KUALA LUMPUR, 18 Julai: Sasterawan Negara Datuk A Samad Said yang terkenal dengan sikap kelembutannya kini menyimpan satu perasaan benci kepada kerajaan. Ini berikutan tindakan polis menyuraikan perhimpunan Bersih2.0 genap seminggu lalu melibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa rakyat. "Tidak pernah saya rasakan begitu bencinya saya pada kerajaan. Itulah waktunya saya lebih benci," katanya yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad yang mengimbau kembali pengalamannya di KL Sentral, tempat beliau mula-mula bertembung dengan polis. Beliau menyifatkan tindakan polis menangani perhimpunan damai itu secara bengis. Katanya, seluruh rakyat Malaysia yang telah menyertai himpunan itu terus mengkritis kerajaan Umno BN apabila melihat keganasan yang dilakukan oleh pihak polis. Justeru, beliau kesal kerana pemimpin Umno BN membuat berbagai helah menyatakan polis yang menjalankan tugas ketika itu tidak melakukan tindakan yang kasar kepada rakyat sebaliknya menuduh rakyat yang bertindak kasar. “Kata-kata itu menjadi luka berdarah buat rakyat Malaysia dan saya percaya Umno BN akan terkubur dalam PRU ke 13 nanti,” katanya. Beliau menyatakan demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Yellow Saturday di Markaz Tarbiyah PAS di Taman Melewar malam kelmarin turut menceritakan pengalamannya dalam himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu. “Sebelum (gas) ditembak, ada himpitan dari belakang, kelompok polis juga. Jadi kami agak tersepit, seperti di (Hospital) Tung Shin, (kami) tiada jalan alternatif lain, jadi go through saja. “Menghabiskan hari yang panjang daripada pagi sehinggalah disekat polis kali terakhir kira-kira 300 meter daripada Istana Negara di sebelah petang untuk menyampaian Memorandum yang merupakan amanah rakyat untuk di sembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, amat mengecewakan tiada pertimbangan yang sebaiknya oleh polis. "Mata saya telah mengalami kecederaan akibat tembakan gas water canon, mereka (Polis dan FRU) nampak saya ketika itu, kalau boleh mereka hendak makan saya”. “Berbeza dengan demonstrasi pertamanya pada Mac 2007 bagi membantah dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), kali ini saya rasakan ujiannya terlalu kuat dengan menempuh pelbagai rintangan. “Sepatu Nike saya juga hilang apabila dihimpit dengan ramai rakyat disitu lebih-lebih lagi apabila polis datang mengejar rakyat yang berhimpun di situ. “Saya bukan sahaja hilang capal, tetapi peralatan yang saya bawa seperti garam, tuala kecil dan air mineral yang dibawa sebagai alat pelindung saya tepaksa diberikan orang lain apabila salah seorang peserta himpunan disitu kelihatan nafasnya menjadi sesak meminta-minta agar diberikan bantuan. “Saya berikan semua peralatan saya kepada beliau untuk menyelamatkan dirinya, jika tidak mungkin orang itu juga mengalami nasib yang serupa seperti arwah Baharudin. "Saya seharusnya diapit dua orang peguam, (tetapi) mereka juga hilang apabila kami semua dikejar oleh polis dan FRU untuk mengelak diri daripada ditembak dengan gas. “Pada Sabtu itu, pakaian saya sudah basah lencun akibat hujan dan dengan tembakan meriam air, saya terus berjalan kira-kira 10 kilometer menuju ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong. "Saya berkaki ayam separuh jalan, berbatu-batu. Ada beberapa anak muda yang nampak saya ketika itu hendak beri saya sepatu Nike tetapi saya menolaknya kerana saya fikir sepatu itu cantik sangat dan biarlah saya bersusah payah untuk masa depan anak bangsa saya sendiri. "Kemudian saya didatangi oleh seorang lagi anak muda dengan memberi saya sepatu yang besar, saya menerimanya kerana saya fikir perjalanan saya jauh dan banyak halangan yang perlu saya tempuhi untuk menyerahkan Memorandum kepada Agong. Ini merupakan satu pengalaman pahit dan tidak mungkin saya lupakan. "Tidak pernah saya melihat satu kelompok orang muda yang berbilang bangsa itu bersatu oleh satu cita-cita. Itu sangat membanggakan. “Saya berpesan berulang kali kepada generasi muda terutamanya kalian seharusnya bertekad bersatu hati untuk mengubah pentadbiran demokrasi Negara ini dalam pilihanraya umum ke -13 nanti, demi masa depan anak cucu kita. “Orang tua mungkin tidak mampu lagi untuk bekerja kuat, namun kita akan sentiasa memberi sokongan padu bagi menukar pentadbiran kerajaan baru," kata Pak Samad Said disambut laungan Allahu akbar hadirin. Facebook: Lebih 200,000 mahu Najib letak jawatan Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 18 Julai: Kumpulan rakyat yang majoritinya "majoriti senyap" terus menyatakan pendirian mereka mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.
Desakan dizahirkan mereka pada laman peminat Facebook yang bertajuk ‘100,000 Rakyat meminta Najib Tun Razak meletak jawatan’ (100,000 People Request Najib Tun Razak Resignation) yang kini sudah mencecah 202,020 peminat sehingga jam 2.07 petang tadi.
Ketika Harakahdaily membuat liputan perkara ini Julai 11 yang lalu, jumlah peminat telah pun mencecah angka 119,000.
Angka peminat Facebook terus meningkat apabila kerajaan Barisan Nasional meneruskan tindakan mereka memperlekehkan perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.
Selepas seminggu, hari ini peminat telah meningkat lebih daripada 80,000 kepada angka 202,020 seperti yang tertera di gambar.
Peminat Facebook yang terdiri daripada rakyat pelbagai kaum dan agama, menulis komen menyeru Najib untuk meletak jawatan ekoran tindakan tidak bertamadun polis dan kerajaan Barisan Nasional dalam menangani perhimpunan aman rakyat itu.
Antara komen itu berbunyi :
Ampun Tuanku Beribu-ribu Ampun, Sembah Patik Harap DiAmpun, Khabar Buruk Patik Sembahkan, Harap Diteliti Dimurka Jangan.
Perdana Menteri menjadi kebencian, Pasukan Diraja menjadi cacian, Rakyat mahukan keharmonian dan keadilan, Mohon Tuanku Terajui Pemerintahan.
Seorang lagi peminat pula berkata tujuan beliau menyokong laman Facebook tersebut adalah untuk memberitahu Najib bahawa rakyat yang tidak dapat menyertai perhimpunan aman Bersih 2.0 bukan bermaksud mereka tidak menyokong agenda yang dibawa Bersih 2.0.
“Beliau (Najib) berkata ramai rakyat tidak menyertai Bersih 2.0 kerana mereka tidak menghiraukan Bersih 2.0. Sini untuk bagi tahu beliau, tak menyertai tidak bermaksud tidak menyokong,” tulis beliau.
Disebabkan populariti laman tersebut, ramai peminat juga mewujudkan laman-laman lain untuk menuntut perletakan jawatan pemimpin Barisan Nasional yang lain yang lantang mengutuk perhimpunan Bersih 2.0.
Di antaranya ialah laman peminat menuntuk perletakan jawatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein dan juga Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang kesemuanya mengkritik Bersih 2.0 di samping membela polis yang menggunakan kekerasan melampau terhadap para peserta himpunan.
Namun begitu, ketiga-tiga laman tersebut hambar sambutannya jika dibandingkan dengan laman menuntut perletakan jawatan Najib.
Yang paling tinggi hanyalah laman menuntut perletakan jawatan Hishamuddin, itupun hanya dapat mencapai 8 peratus atau 16,244 peminat saja daripada apa yang diterima oleh sepupunya.
Sementara itu, ada pihak yang menamakan dirinya Patriot telah membuka satu laman Facebook menyokong Najib untuk melawan popularati Facebook mendesak peletakan jawatan Najib..
Akan tetapi, sambutannya amat hambar, dengan setakat ini hanya mendapat 9,590 peminat atau 5 peratus sahaja daripada lawan mereka. Adakah Melaka mahu tambah Sekolah Harapan? Ahmad Danial | MELAKA, 18 Julai: Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka kesal dengan sikap dan tindakan kerajaan negeri atas keputusan untuk melanjutkan tempoh operasi pusat hiburan sehingga ke 3 pagi. Ketua penerangannya, Muhammad Aizat Baharuddin berkata, tindakan tersebut suatu yang amat malang buat umat Islam di saat umat Islam hari ini semakin jauh dari pegangan agama. "Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam perlu sedar tindakan melanjutkan operasi pusat hiburan lebih banyak mendatangkan mudarat. "Ianya mengalakkan maksiat berlaku dengan lebih berleluasa dengan memberi ruang kepada rakyat khususnya orang Islam berkunjung sehingga lewat malam," ujar Aizat. Beliau berkata, sikap ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Melaka di bawah Barisan Nasional gagal membimbing rakyat kepada panduan hidup bersyariat. "Ianya juga di lihat berlawanan dengan sikap kerajaan Kedah yang mengajar rakyatnya agar tidak terjebak kepada maksiat dengan mengharamkan pusat hiburan kepada orang Islam,” katanya. Katanya lagi, gegala keruntuhan moral anak muda hanya dibanteras setelah berlaku bukan membanteras sebelum berlaku, contohnya Sekolah Harapan yang dibina setelah anak muda terlajur. "Adakah kerajaan negeri mahu menambahkan lagi bilangan pelajar di Sekoalah Harapan ini?" soal Aizat. Menurut Aizat, Dewan Pemuda PAS Melaka menggesa agar kerajaan negeri mempertimbangkan lanjutan operasi pusat hiburan itu. "Jangan hanya fikirkan soal keuntungan semata-mata. Fikirkan soal agama dan maruah anak bangsa pada masa hadapan. "Dewan Pemuda PAS Melaka juga berharap Jabatan Agama Islam Melaka dan para agamawan dapat menegur dan tidak hanya diam membisu," kata beliau dalam kenyataannya kepada Harakahdaily pagi ini. Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Melaka baru-baru ini telah memutuskan untuk melanjutkan tempoh masa operasi pusat hiburan di negeri itu dari sekitar jam 1 pagi hingga ke 3 pagi.
Lebih 2,000 iringi jenazah Dr Lo' Lo' Hazayani Zakaria | KUALA LUMPUR, 18 Julai: Lebih 2,000 orang terdiri daripada ahli keluarga, rakyat dan pemimpin parti politik menghadiri pengebumian ahli Parlimen Titiwangsa, Allahyarhamah Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali di Tanah Perkuburan Islam Kampung Datuk Keramat pagi tadi.
Suasana sedih dan suram menyelubungi majlis pengebumian bermula jenazah dibawa ke Masjid Al-Akram, Datuk Keramat tengah malam tadi.
Jenazah disolatkan di masjid tersebut jam 10.20 pagi tadi dengan dipimpin Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebelum dibawa ke tanah perkuburan, diiringi ribuan yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir.
Rata-rata mereka yang hadir tidak dapat menahan sebak setelah jenazah selamat dikebumikan jam 11.10 pagi.
Sejak tengah malam tadi, orang ramai tidak putus-putus mengunjugi jenazah allahyarhamah yang disifatkan sebagai seorang yang sangat berdedikasi dalam menjalankan amanah sebagai wakil rakyat.
Anggota Unit Amal juga mula menjaga lalu lintas dan kawasan sekitar sejak tengah malam tadi bagi mengelakkan kesesakan di kawasan sekitar.
Anggota keluarga termasuk suami, Dr Aminuddin Abdul Hamid Karim dan anak-anak allahyarahamahberada di samping jenazah sehingga selesai dikebumikan.
Walaupun kelihatan sedih, mereka melayani pertanyaan pemberita dengan baik.
Dr. Aminuddin dengan tenang berkata, beliau redha dengan pemergian Allahyarhamah dan kagum dengan kegigihan isterinya itu menjalankan amanah walaupun terlantar di atas katil ketika sakit.
"Allahyarharmah berpesan kepada petugas-petugas pejabat khidmat masyarakat Parlimen Titiwangsa agar terus menjalankan tugas melibatkan kepntingan penduduk.
"Sehingga ke saat-saat akhir, beliau sering bertanya mengenai kawasan terutamanya isu Kampung baru yang diperjuangkan beliau," katanya.
Selain pimpinan utama PAS, turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw, Naib Presiden PKR, Sivarasa Rasiah dan lain-lain.
Allahyarhamah meninggal dunia di Hopital Selayang jam 10.15 malam tadi setelah beberapa tahun mengidap barah paru-paru.
Presiden PAS disambut meriah di Miri Harakahdaily | MIRI, 18 Julai: Baru-baru ini Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah melancarkan Dana Pilihanraya PAS Miri di Hotel Parkcity, Miri.
Pelancaran itu dibuat semapena majlis makan malam yang juga dihadiri oleh rakan pakatan dari PKR, DAP dan juga Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Miri.
Kehadiran yang ramai itu menunjukkan semangat setiakawan dalam Pakatan rakyat di Sarawak.
Terdahulu, pada sebelah pagi beliau juga berkesempatan berjumpa dengan masyarakat Cina di bandar Miri. Sambutan sangat mengalakan.
Kedatangan Presiden PAS sangat dialu-alukan oleh penduduk Miri di mana pada sebelah petangnya beliau sempat membuat lawatan ke kampong setinggan di Pujut 3.
Dengan kedatangan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ke Miri telah menyemarakkan lagi semangat ahli serta penyokong PAS untuk bekerja dengan lebih kuat lagi untuk menawan Miri pada pilihanraya umum nanti.
Inilah lawatan pertama Tuan Guru ke Miri setelah dilantik semula sebagai Presiden PAS pada muktamar yang lalu.
Konsep PAS Untuk Semua dan menuju ke arah Negara Berkebajikan telah di mulakan di Miri Sarawak di mana presiden PAS juga ada buat lawatan di kampong-kampung yang majoritinya penduduk bukan Islam dan orang tempatan seperti masyarakat Melayu, Iban, Kenyah, Kayan, Penan dan Orang Ulu.
Kedah berjaya praktik "amar ma'ruf nahi mungkar" Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 18 Julai: Dewan Ulama PAS Pusat menyifatkan ketegasan kerajaan negeri Kedah menguatkuasakan larangan hiburan berbentuk maksiat kepada orang Islam sepanjang Ramadhan sebagai tepat sebagai tanggungjawab pemerintah.
Ketuanya, Datuk Tuan Guru Harun Taib berkata, ianya bersesuaian dengan tuntutan amar ma’ruf nahi mungkar yang dituntut agama dan menjadi antara prinsip asas perjuangan PAS.
"Alhamdulillah Kerajaan Negeri Kedah telah berjaya menggunakan peluang bidang kuasa yang telah diperuntukkan ke atasnya untuk melakukan amar ma’ruf dan nahi mungkar ke atas penduduk Islam di negeri itu.
"Peluang ini tidak diambil oleh Umno kerana matlamat perjuangan Umno amat berbeza dengan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS, ” katanya.
Beliau mengulas tindakan kerajaan Kedah pimpinan Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak yang melaksanakan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 sepanjang Ramadhan ini.
Dengan perlaksanaan itu, pusat-pusat hiburan orang bukan Islam dibenarkan beroperasi dengan syarat tidak membenarkan orang Islam mengunjunginya.
“Saya menyeru kepada semua negeri-negeri lain yang dipimpin oleh UMNO mencontohi sikap serius kerajaan Kedah untuk menjaga akhlak dan moral penduduk Islam di negeri itu khususnya pada bulan yang mulia iaitu bulan Ramadhan," tegasnya kepada Harakahdaily.
Sebelum ini, pengumuman perlaksanaannya oleh kerajaan Kedah itu dibantah beberapa pihak bukan Islam ekoran salah faham yang ditimbulkan media arus perdana.
Mereka mendakwa kononnya kerajaan Kedah mahu menyekat hak mereka untuk berhibur dan berniaga sepanjang Ramadhan sedangkan ianya tidak dihalang oleh agama mereka.
Kerajaan Kedah bagaimanapun semalam telah membuat penjelasan bahawa pusat hiburan orang bukan Islam boleh beroperasi seperti biasa namun pengendalinya perlu memastikan tiada orang Islam dibenar masuk.
Jika melanggar arahan itu, lesen perniagaan mereka akan ditarik.
Selepas penjelasan itu semalam, semua pihak kini bersetuju dengan tindakan kerajaan negeri Kedah itu untuk menghalang orang Islam melakukan maksiat.
UiTM tawar Anugerah Ibrahim Ali untuk pelajar Joseph Sipalan Jul 18, 11 3:52pm
Sebuah universiti tempatan membuka pencalonan bagi Anugerah Ibrahim Ali kepada pelajar yang membuktikan komitmen dan sumbangan mereka dalam memartabatkan bangsa Melayu.
Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak) UiTM memuatkan butiran terperinci anugerah berkenaan yang menawarkan RM5,000 yang ditaja oleh presiden PERKASA itu sendiri di laman webnya.
Selain mesti mempunyai prisip yang jelas dan konsisten, pelajar UiTM mesti mematuhi empat kriteria. Antaranya membantu merangsang pelajar bagi mengikuti program dan aktiviti berkaitan dengan peningkatan maruah dan martabat bangsa pelajar.
Kriteria lain adalah:
• Menjadi pemimpin persatuan yang berdaftar dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni seperti persatuan kebudayaan, kesenian Melayu atau persatuan kebangsaan lain yang dianggap cemerlang dan berkesan di dalam atau di luar kampus • Menjadi pemimpin atau jawatankuasa yang memperjuangkan bangsa dan budaya di luar kampus seperti GPMS, ABIM, PERKASA, GAPENA. • Mendapat pengiktirafan dari badan-badan di luar UiTM
Idea anugerah ini datang daripada Ibrahim sendiri pada forum perpaduan yang dianjurkan oleh Impak pada 17 Oktober tahun lalu dan dibuka kepada pelajar wanita dan lelaki UiTM. Setiap satu bernilai RM2,500.
Mereka mesti memperolehi CGPA sekurang-kurangnya 3.0, tiada tindakan tatatertib atau kesalahan jenayah atau diisytiharkan muflis semasa tempoh pengajian.
Tarikh tutup pencalonan adalah pada 15 September dan anugerah itu akan diberikan pada setiap tahun semasa majlis konvokesyen pada bulan Oktober atau berikutnya. | | | | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan