Selasa, 12 Julai 2011

KUNING OH KUNING ...ADA ORANG RIMAS DENGAN KUNING

PAS mahu demokrasi mencerdikkan rakyat
Khairul Azlam Mohamad

KUALA TERENGGANU, 12 Julai: “Kita mahu demokrasi yang mencerdikkan rakyat dan bukan demokrasi yang membodohkan rakyat,” kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Sehubungan itu, jelasnya, himpunan yang dianjurkan oleh Bersih 2.0 diatur oleh pertubahan bukan kerajaan di kalangan Islam dan bukan Islam.

Menurutnya, mereka bukan parti politik dan tidak terlibat dengan pilihan raya.

Mereka, ujarnya adalah kalangan cerdik pandai, profesional di seluruh negara daripada pelbagai kaum yang melihat banyak perkara yang tidak kena, yang boleh merosakkan negara kerana demokrasi dirosakkan.

“Walau pun hari ini Umno menganjurkan perhimpunan, presidennya (Najib) mengatakan hendak mendukung dan menghidupkan demokrasi, demokrasi jenis apa,” ujarnya ketika berucap kepada orang ramai yang menyambutnya di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, malam tadi.

Sambutan hebat itu dilakukan ekoran beliau yang juga ahli Parlimen Marang turut ditangkap pada himpunan aman Bersih 2.0 yang diadakan di ibu negara, Sabtu lepas.

Selain beliau, timbalannya, Mohamad Sabu dan dua naib presiden, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub turut ditangkap.

Jelasnya, demokrasi adalah hak rakyat untuk menjadi hakim yang adil.

Katanya, rakyat mestilah diberi peluang untuk mendapatkan maklumat daripada semua parti yang bertanding, bukan hanya maklumat dari satu parti yang memerintah dan sedang memerintah sahaja sedangkan parti yang tidak memerintah mereka tidak mendapat maklumat.

“Dan kita mesti sedar, bagi orang Islam kerajaan yang sempurna hanya kerajaan Allah SWT sahaja,” ujarnya.

Katanya, kerajaan manusia tidak sempurna dan mereka perlu ditegur dan dibaiki kerana demokrasi adalah peluang untuk rakyat mengajar parti yang memerintah yang melakukan kesilapan.

“Rakyat mesti tahu apa kesilapan dan apa kesalahan, jangan ditutup dan apa yang berlaku hari ini tv, radio, surat khabar yang disebar meluas semuanya memuji kerajaan yang memerintah, kerajaan Barisan Nasional, menutup segala kesalahannya, seolah-olah sempurna macam Tuhan.

“Ini satu ajaran salah yang sangat besar,” tegasnya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada para peserta himpunan aman Bersih 2.0 daripada pelbagai kaum. Melayu Islam, Cina, India dan lain-lain berarak sama. “Kita arah jangan lakukan kekasaran. Kita tidak mahu berlawan dengan polis, tidak mahu berlawan dengan pasukan keselamatan. Kita tahu yang jadi ‘kepala halian’ ialah Umno-Barisan Nasional.

“Alhamdulillah, pemuda-pemuda kita dari semua kaum ikut arahan,” katanya.

Tambahnya, walaupun kerajaan Umno BN menyekat dari segenap penjuru dan ada orang yang diharamkan memasuki Kuala Lumpur tetapi mereka berjaya juga menyertai himpunan.

“Macam mana kita rakyat di negeri ini diharamkan masuk ke dalam negeri kita sendiri. Orang Kuala Lumpur pun diharamkan juga masuk ke Kuala Lumpur. Dia duduk di Kuala Lumpur dah, haram macam mana.

“Alhamdulillah, kita masuk dan kita adakan perhimpunan dengan jumlah yang sangat besar,” ujarnya.


2 Adun BN diperintah keluar dewan
Ismail Hashim

SHAH ALAM, 12 Julai: Akibat tidak tahu peraturan dan tidak mendengar arahan Speaker, Ketua Pembangkang, Satim Diman dan Adun Kuang, Abdul Shukor Idrus diperintah keluar dewan petang ini.

Dalam kes Shukor, hukuman berlaku selepas beliau gagal memahami peraturan dewan yang tidak membenarkan menggunakan nama Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Sultan Selangor untuk mempengaruhi dewan.

Ketika itu, Shukor bangun mengambil bahagian dalam perbahasan usul mengenai Bersih 2.0 yang dikemukakan Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Speaker, Datuk Teng Chang Khim menegur Shukor mengenai ucapan yang mengaitkan dua nama di atas dan enggan duduk bila Speaker menerangkan peraturan dewan.

Malah ketika Teng bercakap, Shukor seakan-akan menjerit mempersoalkan tindakan Speaker yang menghalang beliau.

Lebih parah, beliau mengeluarkan perkataan kurang sopan iaitu Speaker bodoh, semua Adun PR bodoh dan membaling kertas yang dipegangkan.

Melihat kepada keadaan Adun Umno itu yang sudah hilang kawalan minda, Speaker tiada jalan lain melainkan menjatuhkan hukuman terhadap Shukor.

Bermula dengan kesilapan beliau kaitkan nama Agong dan Sultan, kemudian tidak mahu mendengar teguran dan tidak duduk ketika Speaker bercakap, beliau tidak dibenarkan hadiri dewan selama tiga hari bermula hari ini.

Teng menggunakan Peraturan Tetap 44 hukuman tidak boleh hadir dewan selama tiga hari kerana kesalahan di bawah Peraturan Tetap 36 (7).

Dalam sesi pagi, Ketua Pembangkang, Satim Diman juga diperintahkan keluar selama sehari kerana kes sama iaitu degil tidak mendengar arahan Speaker.

Satim hanya sempat duduk tidak sampai dua jam kerana baharu sahaja tiba di dewan pada jam 11 pagi sedangkan dewan bermula jam 10 pagi.

Dalam isu Shukor, Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei bangun meminta Speaker menjatuhkan hukuman lebih berat terhadap Shukor atas sikapnya.

"Saya harap Speaker menjatuhkan hukuman lebih berat terhadap Adun yang bersikap kurang ajar tadi," tegasnya.

Namun Speaker menjawab, selain bertegas menjatuhkan hukuman tiga hari itu, sikap memaafkan orang yang jahil juga perlu dilakukan.

"Kita perlu bertegas mengenakan hukuman terhadapnya namun kita juga wajar mengamalkan sikap kebesaran memaafkan orang yang jahil," tegas Teng.


PAS rakam takziah buat keluarga Raja Aziz
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 12 Julai: PAS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Presiden Majlis Peguam, Raja Aziz Addrusse yang meninggal dunia hari ini akibat barah.

Raja Aziz, 75, meninggal dunia di kediamannya di ibu negara jam 1.20 petang tadi.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyifatkan allahyarham sebagai seorang peguam yang berintegriti dan banyak memberi sumbangan kepada sistem perundangan di Malaysia.

"Saya bagi pihak PAS mengucapkan takziah di atas pemergian beliau yang merupakan seorang peguam yang berintegriti dan banyak memberikan sumbangan kepada sistem perundangan di negara kita," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Allahyarham pernah menerajui Majlis Peguam sebanyak tiga kali iaitu pada 1976-1978, 1988-1989 dan 1992-1993.

Allahyarham juga terkenal kerana mewakili beberapa individu terkenal dalam kes mereka.

Antaranya termasuk kes liwat pertama membabitkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998, kes saman RHB terhadap pengasasnya Tan Sri Rashid Hussein dan mewakili bekas Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra dalam petisyen ketiga yang difailkan baginda bagi mencabar keperlembagaan pemasyhuran anakanda sulungnya sebagai Sultan.

Jenazah allahyarham kini ditempatkan di kediamannya di Bukit Kenny dan dijadual dikebumikan di tanah perkuburan Islam Bukit Kiara selepas disolatkan.

Kekerasan: Pemuda PAS serah memo pada Suhakam
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 12 Julai: Dewan Pemuda PAS Malaysia hari ini telah menyerahkan memorandum khas kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung tindakan penggunaan kekerasan tidak munasabah pihak polis dalam menangani perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur 9 Julai lalu.

Memorandum tersebut diserahkan sekitar jam 3.30 petang tadi oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasruddin Hassan dan diterima oleh Naib Pengerusi Suhakam, Prof Datuk Dr Khaw Lake Tee bersama Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sha'ani Abdullah di ibu pejabat Suhakam, di sini.

Selain mendedahkan kekerasan polis, Nasruddin yang ditemani 8 orang pegawai Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia dalam memorandum itu turut mendedahkan tindakan penafian akses peguam oleh pihak polis terhadap para tahanan himpunan itu.

Dalam memorandum yang dibacakan oleh Pengarah Juham, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia sehubungan itu meminta Suhakam menubuhkan satu Panel Penyiasat seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 12(1) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1991.

Penubuhan panel itu bertujuan untuk menyiasat penggunaan kekerasan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), layanan buruk terhadap tahanan dan penafian akses kepada peguam semasa dalam tahanan.

Menurut Ahmad Zamri, selain itu, Suhakam diminta mengisytiharkan bahawa tindakan PDRM itu adalah menyalahi peruntukan undang-undang negara dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Suhakam diminta mengarahkan PDRM memohon maaf kepada semua tahanan yang telah dikasari.

"Suhakam diminta mengarahkan PDRM menghormati hak asasi manusia seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Suhakam diminta menasihati dan mengesyorkan kerajaan menubuhkan suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat penyelahgunaan kuasa serta kekerasan oleh PDRM," katanya.



Bersih: PAS jamin bela kakitangan awam, mahasiswa
Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 12 Julai: PAS akan bersama dan memberi perlindungan kepada mana-mana kakitangan awam, mahupun mahasiswa yang dikenakan tindakan tatatertib ekoran menyertai himpunan Bersih pada 9 Julai lalu.

Komitmen itu dinyatakan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar kepada Harakahdaily hari ini.

"Kita akan memberi perlindungan kepada mereka jika dikenakan tindakan, kita tetap bersama mereka," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata PAS kesal dan kecewa dengan sikap kerajaan yang mahu menghukum mereka yang menuntut demokrasi dalam negara diperbetulkan.

"Sepatutnya mereka perbetul apa yang seperti dituntut Bersih, bukan mengambil tindakan terhadap rakyat yang mahu perbetul demokrasi yang sudah tempang ini," tegasnya.

Jika dibuat, tindakan itu juga jelasnya bertentangan dengan titah Yang DiPertuan Agong yang mahu kerajaan bertindak secara adil terhadap rakyat.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Abu Bakar Abdullah hari ini berkata kakitangan awam mahupun pelajar tajaan JPA yang didapati menyertai perhimpunan haram Bersih kelmarin akan dikenakan tindakan sewajarnya mengikut peruntukan bahagian masing-masing.

Beliau berkata pihaknya sentiasa memantau penglibatan golongan itu pada perhimpunan tersebut dan masih menunggu laporan daripada pihak polis sebelum menggerakkan langkah seterusnya.

Baju Bersih: 2 lagi pemimpin PAS ditangkap
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 Julai: Dua orang pemimpin PAS kawasan di Johor hari ini ditahan polis kerana memakai baju kunig bercetak "Bersih 2.0".

Kedua-duanya adalah Yang DiPertua PAS Johor Bharu Rosli Kemim dan Naib Yang DiPertua PAS Pulai Zaaba Ibrahim.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 12.30 tengahari ketika mereka sedang mengadakan sidang media bersama pemimpin PAS negeri itu selepas membuat laporan polis berhubung dakwaan keganasan pihak berkuasa pada perhimpunan Bersih, 9 Julai lalu.

Sidang media tersebut diketuai Pesuruhjaya PAS Negeri, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad diadakan di sebuah kedai makan di depan balai polis Sentral JB.

Turut serta pada sidang media itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Mazlan Aliman dan Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kayat.

Ketika dihubungi Harakahdaily Mazlan memberitahu empat anggota polis datang menarik mereka ketika sidang media sedang berjalan dan terus dibawa ke balai.

"Habis sidang media kami terus ke balai. Kami tanya atas isu apa mereka ditahan sedangkan himpunan Bersih 2.0 sudah lepas.

"Tiba tiba ketua balai jawab, belaum ada arahan yang membatalkan arahan sebelum ini untuk menangkap mereka yang memakai baju Bersih," katanya.

Penangkapan itu dibuat dalam keadaan himpunan Bersih 2.0 yang didakwa kerajaan sebagai "mengancam keselamatan negara" berlangsung aman tiga hari lalu.

Mazalan yang juga anggota jawatankuasa PAS pusat turut menyelar penangkapan terbaru itu dengan mendakwa polis langsung tidak menggunakan budi bicara.

"Kalau kita ni saling hormat, boleh bertoleransi, apa salahnya tunggu kami selesai sidang media dulu...depan wartawan tu.

"Dan kalau betul pun tak dibenar pakai, boleh sahaja suruh mereka baju, tak perlu la tangkap," katanya.

Sehingga kini katanya, kedua-dua yang ditahan belum dibebaskan.

Bagaimanapun, peguam dan ahli keluarga masing-masing telah dimaklumkan.

Difahamkan, 20 penyokong kini berkumpul di luar balai bagi menuntut pembebasan kedua-dua pemimpin mereka itu dengan segera.


Kuning setiap Sabtu

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 12 Julai: PAS mendakwa pihak polis terlebih dahulu didoktrin soal perkauman berdasarkan corak tangkapan yang dilakukan pada perhimpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) berkata, media milik Umno BN dari awal lagi memainkan peranan menggambarkan seolah-olah wujud sentimen perkauman di sebalik penganjuran perhimpunan ini.

"Peringatan kepada media, jangan api-apikan soal perkauman, soal kononnya DAP memperalatkan orang itu, orang itu memperalatkan orang ini, dan sebagainya.

"Kita nampak corak penangkapan pihak polis pun telah didoktrinkan soal perkauman. Sebab itulah pempimpin DAP tidak ditangkap walaupun depan mata polis.

"Ini nak menunjukkan yang ditangkap ini pemimpin PAS, PKR, dan kami menjadi alat kepada DAP dan orang lain, dan nak menggambarkan DAP memperalatkan PAS dan seagainya dan ini dimainkan dalam televisyen," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai perhimpunan yang berakhir dengan 1,667 tangkapan termasuk 10 pemimpin parti politik itu, beliau menyatakan rasa kesal dengan sikap polis yang menjaga kepentingan Umno BN, bukan menjaga keamanan dan keselamatan orang awam.

"Polis bukan jaga keselamatan rakyat tapi jaga Umno BN, mereka lebih bersifat agen kepada Umno.

"Polis hendaklah jaga keselamatan rakyat, bukan keselamatan Umno. Kalau Umno jatuh polis tak jatuh. Mereka tetap berkhidmat di bawah pemerintah baru tapi kalau polis dilihat jaga Umno, bila Umno jatuh, dengan ketua polis jatuh sekali," tegasnya.

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Baharuddin Ahmad yang meninggal akibat menjadi mangsa kekejaman polis, beliau menyifatkan ianya sebagai korban awal dalam tuntutan demokrasi di Malaysia.

"Ini korban awal dalam tuntutan demokrasi dan kita harap tak ada korban lagi selepas ini. Semua pihak perlu belajar termasuk PDRM sendiri," ujarnya yang turut mengalami kecederaan di lutut selepas jatuh daripada motosikal akibat dilanggar dengan land rover polis.

Beliau terpaksa menjalani pembedahan Jumat ini kerana ligamennya koyak dan membatlakna segala program terdekat.

Sementara itu, beliau sekali lagi mengulangi pendirian PAS untuk meminta Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan sekali lagi jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR0) tidak memenuhi lapan tuntutan mereka dalam masa terdekat.

Bersih 2.0: Ramai kesal tindakan polis
Khaulah Azwar

KUALA LUMPUR, 12 Julai: Kejayaan himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu telah mencatat sejarah baru buat seluruh rakyat Malaysia yang mencintai keamanan dan inginkan keadilan sistem pilihan raya.

Biarpun berdepan sekatan dan halangan pihak polis sejak tarikh perhimpunan diumumkan, kehadiran puluhan ribu rakyat pelbagai bangsa khususnya golongan muda membuktikan rakyat Malaysia benar-benar mahukan perubahan.

Berikut antara pendapat orang ramai yang sempat ditemubual dalam himpunan Bersih Sabtu lalu.

Mazni Osman- Klang

"Saya begitu kesal dengan tindakan polis yang keterlaluan. Sebelum tiga hari himpunan diadakan kita lihat jalan banyak disekat. Kebanyakkan kenderaan dibuat pemeriksaan oleh polis. Saya rasa negara kita yang sudah mencapai 52 tahun kemerdekaan ini seolah-olah kembali kepada zaman Jepun.

"Polis menangkap rakyat yang tidak bersalah seperti hanya membeli dan memakai baju kuning, bahkan pihak penganjur juga telah berusaha untuk meminta kelulusan permit tidak diberi. Perbincangan telah diadakan berulang kali namun tidak mendapat kerjasama dengan baik. Sikap mereka ini membuatkan rakyat terutamanya belia yang semakin matang berfikir tahu sama ada mahu menyokong BN atau ingin menyokong Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya akan datang."

Mohd Ismi Mat Taib- Perak

"Pada pandangan saya, rakyat Malaysia yang menentang himpunan ini seharusnya kena faham mengapa kita semua berada di Kuala Lumpur. Ini semua adalah untuk masa depan anak cucu kita juga.Sistem demokrasi Negara kita semakin tenat dan memenatkan semua pihak untuk memulihkannya kembali. Rakyat seharusnya fikir untuk jangka masa panjang bukan untuk masa pendek.

“Kita juga merasa sungguh kesal dan kecewa dengan tindakan polis yang berat sebelah. Mengapa himpunan Bersih 2.0 yang diadakan begitu aman telah diprovokasikan oleh media dan polis?. Mengapa hanya penyokong himpunan Bersih 2.0 sahaja di beri tekanan yang hebat? Rakyat ditangkap, disepak dilayan dengan buruk sekali tetapi mengapa himpunan Patriot yang dibawa oleh pemuda Umno tidak di tangkap seperti kami dikenakan tindakan.

"Mengapa rakyat yang tidak bersalah untuk berhimpunan dan tidak memakai baju Bersih 2.0 hanya menyimpan dalam beg ditangkap? Polis benar-benar tidak tulus menjalankan tugas. Adakah mereka diberi rasuah oleh pihak kerajaan sehingga melaksanakan tugas yang sedemikian rupa?”.

Umi Syazariah Meor Hashim- Johor

"Saya rasa tindakan yang diambil oleh kerajaan dengan mengarah semua pihak polis menangkap peserta himpunan Bersih 2.0 adalah satu kesalahan besar. Kerajaan menggunakan kuasa BN mereka yang keterlaluan sehingga rakyat tidak diberi peluang untuk berhimpun secara aman.

"Sebagai pimpinan mereka seharusnya menerima pandangan rakyat bukan menolaknya bulat-bulat. Tetapi fenomena hari ini PM telah menunjukkan sifat munafiknya kerana gagal melunaskan janji untuk menyediakan stadium kepada rakyat. Apakah salahnya mereka memberi kelulusan dalam himpunan Bersih ini yang sudah jelas termaktub hanya menuntut pilihanraya yang tulus dan adil bukan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

"Ini menunjukkan Umno serta pihak polis yang memberi kerjasama sepenuhnya kepada BN boleh dikatakan seperti takut dengan kebangkitan rakyat terutamanya apabila melihat generasi muda yang hadir pada hari ini ramai berhimpun untuk menuntut pilihanraya yang tulus."

Roginy Ponnampalam- membuka perniagaannya di KTM Kuala Lumpur pada hari himpunan Bersih.

“Setiap hari saya membuka kedai disini waktu yang sama kira-kira 6 pagi tetapi begitu sukar untuk mendapat keuntungan yang besar. Hari ini sehingga 8 pagi, saya telah mencapai keuntungan kira-kira RM 600. Kalau nak dibandingkan hari biasa bukan semudah itu untuk mendapat keuntungan dalam RM100 sehingga jam 8 pagi. Saya yakin peniaga-peniaga samada mini market dan kedai makan juga mengalami keuntungan yang besar. Seperti di kedai makan di sebelah, orang ramai sentiasa keluar masuk untuk sarapan pagi. Kebiasaannya kedai mereka juga tidak seramai begini.

"Berbagai bangsa dan rakyat yang hadir pagi ini membuatkan saya tidak menang tangan melayan pelanggan untuk mereka membeli belah disini. Jualan air, roti, kad prabayar, akhbar begitu laris sekali. Saya tidak nampak rakyat yang hadir di sini membuat kekecohan tetapi saya menjadi hairan mengapa polis begitu ramai menjaga kawasan ini”.

"Kalau tak ada apa-apa menjelang pilihan raya akan datang, PAS akan mencadangkan kepada Bersih untuk membuat himpunan sekali lagi.

"Lapan tuntutan kita mesti dipenuhi. Selepas itu kalau BN nak menang, menanglah sebab kami tak ada masalah menerima kekalahan cuma yang kami tidak mahu ketidakadilan dan berlaku penipuan (dalam pilihan raya)," katanya.

Selain itu turut dicadangkan kepada Bersih 2.0 agar menjadikan hari Sabtu sebagai hari berpakaian kuning sebagai tanda tuntutan mereka terus diperjuangkan.

"PAS akan cadang kepada Bersih supaya dijadikan hari Sabtu hari memakai pakaian Bersih dan kuning untuk menyatakan perjuangan berterusan untuk mendapatkan pilihan raya adil dan bersih," katanya.

Tuntut penjelasan BN

Sementara itu, ahli jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad yang menerima enam jahitan di kepala akibat terkena kelonsong peluru gas pemedih mata meminta BN menyatakan pendirian mereka mengenai tindakan kasar ini.

"Kita minta BN jelaskan negara ini negara demokrasi atau negara komunis?

"Kalau nak memerintah secara komunis yang memerintah dari awal hingga akhir, bagitaulah pada semua orang, pilihan raya ini hanya main-main tapi hakikatnya apa yang dikehendaki BN memerintah selama-lamanya," katanya yang juga ahli Parlimen Shah Alam.

Seorang lagi AJK Pas Pusat, dr. Dzulkifly Ahmad pula berkata, jika kerajaan tidak menakut-nakutkan rakyat khususnya peniaga, ramai peniaga yang akan mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

"Apa yang kita tuntut apabila Bersih menganjurkan perhimpunan aman ia mesti dikendalikan oleh polis yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan bukan mengambil ruang untuk mengganas dengan arahan menteri.

"Kalau 100 ribu yang berhimpun dan aman perhimpunan itu dikendalikan oleh polis, katakan setiap seorang berbelanja RM100 ringgit sahaja untuk menginap dan makan minum tanpa membeli belah, sudah ada RM10 juta yang mereka bawa ini sudah tentu menambahkan KDNK untuk peniaga-peniaga sekitar Kuala Lumpur," jelasnya.


P'raya: Bersih desak tubuh Suruhanjaya Diraja
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 Julai: Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih 2.0) mendesak supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan segera bagi meneliti secara keseluruhan sistem pilihan raya di negara ini.

Pengerusinya, Datuk Ambiga Sreenevasan, berkata suruhanjaya itu seharusnya dianggotai oleh mereka yang mendapat kepercayaan rakyat.

"Usaha Bersih 2.0 tetap diteruskan, kami percaya langkah terbaik untuk terus maju adalah dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja, yang mana ahli-ahlinya dipilih dan diterima oleh rakyat.

"Apa yang penting suruhanjaya ini perlu ditubuhkan sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-13," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Dalam pada itu, mereka juga menyeru supaya pindaan ke atas proses pilihanraya yang telah dicadangkan oleh Suruhanjaya Piliharaya (SPR) kepada pihak kerajaan yang tidak diluluskan harus diumumkan kpeada orang ramai.

Merka juga mahu mengadakan dialog umum dengan SPR berkenaan dengan tuntutan-tuntutan Bersih 2.0.

Kuning setiap Sabtu


Sementara itu beliau turut memberitahu, Bersih juga telah menetapkan untuk berpakaian kuning pada setiap hari Sabtu sebagai simbol meneruskan sokongan kepada laman tuntutan reformasi pilihan raya kepada SPR.

Sehubungan itu, seluruh rakyat Malaysia yang cintakan sistem pilihan raya yang adil, memakai sesuatu tanda kuning sebagai tanda sokongan.

"Selagi tiada apa-apa perubahan dibuat, kita mengajak rakyat untuk berpakaian kuning setiap Sabtu.

"Tidak kira ia baju atau apa sahaja," katanya.

Pada sidang media yang turut disertai Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said itu, Bersih katanya sekali lagi merakamkan setinggi penghargaan kepada rakyat di atas keberanian dan sokongan padu demi demokrasi dan pilihan raya yang bebas dan adil yang ditunjukkan pada 9 Julai 2011.

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Allayarham Baharuddin Ahmad, Ambiga berkata Baharuddin selamanya akan dekat di hati rakyat sebagai wira yang sanggup menggadai nyawanya demi perjuangan ini.

"Rasa kesal juga turut dipanjangkan kepada keenam-enam ketua Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang masih ditahan di bawah Ordinan Darurat.

"Berdasarkan laporan yang kami terima, layanan yang diberikan kepada mereka semasa berada dalam tahanan amatlah membimbangkan. Kami menyeru supaya mereka dibebaskan segera tanpa syarat,"katanya.


Bersih 2.0: Amnesty mahu British beri tekanan kepada Najib
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 Julai: Kerajaan United Kingdom perlu memberi tekanan kepada Perdana Menteri Malaysia ketika dalam lawatan minggu ini, ekoran tindakan ganas polis menangkap dan menyuraikan peserta himpunan aman di Kuala Lumpur pada hujung minggu yang lalu sehingga 1667 ditangkap, kata Amnesty International.

"Kerajaan Perdana Menteri Najib telah mengasari puluhan ribuan rakyat yang hanya menjalankan tanggungjawab mereka dalam demonstrasi aman tersebut,’ kata Timbalan Pengarah Asia-Pasifik di Amnesty International, Donna Guest.

‘Penindasan dan keganasan yang dilakukan oleh pihak Polis DiRaja Malaysia adalah bertentangan dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa dan tidak harus dibiarkan berterusan sama sekali. Mana-mana demonstrasi aman di masa depan harus dibenarkan dan dihormati oleh pihak berkuasa," tambahnya.

Dalam satu kenyatan hari ini, mereka berkata polis menahan penunjuk perasaan aman, melepaskan gas pemedih mata terus ke arah penunjuk perasaan dan kompaun hospital pada 9 Julai yang lalu, dalam percubaan untuk menghentikan perhimpunan reformasi pilihan raya yang dikenali sebagai Bersih 2.0 daripada berkumpul di sebuah stadium di ibu kota.

Salah seorang peserta perhimpunan aman tersebut, Baharuddin Ahmad, 56 tahun, terjatuh dan terus tidak sedarkan diri setelah terkena gas pemedih mata berhampiran bangunan pencakar langit Petronas, kemudiannya diisytiharkan meninggal dunia setelah tiba di hospital.

Ekoran itu juga mereka menggesa pihak berkuasa Malaysia untuk menyiasat dakwaan bahawa polis gagal untuk memberi bantuan segera kepada Baharuddin Ahmad sebelum kematiannya, ini termasuk juga laporan bahawa ambulans tiba hanya satu jam setengah selepas beliau rebah.

Ujarnya lagi, ramai penunjuk perasaan telah dipukul oleh polis dan pegawai-pegawai Unit Simpanan Persekutuan (FRU), satu pasukan khas yang digunakan untuk menghalang perhimpunan awam besar-besaran. Salah satu video Youtube menunjukkan pegawai polis berpakaian preman menendang penunjuk perasaan yang terbaring, manakala polis berpakaian seragam hanya berdiri memerhati.

Polis juga jelasnya telah melepaskan gas pemedih mata terus di penunjuk perasaan, termasuk ahli-ahli pembangkang parlimen.

Selain Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen PAS, Khalid Samad turut menerima enam jahitan di kepala selepas peluru gas dilepaskan terkena beliau, manakala seorang pengawal peribadi Anwar juga cedera.

Gas pemedih mata turut dilepaskan ke arah sebuah hospital di mana penunjuk perasaan telahpun berundur ketika itu, meletakkan kesihatan pesakit di dalam risiko. Perbuatan ini telah dinafikan oleh pihak polis Malaysia.

’Kerajaan British tidak perlu membentang permaidani merah untuk Perdana Menteri Malaysia di atas kekejaman ini,’ kata Donna Guest.

’David Cameron perlu memberitahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib bahawa pencabulan hak asasi manusia terhadap penunjuk perasaan aman tidak boleh diterima.’

"Amnesty International juga menyeru Vatican menekan Najib untuk menghormati hak asasi manusia apabila pemimpin Malaysia melawat Rome hujung minggu ini," tegasnya.


Tiada ulasan: