Rabu, 4 Disember 2013

BANJIR DIPINDAHKAN DIPUSAT PERMINDAHAN BANJIR....MATI DIPINDAHKAN DIPERKUBURAN...PINDAH TETAP PINDAH SATU HARI NANTI...MUNGKIN DENGAN SENTIASA INGAT MATI KITA JADI BAIK...KITA TAK BOLEH TONGKAT LANGIT

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat akan membentuk satu Jawatankuasa Khas bagi memberi tumpuan kepada isu berkaitan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dijangka bermula akhir bulan ini.

Jawatankuasa itu akan dipimpin oleh wakil ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat iaitu Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Mohd Hatta Ramli, Pengarah Strategi Pilihan Raya DAP Ong Kian Meng dan Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Mansor Othman.

Bercakap pada satu sidang media di parlimen, hari ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Pakatan Rakyat begitu prihatin dengan cadangan persempadanan semula ini dengan rekod kecurangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini.

Perkara tersebut turut diakui Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang tidak mahu persempadan semula dilakukan bertujuan untuk memenangkan BN semata-mata, sebaliknya perlu dilakukan dengan lebih adil, demokratik dan telus.

Dalam pada itu, Pakatan Rakyat turut menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengadakan rundingan termasuk dengan parti-parti politik terlebih dahulu sebelum persempadanan dilakukan.

Malah, Penasihat DAP, Lim Kit Siang turut mengharapkan SPR boleh membuat satu hubungan yang baik dengan jawatankuasa khas yang dibentuk Pakatan Rakyat itu.
JOHOR BAHARU: Jumlah mangsa banjir di Johor yang dipindahkan di empat daerah pagi ini meningkat kepada 4,765 daripada 1,018 keluarga.
   
Menurut portal bencana Majlis Keselamatan Negara, Mersing mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 4,247 orang, diikuti Segamat (402), Kluang (85) dan Kota Tinggi (31).
   
Semalam jumlah mangsa banjir dipindahkan di Mersing ialah seramai 1,035 orang membabitkan 306 keluarga dipindahkan ke 11 pusat pemindahan.
   
Sebanyak 27 pusat perpindahan dibuka setakat pukul 11 pagi di negeri ini dengan Mersing sebanyak 18 pusat, Segamat (enam), Kluang (dua) dan Kota Tinggi (satu).
   
Menurut seorang pengguna jalan raya, Shahrul Hassan, 43, ketika dihubungi Bernama berkata laluan KM 32 dan KM 35 Jalan Mersing-Kota Tinggi masih ditenggelami air dan hanya boleh dilalui kenderaan berat.
   
"Kira-kira 100 orang yang menaiki 50 buah kenderaan tidak dapat meneruskan perjalanan ke Mersing sejak 9 pagi tadi," katanya. - Bernama
KUALA TERENGGANU: Keadaan banjir di daerah Kemaman semakin buruk dengan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan hari ini meningkat kepada 452 orang berbanding, 20 mangsa petang semalam.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negeri (MKN) sehingga pukul 10 pagi, sebanyak 121 keluarga dipindahkan ke 13 pusat pemindahan di daerah ini.

Pusat pemindahan banjir terdiri daripada rumah tamu, masjid, bangunan sekolah, dewan orang ramai, masjid dan surau.

Dua batang jalan di daerah Kemaman ditutup kepada semua kenderaan iaitu di Jalan Kampung Teladas dan Jalan Paya Seratus berikutan dinaiki air setinggi 0.6 hingga 1.6 meter.

Sementara Jalan Jerangau-Jabor ditutup kepada kenderaan ringan.

Paras air sungai Kemaman di Jambatan Air Puteh dan Hulu Jabor juga dilaporkan sedang meningkat dan berbahaya.

Di daerah Hulu Terengganu, tiga batang jalan ditutup kepada semua kenderaan pagi ini kerana ditenggelami air banjir sedalam 0.6 hingga 1.5 meter.

Jalan-jalan berkenaan ialah Jalan Utama Felda Tengkawang ke Lubuk Periok, Jalan Felda Tengkawang ke Kampung Peneh dan Jalan Bukit Diman ke Pengkalan Ajal. - Bernama
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat hari ini menyatakan pendirian baha pada perinsipnya bersetuju agar gaji Adun Selangor dinaikkan, namun meminta Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk mengkaji semula kadar kenaikan itu.

Kajian semula berhubung kadar kenaikan itu penting bagi mendengar pandangan rakyat terbanyak, sebelum ianya dilaksanakan Januari tahun hadapan.

Perkara itu dinyatakan pada sidang media Pakatan Rakyat di Parlimen hari ini.

Dewan Negeri Selangor minggu lalu meluluskan kenaikan gaji untuk 56 Adun berkuatkuasa tahun depan, termasuk gaji menteri besar, speaker, timbalan speaker dan exco kerajaan negeri.

[Lanjut Menyusul]
KUANTAN: Banjir di Pahang semakin buruk apabila lebih 5,000 mangsa dipindahkan di pusat pemindahan banjir di empat daerah, hari ini.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, daerah terlibat ialah Rompin, Kuantan, Pekan dan Maran.

"Di Rompin seramai 2,595 mangsa dari 23 kampung terlibat ditempatkan di enam pusat pemindahan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, di Pekan sebanyak enam kampung terlibat dengan 341 mangsa dipindahkan ke enam pusat pemindahan.

Di Kuantan seramai 1,824 mangsa dari 23 kampung dipindahkan ke 23 pusat pemindahan.

Di Maran, 633 mangsa banjir dari sembilan buah kampung ditempatkan  di tujuh pusat pemindahan.

Keadaan banjir dijangka bertambah buruk berikutan hujan lebat berterusan sejak dua hari lepas.

Menurut jurucakap itu, Jambatan Sungai Charu di Kilometer 28 Jalan Sungai Lembing-Kuantan ditutup kepada semua kenderaan berikutan air naik setinggi satu meter. - Bernama


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat akan membentuk satu jawatankuasa bagi menggerakkan kempen 'Faham GST, Tolak GST' sebagai bantahan terhadap perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan diperkenalkan kerajaan pada 2015.

Perkara itu diumumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media Pakatan Rakyat di Parlimen hari ini.

Tambah Anwar,jawatankuasa tersebut akan dianggotai ketiga-tiga wakil parti yang akan diketuai Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad.

Kempen ini akan dilancarkan 20 Dis ini di Kelab Sultan Sulaiman oleh Anwar, bersama Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Sementara itu, Abdul Hadi menegaskan GST yang diperkenalkan kerajaan ini bertentangan dengan keadilan apabila ia dikenakan ke atas semua pihak tanpa mengira kemampuan mereka.

"Berbeza dengan konsep zakat dalam Islam, hanya mereka yang berkemampuan diwajibkan untuk mengeluarkan zakat, tidak kepada mereka yang tidak berkemampuan. Tapi cukai ini akan dikenakan kepada semua pihak tanpa mengira kemampuan mereka. Sepatutnya cukai hanya dikenakan kepada yang mampu sahaja," kata beliau.

Dalam pada itu, kempen yang dilancarkan 20 dis itu akan diteruskan di seluruh negara bagi memberikan pendedahan kepada rakyat tentang kesan yang bakal dihadapi pengguna berkaitan GST itu.

Ditanya berkenaan mekanisme kempen tersebut, Anwar berkata Pakatan Rakyat menyerahkan kepada jawatankuasa khas tersebut untuk menentukannya, sama ada ceramah, edaran pamplet, forum atau yang bersesuaian dengan kempen itu.
TASEK GELUGOR: Organisasi atau individu di dalam PAS diingatkan tidak mengeluarkan kenyataan yang merugikan perjuangan PAS atau merenggangkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat kepada media sebaliknya mencari jalan penyelesaian secara keluarga.

Demikian ingatan sulung Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sekembalinya ke Pulau Pinang selepas Muktamar Tahunan ke-59, agar semua ahli menjaga persefahaman dan tidak terjebak dalam permainan musuh yang sengaja mengatur strategi untuk melihat PAS terpisah dalam perkembangan arena politik tanahair.

Baginya, parti politik mana pun sememangnya ada perselisihan pendapat tetapi jangan sampai diketahui oleh musuh yang mahukan perpecahan.

Justeru itu, beliau mengingatkan ahli parti agar berwaspada dengan kenyataan media terutamanya yang proUmno BN.

"Sebagai sebuah organisasi yang didukungi bersama, kita jangan keluarkan kenyataan yang merugikan perjuangan tetapi biar kenyataan yang mematahkan musuh.

"Apatah lagi kenyataan yang berbaur ancaman kepada kerajaan negeri yang dimenangi Pakatan Rakyat. Kalau nak menegur pun biar cara yang baik atau bersemuka bukan melalui media," tegasnya pada program anjuran PAS Cawangan Kampung Baru iaitu tempat beliau dilahirkan.
Turut memberikan ucapan di majlis yang menyediakan bubur lambuk itu ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Tasek Gelugor, Ustaz Khalid Man.

Katanya, kenyataan akhbar yang tidak munasabah serta mencetuskan kontroversi memberikan keuntungan kepada musuh yang akhirnya boleh menggugat kestabilan dan perpaduan dalam Pakatan Rakyat.

"Apa salahnya bersemuka dan berbincang dengan penuh berhemah kerana jalan penyelesaian terlalu banyak. Lagipun di Pulau Pinang ruang terbuka luas untuk PAS menunjukkan kesungguhan bukan angka," katanya.

Sehubungan itu, beliau menambah, sampai masanya ahli-ahli merapatkan saf kembali kerana yang paling utama hendak diserang ialah Umno dan konco-konconya bukan jamaah yang menaiki kapal yang sama.

Tahniah kepada Umno-BN kerana menepati slogannya “Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”. Terkini ialah kejayaan Umno-BN menaikkan tarif elektrik pula. sebelum ini, Umno-BN telah menaikkan harga petrol dan diesel sebagai hadiah segera kepada rakyat yang memberinya mandat memerintah Malaysia sekali lagi.

Tahniah juga kepada rakyat Malaysia khususnya yang mengundi Umno-BN pada pilihan raya yang lalu. Kepada yang marah-marah kerana tarif elektrik naik, anda boleh guna lampu minyak tanah atau yang setara dengannya.

Nasihat ini sama seperti yang ditujukan kepada penentang kenaikan harga ayam sebelum ini. Jika harga ayam mahal, jangan makan ayam. Jika marah harga minyak naik, jangan guna minyak – gunalah basikal atau kereta lembu.

Saya juga berpandangan bahawa pak menteri tidak perlu susah-susah memikirkan alasan kenaikan tersebut. Hal ini kerana kami sedia maklum bahawa jawapannya – harga tersebut lebih rendah berbanding negara jiran atau anda boleh pindah ke negara lain.

Kini, saya juga tidak sabar-sabar pula menunggu pelaksanaan penuh Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau ringkasnya CBP – tetapi Umno-BN lebih suka guna bahasa Inggeris iaitu GST, ringkasan kepada Goods, Services and Tax – apa kelas guna bahasa Melayu, tak glokal langsung.

Bagi saya, inilah masa yang paling cun untuk menaikkan segala macam cukai. Maklumlah, Pilihan Raya Umum ke-14 masih jauh lagi. Kepintaran pimpinan Umno-BN membaca mood rakyat sukar disangkal, mereka amat faham jika kenaikan ini dilakukan kurang dari setahun PRU, tentunya rakyat akan marah.

Dan saya amat kagum dengan bangsa saya sendiri kerana memiliki sifat pemaaf dan muda lupa. Sifat terpuji ini mungkin tiada pada bangsa lain. Walaupun tanah air mereka sedikit demi sedikit tergadai kepada warga dan bangsa lain, mereka bersedia memaafkan Umno-BN apabila mendapat sedikit imbuhan seperti BR1M atau seumpamanya – benar seperti yang dikatakan Tun Mahathir, “Melayu mudah lupa”.

Selain itu saya memuji sifat sabar dan pemurah sebahagian rakyat Malaysia. Walaupun laporan audit negara menyatakan bahawa dana awam digunakan untuk “menderma” kepada pembekal peralatan jabatan kerajaan dengan membayar lebih dari sepatutnya.

Laporan audit menyatakan bahawa kerajaan telah membeli Marine Binocular  dengan harga RM 56,350 berbanding pasaran RM 1,940. Nah, terbukti sifat pemurah jabatan kerajaan yang diterajui oleh Umno-BN. Itu laporan audit 2012 sebelum PRU13! Kemenangan Umno-BN membuktikan rakyat memang sayangkan Umno-BN kerana sifat pemurahnya dalam membelanjakan dana awam.

Sebahagian rakyat Malaysia khususnya orang Melayu tidak kisah apa-apapun yang naik – asalkan hujan turun. Yang penting setiap kali pilihan raya mereka akan dapat beras sekampit dua, bertemu muka dengan pak menteri dan seronok mendengar janji berjuta-juta.

Mereka tidak kisah pun tinggal di atas tanah yang tiada geran hak milik walaupun permohonan untuk memilikinya sudah masuk generasi kedua. Mereka juga tidak peduli YB mahu hidup senang dalam banglo mewah sedangkan rakyat hidup dalam rumah yang hampir runtuh. Mereka gembira dan tumpang bangga YB dapat pakai kereta berjenama dan bermutu seperti Mercedez, BMW, Volvo pada harga diskaun sedangkan rakyat terpaksa membeli kereta proton pada harga bercukai.

Ya, itulah sifat-sifat baik dan terpuji sebahagian rakyat Malaysia – menang sorak kampung tergadai. Terima kasih sekali lagi kepada Umno-BN dan tahniah kepada rakyat yang memberi mandat.
KUALA LUMPUR: Paras air Sungai Golok yang menjadi sempadan Malaysia-Thailand di Rantau Panjang, Kelantan hampir mencapai paras amaran.

Dengan bacaan 7.87 meter pada jam 5 petang semalam, ditambah hujan lebat sejak malam tadi meletakkan penduduk sekitarnya dalam keadaan berjaga-jaga menghadapi sebarang kemungkinan.

Pegawai Kanan Bomba I (PBK) Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Zaimi Samat yang dipetik Sinar Harian sebagai berkata, ini mungkin gelombang kedua banjir bagi kawasan ini.

Ini kerana sebelum ini, paras air pada tahap amaran menyebabkan 10 kampung dekat Gual Periok mengalami banjir.

Namun katanya, ia tidak membabitkan kawasan bandar dan Zon Bebas Cukai Rantau Panjang.

“Memandangkan keadaan masih terkawal, tiada penduduk dikerah untuk berpindah ke pusat pemindahan.

“Namun, anggota bomba dan penyelamat bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan, kerana air kebiasaannya akan naik menjelang lewat malam,” katanya dipetik akhbar komuniti bahasa Melayu itu.

Beliau berkata, faktor cuaca turut mendorong kepada peningkatan paras air di Sungai Golok.

Menurutnya, keadaan mungkin bertambah serius sekiranya air di kawasan hulu mengalir dan membanjiri kawasan di sini.

“Penduduk yang tinggal berdekatan Sungai Golok, diminta berhati-hati dan berpindah sekiranya keadaan semakin genting," katanya.

Tiada ulasan: