Selasa, 19 Julai 2011

JADIKAN PANDUAN...SYURGA DIDUNIA DAPAT... INSYAALLAH SYURGA HAKIKI DAPAT...SYURGA DIBAWAH TAPAK KAKI IBU...SYURGA ISTERI DIBAWAH TAPAK KAKI SUAMI

Khas untuk bakal isteri ku..

by Nasuha Ibrahim on Monday, July 18, 2011 at 10:09pm

Untuk Bakal Isteriku..

Tangan ini mula menulis apa yang telah dikarangkan oleh hati ini di dalam kalbu. Aku mula tertanya-tanya adakah aku sudah seharusnya mula mencari sebahagian diriku yang hilang. Bukanlah niat ini disertai oleh nafsu tetapi atas keinginan seorang muslim mencari sebahagian agamanya. Acap kali aku mendengar bahawa ungkapan “kau tercipta untukku..“

Aku awalnya kurang mengerti apa sebenarnya erti kalimah ini kerana diselubungi jahiliyyah. Rahmat dan hidayah Allah yang diberikan kepada diriku, baru kini aku mengerti bahawa pada satu hari nanti, aku harus mengambil satu tangungjawab yang sememangnya diciptakan khas untuk diriku, iaitu dirimu. Aku mula mempersiapkan diri dari segi fizikal, spiritual dan juga intelektual untuk bertemu denganmu.

Aku mahukan pertemuan kita yang pertama aku kelihatan ‘sempurna’ di hadapanmu walaupun hakikatnya masih banyak lagi kelemahan diri ini. Aku cuba mempelajari erti dan hakikat tanggungjawab yang harus aku galas ketika dipertemukan dengan dirimu.

Aku cuba membataskan perbicaraanku dengan gadis lain yang hanya dalam lingkaran urusan penting kerana aku risau aku menceritakan rahsia diriku kepadanya kerana seharusnya engkaulah yang harus mengetahuinya kerana dirimu adalah sebahagian dariku dan ianya adalah hak bagimu untuk mengetahui segala zahir dan batin diriku ini.

Aku hanya mengharapkan keredhaan Allah. Yang aku takuti, diriku mula didekati oleh wanita kerana harta dan perwatakanku.

Baik yang indah berhijab atau yang ketat bert-shirt, semuanya singgah disisiku. Aku risau imanku akan lemah. Diriku tidak dapat menahan dari fitnah ini.

Rasulullah S.A.W pernah bersabda: “Aku tidak meninggalkan setelahku fitnah yang lebih bahaya untuk seorang lelaki melainkan wanita.”

Aku khuatir amalanku bukan sebulatnya untuk Rabbku tetapi untuk makhluknya.

Aku memerlukan dirimu untuk menghindari fitnah ini. Aku khuatir kurangnya ikhlas dalam ibadahku menyebabkan diriku dicampakkan ke neraka meninggalkan kau seorang diri di syurga.

Aku berasa bersalah kepada dirimu kerana khuatir cinta yang hak dirimu akan aku curahkan kepada wanita lain. Aku sukar untuk mencari dirimu kerana dirimu bagaikan permata bernilai di antara ribuan kaca menyilau.

Tetapi aku pasti jika namamu yang ditulis di Luh Mahfuz untuk diriku, nescaya rasa cinta itu akan Allah tanam dalam diri kita. Tugas pertamaku bukan mencari dirimu tetapi mensolehkan diriku. Sukar untuk mencari solehah dirimu andai solehku tidak setanding dengan ke’solehah’anmu. Janji Allah pasti ku pegang dalam misi mencari dirimu. “Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik..“

Jiwa remaja ku ini mula meracau mencari cinta. Matang kian menjelma dan kehadiran wanita amat terasa untuk berada di sisi. Setiap kali aku merasakannya, aku mengenangkan dirimu.

Di sana engkau setia menunggu diriku, tetapi di sini aku curang kepadamu andai aku bermain dengan cinta fatamorgana. Sampaikan doamu kepada diriku agar aku dapat menahan gelora kejantananku disamping aku mengajukan sendiri doa diperlindungi diri.

Bukan harta, rupa dan keturunan yang aku pandang dalam mencari dirimu. Cukuplah agama sebagai pengikat kasih antara kita. Saat di mana aku bakal melamarmu, akan ku lihat wajahmu sekilas agar mencipta keserasian diantara kita kerana itu pesan Nabi kita.

Tidak perlu alis mata seakan alis mata unta, wajah bersih seakan putih telur ataupun bibir merah delima tetapi cukup cuma akidah sekuat akar, ibadah sebagai makanan dan akhlak seindah budi.

“Kahwinilah isteri kerana empat perkara: Keturunan, Harta, Rupa dan Agama. Dan jika kau memilih agama, engkau tidak akan menyesal.”

Jika aku dipertemukan dengan dirimu, akan ku jaga perasaan kasih ini supaya tidak tercurah sebelum masanya. Akan ku jadikan syara’ sebagai pendinding diri kita.

Akan ku jadikan akad nikah itu sebagai cop halal untuk mendapatkan dirimu. Biarlah kita mengikuti nenek moyang kita, Nabi Adam dan Siti Hawa yang bernikah sebelum disatukan agar kita dapat menikmati kenikmatan perkahwinan yang menjanjikan ketenangan jiwa, ketenteraman hati dan kedamaian batin.

Doakan diriku ini agar tidak berputus asa dan sesat dalam misi mencari dirimu kerana aku memerlukan dirimu untuk melengkapkan sebahagian agamaku.

“Wahai saudari seakidahku, carilah lelaki yang mampu menjadi imam untukmu, yang menitis air mata melihat kesakitanmu ketika melahirkan zuriatnya, dan lelaki yang membangunkanmu untuk bangun beribadat bersama-sama pada 2/3 malam..”

Sumber: Coretan Untuk Bakal Isteriku | Aku ISLAM http://akuislam.com/blog/renungan/coretan-untuk-bakal-isteriku/#ixzz1SRMuIgit


Melawan Cabaran Nafsu Dan Syaitan


Dalam buku 'Pemuda Muslim Dalam Menghadapi Cabaran Masa Kini' karangan Abdullah Naseh Ulwan terdapat 5 bab yang bagi saya sangat bagus untuk ditelaah oleh setiap pemuda Islam yang merasakan dirinya lemah dalam menempuh pelbagai cabaran di akhir zaman ini. Bab pertama merupakan 'Cabaran Syaitan dan Hawa Nafsu'. Ini ringkasannya...

Syaitan itu akan sentiasa menjadi musuh manusia:

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat). Allah berfirman: Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu). Iblis berkata: Oleh sebab Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus; Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur."
(7:14-17)

"Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya." (15:39)

Dua dalil di atas menjelaskan kepada kita di mana Syaitan akan menjadi seteru yang sentiasa akan berusaha menghasut anak Adam agar membuat maksiat dan dosa lantas melupakan Tuhan yang mengusai hari pembalasan. Oleh itu, wahai para pemuda, kita perlu tahu bagaimana caranya untuk berhadapan dengan cabaran ini. Berikut adalah saranan Abdullah Naseh Ulwan...

Langkah-langkah melawan Syaitan:

01.Jadikan Syaitan musuh anda

Rujuk ayat al-Quran (35:6)

02.Istiqamah dengan jalan yang lurus

Rujuk ayat al-Quran (6:153)

03.Memohon perlindungan kepada Allah

Rujuk ayat al-Quran (16:98-100)

04.Sentiasa ingat kepada Allah

Rujuk ayat al-Quran (43:36-37

05.Muraqabah

Rujuk ayat al-Quran (7:201)

06.Jauhi orang-orang yang alpa

Rujuk ayat al-Quran (6:68)

Dalam hidup ini, Allah sudah memberi pilihan kepada manusia sama ada mahukan jalan ketakwaan ataupun kekufuran. Oleh itu, terpulang kepada manusia sama ada mahu menjadi orang yang beruntung atau orang yang rugi.

"Kerana keadaan itu tidak mencukupi, (maka) sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) samada dia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun dia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka)." (76:3)

Bagi orang-orang yang tetap teguh dengan Imannya tatkala godaan nafsu datang menduga, maka bergembiralah dengan janji Allah yang tiada keraguan padanya.

"Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu; maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya." (79:40-41)

Allah juga sudah menyatakan amarannya kepada orang yang menjadikan nafsu sebagai Tuhannya.

"Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipatuhinya dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui-Nya (bahawa dia tetap kufur ingkar) dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayat petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?" (45:23)

Oleh itu wahai para pemuda, janganlah kita mudah menyerah kalah kepada pujukan nafsu. Buktikan kekuatan hatimu, bukan sekadar tenagamu. Buktikan ia kepada Tuhanmu, bukan sekadar kepada manusia. Dan dengan itu kamu akan menjadi pemuda yang hebat di sisi Allah.

Berikut merupakan saranan Abdullah Naseh Ulwan dalam berhadapan dengan pujukan hawa nafsu...

Cara untuk bebas daripada hawa nafsu:

01.Tingkatkan Iman

Yakin Allah sentiasa melihat, mendengar dan mengetahui apa yang kita lakukan. Ya! mari kita mengamalkan muraqabah.

02.Isi masa dengan perkara berfaedah

Apabila bersendirian ataupun berangan-angan kosong, Syaitan akan mudah menghasut nafsu.

03.Bersahabat dengan orang-orang yang baik

Sahabat akan mempengaruhi diri seseorang.

- Artikel iLuvislam.com


Mengapa Harus Bersedih?

Allah benar janji-Nya. Allah telah menentukan sesuatu. Yang hilang tidak bermakna binasa.

Yang pergi tidak bermakna kita hilang segala.

Kalau kita ukur - banyak mana yang Allah ambil, dibanding dengan banyak mana yang Allah telah beri kepada kita.

Firman Allah:

"Kalau kita cuba hitung nikmat Allah, nescaya tidak akan terhitung banyaknya." - [Ibrahim 14:34]

Mata, telinga, mulut, kaki dan sebagainya. Harta yang melimpah ruah. Pandang yang sekitarmu. Apa yang kurang?

Tidak ada apa yang kurang, saudara. Rumah, kereta, isteri, anak-anak, segalanya cukup.

Dan apabila musibah menimpa, Allah tarik balik sedikit sahaja dari kurnia-Nya, mengapa harus berdukacita?

Mengapa harus bersedih? Bukankah itu petanda bahawa Allah mungkin menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik?

Allah tarik sesuatu untuk Allah berikan sesuatu yang lain. Tidak mustahil.

Berlapang dada kepada Allah, bahawa Allah menentukan segalanya. Yakinlah.

Firman Allah:

"Jangan takut, jangan berdukacita." - [Al-Ankabut 29:33]

Kadang-kadang manusia merasa dukacita kerana beban hidup yang terlalu banyak. Penyakit yang menimpa.

Masalah keluarga yang banyak. Masalah anak, masalah isteri, masalah jiran, masalah kerja, masalah kereta, masalah itu dan sebagainya.

Maka dia bersedih, dia berdukacita, jiwanya tertekan.

Mengapa harus bersedih? Bukankah hidup ini penuh dengan perjuangan mengatasi segala masalah?

Hidup bermakna kita berdepan dengan masalah.

Orang yang tidak mahu berdepan dengan masalah maka dia tidak layak untuk hidup di dunia ini.

Masalah yang besar yang tetap akan kita hadapi ialah hasutan iblis dan syaitan. Tidak ada masalah yang lebih besar daripada itu.

Mungkin kita merasakan bahawa masalah anak yang terlalu menekan.

Anak kita nakal, anak kita degil, anak kita tidak mendengar cakap, anak kita suka melawan, dan sebagainya.

Saudara, bukankah itu mengajak kita berusaha berjihad mendidiknya?!

Dan setiap didikan kita kepada anak kita akan diberikan pahala oleh Allah SWT. Lantas berusahalah untuk mendidiknya, mengajarnya, mengasuhnya, dengan cara yang terbaik.

Apakah ada masalah yang lebih besar di dunia ini daripada masalah berdepan dengan hasutan syaitan, dengan iblis?

Syaitan yang sentiasa mengajak kita untuk melakukan kejahatan, syaitan yang sentiasa mengajak kita untuk melakukan maksiat.

Itu masalah yang besar. Sebab itu mujahadatun-nafs -- melawan nafsu, melawan syaitan, melawan iblis, itu adalah asas kepada perjuangan jihad manusia di muka bumi ini.

Iblis bersumpah dengan Allah SWT bahawa dia akan mengganggu Bani Adam, dia akan menggoda Bani Adam, dia akan menyesatkan Bani Adam. Mereka akan berusaha melakukan itu secara berterusan, sejak kita kecil, dewasa hingga kembali kepada Allah SWT.

Ini masalah yang perlu kita hadapi. Adapun selain daripada itu anggaplah ia asam garam kehidupan.

Masalah yang kita lalui mematangkan jiwa kita, mematangkan akal kita, mematangkan peribadi kita.

Akhirnya orang yang sudah banyak melalui masalah, dia menjadi manusia yang tenang, kerana dia rasa lapang dengan segala penyelesaian yang dia hadapi.

Yakinlah dengan sebarang masalah diserahkan kepada Allah. Kita setakat berusaha, Allah jua yang menentukan.

- Artikel iluvislam.com


10 Soalan Sebelum Bertunang

Membuat keputusan untuk berkahwin bukanlah suatu perkara yang mudah. Perkahwinan bererti memasuki suatu alam yang berlainan sama sekali dengan alam yang pernah dilalui sebelumnya, bak kata Tan Sri S M Salim dalam salah satu lagunya, 'dulu lain sekarang lain, dulu bujang sekarang dah kahwin'.

Setiap pasangan yang berkahwin pastinya mengharapkan perkahwinan itu kekal bahagia buat selama-lamanya. Ramai yang berjaya. Namun tidak kurang pula yang kecewa.

Al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa', bekas kadi ahwal syakhsiyyah di Kuwait menyimpulkan antara sebab berlakunya keretakan dan kegagalan dalam perkahwinan adalah kurang taaruf atau tidak mengenali antara satu sama lain dengan mendalam sebelum berkahwin.

Taaruf yang mendalam atau mengenali bakal teman hidup sebelum melangsungkan perkahwinan sangat penting demi menjamin kesejahteraan dan keseimbangan dalam menjalani kehidupan berumahtangga.

Ini tidak bermakna pasangan mesti melalui alam percintaan sebelum berkahwin, kerap bertemu dan berhubung melalui panggilan telefon, sms, chatting dan sebagainya.

Percintaan sebelum berkahwin seperti yang dilakukan oleh segolongan masyarakat dan ditonjolkan dalam segala macam media sebagai suatu kemestian, suatu dunia yang penuh dengan keindahan dan keseronokan adalah sebenarnya penipuan belaka.

Alam percintaan tidak mendedahkan hakikat diri yang sebenarnya. Masing-masing berusaha menunjukkan yang terbaik sahaja di hadapan pasangannya.

Setelah berkahwin barulah terbongkar segala rahsia, segala perangai dan sikap buruk yang selama ini disembunyikan.

Untuk mengenali calon pasangan hidup anda dengan mendalam, al-Ustaz Jasim Muhammad al-Mutawwa' mencadangkan agar anda mengajukan 10 soalan.

Soalan-soalan ini boleh diajukan secara langsung semasa sesi taaruf, atau melalui orang tengah. Jika calon memilih untuk bertemu, melihat dan berkenalan pastikan pertemuan itu tidak dilakukan secara berdua-duaan di tempat suci dan terpencil.

Jangan cemari niat yang suci dengan melanggari perintah Allah dan Rasul. Jangan relakan syaitan menjadi orang ketiga di antara anda dengan si dia.

10 soalan itu adalah:

1. Apakah wawasan hidupnya?

Setiap orang mempunyai wawasan dan cita-cita yang ingin dicapai dalam hidupnya. Inilah yang perlu anda ketahui mengenai bakal pasangan hidup anda.

Sekiranya anda dan dia mempunyai wawasan dan matlamat hidup yang sama maka perselisihan dalam rumahtangga akan berkurangan.

2. Bagaimanakah kefahamannya mengenai konsep perkahwinan?

Kefahaman serta tasawur atau gambaran yang jelas mengenai perkahwinan amat penting.

Sekiranya kedua-dua pihak mempunyai kefahaman yang berbeza, umpamanya satu pihak menganggap perkahwinan hanya sekadar memenuhi tuntutan nafsu semata-mata, sedang satu pihak lagi memandang sebagai satu ibadah, sudah semestinya rumahtangga yang bakal dibina tidak akan aman daripada perselisihan dan pergaduhan.

3. Apakah sifat-sifat yang digemari dan tidak digemarinya?

Adalah penting bagi setiap pasangan mengetahui kegemaran pasangannya, apa yang disukai dan tidak disukainya kerana kadang-kadang perselisihan berlaku disebabkan kelainan kegemaran dan citarasa.

Sekiranya kegemaran setiap pihak diketahui terlebih awal mungkin perselisihan dapat dielakkan.

4. Apakah pandangannya mengenai anak pada tahun pertama perkahwinan?

Setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza mengenai masa yang sesuai untuk menimang cahaya mata.

Sekiranya satu pihak belum bersedia sedang pihak yang satu lagi sudah tidak sabar untuk bergelar ibu atau ayah, pastilah kedua-dua pihak akan berasa tertekan dan perhubungan akan jadi tegang.

5. Adakah dia mempunyai masalah kesihatan atau kecacatan?

Masalah kesihatan yang kronik atau kecacatan semula jadi pada anggota badan tidak wajar disembunyikan.

Mengetahui adanya penyakit atau kecacatan tertentu akan mempengaruhi keputusan yang bakal diambil.

Menyembunyikan penyakit yang kronik atau kecacatan yang mengaibkan boleh dianggap sebagai satu penipuan.

6. Adakah dia seorang yang suka bergaul?

Sesetengah orang suka bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat, mempunyai kawan dan kenalan di merata-rata tempat. Sesetengah yang lain pula suka menyendiri, tidak pandai berkawan dan sukar didampingi.

Orang macam mana yang anda cari?

7. Bagaimana hubungannya dengan ahli keluarganya?

Perkahwian bukan sekadar aqad yang mempertemukan antara dua jiwa. Sebaliknya perkahwinan merupakan hubungan kemasyarakatan yang mencantumkan antara dua keluarga atau lebih.

Oleh itu bakal tunangan harus tahu status keluarga serta hubungan mereka antara satu sama lain. Hubungan kekeluargaan juga sedikit sebanyak menggambarkan keperibadian seseorang.

8. Apakah kegemarannya dan bagaimana dia mengisi waktu lapangnya?

Kegemaran serta cara seseorang memenuhi masa lapangnya juga memberi gambaran tentang wawasan serta cita-citanya dalam hidup ini.

9. Adakah dia aktif dalam mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan kebajikan?

Keaktifan dalam persatuan kebajikan atau pertubuhan sukarela menggambarkan dia bukan seorang yang sombong dan mementingkan diri.

Orang yang hidupnya sekadar untuk memenuhi cita-cita dan wawasan peribadi semata-mata sebenarnya hidup dalam dunia yang sempit dan mati sebagai insan yang kerdil.

Tetapi orang yang hidup dalam perjuangan akan hidup sebagai insan yang hebat dan apabila dia mati namanya akan dikenang zaman-berzaman.

10. Apakah pandangannya sekiranya ibu bapa masuk campur dalam urusan peribadi atau urusan rumahtangga mereka?

Setengah orang menganggap rumahtangga adalah masalah peribadi yang terlalu khusus. Tiada seorang pun yang boleh masuk campur walaupun ibu bapa sendiri.

Hal ini sangat penting diketahui oleh setiap orang yang akan memasuki gerbang perkahwinan.

Apakah pandangan bakal pasangan hidupnya.

Adakah dia termasuk dalam golongan di atas atau sebaliknya seorang yang terlalu bergantung kepada kedua-dua ibu bapanya walaupun telah berkeluarga?

Apabila anda telah mendapat jawapan yang bersesuaian dengan apa yang dicari, maka teruskanlah hasrat anda untuk melamarnya. Begitu juga halnya dengan pihak yang dilamar.

Pastikan anda mengenali jejaka yang melamar itu dengan mengajukannya 10 soalan di atas.

- Artikel iluvislam.com


Tanda-Tanda Hati Kita Keras


Hati adalah sumber ilham dan pertimbangan. Ia juga adalah tempat lahirnya cinta dan benci, keimanan dan kekufuran, taubat dan sikap degil serta ketenangan dan kebimbangan.

Hati merupakan sumber kebahagiaan jika kita mampu membersihkannya namun sebaliknya ia merupakan sumber bencana jika kita gemar menodainya. Aktiviti yang dilakukan sering berpunca daripada lurus atau bengkoknya hati.

Abu Hurairah r.a. berkata, "Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tentera. Jika raja itu baik, maka akan baik pula lah tenteranya. Jika raja itu buruk, maka akan buruk pula tenteranya".

Hati yang keras mempunyai tanda-tanda yang boleh dikenali, di antara yang terpenting adalah seperti berikut:

01.Malas melakukan ketaatan dan amal kebajikan.

Terutamanya malas untuk melaksanakan ibadah, malah mungkin memandang ringan. Misalnya tidak serius dalam menunaikan solat, atau berasa berat dan enggan melaksanakan ibadah-ibadah sunat. Allah telah menyifatkan kaum munafik dalam firman-Nya yang bermaksud;

"Dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan." - [Surah At-Taubah:54]

02.Tidak berasa gerun dengan ayat al-Quran.

Ketika disampaikan ayat-ayat yang berkenaan dengan janji dan ancaman Allah, hatinya tidak terpengaruh sama sekali. Mereka juga lalai daripada membaca al-Quran serta mendengarkannya. Bahkan enggan dan berpaling daripadanya. Sedangkan Allah S.W.T memberikan peringatan;

"Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut dengan ancaman-Ku." (Surah Al-Qaf, ayat 45)

03.Berlebihan mencintai dunia dan melupakan akhirat.

Segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata-mata. Segala sesuatu ditimbang dari segi keperluan dunia. Cinta, benci dan hubungan sesama manusia hanya untuk urusan dunia sahaja. Penghujungnya jadilah dia seorang yang dengki, ego, individulistik, bakhil serta tamak terhadap dunia.

04.Kurang mengagungkan Allah.

Sehingga hilang rasa cemburu dalam hati, kekuatan iman menjadi lemah, tidak marah ketika larangan Allah diperlekehkan orang lain, tidak mengamal yang makruf serta tidak peduli terhadap segala kemaksiatan dan dosa.

Tepuklah dada, tanyalah iman. Semoga hati kita sentiasa segar mengingati dan mensyukuri nikmat Allah yang Maha Esa.


Panduan Memilih Jodoh


Mencari pasangan hidup bukan mudah. Pasangan hidup maknanya pasangan untuk hidup bersama, bukan sekejap.

Jika umur panjang mungkin bersama sehingga 50 tahun.

Bangun bersama, makan bersama, berbual bersama, tidur bersama.

Berkongsi anak, berkongsi rumah, berkongsi rasa, berkongsi kasih.

Maka, mencari pasangan hidup ini memang perkara serius. Serius. Memang serius.

Jangan akibat si dia mengurat anda, maka anda terus terpesona dan bersetuju. Jangan semata si dia comel atau glamour, maka anda terus mengambilnya.

Fikir betul-betul. Solat istikharah dan banyakkan berdoa. Selagi belum tenang jiwa, tunggu dulu. Usah tergopoh gapah. Mencari jodoh, perlukan panduan. Perlu ada sandaran ilmu dan petunjuk.

Dalam banyak-banyak penulisan saya suka memetik sebahagian dari artikel Ust Hasrizal (Abu Saif) dalam lamannya SaifulIslam.com.

Antara yang menarik tulisan berikut:

Hadis Nabi SAW yang diulang-ulang sebagai slogan memanifestasikan keinginan berumahtangga.

Bukan tidak banyak penjelasan tentang hadis ini di pelbagai sumber maklumat yang ada. Tetapi sering anak muda kecundang dalam mengimbangkan kefahamannya dalam konteks TEPAT dan JELAS.

Selagi mana tidak tepat, selagi itulah jalannya tersasar ke sana sini. Kehidupan yang tidak ditentukan arahnya, adalah kehidupan yang tidak tentu arah.

Apa Tujuan Berumahtangga?

"Begin with the end in mind", adalah slogan kita untuk menepatkan matlamat kehidupan dan segenap peringkat perjalanannya.

Soal menentukan matlamat yang tepat, tidaklah begitu susah.

Berkahwin kerana harta? Harta bukan sumber bahagia.

Donald Trumph yang kaya raya itu pun pernah mengeluh dalam temubualnya bersama John C. Maxwell, "aku melihat ramai orang yang lebih gembira hidupnya dari hidupku.

Padaku mereka itulah orang yang berjaya. Tetapi semua orang mahu menjadi aku"

Harta bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.

Berkahwin kerana keturunan? Keturunan bukan jaminan sumber bahagia.

Syarifah hanya boleh berkahwin dengan Syed? Puteri hanya layak untuk Megat?

Atau pantang keturunan berkahwin dengan ahli muzik bak kata Mak Dara?

Soal keturunan bukan penentu mutlak kerana setiap manusia lahir dengan fitrah yang satu dan murni, lantas setiap mukallaf dan mukallafah mampu kembali kepada kemurnian itu, biar pun lahir ke dunia tanpa bapa yang sah sekali pun.

Keturunan bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.

Berkahwin kerana kecantikan? Ahh, yang ini rumit barangkali.

Cinta itu dari mata turun ke hati. Maka mata pemutus pertama.

Jika berkenan di mata, mudahlah mata memujuk hati.

Tetapi selama mana kecantikan menyenangkan kehidupan?

Kecantikan, biar secantik mana pun, akan pudar dengan perjalanan masa. Kecantikan, biar secantik mana sekali pun, boleh dicabar oleh naluri manusia yang mudah kalah dengan alasan JEMU.

Mahu berkahwin sementara cantik, dan buang selepas cantik dan kacak bergaya itu dimamah usia?

Cantik bukan sumber bahagia, ia bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.

"Maka pilihlah yang memiliki agama... nescaya sejahtera hidupmu", pesan Nabi SAW.

Benar sekali, pilihlah yang beragama.

"Maka saya kena kahwin dengan ustazah, saya kena kahwin dengan ustaz!", kata seorang pelajar 'bidang bukan agama'.

Penyakit "Tidak Jelas"

Setelah begitu tepat sekali kita menolak harta, keturunan dan rupa paras sebagai sebab untuk memilih pasangan, tibalah kita kepada masalah paling besar menguruskan fikiran tentang perkahwinan, iaitu penyakit "tidak jelas", apabila tiba kepada soal beragama.

Apakah yang memiliki agama itu mesti seorang yang ustazah atau ustaz?

Maka berkahwin dengan golongan ini, jaminan bahagia. Benarkah begitu?

Di sinilah penting untuk kita bezakan golongan yang TAHU agama, MAHU beragama dan MAMPU dalam beragama.

Soal mendapatkan ilmu sebagai jalan beragama, adalah prinsip besar di dalam Islam. Lihat sahaja langkah pertama proses wahyu, ia bermula dengan perintah BACA sebagai wasilah menggarap pengetahuan.

Tetapi apakah TAHU itu merupakah maksud kita beragama dengan agama Islam ini?

Sejauh mana gred 'A' yang digarap dalam subjek "PengeTAHUan Agama Islam" menjadi bekal dan perisai generasi Muslim dalam beragama?

"Yang memiliki agama" itu lebih luas dari sekadar sempadan tahu agama. Ia adalah soal MAHU yang menjadikan pengetahuan agama itu dihayati, dan MAMPU dalam erti dia sentiasa bermujahadah untuk memperbaiki diri.

Maka janganlah disempitkan maksud mencari yang beragama itu hanya pada mereka yang berlabelkan "jenama TAHU agama" tetapi apa yang lebih penting adalah mereka yang MAHU dan terbukti pada perbuatan hariannya dia sentiasa berusaha menuju MAMPU.

Dia mungkin seorang ustazah.
Dia juga mungkin seorang jurutera dan doktor.
Dia mungkin bertudung labuh.
Dia juga mungkin belum bertudung tetapi sentiasa mencari jalan untuk menuju kesempurnaan kebaikan. Dia seorang yang membuka dirinya untuk dibimbing dan diajar. Seorang yang 'teachable".

Hanya 'Beragama'?

Ada pula yang menyangka bahawa kebahagiaan rumahtangga itu terletak pada beragamanya pasangan kita. Soal harta, keturunan dan rupa paras tidak punya sebarang makna.

Maka jadilah seorang perempuan itu fasih lidahnya tentang agama dan rapi pakaiannya sebagai isyarat dia beragama, tetapi dia tidak mengetahui nilai harta.

Dia boros dan tidak bijak menguruskan harta rumahtangganya.

Dia nampak elok beragama, malah mungkin seorang pejuang agama, tetapi dia tidak peduli nilai keturunan dan kekeluargaan.

Dia tidak menghargai keluarganya sendiri, tidak menghargai keluarga suami atau juga keluarga isteri.

Padanya, soal keluarga dan keturunan bukan urusan agama.

Dia bijak dalam memperkatakan tentang agama, tetapi dia menjadikan alasan agama untuk tidak peduli kepada penampilan diri. Pakaiannya selekeh atas nama agama, kulitnya tidak dijaga bersih, beralasankan agama.

Jika perempuan, dia tidak peduli untuk mewangikan diri atau bersolek mengemas diri, kerana padanya itu semua bukan kehendak agama, dan si suami menikahinya bukan kerana itu.

Saban hari mukanya bertepek dengan bedak sejuk dan tubuhnya bersarung baju kelawar. Hambar..

Jika lelaki, dia biarkan diri selekeh dan sentiasa berkemban di dalam kain pelekat dan baju pagoda, membiarkan bau peluh jantannya tidak berbasuh, kerana semua itu tiada kena mengena dengan agama.

Jadilah agama, sebagai alasan untuk sebuah rumahtangga itu menjadi rumahtangga terhodoh, terburuk dan terselekeh... atas nama berkahwin kerana beragama.

- Artikel iluvislam.com

Biodata Kolumnis

Ustaz Fathi Yusuf merupakan graduan ijazah Undang-Undang Syariah UIAM dan master Undang-Undang UKM manakala isterinya, Ustazah Ros Izanuri Jamaluddin merupakan graduan Bahasa Arab UIAM. Ustaz Fathi sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang PhD di UIAM manakala Ustazah Ros Izanuri mengajar di SMK Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: