum berharap kerajaan negeri tidak menyerahkan tanah milik Felda seluas 6,800 ekar yang kini di bawah Felda Plantation yang akan tamat perjanjiannya kepada Felda Global Ventures Holding.

“Penyerahan kepada Felda Global memberi risiko tinggi yang membolehkan tanah ini tergadai kepada pihak asing,” katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak.
Beliau mengharapkan kerajaan negeri yang diketuai oleh Zambry tidak membenarkan perkara itu terjadi.
Tambahnya, Bapa difahamkan perjanjian pihak Felcra dengan tuan tanah di kampung tradisional yang hampir 15 tahun masih tidak selesai.
“Kami mohon kerajaan negeri supaya melihat perkara ini dan mengambil keputusan sewajarnya serta melangsaikan hutang tuan tanah,” ujarnya.
Turut hadir ialah bekas pegawai tinggi TLDM yang juga Penasihat Kerabat Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid, Ketua Penerangan Dewan Ulamak Negeri, Ustaz Norazli Musa.

Elaun: Pelajar Kolej Trefound-YT jadi mangsa

Khairul Azlam Mohamad,03 Feb 2012
KUALA TERENGGANU, 3 Feb: Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu digesa  menyelesaikan segera masalah 200 pelatih Institut Kemahiran Trefound Educare di bawah kelolaan Yayasan Terengganu yang tidak dibayar elaun bulanan yang tertunggak sejak setahun lalu.

Para pelatih Tahap Dua, Tiga dan Empat terbabit mendakwa tidak menerima bayaran pinjaman atau elaun bulanan yang sepatutnya dibayar sebanyak RM250 sebulan.

Bayaran pinjaman tersebut bukan ‘rekaan’ pelajar terbabit tetapi terkandung dalam surat tawaran ketika menyertai kursus berkenaan sejak April 2011.

Wakil pelatih, Syed Husain Solahuddin Syed Hassan, 21, dari Kampung Paloh bosan dengan janji-janji yang tidak ada kesudahan serta bimbang masa depan pengajiannya.

Acap kali telah kami jumpa pihak pengurus dan pentadbir yang minta kami tunggu bulan ke bulan,” jelasnya ketika ditemui di pejabat pengurusan Trefound Educare-YT, Tingkat Empat, Bangunan Yayasan Terengganu di Jalan Sultan Ismail, semalam.

Menurutnya, masalah tersebut tidak pernah berlaku sejak ditubuhkan tahun 2002 sehinggalah bermasalah tahun 2011.

Rakannya, Nur Qurratu Ain Vidad Muhammad Hatta, 22, dari Kampung Paloh mendakwa masa depan pelatih kolej itu terumbang-ambing.

Katanya, para pelatih menghadapi masalah jika pembiayaan tidak dilakukan bagi meneruskan pengajian masing-masing.

“Bahkan, ada kawan-kawan yang terpaksa bekerja sambilan sebagai promoter pasaraya, berniaga sampingan dan lain-lain,” ujarnya.

Beliau sangat mengharapkan agar kerajaan negeri yang utamakan kepentingan rakyat segera menyelesaikan masalah tersebut.

Sementara itu, Pengarah Yayasan Terengganu, Zakaria Yusuf menegaskan pihaknya tidak akan bertanggungjawab terhadap masalah pembayaran elaun atau pinjaman tertunggak hampir 200 pelatih kolej tersebut.

Katanya, pihak YT tidak menawarkan sebarang penajaan pinjaman kepada pelatih kolej terbabit selepas tahun 2010 serta tidak ada sebarang perjanjian baru berhubung perkara tersebut.

“Sebelum ini, ada mereka berjumpa saya dan kemukakan masalah ini dan saya tidak tahu mengenainya (perjanjian). Mereka kata ada tetapi apabila disemak, data itu tidak wujud. Kalau ada perjanjian dengan YT, sudah tentu ada datanya,“ jelasnya.

Beliau mendakwa meski pun Trefound Educare adalah milik penuh YT yang ditubuhkan pada tahun 2002 tetapi tidak ada maklumat yang sampai kepada pihaknya mengenai pengambilan pelajar tahun 2011.

Tiada ulasan: