Ahad, 3 Julai 2011

NO KOMEN

Perhimpunan 9 Julai: Titah khas Yang di-Pertuan Agong
Jul 3, 11 9:00pm

Istana Negara malam ini mengeluarkan Titah Khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai perhimpunan pada 9 Julai ini.

Berikut adalah teks penuh Titah Khas tersebut:

Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

Namun Beta yakin kepimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Dato' Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.

Beta menyeru di dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.

Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.

Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu "Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran".

Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.

Sebaliknya kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.

Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara.

- Bernama

Pheu Thai dapat majoriti mudah jam 9 malam
Jul 3, 11 10:54pm

Parti pembangkang Pheu Thai yang diketuai pemimpin de facto bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra, menang majoriti mudah dalam pilihanraya umum negara itu, dengan memperolehi 255 kerusi daripada 500 kerusi parlimen pada jam 8 malam (waktu Malaysia: 9 malam).

Menurut Polis dan Suruhanjaya Pilihan raya Thailand, 83.69 peratus undi telah dikira pada jam 8 malam.

Bekas parti Demokrat itu memperolehi 163 kerusi, Bhumjai Thail (35), Chart Thai Pattana (21) dan Chart Thai Pattana Phea Pandin (10).

Parti-parti kecil seperti Palong Chan memenangi tujuh kerusi, Rak Thailand (4), Matubhum (2), dan Rak Santi dan parti baru Demokrat masing-masing satu kerusi.

Tiada ulasan: