Rabu, 6 November 2013

BILA KURANG ILMU ISLAM...MAKA KATANYA MELALUT

MPP: Gamis kecam kebiadapan HEP UIAM

Harakahdaily, 06 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) mengecam dan membantah terhadap kebiadapan HEP UIAM, Dr. Mizan Hitam yang melakukan pencabulan demokrasi ke atas perjalanan Pilihanraya Kampus (PRK) UIAM dan dalam proses pemilihan Presiden MPP UIAM yang telah diadakan pada 4 November) lalu.

Timbalan Presiden Gamis, Eikhwan Ali berkata, tahun lalu, PRK UIAM yang juga di bawah seliaannya telah dicemari dengan peristiwa pembatalan keputusan PRK sehingga terpaksa diadakan semula PRK buat kali kedua.

Kata beliau, sebelumnya lagi dan sejak dia berkhidmat di UIAM, telah banyak kali berlaku tragedi malang yang menjatuhkan maruah dan wibawa UIAM dan seluruh warganya sehinggakan UIAM yang dikenali dengan jolokan Taman Ilmu dan Budi bertukar kepada Taman Tangguh dan Batal.

Ini, katanya kerana banyak acara utama yang mendapat sambutan mahasiswa UIAM dibatalkan secara 'adhoc' dan tanpa sebab munasabah.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Saya, mewakili Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) dahulukan kenyataan ini dengan kecaman dan bantahan terhadap kebiadapan HEP UIAM, Dr. Mizan Hitam yang melakukan pencabulan demokrasi ke atas perjalanan Pilihanraya Kampus (PRK) UIAM dan dalam proses pemilihan Presiden MPP UIAM yang telah diadakan pada Isnin (4 November) lalu.

Tahun lalu, PRK UIAM yang juga di bawah seliaannya telah dicemari dengan peristiwa pembatalan keputusan PRK sehingga terpaksa diadakan semula PRK buat kali kedua. Sebelumnya lagi dan sejak dia berkhidmat di UIAM, telah banyak kali berlaku tragedi malang yang menjatuhkan maruah dan wibawa UIAM dan seluruh warganya sehinggakan UIAM yang dikenali dengan jolokan Taman Ilmu dan Budi bertukar kepada Taman Tangguh dan Batal kerana banyak acara utama yang mendapat sambutan mahasiswa UIAM dibatalkan secara 'adhoc' dan tanpa sebab munasabah.

Tahun ini pula, 'shock news' yang 'diumumkan' oleh Dr. Mizan Hitam ialah dia berkuasa menentukan Presiden, tatacara pemilihan empat jawatan utama MPP UIAM adalah atas budi bicaranya, Timb. Presiden 1 (Antarabangsa) hanya boleh dipilih oleh calon antarabangsa dan dia mengendalikan pengiraan undi membelakangkan MPP yang hadir. Perbuatan-perbuatan ini adalah bercanggah dengan Perlembagaan UIAM dan bertentangan dengan prinsip-prinsip demokrasi. Dari aspek akhlak Islamiyyah pula, dia tidak amanah bahkan khianat terhadap tanggungjawab yang telah dipikulkan ke atasnya. Dia tiada integriti dalam melaksanakan tugasnya.

Meneliti peristiwa ini, saya mendesak supaya:

1. Rektor dan Majlis Senat (Senate Council) UIAM menubuhkan tribunal khas bagi menyiasat salah laku yang dilakukan oleh Dr. Mizan Hitam serta menggantung semua jawatan yang sedang disandangnya.

2. Rektor mengumumkan kebenaran diadakan semula syura pemilihan Presiden dan jawatan lain yang berkaitan serta menyerahkan proses itu sepenuhnya kepada MPP sebagaimana yang telah diperuntukkan oleh perlembagaan UIAM.

3. Pentadbiran UIAM memulihkan perjalanan PRK UIAM dengan cara melibatkan wakil pelajar yang terdiri daripada bekas MPP sebagai anggota dalam Election Committee (EC) dan menyerahkan EC untuk dipengerusikan oleh individu yang dicadangkan namanya oleh bekas MPP.

Apa yang memusykilkan saya ialah, berdasarkan 'track record' buruk yang dimilikinya, mengapakah dia masih dipilih mempengerusikan EC untuk PRK kali ini? Siapakah Dr. Mizan Hitam ini sehingga Rektor selaku orang nombor satu UIAM tidak berani campur tangan dalam urusannya? Kenapa dia bebas pula untuk lakukan apa juga misinya tanpa halangan? Apa juga jawapannya, integriti dan kredibilitinya sudah jelas tiada dan punah ranah. Keberadaannya di UIAM merosakkan nilai ilmu dan budi yang telah dibina oleh warganya sekian lama.

Satu penyelesaian sahaja, "NO MIZAN, NO CORRUPTION". Ayuh, saya seru kepada seluruh mahasiswa dan rakyat Malaysia, untuk gerakkan dan sebarluaskan kempen ini sebagai desakan kepada Dr. Mizan Hitam supaya meletak jawatan dan juga sebagai simbolik bantahan terhadap penyelewengan yang berlaku dalam PRK di semua kampus. Ayuh kempen! "NO MIZAN, NO CORRUPTION" sehingga pemilihan Presiden MPP UIAM kembali diadakan secara telus.

Siapa lebih berjiwa besar?

Subky Latif, 06 Nov 2013
Banyak yang bercakap tentang berjiwa besarnya Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri yang berani minta maaf kepada keluarga  Tan Sri Al-marhum Ustaz Azizan Abdul  Razak isu hilang kedua kaki gara-gara mengguna gula berlebilhan.

Tidak kira dia bersalah atau tidak bersalah Tan Sri Muhyiddin minta maaf dulu. Kemudian baru dia menjelaskan kata-katanya dikatakan telah disalah lapor dan disalah ertikan maksud yang  cuba disampaikannya.

Maka mohon maafnya itu kira tindaan berjiwa besar oleh penyokong-penyokongnya, moga-moga benar dia begitu.

Balu Tan Sri Almarhum segera memberi reaksi positif, memaafkannya kiranya benar Muhyidin berkata, apa lagi kalau dia tidak berkata dan tidak bermaksud bagai yang disangka.

Remuk redam hati keluarga yang masih kesunyian atas pemergian  Azizan, terubat dengan penjelasan Muhyidin itu, maka balu Almarhum berkata, mungkin betul ia telah disalah lapor dan disalah erti, dia dan keluarganya terima seadanya dan tidak bersangka buruk kepada manusia yang dikiranya sahabat kepada suaminya itu.

Disebutkan oleh Puan Sri Faekah Hamzah, betapa suaminya telah bersahabat dengan pemimpn  Umno itu ketika  sama-sama berlajar di Mesir dengan kakaknya dulu. Keduanya saling mengenali melalui kakak Muhyidin itu.

Dengan reaksi Puan Sri kira bersihlah Muhyidin dari sangkaan buruk keluarga itu terhadapnya gara-gara laporan semua dengar itu.

Penjelasan Puan Sri itu kerana telah menjernihkan Tan Sri yang dikatakan berjiwa besar, dan jiwa besarnya itu seolah-olah disahkan oleh Puan Sri. Akan ada cacat dan kesannya jiwa besar Tan Sri itu jika tidak disokong oleh reaksi Puan Sri.

Reaksi Puan Sri itu menggambarkan Puan Sri juga berjiwa besar, bahkan lebih besar dari jiwa besar Tan Sri.

Jiwa besar Tan Sri adalah jiwa besar seorang ahli politik. Politiknya politik sekular pula. Sebaik-baik dan sebesar-besar jiwa politikus sekular dan duniawi tidak sama dengan jiwa besar pejuang ukhrawi.

Kita tidak hendak membandingkan antara politikus duniawi dengan politikus ukhrawi. Kita hendak membanding jiwa besar Muhyidin seorang ahli politik dengan jiwa besar seorang Isteri dan ibu yang pengalaman politiknya adalah suaminya berpolitik. Bukan sekadar rakyat umum tidak mengenalinya,  orang PAS pun tidak ramai yang mengenalinya.

Tidaklah dia selincah Muhyuidin yang telah memingirkan dua ketuanya, pertama Tan Sri  Othman Saad, Menteri Besar Johor yang memiliihnya menjadi calon Parlimen di Pagoh dan kedua, Tun Abdullah Badawi yang membantunya menjadi Naib Presiden Umno yang mula-mula dulu. Puan Sri hanya suri rumah, jururawat terlatih, baik suaminya tenaga akademik Islam dan wakil rakyat. Hanya terdedah ke tengah masyarakat setelah suaminya mnjadi Menteri Besar Kedah.

Tiada pengalaman pimpinan masyarakat, tiada pengalaman dan pengetahuan politik, dia membuat kenyataan politik tentang permintaan maaf seorang ahli politik pintar. Kenyataannya itu dan penerimaan maafnya  itu menjadikan Muhyidin tidak ada apa-apa keraguan dengan keluarga si mati. Dia sudah dimaafkan baik dia berdosa mahu pun tidak. Bersih dosanya dari keluarga itu.

Jika Muhyidin sudah tidak ada apa-apa dengan keluarga si mati, maka orang luar tidak boleh kata buruk lagi pada Tan Sri.

Jiwa besar Muhyidin itu cuma sangkut  dengan roh si mati. Kalau Tan Sri disalah lapor dan disalah erti, tiada apa-apalah dia dengan orang dalam kubur. Tetapi jika dia tidak disalah lapor cacatlah jiwa besarnya kerana orang mati tidak memaaf doa orang hidup baik semasa dia masih hidup dan selepas matinya kecuali dengan kehendak Allah.

Muhyidin diterima, Faekah pun diterima. Faekah lebih baik sikit atau banyak  daripada Muhyuidin.

PAS bantah kenyataan Karpal Singh

Harakahdaily, 06 Nov 2013
KUALA LUMPUR: PAS membantah kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh yang meminta parti yang berasaskan kaum dan agama tidak boleh dibenarkan, dan menganggap ianya serius dan membahayakan.

“PAS sangat kesal dengan kenyataan yang tidak berasas ini, yang memperlihatkan betapa Karpal gagal tidak memahami perjuangan PAS,” tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Justeru, beliau bertanya apakah bahaya perjuangan PAS bagi masyarakat majmuk di Malaysia.

Beliau menambah, nilailah sendiri kepada PAS yang memerintah Kelantan lebih 23 tahun, Terengganu pada tahun 1999 dan Kedah pada 2008 dari segi perpaduan kaum dan menjaga hak Muslim dan bukan Muslim.

“Apakah ada golongan bukan Islam yang disisihkan?” tanya Tuan Ibrahim lagi.

Beliau berkata, Karpal sepatutnya mengemukakan fakta bukan mengeluarkan kata-kata mengikut sedap hati.

“Kenyataan begini tidak sepatutnya keluar dari mulut pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dalam suasana rakyat menolak BN dan mulai yakin dengan kepimpinan PR,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Karpal sepatutnya lebih bijak sebelum mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan baik dalam PR serta sokongan rakyat selama ini. Kenyataan sebegini juga merugikan DAP secara amnya.

Sehubungan itu, kata beliau PAS menyerahkan kepada kepimpinan DAP untuk mengambil tindakan berhubung kenyataan tersebut.

“Di atas nama parti, PAS membantah keras kenyataan beliau,” tegas beliau.

Kebijaksanaan Presiden Morsi

www.facebook.com/MesirKini, 05 Nov 2013
KEBIJAKSANAAN PRESIDEN MORSI

Dialog hakim dan Dr Mursi di Mahkamah.

Hakim : Kenapa kamu tidak memakai pakaian penjara?!

Mursi : Aku dipenjara ke?

Hakim : Ya, kamu kan dipenjara!

Mursi : Baik, kamu tahu saya dipenjarakan dimana?

Hakim : Persidangan ditangguhkan.

*Mereka terperangkap dengan soalan yang hampir membongkarkan lokasi rahsia Presiden Mursi disembunyikan selama ini.

Sumber : نبض النهضة
#mesirkini
#R4BIA

Salahuddin tarik diri tanding Timbalan Presiden

Harakahdaily, 06 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS pada pemilihan parti sempena muktamar yang bermula 22 hingga 24 November ini.

Menyatakan hal itu kepada Harakahdaily, beliau memaklumkan tiada keperluan untuk beliau bertanding jawatan nombor dua parti itu setakat ini.

"Saya merasakan tidak ada keperluan untuk saya buat masa ini untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada kawasan-kawasan yang telah mencalonkan saya untuk jawatan ini dan terharu diatas kepercayaan yang sangat bermakna kepada perjuangan saya selama ini," katanya.

Bagi jawatan Naib Presiden PAS pula, Salahuddin berkata beliau tidak mahu mengumumkannya namun telah menyerahkan keputusannya kepada jawatankuasa pemilihan parti.

"Saya juga telah meneliti dengan penuh keinsafan dan tanggung jawab dari pencalonan yg saya terima.

"Keputusan telah saya buat dan telah saya serahkan kepada jawatankuasa pemilihan parti," jelasnya.

"Sama ada saya menerima atau menolak untuk bertanding jawatan Naib Presiden PAS, tunggulah pengumuman daripada jawatankuasa pemilihan parti nanti," katanya.

Selain beliau, turut dicalonkan untuk jawatan Timbalan Presiden PAS termasuklah Mohamad Sabu selaku penyandang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Husam Musa, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Mesir tidak patut halang Osama Morsi ke Malaysia

Selangorku, 05 Nov 2013
SHAH ALAM: Kerajaan Mesir digesa membenarkan anak mantan Presiden Mesir yang digulingkan, Osama Morsi (gambar) untuk ke luar negara bagi menyambung pelajarannya di Malaysia.

Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty, berkata tindakan menghalang keluar dari Mesir itu adalah bertentangan dengan prinsip Undang-Undang Antarabangsa dan Hak Asasi Manusia.

Katanya, adalah tidak wajar kerajaan kudeta Mesir mengamalkan politik membalas dendam terhadap keluarga Dr Morsi yang digulingkan secara tidak demokratik.

“Apa hak kerajaan kudeta Mesir untuk menghalang beliau keluar dan menyambung pelajarannya di Malaysia, sedangkan itu adalah haknya.

“Jadi dia tidak sepatutnya dihalang kerana itu adalah tindakan yang ekstrem dan tidak munasabah serta tidak diterima masyarakat antarabangsa,” katanya ketika dihubungi Portal Selangor Kini, di sini, hari ini.

Muhammad berkata, beliau mengingatkan Kerajaan Malaysia supaya tidak bertindak menghalang kemasukan Osama Morsi ke negara ini.

“Kita harap Kerajaan Malaysia tidak terpengaruh dengan tindakan kerajaan kudeta Mesir dan perlu mengalu-alukan kehadirannya,” katanya.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan bahawa Osama dikatakan mahu menaiki pesawat Egypt Air ke Malaysia gagal melepasi pemeriksaan Imigresen apabila namanya tersenarai antara individu yang tidak boleh keluar dari Mesir.

Osama yang mengulas tindakan kerajaan kudeta Mesir itu berkata, tindakan itu adalah satu lagi siri pelanggaran undang-undang dan pencabulan hak asasi.

Kehadiran Osama di Malaysia untuk menyambung pengajian bagi melengkapkan PhDnya dan tidak ada kaitan dalam sebarang urusan perbicaraan bapanya, Mohamed Morsi.

Tiada ulasan: