Isnin, 4 November 2013

PRK SG LIMAU...APA NAK BUAT....HIDUP MAKAN GAJI....FAHAM2LAH

SMM serah ‘baton’ kepada kepimpinan sesi 2013/2014

Harakahdaily, 04 Nov 2013
KUALA LUMPUR: “Pasca Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu telah genap setahun saya dan pimpinan lain memegang tampuk kepimpinan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) bagi sesi 2012/2013,” ujar Safwan Anang.

Pengerusi SMM sesi 2012/2013berkata, kenyataan media itu dibuat bagi mengumumkan peralihan jawatan kepimpinan SMM kepada tampuk kepimpinan yang baru.

Katanya, umum perlu mengetahui bahawa SMM adalah gabungan daripada beberapa kesatuan mahasiswa bagi menghasilkan suatu ketumbukan mahasiswa yang lebih fokus terhadap sesuatu yang bersifat isu nasional malahan turut juga kepada isu global.

Beliau berkata, hasilnya keputusan kepimpinan SMM adalah diputuskan melalui kesepakatan semua ketua-ketua kesatuan mahasiswa yang bergabung ini.

Maka tidak hairanlah, jelasnya pemilihan SMM tidak melalui undi ahli-ahlinya.

“Uniknya pula SMM ini adalah apabila ia menjadi sebuah gabungan yang merentasi fahaman ideologi, agama, bangsa, bahkan fahaman politik sekalipun,” ujarnya.

Biarpun begitu, tambah beliau SMM adalah sebuah gerakan mahasiswa yang lebih mementingkan prinsip gerakan iaitu apa sahaja yang berkaitan dengan kepentingan rakyat lebih-lebih lagi mahasiswa dan anak muda maka SMM akan turut serta dalam isu berikut.

Sebagai contoh, katanya SMM adalah sebahagian daripada gabungan Bersih dalam menuntut pilihanraya yang bersih adil (walaupun diletak label agenda pembangkang) dan SMM juga terlibat dalam gabungan Bantah TPPA yang gabungannya adalah turut melibatkan NGO-NGO pro-kerajaan.

Terbaru pula, ujar beliau SMM dijemput untuk satu sidang meja bulat bersama Datuk Saifudin Abdullah selaku CEO-GMM (bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi).

Baginya, biarlah polemik itu terus berlaku tanpa henti asalkan kepentingan rakyat diutamakan.

Tambahnya, tugas berat dan mencabar pastinya menanti rakan-rakan aktivis kepimpinan SMM yang baru bahkan lebih-lebih lagi rakyat sedang bergelut dalam pelbagai isu terbaru seperti kenaikan harga minyak, kenaikan harga barang, pengenalan GST dan sebagainya.

“Sedang suasana di kampus pula berdepan dengan bahang pilihanraya kampus yang menyaksikan kebangkitan mahasiswa di beberapa kampus yang telah melalui fasa pilihanraya kampus lebih kurang seminggu yang lalu,” katanya.

Justeru, beliau kira masa ini adalah tepat untuk menyerahkan baton kepimpinan kepada kepimpinan baru SMM yang sudah semestinya akan lebih mengerti berkenaan situasi semasa yang memerlukan corak dan orientasi yang tersendiri.

“Kami berkeyakinan penuh terhadap kepimpinan baru ini akan dapat melunasi kehendak rakyat termasuk mahasiswa dalam jangka masa terdekat ini,” katanya lagi.

Pengerusi SMM bagi sesi 2013/2014 ialah Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM, Bukhairy Sufian; setiausaha, Tarmizi Anwar (Pro-Mahasiswa UPM); bendahari, Khair Sujud (Naib Presiden PKPIM) dan Setiausaha Media, Edikoup Lakip Sediyanto (Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional).


Penentuan siapa wakil Dun Sungai Limau hari ini

Harakahdaily, 04 Nov 2013

Ustaz Azam bersama ibu (kanan beliau) dan isteri memasuki pusat pembuangan undi jam 8.25 pagi.

JERAI: Seramai 27,222 orang pengundi berdaftar layak membuang undi hari ini bagi maksud Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Limau.yang berlangsung hari ini.

Mereka bakal memilih sama ada calon PAS, Ustaz Mohd Azam Abd Samat ataupun calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim untuk diangkat sebagai wakil rakyat yang akan mewakili mereka di Dun itu.

Kedua-dua calon sebelum ini diberi tempoh 11 hari untuk berkempen bermula sejurus penamaan calon 23 Oktober lalu dan berakhir secara rasminya jam 12 malam tadi.

Tinjauan Harakahdaily mendapati, kenderaan mula berpusu-pusu masuk ke kawasan Sungai Limau termasuk perayu undi dari luar yang mula mengambil tempat berdekatan pusat-pusat membuang undi.

Cuaca sebelah pagi ini cerah, dan dijangka baik sepanjang hari ini.

Pusat-pusat mengundi akan mula dibuka jam 8.00 pagi ini dan akan ditutup pada jam 5 petang.

Pilihan raya kecil Dun Sungai Limau diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu yang juga bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak pada 26 September lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, Allahyarham Ustaz Azizan memperoleh 13,249 undi menewaskan calon BN Mohd Fazilah Ali yang memperoleh 10,610 undi.

Sg Limau: Kegagalan ketiga Mahathir, Mahathirisme?

Harakahdaily, 04 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Pilihan raya kecil Sungai Limau hari ini akan menjawab persoalan, apakah Mahathir dan Mahathirisme akan menghadapi kegagalan ketiga atau terakhir sejak enam bulan lalu, kata Lim Kit Siang.

Minggu lalu, bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad berkata kumpulan pelampau sedang menguasai Malaysia pada ketika Barisan Nasional sedang bergelut untuk menangani masalah kemerosotan sokongan orang ramai terhadap pakatan parti pemerintah itu walaupun ia masih menguasai kerajaan.

Bagi Kit Siang, benar dakwaan Mahathir bahawa kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak lemah dan ia merasa perlu untuk melayan ‘tuntutan-tuntutan tidak munasabah’ daripada puak pelampau untuk mengekalkan sokongan orang ramai.

“Tetapi beliau melakukan kesilapan dengan mendakwa puak pelampau itu terdiri daripada anggota Pakatan Rakyat,” tegas Ahli Parlimen Gelang Patah itu dalam satu kenyataan, semalam.

Hakikatnya, kata beliau Mahathir sendiri boleh dianggap mewakili puak pelampau berkenaan yang menjadikan ‘kumpulan majoriti yang moderat’ sebagai tebusan dengan segala pembohongan mereka sehingga menjejaskan usaha pembinaan dan pembangunan negara serta penyatuan warga.

“Dalam majlis pengumuman calon Pakatan Rakyat di Sungai Limau 21 Oktober lalu, saya telah menyatakan harapan agar pilihanraya kecil itu menjadi model bagi politik bersih, jujur, dan bermaruah dengan memastikan pembohongan dan kepalsuan tidak disebarkan dan taktik serangan peribadi atau politik wang tidak digunakan,” ujarnya.

Tetapi, katanya sejak hari pertama kempen lagi, pembohongan dan taktik serangan peribadi menjadi isi utama kempen Umno BN dalam pilihanraya kecil Sungai Limau, antaranya pembohongan tentang DAP yang kononnya mahu membentuk negara Kristian di Malaysia, menghapuskan sistem Raja Berperlembagaan, anti-Melayu dan anti-Islam.

Katanya lagi, segala pembohongan yang karut itu tidak berbeza dengan pembohongan yang disebarkan oleh Mahathir dalam Pilihanraya Umum ke-13 apabila membuat tuduhan palsu dan tidak bertanggungjawab.

Menurut Lim, Mahahthir mengatakan beliau bertanding di Gelang Patah untuk menimbulkan ketegangan antara Melayu dan Cina di Johor dan mahu orang Cina Johor ‘membenci Melayu’, serta DAP menolak konsep perkongsian kuasa Melayu/Cina/India kerana kaum Cina mahu menghapuskan kuasa politik orang Melayu.

Tetapi, jelasnya Mahathir dan Mahathirisme menanggung kegagalan enam bulan lalu dalam Pilihanraya Umum ke-13 apabila para pengundi Melayu tidak termakan dengan pembohongan dan dusta dan memenangkannya di Gelang Patah dengan majoriti lebih 14,000 undi.

“Dalam kempen Pilihanraya Umum ke-13 di Gelang Patah saya menyeru ke arah yang sama sekali berlawanan dengan pembohongan Mahathir dan Mahathirisme itu, iaitu apabila saya menyeru kaum Melayu, Cina, India, Iban, dan Kadazan untuk bersatu di bawah wawasan Impian Malaysia untuk membina masyarakat Malaysia yang lebih bersatu, demokratik, bebas, adil, berdaya saing serta makmur demi kebaikan semua warga Malaysia,” jelasnya lagi.

Menurut beliau lagi, Mahathir dan Mahathirisme juga gagal memberikan kemenangan kepada puak pelampau di Pasir Mas dan Shah Alam dan yang diwakili oleh Presiden Perkasa dan naibnya, Ibrahim Ali dan Zulkifli Noordin.

Malah, ujarnya selepas pilihanraya umum, ketua bahagian Umno Shah Alam menyebut bahawa jika Mahathir tidak berkempen di Shah Alam, BN mungkin mendapat lebih banyak undi.

Kata Lim lagi, Mahathir dan Mahathirisme seterusnya berdepan kekalahan dalam pemilihan parti Umno bulan lalu dan Mahathir lalu menyalahkan politik wang sebagai punca beliau gagal memastikan anaknya, Mukhriz Mahathir, menang sebagai Naib Presiden Umno.

Tambahnya, Mahathir muncul dalam kempen Umno BN di Sungai Limau dan mengambil pendirian bahawa politik wang ke atas Mukhriz dalam pemilihan parti Umno adalah sesuatu yang jelek tetapi ‘OK’ untuk diamalkan oleh Umno dan Mukhriz dalam pilihanraya kecil Sungai Limau.

Persoalan lebih menarik, ujarnya ialah sama ada Mahathir dan Mahathirisme akan menghadapi kegagalan ketiga atau mungkin yang terakhir sejak enam bulan selepas PRU13 dalam pilihanraya kecil Sungai Limau, hari ini.

“Inilah yang akan terjadi jika calon PAS dan Pakatan Rakyat, Mohd Azam Abd Samat mampu mempertahankan kawasan itu, terutama dengan perbezaan undi lebih besar,” ujarnya.

Pilihanraya kecil Sungai Limau pada hari ini berlangsung genap enam bulan setelah PRU13 yang diadakan pada 5 Mei lalu.

“Kemenangan calon Pakatan Rakyat itu akan menjadi berita terbaik bagi negara ini,” tegasnya.

Kita harap pengundian lancar – Ustaz Azam

Harakahdaily, 04 Nov 2013
JERAI: Calon PAS PRK Dun Sungai Limau, Ustaz Mohd Azam Abd Samat hari ini membuang undi di Sekolah Kebangsaan Bukit Besar, di sini.

Beliau yang mengenakan baju Melayu hijau muda tiba di kawasan pusat pengundian kira-kira jam 8.10 pagi dengan ditemani isteri dan ibu tercinta.

Sebelum menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, beliau turut bersarapan bersama masyarakat di sebuah warung berhampiran tempat mengundi.

Mohd Azam dilihat masuk ke pusat pengundian jam 8.25 pagi diiringi beberapa pemimpin PAS termasuk Dr Dzulkefly Ahmad, Datuk Amiruddin Hamzah, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi serta peguam Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi.

Beliau kemudian dilihat keluar dari tempat mengundi kira-kira jam 8.35 pagi.

Bercakap kepada pemberita sejurus selepas itu, Ustaz Azam menyeru pengundi agar keluar awal untuk mengundi memandangkan cuaca baik pagi ini.

"Harap pengundi keluar mengundi awal kerana cuaca dijangka kurang baik tengah hari ini.

"Kita harap proses pengundian berjalan lancar dan sistem demokrasi negara ini dapat dilaksanakan dengan baik," katanya.

Kantoi...FB Jamil Khir dah padam gambar ahli PAS sertai Umno?

http://omakkau.blogspot.com, 04 Nov 2013

SELEPAS DIKANTOIKAN ... FB JAMIL KHIR BAHAROM DAH PADAMKAN GAMBAR-GAMBAR KONONNYA 351 AHLI PAS MASUK UMNO!!!!


Asalkan pemimpin Umno pasti terlibat dalam penipuan tidak kiralah siapa...

Juara Piala Malaysia: PAS Pahang ucap tahniah

Harakahdaily, 04 Nov 2013
KUALA LUMPUR: PAS Pahang mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak negeri itu kerana berjaya memenangi Piala Malaysia kali ini.

Bagi Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, permainan malam tadi sangat membanggakan dan menarik.

“Sekalung tahniah kepada jurulatih dan semua pegawai yang telah bertungkus lumus sehingga membuahkan hasil. Tahniah semua,” ujar beliau menerusi facebook.

Pahang muncul juara Piala Malaysia 2013 dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Kelantan di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kejayaan pasukan Tok Gajah itu diperolehi hasil jaringan pemain import dari Argentina, Matias Conti pada minit ke-58.

Ustaz Azam seru pengundi keluar awal

Muhammad Faizal, 04 Nov 2013
JERAI: Calon PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau, Ustaz Mohd Azam Abd Samat menyeru para pengundi keluar mengundi lebih awal bagi mengelakkan nama-nama pengundi disalah guna.

Katanya, dengan keadaan cuaca yang tidak menentu di sebelah petang, peluang mengundi lebih awal adalah waktu terbaik untuk pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

Selain itu, beliau juga meminta para pengundi yang berada di luar agar pulang bagi memastikan legasi perjuangan PAS dapat diteruskan.

"Membuat pilihan yang bijak, terus memilih PAS agar segala apa yang ditinggalkan oleh Allahyarham Tan Sri Azizan dapat kita teruskan. Ingat satu undi adalah satu bantah kenaikan harga barang," jelasnya ketika ditemui semalam.

Katanya, Allahyarham Ustaz Azizan berada pada satu tahap nilai tersendiri dan sukar untuk mencari pengganti yang seratus peratus menyamai beliau.

Namun, beliau yakin dengan sokongan dari semua pihak, jentera, ahli dan rakan-rakan Pakatan Rakyat termasuk rakyat Dun Sungai Limau akan memberi semangat baru kepadanya meneruskan amanah yang ditinggalkan oleh Allahyarham Ustaz Azizan.

"Kita belajar dari Allahyarham Ustaz Azizan di mana beliau amat mendekati pengundi di sini, harapan beliau agar penduduk dan pemimpin berada dekat dengan rakyat.

Sg Limau: SPR dan SPRM tidur, rasuah berleluasa

Harakahdaily, 03 Nov 2013
KUALA LUMPUR: PAS melahirkan kekesalan kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadi 'kayu mati' yang gagal menghalang rasuah pilihan raya yang berlaku secara berleluasa dalam PRK N20 Sungai Limau.

“Pemberian dilakukan secara terang-terangan dalam bentuk pemberian wang ringgit, dan barangan atas pelbagai nama,” ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, ia dilakukan secara terbuka oleh pimpinan kerajaan, di samping penggunaan hampir seluruh jentera kerajaan kecuali Jabatan Kaji Cuaca sahaja yang tidak kelihatan.

Tambahnya, SPRM yang diharap menjadi agensi penguatkuasaan pencegahan rasuah serta pihak polis menjadi pemerhati kosong di atas apa yang berlaku.

“Alasan bodoh yang sering kali didengar ialah ianya bukan diberi oleh calon atau wakil calon, maka ianya bukanlah rasuah,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata beliau lagi, kegagalan Malaysia untuk mengambil contoh pencegahan rasuah negara luar telah jadi bahan ketawa pemerhati asing.

Kini, ujarnya  ia telah menjadi budaya yang diterima oleh umum, menyebabkan penduduk yang terpinggir dan miskin akan bergantung kepada pilihanraya kecil untuk kawasan mereka diberi perhatian, paling tidak, pelbagai janji yang memenuhi impian mereka.

Beliau menambah, bila mana kekuasaan diperolehi melalui rasuah dan salah guna kuasa, bagaimana pemimpin tersebut akan tampil menentang rasuah.

Mustahil  berlaku

Akibatnya, kata Tuan Ibrahim rasuah semakin membesar dan kini menjadi barah dalam setiap sektor.

Tambah beliau lagi, ternyata perubahan nama Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada SPRM hanyalah sekadar penukaran botol tapi isinya masih sama, kerana pemimpin yang rasuah tidak akan menggubal peraturan dan undang-undang bagi mencegah rasuah, dan agensi yang diamanah pula terikat dengan peraturan yang ada.

“Ada yang berkata rakyat akan berubah apabila pemimpin berubah. Tapi bagi PAS, pemimpin akan berubah kalau rakyat berubah.

“Budaya salah guna jentera kerajaan untuk kempen BN akan berhenti jika rakyat ambil pendekatan tidak menyokong penyalahgunaan sebegini,” ujar beliau lagi.

Justeru, beliau berharap para pengundi Dun Sungai Limau dapat menghantar isyarat jelas menolak calon BN bagi menyatakan tentangan mereka kepada amalan rasuah.

"Beliau mahukan setiap masalah rakyat didengari, rakyat senang mendekati pemimpin dan tidak ada sebarang protokol yang boleh memisahkan pemimpin dengar rakyat.

"Itu yang kita pelajari dan akan kita teruskan sampai bla-bila, harapan saya agar pengundi di sini mengambil peluang dan berfikir matang dalam membuat keputusan esok (hari ini)," jelasnya.

Justeru, beliau mengharapkan pengundi memberi sokongan penuh kepada Pakatan Rakyat khususnya PAS agar isyarat bantahan terhadap tindakan kerajaan menekan rakyat dapat diperolehi.

Tegasnya, kebajikan rakyat perlu diutamakan dan mereka perlu meletakkan hari pengundian hari ini sebagai hari protes rakyat kepada kerajaan.

Tiada ulasan: