Isnin, 11 Julai 2011

SEMUA AKAN LETAK JAWATAN SEBAGAI MANUSIA DIDUNIA@MATI...BANGKIT DAN DIHISAB...1OO JUTA HILANG...LESAP GITU SAJA ENTAH BERAPA ...ALLAH SAJA YANG TAHU..

Bersih 2.0: Pemuda PAS gesa siasat polis ganas
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 11 Julai: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menuntut agar satu siasatan dibuat kepada beberapa insiden keganasan pihak polis ketika cuba menghalang Himpunan Aman Bersih 2.0 9 Julai lepas.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, pihak polis harus mengambil tanggungjwab di atas kematian Allahyarham Baharudin Ahmad serta menjelaskan dua rakaman klip video dari Malaysiakini dan Al-Jazeera yang disebar di Youtube yang jelas membuktikan keganasan anggota polis.

Katanya, Allahyarham Baharudin Ahmad, 58, yang berada di KLCC meninggal dunia selepas terhidu asap bom pemedih mata yang ditembak oleh FRU.

Beliau menambah, bahan kimia 2-Chlorobenzalmalononitrile (CS) yang menjadi bahan utama bom berkenaan menjadi punca mangsa mengalami trauma, sesak nafas dan kegagalan fungsi jantung hingga menyebabkan kematiannya.

“31 Disember 2010 yang lalu, perkara yang sama berlaku kepada seorang wanita Palestin berumur 36 tahun, Jawaher Abu Rahmah yang mati selepas terhidu gas pemedih jenis yang sama digunakan oleh rejim Israel di Tebing Barat,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya lagi, Dr. Mohammed Aideh, Pengarah Perkhidmatan Perubatan Kecemasan, Kementerian Kesihatan Palestin telah mengesahkan perkara itu walaupun Israel enggan bertanggungjawab.

Kini, ujarnya perkara itu berlaku di Malaysia, dan polis mengulangi sikap Israel itu.

Justeru, katanya DPPP berharap agar satu siasatan dibuat bagi memberi keadilan kepada mangsa dan keluarganya.

Pemuda PAS juga, ujarnya mahu penjelasan polis berhubung klip video Malaysiakini bertajuk Police beating yang dirakamkan di Jalan Tunku Abdul Rahman yang memaparkan beberapa anggota polis berpakaian reman menumbuk, menendang, memijak serta memaki hamun seorang peserta bersih yang telah dibaringkan diatas jalan raya.

Katanya, klip Video Al-Jazeera bertajuk [BERSIH 2011] RIOT BY POLICE - Live Footage From Al-Jazeera yang dirakamkan di Jalan Pudu pula menunjukkan keganasan anggota Polis beruniform menembak gas pemedih mata dan kemudiannya meluru untuk menendang dan memukul peserta Bersih yang duduk.

Beliau berkata, beberapa insiden lain termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengawalnya yang dipukul polis hingga tercedera, begitu juga kepada seorang lelaki lain di Pudu yang pecah kepala diserang polis serta banyak lagi bukti-bukti keganasan polis menuntut pertanggungjwaban Ketua Polis Negara dan organisasinya.

“DPPP akan memastikan isu ini menjadi kes utama untuk pihak Suhakam serta disiasat secara lebih terperinci.

“DPPP yakin rakyat mahukan jawapan di atas ketidakjujuran Ketua Polis Negara yang menutup mata dan menafikan keganasan ini,” ujarnya.


Bersih 2.0: Rugi RM100 juta dan Najib turun padang
Dr Rajiee Hadi

PERANG psikologi sering berterusan selepas isu Perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai 2011 yang diharamkan walaupun pada mulanya ada saranan murni boleh berhimpun di dalam stadium. Sikap berdolak-dalik ini tetap tidak dapat dilupakan; baik mereka yang terbabit terus dengan kempen 'Bersih' atau sebaliknya. Najib oh Najib!

Najib Razak kononnya turun gelanggang sehari selepas peristiwa itu menemui warga kota Kuala Lumpur khususnya para peniaga.Ya, tanda seorang PM yang simpatis dan empatis! Eloklah dan moleklah begitu. Hahaha....simpatis dan empatis kepada para pendokong kapitalisme. Rasa belas kepada golongan peniaga yang kononnya kerugian RM100 juta pada hari bersejarah, hari berangka ganjil '9.7.11' .

Fikirkanlah di sisi lain. Betapa pada tarikh tersebut banyak wang orang Melayu telah dapat diselamatkan. Kerana apa? Orang Melayu sememangnya sikapnya suka berbelanja (shopping). Membeli barangan yang telah sedia ada; bukan yang tiada. Sikap membazir sikap yang semacam sudah menjadi darah daging orang Melayu. Oleh itu kenapa rugi? Sekurang-kurangnya orang Melayu dapat bertahan daripada wangnya mengalir sia-sia cuma satu hari sahaja pada hari itu. Orang Melayu telah membuktikan 'kuasa membelinya' ada 'power' menyebabkan kerugian RM100 juta sehari. Ha..ha..ha.. Apa ruginya?

Justeru, baik Najib Razak atau sesiapapun janganlah menyanyi lagu 'bangau oh bangau'. Tidak guna saling salah menyalahkan pihak lain. Mahu salahkan polis/PDRM yang menutup semua jalan pintu masuk utama ke KL yang menyebabkan tiada urus niaga? Hahaha...nanti pihak PDRM akan buka 'story' lain pula. Maka lebih baik semua pihak jadikan iktibar.

Apa gunanya Najib Razak turun ke gelanggang bersalaman dengan para peniaga kedai/toko seperti yang dibuat pada masa-masa lalu turun ziarah ke tumpuan umum di KL di Pudu Raya, Jalan Petaling, Jalan TAR, Chow Kit , Jalan Masjid lndia dan sebagainya tetapi bersalaman dengan para peniaga (pembantu kedai) dan orang ramai bukan warganegara Malaysia seperti pendatang Pakistan, lndia, Nepal, lndonesia, Bangladesh, Kazakhtan, Turkistan, Afghanistan yang bukan sahaja ada di KL bahkan di merata-rata seluruh negara sekarang.

Kesudahannya dikatakan orang 'PM kita syok sendiri'. Hahaha...malulah. Apalah sudah jadi oh Malaysia tanah airku, tanah tumpah darahku....

Lebih baik Najib Razak sekarang fikirkan berapakah bulan bonus gaji mahu diberikan kepada kakitangan kerajaan menjelang hari raya dan penghujung tahun ini. Adalah lebih baik Najib Razak tinjau dan kawal serta arahkan pemaju perumahan dan ejen hartanah menuruhkan harga rumah yang kini banyak dijual dengan harga yang tidak masuk akal.

Dan bertambah afdal jika Najib Razak bertanyakah kepada SN Pak Samad Said dari lubuk kalbu nuraninya tentang kejadian sebenar dan intisari peristiwa 9 Jula itu. Luahan hati seorang sasterawan adalah ketelusan dan kebenaran. Pak Samad bukan orang politik yang sering ditafsirkan dengan pelbagai wajah. Dan lebih baik Najib Razak pantau harga 'barang naik' (BN) termasuk membetulkan stering dan kepala para CEO di setiap GLC khususnya TNB dan lain-lain. Praktikkan betul-betul 'Rakyat didahulukan, bukan Cukong didahulukan'. Janganlah buka bab PRU 13 buat masa ini, kelak cepatlah anda jatuh. Percayalah pandangan saya.

Dr Rajiee Hadi,

Kuala Lumpur, Malaysia.


Peristiwa hitam Bersih 2.0

Huzir Sulaiman

Peristiwa hitam dan pahit menyelubungi Perhimpunan Aman BERSIH 2.0 kelmarin, 9 Julai. Walaupun diasak hampir sebulan melalui media massa tunggangan kerajaan zalim Barisan Nasional (BN) bahawa BERSIH 2.0 tidak bersih serta dibantu oleh pihak polis yang setiap masa menggugut serta dilihat cuba menakutkan semua penyokong gerakan itu dengan harapan perhimpunan semalam tidak mendapat sambutan, amat meleset sekali apabila dianggarkan hampir 50 ribu perserta perhimpunan berjaya membolosi hampir semua 30 sekatan jalan masuk ke pusat bandar Kuala Lumpur. Jika tidak kerana tangkapan demi tangkapan di stesyen LRT, Monorail, dan KTMB serta tangkapan yang dibuat ketika cuba melalui sekatan jalan itu, dianggarkan beratus ribu lagi penyokong Bersih 2.0 akan bersama-sama dengan kumpulan utama berarak ke Stadium Merdeka untuk menyerahkan memorandum 8 tuntutan BERSIH 2.0 itu kepada wakil Istana.

120 NGO antarabangsa serta SUHAKAM mengutuk tindakan zalim kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada peserta pehimpunan AMAN itu kerana dilihat jelas melanggar hak asasi manusia serta perlembagaan negara.

Tindakan yang diibaratkan MEROGOL kebebasan bersuara serta MENGHERET nilai-nilai kemanusiaan ke tahap yang lebih rendah dan hina dari binatang itu jelas dapat dilihat ketika perarakan itu khususnya tindakan pihak FRU yang melepaskan gas pemedih mata dari jarak bahaya sehingga dikatakan oleh peserta-peserta lain sebagai faktor utama yang menyumbang kepada kematian suami kepada Ketua Wanita KEADILAN Setia Wangsa, Allahyarham Baharudin Ahmad yang gugur syahid hanya kerana ingin menuntut keadilan yang sama rata dalam proses pilihanraya negara serta ingin menyuburkan demokrasi demi masa hadapan keseluruhan generasi Rakyat Malaysia. Hasil bedah siasat HKL yang tidak rasmi juga mendapati 4 tulang rusuk Allahyarham patah. Tambahan pula 2 peserta lain perhimpunan Aman itu juga dikatakan masih di ICU Hospital Kuala Lumpur dan nasib mereka masih tidak diketahui.

Malah komentar-komentar yang penuh emosi dan menyayat hati itu dari peserta-peserta yang dibebaskan malam kelmarin daripada tahanan di PULAPOL khususnya tindakan rakus dan kejam pihak FRU ke atas peserta wanita tidak dapat dijangkau oleh akal manusia yang waras.

Mereka diheret dengan tangan terikat dan digari dengan kasar serta ditolak dengan paksa seperti binatang-binatang ke kenderaan Polis tanpa langsung ingin melayani rintihan mangsa-mangsa untuk dilonggarkan ikatan tangan. Dengan cortar-cortar mereka yang menyinggahi anggota badan peserta dan juga kaki mereka yang tidak henti menendang serta ada juga leher peserta yang diikat dan ditarik dengan bendera Malaysia yang dirampas cukup jelas satu kezaliman yang ternyata mirip tindakan ganas Polis Rahsia negara Komunis RUSIA iaitu GESTAPO.

Siapakah yang sanggup melakukan apa sahaja demi mengekalkan kuasa memerintah?

Malah tindakan ala-samseng pihak peronda POLIS yang melanggar motorsikal yang ditunggangi Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu hanya kerana ingin menahan beliau dilihat cukup tidak bertamadun, biadap dan bacul. Tidak cukup dengan semua itu, hampir 8 gas pemedih mata dilepaskan oleh pihak FRU di dalam terowong pejalan kaki yang tertutup di KL Sentral di mana pemimpin utama BERSIH 2.0 berada walaupun tidak ada elemen provokasi langsung daripada pihak penganjur.

Adakah ini cubaan membunuh?

Yakinlah, Tsunami BERSIH 2.0 akan bertiup kencang di seluruh negara kerana tindakan drakonian pihak pemerintah yang zalim kepada peserta-peserta BERSIH 2.0 khususnya tindakan zalim kepada 60 NGO-NGO dan parti politik yang menyokong tuntutan BERSIH itu demi masa hadapan seluruh Rakyat Malaysia.

Saya meninggalkan perkarangan PULAPOL kelmarin dengan satu tangisan kerana mengenangkan seorang wanita yang terpaksa berdiri sambil mendukung bayi kecilnya di dalam kenderaan Polis. Walaupun beliau terpaksa melalui semua itu, terukir satu senyuman penuh semangat seorang rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keadilan.

Ini hanyalah permulaan kepada segalanya. Umno dan Kerajaan Zalim Barisan Nasional (BN) kini sudah berada di penghujung usia. Rakyat Malaysia akan menamatkannya.

Wallahua’lam.


Kejam: PAS desak KPN, timbalan letak jawatan
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 11 Julai: PAS hari ini mendesak Ketua Polis Negara dan timbalannya, Tan Sri Ismail Omar dan Datuk Khalid Abu Bakar supaya meletak jawatan ekoran kekejaman dan keganasan yang dilakukan oleh pihak polis terhadap para peserta Bersih 2.0 kelmarin sehinggakan seorang terkorban dan puluhan lagi tercedera.

“PAS mengecam keras tindakan biadab polis ini sehingga menyebabkan kematian seorang peserta Saudara Baharuddin Ahmad dan puluhan lagi yang cedera semata-mata tindakan ganas mereka. Ratusan yang tercedera kerana dipukul, disepak dan diheret ke dalam trak adalah pandangan jijik anggota keselamatan, yang tidak sepatutnya berlaku.

"PAS mendesak agar Ketua dan Timbalan Ketua Polis meletakkan jawatan dan dihadapkan ke tribunal di atas jenayah yang dilakukan,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataannya hari ini.

Tindakan ganas dan melampau polis, kata Tuan Ibrahim langsung tidak mencerminkan slogan mereka Mesra, Cekap dan Betul – jauhlah lagi terpesong dengan piagam pelanggan mereka, Tegas, Adil dan Berhemah.

“Polis sepatutnya menjaga keselamatan rakyat dan bukannya menyebabkan mereka cedera secara sengaja.

"Kebiadaban anggota polis dan FRU dapat dilihat dengan jelas dari beberapa rakaman video rakyat yang dirakamkan oleh pelbagai sumber samada peserta Bersih 2.0 ataupun media antarabangsa telah membuktikan kegagalan mereka dalam menjamin keselamatan rakyat,” tambah beliau.

Perhimpunan aman Bersih 2.0 yang berlangsung 9 Julai yang lalu dicemari oleh tindakan polis yang agresif dengan serangan gas pemedih mata bertubi-tubi dan water cannon barangkali atas arahan kerajaan persekutuan pimpinan Barisan Nasional telah menyebakan seorang mangsa terkorban dan puluhan tercedera.

Mangsa terkorban ialah Allahyarham Baharudin Ahmad, 58. Antara yang cedera termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad. Di samping itu, polis juga telah menahan 1,667 orang sebelum melepaskan kesemuanya pada jam 9.30 malam hari Sabtu yang lalu.

Bagaikan spring yang melantun akibat ditekan, seramai 50,000 telah menghadiri perhimpunan Bersih 2.0 walaupun bermacam-macam cara yang digunakan kerajaan Barisan Nasional untuk menghalangnya.

Angka tersebut mungkin lebih kerana ada kumpulan-kumpulan yang tidak berjaya bergabung dengan kumpulan utama.

Ironisnya, ia merupakan satu senario yang kerajaan cuba nak elakkan dengan melancarkan pelbagai tangkapan awal dan satu serbuan terhadap segala yang berwarna kuning.

Tuduhan kerajaan dan polis bahawa Bersih 2.0 mungkin cuba membuat huru-hara di sekitar Kuala Lumpur juga dibuktikan palsu apabila ketegangan diwujudkan polis sendiri setelah menjadikan kawasan sekitar Kuala Lumpur bagaikan medan perang sebelum perhimpunan bermula.

“Dalam perhimpunan aman Bersih 2.0, langsung tiada kejadian ganas oleh para peserta sebagaimana yang cuba digembar-gemburkan media arus perdana sebelum ini.

"Oleh itu, kezaliman dan keganasan polis yang menggunakan gas pemedih mata atau tembakan air asid sepatutnya tidak berlaku, kerana tiada langsung sebab untuk mereka menggunakannya,” bidas Tuan Ibrahim yang juga menyertai perhimpunan tersebut kelmarin.

Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut menyelar kenyataan Ismail yang kononnya mendakwa bahawa polis hanya bertindak ganas sedemikian selepas diprovokasi para peserta Bersih 2.0.

Dengan pelbagai gambar dan video yang terpapar, Tuan Ibrahim berkata kenyataan songsang Ismail and timbalannya sebaliknya hanya dapat berfungsi untuk mendedahkan pembohongan mereka sendiri.

Kepada para peserta Bersih 2.0, beliau mengucapkan syabas bagi pihak PAS dan mengingatkan mereka kuasa menentukan masa depan negara sudah berada di tangan mereka sekarang.

“Andaikan 50,000 dan setiap seorang menyebarkan pengalaman Bersih 2.0 mereka kepada 10 seorang – maka 500,000 rakyat akan terasa – dengan 500,000 setiap seorang berkongsi lagi dengan 5 orang – maka hasilnya 2.5 juta rakyat yang tidak dapat bersama dapat merasai bagaimana kita semua bersatu sebagai rakyat Malaysia pada 9 Julai yang lepas.

"Dengan perkongsian sedemikian, kita akan sedar bahawa permainan politik yang cuba gempar-gemburkan bahawa rakyat Malaysia berpecah hanyalah taktik licik Umno Barisan Nasional untuk mengekalkan kuasa mereka,” terang beliau.

Dalam kenyataannya, Tuan Ibrahim juga mengulangi peringatannya kepada Pakatan Rakyat bahawa sokongan rakyat terhadap Bersih 2.0 bukanlah petanda sokongan mereka kepada pakatan pembangkang negara.

“Rakyat menyokong Bersih 2.0 hanya semata-mata untuk memastikan undi-undi mereka tidak di’offset’kan secara tidak sah oleh pengundi hantu, pengundi pos yang tidak sah dan juga memastikan mereka mendapat maklumat yang tepat sebelum mengambil keputusan untuk mengundi siapa-siapa.

"8 tuntutan Bersih 2.0 adalah untuk memastikan wakil yang dipilih menang nanti di pilihanraya akan datang betul-betul adalah pilihan rakyat dan bukannya pilihan parti pemerintah yang memanipulasi sistem pilihanraya negara untuk kekal berkuasa,” terang beliau.

Pakatan Rakyat, katanya juga tidak harus terlalu yakin bahawa dengan pilihanraya yang lebih bersih, kita bakal dapat menewaskan Umno Barisan Nasional.

“Rakyat yang menyokong Bersih 2.0 tetap tidak akan mengundi kita sekiranya prestasi kita lemah dan tidak dapat memberikan keyakinan kepada mereka untuk menerajui negara,” kata beliau.

PAS juga merakam takziah kepada keluarga Saudara Baharuddin Ahmad, di atas kemalangan yang menimpa beliau.

“Semoga tragedi ini akan menyemarakkan kebangkitan rakyat bagi menukarkan kerajaan yang zalim ini,” tambahnya.

Tiada ulasan: