Sabtu, 2 Julai 2011

SEMUA DARI ALLAH DAN MILIK ALLAH....KITA BERADA DALAM SEKOLAH HIDUP...DALAM SEKOLAH HIDUP BANYAK KITA DAPATI...MENAMBAHKAN KITA MATANG...

Apabila Ditikam Dari Belakang

Pahrol Mohd Juoi | Editor: nurilla88

Bagaimana rasanya jika anda ditikam dari belakang? Maksudnya, anda dikhianati oleh orang yang anda percayai, hormati malah sayangi. Apakah perasaan anda jika anda ingin perkara seumpama itu tidak berlaku (malah tidak pun menyangkanya) tetapi ia berlaku juga dalam episod hidup yang singkat ini? Ya, anda, saya dan kita semua pasti melalui episod yang sedih dan tidak disangka itu dalam hidup. Jika tidak berkali-kali, pasti sekali kita mesti 'terkena'.

Saya ingin tegaskan... mesti ada rasa takut, geram dan kecewa. Malah kadangkala anda menjadi curiga dan berprasangka buruk dengan semua orang. Insiden pahit yang sekali itu menjadi trauma dalam jiwa yang menyebabkan kita sukar mempercayai sesiapa lagi.

Ya, jika dia yang begitu akrab dengan kita, mungkin begitu tinggi ilmunya, mungkin telah banyak budi dan jasanya, pun tergamak melakukanya, apatah lagi orang lain? Begitu getus rasa kita.

Jika itulah akibatnya, hidup kita akan hilang bahagia. Kita tidak akan ceria lagi. Bila kita sudah tidak ceria, apa yang dibuat pasti tidak menjadi. Hari-hari yang indah bertukar gundah. Kita rasa malas melangkah dan segala potensi diri pudar tidak menyerlah!

Jika itulah yang berlaku, kita sebenarnya sedang memberi kemenangan total kepada orang yang mengkhianati kita. Dia akan berjaya memporak-perandakan kehidupan kita berkali-kali. Jangan biarkan dia menang. Sebaliknya, berhentilah mengenang perbuatannya. Jauhkan diri dan berhati-hati dengan 'gunting dalam lipatan' ini.

Tetapkan satu jarak yang jauh tetapi jangan memutuskan. Sekiranya tidak mampu melupakan, tidak mengapa, tetapi belajarlah memaafkan. Jangan membalas. Jangan kita mengkhianati diri sendiri hasil pengkhianatan orang kepada kita!

Bersabar atas kerenah pergaulan dengan manusia adalah tuntutan agama. Kita tidak hidup dalam masyarakat malaikat , yang tidak alpa dan tidak berdosa. Tarik nafas dalam-dalam dan helakannya panjang-panjang. Cubalah bermuhasabah dengan diri sendiri penuh berani dan jujur. Acapkali, kita dikhianati kerana pernah mengkhianati. Atau kita berdiam diri apabila orang lain dikhianati dan dizalimi. Padahal, membela dan bersuara atas kebenaran itu satu tuntutan. Jangan dayus, penakut dan pengampu... itu umpama syaitan bisu.

Sudah lumrah dalam hidup ini, kita terpaksa hadapi perkara yang tidak kita inginkan. Kita tidak mampu mengawal semua yang berlaku agar sentiasa 'cocok' dengan keinginan dan kemampuan kita. Justeru, selalu berlaku perkara-perkara yang kita sendiri tidak inginkan berlaku. Lantas kita akan mengalami ketakutan, takut sakit, takut gagal, takut dicerca orang dan sebagainya. Kita tidak boleh lari daripada hakikat ini.

Itu semua adalah realiti dan basahan dalam hidup yang terpaksa kita hadapi. Soalnya, bagaimana kita dapat menangani semua itu dengan cara yang sebaik-baiknya? Hingga dengan itu bukan sahaja kita dapat mengatasinya, malah dapat memanfaatkannya untuk terus mencapai kejayaan. Salah satu caranya ialah dengan membesarkan cita-cita. Ya, cita-cita yang besar akan mengecilkan kritik, pengkhianatan dan sabotaj oleh musuh dalam selimut!

Bayangkan dalam perang Khandak yang hebat itu. Musuh, tentera-tentera Ahzab mengepung di luar kota Madinah, manakala Yahudi menikam dari dalam kota Madinah. Ditambah oleh tipu daya licik para munafik. Bekalan makanan pun kekurangan. Bagaimana Rasulullah menghadapi ya?

Ya, dengan menanamkan satu berita dan cita-cita besar , Rom dan Parsi , dua kuasa besar dunia ketika itu akan tersembam di telapak kaki umat Islam. Jika difikirkan mana logiknya? Sedangkan tentera gabungan puak Quraisy dan pengkhianatan pihak Yahudi sedang mencengkam pada saat yang sangat kritikal itu. Namun itulah Rasulullah... penderitaan dunia yang sedang dihadapi diperkecilkannya dengan janji syurga, ancaman musuh di peringkat 'local' dipermudahkannya dengan kejatuhan musuh besar di peringkat internasional.

Jangan trauma dengan pengkhianatan masa silam. Jangan bimbang dengan pengkhinatan masa akan datang. Tetapi binalah cita-cita besar yang mampu 'meremehkan' semua itu. Dengan cita-cita besar kita akan menjadi raja. Bukan raja untuk berbangga tetapi raja yang mempunyai keyakinan diri dan kemurnian reputasi. Biarlah anjing menyalak bukit. Bukit tidak akan runtuh. Begitulah orang yang menikam kita dari belakang... kerana dia hakikatnya lemah, penakut dan tidak punya keyakinan diri untuk bertarung secara berdepan!

Tidak ada orang yang mahu menendang anjing yang telah mati. Maka begitulah kita, selagi ada tenaga, upaya dan keinginan yang menyala-nyala maka akan sentiasa ada 'musuh' dalam selimut yang ingin mengacau kita. Kritik yang tidak adil adalah pujian yang tidak rasmi. Tikaman dari belakang petanda kita gagah dan digeruni untuk dihadapi secara berdepan.

Yang penting, bermusabah diri. Jaga hati agar sentiasa lurus dan tulus. Jaga perlakuan agar sentiasa diikat oleh syariat. Jika itu telah dapat kita usahakan... pengkhianatan akan dapat kita hadapi dengan senyuman. Strategi liciknya akan membelit dirinya sendiri. Dan dia akan terjerumus dalam lubang yang digalinya sendiri!

Kita? Biarlah tetap menjadi hamba Allah. Tetapi menjadi raja kepada diri kita sendiri!

- Artikel iluvislam.com

Biodata Kolumnis

Ustaz Pahrol Mohd Juoi merupakan seorang penulis buku, artikel, lirik nasyid dan juga skrip. Salah satu buku karangan beliau adalah 'Tentang Cinta.' Penulis kelahiran Ipoh, Perak ini merupakan seorang master trainer untuk syarikat Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. dan juga ketua editor majalah Solusi terbitan syarikat Telaga Biru Sdn. Bhd. Blog beliau adalah www.genta-rasa.com.


Kesembuhan Itu Milik Allah

Sesungguhnya kesembuhan itu milik Allah. Kata-kata yang telah dijadikan perangsang bagi memotivasikan diri sendiri dan insan lain yang sedang sakit dalam menghadapi keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Begitulah antara ujian kecil berupa penyakit yang dihidapi oleh kebanyakan insan yang telah dipilih oleh Allah sebagai bukti kasih sayang-Nya, kafarah dosa dari-Nya, dan peningkatan darjat hambaNya.

Sesungguhnya penyakit yang diturunkan oleh Allah ini banyak menguji ketahanan fizikal dan mental, kerana tempoh tersebut merupakan titik tolak ke arah kesedaran bahawa kematian akan mengejar kita bila-bila masa sama ada bersedia atau tidak.

"Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh." [al-Nisaa' 4:78]

Mengingati saat menziarahi jenazah suami kepada seorang sahabat yang meninggal dunia secara tiba-tiba tahun lepas telah banyak mengubah paradigma tentang kematian itu sendiri. Sama ada kita bersedia atau tidak, bertaubat atau belum bertaubat, ajal itu pasti akan datang, cuma waktu dan ketikanya sahaja tidak diketahui. Cuma persoalannya, adakah kita telah bersedia dengan bekalan-bekalan yang disediakan? Adakah cukup bekalan yang disediakan? Bagaimanakah keadaan kita semasa dalam alam kubur? Bernasib baik atau sebaliknya?

Hal ini sedikit sebanyak telah menghantui diri sendiri sehingga telah mewujudkan suatu ketakutan yang luar biasa dalam diri. Hal ini ditambah pula dengan penyakit yang dialami yang masih tidak sembuh-sembuh, telah meningkatkan lagi tahap ketakutan dan pada masa yang sama telah mewujudkan satu situasi yang tegang dalam emosi, fikiran serta memberi tekanan kepada diri sendiri.

Namun begitu, ketahanan mental dan fizikal berteraskan ayat-ayat Allah telah berjaya mengatasi masalah tekanan tersebut sehingga dapat kembali mewujudkan satu senario yang aman dan tenang hingga kembali semula kepada keadaan asal. Mengingati mati dapat melembutkan hati, tetapi apabila mengingati kematian itu secara negatif, hal ini akan dapat memberikan kesan negatif kepada diri sendiri.

Apabila kita bergantung sepenuhnya kepada Allah, menyerahkan segala-segalanya kepada Dia, berdoa bersungguh-sungguhnya kepada-Nya, Sesungguhnya Dia yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, akan mengabulkan dan memperkenankan doa kita. Berusaha, berdoa,berserah, bertawakal itulah tanda pergantungan seorang hamba kepada Tuhannya.

"Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar." [Al-Baqarah, 2:153]

Segala masalah penyakit, rujuklah kepada Allah. Daripada-Nya datang segala kebaikan, dan kejahatan juga tidak berlaku dengan izin Allah. Kita perlu berikhtiar, berusaha dan doa-doa kita yang dimakbulkan dan ada juga yang Allah tangguhkan tetapi semuanya perlu dilakukan dengan hati yang ikhlas.

Kuasa penyembuhan semuanya dari Allah. Kita sebagai hamba-Nya perlu redha dengan apa yang ditetapkan kerana setiap apa yang diturunkan kepada kita adalah ujian, sama ada kita dapat redha menerima atau tidak, semuanya untuk meningkatkan darjat kita di samping membersihkan dosa-dosa yang dilakukan.

Tidakkah semua ini adalah rezeki dari Allah, dimana Dia sering memberi perhatian kepada kita, tidakkah ini akan membuatkan kita sentiasa ingat pada-Nya? Anggaplah suatu penyakit itu sesuatu yang positif kerana jika kita redha dengan suatu ujian, Allah akan melipat gandakan pahala kita.Semoga anda semua cepat sembuh begitu juga diriku ini.

Adalah diharapkan artikel ini dapat membawa manfaat kepada semua dan marilah kita saling ingat-mengingati antara satu sama lain. Kelalaian dan kelekaan terhadap duniawi pasti mewujudkan satu jurang yang besar dalam diri kita sendiri dengan Allah.Semoga artikel ini akan menjadi saksi bagi diriku di akhirat kelak sebagai salah satu medium untuk berdakwah kepada pembaca semua.

Redhalah dengan ujian yang kecil ini kerana ujian itu adalah hadiah dan cinta dari Allah. Bersabarlah dengan penyakit yang menimpa ini dan yakin akan sembuh kerana sesungguhnya kesembuhan itu milik-Nya, tiada apa yang kita cari melainkan dalam kembara hidup ini selain memburu cinta dan rindu-Nya.

Ungkapan syukur yang tidak terhingga kepada Allah kerana penyakit yang ditimpakan kepada diriku tidaklah sehebat penyakit kritikal yang dihidapi oleh insan lain, walaupun kecil, penyakit ini tetap memberi kesan yang kuat terhadap sistem ketahanan fizikal disamping memberi tekanan yang hebat terhadap mentalku. Aku bersyukur aku masih diberi kesempatan oleh Allah untuk menghirup udaranya yang segar ini. Berusaha, berdoa dan bertawakal itulah kekuatan sebenarnya dalam penyembuhan penyakit ini. Yakin dan positiflah dengan ujian penyakit yang diturunkan kepada kita.

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." [Al-Ankabut, 29:2-3]

Akhir kata, jadikan ayat-ayat Allah sebagai peransang dalam meningkatkan motivasi dalaman kita dalam membentuk keperibadian soleh dan solehah.

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." [Al-Imran, 3:139]

Sesungguhnya Dialah yang mencipta perasaan cinta dan rindu itu. Semoga Dia yang sangat kita cintai dan kita rindui akan tetap terpahat kukuh dalam jiwa dan sanubari kita. Wallahua'lam.

- Artikel iluvislam.com


Cabaran Kehidupan


Hidup ini cukup indah. Penuh dengan misteri. Kata orang warna-warni. Adakalanya kita berduka, ada juga masanya kita gembira. Yang penting, dalam apa jua keadaan sekalipun, sentiasa ingat kepada Sang Pencipta, Allah s.w.t. Syukur dan sabar; 2 rahsia kejayaan.

Aku melontarkan pandangan ke laur tingkap. Cuaca begitu terang sekali. Ramai sungguh orang keluar menikmati teriknya mentari. Kukira di Malaysia situasinya berbeza. Kita menunggu sang suria beredar barulah kita menampakkan diri. Benar kata orang, kita hanya menghargai sesuatu itu bila kita kehilangannya.

Ok. Kali ini ingin aku kongsikan perbualanku dengan Mr. X tempoh hari.

Kala itu kami sedang menikmati hidangan istimewa di sebuah restoran.

"Pelik betul manusia ni, asyik mengeluhhhh je," Mr. X memulakan bicara.

"Mm..biasa la tu..apa yang peliknya?" Aku menjawab.

"Keluhan tidak menyelesaikan masalah... malah melambatkan proses menyelesaikan masalah."

"Well... bagaimana kalau keluhan itu adalah sebahagian dari proses menyelesaikan masalah?" Aku cuba menghangatkan sedikit perbualan.

"Jika begitu, kita perlu lihat semula kepada sirah.. ingat Khabbab Al-Art?"

Aku menganggukkan kepala. Khabbab Al-Art merupakan orang yang meminta Rasulullah s.a.w. berdoa supaya dilepaskan daripada kezaliman arab Quraisy. Lalu Nabi s.a.w mengingatkan Khabbab akan betapa umat terdahulu ujiannya jauh lagi hebat daripada ujian yang mereka hadapi ini.

"Masalah ni takkan habis... masalah ini akan sentiasa datang sebab kita ini hidup. Bukan hidup-hidupan," Mr. X menyambung bicaranya.

Aku mengiyakan. Tidak mahu menganggu ucapan Mr. X.

"Kereta hanya ada masalah jika kereta tu bergerak. Kalau dok kat umah je, memang tak jumpenya lampu isyarat, polis semua tu. Yang penting adalah kita kena persiapkan diri kita untuk menghadapi masalah ini. Kita di sini untuk menyelesaikan masalah, bukan untuk mencipta masalah."

"Setuju. Dan semakin matang kita semakin besar cabarannya. Cabaran membawa kereta tak sama seperti cabaran membawa lori," aku memotong Mr. X. meminjam analogi yang sama.

"Bagus.. Allah tidak akan memberikan sesuatu di luar kemampuan kita. Fikir dan zikir!" Mr. X menjawab sambil tersenyum.

Cabaran itu akan sentiasa hadir. Dan itulah gunanya kita, manusia yang dikurniakan akal untuk berfikir. Namun harus diingat, kata Hamka, hujung akal adalah pangkal agama. Akal ini ada hadnya.

- Artikel iluvislam.com


Persis Sungai Yang Mengalir

shaiqin aisyah | Editor: aeyie®

Mataku tidak berkerlip memandang ke arah sungai yang tenang. Dari jendela kamar lantai rumahku, kelihatan sungainya begitu tenang. Kadang-kadang burung yang kecil hinggap di sana dan terbang kembali entah ke mana arah tujunya.

Sering kali aku tertanya-tanya apa yang ada di benak fikiran burung-burung itu? Kadang-kadang terbang sekawan dan kadang-kadang berseorangan. Mungkin tidak ada apa yang difikirkan hanya terbang dan makan bagi meneruskan kehidupan. Mereka sering ke sungai itu dan sungai itu memberikan mereka kehidupan.

Alunan Hidupnya

Sungai yang sudah lama meneruskan kehidupannya di sana. Dan sudah banyak riwayat tertulis di atasnya. Sehingga kini sungai itu masih lagi mengalir tanpa henti tidak kira ke mana haluannya, dan ia dilihat begitu deras. Aku tidak pernah ke sungai, dan persahabatan kami hanyalah dari jarak yang jauh. Sering aku mendengar sungai itu mengeluarkan bunyi. Seolah manusia yang sedang berkata-kata.

"Pesanan apa yang hendak kusampaikan padamu sungai? Nyata aku tidak punya apa-apa pesan yang ingin kutitipkan. Aku cuma merasakan diriku sama sepertimu, mengalir tenang di atas pandanganku. Pesanan apa yang kau ingin aku sampaikan? Kau sungai seperti diriku yang mengalir di alur kita masing-masing. Bezanya aku di sini hanya mengalir di sebatang jalan ini; jalan sungai. Sudah ratusan tahun aku menjalani alur ini."

Umpama Sungai yang Mengalir

Tamsilannya adalah seperti sungai, jika masih ada antara kita kecewa, putus asa dan sedikit berduka masih belum dapat apa yang terbaik dan yang diimpikan, jangan berkecil hati. Jangan cepat melambai sapu tangan putih lantas mengaku kalah. Kadang-kadang kita akan diuji sama ada kita benar-benar serius terhadap apa yang kita inginkan.

Ujian akan datang dalam pelbagai bentuk halangan, rintangan dan hal-hal yang membuatkan kita tidak berdaya lagi. Menyerah adalah pilihan yang mudah yang boleh diputuskan oleh sesiapa pun. Tapi, menyerah tanpa melakukan apa-apa tidak akan membuatkan kita jauh lebih baik.

Jangan Berbalik Arah

Saat api padam, mungkin itu adalah saat kita menyatakan kita ingin menyerah kalah. Mari kita belajar dan lihat dari air sungai yang mengalir. Air terus mengalir ke satu arah dan tidak peduli apa yang terjadi. Walau ada sebesar batu yang wujud di tengah-tengah air tidak akan berhenti. Sungai yang deras tidak pernah terfikir untuk berbalik arah. Tidak pernah berhenti untuk mengalir hanya kerana beberapa panahan di hadapannya.

Kita juga boleh belajar daripada prinsip air sungai yang mengalir. Maju ke hadapan demi impian yang ingin dikecapi. Air juga tidak pernah gerun apabila berada di tepi air terjun. Mengalir dan terus mengalir dan semangat yang tidak pernah membuat kita gentar. Semoga air yang mengalir akan mengubah diri kita dan persis yang mudah menyerah kalah. Namun percayalah You don't know what the future holds, but you know Who holds it.

- Artikel iluvislam.com


Ancaman Daripada Segenap Sudut


" Jika musuh kita menyerang daripada segenap sudut yang ada, adakah kita akan selamat dengan bertahan hanya pada satu sudut? "

" Jika mata kita selamat daripada melihat aurat belum tentu telinga kita selamat daripada mendengar orang mengumpat. "

" Jika tangan kita bebas daripada mencuri, belum tentu kaki kita terhindar daripada melangkah ke tempat maksiat."

" Jika mulut kita bersih daripada yang haram, belum tentu kemaluan kita terhindar daripada dosa dan rangsangan. "

Musuh itu pasti menyerang daripada segenap sudut dan melalui segala kemungkinan yang ada. Musuh itu berupakan nafsu yang ada di dalam dirimu atau godaan daripada luar.

Dalam dunia yang sedang kita jalani sekarang, serangan itu semakin menjadi-jadi. Semua perkara dan alat yang kita gunakan di dalam kehidupan seharian akan diaplikasikan oleh musuh-musuh kita untuk melemahkan dan menghancurkan kita.

Hanya dengan melayari internet, kita terus terdedah kepada serangan tersebut sekalipun kita tidak berniat untuk melakukan kemungkaran. Apabila memandu melalui jalan-jalan di kota, kita terus dapat melihat serangan itu terpapar besar di papan-papan iklan. Wanita-wanita mendedahkan bahagian tubuhnya yang merangsang pemikiran lelaki.

Hanya dengan berjalan di sebuah pasaraya untuk memberi barangan keperluan, kita akan terlihat begitu banyak bentuk rangsangan yang merosakkan kekhusyukan ibadah kita. Bahkan hanya dengan memiliki sebuah telefon bimbit, sekian banyak 'SMS' yang masuk menawarkan aksi-aksi panas.

Serangan-serangan yang sedang kita hadapi ini bukanlah sesuatu yang biasa dan sangat menyesakkan dada. Setiap hari kita berhadapan dengannya tanpa diminta. Kita merasakan selamat kerana kita telah sebati di dalamnya. Boleh jadi juga kita sebenarnya telah kalah dan mungkin telah menjadi agen dalaman yang menyerang orang lain.

Kita sebenarnya tidak selamat jika kita hanya bertahan daripada satu sudut. Kita memerlukan sistem pertahanan yang memelihara kita daripada segenap sudut. Kita mesti menahan seluruh anggota yang mungkin diserang oleh musuh termasuk hati. Ya, sekalipun jasad kita selamat daripada benar-benar tewas, hati kita mungkin diserang penyakit yang sukar diubati.

Lebih teruk lagi jika kita gagal menyedari bahawa serangan-serangan itu wujud. Bahkan bertambah malang jika kita sudah tidak mahu bertahan lagi dan asyik dengan hidangan-hidangan yang dipaparkan kepada kita. Suatu hari, kita pasti hancur bersamanya.

Ghazwul fikri (serangan pemikiran) yang kita hadapi ini perlu ditentang dan dilawan secara berterusan. Walaupun kita belum mampu membina sebuah gelombang atau sistem yang boleh menghancurkan serangan sedia ada, bertahanlah daripada serangan dalam diri masing-masing.

"Aku sudah cukup kuat, aku pasti selamat."

" Bagaimana dengan ibu dan ayah kita? Adik-beradik kita, anak dan isteri kita nanti? Adakah kita ingin selamat seorang diri sedangkan Al-Quran memerintahkan untuk kita menjaga diri dan ahli keluarga kita daripada api neraka? "

Binalah kekuatan dalaman dengan bersungguh-sungguh dan dengan penuh kesedaran bahawa kita tidak akan selamat jika kita tidak bersedia untuk sebarang kemungkinan.

" Boleh jadi hari ini kita dapat mengelak, namun esok engkau kita terkandas jua."

Kekuatan iman dan takwa perlu digilap dan ditingkatkan supaya kita boleh bertahan dengan semua bentuk serangan. Kuncinya, bersabarlah kerana memang tak mudah.

" Sedarlah bahawa kita ibarat hidangan di mata musuh kita, bila-bila masa kita akan diterkam dan dimusnahkan jika kita tidak berjaga-jaga. Ya, musuh yang boleh muncul daripada mana-mana sudut dalam apa jua keadaan. Bersedialah. "


Panji Keagungan Umat Islam


Wahai Kaum Muslimin!
Junjungan besar kita, Nabi Muhammad saw bersabda, dari Ibnu Abbas ra ,

"Al-Liwa'uha baidho' wa ar-rayatuha sauda'!"

"Bahawa bendera Nabi Sallallahu 'alaihi wa Sallam berwarna putih, sedangkan panji beliau warnanya hitam."

Inilah panji mulia yang diperjuangkan oleh Rasulullah saw, para sahabat radhiallahu anhum dan para khalifah yang berani menentang kebiadaban puak kuffar! Inilah panji Rasulullah saw yang dipertahankan dengan darah dan nyawa Sahabat terkenal, Ja'far bin Abi Thalib ketika perang Mu'tah dimana umat Islam yag hanya mempunyai kekuatan 3000 orang menentang kekuatan Rom dan seluruh penduduk jazirah Arab yang berjumlah 200,000! Suatu nisbah yang tidak masuk akal, 1 nisbah 6! Seorang tentera kaum muslimin terpaksa berhadapan dengan 6 orang tentera kuffar!

Di dalam peperangan ini, Ja'far bin Abi Thalib yang di amanahkan oleh Rasullah saw untuk menjadi Amirul Jihad mengepalai kaum muslimin telah ditebas tangan kirinya yang memegang teguh panji Ar-Royah! Langsung disambut oleh tangan kanan beliau! Kemudian tangan kanannya pula dipotong tanpa belas kasihan, Ja'far bin Abi Thalib tidak mengalah, malah memeluknya dengan sisa tangan yang ada!

MasyaAllah, sahabat mulia ini akhirnya dilempar dengan lembing daripada belakang sehingga terbelah badan beliau syahid di medan peperangan! Rasulullah saw menganugerahkan gelaran Ja'far Al-Janahain kepada beliau, iaitu Ja'far yang mempunyai dua kepak yang kini sedang bebas berterbangan di jannatul Firdaus, Subhanallah! Inilah hasilnya setelah bermati-matian memperjuangkan panji Rasulullah saw! Ganjaran ini tidak mungkin didapati oleh tentera-tentera Turki, Pakistan, dan Malaysia yang bermati-matian berperang di Afghanistan di bawah panji kotor Amerika!

Bendera Jalur Gemilang juga tidak layak untuk dimuliakan oleh kita sebagai umat Islam yang mengucapkan kalimah Laa ilaha illallah, muhammadur Rasulullah! Bendera Jalur Gemilang ini adalah sebuah bendera yang dihasilkan melalui sebuah pertandingan yang telah mendapat kelulusan King George Vl pada tahun 1950! Maka tidak hairanlah kita kalau selama ini kita melihat bendera kita ini benar-benar mirip bendera Amerika! MasyaAllah!

Panji inilah juga yang diperjuangkan oleh Panglima Perang Thariq Bin Ziyad di zaman Khilafah Umaiyah yang telah memimpin futuhat ke atas Sepanyol pada tahun 711M. Setelah mendarat di sebuah tempat yang kemudiannya di namakan Jabal Thariq, beliau memerintahkan untuk membakar semua kapal dan berpidato di hadapan anak buahnya untuk membangkitkan semangat mereka:


أيّها الناس، أين المفر؟ البحر من ورائكم، والعدوّ أمامكم، والله وليس لكم إل الصدق والصبر...
Tidak ada jalan untuk melarikan diri! Laut di belakang kalian, dan musuh di depan kalian: Demi Allah, tidak ada yang dapat kalian sekarang lakukan kecuali bersungguh-sungguh penuh keikhlasan dan kesabaran.

Pasukan Thariq yang hanya berjumlah 7000 orang, terus menyerbu ke benteng pertahanan puak kufar di wilayah Sepanyol yang mempunyai kekuatan berjumlah 25,000 orang tidak sekali-kali mematahkan semangat mereka kerana sudah tidak ada apa-apa lagi yang perlu dirisaukan, jika mereka memenangi pertarungan ini, kaum muslimin akan mendapatkan kemuliaan, dan sekiranya mereka mati, mereka akan dinobatkan oleh Allah sebagai syuhada' fi sabilillah! Dengan berkat keimanan dan semangat mereka mengibarkan panji Rasulullah saw, Umat Islam menyebarkan cahaya Islam ke seluruh Sepanyol selama lebih dari 700 tahun lamanya!

Panji inilah juga yang diangkat tinggi oleh Pahlawan Agung Salahuddin Al-Ayyubi ketika menghadapi tentera Salib yang diketuai King Richard di dalam perang Hittin. Tentera Salib dengan sewenang-wenangnya menumpahkan darah kaum muslimin di Baitul Maqdis dan berpesta arak di atas mayat-mayat kaum muslimin yang darahnya mencecah sehingga ke lutut!

Shalahuddin Al-Ayyubi yang merupakan seorang Muslim berbangsa Kurdish tidak berdiam diri bagi menyelamatkan kehormatan umat Islam yang berbangsa Arab di Baitul Maqdis! Bagi menghadapi kekuatan tentera salib, Salahuddin Al-Ayyubi terlebih dahulu menyatukan kekuatan umat Islam di Syria, Mesir, Sudan, Yaman, dan Hijaz sehingga berupaya membalas kembali kebiadaban tentera salib yang mengakibatkan 30,000 tentera salib mati dengan hina di tangan tentera umat Islam!

Panji inilah juga yang di junjung tinggi oleh perwira umat Islam, Sultan Muhammad Al-Fatih ketika membuka kota Konstantinople yang menjadi kubu kuat Rom Byzantium! Rasulullah saw pernah mengkhabarkan kepada kita di dalam hadithnya ketika sedang menggali Parit Khandaq;

"..Konstantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam. Amirnya adalah sebaik-baik Amir, tenteranya adalah sebaik-baik tentera......"

(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Panji inilah juga yang dibawa oleh Sultan Saifuddin Qutuz yang memerangi tentera Monggol di dalam peperangan Ain Jalut, dalam rangka membalas dendam darah 1.8 juta kaum muslimin yang ditumpahkan di Baghdad! Tentera Monggol yang tidak pernah kalak ketika itu yang menguasai jajahan seluas Poland sehingga Korea menjadi kegerunan manusia seluruh dunia memberikan pilihan kepada Qutuz samada berperang atau menyerah.

Saifuddin Qutuz tidak melakukan hal yang menghinakan umat Islam sepertimana pemimpin umat Islam saat ini yang melakukan perjanjian damai dan bersalaman dengan musuh yang tangannya penuh dengan darah umat Islam. Namun Saifuddin Qutuz bangkit mengembalikan maruah umat Islam yang dicalar oleh puak kuffar monggol! Malah beliau menempelak pemimpin-pemimpin yang takut menghadapi musuh dengan berkata:

"Wahai pimpinan muslimin! Kamu diberi gaji dari Baitul Mal sedangkan kamu tidak suka berperang. Aku akan pergi berperang. Sesiapa yang memilih untuk berjihad, temankan aku. Sesiapa yang tidak mahu berjihad, baliklah ke rumahnya. Allah akan memerhatikannya. Dosa kehormatan muslimin yang dicabuli akan ditanggung oleh orang yang tidak turut berjihad."

Wahai Kaum Muslimin!
Telah nyata keberanian nenek moyang kalian! Mereka merupakan para pahlawan yang sanggup berjuang dan siap mati demi Islam! Dan telah nyata pengkhianatan yang dilakukan oleh pemimpin kalian yang ada pada hari ini! Mereka malah menjadi agen, menjadi hamba yang menuruti arahannya Amerika.

Mereka memberikan segala bahan galian kepunyaan umat iaitu minyak kepada Amerika dengan harga yang murah, mereka memberikan tanah-tanah umat kepada Amerika untuk membuat pangkalan tentera para syaitan yang memusuhi Allah, mereka memberikan ruang udara kita bagi mengebom saudara kita sendiri! Mereka menghulurkan tangan berjabat mesra dengan tangan pemimpin nombor satu umat Islam yang penuh dengan darah anak-anak Palestin, Iraq, dan Afghanistan! Apakah ini pemimpin-pemimpin seperti ini kita inginkan?

- Artikel iluvislam.com

Siapa Yang Cantik?

Amiratul Nadiah Hasan | Editor: mawaryangtinggi

Siapa yang cantik? Awak cantik? Saya? Atau dia?

Kalau di Bollywood mungkin kata mereka, Aishwarya Rai yang tercantik, atau di Hollywood, Paris Hilton adalah cantik pada pandangan mereka dan mungkin juga di Malaysia, Fasha Sandha yang tercantik.

Siapa agaknya yang dapat memberi definisi dan ciri-ciri tepat tentang apa yang dikatakan sebagai 'cantik'?

Cantik adalah sesuatu yang sangat subjektif. Setiap orang mempunyai definisi kecantikan masing-masing.

Mungkin bagi saya, cantik adalah begitu dan begini, tapi bagi anda, lain pula.

Tiada siapa dapat memberi definisi tepat tentang cantik.

Mata lah yang akan mendefinisi cantik. Namun kini, pada pendapat saya, barat sudah pun mempengaruhi definisi cantik pada dunia dan hampir seluruh dunia memakai definisi cantik barat.

Kadang kala, cantik juga didefinisi mengikut tempat, kaum dan budaya.

Kalau di barat sekarang, the thinner the better, tapi berbeza pula di Mauritania, Africa, the bigger the better.

Orang di barat berperang dengan aneroksia dan bulimia akibat mahu kurus, sebaliknya di Mauritania, wanita mengamalkan 'makan paksa' sejak berumur 5-6 tahun untuk gemuk, agar menjadi cantik dan mudah mendapat jodoh.

Sungguh berbeza kan? Definisi kecantikan yang sungguh berbeza.

Ataupun, ada juga yang sanggup melakukan pelbagai cara yang pada pandangan kita pelik dan tidak masuk akal tetapi pada mereka, itulah cantik!

Satu kaum di Thailand menganggap leher panjang itu cantik, lantas sejak dari umur 5 tahun lagi, mereka sudah dipakaikan gelang logam di leher agar leher mereka akan menjadi semakin panjang dan panjang dan panjang justeru mereka cantik dan mudah mendapat jodoh.

Di Sarawak pula, suku kaum Oran Ulu menganggap telinga panjang itu sangat cantik pada mata mereka, lagi panjang, lagi cantiklah seseorang wanita itu pada pandangan mereka.

Tapi kini, generasi muda sudah tidak lagi mengamalkan amalan ini. (Mungkin sudah terikut-ikut definisi cantik barat..hmmm)

Perlukah jadi cantik?

Di Mexico, kaum wanita menghabiskan separuh dari gaji mereka untuk kecantikan seperti ke salun, malahan ada juga pakej bayar secara ansuran untuk pembedahan plastik.

Atau di Iran, pembedahan hidung sangat popular di sana.

Wanita Iran sanggup berkorban wang ringgit demi mendapatkan hidung yang diidam-idamkan lantaran kata mereka, hidung mereka besar.

Tetapi saya tertanya-tanya juga, bukankah mereka Islam dan Islam melarang pembedahan plastik untuk tujuan kecantikan? Wallahualam.

Bayangkan betapa wanita-wanita ini mahu kelihatan cantik.

Betapa pentingnya menjadi cantik pada seorang wanita itu.

Macam-macam sanggup dikorbankan, wang ringgit, masa, kesakitan yang perlu ditanggung demi cantik, bahkan, hukum agama pun sanggup dilanggar demi cantik.

Tidak kisahlah perbuatan mereka dilarang agama, janji mereka kelihatan cantik. Plastic surgery, Botox, liposuction, gastric bypass sekarang bermain di sekitar hidup wanita demi cantik.

Walaupun mereka sedar akan kesan sampingan perbuatan ini, semua itu ditolak tepi, demi CANTIK.

Innallah jamil, wa yuhibbu jamal: Allah itu cantik dan sukakan kecantikan.

Kata mereka, apabila diri terasa cantik, barulah mereka ada keyakinan diri.

Saya juga bersetuju dengan ini, tetapi bukanlah sampai sanggup berkorban segalanya demi cantik.

Allah suka akan kecantikan, tetapi bukan lah sehingga mengubah ciptaanNya.

Tambahan lagi, mereka yang ekstrem mahu kelihatan cantik ini, bukanlah mahu kelihatan cantik di mata Allah, tapi di mata manusia. Semuanya dilakukan agar kelihatan cantik pada manusia dan agar mendapat tempat di hati manusia.

Dulu sewaktu kecil, saya juga suka kelihatan cantik.

Kalau baju pink, maka seluruh badan perlu pink termasuklah sepit dan pengikat rambut. Tapi kini, saya bukan perempuan yang obses cantik, kerana pada saya, cantik bukan sekadar di wajah, tapi cantik itu dari akhlak dan keimanannya kepada Pencipta.

Cantik akan pudar walau cuba dipertahankan, tapi akhlak itu hiasan yang kekal pada diri seorang wanita.

Wanita yang cantik akhlaknya, maka cantiklah luarannya.

Tiada guna mempunyai wajah seindah bidadari kerana satu hari nanti, kita cuma akan menjadi tengkorak yang menakutkan.

Bukanlah tidak perlu menjadi cantik dan perlu mejadi buruk sedangkan Allah menyukai kecantikan, tetapi, biarlah cantik itu kerana Allah, dan definisi cantik itu juga perlu sesuai dengan Islam.

Janganlah sanggup melanggar larangan agama demi kelihatan cantik.

Perbaikilah akhlak diri sekaligus, anda akan kelihatan cantik pada pandangan Allah dan pandangan manusia.

Bersyukurlah dan berpuas hati lah dengan kurniaan Allah kepada kita, dan gunakan ia sebaik-baiknya hanya keranaNya.

Tiada yang lebih indah pada ibu bapa selain anak-anak yang soleh solehah, tiada yang lebih bahagia pada seorang suami selain seorang isteri yang solehah dan tiada yang lebih bernilai pada Allah selain hambaNya yang soleh solehah.

- Artikel iluvislam.com

4 Syarat Hidupkan Hati Dengan Al-Quran

Mohd Shukri Hanapi | Editor: Team Agama

Hati yang hidup menggerakkan potensi yang ada pada diri seseorang.

Sebaliknya, hati yang mati membunuh segala bakat dan potensi diri.

Sesuatu umat hanya boleh dibangunkan dengan menggerakkan potensi dirinya serta mengarahkannya kepada pembangunan.

Dengan pengutusan Rasulullah SAW, segala bakat dan potensi sahabat yang selama ini terpendam digerakkan dengan penghayatan al-Quran.

Hati yang hidup adalah hati yang subur dan bersedia untuk mendengar, melihat dan menerima kebenaran.

Hati yang hidup begini mempunyai nur, tenaga dan kekuatan.

Ia sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah dengan penuh khusyuk, takwa serta kasih dan simpati kepada sesama makhluk.

Hati yang dihidupkan dengan al-Quran bersedia mematuhi segala perintah syarak.

Dengan mematuhi segala perintah syarak barulah kehidupan manusia akan sempurna. Bukankah Allah berfirman bermaksud:

"Sesungguhnya al-Quran ini membimbing ke jalan yang lurus (benar)." - Surah al-Isra’, ayat 9

Perkara ini disebutkan juga dalam firman-Nya bermaksud:

"Taha (maknanya hanya diketahui Allah). Kami tidak menurunkan al-Quran kepadamu supaya kamu menjadi susah, tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut kepada Allah; iaitu diturunkan daripada Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi?" - Surah Taha, ayat 1-4

Maka untuk menghidupkan hati dengan al-Quran, kita memerlukan beberapa syarat:

Pertama, al-Quran hendaklah dibaca dengan tenang dan khusyuk, dalam keadaan bersunyi diri (berkhalwah), terutama pada waktu tengah malam atau fajar (Subuh).

Allah berfirman bermaksud:

"Sesungguhnya membaca al-Quran pada waktu fajar (Subuh) itu disaksikan malaikat." - Surah al-Isra’, ayat 78

Kedua, membaca al-Quran dengan pengamatan maknanya seperti yang dijelaskan dalam firman Allah bermaksud:

"Tidakkah mereka merenungi (tadabur) al-Quran itu?" - Surah Muhammad, ayat 24

Pembacaan yang disertai dengan renungan dan pengamatan sedemikian akan membuka pintu hati seseorang untuk menerima kebenaran yang terkandung dalam al-Quran.

Dengan perkataan lain, roh dari alam tinggi (alam Ketuhanan) yang dibawa oleh al-Quran itu akan turun dan meresapi ke dalam hati pembaca al-Quran kemudian ia menghidupkannya.

Dengan itu hati dapat mengenal kebenaran dengan mudah dan mencintainya. Nilai kebenaran dan kebaikan akan tumbuh subur dalam jiwanya. Lantas ia menyukai kedua-keduanya, tetapi membenci dan menentang kebatilan dan kejahatan.

Ketiga, sentiasa bersikap bersedia untuk menerima kebenaran al-Quran sebelum membaca atau mendengarnya.

Manusia sering dikuasai oleh hawa nafsunya. Segala keinginan dunia (hingga membawa kepada kegilaan) adalah dinding (hijab) tebal yang menutup hati seseorang itu sehingga menyebabkan enggan menerima hidayah Allah melalui al-Quran.

Keempat, merealisasikan kehambaan ('ubudiyyah) diri sewaktu membaca al-Quran.

Perasaan ini akan dapat menimbulkan keazaman untuk merealisasikan segala ajaran al-Quran yang dibaca itu dalam kehidupan. Ini semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah.

Dalam perkataan lain, pembacaan yang sedemikian akan menimbulkan keazaman untuk bermujahadah iaitu melawan kemahuan diri yang bertentangan dengan tuntutan ‘ubudiyyah kepada Allah.

Melaksanakan segala perintah Allah yang terkandung dalam al-Quran adalah tafsiran makna ayat yang dibacanya itu di dalam kehidupan.

Untuk memastikan ia terus hidup dan segar, maka hati perlu sentiasa menjalani proses mujahadah (melawan segala kemahuan diri yang bertentangan dengan ajaran Islam).

Hati yang tidak bermujahadah, ertinya hati itu beku dan kotor. Hati yang kotor dan beku menyebabkan seseorang itu tidak ingin melakukan kebaikan, malah ia sentiasa melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Perkara ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW bermaksud: "Huzaifah berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara tegak-menegak antara satu sama lain. Mana-mana hati yang dihinggapi oleh fitnah, nescaya akan terlekat padanya bintik-bintik hitam.

"Begitu juga dengan hati yang tidak dihinggapinya, akan terlekat padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati itu terbahagi kepada dua.

"Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada, manakala sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga yang berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran, segala-galanya adalah mengikut keinginan." (Riwayat al-Bukhari di dalam Kitab Iman, Hadis No. 207)

- Artikel iluvislam.com

Tiada ulasan: