Muharram 1435H: Jangan sampai tersasar
Dr Abdul Basit Abdul Rahman, | 04 Nov 2013 |
Ramai daripada kalangan masyarakat yang bertanya:
Benarkah sebaran mengenai catatan amalan ditutup pada akhir tahun, dibuka pada awal Muharram, dan ganjaran orang memperingatkan tentang muharram?
Ada beberapa perkara yang agak keliru dikaitkan dengan bulan Muharram. Antaranya, hijrah Rasulullah SAW dikatakan berlaku pada 1 Muharram, doa awal tahun dan buku catatan amalan ditutup dan dibuka yang baru.
Hijrah:
Hijrah Rasulullah SAW ke Madinah bermula pada bulan Safar. Manakala sahabat-sahabat lain ramai yang berhijrah beberapa bulan sebelum Baginda. Baginda sampai di Madinah pada bulan Rabi'ulAwwal. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, kitab sirah karangan Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri) Bukan bulan Muharram.
Jadi, ada sedikit kekeliruan pada lirik nasyid yang kita dendangkan semenjak kecil dahulu..."Satu Muharram detik permulaan....perpindahan nabi dan umat Islam..."
Agak pahit untuk menyampaikan, apatah lagi hendak ditelan, tetapi kebenaran bukan untuk terus disimpan.
Muharram adalah bulan pertama dari 12 bulan dalam perkiraan orang-orang Arab sejak zaman jahiliyyah. Namun mereka tidak ada sistem tahun seperti sekarang. Maka khalifah Umar al-Khattab RA memutuskan, selepas perbincangan dengan para sahabat yang lain, perkiraan tahun bagi umat Islam ialah bermula pada tahun hijrah Rasulullah SAW. Pada tahun Rasulullah berhijrah itu, Baginda berhijrah dari tempoh Safar hingga Rabiul Awwal, bukan dalam 1 Muharram.
Doa awal tahun (dan berangkai dengan doa akhir tahun)
Doa itu ibadah, begitu juga memohon ampun, boleh dilakukan pada bila-bila masa yang sesuai. Termasuklah doa kita contohnya, "Ya Allah, semoga bermula tahun baru hijrah ini, bertambah iman dan ilmuku, dan semakin baik amalanku."
Namun doa awal tahun dan akhir tahun, yang dibaca dengan kaifiyyat tertentu dikritik oleh para ulama, kerana ia disandarkan kepada sebuah riwayat yang antaranya; ‘Menganjurkan dibaca doa itu 3 kali, dan syaitan pun dikatakan kecewa tidak dapat menggodanya pada tahun itu.'
Riwayat ini tidak ditemui asal usulnya oleh para ulama. Ia dikemukakan dalam buku tertentu tanpa dinyatakan sanad dan sumber. Tiada dalam kitab-kitab hadis mu'tabarah, dan diputuskan sebagai riwayat yang batil. Jadi, tidak boleh kita yakini bahawa ia adalah anjuran dalam agama Islam.
Catatan amalan
Dakwaan yang mengatakan catatan amalan ditutup pada akhir Zulhijjah, dan dibuka pada awal Muharram tidak didasari dengan dalil al-Quran, tidak juga daripada hadith Nabi SAW.
Hadis yang sahih/ thabit menyebut bahawa amalan kita dibentangkan pada:
1. Setiap hari (setiap pagi dan petang.)
2. Dua kali setiap minggu (setiap Isnin dan Khamis)
3. Setiap tahun, iaitu pada bulan Syaaban. (Bukan nisfu Syaaban. -Hadis palsu juga banyak berkisar tentang nisfu syaaban-)
Hadis sahih/thabit bagi setiap kategori adalah seperti berikut :
1. Amalan diangkat/dibentang 2 kali setiap hari. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
"Para malaikat (syif) malam dan malaikat (syif) siang silih berganti turun kepada kalian. Mereka berkumpul pada setiap waktu Subuh dan setiap waktu Asar. Kemudian, malaikat yg menjaga kalian (jika waktu Subuh, malaikat malam, jika waktu Asar, malaikat siang) naik ke atas. Allah pun bertanya kepada malaikat itu - walhal Dia lebih mengetahui tentang hamba-hamba-Nya: 'Dalam keadaan bagaimana kamu semua tinggalkan hamba-hamba-Ku itu?' Jawab para malaikat: 'Kami tinggalkan mereka dalam keadaan mereka sedang solat. Begitu juga ketika kami datang kepada mereka, mereka sedang solat.”
(Sahih Bukhari, Kitab Waktu-Waktu Sembahyang, Bab Fadilat Sembahyang Asar. ) -Hadith Sahih-
Berbahagialah bagi mereka yang menunaikan solat Subuh dan solat Asar, lebih-lebih lagi di awal waktu.
2. Amalan juga diangkat setiap Isnin dan Khamis, dua kali seminggu :
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
"Amalan manusia dibentangkan setiap minggu pada hari Isnin dan Khamis. Allah pun mengampunkan dosa setiap hamba-Nya yang beriman, kecuali hamba yang saling bermusuhan. Lalu dikatakan kepada para malaikat, 'Tinggalkan dahulu mereka berdua ini, sehinggalah mereka berdamai."
(Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, Bab Larangan Saling Bermusuhan Dan Saling Tidak Mempedulikan.) -Hadis Sahih.-
3. Amalan dibentangkan setiap tahun, pada bulan Syaaban. (Bukan Nisfu Syaaban)
Usamah bin Zaid RA melaporkan, katanya, "Saya pernah bertanya, 'Wahai Rasulullah, mengapa saya tidak pernah lihat tuan berpuasa dalam bulan lain, sebanyak puasa tuan dalam bulan Syaaban?'
Jawab Rasulullah SAW, "Itulah bulan yang ramai manusia lalai, antara bulan Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yang diangkatkan amalan kepada Tuhan sekelian alam, dan saya suka amalan saya diangkat dalam keadaan saya sedang berpuasa.'"
(Al-Sunan al-Sughra, Kitab Puasa.) -Hadith Hasan-
Benarkan anjuran memperingatkan?
Tentang hadis anjuran supaya memperingatkan bulan Muharram, dengan ganjaran tidak dibakar api neraka, tidak dapat dikesan dari mana datangnya hadith itu. Agak pelik apabila lafaz yang sama juga disebarkan untuk bulan-bulan lain.
"Barangsiapa yang memperingatkan bulan syaaban...."
"Barangsiapa yang memperingatkan bulan zulhijjah...."
"Barangsiapa yang memperingatkan bulan rejab..."
Berdasarkan panduan para ulama dalam mengenali hadis palsu, dan jika kita biasa dengan hadis yang sahih, hadis ini perlu kita tawaqquf (jangan sebar, jangan beramal kerana hadis itu). Sebarkanlah penjelasan tentangnya.
Kesimpulan :
Sedaya upaya yang mungkin, kita cuba pastikan sebaran yang dibuat menepati saranan hadis sahih:
Nabi SAW bersabda, maksudnya, "Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat. Ceritakanlah tentang Bani Israel dan tidak mengapa (jika kamu tidak menyampaikannya atau jika kamu menyampaikannya). Dan sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja maka biar dia sediakan tempatnya dalam neraka."
(Sahih Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya, Bab Ma Dhukira Bani Israil.)
Q&A: Hukum mematuhi undang-undang negara
Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, | 04 Nov 2013 |
Adakah kita akan berdosa jika kita melanggar undang-undang yang telah ditetapkan oleh negara? Bolehkah terangkan pada saya.
Jawapan;
Mematuhi undang-undang Negara termasuk dalam pengertian mentaati pemerintah. Allah berfirman, maksudnya;
“Wahai orang-orang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” dari kalangan kamu.” (an-Nisa’, ayat 59).
Ulil-Amri dalam ayat di atas bermaksud orang-orang yang bertanggungjawab mengurus urusan kaum muslimin. Mereka merangkumi ulama dan pemerintah. Ulama bertanggungjawab tentang urusan agama dan pemerintah (umara) pula bertanggungjawab tentang urusan duniawi dan maslahah hidup rakyat. (Tafsir Ibnu Kathir)
Para zaman Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- dan khulafak rasyidin, kedua-dua urusan (agama dan dunia) diuruskan oleh seorang ketua/pemimpin yang dipanggil Khalifah atau Amir al-Mukminin. Itulah yang sebaik-baiknya bagi kaum muslimin supaya urusan agama dan dunia dapat diselarikan tanpa wujud pertembungan antara ulama dan umara. Namun, selepas zaman Khulafak Rasyidin kedaan berubah yakni urusan agama ditangani oleh ulama dan urusan dunia pula ditangani oleh umara. Bagi keadaan kedua ini, wajiblah umara merujuk kepada ulama dan wajib pula ulama menasihati umara apabila ada keputusan umara yang bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah.
Kedua-dua ulama dan pemerintah dalam Islam terikat dengan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah. Kerana itu didahului perintah taat dalam ayat di atas dengan ketaatan kepada Allah (yakni al-Quran) dan ketaatan kepada Rasul (yakni as-Sunnah). Apabila wujud sebarang masalah atau pertikaian (yang berkait dengan urusan pemerintahan atau yang berkait dengan rakyat), mereka wajib merujuk kepada Allah dan Rasul (yakni al-Quran dan as-Sunnah) sebagaimana ditegaskan Allah dalam sambungan ayat di atas;
“Kemudian jika kamu berselisihan dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (al-Quran) dan RasulNya (as-Sunnah) jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Itu lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya,” (Surah an-Nisa’, hujung ayat 59).
Dari segi sikap rakyat pula, mereka wajib mentaati pemerintah selama pemerintah berpegang-teguh dengan agama Allah dan tidak menyuruh rakyatnya melakukan dosa, maksiat dan mungkar. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-;
“Wajib ke atas seorang muslim untuk dengar dan taat (kepada pemerintah) dalam perkara yang ia suka atau ia benci selama ia tidak disuruh melakukan maksiat. Namun apabila dia disuruh melakukan maksiat, tidak harus lagi ia dengar dan taat.” (HR Abu Daud dari Abdullah bin Umar –radhiyallahu ‘anhu-).
Kesimpulannya, selama undang-undang yang digubal tidak menyalahi al-Quran dan as-Sunnah, wajiblah kita mematuhinya sama ada undang-undang itu berkait dengan peraturan jalan raya, percukaian, keselamatan, kekeluargaan, kontrak dan sebagainya. Perkara yang wajib jika dilaksanakan akan diberi pahala dan jika dilanggari akan berdosa.
http://ilmudanulamak.blogspot.com/
Masalah bankrap generasi muda petaka negara
Harakahdaily, | 06 Nov 2013 |
Pengarah Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (Juham), Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Zamri As’ad Khuzaimi (gambar) berkata, budaya berhutang dan jumlah pendapatan berbanding kos sara hidup menjadi punca utama fenomena bankrap di kalangan generasi muda.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri baru baru ini mendedahkan, sejumlah 60 orang diisytiharkan bankrap setiap hari di negara ini dengan golongan berumur 35 hingga 44 tahun mencatatkan angka tertinggi iaitu 34.31 peratus.
Statistik yang dikeluarkan menteri tersebut memperlihatkan bagi tahun 2007-2013 sahaja, sewa beli kenderaan mencatatkan jumlah tertinggi kebankrapan iaitu 30,451 kes (26.14 peratus); diikuti pinjaman perumahan 20,529 kes (17.62 peratus); pinjaman peribadi 18,053 kes (15.50 peratus); dan pinjaman perniagaan 14,431 kes(12.39 peratus).
"Juham melihat peningkatan kadar kos sara hidup yang melampau menyebabkan masyarakat terpaksa berhutang bagi meneruskan kelangsungan hidup. Justifikasinya, masyarakat hari ini khususnya golongan muda/belia terpaksa berhutang bagi memenuhi keperluan asasi seperti membeli kenderaan, rumah, pinjaman pelajaran dan lain - lain lagi yang tinggi kosnya serta membebankan rakyat.
"Kesan ini dapat dilihat ketara terutamanya bagi golongan muda yang baru tamat pengajian dan memulakan kerjaya dengan kadar gaji yang tidak relevan seiring peningkatan kos sara hidup terutamanya di kawasan bandar," ujarnya.
Sehubungan itu beliau menggesa kerajaan mengambil langkah segera dalam mengawal kos sara hidup yang tinggi dengan cara menurunkan kadar cukai jualan kenderaan,mengawal harga rumah, menyediakan pinjaman tanpa faedah bagi pinjaman pelajaran serta berusaha meningkatkan kadar gaji pekerja seiring kos sara hidup.
Menurut beliau, Bajet 2014 gagal menyediakan alternatif terbaik dalam menangani isu peningkatan kos sara hidup apatah lagi dengan perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), pemotongan subsidi gula dan minyak serta serta sistem tadbir urus negara yang pincang.
"Sewajarnya subsidi kepada barangan keperluan asas seperti minyak dikekalkan dan ditambah baik kerana kenaikan harga barangan keperluan asas ini akan secara langsung mempengaruhi kenaikkan kos barang keperluan yang lain.
" Urus tadbir negara juga perlu dibersihkan dari segala macam ketirisan,amalan rasuah, pembaziran serta kepincangan seperti mana dilaporkan oleh Laporan Audit Negara saban tahun," tegasnya.
Juham turut mencadangkan satu bentuk pengurusan hutang yang efisyen dan praktikal bagi golongan penghutang dan peminjam dilaksanakan kerajaan.
"Kami bersedia memberikan khidmat nasihat guaman kepada mana-mana pihak yang berhadapan dengan masalah bankrapsi dalam mencari jalan penyelesaian terbaik dalam menangani masalah tersebut," katanya.
PAS gesa Karpal sendiri beri penjelasan
Harakahdaily, | 07 Nov 2013 |
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan itu penting bagi merungkai segala kekeliruan yang timbul akibat laporan media yang memetik kenyataannya sebelum ini.
"Apa yang penting beliau (Karpal) sendiri perlu tampil beri penjelasan, bukan melalui pihak lain.
"Ini untuk kita semua dapat gambaran sebenar," kata Mahfuz kepada Harakahdaily.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang semalam yang tampil memberi penjelasan berhubung perkara itu.
Dalam penjelasannya, Kit Siang berkata, beliau telah bercakap dengan Karpal dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu menjelaskan tidak langsung menyeru supaya pendaftaran PAS dibatalkan.
Justeru, Kit Siang meminta semua pihak mesti berjaga-jaga memandangkan ada pihak yang sedang cuba merosakkan kesepaduan Pakatan Rakyat.
Isu ini timbul ekoran laporan kononnya Karpal mahu pendaftaran PAS dibatalkan atas cadangannya agar parti politik atau pertubuhan berasaskan kaum dan agama boleh menghalang perpaduan kaum di negara ini.
Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, jika kenyataan itu dimanipulasi media, maka Karpal perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap media terbabit.
"Sebaliknya, kalau laporan itu betul, Karpal harus berlapang dada dan berjiwa besar untuk tampil memohon maaf kepada PAS dan seluruh ahli dan penyokong.
"Kita yakin beliau boleh berbuat demikian kerana beliau adalah seorang ahli politik senior," katanya.
Perisikan: Panggil duta Amerika beri penjelasan
Harakahdaily, | 07 Nov 2013 |
“Kami melihat ini adalah suatu pencabulan AS terhadap kedaulatan negara yang tidak boleh dikompromi.
“Kami sudah mengingatkan berkali-kali betapa perhubungan dengan AS membawa risiko yang besar kerana pencerobohan AS dalam pelbagai cara telah lama dilakukan ke atas banyak negara,” tegas Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid.
Katanya, AS menggunakan pelbagai medan atas nama perdagangan, kerjasama budaya dan pendidikan serta latihan ketenteraan untuk mendapatkan maklumat dalam sesebuah negara.
Kini, ujarnya AS menggunakan alasan untuk memerangi teroris untuk menjalankan operasi periskan tanpa mendapat keizinan dari negara di mana ia mempunyai hubungan diplomatik.
Mapim, kata beliau tidak boleh menerima sebarang alasan untuk mengizinkan pencerobohan ke atas Malaysia dilakukan atas nama membanteras pengganas.
“Kami mengambil perhatian terhadap kemarahan banyak kerajaan negara yang disenarai sebagai lokasi perisikan Amerika,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, kemarahan negara-negara itu berasas kerana AS tidak berhak memintas dan membuat operasi perisikan elektronik terhadap percakapan telefon mana-mana pihak dalam negara berkenaan terutama dikalangan pemimpin negara.
“Pihak kerajaan Malaysia tidak boleh memandang ringan pendedahan ini, kerana ia membawa implikasi besar kepada pertahanan dan kedaulatan negara,” katanya.
Justeru, kata Azmi, Mapim menuntut kerajaan Malaysia segera memanggil pihak kedutaan AS di Kuala Lumpur untuk memberi penjelasan dan menyatakan sikap tegas jika mereka menyalahguna premis kedutaannya di Kuala Lumpur untuk menjalankan operasi perisikan.
“Kami mengambil perhatian bahawa operasi perisikan AS di seluruh dunia menunjukkan kuasa imperialis itu akan melakukan apa sahaja tanpa mempedulikan kedaulatan sesuatu negara,” ujarnya lagi.
Tambah beliau, Kerajaan Malaysia ada hak untuk menyuarakan pendiriannya untuk memprotes jika benar aktiviti perisikan ini dijalankan di keduataan AS.
Tegasnya, Mapim berpendirian operasi itu mesti dihentikan dan Malaysia perlu memberi amaran kepada AS bahawa kegiatan itu bererti mengundang kemarahan rakyat Malaysia.
“Kami mempersoalkan adakah AS boleh berkompromi jika ada negara luar melaksanaan operasi perisikan di bumi AS oleh kedutaan negara lain,” kata Mohd Azmi.
Menruutnya, hipokrasi AS dalam dasar luarnya terhadap negara lain sangat jelas kerana ia sentiasa bersikap double standard dalam semua dasar luar negaranya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan