Jumaat, 15 Julai 2011

BILA BERTINDAK IKUT EMOSI...IKUT KEFAHAMAN...IKUT HATI...IKUT RASA..TIADA BERPANDUKAN ISLAM...MUSIBAH TANGGUNG SENDIRI LAH..ALLAH MENYEBELAHI YG BENAR

Bersih: Yayasan T'ganu jangan main politik kotor
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 15 Julai: Yayasan Terengganu (YT) diminta menyiasat secara terperinci terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan ke atas pelajar tajaannya yang turut menyertai perhimpunan di Kaherah, Mesir untuk bersama-sama menyokong rakyat Malaysia menjayakan perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

Setelah siasatan dijalankan, YT perlu memaklumkan kesalahan pelajar terbabit kepada orang ramai dan bentuk tindakan yang akan dikenakan kepadanya sebelum tindakan dikenakan.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut (gambar) menjelaskan, langkah tersebut perlu dilakukan oleh YT, memandangkan pelajar tersebut hanya hendak dikenakan tindakan disebabkan menyertai perhimpunan di Kaherah bagi menyokong perhimpunan tersebut.

Menurut beliau, sedangkan tindakan yang dilakukan oleh pelajar terbabit bukanlah satu kesalahan, malah ia turut dilakukan oleh pelajar-pelajar lain di 24 buah negara di seluruh dunia pada 9 Julai lalu.

Katanya, mengadakan perhimpunan untuk menyuarakan sesuatu pandangan bukanlah satu kesalahan dan setiap pihak tidak wajar bertindak ke atas sesiapapun jika hanya disebabkan individu terbabit menyertai sesuatu perhimpunan.

"Jadi dalam hal ini, YT perlu bertindak secara profesional. Janganlah terbawa-bawa sangat dengan permainan politik kotor sehingga boleh merugikan orang lain," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan YT semalam yang mahu mengambil tindakan ke atas seorang pelajar dari Terengganu yang sedang menuntut di Universiti Al-Azhar kerana menyertai perhimpunan di Kaherah bersama pelajar-pelajar lain bagi menyokong perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

Selain di Kaherah, Mesir, rakyat Malaysia di 24 buah negara lain di seluruh dunia turut mengadakan perhimpunan dengan kelompak mereka tersendiri pada hari yang sama bagi menyokong langkah Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan itu.

Di antara mereka yang menyertai perhimpunan aman di luar negara itu ada yang turut memakai baju kuning, manakala perhimpunan tersebut diadakan dengan aman serta turut mendapat kebenaran dan kerjasama kerajaan-kerajaan negara terbabit.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Mohd Abdul Wahid berkata, jika hendak bertindak ke atas seseorang, YT perlu memastikan individu terbabit benar-benar melakukan kesalahan, bukannya hanya disebabkan seseorang itu menyertai perhimpunan bagi menyokong perhimpunan aman Bersih 2.0.

"Sekiranya tindakan yang hendak diambil ke atas pelajar itu disebabkan beliau memakai baju kuning pada hari itu, ia tentunya amat melucukan kerana memakai baju kuning bukanlah satu kesalahan dari sisi undang-undang sama ada di negara kita dan di mana-mana tempat sekalipun di dunia ini," katanya yang juga Adun Wakaf Mempelam.

Tambahan pula setahu beliau, para pelajar dan rakyat Malaysia di luar negara tidak terikat terhadap sebarang undang-undang rimba Malaysia terutama Seksyen 27 Akta Polis seperti di Malaysia yang melarang lebih 5 orang berkumpul tanpa permit.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, perkara itu amat berbeza dengan tindakan yang dilakukan oleh seorang pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) baru-baru ini yang jelas menghina Yang di-Pertuan Agong dalam laman webnya.

"Kepada pelajar itu memang patutlah dikenakan tindakan kerana beliau ternyata melakukan satu kesalahan. Itu pun tidak boleh diambil tindakan dengan sewenang-wenengnya tetapi mestilah disiasat dengan terperinci terlebih dahulu. Jika sudah terbukti pelajar itu melakukan kesalahan barulah boleh dikenakan tindakan," tegasnya.

Manakala ke atas pelajar dari Terengganu yang sedang menuntut di Universiti Al-Azhar yang menyertai perhimpunan itu, beliau menasihatkan YT agar melakukan siasatan terperinci sebelum mengenakan tindakan terhadapnya, dengan turut memahami undang-undang dan peraturan di negara kita dan di negara berkenaan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan, PAS Terengganu akan mengadakan majlis meraikan rakyat Terengganu yang ditangkap oleh pihak polis dalam perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

Majlis tersebut akan diadakan di perkarangan Masjid Rusila, Marang selepas solat Isyak malam ini, manakala jumlah mereka yang akan diraikan itu pula seramai lebih 200 orang.

Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalannya, Mohamad Sabu dan dua orang Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub turut terlibat dalam majlis itu.

"Mereka yang diraikan itu akan dipersilakan naik ke pentas. Selepas itu, majlis akan dilangsung dengan ceramah yang akan disampaikan oleh Tuan Guru Abdul Hadi, Mohamad Sabu, Datuk Mahfuz dan Salahuddin Ayub," katanya.

Bagaimanapun, hari ini, Mohamad Sabu yang mengalami kecederaan lutut dan kaki akibat motorsikal yang ditumpanginya sengaja dilanggar oleh pihak polis dalam perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu, sedang menjalani pembedahan di sebuah hospital di Petaling Jaya.

"Sekiranya Mohamad Sabu tidak dapat hadir, ceramah beliau itu akan diadakan juga dengan penayangan video yang membabitkan beliau untuk ditonton oleh orang ramai," jelas beliau.


'Terima kasih PM sebab tak bunuh kami'
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 15 Julai: Dengan nada sinis, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad mahu rakyat khususnya mangsa keganasan polis semasa himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu berterima kasih kepada Datuk Seri Najib Razak.

Gesaan itu katanya kerana Perdana Menteri Malaysia itu mendakwa pihak polis menggunakan tindakan agak "ringan" terhadap peserta himpunan aman itu.

"Seharusnya rakyat berterima kasih dan sayang kepada Najib sebab dia tak bunuh peserta himpunan hari tu," katanya kepada Harakahdaily sambil ketawa terbahak-bahak.

Najib ketika ditemubual CNN di Britain semalam dilaporkan berkata, pihak polis menggunakan tindakan yang sewajarnya dalam usaha menyuraikan perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara Sabtu lalu.

Katanya tindakan polis agak ringan kerana tahanan dibebaskan selepas lapan jam dan mereka dilayan dengan baik.

Beliau juga mendakwa tiada penggunaan tindakan yang tidak wajar oleh polis dan penunjuk perasaan disuraikan dengan menggunakan pasukan yang minumum.

Sambil mendakwa kenyataan Najib itu sebagai kelakar, Khalid yang turut menerima 6 jahitan di kepala akibat terkena kelongsong peluru gas pemedih mata pada hari himpunan tersebut mendakwa itulah wajah sebenar autokrat pemimpin nombor satu negara ini.

"Itulah minda autokrat perdana menteri kita. Kita tidak boleh salahkan dia.

"Saya yakin dia tak rasa dia menipu, dan tak rasa bersalah pun (mengeluarkan kenyataan sedemikian), walaupun seluruh dunia sudah melihat rakaman video dan gambar keganasan polis dalam internet," katanya yang juga AJK PAS Pusat.

Pada himpunan yang dianggarkan lebih 50,000 orang pada 9 Julai lalu di ibu negara itu, sejumlah 1,667 ditahan oleh pihak polis dan kemudiannya dibebaskan selepas diambil keterangan pada hari yang sama.

Ianya termasuk jawatankuasa penganjur, pemimpin Pakatan Rakyat dan orang ramai yang menyertai himpunan itu.

Selain Khalid, turut cedera ketika mengelak terkena kelongsong peluru gas pemedih mata adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala pengawal peribadinya, Fayad Al-Bakri patah tulang pipi dan terpaksa menjalani pembedahan.

Lebih mendukacitakan, seorang peserta turut meninggal dunia selepas sesak nafas terhidu gas pemedih mata yang dilepaskan oleh pihak polis.

Polis bagaimanapun menafikan kematian itu ada kaitan dengan tindakan polis melepaskan gas pemedih mata tersebut.

Dalam beberapa aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) juga, ada peserta mendakwa polis menendang dan memukulnya sebelum ditangkap.

Suhakam yang juga menghantar pasukan pemantau pada hari himpunan tersebut juga mengakui, polis menggunakan kekerasan sewaktu menyuraikan peserta himpunan.

Beberapa bukti kekasan dan keganasan polis itu juga kini sedang tersebar dai internet khususnya di Youtube.

Dan terbaru dalam temubual bersama Malaysiakini, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said menyifatkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri yang "memang kejam" berbanding dengan beberapa perdana menteri sebelum ini.

Beliau merujuk kepada "kebengisan" polis dalam menangani perhimpunan Sabtu lalu itu dan mendakwa pentadbiran Najib sekarang mengarah kepada menjadikan Malaysia negara kuku besi.

A Samad berkata, perkara itu boleh dilihat melalui rakaman video dan gambar di internet yang mana kerajaan "berantakan dengan orang awam".

"Youtube siarkan, kita boleh lihat semua dan (dia) tak boleh tipu. Cuma, malangnya dalam akhbar-akhbar (dan) media utama, sudah tentu kamu nampak berat sebelah," katanya yang mesra dengan panggilan Pak Samad.

"Tapi kalau (di) Youtube, tak boleh tipu. Kamu kata tidak jentik-jentik, (itu) pun nampak (di Youtube). Kamu kata tidak ada orang yang dipijak, (tetapi ada) yang ditendang berulang kali," katanya.


Bersih: Tiada alasan BN tolak kekerasan polis
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 15 Julai: Kerajaan BN tidak mempunyai alasan untuk menolak dakwaan-dakwaan penggunaan kekerasan melampau pihak polis ketika menangani perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu kerana kesemua dakwaan itu mempunyai bukti nyata.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan (gambar) berkata, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu cedera di lutut dan kaki, Khalid Samad cedera di kepala, Datuk Seri Anwar Ibrahim luka di muka.

Manakala Peserta-peserta lain dalam jumlah yang cukup besar, ada yang mengalami kecedaraan lain, patah kaki, patah gigi, ada yang mengalami luka-luka, kesakitan badan, ditendang di badan, kaki, muka, ada yang sesak nafas dan pelbagai kejadian tidak diingini lain.

"Kesemua itu terjadi disebabkan penggunaan kekerasan melampau pihak polis ketika menangani perhimpunan aman itu dan kerajaan mesti bertanggungjawab dengan kesemua kejadian itu," katanya ketika ditemui di sini.

Kesemua kejadian itu, menurut beliau bukanlah dakwaan kosong, tetapi mempunyai bukti kukuh yang bukan sekadar boleh diketahui menerusi laporan media, tetapi turut dirakam dalam bentuk bergambar dan visual.

"Kerajaan tidak boleh menolak lagi bukti-bukti itu kerana ia boleh diperlihatkan oleh pihak Bersih 2.0, PAS dan Pakatan Rakyat pada bila-bila masa yang diperlukan," ujarnya.

Perhimpunan aman Bersih 2.0 yang diadakan pada 9 Julai lalu anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), tegasnya, hasil gabungan tidak kurang 60 NGO dan ia sememangnya perhimpunan aman.

"Kesemua peserta tidak membawa sebarang senjata. Semuanya datang hanya untuk satu tujuan, iaitu berhimpun secara aman untuk bersama-sama mendesak kerajaan melaksanakan pilihanraya dengan bersih dan adil di negara kita," katanya.

Perhimpunan yang diadakan itu tidak bersalahan dari sisi undang-undang, malah selaras dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan serta turut mendapat keizinan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang membenarkan Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan aman di Stadium Merdeka.

Namun beliau hairan apabila Kerajaan BN menangani perhimpunan itu dengan tidak sepatutnya, sehingga pihak polis sanggup bertindak dengan penggunaan kekerasan melampau terhadap para pesertanya.

"Polis mengambil tindakan bertempur dengan rakyat. Rakyat terpaksa berhadapan dengan polis yang lengkap dengan senjata dengan pelbagai kepayahan. Cara kerajaan menangani perhimpunan itu seperti kami ini komunis.

"Patutkah kerajaan bertindak sedemikian terhadap rakyat yang berhimpun secara aman untuk menyampaikan mesej yang murni kepada kerajaan demi kepentingan negara?" katanya.

Akibat tindakan yang melampau itu, kerajaan BN kini ternyata menempah aibnya sendiri di mata dunia. Manakala segala kesulitan dan kecederaan dan penderitaan yang ditanggung oleh rakyat tidak akan dibiarkan begitu sahaja oleh rakyat.

"Pelbagai tindakan susulan pasti akan diambil. Dewan Pemuda PAS Malaysia sendiri melalui Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) pasti akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan dan kesemua agensi kerajaan yang terbabit.

"KDN dan PDRM perlu memohon maaf secara terbuka kepada para peserta perhimpunan itu terutama kepada mereka yang mengalami kecederaan.

"Tetapi walaupun tindakan permohonan maaf secara terbuka itu dilakukan, kerajaan, KDN, PDRM tetap juga tidak akan terlepas dari tindakan undang-undang daripada kami," tegas beliau.

Hari Kebangkitan Rakyat Wilayah malam esok
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 15 Julai: PAS Wilayah Persekutuan akan mengadakan pelancaran Hari Kebangkitan Rakyat dan ceramah perdana esok (16 Julai) di dataran Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (Kuizm) di Taman Melewar, di sini.

Di antara pimpinan yang akan menghadiri program bermula jam 9.00 malam itu terdiri daripada Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.

Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Nasaie Ismail menjelaskan, Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar akan turut hadir pada program itu.

Menurut beliau, pada majlis itu, PAS Wilayah Persekutuan antara lain akan menampilkan tahanan himpunan aman Bersih.

Katanya, Suhardi yang mengalami kekejangan di hadapan hentian Puduraya dan Ajak, mangsa ftnah akhbar turut bersama.

Kedua-dua mangsa itu akan tampil memberikan penjelasan sebenar mengenai insiden yang menimpa mereka untuk membolehkan orang ramai mengetahui cerita sebenarnya.

Menurutnya, di samping itu, tayangan keganasan BN dalam himpunan 907 Sabtu lalu juga akan diadakan.

Mulut dijahit terkena kelongsong pemedih mata
Mohd Sabri Said

BALIK PULAU, 15 Julai: Roslan Hussain, 41, mengalami keretakan pada tulang dagu, dua batang gigi patah serta terpaksa menerima 20 jahitan di bahagian luar dan dalam mulut akibat terkena kelongsong gas pemedih mata pada himpunan Bersih 2.0.

Ketika kejadian, beliau yang datang secara berkumpulan dari Balik Pulau memasuki kawasan KL Sentral setelah makan di sebuah premis makanan segera di situ.

Selepas menunaikan solat Zohor, lalu beliau keluar bersama kumpulan yang lebih ramai, tiba-tiba polis bertindak menghalau untuk menghalang orang ramai berkumpul.

Katanya, pada masa orang ramai berasak-asak dan ketika itu terasa satu benda keras terkena tepi mulut.

Waktu itu dia hanya rasa kebas sahaja tetapi apabila lepas beberapa minit berlari mengelak daripada kepedihan asap pemedih mata ada orang menegur mulutnya berdarah.

"Semasa kena, saya terasa kebas sahaja manakala di bahagian dada rasa panas. Pada mulanya saya ingatkan batu rupanya pemedih mata. Terbukti pasukan keselamatan menembak paras kepada tidak ke atas seperti mana biasa," terangnya pada Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff dan Yang Dipertua PAS Balik Pulau, Ustaz Fauzi Yusoff serta rakan taulan yang datang menziarahinya.

Menurutnya, dalam keadaan bajunya berlumuran darah dan sakit yang teramat sangat lalu mendapatkan teksi untuk ke Pusat Perubatan Univesiti Malaya.

“Di sana saya melihat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad juga ada beliau menerima enam jarum di bahagian belakang kepala,” katanya.

Setelah kembali ke Balik Pulau beliau terus mendapatkan pemeriksaan di sebuah hospital swasta dan pihak hospital mendapati kecederaan serius di bahagian dagu.

Doktor terpaksa mengikat giginya buat sementara dengan kos RM480 sebelum pembedahan dengan anggaran RM10,000.

Fauzi menyiifatkan itu adalah antara keganasan polis yang menggunakan kekerasan untuk menyuraikan perhimpunan aman Bersih 2.0.

Katanya, mereka bertindak ikut suka hati malahan tiada perikemanusiaan terhadap orang ramai yang menyertai perhimpunan Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil yang datang secara aman.

Yusmadi pula menyarankan Roslan membuat laporan polis segera kerana beliau telah diperlakukan sebegitu rupa sedangkan tidak melawan polis.


Pakatan desak bebaskan segera 6 tahanan EO
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 15 Julai: Pakatan Rakyat hari ini berpeluang melawat salah seorang tahanan di bawah Ordinan Darurat (EO), Dr Jeyakumar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, penasihat DAP, Lim Kit Siang dan naib presiden PKR, Sivarasa Rasiah bertemu dengan Jeyakumar yang juga ahli Parlimen Sungai Siput kira-kira setengah jam.

Pakatan Rakyat mendesak Jeyakumar dibebaskan segera kerana ditahan tanpa pertuduhan yang serius.

Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan tersebut, Salahuddin berkata, berdasarkan cerita Jeyakumar, beliau hanya dikaitkan dengan perhimpunan Bersih 2.0.

"Mengikut beliau (Jeyakumar) sebentar tadi, sepanjang beliau ditahan tidak ada langsung pertuduhan yang serius seperti dakwaan melawan Yang di-Pertuan Agong ataupun apa yang dikatakan memudaratkan keselamatan negara.

"Yang ditekankan ialah isu Bersih, menganjurkan perhimpunan Bersih dan adakah kerana itu beliau ditahan di bawah EO?

"Saya bagi pihak Pakatan Rakyat mendesak supaya kerajaan membebaskan mereka dengan segera kerana ini adalah satu perkara yang tak menepati lunas-lunas kemanusiaan dan perundangan negara," katanya yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian.

Kit Siang pula menegaskan, jika kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sedar bahawa imej mereka telah tercalar di mata dunia keenam-eman tahanan itu mesti dibebaskan segera.

"Kalau kerajaan cerdik dia akan bebaskan Jeyakumar dan aktivis PSM yang lain dengan segera tapi kalau enggan dia telah melakukan kesilapan dan imej negara akan tercemar di mata antarabangsa," katanya yang juga ahli Parlimen Ipoh Timur.

Sementara itu, Sivarasa menyuarakan nada yang sama, mereka dibebaskan dan menyifatkan dakwaan keenam-enam mereka ingin menentang Yang di-Pertuan Agong sebagai tidak masuk akal.

"Saya yakin penahanan ini hanya kerana untuk menggagalkan Bersih.Tak munasabah langdung mereka ditahan atas dakwaan ingin melancarkan perang dan sebagainya kerana kita semua tahu bagaimana Jeyakumar, seorang doktor yang banyak berkhidmat untuk masyarakat.

"Kita harap kerajaan sedar kesilapan ini kerana dunia sedang melihat apa yang berlaku di Malaysia ini yang dianggap sebagai negara polis yang boleh tangkap sesiapa sahaja," katanya yang juga ahali Parlimen Subang.

Enam yang ditahan itu ialah ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. Jeyakumar, M. Saraswathy, M. Sukuraman, A. Letchumanan, Choo Chon Kai dan R. Sarat Babu.

Mereka ditahan pada 25 Jun lalu di Plaza Tol Sungai Dua, Pulau Pinang sewaktu menjalankan kempen parti itu, "Udahlah...Bersaralah" dan dituduh di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan iaitu melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong.


Umno semput terus peralat polis, SPR
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 15 Julai: Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh (gambar) kesal dengan sikap Perdana Menteri yang terus menerus memburukkan usaha murni Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) untuk membawa perubahan kepada sistem pilihanraya yang lebih telus dan bersih.

Menurut beliau, Perdana Menteri bukan sahaja menggunakan media milik kerajaan yang mana rakyat adalah pembayar cukainya bahkan sanggup menggunakan pihak polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk meneruskan survival talian hayat Umno BN yang semakin semput.

Katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, pihak polis secara berterusan memberikan gambaran yang buruk terhadap Bersih manakala SPR pula terus bersahaja seolah-olah tiada apa yang berlaku.

“SPR bukan sahaja bersahaja bahkan langsung tidak melakukan sebarang bentuk perubahan yang diidamkan oleh seluruh rakyat Malaysia,” kata beliau ketika mengulas sikap SPR yang seolah-olah menjadi lidah Umno BN.

Sehubungan itu, katanya Dewan Ulamak PAS mendesak SPR untuk melakukan tindakan segera untuk mewujudkan satu sistem pilihan raya yang adil dan tidak menjadi penghalang kepada perlaksanaan demokrasi yang lebih telus dan adil.

“Dan kita mahu SPR tidak diperalatkan oleh Umno BN untuk mengkhianati amanah rakyat, ini adalah harapan seluruh rakyat Malaysia,” ujar beliau lagi.

Menurutnya, PAS tidak pernah memusuhi polis dan SPR kerana itu adalah jentera kerajaan.

Apa yang dikesali, ujarnya ialah sikap pemimpin Umno BN yang terus memperkudakan jentera kerajaan untuk kepentingan mereka,” katanya.


Bersih 3.0: Dewan Ulamak PAS sokong Nik Aziz

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 15 Julai: Dewan Ulamak PAS Pusat menyokong penuh kenyataan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyatakan sokongan sekiranya Himpunan Bersih 3.0 diadakan pada masa akan datang demi untuk keadilan dalam pilihan raya.

“Kita mahukan supaya SPR bertindak segera untuk memenuhi tuntutan Bersih agar pilihancraya pada masa yang akan datang bersih dari sebarang bentuk penipuan,” kata Ketua penerangannya, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Beliau juga turut menegaskan kekesalan Dewan Ulamak PAS terhadap pemimpin Umno yang menggunakan jawatan mereka dalam kerajaan untuk mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengelirukan tentang Bersih yang memalukan rakyat Malaysia.

Sedangkan, katanya media antarabangsa merakamkan sendiri bagaimana keganasan berlaku di dalam demonstrasi aman di Kuala Lumpur baru-baru ini dan disaksikan oleh seluruh penduduk dunia.

“Apa tidaknya, kenyataan akhbar pemimpin Umno tentang Bersih adalah amat terpesong sehinggakan media antarabangsa menyedari tentang betapa mudahnya pemimpin kita menipu seluruh rakyat Malaysia tentang Bersih, sungguh memalukan rakyat Malaysia khususnya umat Islam negara ini kerana memiliki pemimpin yang berbohong,” ujar beliau lagi.

Menurutnya, Dewan Ulamak PAS kesal kerana Malaysia berada pada tahap yang rendah di mata antarabangsa dek kerana sikap pemimpin Umno yang sanggup melakukan apa sahaja untuk talian hayat mereka.


Er Teck Hwa ditahan sekali lagi
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Julai: Ekoran memakai baju Bersih, Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa (gambar) sekali lagi ditahan polis kira-kira jam 8.30 malam tadi.

Beliau ditahan ketika dalam perjalanan menuju ke program memperingati mendiang Teoh Beng Hock di Muar, Johor dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Muar.

Ketika kejadian, difahamkan Er dan kumpulanya baru sahaja keluar dari Pusat Khidmat DAP Muar menuju ke program itu di mana tiga buah trak FRU sudah pun menunggu di kawasan itu.

Ketika itu, polis membenarkan mereka berjalan ke program itu secara berbaris seorang demi seorang.

Beliau yang memakai t-shirt Bersih bagaimanapun diarah menanggalkannya oleh seorang pegawai polis.

Er bagaimanapun enggan berbuat demikian dan mengenakan t-shirt merah bertulis "Ubah" yang diberi oleh seorang ahli DAP, sekaligus menutupi t-shirt Bersih di dalamnya.

Seorang anggota polis lain bagaimanapun tetap tidak membenarkan Er berbuat demikian.

Dia meminta Er agar menanggalkan baju Bersih tersebut, bagaimanapun ahli parlimen itu enggan dan berlaku sedikit kekecohan.

Akibat dari itu, Er kemudiannya ditahan.

Menurut peguamnya, Er bagaimanapun dibebaskan lewat malam tadi selepas pihak polis mengambil keterangan darinya.

Er Teck Hwa pernah ditahan pada 3 Julai lalu beserta lima ahli parti itu kerana mengedarkan risalah berkenaan himpunan Bersih yang telah diadakan 9 Julai lalu.

Mereka ditahan di Pasar Awam, Taman Sri Tebrau, ketika mengadakan kempen kebersihan gotong-royong sambil mengedarkan risalah antara lain tertera “Membersihkan sampah-sarap negara”

.Kumpulan itu memakai baju-T berwarna kuning dengan perkataan “Negara BERSIH Rakyat Bertuah” serta gambar penyapu dan penyodok.

Turut tertera dalam risalah itu ialah “aktiviti ini tiada kaitan dengan perhimpunan Bersih 2.0 pada 9hb Julai jam 2 petang di KL” dan mengajak orang ramai membersih rumah dengan semua perkataan bersih dicetak dengan huruf besar.

Azhar tuntut keadilan kematian Baharuddin
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 14 Julai: Anak saudara Allahyarham Baharuddin Ahmad, Azhar Kassim, hari ini tampil di ibu pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), di sini, untuk menuntut keadilan di atas kematian bapa saudaranya.

Beliau tampil bersama Jawatankuasa Bersih 2.0, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan beberapa saksi tindakan penggunaan kekerasan tidak munasabah polis lain ketika menyuraikan perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

Ketika membuat pengaduannya, Azhar berkata, kematian Allahyarham amat mengejutkan beliau dan seluruh keluarganya kerana Allahyarham tidak mengalami masalah kronik.

"Dia sihat. Dia tak menghidapi masalah jantung. Dia tak ada penyakit lelah. Dia hanya ada sedikit penyakit darah tinggi tetapi tak kronik. Kematiannya berlaku dengan tiba-tiba. Jadi kematiannya amat memeranjatkan saya dan seluruh keluarganya.

"Allahyarham adalah bekas tentera dan kini menjadi polis simpanan. Beliau bukan orang kaya. Beliau meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak yang masih kecil dan masih bersekolah," katanya.

Sehubungan itu, beliau memohon kepada pihak Suhakam untuk menuntut keadilan dari pihak kerajaan berhubung kematian bapa saudaranya itu.

Allahyarham Baharuddin Ahmad didakwa meninggal dunia disebabkan kekasaran polis dan kegagalan mereka untuk memberikan bantuan perubatan yang sepatutnya dan pada masanya kepada beliau.

Cerita mengenai punca kematian Baharudin mula merebak sebaik sahaja jenazah Allahyarham dikeluarkan dari rumah mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 3 pagi 10 Julai lalu selepas menjalani post mortem.

"Empat tulang dadanya didapati patah manakala tiga batang giginya juga patah," kata Azhar kepada pihak Suhakam yang diwakili oleh Naib Pengerusi Suhakam, Prof Datuk Dr Khaw Lake Tee dan Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sa'ani Abdullah.

Bersih 2.0 dalam kenyataannya 11 Julai lalu mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Baharuddin Ahmad sambil menuntut pihak berkuasa supaya tidak berdalih lagi dengan hakikat bahawa polis telah menggunakan kekerasan yang berat terhadap para peserta Bersih 2.0.

“Ini (kematian Baharuddin) hanyalah salah satu daripada pelbagai tindakan polis pada 9 Julai yang lalu yang mengakibatkan kecederaan teruk," tegas kenyataan itu.

Sementara empat peserta perhimpunan aman itu yang turut membuat pengaduannya masing-masing menceritakan pengalaman traumatik mereka apabila diperlakukan oleh pihak polis dengan tidak sepertinya.

Salah seorang daripada mereka mendakwa seorang anggota polis mengancam untuk membunuhnya ketika menangkapnya, sewaktu beliau sedang berjalan kaki di hadapan Dataran Pahlawan dengan sepupunya pada jam 4.10 petang selepas perhimpunan itu telah bersurai.

Menurutnya, kemudian dia ternampak sekumpulan FRU hendak menyerbu ke arah seorang lelaki muda yang tidak melakukan apa-apa kesalahan tetapi hanya sedang berdiri di atas jalan.

"Saya meminta mereka jangan memukul lelaki itu kerana dia tidak berbuat apa-apa pun. Anggota FRU menyerbu ke arah saya, manakala sepupu saya yang meminta polis jangan memukulnya, turut ditangkap," katanya.

Beliau mendakwa polis menendang dan menumbuknya semasa ditangkap dan mencederakan di bahagian atas dahinya dan di bahagian bawah tangannya.

Pengadu lain termasuk aktivis Sarawak, Hii Tiong Huat yang ditahan sehari sebelum perhimpunan aman itu turut menceritakan tindakan yang tidak sepatutnya yang dilakukan oleh pihak polis terhadap beliau, apabila beliau ditendang dan ditumbuk sesuka hati oleh pihak polis.

Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah yang turut hadir di pejabat Suhakam hari ini bagi menyerahkan memorandum bagi pihak mangsa-mangsa kekerasan polis pada perhimpunan itu, ketika membacanya pengaduannya antara lain turut menyebut kenyataan awal Bersih 2.0 berhubung kes yang membabitkan Allahyarham Baharuddin.

Manakala antara bukti-bukti kes lain pula yang turut disebut oleh beliau termasuk kejadian cederaan lutut Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pada hari perhimpunan itu akibat tindakan kekerasan polis yang melanggar motosikal yang ditumpanginya.

Sejurus selepas itu, Mohamad Sabu turut hadir di pejabat Suhakam dengan berkerusi roda yang terpaksa ditolak oleh pembantunya untuk menceritakan sebahagian pengalaman buruknya pada perhimpunan itu kepada pihak Suhakam.

Gelombang kuning 'kejar' Najib di UK
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Julai: Biarpun dilihat seolah-olah lari dari isu Bersih 2.0 sehingga ke luar negara, kehadiran Datuk Seri Najib Razak di United Kingdom hari ini bagaimanapun tetap 'dikejar' gelombang kuning.

Puluhan penunjuk perasaan yang terdiri daripada rakyat Malaysia dan juga asing berkumpul di Mansion House di London sejam sebelum ketibaan Perdana Menteri Malaysia itu yang dijadual mengadakan pertemuan dengan tokoh perniagaan Britain.

Mereka memakai baju kuning, dan membawa poster serta sepanduk mengutuk tindakan kerajaan Malaysia menangani peserta himpunan Bersih 2.0 di ibu negara 9 Julai lalu yang berhimpun secara aman menuntut pembaharuan dalam sistem pilihan raya.

Dalam tulisan yang terpapar pada sepanduk yang dibawa itu, mereka juga mendesak Najib supaya membebaskan segera enam tahanan Parti Sosialis (PSM) yang dinamakan sebagai "EO6" yang ditahan mengikut Ordinan Darurat.

Daripada gambar-gambar yang disebar di internet, Najib dilihat sempat menoleh ke arah kumpulan penunjuk perasaan itu yang hanya berjarak kira-kira 50 meter dari tempat turun kereta yang dinaikinya.

Sebuah van dan dua anggota polis juga dilihat berkawal di hadapan peserta himpunan itu.

Semalam, Ratu Elizabeth memakai gaun berwarna kuning ketika menerima mengadap Najib dan Rosmah di Istana Buckingham, London.

Setiausaha Pengangkutan Negeri, Philip Hammond bertali leher kuning ketika mengiringi Najib melawat Stesyen Kereta Api London.

Amnesty International sebelum ini mendesak Kerajaan UK agar memberi signal protes terhadap layanan zalim Kerajaan Malaysia kepada peserta perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.


Dewan Ulamak Kesal Kerana Hukum Demontrasi Ditafsir Luar Daripada Konteks Sebenar


Kenyataaan: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat

tn_haruntaib_06Kuala Terengganu, 15 Julai 2011 - Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat , Dato' Tuan Guru Haji Harun Taib menyifatkan bahawa kenyataan muka hadapan utusan yang disiarkan pada hari ini berkenaan hukum demontrasi sebagai pandangan yang dikemukakan di luar konteksnya yang sebenar.

Pandangan pendakwah tersebut sesuai sekiranya dilaksanakan di dalam sebuah negara yang Islam yang melaksanakan undang-undang Islam dengan penuh keadilan. Adapun sekiranya keadaan sebaliknya maka menjadi kewajiban kepada rakyat untuk menjalankan tugasan amar ma'ruf nahi munkar di dalam kerangka syarak. Konsep ini adalah tersangat jelas di dalam Islam sebagai 'check and balance' dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

"Apa yang berlaku di Malaysia sekarang ialah rakyat Malaysia tidak ada pilihan untuk menegur kerajaan, di Parlimen suara kita dibakul sampahkan, bahkan kita telah bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong dan menyuarakan pandangan kita, tapi UMNO masih membisu seribu bahasa seolah-olah tidak ada apa yang berlaku", tegas beliau.

"Hanya ini sahajalah cara untuk menarik perhatian pihak kerajaan, itu pun secara aman, peserta BERSIH tak lakukan keganasan tetapi yang melakukan keganasan ialah pihak kerajaan", tambah beliau lagi.

"Saya menyeru kepada pendakwah tersebut membaca kisah 'Ashabul Ukhdud' yang dinukilkan di dalam sahih Muslim, di mana seorang pemuda telah mengumpulkan orang ramai untuk menyaksikan kezaliman pemerintah di negara tersebut dan akhirnya ramai daripada penduduk negara itu yang beriman kepada Allah Taala setelah melihat apa yang berlaku", ujar beliau yang juga merupakan Adun Manir (PAS).

Beliau merujuk kepada kisah 'Ashabul Ukhdud' (Sahih Imam Muslim):

(Perhatian: Terjemahan ini adalah untuk kefahaman asas , adapun untuk kefahaman yang lebih tepat sila rujuk teks Arab)

Kemudian pemuda itu berkata kepada raja: "Engkau takkan dapat membunuhku kecuali jika engkau menurut perintahku maka dengan itu engkau akan dapat membunuhku", Raja bertanya: "Apakah perintahmu?", Jawab pemuda: "Kau kumpulkan semua orang di suatu lapangan, lalu engkau gantung aku di atas tiang, lalu kau ambil anak panah milikku ini dan kau letakkan di busur panah dan membaca: Bismillahi Rabbil ghulaam (Dengan nama Allah Tuhan pemuda ini), kemudian kau lepaskan anak panah itu, maka dengan itu kau dapat membunuhku", Maka semua usul pemuda itu dilaksanakan oleh raja, dan ketika anak panah telah mengenai pelipis pemuda itu ia mengusap dengan tangannya dan langsung mati, maka semua orang yang hadir berkata: "Aamannaa birrabil ghulaam (Kami beriman kepada Tuhannya pemuda itu)". Sesudah itu ada orang memberitahu kepada raja bahawa semua rakyat telah beriman kepada Tuhan pemuda itu, maka bagaimanakah usaha untuk menghadapi rakyat yang banyak ini. Maka raja memerintah supaya di setiap jalan digali parit dan dinyalakan api, dan tiap orang yang berjalan di sana, dan ditanya tentang agamanya, jika ia tetap setia pada kami biarkan, tetapi jika ia tetap percaya kepada Allah masukkanlah ia ke dalam parit api itu.

Maka adanya orang berbaris-baris, dorong mendorong yang masuk di dalam parit api itu, sehingga tiba seorang wanita yang menggandong (membawa) bayinya yang masih menyusu, ketika bayinya diangkat oleh pengikut-pengikut raja untuk dimasukkan kedalam parit berapi itu, wanita itu hampir menurut mereka berganti agama karena sangat belas kasihan pada anaknya yang masih kecil itu, tiba-tiba anak bayi itu berbicara dengan suara lantang: "Sabarlah hai ibuku karena kau sedang mempertahankan yang hak".

Dato' Tuan Guru Haji Harun Taib
Ketua
Dewan Ulamak PAS Pusat


Kisah penuh Ashabul Ukhdud (Sahih Imam Muslim):

(Perhatian: Terjemahan ini adalah untuk kefahaman asas , adapun untuk kefahaman yang lebih tepat sila rujuk teks Arab)

Dari Suhaib r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

Di masa dahulu ada seorang raja (Yahudi) yang mempunyai seorang yang ahli sihir, kemudian ketika ahli sihir telah tua ia berkata kepada raja tersebut: "Kini aku telah tua dan mungkin telah dekat ajalku, karana itu kau kirimlah kepadaku seorang pemuda yang dapat aku ajarkan kepadanya ilmu sihir".

Maka raja itu berusaha mendapat seorang pemuda untuk mempelajari ilmu sihir itu, sedang di tengah jalan antara tempat ahli sihir dengan rumah pemuda itu ada tempat seorang ahli ibadah yang mengajar agama, maka pada suatu masa pemuda itu singgah di tempat pendeta itu untuk mendengarkan pengajiannya, maka ia tertarik dengan ajaran pendeta itu sehingga jika ia terlambat datang kepada ahli sihir dia akan dipukul, dan bila terlambat kembali ke rumahnya juga dia dipukul, maka ia mengadu tentang kejadian itu kepada pendeta.

Maka diajar oleh pendeta itu: jika terlambat datang kepada ahli sihir supaya berkata aku ditahan oleh ibuku, dan bila terlambat kembali ke rumah katakan: Aku ditahan oleh ahli sihir.

Maka berjalan beberapa lama kemudian itu, tiba-tiba pada suatu hari ketika ia akan (hendak) pergi, mendadak (tiba-tiba) di tengah jalan ada seekor binatang buas sehingga orang-orang (ramai) tidak berani jalan di tempat itu, maka pemuda itu berkata: "Sekarang aku akan mengetahui yang mana lebih yang lebih baik di sisi Allah apakah ajaran pendeta atau ajaran ahli sihir", lalu ia mengambil sebutir batu dan berdoa "Ya Allah jika ajaran pendeta itu lebih baik di sisimu maka bunuhlah binatang itu supaya orang-orang dapat lalu lalang di tempat ini". Lalu dilemparkanlah batu itu, dan langsung terbunuh binatang itu. Dan orang ramai gembira karena telah dapat lalu lintas di jalan itu.

Maka ia terus memberitakan kejadian itu kepada Rahib (pendita), maka berkatalah Rahib itu kepadanya: "Anda kini telah afdhat (pesan) daripadaku, dan kau akan diuji, maka jika diuji jangan sampai menyebut namaku". Kemudian pemuda itu dapat menyembuhkan orang buta dan sopak dan berbagai macam penyakit yang berat-berat pada semua orang.

Ada seorang pembesar dalam majlis raja dan dia telah buta karena sakit mata, ketika ia mendengar berita bahwa ada seorang pemuda dapat menyembuhkan pelbagai macam penyakit maka ia segera pergi kepada pemuda itu sambil membawa hadiah yang banyak, sambil berkata: "Sembuhkan aku, dan aku sanggup memberikan kepadamu apa saja yang kau suka".

Jawab pemuda itu: "Aku tidak dapat menyembuhkan seseorang pun sedang yang menyembuhkan hanya Allah azza wajalla, jika engkau mahu beriman (percaya) kepada Allah, maka aku akan berdoa semoga Allah menyembuhkan mu".

Maka terus dia beriman kepada Allah dan didoakan oleh pemuda dan seketika itu juga dia sembuh dengan izin Allah s.w.t.

Kemudian ia kembali ke majlis raja sebagaimana biasanya, dan ditanya oleh raja: "Hai Fulan siapakah yang menyembuhkan matamu?", jawabnya: "Rabbi (Tuhanku)". Raja bertanya: "Aku?", jawabnya: "Bukan, tetapi Tuhanku dan Tuhanmu iaitu Allah". Ditanya oleh Raja: "Apakah kau mempunyai Tuhan selain Aku?", jawabnya: "Ya, Tuhan ku dan Tuhanmu ialah Allah". Maka disiksa oleh raja seberat-beratnya siksa sehingga terpaksa ia memberitahu raja itu akan pemuda yang mendoakannya untuk sembuh itu.

Maka segera dipanggil pemuda itu lalu berkata: "Hai anak sungguh hebat sihirmu sehingga dapat menyebuhkan orang buta dan sopak dan berbagai macam penyakit", jawab pemuda itu: "Sesungguhnya aku tidak dapat menyembuhkan siapa pun, hanya semata-mata Allah azza wa jalla". Raja itu pun bertanya: "Adakah aku?", "Tidak" jawab permuda itu. Maka tanya raja itu: "Adakah engkau ada tuhan lain selain aku?", jawab pemuda: "Ya, Tuhanku dan Tuhanmu hanya Allah". Maka pemuda itu ditangkap dan disiksa seberat-beratnya sehingga terpaksa dia menunjukkan pada Rahib yang mengajarnya. Maka dipanggil Rahib dan dipaksa untuk meninggalkan agamanya, tetapi Rahib tetap bertahan dan tidak mahu beralih agama, maka diletakkan gergaji di atas kepalanya dan digergaji dari atas kepalanya hingga terbelah dua badannya.

Kemudian kembali pemuda itu diperintah untuk meninggalkan agama yang dianutnya (agama Islam), tetapi pemuda ini juga menolak perintah raja, maka raja memerintahkan supaya pergi ke puncak gunung dan di sana juga supaya ditawarkan kepadanya untuk meninggalkan agamanya dan mengikuti agama raja, jika tetap menolak supaya dilempar dari atas gunung itu, maka ketika telah sampai di atas gunung dan ditawarkan kepadanya pemuda untuk berubah agama, dan ditolak oleh pemuda itu. Kemudian pemuda itu berdoa: "Allahumma ikfinihim bimaa syi'ta: (Ya Allah selesaikanlah urusanku dengan mereka ini dengan aku sehendak-Mu)". Tiba-tiba gunung itu bergoncang sehingga mereka berjatuhan dari atas bukit dan mati semuanya.

Maka segeralah pemuda itu kembali menemui raja, dan ketika ditanya: "Manakah orang-orang yang membawamu?", jawabnya: "Allah yang menyelesaikan urusan mereka". Lalu pemuda itu diperintah untuk membawanya ke laut dan naik perahu, bila telah sampai di tengah laut ditanyakan padanya jika ia mahu mengubah agama, jika tidak maka lemparkan ke dalam laut dan ketika telah sampai di tengah laut pemuda itu berdoa: "Allahumma ikfinihim bimaa syi'ta", maka tenggelamlah orang yang membawanya semuanya dan segeralah pemuda kembali menghadap raja. Dan ketika ditanya oleh raja: "Bagaimana keadaan orang-orang yang membawamu?", jawabnya: "Allah yang menyelesaikan mereka".

Kemudian pemuda itu berkata kepada raja: "Engkau takkan dapat membunuhku kecuali jika engkau menurut perintahku maka dengan itu engkau akan dapat membunuhku", Raja bertanya: "Apakah perintahmu?", Jawab pemuda: "Kau kumpulkan semua orang di suatu lapangan, lalu engkau gantung aku di atas tiang, lalu kau ambil anak panah milikku ini dan kau letakkan di busur panah dan membaca: Bismillahi Rabbil ghulaam (Dengan nama Allah Tuhan pemuda ini), kemudian kau lepaskan anak panah itu, maka dengan itu kau dapat membunuhku", Maka semua usul pemuda itu dilaksanakan oleh raja, dan ketika anak panah telah mengenai pelipis pemuda itu ia mengusap dengan tangannya dan langsung mati, maka semua orang yang hadir berkata: "Aamannaa birrabil ghulaam (Kami beriman kepada Tuhannya pemuda itu)". Sesudah itu ada orang memberitahu kepada raja bahawa semua rakyat telah beriman kepada Tuhan pemuda itu, maka bagaimanakah usaha untuk menghadapi rakyat yang banyak ini. Maka raja memerintah supaya di setiap jalan digali parit dan dinyalakan api, dan tiap orang yang berjalan di sana, dan ditanya tentang agamanya, jika ia tetap setia pada kami biarkan, tetapi jika ia tetap percaya kepada Allah masukkanlah ia ke dalam parit api itu.

Maka adanya orang berbaris-baris, dorong mendorong yang masuk di dalam parit api itu, sehingga tiba seorang wanita yang menggandong (membawa) bayinya yang masih menyusu, ketika bayinya diangkat oleh pengikut-pengikut raja untuk dimasukkan kedalam parit berapi itu, wanita itu hampir menurut mereka berganti agama karena sangat belas kasihan pada anaknya yang masih kecil itu, tiba-tiba anak bayi itu berbicara dengan suara lantang: "Sabarlah hai ibuku karena kau sedang mempertahankan yang hak".

[atau sebagaimana yang disabdakan oleh Rasullah s.a.w.]

Tiada ulasan: