Jumaat, 1 November 2013

KEBANYAKAN MANUSIA SUKA MENANAM TEBU DIBIBIR MULUT

Selangor kekalkan tawaran RM9.65 billion

Harakahdaily, 01 Nov 2013
Shah Alam: Kerajaan Negeri Selangor tidak berhasrat untuk menyemak semula tawaran berjumlah RM9.65 bilion yang ditawarkan kepada syarikat-syarikat konsesi air pada Februari 2013 bagi memuktamadkan penyusunan semula perkhidmatan pembekalan air di negeri ini. Menteri Besar, YAB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri berpendapat tawaran yang memberikan 12% keuntungan kepada pemegang saham itu adalah lebih adil kepada syarikat-syarikat konsesi .

"Penswastaan air bertujuan untuk memberi perkhidmatan air yang lebih cekap  dengan tarif yang munasabah. Dasar ini tidak bertujuan untuk membolehkan pemegang konsesi membuat keuntungan melampau di atas kesusahan rakyat selaku pengguna.  Walau bagaimanapun, tawaran yang kami berikan ini adalah lebih munasabah jika dibandingkan dengan amalan korporat,” katanya.

Menteri Besar membuat penjelasan ini susulan laporan media baru-baru ini yang menyatakan kerajaan negeri menyemak semula harga tawaran kepada syarikat-syarikat konsesi.

Beliau berkata, pegawai kanan kerajaan negeri telah mengadakan mesyuarat bersama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta agensi Persekutuan lain seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) bagi memastikan tarikh akhir rundingan ini diselesaikan pada hujung tahun ini akan dicapai.

"Dalam mesyuarat-mesyuarat ini, kerajaan Persekutuan telah memberi maklum balas positif  dengan pengiraan tawaran yang kami berikan untuk membolehkan kami membeli syarikat konsesi ini dan seterusnya menyusun semula perkhidmatan industri air,” kata Menteri Besar.

Tan Sri Abdul Khalid melahirkan harapan agar kerajaan Persekutuan terus menyokong usaha kerajaan Selangor ini supaya rundingan yang terbantut sejak beberapa tahun lalu dapat diselesaikan secepat mungkin.

Nyawa II

Idanradzi, 01 Nov 2013
Nyawa II

Dari denyutan nadi ayah & ibu
bersatu janin seorang aku
yang bersemi dalam hembusan roh
bernafas jantungku ke dunia-Mu.

Isteri adalah kekasihku dunia akhirat
aku tidak pernah membahagikan cintaku
siang malam menanti kehadiranmu
dalam tidur & jagaku Bidadariku.

Iman adalah nyawaku nan ramah dalam diri
tidak pernah pun diri mengerti abadi
Dia memerhatiku dalam duduk atau berdiri
dalam solat doa ibadah atau kiblat-Mu
aku bak asyik buta hati lalai duniawi.

Nyawaku punya siapa jika bukanmu kekasihku
Nyawaku punya siapa jika bukan-Mu Ilahiku
Nyawaku punya siapa bila mati tak bernadi lagi.

(Hatta kenapa tamak dengan harta & kuasa
sementelah segalanya takkan kekal lama)


Idanradzi
Kota Bharu Perak.

Ustaz Yusni kekal ketua DPPNPP

Mohd Sabri Said, 01 Nov 2013
PULAU PINANG: Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang,  Ustaz Yusni Mat Piah berjaya mengekalkan jawatanya apabila beliau menang tanpa bertanding jawatan berkenaan dalam Muktamar Dewan Pemuda yang diadakan di  Dewan Al Saha Kepala Batas semalam.

Timbalanya, Hafiz Kasim yang pertama kalinya dicalonkan ke jawatan Timbalan Ketua berjaya menang tanpa bertanding.

Manakala bagi jawatan Naib Ketua pula diamanahkan kepada Asri Harun yang juga menang tanpa bertanding.

Untuk lain-lain jawatan mereka yang terpilih ialah

1. Afnan Hamimi Taib Azamudden
2. Hasbul Nizal Zakaria
3. Wan Ahmad Rafaie Abd Rashid
4. Mohd Raduan Ramli
5. Mohamad Shafirol Rozali
6. Ahmad Taufik Saedon
7. Umar Qusairy Abd Rahim
8. Ahmad Zaim Mohamad
9. Shahnaz Asri
10. Khairul Azhar Abdullah

Muktamar kali ke 33 dirasmikan oleh Ustaz Muhamad Khalil Bin Dato' Seri  Haji Abdul Hadi Awang.

Mana janji BN turunkan harga kereta?

Harakahdaily, 01 Nov 2013
KUALA LUMPUR: PAS Sarawak melihat Bajet 2014 masih jauh daripada menepati janji PRU13 yang lalu. Antara perkara yang dinyatakan dalam manifesto tersebut ialah menurunkan harga kereta secara berperingkat.

Namun, Bagi Timbalan Pesuruhjayanya, Jofri Jaraiee janji penurunan harga kereta langsung tidak disebut dalam pembentangan bajet baru-baru ini.

“Dalam pembentangan bajet 2014 yang lalu, kerajaan BN tidak menyentuh langsung tentang penurunan harga kereta dan motorsikal. Harapan rakyat terutama golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana hampa kerana semasa PRU13 lalu, BN berjanji hendak menurunkan harga kenderaan.” Katanya.

Kegagalan kerajaan BN melaksanakan salah satu janjinya itu tidak mencerminkan tema bajet 2014 “Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi Dan Melaksana Janji”.

Berikut kenyataan beliau.

Dalam pembentangan bajet 2014 yang lalu, kerajaan BN tidak menyentuh langsung tentang penurunan harga kereta dan motorsikal. Harapan rakyat terutama golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana hampa kerana semasa PRU13 lalu, BN berjanji hendak menurunkan harga kenderaan.

Janji BN untuk menurunkan harga kereta antara 20 hingga 30 peratus dalam tempoh lima tahun  adalah realistik dan mampu dilaksanakan kata mantan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir kepada pemberita ketika diminta mengulas Manifesto BN menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu.

Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan BN tidak melaksanakan  janji kepada rakyat seperti mana tema bajet 2014 “Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi Dan Melaksana Janji”. Akibat kenaikan harga bahan api, pengguna terpaksa berbelanja lebih untuk kenderaan mereka dan ini sudah tentu membebankan mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Rakyat Malaysia yang berpendapatan sederhana dan rendah hanya mampu membeli kereta yang dikeluarkan oleh Proton atau Perodua sahaja disebabkan cukai kereta impot adalah terlalu tinggi kerana dasar kerajaan Malaysia untuk melindungi Proton. Kereta impot lebih baik dari segi keselamatan dan kualiti kalau dibandingkan dengan kereta tempatan walaupun dikenakan cukai tinggi.

Kereta adalah keperluan asas untuk bergerak kemana-mana saja pada masa sekarang, ia bukan lagi barang mewah yang hanya mampu dimiliki oleh orang-orang yang berada tapi untuk semua golongan masyarakat. Walaupun golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana hanya mampu membeli kenderaan tempatan tetapi harganya masih juga tinggi dan kurang bermutu.

Umum tahu, selama ini kerajaan telah melindung kereta nasional dengan mengenakan regim tarif dan eksais yang tinggi atas kereta-kereta impot dan tempatan  sehingga harga kereta-kereta impot termasuk kereta nasional kita contohnya model Waja tempatan adalah dua kali ganda harganya berbanding di Saudi Arabia.  Di bawah sistem cukai sekarang, cukai adalah separuh dari harga kereta yang dibayar oleh rakyat maknanya jika anda membeli kereta pada harga RM50,000, sebanyak RM25,000 daripada harga tersebut adalah bayaran cukai kepada kerajaan.

Kita sebagai pengguna berhak untuk menyuarakan pendangan terhadap senario yang berlaku sekarang. Di manakah kedudukan AFTA yang pernah dicanangkan lebih 10 tahun yang lalu? Sampai bilakah kerajaan patut memberikan tongkat kepada Proton dan Perodua? Dan sampai bilakah rakyat Malaysia harus membeli produk dari pengeluar kenderaan lain yang harus berdepan cukai kereta import yang agak tinggi dan menekan golongan bawahan.

Kita mengesa kerajaan Malaysia mengkaji semula duti eksais keatas kenderaan impot agar tidak terlalu membebankan rakyat yang terpaksa menanggung kos yang tinggi sehingga harga kereta import berlipat ganda dari pasaran antarabangsa.

Kalau mahu kereta tempatan berdaya saing dengan kereta import, kerajaan perlu menambahbaik mutu serta tahap keselamatan dalam buatan kereta tempatan dengan harga yang berpatutan.

Kita tidak mahu dengar pemimpin kerajaan mengatakan kita terpaksa menaikkan harga kereta kerana kita tidak mahu rakyat mati kecelakaan. Kalau itu alasannya, adalah lebih baik Malaysia menggunakan kenderaan yang menggunakan tenaga solar dengan kelajuan yang tidak melebihi had laju 100 km sejam. Buat lebih banyak lagi lorong untuk basikal dan kenderaan yang mesra alam. Bukan saja boleh jimatkan minyak bahkan ianya selamat untuk pengguna dan alam sekitar.

Janganlah semua bebanan dipikul dan ditanggung oleh rakyat semata-mata ingin melindungi kepentingan pihak tertentu. Rakyat perlu diberi keutamaan, kalau kerajaan benar-benar ikhlas melihat rakyat hidup sejahtera dan aman.

Ketua Ulamak, timbalan dan naib hanya satu pencalonan

Salmiyah Harun, 01 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Hanya satu sahaja pencalonan yang diterima bagi pemilihan jawatan Ketua, Timbalan dan Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat untuk sesi 2013-2015.

Pada sesi lalu Datuk Ustaz Harun Taib telah dipilih sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat dan untuk pemilihan kali ini beliau dicalonkan semula, begitu juga timbalannya, Ustaz Datuk Ahmad Yakob dan naibnya, Datuk Dr Ustaz Mahfodz Mohamed.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat, Asmuni Awi sebanyak lima borang pencalonan daripada lima negeri telah diterima dan disahkan.

Bagaimanapun katanya, untuk jawatan Timbalan Pengerusi Tetap Dewan Ulamak pihaknya tidak menerima satupun pencalonan bagitu juga untuk jawatan Pemeriksa Kira-kira yang hanya menerima satu pencalonan sedangkan di dalam perlembagaan ianya memerlukan dua orang untuk jawatan itu.

Untuk kedua jawatan ini, beliau berkata ianya harus diselesaikan oleh Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat nanti, jika tidak akan timbul masalah dengan Perlembagaan PAS.

Bagi pencalonan Ahli Jawatankuasa Ulamak PAS Pusat, Asmuni mengumumkan hanya 15 orang sahaja yang layak dicalonkan daripada 32 pencalonan yang diterima, namun seramai 12 orang sahaja diperlukan untuk jawatan ini.

"Bagi jawatan Ulamak, kesemua mereka yang dicalonkan ini boleh mengambil kertas pencalonan mereka sebelum jam 4.00 petang ini. Jika tidak kertas itu akan diposkan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut.

Beliau mengingatkan kepada mereka yang dicalonkan dan berhasrat untuk bertanding mesti menghantar penerimaan pencalonan tidak lewat pada 8 November ini sebelum jam 5.00 petang.

Berikut adalah senarai calon yang layak bertanding.

Pengerusi Tetap: Ustaz Hamdan Mohamad

Ketua: Datuk Ustaz Harun Taib
Timbalan Ketua: Ustaz Datuk Ahmad Yakob
Naib Ketua: Datuk Dr Mahfodz Mohamed

Ahli Jawatankuasa:

Ustaz Abdullah Hussin
Ustaz Abu Bakar Abdullah
Ustaz Mohd Asri Mat Daud
Ustaz Mustafa Shaari
Ustaz Dr Azhar Yaakob
Ustaz Dr Badrulzaman Yusuf
Ustaz Khir Muntanazar Ismail
Ustaz Dr Khairudin Aman Razali
Ustaz Mohd Lutfi Ariffin
Ustaz Mohd Zain Abd Rahman
Ustaz Mokhtar Senik
Ustaz Nik Mohamad Zawawi Salleh
Ustaz Zulkifli Ismail
Ustaz Mohd Zainol Asri Romli
Ustaz Mohamad Ismi Taib

Pemeriksa Kira-kira: Ustaz Ibrahim Omar

Akhbar: Nepal lebih telus berbanding Malaysia

Selangorku, 01 Nov 2013
SHAH ALAM: Nepal lebih telus dan terbuka kerana mempunyai 127 akhbar, berbanding Malaysia yang dilihat kurang memberikan kebebasan media.

Kerajaan Nepal percaya dengan memberikan kebebasan media mampu membawa kepada kemajuan mentaliti pemimpin dan rakyat negara Asia Selatan itu.

Walaupun Nepal masih dikategorikan sebagai negara dunia ketiga daripada segi pembangunan fizikal, tetapi mentaliti pemimpin negara itu dianggap lebih maju berbanding Barisan Nasional (BN).

Bekas Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hata Wahari berkata, hal itu dibuktikan apabila sehingga kini Nepal mempunyai 127 akhbar tidak termasuk akhbar yang diterbitkan peringkat negeri.

“Walaupun kita membangun dan mempunyai prasarana seperti negara maju tetapi mentaliti kerajaan masih di tahap negara dunia ketiga kerana mereka ingin mengawal media. Sebenarnya, semua kerajaan ingin kawal tanpa beri ruang kebebasan kepada media dan masyarakat,” katanya ketika dihubungi TV Selangor, di sini, hari ini.

Hatta turut mengutuk tindakan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan untuk menutup akhbar yang menerbitkan kenyataan beliau dalam satu program di Melaka, baru-baru ini.

“Ini kenyataan paling kurang ajar yang keluar daripada seorang pemimpin dan beliau mempunyai mentaliti dunia ketiga dengan beranggapan mempunyai kuasa dan boleh kawal kebebasan media. Pemimpin seperti ini kita kena tolak,” katanya.

Menyentuh kemenangan portal berita Malaysiakini dalam kes rayuan KDN yang menolak permit penerbitannya, Hatta berharap kemenangan itu akan menjadi contoh kepada media lain supaya berani menerbitkan media seimbang dan telus.

“Kemenangan Malaysiakini patut dijadikan contoh kepada media lain dan saya harap industri media kita lebih bebas serta maju,” katanya.

Jentera Umno menyerupai PAS untuk tarik pengundi

Saidah Hairan, 01 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Politik wang dan mi segera menjadi modal utama BN di samping menyerupai ahli PAS ketika mereka berkempen dari rumah ke rumah khususnya di kawasan pengundi tegar PAS.

Menurut Pengarah Pilihan raya Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi, BN sangat tertekan untuk menang dan merampas Dun Sungai Limau sehingga sanggup melakukan apa sahaja bagi memastikan impian mereka tercapai.

Katanya, ada di kalangan jentera wanita Umno yang sanggup bertudung labuh dan berjubah manakala jentera lelaki pula berkopiah ketika menjalankan kempen di kawasan pengundi PAS.

"Umno BN kelihatan sangat tertekan untuk menang dan merampas Dun Sungai Limau dan sanggup melakukan apa sahaja taktik," tegasnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau yang berada di Dun Sungai Limau sejak sebelum hari penamaan calon berkata, BN juga sanggup menipu pengundi dengan menggunakan kononnya Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abd Razak memberi amanat kepada mereka supaya merampas Sungai Limau.

Amanat tersebut kata beliau digunakan oleh BN untuk menyakinkan pengundi khususnya di kawasan PAS supaya mengundi BN pada 4 November nanti.

"Penipuan ini dilakukan ketika mereka berkempen dari rumah ke rumah," tegasnya.

Selain itu tambah beliau, Umno-BN juga berusaha menempatkan keluarga angkat daripada kalangan orang Umno di rumah pengundi PAS sekaligus memberi peruntukkan bertujuan mendapat sokongan.

Ini merupakan satu cara politik kotor dan tidak bertanggungjawab dengan menggunakan kesusahan rakyat sebagai modal penting untuk terus berkuasa, tegasnya.

Tambah beliau, pelbagai bantuan segera yang bersifat one off diperuntukkan bagi mengelabui mata dan hati rakyat.

Beliau menegaskan, taktik kotor BN itu jauh berbeza dengan PAS yang bersandarkan politik damai iaitu menerangkan serta membimbing rakyat untuk mengenali sikap sebenar Umno BN.

Menurut beliau, PAS seperti biasa berlawan bukan dengan calon BN sahaja tetapi dengan sebuah kerajaan Persekutuan yang lazimnya menggunakan dan memperalatkan semua jabatan dan agensi kerajaan untuk berhadapan dengan PAS.

"Persaingan yang berat sebelah ini meletakkan PAS dalam keadaan yang bukan mudah untuk menang. Insya Allah semua ini tidak pernah mematahkan semangat jentera Muslimat untuk mempertingkatkan program menyantuni rakyat," katanya.

Justeru beliau mengingatkan semua jentera HalWa dan PAS supaya jangan terlalu yakin sehingga jam 5 petang 4 November dan seterusnya hal yang melibatkan pengiraan dan perjumlahan undi.



Tiada ulasan: