Sabtu, 9 November 2013

BUKAN SG LIMAU SAJA.....MALAH SELURUH MALAYSIA SEBAB ITU TANGGUNG JAWAB

Mujahid tanding AJK Pusat tolak Naib Presiden

Harakahdaily, 08 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa mengumumkan menolak untuk bertanding jawatan Naib Presiden PAS, sebaliknya hanya menerima untuk Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Parlimen Parit Buntar itu dalam satu kenyataan petang ini.

"Dengan penuh rasa insaf dan rendah diri, saya menerima pencalonan sebagai AJK PAS Pusat dan tidak menerima pencalonan sebagai Naib Presiden.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada kawasan-kawasan yang mencalonkan saya sebagai Naib Presiden, namun saya yakin barisan nama yang dicalonkan untuk jawatan tersebut lebih berwibawa dan berkemampuan serta layak," katanya.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Pencalonan untuk pemilihan Muktamar 2013

Bagi memenuhi kehendak perlembagaan parti, muktamar kali ini menuntut para perwakilan memilih kepimpinan baru di semua peringkat. Bagi peringkat Pusat, saya telah dicalonkan oleh beberapa kawasan sebagai mengisi jawatan Naib Presiden dan AJK PAS Pusat. Saya merakamkan jutaan terima kasih ke atas penghormatan yang diberikan terhadap saya dalam pencalonan ini dan saya amat menghargainya.

Saya yakin PAS mempunyai barisan pelapis yang berwibawa untuk memimpin parti dan sesiapa sahaja yang akan dipilih nanti jika menerima pencalonan pasti akan memberikan yang terbaik untuk kepentingan parti dan bukan untuk kepentingan diri atau kelompok.

Dengan penuh rasa insaf dan rendah diri, saya MENERIMA pencalonan sebagai AJK PAS Pusat dan TIDAK MENERIMA pencalonan sebagai Naib Presiden. Saya mengucapkan terima kasih kepada kawasan-kawasan yang mencalonkan saya sebagai Naib Presiden, namun saya yakin barisan nama yang dicalonkan untuk jawatan tersebut lebih berwibawa dan berkemampuan serta layak.

Saya perlu menumpukan tugasan saya meneruskan misi dan visi parti untuk PRU yang akan datang dan memperkukuhkan hasrat Pakatan Rakyat ke Putrajaya selain cuba memperkukuhkan peranan PAS di peringkat kerajaan negeri Pulau Pinang.

Semoga muktamar kali ini menyaksikan pemilihan pimpinan yang terbaik dan saya doakan kepada rakan-rakan seperjuangan daripada calon-calon yang menerima semoga bersainglah dengan akhlak Islam dan garis panduan yang disediakan oleh jawatankuasa pemilihan parti.

Kerajaan lengah tubuh JK Khas Pilihan Raya

Hazayani Zakaria, 08 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim memberitahu bahawa pelaksanaan Jawatankuasa Pemilih Parlimen berkenaan pengurusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih dalam peringkat perincian.

Penubuhan jawatankuasa tersebut diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 1 Jun lalu dalam ucapannya di Istana Negara sempena hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong beliau berkata SPR sentiasa bersedia untuk melaksanakan mekanisme dan cadangan yang bertujuan menambah baik perjalanan pilihan raya di negara ini.

"Mengenai pelaksanaan Jawatankuasa Khas yang diumumkan Perdana Menteri, perkara ini dalam peringkat perincian," katanya.

Mengulas jawapan tersebut Chin Tong berkata, kerajaan harus mengemukakan jadual waktu untuk penubuhan Jawatankuasa Parlimen tersebut.

"Dari jawapan menteri, nampaknya janji Perdana Menteri tidak akan dilaksanakan," katanya.

Chin Tong dalam soalannya meminta Perdana Menteri menyatakan tarikh atau jadual Jawatankuasa Pemilih Parlimen Berkenaan Pengurusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan ditubuhkan dan keahlian serta kuasanya.

BN harus jadikan Sg Limau Dun angkat walaupun kalah

Hazayani Zakaria, 08 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dingatkan agar tidak mengabaikan Dun Sungai Limau walaupun BN kalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun tersebut pada 4 November lalu.

Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar berkata, Mukhriz wajar meneruskan hasrat untuk menjadikan Sungai Limau sebagai Dun Angkat seperti yang dijanjikan ketika kempen PRK.

"Saya nak minta Datuk Mukhriz menunaikan janji untuk bersedia menjadi bapa angkat kepada Dun Sungai Limau walaupun tanpa kemenangan Barisan Nasional.

"Untuk jadi bapa angkat tak perlu tunggu BN menang. Kalau BN menang apa perlu untuk menjadi bapa angkat," katanya ketika ditemui Harakahdaily semalam.

Tambah beliau juga, Mukhriz sebagai Menteri Besar harus membangunkan Kedah secara sama rata tanpa mengira kawasan tersebut dimenangi parti mana.

"Saya minta dia memberi perhatian kepada perkara ini kerana ini adalah janji beliau jadi beliau mesti menunjukkan ketelusan beliau untuk membantu penduduk Sungai Limau dan membagunkan Sungai Limau khususnya untuk membangunkan petani padi," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Kerusi Dun Sungai Limau kekal milik PAS apabila calonnya, Mohd Azam Abdul Samat diisytiharkan menang dengan majoriti 1,084 undi.

Calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim memperoleh 10,985 undi manakala Mohd Azam mendapat 12,069 undi.

Mukhriz sewaktu berkempen di Sungai Limau baru-baru ini berkata beliau akan menjadikan Dun Sungai Limau sebagai Dun angkat beliau sekiranya BN menang dalam PRK kawasan tersebut.

Taufan Yolanda: Jabatan Amal Sabah siap-siaga

Harakahdaily, 08 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Jabatan Amal Sabah diletakkan dalam keadaan bersiap-siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan ramalan Taufan Yolanda akan menuju ke kepulauan Visayas dan Mindanao hari ini.

Taufan dengan kelajuan antara 195 hingga 230 kilometer sejam itu dikatakan lebih kuat daripada taufan Pablo yang melanda akhir tahun yang lalu, telah meragut sebanyak 1000 nyawa di Filipina.

Kerajaan Filipina telah mengeluarkan amaran taufan tahap 1 yang tertinggi terhadap kawasan laluan yang terlibat.

Jabatan Kaji Cuaca Malaysia telah mengeluarkan amaran taufan terhadap kawasan timur laut Kinabatangan, Sabah.

Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di perairan Laut China Selatan, Sulu dan Sulawesi.

Perkembangan taufan Yolanda ini amat merisaukan penduduk di perairan Sabah kerana bakal menyaksikan kejadian hujan yang luar biasa.

Kejadian hujan lebat luar biasa selama dua jam pada bulan November yang lalu telah menyebabkan banjir kilat di beberapa pekan di sekitar Kota Kinabalu.

Banjir yang setinggi 0.5 meter berlaku di kawasan seperti Luyang, Likas, Kolombong, Inanam, Menggatal dan Penampang.

Banjir kilat juga berlaku beberapa bulan sebelumnya pada bulan April yang melihat hujan lebat selama enam jam dimana kawasan yang sama juga dilanda banjir.

Perkembangan taufan Yolanda Ini telah menyebabkan kebanyakan penduduk di sekitar perairan Sabah risau akan tempat kediaman mereka.

Kekuatan taufan Yolanda yang tinggi pada kali ini akan pasti meninggalkan kemusnahan yang lebih teruk di sekitar laluannya.

Walaupun taufan Yolanda tidak melalui kawasan Sabah, ia mampu memberi kesan kepada penduduk Sabah sekiranya awan padat dengan hujan menuju ke arah sini.

Penubuhan JPP tidak hormati kuasa negeri

Harakahdaily, 08 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Cadangan penubuhan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) di setiap kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) oleh kerajaan persekutuan adalah  satu tindakan membuang masa dan peruntukan kerana ia hanya mengambil peranan anggota majlis PBT, kata  Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin (gambar).

Dalam satu kenyataan medianya, Sim berkata, kuasa-kuasa PBT terletak di bawah kerajaan negeri dan penubuhan JPP dengan fungsi yang terhad adalah melanggar perlembagaan.

"Kerajaan pusat harus akur bahawa kuasa PBT terletak di bawah kerajaan negeri dan elakkan daripada melanggar (encroach) kuasa-kuasa kerajaan negeri," tegasnya.

Pada 25 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak  telah mengumumkan peruntukan RM63 juta untuk menubuhkan 24 zon JPP di setiap PBT.

Menurut Najib, JPP akan bertindak sebagai satu entiti yang dianggotai wakil masyarakat setempat bagi menyokong program pembangunan masyarakat, di samping menangani isu-isu perbandaran di kawasan PBT.

Pada 30 Oktober, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Abdul Rahman Dahlan dilaporkan berkata, kerajaan pusat akan menubuhkan 148 JPP.

Inisiatif baharu itu, kata Abdul Rahman adalah hasil maklum balas semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang menunjukkan rata-rata penduduk bandar tidak memahami dengan jelas tentang program dan dasar kerajaan.

Menurut Abdul Rahman, JPP akan diwujudkan di setiap kawasan bandar di bawah pentadbiran PBT di seluruh negara kecuali Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bagi memudahkan penduduk bandar mengutarakan permasalahan dan cadangan kepada kementerian atau agensi di bawahnya.

Menurut Sim, walaupun Pakatan Rakyat secara umumnya menyambut baik inisiatif kerajaan pusat itu, cadangan penubuhan JPP menimbulkan pelbagai persoalan.

Fungsi JPP yang sama dengan tugas ahli majlis, kata Sim menimbulkan syak bahawa ia adalah tindakan pemusatan kuasa kerajaan persekutuan dengan mewujudkan "Ahli Majlis Lantikan Persekutuan" (Federal Councillors).

"Ini mungkin satu cubaan rampasan kuasa dari Kerajaan Negeri dan PBT.  Penubuhan JPP juga mungkin melanggar perlembagaan, sebab PBT merupakan bidang kuasa kerajaan negeri. Saya menyeru kerajaan tempatan dan kerajaan negeri mengambil perhatian terhadap initiatif ini. Setakat ini, kurang perdebatan berkenaan initiatif ini dari kerajaan-kerajaan negeri," ujarnya.

Tujuan penubuhan JPP juga, jelas Sim penuh dengan tujuan politik ekoran kekalahan Umno/BN di kawasan bandar dalam PRU13.

"JPP mungkin bertumpu di PBT-PBT kerajaan Pakatan Rakyat bertujuan bersaing dengan ahli majlis lantikan kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

"Ini menunjukkan bahawa pihak kerajaan pusat tidak menghormati mandat rakyat yang mengundi kerajaan negeri Pakatan Rakyat," ujarnya.

Sim menambah, kerajaan pusat harus akur bahawa kuasa PBT terletak di bawah kerajaan negeri dan mengelak daripada melanggar kuasa-kuasa kerajaan negeri.

"Kerajaan Pusat sebaliknya harus membenarkan Pilihanraya Kerajaan Tempatan yang dicadangkan oleh pelbagai pihak untuk memberi mandat yang lebih besar kepada pentadbiran PBT.

"Kami percaya pilihan raya kerajaan tempatan akan menjadikan Ahli Majlis lebih efektif dalam urusan perbandaran," katanya.

Wang dan hadiah gagal menangkan BN - Dr Mahathir

Harakahdaily, 08 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Pemberian wang dan hadiah tidak akan memberi kemenangan kepada BN seperti dibuktikan dalam pilihan raya kecil (PRK) Dun Sungai Limau dan pilihan raya umum (PRU) lalu, ujar mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar).

Menulis di laman blognya, Che Det, Dr Mahathir menegur kaedah kempen BN yang banyak menggunakan wang dan hadiah.

"Kempen sekarang ini berbeza dari dahulu. Banyak wang diguna. Diadakan karnival di mana ada acara hiburan, jamuan dan hadiah percuma seperti T-shirt BN, PAS yang belum memerintah terpaksa jual T-shirt. Apabila jadi Kerajaan T- shirt tentu percuma.

"Ada jabatan kerajaan yang mengadakan pameran untuk mempromosi Kementerian Pertanian saya fikir. Mereka yang datang melihat pameran diberi sepuluh ekor anak ayam, dedak dan beras. Makanan disediakan untuk pelawat.

"Saya tak tahu samada pameran ini adalah sebahagian dari kempen BN. Jika ia (ya), amat jelas pelawat tidak terpengaruh dengan hadiah anak ayam. Sebenarnya pengundi tidak mengundi mengikut hadiah – samada berbentuk duit atau anak ayam," tulis Dr Mahathir.

Menurut beliau, pemberian wang dan hadiah tidak akan memberi kemenangan kepada mana-mana calon malah wang yang diberi adalah pembaziran,  sama ada wang milik kerajaan atau bukan kerajaan.

Dr Mahathir menambah, sokongan kepada parti politik diasaskan kepada perjuangannya dan tingkah laku pemimpin dan calon.

"Kalau datang dengan Mercedes atau motorsikal 1000 c.c., saguhati dan apa juga yang diberi tidak akan menawan hati. Ada pengundi yang tidak arif yang berkata ini rasuah. Ini sangkaan buruk mereka. Tetapi sangkaan ini walaupun mungkin bukan rasuah mungkin mempengaruhi tindakan mereka," ujarnya.

Dr Mahathir juga mendapati keadaan di Sungai Limau sudah berubah berbanding ketika beliau menjadi wakil rakyat apabila banyak rumah batu berbumbung genting dibina penduduk.

"Nampak sejak saya jadi wakil rakyat dahulu keadaan banyak berubah. Ramai dari orang kampung yang sudah berjaya dan ada duit, walaupun tidak kaya," tulis beliau.

Bagaimanapun beliau mengakui masih ramai penduduk yang miskin dan  amat miskin.

"Kalau mereka diberi peluang dan bantuan mungkin mereka akan berhijrah... Inilah politik semasa. Duit lebih banyak tetapi pengaruh masih belum cukup," ujarnya.

Tiada ulasan: