Pemuda tunjuk cara jadikan komputer seperti iPad
BEIJING - Seorang lelaki di China, Liu Xinying menunjukkan cara-cara memasang sendiri komputer tablet menyerupai gajet popular keluaran Apple, iPad tetapi melibatkan kos yang lebih murah.
Dalam klip video 20 minit di laman perkongsian video China, Youku, lelaki itu menunjukkan cara bagaimana untuk memasang komputer tablet mirip iPad itu dengan menggunakan beberapa peralatan komputer, sebuah skrin sentuh bersama sebuah sarung serta papan kekunci.
Pada penghujung klip video berkenaan yang berjudul DIY IPAD 3, Xinying menunjukkan komputer tablet berkenaan yang sudah siap dipasang.
Komputer tablet pasang sendiri itu agak tebal dan berfungsi seperti iPad tetapi ia dijana sistem operasi Windows keluaran Microsoft.
Berita mengenai kehebatan lelaki itu seterusnya tersebar di beberapa laman web luar negara dan laman teknologi China selain laman jaringan sosial tempatan, Weibo.
Apabila dihubungi, pemuda berusia 21 tahun dari wilayah Shandong, timur China itu berkata, sejak klip video itu disiarkan di Youku pada bulan lalu dia terpaksa menolak lebih 12 permintaan orang ramai yang mahukannya membuat komputer pasang siap tersebut.
"Saya membuat komputer pasang sendiri ini untuk keseronokan sahaja," kata Xinying yang bekerja di sebuah kedai komputer di bandar raya Jinan.
"Kos untuk membuat komputer ini bersamaan 2,000 yuan (RM933)," tambahnya.
Kos tersebut adalah jauh lebih murah berbanding versi iPad 2 termurah di China yang dijual pada harga sekitar 3,688 yuan (RM1,721) manakala model iPad 64 gigabit iaitu yang paling mahal di negara berkenaan pula berharga 5,288 yuan (RM2,467). - AFP
Pesawat milik Putera Mahkota Thai disita
FRANKFURT, Jerman – Sebuah pesawat Boeing 737 yang digunakan Putera Mahkota Thailand, Maha Vajiralongkorn disita di sebuah lapangan terbang di Munich, Jerman oleh pihak pentadbiran bankrap di Jerman yang menuntut kerajaan Thai melunaskan pembayaran tertunggak kepada sebuah firma Jerman, Dywidag.
Disifatkan oleh pentadbiran Jerman sebagai “satu rampasan”, jet berkenaan kelmarin ditampal dengan beberapa pelekat dan borang daripada pegawai mahkamah.
“Kami menuntut hutang tertunggak lebih AS$42.9 juta (RM129.5 juta) sejak beberapa tahun lalu dan tindakan drastik ini merupakan usaha terakhir kami untuk mendapatkan pembayaran tersebut,” kata pegawai pentadbiran berkenaan, Werner Schneider.
Hutang itu tertunggak lebih 20 tahun lalu apabila Dywidag membantu membina jalan raya bertol sejauh 26 kilometer yang menghubungkan Bangkok dengan lapangan terbang Dong Muang.
Dywidag kemudian bergabung pada 2001 dengan Walter Bau AG sebelum firma berkenaan diisytiharkan muflis menyebabkan hutang itu tertunggak.
Putera Mahkota itu yang berusia 58 tahun adalah pewaris takhta jika ayahanda baginda, Raja Bhumibol Adulyadej mangkat.
Namun, Putera Mahkota itu dikatakan tidak popular berbanding ayahanda baginda. – Reuters
Rombongan kenderaan mewah dalam perarakan jenazah
|
|
BILLERICAY - Satu perarakan melibatkan sejumlah kenderaan mewah mengiringi sebuah kereta Rolls-Royce yang membawa jenazah pengasas lokasi tempat tinggal pengembara terbesar di Eropah, William Saunders di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Sejumlah kereta mewah Mercedes dipandu mengiringi jenazah itu selain trak pikap berwarna putih, van dan lori di sebatang jalan raya ke lokasi pengebumian dari rumah Saunders di Bukit Crays, Essex, Britain baru-baru ini.
Beberapa pegawai polis menutup sebahagian jalan raya bagi memberi laluan perarakan tersebut.
Seorang saksi berkata: "Saya tidak pernah melihat satu perarakan jenazah seperti ini."
Saunders yang berumur dalam lingkungan 60-an mati kerana kanser pada bulan lalu.
Keluarganya membeli tanah di Bukit Crays pada tahun 1980-an selepas lama berusaha untuk mendapatkannya daripada Majlis Perbandaran Basildon.
Kaum keluarga Saunders dan rakan-rakannya kemudian berpindah manakala pada tahun 2000-an, pengembara Ireland turut menetap di kawasan itu. - Agensi
Operasi selamatkan lelaki terbenam dalam lumpur
WESTON-SUPER-MARE, Britain - Seorang pelancong lelaki dan dua rakannya diselamatkan dalam satu operasi besar-besaran selepas kaki mereka terbenam dalam lumpur di Sungai Axe dekat sini, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Beberapa pejalan kaki mendengar jeritan mereka meminta pertolongan menyebabkan satu operasi menyelamat dilakukan melibatkan beberapa pengawal pantai, paramedik dan sebuah helikopter polis.
Dalam kejadian yang berlaku pada Sabtu lalu, mereka cuba untuk menyeberangi Sungai Axe.
Ketiga-tiga mereka ditemui kira-kira 0.8 kilometer dari tebing sungai oleh pasukan penyelamat.
Namun, mereka akhirnya berjaya menyelamatkan diri masing-masing dua jam kemudian apabila mampu berjalan semula namun tubuh ketiga-tiganya dipenuhi lumpur.
Seorang pegawai pengawal pantai, Steve Bird berkata, ketiga-tiga lelaki itu cuba untuk menyeberangi sungai semasa sungai cetek.
"Anda boleh terperangkap apabila air pasang dan terdapat risiko lemas," katanya. - Agensi
Jet Israel bom Gaza
BAITULMUQADDIS – Jet-jet Israel mengebom dua kawasan di Gaza semalam yang mencederakan seorang wanita selepas beberapa pejuang Palestin membedil tiga roket ke selatan Israel, kata sumber Israel dan Palestin.
Tentera Israel menyatakan, jet-jetnya menyasarkan dua kawasan pengeluaran senjata di utara Genting Gaza.
“Bedilan disahkan mengenai sasaran dan beberapa letupan susulan dikenal pasti,” kata pihak tentera dalam satu kenyataan.
Sumber-sumber perubatan Palestin memberitahu, seorang wanita cedera ringan dalam serangan udara itu di timur Bandar Gaza dan dia dihantar ke hospital Shifa yang terletak berdekatan.
Dalam perkembangan berkaitan, tentera Israel kelmarin menyatakan, tiga roket dibedil ke selatan Israel dari Gaza tetapi tiada kecederaan dilaporkan dengan sebuah roket berkenaan cuma menyebabkan sebuah rumah mengalami kerosakan kecil. – AFP
Perlu bayar RM30,205 untuk tangkap penganggur
BANDAR RAYA SALT LAKE, Amerika Syarikat (AS) - Seorang lelaki dipercayai dari negeri Utah yang menggelarkan dirinya Mork Encino akan mengenakan bayaran AS$10,000 (RM30,205) kepada orang ramai yang berjaya memburu dan menangkapnya, lapor sebuah akhbar semalam.
Lelaki berusia 28 tahun itu yang menganggur berkata, dia membuat tawaran aneh tersebut di satu laman web kerana mahu mencari kelainan.
"Saya lebih laju daripada seekor ayam belanda dan pintar seperti babi hutan," kata lelaki tersebut.
Menurutnya, mereka yang berminat untuk memburunya dalam keadaan berbogel pula akan dikenakan bayaran AS$2,000 (RM6,041) lebih mahal.
Pemuda itu menegaskan dia serius berhubung tawaran tersebut tetapi beberapa pakar menyatakan, tawaran itu mungkin palsu selain menyalahi undang-undang AS. - Agensi
Piramid tertua diselamatkan dengan beg udara
KAHERAH - Piramid tertua di Memphis, Mesir berjaya diselamatkan daripada runtuh dengan menggunakan beg udara sebagai penampan siling, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Bangunan berusia 4,700 tahun itu terpaksa distabilkan bagi membolehkan jurutera melakukan kerja-kerja pembaikan.
Struktur mega itu dibina sebagai makam untuk mengebumikan Firaun Djoser, seorang pahlawan yang memerintah pada dinasti ketiga selama 19 tahun.
"Keseluruhan struktur bakal musnah pada bila-bila masa disebabkan gempa bumi. Namun kami menstabilkan dengan meletakkan beg udara dan akan memulakan kerja pembaikan ke atas bangunan yang menakjubkan ini," kata ketua jurutera, Peter James. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan