Ahad, 31 Julai 2011

HATI2 YANG LAIN JUGA....BUKAN KURMA AJE....

Kontrak: Lim anggap MCA berfahaman sempit
Fakhri Ali

BUTTERWORTH, 31 Julai: Tindakan Ketua Wanita MCA Pulau Pinang, Tan Cheng Liang mempertikai kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng, kerana didakwa memberi kontrak Jabatan Pengaliran dan Saliran Pulau Pinang kepada kontraktor Bumiputera dan India Muslim dianggap sebagai tidak matang dan berfahaman sempit.

Katanya, sikap yang ditunjukkan oleh MCA tidak jauh bezanya dengan Umno yang menjadi rakan karib dalam BN.

"Jika kerajaan negeri membantu masyarakat Melayu, MCA akan mendakwa kita meminggirkan masyarakat bukan Melayu. Sekiranya kita membantu masyarakat bukan Melayu, Umno pula akan mendakwa kita meminggirkan masyarakat Melayu.

"Sekiranya pemikiran dan sikap begini masih lagi menjadi ikutan dan amalan, maka pembentukan sebuah masyarakat majmuk yang hidup harmoni, tanpa prejudis tidak akan tercapai.

"Oleh kerana itulah, apabila Umno seolah-olah gila talak kerana hilang kuasa, maka MCA juga kempunan untuk mengikut rakannya dengan menyalak tanpa hala tuju yang positif," ujarnya pada perasmian Jalan P Patto di Mak Mandin pagi tadi.

Sehubungan itu katanya, seandainya kuasa diberikan kepada BN, tidak mustahil banyak perpecahan dalam hubungan antara kaum akan terus berlaku, apabila perjuangan bangsa seperti yang diamalkan oleh komponen BN menjadi amalan.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan, turut menyeru MCA supaya menyedari hakikat bahawa mereka bersama-sama dengan MIC dan Gerakan, sudah tidak mampu lagi untuk mengembalikan keyakinan rakyat, terhadap perjuangan mereka bagi membela nasib rakyat di Pulau Pinang.

Hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Lim Kit Siang, Karpal Singh dan barisan exco serta kepimpinan kerajaan negeri.


Keunikan Ramadan terserlah di Kota Bharu
Aslani M

KOTA BHARU, 31 Julai: Di negeri-negeri lain kempen kibar Jalur Gemilang sedang rancak dijalankan, sebaliknya di Kelantan kemeriahan Ramadan pula dirasai sekarang.

Persiapan akhir di Qaryah Ramadan di perkarangan Stadium Sultan Mohammad Ke-IV sedang dijalankan sejak pagi tadi.

Kelainan Ramadan sejak 20 tahun lalu dirasai apabila ada khemah khas tempat solat Tarawih disediakan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) di tengah pusat bandar.

Bermula khemah Tarawih di Dataran MPKB kemudian dipindahkan ke lokasi sekarang yang lebih selesa dan strategik.

Solat Tarawih berimamkan qari dari Mesir sejak beberapa tahun lalu begitu mengasyikkan ribuan jemaah yang hadir.

Tambahan pula tempat solat di Qaryah Ramadan disediakan penghawa dingin. Selain itu di beberapa masjid utama di sekitar Kota Bharu juga disedia penghawa dingin termasuk Masjid Muhammadi, Masjid Telipot, Masjid Lundang dan Masjid Kota Darulnaim.

Bagi pemimpin kerajaan negeri dan PAS, Ramadan lebih sibuk berbanding bulan lain memandangkan program tadarus al Quran diadakan di setiap kawasan parlimen.

Selain itu mereka juga perlu menyampaikan tazkirah di Dewan Zulkifli Mohammad, Pejabat Perhubungan PAS Kelantan selepas solat Zohor.

Tazkirah dimulakan pada 1 Ramadan dan dijangka dilancarkan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Turut dijadual menyampaikan tazkirah tersebut anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan Timbalan Mufti, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad.

Dua anggota Exco yang bukan lulusan bidang pengajian agama iaitu Abdul Fattah Mahmood (optometrist) dan Che Abdullah Mat Nawi (kewangan) juga dijadual menyampaikan tazkirah selama 20 minit.

Manakala program tadarus al Quran dimulakan pada 2 Ramadan akan diadakan di kawasan parlimen Ketereh bermula solat Asar sehingga waktu iftar.

Program itu akan diketuai Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Program serupa diadakan di kesemua 14 kawasan parlimen di Kelantan.

Kemuncaknya program tadarus al Quran akan diadakan pada 17 Ramadan di Bukit Bunga, Jeli. Sempena program itu ceramah Badr al Kubra juga diadakan.

Di Qaryah Ramadan pula pelbagai program disusun khas seperti tahun-tahun sebelumnya. Antaranya iftar dan sahur jama’i, kelas pengijazahan al Quran, tazkirah selepas dua salam Tarawih, relay bacaan al Quran selepas jam 12 malam.

Selain itu tadarus al Quran setengah jam sebelum berbuka, qiamulai mulai jam 4 pagi, program sepetang di ambang iftar, interaktif bersama imam dari Mesir, kelas al Quran selepas solat Zohor dan Asar, pameran Palestin serta cafe mubarak.

Perasmian Qaryah Ramadan dijangka diadakan pada 4 Ramadan selepas solat Tarawih oleh Menteri Besar.

Himpunan Remaja Ramadan

Himpunan Remaja Ramadan pula diadakan pada petang 5 dan 15 Ramadan. Majlis khatam al Quran 30 juzuk dijadualkan pada 13 Ramadan.

Di Qaryah Ramadan juga akan diadakan ceramah Nuzul al Quran pada 17 Ramadan disampaikan Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud dan pendakwah bebas, Datuk Zawawi Yusof.

Tahun ini juga diadakan program Sehari Celik IT dan program Skor A bagi pelajar-pelajar bakal menduduki peperiksaan, pagi 20 Ramadan.

Pada malam hari sama diadakan ceramah pengkisahan Badar Kubra akan disampaikan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Speaker Dun Kelantan dan wakil Palestin.

Kelainan juga dapat dirasakan apabila pelbagai sepanduk meraikan kedatangan Ramadan boleh dilihat di merata tempat di Kelantan sejak seminggu lalu.

Sementara itu bandar Kota Bharu mengalami kesesakan lalu lintas begitu teruk pada Khamis, Sabtu lalu dan hari ini.

Perjalanan yang hanya mengambil masa 15 minit pada hari biasa bertukar kepada lebih sejam.


Hati-hati kurma Israel, Malaysia negara munafik
http://chegubard.blogspot.com

Kurma menjadi produk tumpuan ketika Ramadhan. Jangan terpedaya, ada dalam pasaran negara Kurma jenama Jordan River. Jika anda membeli Kurma ini ia umpama berbuka puasa dengan darah dan air mata anak Palestin.

Kurma ini didapati berasal dari Israel. Dibawa masuk ke beberapa buah negara seperti Afrika Selatan dan Singapura dan kemudian dibungkus semula sebelum dibawa masuk ke beberapa negara Islam seperti Malaysia.

Sempena Ramadhan ini juga che'GuBard dan SAMM sekali lagi memperbaharui desakan untuk Malaysia menghentikan segala bentuk hubungan dengan negara haram Israel.

Dalam satu sisi regim ini memunculkan imej anti Israel dan pro Palestin. Malah Regim ini pula mewajahkan lawan politik dalam negara sebagai agen Amerika dan perbagai imej seolah anti Islam. Namun sedarkah kita dalam wajah yang lain Malaysia ialah antara negara Umat Islam yang dipimpin oleh pemimpin munafik yang menjadi rakan dagang penyumbang kepada ekonomi Israel.

Dahulu sememangnya Malaysia ada satu undang - undang yang dipanggil Akta Larangan Perdagangan yang menghalang sebarang hubungan dagang lansung dan tidak lansung dengan dua buah negara iaitu Israel dan Afrika Selatan kerana dasar Apartheid.

Namun sebaik sahaja dasar Apartheid di Afrika Selatan 'runtuh' maka pada tahun 1994 dibawah kabinet Dr. Mahathir dasar kerajaan telah diubah dengan meluluskan pindaan Akta Larangan Import (pindaan bil.7) yang bukan sahaja menarik balik sekatan larangan dagang dengan Afrika Selatan tetapi kesempatan diambil untuk jalin hubungan dagang dengan Israel.

Sejak itu Malaysia menjadi antara rakan dagang utama dan penyumbang kekuatan ekonomi kepada negara haram Israel ketika kebanyakan negara memboikot Israel.

Di Perpustakaan MITI dengan jelas banyak terdapat bahan untuk promosi produk Israel sepertimajalah Israel-Asia Trade, Israel Review, bukuAdvantage Israel, Trade Policies Review (Israel), Advance Technology From Israel, Opportunity Israel, The Economics of Israel, Douanes (Buku kod tarif perdagangan Israel) dan beberapa lagi.

Oleh itu kita tidak hairan, jika Dr. Mahathir membayar berjuta-juta ringgit kepada sebuah syarikat Yahudi, Satchi & Satchi untuk membantunya merangka strategi pilihanraya umum 1986, Najib hari ini mengunakan Apco Worldwide untuk persediaan Pilihanraya ke-13.

Sebelum ini dalam sidang media dan banyak siri ceramah che'GuBard telah banyak kali mendedahkan beberapa bukti seperti borang kastam membuktikan bahawa Malaysia merupakan rakan dagang yang memastikan ekonomi Israel terus 'segar' dan terus berupaya membeli senjata untuk membunuh umat Islam Palestin.

Micha Harish, Israel Minister of Industry & Trade dalam Israel-Asia Chamber of Commerce menulis pernah menulis kata-kata aluan yang dipetik dalam satu makalah promosi perdagangan Israel seperti berikut,

The public declaration of the Malaysian Prime Minister and Minister of International Trade and Industrial that their country intends to pursue economic relations with Israel is another milestone in the development of trade with this continent.

Micha Harish menggambarkan bahawa Perdana Menteri Malaysia telah menyatakan hasrat dengan kementeriannya, Kementerian Dagangan Antarabangsa dan Industri bahawa Malaysia ingin mewujudkan hubungan ekonomi dengan negara Israel.

Benarkah kenyataan ini? Sekiranya tidak benar, Perdana Menteri harus menafikan kenyataan Micha Harish ini.

Memerangi Israel wajib ke ke atas semua kerana kezaliman mereka. Lebih lagi kita umat Islam ia ialah perang pembebasan kiblat pertama Umat Islam. Kita tidak mampu untuk memikul senjata memerangi tentera Israel tetapi percaya dan yakinlah sama 'maqamnya' dengan memerangi Israel apabila kita bangkit menjatuhkan Umno Bn kerana dengan jatuhnya Umno Bn kita akan menghentikan hubungan dagang dengan Israel dan seterusnya melumpuhkan sumber ekonomi mereka.

Kepada Mukhriz anak kepada Dr. Mahathir, harus tampil menyatakan pendirian sebenar dalam isu ini bukan diam berkubu di MITI yang menjadi pusat pengkhianatan yang menjadikan Malaysia negara munafik.

Tiada ulasan: