Ahad, 5 Februari 2012

BOLEH TAHAN ATAU TIDAK...BUKAN KUASA MANUSIA..KITA IKHTIAR@USAHA AJE...KETENTUAN ALLAH...JIKA TAKDIR ALLAH MENYEBELAH PEMBANGKANG...APA TEKTIK PUN TAK JALAN...INGAT HATI2 MANUSIA MILIK ALLAH...JADI TAATLAH PADA ALLAH...

Fokus PRU13, jangan sibuk cabut kemuncup

Zulkifli Sulong, 05 Feb 2012
KUALA TERENGGANU, 5 Feb: PAS mengarahkan semua jenteranya memberikan fokus sepenuhnya untuk memenangi pilihan raya umum akan datang kerana peluang  untuk PAS menang amat besar.

"Kita sekarang nak hadapi pilihan raya jadi kena fokus. Masa ini tak perlu cabut kemuncup kat baju atau stokin kita, fokus kepada nak sumbat gol.

"Ini tak, penjaga gol pun dok sibuk sabut kemuncuk sampai orang sumbat gol pun tak sedar," kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika memberi taklimat kepada jentera penerangan PAS Terengganu.

Beliau bersama 80 ahli rombongan sedang dalam siri konvoi penerangan menjelajah seluruh negara menjelang pilihan raya ke-13.

Hari ini adalah hari kedua jelajah selepas mereka berada sehari suntuk di Kelantan semalam.

Esok konvoi yang diketuai Tuan Ibrahim ini akan ke Pahang pula selepas selesai program di Terengganu hari.

Program konvoi ini akan bersambung balik hujung minggu depan ke selatan pula bermula dengan Negeri Sembilan dikuti Melaka dan Johor.

Turut serta dalam sessi taklimat hari ini adalah semua AJK Penerangan PAS peringkat negeri dan kawasan.

Turut menyertai konvoi adalah Setiausaha Penerangan PAS Pusat, Misbahul Munir Masduki, AJK, Nuridah Salleh, Drs Khalil Idham Lim dan Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Tuan Ibrahim mengaku ada sebahagian jentera PAS tidak fokus dengan membincangkan isu-isu dalaman yang sebenarnya bukan isu termasuk isu pemecatan Datuk Dr Hasan Ali.

Untuk kepentingan jamaah, katanya, PAS kena fokus untuk menang dalam pilihan raya ini kerana pilihan raya ini adalah peluang terbaik untuk PAS dan Pakatan Rakyat menang.

Menurut beliau, orang Cina berdasarkan servey sekarang sudah 83 peratus menyokong Pakatan Rakyat.

Oleh itu, katanya, peluang terbuka luas untuk Pakatan Rakyat menuju Putrajaya dalam pilihan rayam

Dalam majlis itu, Tuan Ibrahim memberikan peringatan kepada petugas PAS agar mengamalkan tiga perkara bagi melancarkan kemenangan PAS iaitu
Ikhlas dalam perjuangan, sabar dalam menghadapi perjuangan dan solat malam (tahajud) untuk mendekatkan diri kepada Allah.

"Juga sentiasa memohon ampun kepada Allah kerana kita bimbang tidak menang kerana dosa ahli kita," kata Tuan Ibrahim.

Selain taklimat, rombongan juga menyertai pelbagai program dari kuliah Subuh, hi tea, perlawanan bola, kuliah Maghrib dan ceramah umum.

Provokatif: PAS gesa polis bertindak adil, profesional

Aziz Muda, 05 Feb 2012

KUALA LUMPUR, 5 Feb: Pihak polis digesa bertindak adil dan profesional dengan tidak memihak kepada parti dan pemimpin-pemimpin tertentu dalam menangani setiap kejadian dalam masyarakat.

Suasana dalam masyarakat kita sekarang amat merbahaya kerana pihak yang berlawan dengan Pakatan Rakyat ternyata cenderung menggunakan tindakan-tindakan provokatif yang melampau, sehingga mengancam nyawa para pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat. 

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman (gambar) berkata, perkembangan yang tidak sihat itu jika tidak ditangani dengan baik dari sekarang pasti akan lebih menyukarkan lagi pihak polis untuk menanganinya pada masa akan datang.

Menurutnya, kesemua kejadian yang berlaku itu pasti telah diketahui oleh pihak polis kerana ia telah dilaporkan oleh pihak-pihak berkenaan untuk tindakan pihak berkuasa.

Katanya, namun sehingga kini masih juga tidak terdapat tindakan yang sewajarnya dari pihak polis dengan menangkap dan membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan.

"Pada hal, kesemua insiden itu amat serius. Contohnya pada 3 Februari lalu, dua buah kereta dan rumah Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Dzulkefly Ahmad telah dibakar yang jelas bukan sahaja memusnahkan harta benda, tetapi juga mengancam nyawa Dzulkefly dan keluarganya.

"Apakah mekanism polis untuk menyiasat dan menyelesaikan kes itu? Apakah pihak polis tak tahu kecenderungan penggunaan provokatif yang melampau dari pihak yang terbabit itu dalam hal ini?" katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.    

Kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 3.40 pagi ketika Dzulkefly dan enam anggota keluarganya sedang nyenyak tidur di tingkat atas.

Akibat kejadian itu, dua buah kereta kepunyaan Dzulkefly terbakar dan tingkat bawah rumahnya di Taman Universiti di Johor Bahru pula turut hangus terbakar.

Dzulkefli yang sedang nyenyak tidur terkejut mendengar letupan kuat akibat kebakaran keretanya dan ketika api sedang membakar, beliau sempat mengejutkan seluruh anggota keluarganya untuk keluar dari pintu belakang bagi menyelamatkan diri.

Menurut Mazlan, sebelum itu beberapa kejadian lain telah berlaku, termasuk letupan bom di kawasan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada hari keputusan kes tuduhan liwat terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diumumkan pada 9 Januari lalu.

Katanya, sebelum itu, turut berlaku kejadian-kejadian provokatif melampau lain dari pihak tertentu yang membabitkan pembakaran surau dan gereja di negara ini, di samping tindakan membaling babi ke dalam kawasan serta ke dalam surau dan masjid.

"Sekarang juga sudah sering terjadi rumah-rumah pemimpin Pakatan Rakyat yang dibaling dengan cat merah serta ancaman ugutan bunuh ke atas para pemimpin Pakatan Rakyat.

"Manakala ceramah-ceramah pemimpin Pakatan Rakyat, termasuk ceramah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu diganggu dan diceroboh sehingga mencederakan orang awam," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor menegaskan, kesemua kes tersebut jelas menunjukkan penggunaan provokatif yang amat keras dari pihak-pihak terbabit yang sepatutnya disiasat dengan segera dengan terperinci oleh pihak polis.

"Tetapi sehingga sekarang masih juga tidak dilakukan tangkapan oleh pihak polis ke atas mereka yang terbabit, malah perkembangan penyiasatan pihak polis mengenai kejadian-kejadian itu amat mengecewakan," tegasnya.

Sebelum ini, tambahnya, penggunaan provokatif melampau seperti itu berlaku di luar negara dan mereka yang terbabit akan menggunakan mafia dan genstar untuk menjayakan perancangan jahat mereka itu.

"Kini, di negara kita juga sudah berlaku tindakan ganas seperti itu. Ini semua mula berlaku selepas PRU Ke-12 pada tahun 2008 lalu setelah Pakatan Rakyat mendapat sokongan yang kuat daripada orang ramai," katanya.

Kesemua tindakan tersebut, tegas beliau, jelas menunjukkan perkembangan yang tidak sihat terhadap politik di tanah air yang amat perlu dihentikan dan ditangani dengan baik oleh pihak polis.

"Sedangkan di negara-negara maju tidak berlaku sedemikian. Sebaliknya, perkembangan politik mereka berlaku dengan baik. Mereka menghadapi persaingan yang sihat, dengan menggunakan pendekatan hujah, intelektual serta tawaran alternatif kepada rakyat," ujarnya.

Beliau tidak menolak kemungkinan kesemua kejadian itu tidak dilakukan oleh orang biasa, sebaliknya didalangi pemimpin-pemimpin tertentu di negara ini.

Sehubungan itu, beliau bagi pihak PAS berhajat untuk menemui Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, pada 8 Februari ini di Bukit Aman bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkembangan penyiasatan pihak polis mengenai kesemua kes tersebut, di samping keberkesanan tugas pihak polis dalam mengawal ketenteraman dan keselamatan negara.

"Dalam pertemuan itu, saya akan mendesak pihak polis agar menggunakan pendekatan yang betul dalam beberapa aspek termasuk mempercepatkan tindakan dan membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan," tegas beliau.  

Guna duit parti untuk parti, bukan duit kerajaan

Hazayani Zakaria, 05 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 5 Feb: Sesebuah parti politik berperanan menentukan corak pemerintahan kerajaan tetapi sesebuah kerajaan tidak bertanggungjawab membangunkan parti, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak berhak menggunakan peruntukan untuk sebarang aktiviti parti.

Mengambil contoh di Kedah, walaupun PAS memerintah negeri itu, kerajaan negeri tidak pernah menyediakan peruntukan untuk aktiviti parti.

"Parti yang menentukan kerajaan tapi kerajaan tidak ada tanggungjawab untuk membangunkan parti.

"Orang selalu tanya kenapa kita (PAS) masih minta sumbangan orang ramai selepas kita memerintah.

"Rakyat kena faham, nak bangunkan parti mestilah guna duit parti, duit dalam poket ahli dan penyokong parti, tak boleh guna duit kerajaan negeri sesuka hati," kata beliau sewaktu berucap di Majlis Malam Mahabbah Anak Kedah di Perantauan, di Markaz PAS Taman Melewar, malam tadi.

Majlis makan malam anjuran PAS Kawasan Pokok Sena itu bertujuan mengutip dana bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 dan untuk penambahbaikan Kompleks PAS Pokok Sena.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga berkata, banyak salah guna kuasa dan penyelewengan berlaku dalam kerajaan BN kerana mereka tidak membezakan peruntukan untuk pembangunan negara dan aktiviti parti.

"Kalau kerajaan tidak membezakan antara pembangunan negeri dengan pembangunan parti, itu yang berlaku salah guna kuasa dan penyelewengan. Duit keluar untuk parti," katanya.

Menyentuh mengenai rumus Parlimen akan dibubarkan minggu hadapan, beliau berkata, PAS sudah bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa dari sekarang.

"Rumus terbaru kata Parlimen bubar minggu depan. Kita tak tahu sejauh mana kebenarannya tapi bagi PAS, kita sudah bersedia. Cepat atau lambat, kita memang kena hadapi pilihan raya.

"Saya yakin suasana pilihan raya makin terasa dan momentum yang ada memperlihatkan rakyat sudah tidak sabar-sabar nak hadapi pilihan raya," katanya lagi.

Momentum ini katanya, bukan sahaja berlaku dalam negara tapi juga di luar negara.

"Minggu lepas saya ke luar negara bertemu dengan anak-anak Malaysia di sana dan sambutan yang diberi sangat memberangsangkan.

"Ada ketua Kelab Umno di luar negara hadir program kita dan menyatakan sokongan kepada PAS dan memberikan derma untuk program kita. Ini satu perkembangan yang mengejutkan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud dalam ucapannya menyeru anak muda agar melibatkan diri dalam kerja-kerja parti selain pulang mengundi bagi mempertahankan kemenangan PAS di Kedah.

"Saya menyeru kepada golongan muda, jangan takut untuk terlibat dalam parti.

"Banyak sumbangan yang boleh diberikan oleh golongan muda selain mengundi PAS. Anak-anak muda di luar sana amat memerlukan sentuhan anak-anak muda PAS yang faham Islam.

"PAS bukan sahaja parti politik tapi juga parti dakwah. Jadi politik dan dakwah harus seiring," katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Raja dan merupakan anak kelahiran Kedah.

Dalam pada itu, penyanyi terkenal di era 80-an, yang kini telah berhijrah, Aisyah turut hadir dalam majlis malam tadi.

Tidak seperti kebiasaan, Aisyah yang seringkali diundang membuat persembahan, malam tadi diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan.

Walaupun Aisyah tidak menyatakan secara jelas sokongan terhadap PAS, tetapi ucapannya menggambarkan beliau mula menerima PAS sebagai parti yang memperjuangkan Islam.

"Saya memang tak pandai berpolitik. Dan dulu saya tak ambil kisah pasal perkembangan di sekeliling.

"Tapi bila saya bergelar ibu, dan anak-anak saya kian membesar, saya semakin risau dengan susana sosial yang semakin tenat.

"Saya mencari pimpinan yang boleh menjaga akidah anak-anak saya," katanya yang semakin kerap menerima undangan dalam program-program anjuran PAS.

Umno bayangkan strategik kotor pertahan Putrajaya

Aslani M, 05 Feb 2012

MACHANG, 5 Feb: Umno dan Barisan Nasional (BN) dianggap begitu terdesak bagi mempertahankan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13, apabila dilihat cuba membayangkan menggunakan strategi kotor.

Ini dapat dibuktikan berdasar ucapan Perdana Menteri apabila cuba menggambarkan Umno akan mempertahankan Putrajaya sehingga ke titis darah terakhir.  Dan terbaru pula Datuk Seri Najib Razak mengeluarkan kenyataan kira-kira 20,000 anggota Rela sedia mempertahankan pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kenyataan seperti itu yang dilafazkan seorang ketua negara cukup membimbangkan, seolah-olah membayangkan kerajaan BN terpaksa menggunakan kaedah luar normal bagi mempertahankan Putrajaya.

Malah katanya, kebelakangan isu-isu perkauman cuba dicetuskan dengan didalangi pihak tertentu bagi menakut-nakutkan rakyat termasuk meletak kepala babi di masjid.

“Rumah pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat pula disimbah cat merah dan ada unsur khianat sehingga sanggup membakar rumah,” katanya pada program taklimat khas Ketua Penerangan PAS Pusat di Markas Dewan Ulamak PAS Kelantan (Madu) di Labok, petang semalam.

Hadir sama anggota-anggota Jawatankuasa Lajnah Penerangan PAS Pusat, Setiausaha PAS Kelantan, Zulkefli Mamat, Ketua Penerangan, Dr Muhammad Fadzli Hassan, Bendahari, Hanifa Ahmad dan veteran PAS, Datuk Omar Mohamad.

Sebelum itu rombongan jelajah Lajnah Penerangan PAS Pusat tiba di Gua Musang pada awal pagi dan mengadakan kuliah Subuh di Masjid Ladang Sungai Terah serta minum pagi bersama rakyat.

Pada malam tadi pula diadakan ceramah di Dataran Hijau, Batu 30, Machang dan di Gaal, Pasir Puteh. Dan pagi ini pula mengadakan kuliah Subuh di Besut dan program penerangan di Kuala Terengganu.

Manakala esok pula Jelajah Lajnah Penerangan berada di Pahang. Kelantan merupakan destinasi ketiga program berkenaan selepas Sabah dan Sarawak. Program terbabit diadakan setiap hujung minggu dijangka berakhir hujung bulan ini.

Tahun lepas seorang aktivis Gerakan Kembali Royalti Minyak Rakyat Kelantan, Hishamuddin Ghazali ditampar dipercayai samseng Umno ketika memasang sepanduk menuntut royalti di Kampung Sireh.

Tuan Ibrahim juga berkata, dakwaan pihak lawan kononnya PAS menjadi alat DAP tidak berasas sama sekali memandangkan dasar perjuangan PAS tidak pernah berubah sejak diwujudkan sehingga sekarang.

“Malah kalau kita tengok dari segi jumlah kerusi parlimen yang diitandingi PAS lebih banyak berbanding DAP pada pilihan raya umum lalu. PAS bertanding di 67 kerusi, berbanding DAP tanding di 46 kerusi. KeADILan pula bertanding di 94 kerusi.

“Macam mana DAP boleh gantikan PAS memandangkan jumlah kerusi yang ditandingi PAS lebih banyak. Hubungan akrab di antara DAP dan PAS juga dapat dilihat pada setiap pilihan raya kecil yang diadakan selepas pilihan raya umum 2008.

“DAP sanggup membuka bilik gerakan bagi membantu PAS menghadapi pilihan raya kecil di Tenang. Begitu juga di tempat-tempat lain,” ujarnya.

Pada majlis itu beliau berharap jentera PAS bekerja bersungguh-sungguh bagi mempertahankan kerajaan negeri kerana Kelantan menjadi model sehingga membolehkan Pakatan Rakyat bertapak di empat lagi negeri pada pilihan raya umum ke-12 lalu.
Iklan Teks        

Tiada ulasan: