Rabu, 27 Julai 2011

ARAK PUNCA SEGALA MAKSIAT...ADA ULAMAK MULUT BISU SEBAB CINTA PADA DUNIA DAN PANGKAT...

Mengapa Aktivis Agama Berbeza

Sehingga Hampir Berpecah ?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

(Tulisan ini mungkin hanya sesuai dibaca oleh orang kebanyakan jika terdapat bimbingan ilmuan agama disebabkan beberapa contoh isu teknikal yang dibawakan)

pecah_rebut

Sebelum ini saya telah pernah menulis perihal kejinya sangka buruk yang sering berlingkar di dalam masyarakat. Hari ini saya ingin mengecilkan sedikit skopnya, bagi menyambung beberapa isi dalam artikel ‘Inginkah Ulama Malaysia seperti Al-Qaradawi’ yang ada menyebut berkenaan pertelingkahan atau perbezaan pandangan di kalangan graduan agama di tanahair, malah di seantero dunia. Ada mereka yang bertanya lanjut, justeru ini sebahagian ulasannya.

Tidak dinafikan ada juga kedapatan jurutera yang bertelagah, namun mungkin jarang disebabkan ilmu mereka tetapi mereka bertelagah mengenai pangkat, jawatan, gaji, persaingan dan keputusan di tempat kerja. Ya mereka mungkin bertelagah disebabkan urusan dunia.

Demikian doktor, peguam, artitek, akauntan, guru dan sebagainya. Namun pertelagahan menjadi lebih kelihatan buruk apabila punca yang dizahirkan adalah bukan dunia tetapi disebabkan ilmu Islam atau akhirat.

Saya masih baru dalam dunia dakwah, hanya baru berpengalaman menyertainya sejak 20 tahun lalu. Dalam tempoh itulah saya terjun secara khusus dalam bidang dakwah, sama ada secara fardiah atau jama’iyyah. Saya mungkin masih agak mentah berbanding tokoh-tokoh pendakwah lain yang wujud di Malaysia. Namun begitu saya kira, tempoh itu sewajarnya cukup untuk memberi saya masa untuk meneliti antara punca pertembungan di kalangan ilmuan atau graduan agama di Negara kita dan di peringkat antarabangsa.

Sedihnya, jumlah mereka yang berminat kepada ilmu agama dan yang berkait dengannya tidaklah ramai, namun dari jumlah yang tidak ramai ini berlaku pula perselisihan dan pertelingkahan, kutuk mengutuk di antara satu sama lain. Mengapa demikian?

Bayangkan mungkin jumlah yang berminat dengan agama ini hanya 20-30 % dari seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam, dari situ terpecah dan berbalah disebabkan aliran Salafi (digelar wahabi), Khalafi (digelar Ahbash). Terpecah pula disebabkan politik, dan seterusnya terpecah lagi disebabkan berlainan wala’ dan bai’ah masing-masing kepada jemaah Tabligh, ABIM, JIM, IKRAM, ISMA, Tarekat, PAS, Hizb Tahrir dan lainnya.

Justeru, kelihatan semua pihak berlumba-lumba ‘mengejar’ sokongan dan dokongan, adakalanya SEBAHAGIAN DARI MEREKA menggunakan teknik menghentam pihak yang lain bagi meyakinkan kumpulannya lebih baik dari yang lain. TIDAK MAMPU lagi untuk bersangka baik terhadap pihak lain. Asyik tidak yakin dengan kemampuan pihak lain. Snagka buruk akhirnya didahulukan, cuba menelaah niat 'tidak ikhlas' orang lain untuk menjustifikasikan tentangan. Perlukah demikian? Banyakkah keuntungan yang diperolehi oleh Islam dan umatnya melalui cara ini?

Bagaimanakah boleh tertariknya kumpulan majoriti umat Islam yang tidak minat dan tidak ambil berat urusan agama kepada Islam jika itulah gambaran yang terlihat berlaku di kalangan mereka yang serius di bidang agama?.

Ketidaksatuan ini hanya akan lebih memburukkan imej Islam dan muslimin, mengelirukan sesiapa sahaja yang ingin mula berjinak-jinak dengan Islam. Entahlah, tidak diketahui siapa yang perlu memulakan proses perdamaian tetapi yang pasti masing-masing perlu memperbetulkannya bermula dengan diri mereka sendiri.

CONTOH PERTEMBUNGAN MERUGIKAN BERPUNCA SANGKA BURUK

Saya ingin mengambil contoh kepada pertembungan tradisi di antara kumpulan yang dinamakan sebagai salafi dan khalaf, kaum tua dan kaum muda. Secara ringkasnya, antara punca utama pertembungan adalah banyak bergantung kepada sangka buruk serta miscommunication di antara mereka atau juga sengaja mengambil kalam pihak lain secara terpotong (out of context). Berikut adalah maksud saya :-

GELARAN BID'AH

1. Sekumpulan ilmuan yang digelar salafi atau wahabi sering ‘membelasah’ amalan tradisi yang diamalkan oleh ilmuan tempatan dengan nama bid’ah.

SOALAN : Mengapa sebahagian besar ilmuan tradisi melenting apabila amalan yang diiktiraf dan diamalkan oleh mereka dilabel sebagai bid’ah?

JAWAPAN : Kerana majoriti ilmuan salafi telah berusaha sedaya upaya untuk mem’package’ kan bahawa amalan bida’ah itu adalah satu dosa besar. Sebahagiannya menggambarkan bid’ah itu sebagai dosa kedua besar selepas syirik. Selain itu, bid’ah juga digambarkan pula oleh sebahagiannya pelaku bid’ah akan ke neraka disebabkan kerana amalan itu.

AKIBAT : Kumpulan ilmuan tradisi tentulah marah dan merasa diserang, kebijaksanan dan keilmuan mereka dicabar secara ‘keras’ akibat dilabel sebagai pelaku bid’ah. Mereka merasa di ‘jahil’kan oleh kumpulan tadi. Lantaran itu mereka membalas dan sebahagiannya mempertahankan diri.

PUNCA : Sangka buruk ilmuan salafi atau yang digelar ‘wahabi’ bahawa kandungan ilmu, takwil dan takrifan yang dipegang oleh mereka adalah yang paling tepat. Justeru setiap takrif yang tidak bertepatan dengan mereka adalah salah dan sudah tentulah bid’ah.

SEPATUTNYA : Ada beberapa perkara yang sepatutnya iaitu:-

Kedua-dua pihak secara adil dan tenang mengenalpasti isu yang diperbezakan pandangan adalah terdiri dari isu qat’ie atau zanni thubut dan dalalahnya. Jika ia bukan dari isu yang Qat’ie, saya yakin sepatutnya kedua-duanya sewajarnya tahu dan faham bahawa dalam sebarang hukum dan isu yang tidak disandarkan oleh dalil qati’e thubut dan dalalah, mana-mana pihak tidaklah boleh secara putus atau muktamad meyakini pihak lain sebagai salah dan dirinya sebagai wajib betul secara 100 %.

Tidak salah merasakan diri berpegang dengan pandangan yang betul lagi tepat, tetapi yang salah adalah seolah-olah sudah confirm pandangan lain adalah tersasar lalu menafi dan meremehkannya dengan cara yang keras atau penuh sindiran.

Di hari akhir pengajian bersama Syeikhuna Al-Imam Dr Yusuf Al-Qaradawi di Qatar baru-baru ini, beliau menjelaskan, proses tarjih (berijtihad) untuk menentukan pandangan yang paling tepat dan lebih kukuh boleh dilakukan. Selepas itu wajib pula ke atas pihak yang telah memilih untuk beramal dengan pilihannya. Namun ia tidak sekali boleh memburukan (taqbih al-mukhalifin) amalan dan pilihan pihak lain.

Apa yang patut dilakukan sepatutnya adalah menerangkan kepada masyarakat akan mengapa pandangan yang dipegang olehnya lebih kukuh dari pelbagai sudut, tanpa perlu dilekehkan hujah dan pilihan pihak lain. Tindakan itu hanyalah sebagai salah satu tanggungjawabnya selaku ahli ilmu yang inginkan orang ramai mengikuti pandangan yang lebih kukuh pada hematnya. Tapi jangan sekali usaha itu dicemari dengan kutukan terhadap ilmuan yang berbeza pandangan dengannya.

Apabila tindakan memperlekeh, menghina, mengutuk dan membid’ahkan ini dilakukan, ia tidak lain hanya menaikkan amarah ilmuan yang berbeza ijtihad dengannya. Kita harus faham, masing-masing ilmuan mempunyai hak untuk berusaha mencari jalan terbaik untuk mencapai redha Allah swt dan hampir kepada Rasulullah saw.

Alangkah baiknya, jika kita semua berlapang dada dan bersangka baik terlebih dahulu terhadap usaha ilmuan beraliran lain dari kita. Malangnya sangka buruk sering didahulukan, rasa ujub sering menyelubungi diri merasa diri lebih hebat dan bijak serta alim dari pihak lain. Malah, tergambar dibenaknya pihak ilmuan lain itu sengaja mengamalkan pandangan lemah kerana inginkan sesuatu dari dunia yang murah ini, sengaja ingin menyesatkan manusia dan membiarkan manusia ke neraka bersamanya!.

Saya amat berharap kita boleh bersangka baik, tiada siapa yang waras dan berilmu sengaja inginkan dirinya sesat, menyesatkan orang lain dan membawa mereka ke neraka.

GELARAN WAHHABI

SOALAN 2 : Mengapa kumpulan ilmuan yang menisbahkan diri mereka kepada manhaj salafi ini MELENTING, TIDAK PUAS HATI apabila ilmuan tradisional (Khalaf) menyerang mereka dengan gelaran Wahhabi?

JAWAPAN : Kerana ilmuan khalaf ini telah berusaha sejak sekian lama mem ‘package’ nama wahhabi sebagai ajaran sesat, mujassimah (menyatakan Allah ada jasad dan jisim) dan terkeluar dari ahli sunnah wal jama’ah.

AKIBAT: Sebahagian besar ilmuan dari aliran ini melenting dan tidak selesa dengan gelaran tersebut kerana seolah mereka memperjuangkan ajaran sesat dan adakalanya ada yang menuduh mereka sebagai kafir.

PUNCA : Memotong ayat dan sangka buruk yang bersarang dalam diri sebahagian pembenci wahhabi. Bayangkan, tidaklah saya faham mengapa kumpulan yang digelar Wahhabi ini boleh digelar sebagai mujassimah, padahal hanya orang bodoh dan terencat aqal sahaja yang akan berani mentajsimkan Allah dan menyamakannya dengan makhluk.

Masakan tidak, jika dirujuk kepada penulisan, ucapan dan sumber kedua-dua ilmuan aliran sama ada khalaf (tradisional) dan salaf, AMAT JELAS KEDUA-DUA MEREKA berpegang teguh kepada firman Allah :-

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Ertinya : Tiadalah yang menyerupai Allah dengan sesuatu apapun (dari kalangan makhluknya) ( Surah Al-Shura :11)

Nah, justeru dari mana datangnya salah satu antara dua aliran ini yang mengatakan Allah ada mata, tangan, kaki, kepala yang berjisim dan menyerupai manusia atau mana-mana mahkluk lain?.

Hakikat sebenarnya, apabila kita merujuk kepada sumber kedua-dua kumpulan akan kita dapati bahawa ulama kumpulan Salafi berijtihad mengatakan tiada takwilan pada setiap perkataan yang Allah menyifatkan dirinya, justeru apabila Allah mengatakannya

“Tangan Allah berada di atas mereka” (Surah Al-Fath : 10)

Kumpulan salafi ini berkata, ini bermakna Allah ada mempunyai tangan, namun sifat tangan itu tidak sama dengan manusia dan makhluk dan jangan ditanya perinciannya. Itulah ijtihad ulama bermanhaj salafi.

Namun ada kumpulan yang sengaja mencari salah, lalu ‘memotong’ ijtihad di atas dari boleh diterima kepada suatu kesalahan. Mereka mewarwarkan perkataan yang saya gariskan dan memotong huraian yang sepatutnya, lalu kelihatanlah kumpulan manhaj salafi ini mengatakan Allah punyai tangan macam manusia dan berjisim. Lalu mereka berusaha mensabitkan bahawa pihak lain ini mentajsimkan Allah.

Begitulah satu contoh bagaimana hal ini berlaku, sama ada ia disengajakan atau tidak. Wallahu’alam. Jika mahu fahamkan lagi bentuk memotong konteks dan mengambil kata bukan yang dimaksudkan ini, bolehlah dibaca lanjut tulisan sahabat saya, Al-fadhil Ustaz Hasrizal DI SINI.

Memang benar, terdapat kemungkinan seseorang penulis itu sememangnya bermaksud sedemikian dan mentajsimkan Allah. Tapi mengapakah mungkin kita memasukkan penulis itu dalam mana-mana kumpulan?. Adalah lebih wajar, kesalahan penulis itu dibebankan kepada dirinya sendiri dan bukan mana-mana kumpulan, kerana tiada siapa yang boleh mendakwa diri dan pandangannya mewakili aliran Wahabi.

SEPATUTNYA : JANGAN MUDAH BEBANKAN KESALAHAN ‘SESAT’, ‘BID’AH, APATAH LAGI KAFIR

Jika kita boleh belajar dari arahan Nabi s.a.w agar berhati-hati dalam bab hudud, iaitu menjatuhkan kesalahan terhadap tertuduh dalam jenayah yang melibatkan hudud, nescaya saya yakin semua kita sepatutnya lebih berhati-hati untuk melabelkan seseorang sebagai:

  • Wahabi yang disifatkan sebagai terkeluar dari ahli sunnah wal jama’ah dan sesat
  • Ahbash yang disifatkan sebagai ahli bid’ah yang berlagak soleh tetapi digambarkan mereka jika berterusan dalam amalan mereka lalu akan ke neraka.
  • Menghina nabi kerana mengggunakan hadis dhoif.
  • Khawarij hanya kerana terdapat pandangan dan tindakannya yang membangkang pihak pemerintah secara terbuka.
  • Ahli bid’ah kerana berzikir beramai-ramai dengan satu nada dan sebagainya.
  • Menjadi wahabi yang sesat dan tajsim Allah, hanya kerana ketika solat mengangkang kaki lebih dari biasa, tangan di atas dada atau menggoyangkan jari.
  • Bermazhab Zahiri hanya kerana terdapat beberapa tulisan dan pandangannya yang cenderung kepada mazhab terbabit.
  • Syiah yang disifatkan sebagai kafir dan sesat hanya kerana terdapat luahan kecintaannya kepada ahli al-bayt.

Sahabat-sahabat yang dikasihi, Rasulullah bersabda :

ادرؤوا الحدود عن المسلمين ما استطعتم فإن كان له مخرج فخلوا سبيله , فإن الإمام أن يخطئ في العفو خير من أن يخطئ في العقوبة

Ertinya : Tolaklah (wahai hakim) pensabitan hukum hudud dari muslimin selagi kamu mampu, sekiranya di sana terdapat jalan keluar maka bebaskanlah dia, kerana sesungguhnya seorang pemimpin yang tersilap dalam memberikan kemaafan (tidak jatuh hukuman), LEBIH BAIK dari yang tersilap (dalam mengenakan hukuman kepada yang tidak bersalah)” (Riwayat Ibn Majah, kitab al-Hudud, no 5004, At-Tirmizi, kitab al-Hudud, no 1424)

Bayangkan tindakan Umar al-Khattab :

أتي عمر رضي الله عنه بامرأة قد حملت فادّعت أنها أكرهت فخلى سبيلها

Ertinya : Pernah dibawakan kepada Umar Al-Khattab seorang wanita yang mengandung tanpa nikah, wanita tersebut mendakwa ia dipaksa (dirogol) maka Umar terus membebaskan wanita terbabit (dari hukuman hudud) ( Riwayat Al-Baihaqi, 8/235)

Imam Ibn Qudamah pula menjelaskan terdapat yang mentakwilkan wanita tersebut hamil bukan disebabkan zina dan persetubuhan tetapi adalah disebabkan dimasukkan mani lelaki tersebut ke dalam kemaluannya. (Al-Mughni, 1/193)

Semuanya ini sepatutnya memberikan kefahaman kepada para ustaz/ah, ilmuan dan graduan agama agar jangan tergesa-gesa melabel, men‘cop’ dan menganggap seseorang yang berbeza pendapat dengannya atau alirannya dalam sesuatu masalah hukum sebagai wahabi, ahbash, syiah, bid’ah, khawarij, muktazilah, murjiah dan lain-lain label yang berat lagi boleh membawa kepada menyesat dan mengkafirkan.

Sedang dalam masalah yang lebih ringan dari kafir dan sesat iaitu hudud pun terdapat hadis di atas menasihatkan agar cuba mencari jalan, bersangka baik dan mentakwilkan apa yang dibaca dan didengari kepada yang lebih baik, seperti mungkin tersalah tulis, kesilapan penerbit dan editor, terlanjur kata, tersasul, terlebih emosi tanpa niat dan sebagainya yang boleh menghalang kita dari tergesa-gesa dari meletak sebarang label.

Malah label-label ini juga sama sekali tidak adil khususnya jika ia dilakukan disebabkan beberapa pandangan sahaja. Perlu diingat satu pandangan yang sama tidak semestinya SESEORANG ITU TERMASUK di dalam package mana-mana aliran. Banyak sekali kemungkinan bahawa seorang ilmuan itu hanya mentarjihkan satu pandangan yang mungkin sama dengan aliran yang ‘digelar wahabi’ tetapi dia sama sekali tidak pernah mentajsimkan Allah, membid’ahkan amalan orang lain dan sebagainya. Namun akibat penyakit sangka buruk dan busuk hati, terdapat individu lain yang memasukkannya ke dalam label ‘wahabi’.

Tindakan itu samalah menuduh seorang yang tidak mentajsimkan Allah, sebagai melakukannya, bukankah itu akan memburukkan keadaan? hanya menyebabkan pihak yang dituduh akan kembali menyerang dan akhirnya berlakulah pertempuran, kutuk mengutuk dari generasi ke satu generasi.

'PACKAGE' SUATU TEKNIK ‘JAHAT’ MENJATUHKAN PIHAK LAIN

Sama juga dengan individu yang sengaja mengatakan ‘tindakan menyertai demonstrasi aman’ atau membangkang tindakan dan kesalahan pemimpin sebagai khawarij. Persoalan wajar atau tidak demonstrasi & teguran terang-terangan bukan target artikel ini, tetapi saya mengambilnya hanya sebagai contoh, bagaimana hanya disebabkan seseorang itu menyokong bantahan terbuka terhadap pemerintah, lalu di cuba dinamakan dan dilabelkan sebagai khawarij. Sedangkan khawarij itu adalah satu kumpulan yang menentang pemerintah yang merupakan khalifah dengan jalan kekerasan atau menggunakan senjata. Khawarij juga mendakwa dosa-dosa besar menyebabkan kekafiran lalu mengkafirkan pemimpin yang melakukan dosa besar dan menghalalkan darah mereka. ( Rujuk Fiqh Al-Jihad, Al-Qaradawi, 1/200 dan 2/1030)

Adakah mereka yang membangkang ini seperti itu? Saya yakin tidak. Justeru mengapakah dengan mudah cuba untuk melabel dengan label seburuk Khawarij?

Sedangkan mungkin sekali mereka yang dilabel itu sama sekali tidak faham seluruh rukun, polisi dan asas gerakan khawarij yang dikatakan itu. Malangnya disebabkan sangka buruk dan teknik ‘tidak sihat’ dikalangan sebahagian ahli agama, setiap kali apabila mereka berbeza pandangan, mereka kerap mencari nama-nama dan label-label buruk serta diketahui jahat agar boleh dinisbahkan kepada pihak yang berbeza dengannya. Mungkin harapannya agar boleh ‘mematikan’ hujah dan sokongan terhadap pihak sebelah sana.

Justeru, adakalanya kita mendengar gelaran ‘Munafiq’, ‘sama seperti Yahudi’ dan lain-lain label yang boleh terus memburukkan seseorang ilmuan yang tidak dipersetujui itu. Inilah juga yang dialami oleh Syeikhuna Dr. Yusuf Al-Qaradawi, hanya disebabkan satu dua ijtihad beliau yang tidak disukai oleh sekumpulan pengkaji ilmu, beliau dituduh sebagai ulama kerajaan (padahal telah dibuang negara dan dipenjara oleh kerajaannya di Mesir), boneka, munafiq, bekerjasama dengan Yahudi dan Kristian dan lain-lain tuduhan tidak bertanggungjawab.

Nabi s.a.w bersabda :

سباب المسلم فسوق قتاله كفر

Ertinya : Mencela orang muslim itu suatu kefasiqan, dan membunuhnya adalah kufur ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim dari Ibn Mas’ud)

Biasanya, tindakan label melabel ini biasanya adalah hasil dari niat dan hati tidak baik pihak yang melabel kerana mahu segera mematikan kredibiliti mereka yang tidak sama fikiran dan pendapat dengannya. Agar orang awam terus boleh menjauhi mereka dan pandangan mereka sama sekali. Akhirnya ustaz-ustaz terus bertelagah dan orang awam berterusan keliru.

Sebahagian orang awam menjauhkan diri dan sebahagian yang lain mengambil keputusan untuk turut serta menyokong ustaz mereka.

Malanglah kita mempunyai keadaan graduan agama yang sebegini. Kali ini gejala negatif ini bukan hanya berlaku di kalangan graduan agama yang kurang cemerlang di universiti malah yang juga cemerlang. Tetapi mungkin terlalu hairan dengan kealiman sendiri dan terburu-buru, tidak memikirkan cara pelaksanaan dan ajakan kepada sunnah.

TERGESA-GESA INGIN MEMBAWA PERUBAHAN

Memang benar, sunnah itu jelas tetapi cara ajakan itu adalah terdiri dari hukum-hukum mutaghaiyyirat dan perlu mengambil kira keadaan dan kesediaan orang ramai. Mengajar orang ramai dan awam secara tergesa-gesa tanpa proses lunak dan tadarruj hanya mencipta orang awam yang keliru dan merasa layak untuk berfatwa sendiri, merujuk ayat dan hadis secara sendirian, lalu semakin mudahlah dia tersesat jalan.

Lihat bagaimana Rasulullah membatalkan hasrat baginda untuk mengubah binaan Ka’abah kepada asas yang didirikan oleh Nabi Ismail a.s disebabkan melihat umat Islam di ketika itu belum bersedia untuk Ka’abah diperlakukan sedemikian. Rasulullah bersabda kepada Aisyah :

لو لا أن قومك حديثو عهد بشرك لبنيت الكعبة على قواعد إبراهيم

Ertinya : Sekiranya tidaklah kaummu itu baru-baru sahaja (keluar) dari zaman syirik (menyembah berhala) nescaya sudah tentu akan ku bina semula Kaabah di atas binaan asal nabi Ibrahim ( Al-Bukhari & Muslim)

Demikian juga lunaknya baginda nabi s.a.w. ketika baginda menegur seorang sahabat bernama Mu’awiyah Al-Hakam yang bercakap di dalam solat, Muawayiah menceritakan walaupun sahabat-sahabat lain marah-marah dan membuat pelbagai isyarat keras kepadanya, namun sesudah solatnya, baginda hanya menerangkan kepadanya tanpa menyakitinya, memukulnya atau mencelanya, baginda bersabda

إن هذه الصلاة لا يصلح فيها شيء من كلام الناس , إنما هو التسبيح والتكبير وقراءة القرآن

Ertinya : Sesungguhnya ini adalah solat, dan tidak boleh didalamnya kecuali tasbih takbir dan bacaan al-Quran” ( Riwayat Muslim)

KESIMPULAN

Sebenarnya banyak lagi hasil pemerhatian yang ingin dikongsikan, cuma cukuplah sekadar itu buat dahulu masa ini. Itupun belum tentu ingin dibaca oleh graduan-graduan agama yang asyik bertelagah ini, mungkin disebabkan saya bukan dari aliran mereka, malah saya bukan dari mana-mana aliran. Salafi tidak memasukkan saya sebagai manhaj salafi, khalaf juga menolak saya dari kalangan mereka.

Atau dalam bahasa mudahnya:

“Pendokong Wahhabi tidak menganggap saya dari kalangan mereka kerana saya tidak membid’ahkan amalan orang lain, pendokong khalaf juga tidak menganggap saya dari kalangan mereka kerana tidak membantai Wahhabi.”

Atau mereka bakal menolak tulisan ini kerana saya bukan graduan dari universiti yang mereka hormati..

Sebab itulah saya menyatakan kita perlukan seorang graduan cemerlang dari pelbagai universiti dan Negara sebagaimana yang disebutkan di dalam artikel sebelum ini. Semoga beliau kelak mampu meredakan pertelingkahan merugikan ini.

Lebih menyedihkan, sehingga sampai satu tahap kebencian di antara mereka ini, ada yang cuba memalukan antara satu sama lain memalukan dengan mencela kelulusan agama, wajah, tubuh, dan cuba pula memalukan keluarga pihak yang dibenci itu. Adakah ini merupakan amalan sunnah dan boleh menghampirkan diri kepada Allah?

Paling menyedihakan, sudah sampai satu tahap dimana perpecahan ini mengakibatkan satu pihak mengharapkan kematian pihak yang tidak sependapat dengannya atau bergembira dengan kematian individu tidak sependapat dengannya (jika berlaku).

Seringkali saya cuba mengingatkan diri dan sahabat-sahabat awam yang mula berjinak dengan mana-mana kumpulan dan aliran agar segera sedar tipu daya Syaitan ini. Syaitan sedang cuba membelit kita, kononnya berjuang untuk kesucian agama dan sunnahnya tetapi rupanya terpedaya dengan syaitan sehingga menggadaikan larangan qati’e yang ditegah oleh Allah dan rasulNya iaitu sangka buruk, mengadu domba, merendah dan memperlekeh manusia serta mengumpat dan mencela orang lain. Sedang isu yang diperjuangkan 90 % antaranya adalah hanya isu yang bersifat zanni.

Berterusan sebahagian dari mereka melanggar larangan qat’ie kerana memperjuang arahan yang bersifat zanni?

Saya akui, saya sendiri mungkin tidak terlepas dari apa-apa inti yang disebutkan di atas dan dengan itu saya memohon keampunan serta beristighfar kepada Allah swt atas kelemahan-kelemahan diri. Sentiasa berusaha ke arah kesatuan dan sikap hormat menghormati yang lebih positif.

Saya memohon kemaafan jika sebahagian bahasa dalam tulisan ini menyinggung sesiapa dan aliran yang mereka dokongi tanpa hikmah. Tujuan dan harapan saya hanyalah untuk melihat sebuah kesatuan dan toleransi di kalangan ahli agama dalam bab yang cabang atau usul yang zanni serta bersepadu dalam membanteras yang sepakat salahnya sama ada isu cabang atau usul.

Zaharuddin Abd Rahman

Create your badge

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net


Hasil arak hilang rahmat Allah
Ibnuamis

Merujuk kepada laporan Harakah dan turut disiarkan oleh akhbar The Star (Isnin 23 May 2011) atas tajuk: Malaysia di antara 10 negara seluruh dunia yang terbanyak peminum arak, walaupun penduduk dan keluasannya boleh dikatakan kecil.

Juga dirujuk kepada berita laman web yahoo bertarikh 2 Jun 2011 Happy hours and other ways to get cheap(er) drinks in Kuala Lumpur ... It is often more expensive to get a drink in KL (http://www.thesocial.com.my/), dan tajuk laporan ‘Twenty One Kitchen and Bar, Travel Stories about Malaysia. (Malaysia.travel.yahoo.com/inspirations/310-happy-hours-and-other-ways-to- get-cheaper-drinks-in-kuala-lumpur), Petikan ayat pertamanya, "It is often more expensive to get a drink in KL than in notoriously expensive cities like London and New York. Hefty government taxes are partly to blame, but many bars and restaurants contribute to the problem by having extremely high mark-ups.

Yang terbaharu laporan Harakahdaily bertarikh 26 Julai 2011, ‘Gesaan Gabungan Pertubuhan NGO Islam Malaysia (ACCIN) meminta pihak kerajaan supaya menangani dengan serius isu penjualan arak tanpa kawalan yang sedang berlaku di dalam negara’.

Berdasarkan rujukan di atas, adalah amat malang, zalim, mengaib dan amat memalukankan, kerajaan yang diterajui Umno/ BN dengan bangganya demi survival politik, mendakwa Malaysia sebuah negara Islam, telah mendedahkan kepada kemurkaan Allah di samping mengaib serta memalukan seluruh rakyat Malaysia dimata dunia atas sebab berikut;

1- Malaysia telah tersenarai 'top ten' peminum arak (termasuk bir) tertinggi dunia.

2- Amat banyaknya RM cukai yang dipungut dari hasil arak, maka hilanglah keberkatan dan rahmat dari Allah swt, bilamana punca pendapatan haram dibelanjakan untuk urus-tadbir dan bangun negara (negara kebajikan sebeginikah yang difahami oleh pentadbiran PM Najib?). Maka tidak hairan berbagai-bagai gejala akhlak buruk terjadi di Malaysia. Keburukan ini menjalar didalam hampir setiap bidang; politik, kepimpinan, pilihan raya, kehakiman, sosial dan adalah amat panjang untuk disenaraikan kesemuanya.

Jika sekiranya kerajaan Umno BN benar-benar ikhlas, iltizam serta ada keperihatinan serta secebis kataqwaan kepada Allah swt, langkah-langkah awal dan segera berikut sepatutnya boleh dilaksana dan kuat-kuasakan (termasuk minuman bir);

Pertama, diharamkan segala jenis media mengiklankan dan mempromosi minuman keras. (tidak terkecuali pada setiap kenderaan pengangkut arak)

Kedua, lebel pembungkusan/ pembotolan minuman keras hanya dibenarkan yang bersaiz kecil, misalnya, font yang tidak melebihi size-10.

Ketiga, dimestikan setiap pembungkusan/ pembotolan minuman keras mesti disertakan dengan amaran yang menunjukkan sebagai minuman menjijikkan dan memudaratkan kesihatan dan sosial serta juga bersalahan pada syarak serta juga lain-lain agama.

Kelima, dipamerkan gambar pada setiap pembungkusan/ pembotolan minuman keras akan kesan-kesan buruk dan menjijikkan akibat minum arak, seperti yang dipamirkan pada setiap kotak rokok.

Inilah beberapa langkah awal yang perlu dilaksanakan, jika kerajaan masih ada maruah Islam. Alangkah sesuai dan tepatnya jika desakan ini dipelopori oleh PAS, insya Allah, waLlahua'lam.


Kerajaan digesa serius tangani jualan arak
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Julai: Gabungan Pertubuhan NGO Islam Malaysia (ACCIN) meminta pihak kerajaan supaya menangani dengan serius isu penjualan arak tanpa kawalan yang sedang berlaku di dalam negara.

Setiausahanya, Dr Mohd Roslan Moh Noh berkata, ACCIN meminta supaya tindakan lebih tegas dikenakan terhadap orang Islam yang didapati meminum arak.

Katanya, pihak jabatan agama perlu lebih hebat memantau kawasan-kawasan 'panas' untuk mencegah perbuatan tersebut.

“ACCIN bimbang dengan gejala ini dan melihat ianya boleh menjejaskan modal insan yang ingin dibina di dalam negara kita,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, golongan yang minum dan ketagih arak perlu dibendung, ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana mereka boleh menyebabkan berlaku banyak masalah sosial.

Oleh itu, ujarnya wajar bagi pihak kerajaan dan pelbagai agensi yang bertanggungjawab supaya memberikan perhatian serius tentang masalah tersebut.

Gabungan pertubuhan-pertubuhan Islam bukan kerajaan terdiri daripada Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Research And Information Centre On Islam (RICOI), Persatuan Darul Fitrah Malaysia, Persatuan Al-Hunafa’, Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA), Pertubuhan Jama’ah Islah Malaysia (JIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persekutuan Seruan Islam Selangor & W.P (JAM’IYAH), Islamic Information & Services Foundation (IIS).

Persatuan Dakwah Islamiah & Kebajikan Saudara Baru India Se-Malaysia (AL-HIDAYAH), Interactive Muslimah Association (IMAN), Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (GEPIMA), Persatuan Kebajikan & Pengubatan Islam Malaysia (DARUSSYIFA), Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), World Assembly Of Muslim Youth (WAMY) dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Tiada ulasan: