Khamis, 14 Julai 2011

MUNGKIN DOSA KITA...KESALAHAN KITA...MENGUNDANG SEMUA PERKARA NI....MAKA KENA TERIMA...NI HUKUM ALLAH SWT...

Doktor: Kami akan beri banyak lagi bukti jika dicabar
Wong Teck Chi
Jul 14, 11
7:10pm

Para doktor yang menyaksikan tindakan pihak polis di Hospital Tung Shin, bersedia untuk memberi bukti lanjut jika kenyataan yang dikeluarkan semalam disangkal oleh kerajaan.

Bagaimanapun, mereka tidak akan mendedahkan maklumat lanjut mengenai kejadian tersebut sehinggalah kenyataan mereka dicabar oleh pihak berkuasa, kata jurucakap mereka, Dr Sheikh Johari Bux hari ini.

NONE"Jika itu (penafian) timbul, kita akan berbincang sebagai satu kumpulan dan mengambil langkah-langkah yang diperlukan,"
kata Dr Sheikh Johari, seorang perunding obstetrik dan sakit puan.

"Jika tidak, kita akan biarkannya setakat itu," katanya, sambil menambah bahawa mereka hanya akan memberi respons pada "masa yang sesuai" dan di hadapan peguam.

Sheikh Johari berkata maklumat yang mereka ada bukanlah sesuatu yang "rahsia".

Ia juga bukan niat mereka untuk melawan sesiapa, "apa yang kami mahu ialah hanya bercakap benar," tambahnya.

"Apa yang kita minta ialah mereka yang di atas supaya telus."

Kenyataan doktor berkenaan, yang dikeluarkan malam tadi dan ditandatangani oleh 11 pegawai kanan perubatan, mengutuk pihak berkuasa kerana bertindak ke atas peserta perhimpunan BERSIH 2.0 dalam perkarangan hospital tersebut Sabtu lalu.

NONEPerbuatan itu melanggar pengiktirafan universal hospital
sebagai tempat perlindungan.

Ia adalah kenyataan pertama yang dibuat oleh pegawai perubatan berikutan penafian pihak polis dan Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai bahawa polis menembak gas pemedih mata dan meriam air ke dalam perkarangan hospital itu pada 9 Julai.

Selain Sheikh Johari, doktor-doktor lain yang menandatangani kenyataan itu adalah Dr Musa Nordin, Dr Ng Kwee Boon, Dr Ng Swee Choon, Dr Ronald Mcoy, Dr David Quek, Dr Mary Cardozo, Dr Farouk Musa, Dr Mazeni Alwi, Dr Pixie Low dan Dr Steve Wong.

Staf HKL didakwa guna parkir khas untuk OKU
Jul 14, 11 6:54pm

Seorang warga emas yang juga orang kelainan upaya (OKU) mendakwa tayar keretanya telah dikunci pihak pengurusan parkir Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana meletakkan kereta di kawasan yang salah.

P Palaniappan, 60, seorang pesara mendakwa beliau datang ke hospital terbabit bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan kesihatan pagi ini.

"Oleh kerana tempat letak kenderaan termasuk OKU telah penuh di hospital, saya terpaksa berlegar-legar bagi mencari tempat letak kereta.

"Saya lihat pada setiap tanda meletak kenderaan OKU dan mendapati hampir separuh daripadanya telah dipenuhi kenderaan staf hospital," dakwa beliau.

"Oleh itu saya terpaksa meletakkan kereta di satu kawasan yang tidak dibenarkan kerana saya tidak mampu berjalan jauh dengan keadaan saya sekarang.

Setelah selesai rawatan, saya dapati tayar telah dikunci dan saya perlu jelaskan bayaran sebanyak RM50," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mendakwa walaupun telah mempamerkan pelekat khas OKU yang telah dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di kereta Perodua Myvinya itu, pihak pengurusan enggan mengalah dan terus mempersalahkannya.

Katanya, penjelasan beliau enggan diterima mereka dan beliau terpaksa membayar bayaran tersebut sebelum keretanya boleh bergerak dan beliau kemudian datang ke Wisma Bernama, membuat aduan.

Palaniappan berkata beliau kehilangan kaki kiri setelah mengalami kecederaan serius semasa bekerja dahulu.

"Kehidupan saya dan dua orang anak kini terpaksa bergantung sepenuhnya melalui bantuan sara diri yang diberi oleh JKM. Sepatutnya kejadian seperti ini tidak patut berlaku apatah lagi di hospital kerajaan," katanya.

Sementara itu, jurucakap hospital, berkata pihaknya kesal dengan apa yang berlaku termasuk tindakan sesetengah pihak yang meletak kenderaan mereka di tempat parkir OKU.

"Pengadu juga sepatutnya memaklumkan kepada polis bantuan atau wakil hospital yang berada berdekatan keretanya supaya pihak pengurusan parkir tidak akan kunci tayar kereta.

"Namun kita akan jalankan siasatan dan perkara ini akan dibawa kepada pihak atasan agar kejadian seperti ini tidak berulang lagi," katanya.

- Bernama


Samad Said: Najib 'memang kejamlah'
Abdul Rahim Sabri
Jul 14, 11
5:00pm

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said menyifatkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri yang "memang kejam" berbanding dengan beberapa perdana menteri sebelum ini.

"Kalau tengok (perdana menteri) yang sudah-sudah itu, (Najib) memang kejamlah," katanya ketika diminta membandingkan pentadbiran Najib dan dua penyandang sebelumnya - Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

NONEMenceritakan kembali "kebengisan" polis dalam menangani perhimpunan BERSIH 2.0 Sabtu lalu, A Samad (kiri) mendakwa pentadbiran Najib sekarang mengarah kepada menjadikan Malaysia negara kuku besi.

Ketika diwawancara Malaysiakini di sebuah restoran di Bangsar hari ini, A Samad berkata, perkara itu boleh dilihat melalui rakaman video dan gambar di internet yang mana kerajaan "berantakan dengan orang awam".

"Youtube siarkan, kita boleh lihat semua dan (dia) tak boleh tipu. Cuma, malangnya dalam akhbar-akhbar (dan) media utama, sudah tentu kamu nampak berat sebelah," katanya yang mesra dengan panggilan Pak Samad.

"Tapi kalau (di) Youtube, tak boleh tipu. Kamu kata tidak jentik-jentik, (itu) pun nampak (di Youtube). Kamu kata tidak ada orang yang dipijak, (tetapi ada) yang ditendang berulang kali," katanya.

Kepimpinan 'bangsawan'

Sehubungan itu, A Samad mendesak Najib meletakkan jawatan, selaras dengan kempen sama di Facebook yang kini sudah digemari hampir 200,000 orang.

"Ya, saya mahu (beliau letak jawatan). Saya ikut (perkembangannya) dalam Facebook, amat bagus (kempen itu). Kalau di Jepun, orang lain buat salah pun, menteri itu tunduk depan orang.

NONE"Ada perdana menteri Jepun tidak sampai satu penggal pun, (letak jawatan). Tapi di sini tentu, orang sangat mengidam kuasa," katanya sambil menambah kerajaan tidak lagi memerintah "dengan sukaan umum".

Bagaimanapun, ditanya tentang perdana menteri mana yang yang paling bagus, A Samad tidak menjawabnya secara langsung, sebaliknya menyebut tentang penguasaan "bangsawan" bagi jawatan itu.

Katanya, sepanjang lebih 50 tahun kemerdekaan, kecuali Dr Mahathir, kesemua perdana menteri disandang oleh golongan itu yang disifatkannya "hidup mudah".

"Laporan-laporan yang sampai ke telinga (mereka) itu, semuanya yang cantik sahaja. Jadi, mereka tidak merasakan (kesusahan rakyat).

"Saya merasakan sudah waktunya, kepimpinan harus datang dari bawah, bukan dari atas," tegasnya lagi.

Ditanya berapa lama BN boleh bertahan untuk memerintah negara ini, sasterawan yang membiasakan dirinya dengan panggilan "bapak" berkata beliau sukar untuk meramalkannya.

"Tetapi bapak harapkan dalam pilihan raya akan datang, mereka undur ataupun jatuh. Itu harapan saya," katanya.


A Samad Said diwawancara Wee Yu Meng, Jimadie Shah Othman, Abdul Rahim Sabri dan Nigel Aw.


Isu baca hadis: Islam bukan untuk Melayu sahaja
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Julai: Al Quran dan Hadis diturunkan sebagai rahmat seluruh alam, dan bukan hanya untuk orang Islam sahaja dan Islam pula bukan hak orang Melayu sahaja.

Itu tegasan dan penerangan yang dibuat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) apabila beliau terbaca laporan mengenai Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman yang membidas wakil rakyat PAS dan PKR beragama Islam kerana tidak bersuara ketika Ahli Dewan Undangan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim memetik hadis untuk menguatkan hujahnya dalam satu pembentangan di DUN Selangor semalam.

Satim berhujah bahawa Ng tidak layak menggunakan hadis untuk hujahnya kerana beliau seorang bukan Islam dan tidak memahami hadis tersebut.

Menurut Tuan Ibrahim iaitu Ketua Penerangan PAS, isu orang bukan Islam memetik ayat al-Quran dan Hadis masih menjadi isu yang belum selesai hanya kerana sikap dan pemikiran segelintir pemimpin-pemimpin Umno yang masih terkongkong dengan persepsi bahawa ia adalah satu kesalahan untuk orang bukan Islam memetik ayat al-Quran atau hadis.

“Alasan mereka mudah dan cetek, kerana tidak faham ayat al-Quran atau hadis. Kalau orang Melayu yang petik ayat al-Quran atau hadis tidak jadi masalah, walaupun mereka juga tak faham,” tegur beliau.

Tuan Ibrahim juga menasihatkan orang Islam untuk memahami betapa ramainya orang bukan Islam di dunia ini yang memetik ayat al-Quran dan hadis dalam tulisan atau ucapan mereka di seluruh dunia.

Tapi mengapa para ulama atau Majlis Fatwa tidak mengeluarkan fatwa untuk mengharamkannya?

“Sebab isu utama ialah hukumnya haram atau dicegah hanya sekiranya mereka atau kita umat Islam memetik dengan tujuan menghina atau mempermain-mainkan al-Quran atau hadis.

"Kalau mereka memetik untuk menguatkan hujah mereka, maka ia tidak dilarang bahkan ianya telah ada nilai kepercaaan kepada kebenaran al-Quran atau hadis. Seandainya petikan tersebut tersasar dari maksud sebenar, maka mereka yang memahami nas wajiblah membetulkannya,” terang Tuan Ibrahim dalam kenyataannya hari ini.

Pada pandangan Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, menghalang orang bukan Islam daripada mendekati sumber utama Islam (al-Quran atau hadis) menyebabkan mereka semakin jauh daripada memahami asas agama Islam – dan ini akan membantutkan perkembangan agama Islam.

“Kerana itu, Umno tak perlu menunding jari kepada wakil rakyat PAS atau PKR kerana tindakan itu mengambarkan kejahilan mereka dalam memahami isu ini,” selar beliau.

Beliau turut menambah bahawa isu umat Islam berhadapan dengan golongan bukan Islam bukanlah isu yang baru kerana sudah ratusan tahun lamanya umat Islam telah berhadapan dengan golongan bukan Islam.

“Maka seandainya orang bukan Islam tidak dibenarkan memetik ayat Quran atau hadis, tak mungkin tiada sebarang fatwa melarangnya. Untuk itu kita sebagai umat Islam hendaklah memandu golongan bukan Islam memahami dan mengkaji kebenaran Islam, semoga dengan kajian tersebut mereka terbuka hati untuk menerima Islam. InsyaAllah,” nasihat beliau.

Terdahulu, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib berkata, al-Quran dan hadis merupakan sumber rujukan untuk kesejahteraan sekalian manusia.

“Sebagai orang Islam kita seharusnya menggalakkan penganut agama lain mempelajari tentang al-Quran dan hadis untuk mengenal Islam secara lebih mendalam dan bukannya mengherdik dan bertindak di luar akhlak Islam yang akhirnya menjauhkan bukan Islam dengan Islam,” kata beliau.


Khalid Samad: Bersih 2.0, pengalaman saya
Khalid Samad

Pengalaman saya bersama Perhimpunan BERSIH 2.0 bermula pada jam 11 pagi apabila saya dengan seorang teman dari PAS Shah Alam menuju ke Kuala Lumpur. Pada mulanya kami mencuba Lebuh Raya Persekutuan. Ianya sesak dari sebelum Tol Batu 3. Kami cuba pintas melalui Glenmarie. Trafik sesak di hadapan kilang pengedar kereta BMW. Kami memutuskan untuk berpusing balik dan mencuba pula melalui ELITE/PLUS menuju ke KLIA. Masuk di Batu 3, keluar di Tol USJ. Seterusnya menuju ke arah Puchong. Seterusnya kami menyusuri Jalan Gasing dan melalui kawasan Universiti Malaya sehingga keluar di Jalan Pantai. Dari situ terus menuju ke KL Sentral.

Sekatan jalan oleh polis di merata tempat. BN menyusahkan rakyat semata-mata kerana hendak menghalang program yang menegur mereka. Turut bersimpati dengan pihak polis, berpanas dan mendapat sumpahan rakyat berbakul-bakul semata-mata kerana UMNO/BN. Hanya pencuri dan BN yang bergembira dengan penggunaan polis secara sebegini. Tetapi, kalau difikirkan, memang terdapat persamaan di situ. Pencuri mencuri secara ‘illegal’, BN mencuri harta rakyat melalui cara ‘legal’.

Setibanya kami di jalan Brickfields, saya turun di tepi jalan dan berjalan kaki menuju ke KL Sentral. Terserempak dengan sahabat bermotosikal dan membonceng ke hadapan kawasan KL Sentral. Berjalan kaki pula menuju ke Hotel Hilton yang berada di sebelahnya. Saya berjalan berhampiran beberapa anggota polis tetapi mungkin oleh kerana saya bertegur sapa seorang pelancong dari Australia dan bersembang sambil berjalan dengan beliau, mereka tidak perasan akan saya. Mungkin juga saya dianggap sebagai ‘pemandu pelancong’ ataupun tourist guide.

Saya masuk ke Hotel Hilton dan dari lobi, terus menuju ke atas untuk bersama pimpinan. DSAI telahpun berada di situ bersama Dato Ambiga dan Lim Kit Siang. Beberapa pimpinan PAS juga sudah di situ apabila saya sampai. TG Hj Abdul Hadi sampai pada jam 1 tengah hari. PC dibuat dan mereka menyatakan secara jelas apa itu BERSIH 2.0 dan matlamat yang ingin dicapai. PR juga menyatakan sokongannya terhadap BERSIH 2.0.

Selepas solat Zohor yang diimamkan TG Hj Abdul Hadi kami mula bergerak ke bawah. Sampai sahaja kami ke Lobi, pelanggan di restoran di kawasan Lobi hotel itu tiba-tiba berdiri dan menepuk tangan menunjukkan sokongan. Termasuk pelancong-pelancong yang mengikuti perkembangan Negara, mereka semua faham apa yang kami inginkan akan membawa kebaikan untuk Negara. Hanya UMNO tidak mahu faham kerana mereka lebih pentingkan kebaikan diri mereka sendiri!
Ada dikalangan pelanggan, bangun untuk turut bersama. Sambil menunggu tadi, mereka minum di restoran hotel, membawa business juga pada hotel tersebut nampak gaya!

Kami keluar pintu utama Hotel dan terus tuju ke bangunan KL Sentral. Sambil keluar saya menoleh ke belakang dan mata saya mengesahkan, tiada meja yang diterbalikkan, tiada kerusi yang dicampak dan tiada bahagian yang dibakar di Hotel Hilton! Kami himpunan aman, bukan perusuh.

Sambil keluar saya melihat hari sedang hujan. Hujan rahmat yang akan mengurangkan kesan keperitan gas pemedih mata, terfikir saya. Bila tiba di salah satu pintu masuk KL Sentral, ada anggota polis yang cuba menghalang kami dari masuk, tetapi tidak berjaya. Kami masuk ke dalam dan tiba-tiba, orang ramai yang berada di dalam bersorak menyambut ketibaan kami. Jumlah yang asalnya hanya berpuluh, tiba-tiba disertai ramai yang telah berada di dalam, menjadi beratus! Kami terus mara dan keluar dari bangunan KL Sentral, dibawa melalui tangga besi ke tingkat bawah.

Yang menyertai kami di KL Sentral terdiri dari rakyat biasa yang menyokong kami. Mereka menunggu kami dan sambil menunggu, mereka membeli minuman dan makanan di kedai-kedai di KL Sentral. Semasa mereka bangun untuk menyertai kami, tiada kedai yang dibakar, kerusi yang dibaling atau meja yang dipecahkan. Kerana kami berhimpunan secara aman yang ingin menuntut pilihan raya yang adil dan bersih, bukan perusuh. Kami ingin lawan melalui pilihan raya, bukan melalui huru hara. Itu sebab pilihan raya perlu adil dan bersih.

Di tingkat bawah, kami berada di kawasan yang bagaikan sebuah terowong, kiri kanan berdinding. Mereka yang di depan membawa kami terus mara lagi menuju ke jalan keluar untuk ke Stadium Merdeka. Bila sampai di pintu ‘terowong’ tiba-tiba kelihatan satu barisan anggota FRU menghalang jalan. Kami berada lebih kurang 20 meter dari mereka. Kami berhenti, pimpinan berada di saf hadapan. Saya di saf yang ketiga. Tiba-tiba berbunyi siren dari belakang. Landrover FRU menuju ke arah kami dari belakang, inginkan laluan untuk ke depan. Kami memberinya laluan tanpa apa-apa tindakan khianat dari pihak kami.

Setelah landrover tersebut berada di hadapan, saya menoleh ke belakang, ingin melihat sekiranya ada pasukan FRU yang sedang mara ke arah kami. Orang sudah ramai, beresak-esak, dalam keadaaan kebimbangan kerana kami terperangkap dalam terowong tanpa adanya jalan keluar. Di depan FRU dan di belakang pun sudah begitu. Kami datang bukan untuk berentap dengan FRU tetapi BN menghantar FRU untuk menyerang kami.

Tiba-tiba saya mendengar bunyi tembakan dan dengan serta-merta, cermin-mata saya terpelanting ke depan. Asap gas pemedih mata mula berkepul-kepul. Tembakan datang dari depan dan belakang. Pada saat itu saya terfikir saya perlu mencari cermin-mata kerana semua menjadi kabur tanpanya. Tetapi suasana kelam kabut menyedarkan saya bahawa itu tidak mungkin saya lakukan. Gas pemedih mata mula terhidu. Saya teringat beg plastik yang berada di dalam kocek seluar saya dan dengan segera membukanya sehingga dipenuhi udara serta bernafas melaluinya dengan menutup hidung dan mulut saya dengannya. Beg plastik itu adalah pembalut baju BERSIH 2.0 yang diberikan kepada saya semasa diatas.

Pada ketika itu saya tidak sedar bahawa kepala saya terkena kelonsong gas pemedih mata dan sudah mula berdarah. Saya bersama rakan saya dari Shah Alam, saudara Zainal, yang ditugaskan untuk menemani saya, bergegas ke belakang dan ternampak ‘lubang’ di tepi dinding di sebelah kanan kami. Kami menuju ke lubang tersebut.

Sambil ke sana saya melihat A. Samad Said terduduk tersandar di tepi dinding. Beliau orang lama, pasti umurnya lebih 70 tahun. Dia tentu tidak mampu untuk beredar dari terowong yang semakin penuh dengan gas pemedih mata. Turut kelihatan beberapa pemuda yang duduk bersama beliau.

Semasa sidang akhbar sebentar tadi A. Samad Said turut bercakap. Beliau berkata, telah tiba masanya untuk sasterawan terlibat dalam pencorakan Negara kerana kerosakan yang semakin melanda. Saya kagum dengan beliau. Kebiasaannya, orang seperti dia akan berehat di rumah, bermain dengan anak cucu. Malangnya kebobrokan pemerintah memaksa beliau ke jalan raya, walaupun sudah cukup berusia. Mengapa? Kerana dia tidak ingin mewariskan kepada yang muda suatu negara yang hancur dan budaya politik yang muflis dari segi akhlak dan amanah! Celaka BN kerana merampas ketenangan zaman usia emas darinya!

(Khalid Samad sejurus selepas terkena botol gas pemedih mata yang ditembak ke atas kepalanya. Ketika gambar diambil, kepala sudah berbungkus dengan kain puteh)

Kelihatan juga beberapa wanita yang terduduk di atas jalan, tercungap-cungap kepedihan, hadiah dari BN yang ingin terus mempertahankan proses pilihan raya yang kotor. Mereka sedar akan risikonya tetapi mereka ingin juga melihat perubahan dan keadilan. Apa akan mereka warisi sekiranya kepincangan diteruskan dan kekayaan negara terus disalah-gunakan? Oleh itu mereka datang walaupun tahu kemungkinan mereka akan dilayani sebegitu rupa oleh BN.

Pada ketika itu saya tersedar bahawa beg plaktik yang saya bernafas melaluinya sudah mula basah, berisi dengan sesuatu cecair yang berwarna gelap. Sahabat saya lantas memberitahu saya bahawa saya telah terluka di bahagian kepala. Beg plastik dipenuhi darah!

Saudara Zainal membawa saya terus menuju ke lubang yang kelihatan tadi. Terpaksa kami melalui di bawah dua batang paip air untuk sampai ke lubang tersebut. Sebaik sahaja melalui lubang itu, kami dapati kami memasuki kawasan pembinaan. Ada beberapa pekerja di situ. Kami bertanya jalan keluar dan dengan segera mereka menunjukkan kami jalan untuk melepas diri.

Zainal meminta saya berhenti dan baju Bersih 2.0 yang saya pakai di atas baju T-shirt saya digunakan untuk membalut kepala saya untuk mengurangkan pendarahan. Pada masa itu kelihatan baju saya penuh dengan kesan darah. Saya duduk sambil dia dan beberapa lagi rakan seperjuangan membalut kepala saya. Ada bersama pemuda dari kawasan Selayang. Ada juga pemuda dari Sarawak! Pemuda dari selayang memberikan saya tuala kecil yang sudah dibasahkan untuk membersihkan muka dari kesan darah.

Sambil itu semua dilakukan, dua orang lagi pemuda keluar dari kawasan pembinaan tersebut untuk mendapatkan teksi untuk saya. Bila ada teksi ditahan, maka mereka memanggil saya untuk menaiki teksi tersebut. Zainal menutup kepala saya dengan beg plastic kuning yang dia bawa bersama. Takut luka dibasahi hujan. Pemuda Sarawak memberi pula jaket hitamnya untuk menutup kepala saya juga, takut air hujan akan membasahi luka saya.

Saya dan Zainal menaiki teksi dan meminta pemandu membawa kami ke Hospital. Pemandu itu melihat pada saya dan terus menyedari saya salah seorang yang menyertai perhimpunan BERSIH. Dia nampak saya sedang cedera dan dengan segera dia membawa kami pergi. Sambil dalam perjalanan dia cukup berhati-hati, mengelak kawasan yang dijaga polis.

Setibanya kami di Hospital, di bahagian kecemasan, saya dibawa untuk bertemu doktor yang bertugas. Pembantu Hospital (HA) ramai bertanya akan keadaan di Kuala Lumpur sambil menunjukkan sokongan mereka terhadap apa yang diusahakan. Sambil berbincang saya dicucuk dengan cucukan anti-tetanus, tekanan darah dibaca dan keadaan jantung diperiksa melalui ECG. Orang biasa yang berada di hospital turut bertanya apa yang sedang berlaku. Sambil menunggu keluarga mereka yang dirawat, sokongan mereka terhadap apa yang dituntut oleh BERSIH jelas disuarakan.

Ada seorang peserta himpunan aman BERSIH yang cedera telah tiba di Hospital sebelum saya. Beliau lagi parah. Kelongsong gas pemedih mata terkena di dadanya dan melantun ke atas melanggar dagunya. Tulang dagunya patah menyebabkan dia tidak boleh bercakap dengan jelas.

Para doktor dan jururawat yang merawat saya begitu bersimpati dengan usaha kami. Sambil menjahit luka saya setelah kepala di x-ray, ada yang bertanya kehairanan terhadap cara perhimpunan itu ditangani. “Apa salahnya? Kenapa tidak dibenarkan sahaja? Apa yang diminta sememangnya patut” kata salah seorang doktor sambil menjahit 6 jahitan dikepala saya. “Kami sokong, tapi terpaksa menikus” katanya lagi.

Itulah Malaysia, negara kesayangan kita semua. Bumi di mana golongan bijak pandai ditakut-takutkan. “Kalau bersama himpunan BERSIH, tindakan akan diambil! Semua pegawai kerajaan diharamkan untuk berserta! Mahasiswa, mahasiswi, pensyarah, cikgu-cikgu, kalau terlibat, nahas kamu!” kata-kata perangsang pemerintah yang memerintah melalui penindasan dan ugutan. Ya Malaysia, bukannya Myanmar ataupun Kampuchea di bawah Pol Pot. Kehebatan negara ini dan segala kelebihannya hancur di tangan pemerintah yang mementingkan diri.

Itulah sebabnya perubahan itu perlu. Perubahan demi membebaskan Malaysia dari barisan pemimpin yang sudah lupa diri, tenggelam dalam harta dan kemewahan yang dicuri dari rakyat. Ianya hanya dapat dilakukan sekiranya pilihan raya itu adil dan bersih. Itulah sebabnya mengapa usaha BERSIH perlu diteruskan.

(Kesan jahitan pada kepala Khalid Samad)

Pada masa itu waktu sudah pukul empat petang. Saya menerima sms bahawa TG Hj. Abd Hadi telah ditahan. DSAI dihantar ke hospital kerana turut cedera. Lebih kurang 1,400 orang ditahan polis. Tetapi, LKS tidak mampu ditahan polis walaupun beliau ‘separuh rabun’ kerana baru sahaja menjalani pembedahan mata! Sedangkan beliau bersama di saf hadapan. Adakah ini merupakan sebahagian dari tipu muslihat mereka? Ingin ditonjolkan kononnya bahawa hanya Melayu sahaja yang terlibat sambil mengelakkan kemarahan masyarakat Cina?

Namun demikian, maklumat seterusnya yang saya terima melalui SMS menyatakan, himpunan BERSIH 2.0 berjaya dihadiri berpuluh ribu rakyat berbilang kaum di beberapa tempat termasuk di Stadium Merdeka dan Pudu Raya! Sambil itu, perhimpunan turut diadakan di beberapa bandar utama di serata dunia!

Saya kembali ke rumah selepas itu, walaupun perit gas pemedih mata masih terasa dan luka di kepala masih menyengit, tetapi hati tetap gembira dengan kejayaan perhimpunan tersebut. Saya kemudiannya dikunjungi beberapa sahabat yang kembali dari Kuala Lumpur. Mereka menceritakan pengalaman mereka sambil ingin tahu keadaan saya. Semua merasa bangga dengan kejayaan perhimpunan tersebut dan tiada sesiapa, termasuk saya, merasa kesal kerana telah bersama. Ini adalah kerana, kami telah turut menyertai suatu perhimpunan yang telah melakar sejarah dalam mencorak masa depan tahah air. InsyaAllah, angin perubahan kencang akan terus kekal bertiup di bumi Malaysia ini!

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD


’Pengundi hantu’ pernah gempar di mahkamah
M Faqih

KOTA BHARU, 14 Julai: Pada 29 Jun 2009 Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Hasan Lah mengakui keterangan beberapa saksi pempetisyen ‘ada orang lain yang mengundi menggunakan nama dua pemilih berdaftar’.

Biar pun kes tersebut ditolak, namun beliau berpuas hati terhadap hujah ada orang lain yang mengundi menggunakan nama Yusof Harun dan Zainab Mat Jusoh pada pilihan raya kecil Dun Pengkalan Pasir, Disember 2008.

Menurutnya mahkamah tidak dapat membuat kesimpulan bagaimana perkara itu boleh berlaku.

Sebelumnya pada 4 Januari 2009 PAS mengemukakan petisyen bagi mencabar keputusan pilihan raya kecil Dun Pengkalan Pasir, 6 Disember 2008 ekoran wujud dakwaan beberapa penyelewengan.

Pada pilihan raya kecil tersebut calon BN, Hanafi Mamat mengatasi calon PAS, Hanifa Ahmad dan calon Bebas, Datuk Ibrahim Ali dengan kelebihan 134 undi.

Bagaimanapun pada pilihan raya umum 2008 Hanafi yang juga Ketua Umno Pasir Mas gagal mempertahankan kerusinya apabila tewas majoriti 2,348 undi kepada Hanifa.

Anehnya sehingga sekarang mengapa Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan timbalan pengerusi, Datuk Wan Ahmad Wan Omar asyik menafikan kewujudan pengundi berganda.

Malah mereka bermati-matian mempertahankan senarai daftar pemilih dikeluarkan SPR dianggapnya bersih dan tidak pernah wujud pengundi hantu.

Perkara itu juga pernah dipertahankan bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sehingga mendakwa pembangkang mencipta perkara tidak wujud.

Mampukah mereka menolak hujah yang dikemukakan di mahkamah apabila ada pengundi yang datang mahu membuang pulang hampa kerana ada pihak lain sudah membuang undi menggunakan nama dan kad pengenalannya.

Isu inilah yang diperjuangkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).

Pada pilihan raya umum lalu juga ditemui seorang lelaki memiliki beberapa keping kad pengenalan yang pulang untuk membuang undi di Dun Bukit Panau dan Gual Ipoh di Tanah Merah...

(Ikuti pelbagai pendedahan dalam Harakah edisi cetak yang berada di pasaran sekarang. Juga ada pengakuan bekas pegawai kanan SPR).



Tiada ulasan: