Selasa, 2 Julai 2013

MENUTUP AURAT ITU WAJIB...TUTUP BUKAN BUNGKUS





PAS sukar untuk menang di DUN Kuala Besut
Posted on Tuesday, July 02 @ 09:25:50 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Penjagakubur

Oleh: anaabdullah

"Pada saya,kalah dan menang adalah hak Allah SWT. Kalau nak menang berusahalah bersungguh sungguh disamping jangan lupa berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT untuk di anugerahkan kemenangan dalam pilihanraya kecil DUN Kuala Besut.

Mengikut sejarah PAS sukar untuk mendapat kemenangan di Besut ini, kerana orang orang PAS satu sama  lain tidak pernah boleh bersatu. Itulah fakta sebenar. Saya ada pengalaman selama 10 tahun.

Inilah punca sebenar PAS Besut sukar untuk menang kecuali PRU 10 (1999-2004) PAS menang kesemua DUN dan Parlimen atas nama undi protes.

Tengok DUN Jabi, walaupun tak duduk dalam Parlimen Besut, duduk dalam parlimen Setiu ia adalah orang Besut. Cakap pun pekat Besut.Kalah juga PRU 13 lepas kerana tak selari dan tak seirama atas nama PAS.
Itulah perkara buruk yang menjadi sebab PAS tak boleh menang di Besut Khusus di DUN Kuala Besut yang akan diadakan pilihanraya kecil kali pertama selepas PRU 13 nanti.
Calon tak usah cakaplah. Ustaz Nik Zawawi Salleh siapa tak kenal. Beliau bukan sebarang orang.bukan calang calang calon. Ada dua sarjana. Dari segi kelayakan sudah cukup layak mendapat undi berbanding Abdullah Che Muda dan Dr Abdul Rahman Mukhtar.
Walaupun Dr Abdul Rahman Mukhtar ada sarjana muda perubatan dan sarjana perubatan.  Tapi PAS DUN Kuala Besut dua kali kalah sehingga PAS letak calon muslimat pula untuk raih kemenangan. Tak juga menang. Tapi boleh kurang sikit majoritinya berbanding PRU 12 2,631 undi kepada 2,434.
Majoriti undi 2,434 ini bukan suatu yang mudah untuk PAS memenangi kerusi DUN Kuala Besut miskipun umno ada dua puak berbanding PAS yang tak pernah sembuh berbalah sesame sendiri.
Umno hanya berpuak di negeri Terengganu, tetapi masih bersatu di kubu kuatnya berbanding PAS yang kelihatan masih bersatu padu dan berbalah macam  api dalam sekam, duri dalam daging sehingga hari ini.
Yang sangat buruk pada PAS ada ura ura PKR semacam nak cuba “kacau daun” kalau nak menang  kerusi DUN Kuala Besut calonnya bukan calon PAS.Sepatutnya PKR memberi bantuan semampu mungkin agar menang miskipun satu undi.
Datuk Seri Anwar Ibrahim harus berkampung di Kuala Besut untuk memastikan pengaruh undinya yang mengatasi pengaruh undi Datuk Seri Najib Razak  pada PRU 13 lepas mencipta rekod dan bukti sejarah.

 Selamatkah negara kita?
Posted on Tuesday, July 02 @ 08:51:52 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Penjagakubur

Oleh: amkns

"

Sondol belakang curi kereta
1 Jul 2013 Kuala Lumpur: Kejadian langgar dan samun semakin menjadi-jadi apabila seorang lagi mangsa kerugian kira-kira RM80,000 selepas kereta Peugeot 208 dan wang tunai RM1,000 dilarikan dua lelaki dalam kejadian di Bukit Jalil di sini, kelmarin.


Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa yang berusia 25 tahun memandu seorang diri dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Puchong. Mangsa, Shakir Abd Aziz, 25, yang bekerja di sebuah pasar raya di sini berkata, kejadian itu hanya disedari selepas sebuah kereta Honda City yang berada di belakang tiba-tiba melanggar keretanya.


Mangsa culik disamun RM500, diperkosa
1 Jul 2013
   
Kuala Lumpur: Seorang wanita berusia 24 tahun terpaksa menempuh detik hitam dalam hidupnya apabila dia diculik dua lelaki sebelum disamun sebanyak RM500, kelmarin. Lebih malang, mangsa kemudian dibawa ke sebuah hotel murah di Batu Caves, di sini, sebelum dirogol seorang daripada suspek dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu. Menurut sumber, mangsa diculik dua lelaki berusia lewat 20-an itu ketika sedang menunggu bas di Taman Wahyu, di sini, untuk pulang ke rumahnya selepas bekerja.

RM15,000 upah ‘cabut nyawa’
1 Jul 2013

Kuala Lumpur: Antara RM5,000 hingga RM15,000. Itu harga atau upah dikenakan pembunuh upahan yang turut digelar ‘malaikat maut’ bagi membunuh atau menghapuskan sasarannya. Menurut sumber, RM5,000 hingga RM15,000 adalah harga dikenakan pembunuh upahan bagi sasaran biasa. Namun, harga itu boleh mencecah ratusan ribu ringgit sekiranya sasarannya golongan kenamaan, berpangkat tinggi atau pun personaliti.

Pekerja wanita berhak bertudung, pramugari MAS macamana?
Posted on Tuesday, July 02 @ 08:51:27 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Penjagakubur

Oleh: amkns

"


Semua majikan di negara ini mesti memahami bahawa wanita Islam berhak memakai tudung bagi melaksanakan kewajipan mematuhi perintah agama menutup aurat. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, segelintir majikan meletakkan syarat pekerja wanita yang beragama Islam dikehendaki membuka tudung kerana kurang faham tentang kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.


"Bila kita faham kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, kita tidak sewenang-wenangnya menyentuh hak dan agama masing-masing.

"Saya minta pihak berkuasa agama Islam memperjelaskan kepada pihak majikan berhubung kewajipan wanita Islam memakai tudung," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

 Persoalan Angkat Sumpah
Posted on Monday, July 01 @ 20:48:12 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur

Artikel Oleh Khalid Samad

Persoalan angkat sumpah sebagai ahli Parlimen telah banyak menimbulkan perbahasan di kalangan semua pihak. Ada di kalangan penyokong PR sendiri yang beranggapan bahawa Ahli Parlimen PR tidak seharusnya mengangkat sumpah. Mengikut pandangan mereka, mengangkat sumpah akan memberikan ‘legitimasi’ kepada proses pilihan raya yang jelas tercemar dengan beberapa isu tidak ketelusan.

Walaupun tidak ramai yang berpandangan begini, namun usaha mereka untuk meyakinkan semua Ahli Parlimen supaya tidak mengangkat sumpah dilakukan secara bersungguh-sungguh. Komitmen mereka terhadap usaha ini dan kesanggupan mereka untuk memperjuangkan pandangan mereka, sehingga berhadapan dengan pihak FRU di hadapan Parlimen untuk menghantar memorandum, amat saya kagumi.


Mungkin harapan mereka disebalik desakan dan tindakan mereka ialah supaya dengan itu Parlimen tidak dapat berfungsi dan dibubarkan dengan segera dan pilihan raya diadakan kembali. Tanggapan mereka ialah sekiranya Ahli Parlimen tidak mengangkat sumpah, khususnya Ahli Parlimen PR, maka pihak BN akan tertekan sehingga terpaksa membubarkan Parlimen dengan kadar segera.

Walaupun saya mempunyai pandangan berbeza dalam persoalan ini, saya menghormati pandangan mereka serta kesungguhan mereka dalam menyatakan pandangan dan keyakinan mereka. Saya harap mereka juga boleh menghormati pendirian saya sepertimana akan saya jelaskan di bawah ini.

Ahli Parlimen BN mempunyai sikap yang ‘seakan sama’ dengan rakan kami di atas. Namun sikap mereka adalah atas niat dan tujuan yang berbeza. Sebenarnya mereka ingin supaya diberi laluan mudah di Parlimen. Hanya mereka tidak menyatakan niat mereka sebenar tetapi sebaliknya mengatakan bahawa kehadiran kami adalah pengiktirafan bahawa pilihan raya ke 13 adalah pilihan raya yang adil dan telus. Bila ditanya mengapa ianya boleh disimpulkan begitu, mereka tidak mampu menjawab dan hanya berdiam. Bagaimanakah kehadiran kami mengangkat sumpah dianggap pengiktirafan terhadap bersih dan telusnya pilihan raya ke 13?

Hakikatnya, hujjah mereka hanya helah untuk menghalang kami dari hadir. Dengan itu mereka akan mencapai apa yang merupakan matlamat di sebalik penipuan semasa pilihan raya ke 13. Iaitu menghilangkan suara wakil PR di dalam Parlimen!

Saya, seperti saudara saudari semua yakin bahawa pilihan raya ke 13 sememangnya banyak kepincangannya. Namun saya merasakan saya wajib menghadirkan diri untuk mengangkat sumpah. Ini adalah kerana kemenangan saya adalah hasil dari perjuangan gigih warga Shah Alam sehingga segala penipuan dan kepincangan diatasi! Amatlah pelik apabila kemenangan yang diusahakan dengan sebegitu gigih dicapai, maka ianya ‘diserahkan’ kembali kepada pihak lawan.

Kedua, saya tidak yakin bahawa ketidak-hadiran kami akan menyebabkan pihak BN gelisah dan keluh-kesah sehingga akan bubarkan Parlimen dengan seberapa segera. Malahan bagi mereka ianya akan menjadi peluang keemasan untuk meluluskan persempadanan baru, GST dan sebagainya tanpa sebarang perbahasan atau bantahan. Pada ketika itu mereka akan menyatakan bahawa ianya diluluskan sebulat suara tanpa bantahan dan kita akan dipersalahkan oleh rakyat kerana tidak berusaha kearah menghalangnya setelah rakyat memberikan mandat. Kita diberi amanah dan tanggung-jawab untuk membahaskan semua isu di Parlimen tetapi memilih untuk tidak hadir.

Oleh itu ketidak-hadiran kita akan dilihat sebagai tindakan tidak bertanggung-jawab oleh masyarakat umum. Ianya juga akan dilihat sebagai tindakan ingin memaksakan sesuatu ke atas masyarakat dan akan back-fire. Dalam erti kata lain, tindakan itu akan menyebabkan masyarakat marah dan bukan menyokong kita.

Ketiga, yang kita bantah ialah golongan yang menang melalui penipuan. Bukan mangsa penipuan tetapi telah berjaya mengatasi penipuan tersebut! Maka sepatutnya yang dibantah adalah yang menang melalui penipuan yang sudah pastinya bukan Ahli Parlimen PR.

Saya memahami keresahan yang dirasai rakan dari kumpulan NGO. Sememangnya pilihan raya di Malaysia amat sangat berat sebelah dan tidak adil. Daftar pemilihnya tercemar, media dikuasai dan banyak lagi yang tidak patut berlaku telah berlaku. Namun dalam keghairahan kita untuk membawa perubahan kita perlu mengakui juga beberapa fakta. Pertama, UMNO/BN masih mendapat sokongan rakyat, khususnya orang Melayu. Walaupun mereka menyokong atas sebab diputar-belit fakta, dimomok-momokkan dan sebagainya, hakikatnya, sokongan itu tetap ada. Walaupun ianya bukan majoriti dari rakyat, ianya jumlah yang tetap agak besar.

Fakta kedua yang perlu kita iktiraf juga ialah, sebahagian dari penyokong PR itu sendiri adalah pada dasarnya penyokong atas pagar. Mereka boleh saja berubah dan menyokong BN kembali sekiranya dilihat kita tidak memenuhi peranan seperti yang mereka rasakan perlu. Mereka bukan penyokong tegar yang memahami semua persoalan sepertimana kita fahami.

Oleh itu, biarlah tindakan kita bersifat berhikmah dan berperancangan. Kita terus bina kekuatan dan sokongan. Masih banyak yang perlu diperjelaskan kepada rakyat dan jangan kita bertindak dengan cara yang memungkinkan sokongan yang ada hilang. Jangan jadi seperti kata pepatah “yang dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran”.

Akhir kata, ini bukan kali terakhir kita akan berbeza pendapat. Oleh itu adalah amat sangat diharapkan bahawa perbezaan pendapat dapat diterima dan diuruskan denga cara yang matang dan penuh perasaan saling hormat menghormati.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD


....
http://www.khalidsamad.com 


 PRK Kuala Besut : Boikot macam PRK Batu Talam ?
Posted on Monday, July 01 @ 20:32:02 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur

Oleh: tokpepijat

" Adakah PAS perlu boikot PRK Kuala Besut?

PAS pernah boikot PRK Batu Talam 2007 selepas Pas tewas di tangan BN di Kuala Berang, Terengganu (Ogos 2004) dan Pengkalan Pasir, Disember 2005.

Semasa PRU 2004 yang menyaksikan Terengganu dapat ditawan semula oleh BN melalui proses pilihanraya yang amat meragukan dengan peratus keluar mengundi di Terengganu meningkat mendadak hingga kepada 95%, PAS masih "percaya" kepada penipuan berhemah SPR dengan menyertai PRK Kuala Berang Ogos 2004.

Tetapi setelah kalah kali kedua dalam PRK Pengkalan Pasir,Kelantan Disember 2005, PAS mengambil langkah drastik memulaukan PRK Batu Talam Januari 2007.

Timbul persoalan,mengapa PAS tidak boikot PRK Kuala Berang sedangkan jarak masanya dengan PRU 2004 hanyalah 5 bulan sahaja.

Antara alasan PAS boikot PRK Batu Talam ialah  bertujuan mendedahkan kepincangan yang berlaku  dalam proses pilihan raya dan SPR dan memberi mesej kepada SPR mengenai kepincangan yang berlaku.

Kali ini,kepincangan dan penipuan SPR terserlah,tersuluh silau hinggakan Perhimpunan 505 beberapa kali diadakan dan mendapat sambutan hangat dari rakyat yang peduli tentang keadilan dan ketelusan.

Berbeza dengan situasi PRK Batu Talam. Ketika itu majoriti rakyat tidak peduli hal ketelusan. Hanya parti politik yang sibuk "melondehkan" kejahatan SPR. Kini dengan media alternatif dan rakyat marhein serta orang muda maupun mahasiswa, suasana sudah berubah.

Hari ini, terus terang SPR menipu dan bukti penipuan sudah ada "atas darat" !

Adakah dengan menyertai PRK Kuala Besut bermakna PR mengiktirafkan kepimpinan Pengerusi dan Timbalannya yang "ribuan" kali menipu rakyat?

Atau adakah dengan menyertai PRK ini, bermakna PR bersedia masuk "lubang" dan dipatuk ular buat kali kedua ?

Atau PAS tetap masuk PRK Kuala Besut atas dalil untuk berdakwah?

Barangkali cadangan Lim Guan Eng boleh dihalusi dan diperdebatkan.

Apapun, PAS dan PR berada di dua persimpangan. Dan pastinya, bola sedang berada di kaki PAS !

PRK Kuala Besut : Boikot macam PRK Batu Talam ?"


  
Beginilah nasib wanita Islam di Malaysia pada ketika ini
Posted on Monday, July 01 @ 20:30:34 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur

Oleh: amkns

"
Ada syarikat paksa pekerja buka tudung
1 Julai 2013 - Satu siri laporan akhbar Berita Harian hari ini mendakwa terdapat syarikat yang menetapkan syarat ke atas wanita agar membuka tudung sekiranya ingin menerima tawaran kerja.


Laporan tersebut memetik kenyataan dua orang wanita berbeza – seorang daripadanya mendakwa diberitahu mengenai syarat tersebut apabila ditemuduga untuk jawatan kerani di satu rangkaian kedai fotografi.

Seorang lagi wanita mendakwa diminta untuk membuka tudung apabila beliau menerima tawaran untuk jawatan jurujual di satu kedai di Suria KLCC.

Selain itu, wartawan akhbar tersebut turut menyamar sebagai pencari kerja dan mengunjungi satu kedai fotografi.

Wartawan berkenaan mendakwa ditemuduga oleh pengarah sumber manusia syarikat terbabit yang meminta beliau membuka tudung dan memakai skirt bagi membolehkan beliau diterima untuk bekerja.

“Jika mahu bekerja di sini, awak perlu membuka tudung dan memakai skirt. Itu dasar syarikat. Tiada kompromi,” kata pengarah terbabit seperti didakwa dalam laporan di akhbar tersebut.


 Pas pecat ahli terlibat kegiatan Syiah
Posted on Monday, July 01 @ 16:59:50 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Juragan

Oleh Noor Faizal Ghazali

ALOR SETAR - Pas akan mengenakan hukuman tegas ke atas ahlinya termasuk memecat keahlian jika terbukti mereka terlibat dengan kegiatan Syiah.

Tindakan itu adalah untuk mencegah kegiatan yang dikatakan makin menular dalam kalangan pemimpin dan penyokong parti itu walaupun sehingga kini masih belum dapat dibuktikan.

Ahli Majlis Syura Ulamak Pas (Syura), Zaharuddin Mohammad berkata, antara syarat menjadi ahli Pas ialah mesti berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti.

“Jika ada bukti seorang itu adalah pengikut Syiah, kita pecat serta merta tidak kira apa jawatannya sekali pun dalam parti,” katanya ketika menjawab pertanyaan peserta Forum Post Mortem PRU13 Menuju PRU14 diadakan di Komplek Pas Kedah di sini, kelmarin.

Sebelum ini, seorang pemimpin kanan Pas didakwa terbabit dengan ajaran Syiah, yang turut menjadi faktor kekalahan PR di Kedah.

Menurut sumber dalaman, Syura sudah memanggil pemimpin berkenaan untuk membuat pengakuan sama ada terlibat atau sebaliknya dengan Syiah.

Beliau berkata, beberapa hari lalu pemimpin itu sudah menandatangani surat pengakuan bahawa tidak terbabit dengan sebarang aktiviti Syiah seperti yang diuar-uarkan.

Kerajaan negeri sebelum ini memohon kerjasama golongan ulama dan masyarakat setempat dalam menangani isu penyebaran ajaran Syiah yang berlaku di negeri ini.

Exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, Mohd Rawi Abd Hamid berkata, semua pihak perlu memainkan peranan kerana ia merupakan ancaman terbesar akidah yang harus dikekang.

Menurutnya, golongan ulama lebih arif untuk mengenal pasti individu terlibat dan maklumat itu boleh dijadikan panduan agar orang ramai lebih berhati-hati manakala pusat pengajian agama diminta menyalurkan maklumat mengenai penyebaran ajaran itu jika dikesan di kawasan mereka.

Sinar Harian

 Alkisah mengerti sangka buruk…
Posted on Monday, July 01 @ 16:51:39 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Juragan

Oleh Dato' Tuan Ibrahim

Izwan kehilangan kapaknya telah mengadu pada Ustaz Farid.

“Ana syak anak jiran ana mencuri kapak ana. Tiba-tiba hilang semalam,” rungut Izwan.

Ustaz Farid mengikut Izwan balik ke rumah dan suruh beliau duduk di luar rumah untuk memerhatikan tingkah laku anak jirannya.

Anak jirannya keluar dari rumah dan memberikan salam kepada Izwan dan Ustaz Farid.

“Ustaz, lihat cara dia berjalan, lihat reaksi muka dia bila nampak ana, lihat cara dia bercakap tadi, tengok gerak badannya – semua memberikan tanda-tanda bahawa dia adalah pencuri kapak ana,” tegas Izwan.

Ustaz Farid berkata, “Ok” dan beredar dari situ…

Besok hari, Ustaz Farid pulang dan menyuruh Izwan untuk duduk di tempat yang sama untuk melihat gelagat anak jiran lagi.

Tapi kali ini, Ustaz Farid mengeluarkan kapak yang dicari-cari Izwan yang tertinggal di surau ketika beliau pergi membaiki dinding surau tempoh hari.

Anak jirannya berjalan dari rumah dan memberikan salam seperti biasa kepada Izwan dan Ustaz Farid.

“Ada masalah lagi pada cara dia berjalan? Ada masalah lagi dengan reaksi muka dia? Ada masalah lagi dengan cara dia bercakap?” tanya Ustaz Farid.

Izwan menunduk malu memikirkan fitnah yang dilakukan pada anak jirannya sejak kapaknya hilang.

Tiadalah lagi tindak-tinduk anak jirannya yang menyebabkan Izwan berasa ia adalah pencuri seperti semalam setelah mendapatkan kembali kapaknya.

Apa moral cerita ini?

“Fakta” kadang-kala terletak pada mata seseorang dan bukannya pada realiti sebenar.

Jangan cepat membuat kesimpulan tanpa menyelidik sesuatu maklumat.

Senyum.

Facebook Dato' Tuan Ibrahim


Kewajipan Menutup Aurat

Ditulis oleh : Ummu Abdillah

Dewasa ini kita menyaksikan ramai wanita yang telah memakai tudung di tempat-tempat awam samada yang berjubah, berbaju kurung atau berseluar. Ini merupakan satu fenomena yang baik jika dibandingkan dengan zaman datuk nenek kita yang mana sukar untuk kita melihat para wanita memakai tudung. Namun begitu, ada juga sesetengah wanita di zaman ini yang kurang mengerti apakah pengertian sebenar menutup aurat. Sekadar memakai tudung di tempat-tempat awam telah disangkanya menutup aurat, sedangkan menutup aurat dan hanya memakai tudung melitupi kepala adalah dua perkara yang berbeza. Fenomena bertudung ini akan bertambah baik sekiranya para wanita memahami pengertian aurat dan bagaimana menutup aurat dengan sempurna serta mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Artikel ini akan cuba untuk mendefinisikan apakah aurat wanita yang sebenar dan penulis akan membawakan dalil yang menunjukkan kewajipan menutup aurat menurut al-Quran dan Sunnah, syarat-syarat pakaian yang menutup aurat menurut syara’ serta definisi mahram.
Kepentingan menutup aurat
                Mengapa manusia perlu menutup aurat? Dan mengapa urusan berpakaian ini tidak diserahkan kepada manusia? Allah Subhanahu wa Ta’ala adalah pencipta kita, Dia lebih mengetahui perihal hambaNya lebih daripada hambaNya mengenali dirinya sendiri. Jika urusan pakaian ini diserahkan kepada manusia, nescaya ia boleh membawa kepada kerosakan. Kita lihatlah sendiri, sedangkan hukum pun telah ditetapkan, ramai wanita yang hampir sahaja bertelanjang di luar sana, apatah lagi jika hukum ini diserahkan kepada manusia. Setiap insan, baik lelaki mahupun wanita, perlulah berpegang teguh dengan pakaian syar’ie iaitu cara penutupan aurat yang telah ditetapkan oleh Allah. Tidak semestinya perihal berpakaian ini termasuk urusan keduniaan, maka kita sewenang-wenangnya boleh melanggar perintah ini. Seperti yang kita sedia maklum, Islam merupakan agama yang meliputi urusan akhirat dan dunia. Oleh itu, ketaatan merupakan suatu kewajipan bagi kita terhadap kedua-dua jenis urusan ini, baik ukhrawi mahupun duniawi.
Definisi aurat
Dari segi bahasa, aurat membawa maksud kecacatan atau keaiban pada sesuatu. Ia juga bermaksud apa jua yang ditutupi oleh manusia kerana rasa malu[1]. Manakala secara istilahnya, aurat bermaksud setiap anggota yang wajib ditutup dan haram untuk dilihat[2]. Di sini, penulis akan membincangkan apakah anggota yang wajib ditutup oleh seorang wanita Muslimah yang telah baligh. Apabila kita membincangkan aurat yang wajib ditutup, ia mempunyai cabang yang banyak; aurat di hadapan mahram, aurat di hadapan bukan mahram (ajnabi), aurat di hadapan suami, aurat di hadapan wanita Muslimah atau kafir. Tulisan ini secara khususnya akan membincangkan aurat yang wajib ditutup di hadapan bukan mahram. Definisi mahram dan penerangan lanjut mengenainya akan diterangkan kemudian di dalam penulisan ini.
Dalil wajibnya menutup aurat
                Kewajipan menutup aurat telah disebut oleh Allah Ta’ala di dalam al-Quran di beberapa tempat. Antaranya, Allah Ta’ala berfirman :
وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ
Maksudnya : Katakanlah kepada wanita yang beriman : Hendaklah mereka menahan pandangan mereka   dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya… (al-Nuur : 31)
Allah Ta’ala juga menyebut di dalam al-Quran :
وَالْقَوَاعِدُ مِنَ النِّسَاءِ اللَّاتِي لَا يَرْجُونَ نِكَاحًا فَلَيْسَ عَلَيْهِنَّ جُنَاحٌ أَنْ يَضَعْنَ ثِيَابَهُنَّ غَيْرَ مُتَبَرِّجَاتٍ بِزِينَةٍ وَأَنْ يَسْتَعْفِفْنَ خَيْرٌ لَهُنَّ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya : Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti (dari haid dan mengandung) yang tidak ingin kahwin (lagi), tiadalah dosa atas mereka menanggalkan pakaian (pakaian luar yang kalau dibuka tidak menampakkan aurat) mereka dengan tidak (bermaksud) menampakkan perhiasan, dan berlaku sopan adalah lebih baik bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (al-Nuur : 60)
Seterusnya, Allah Ta’ala juga menyebut :
 يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا
Maksudnya : Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin : “Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka”. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (al-Ahzab : 59)
Ini ialah perintah yang turun dari tujuh petala langit kepada para wanita Muslimah supaya memelihara aurat dan kehormatan mereka. Dan hendaklah para wanita bersegera untuk menyahut seruan Allah ini kerana ia merupakan tanda keimanan, kehambaan serta kepatuhan kita kepadaNya. Ayat-ayat suci ini diulas dan diperincikan dengan lebih lanjut oleh hadis-hadis Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam supaya para wanita memahami bagaimanakah untuk menutup aurat seperti yang dikehendaki oleh agama dan bukannya menutup aurat mengikut syariat sendiri ataupun kemahuan sendiri.
Dalam masalah aurat ini, Dr. Abdul Karim Zaidan hafizhahullah mengatakan kaedah yang diguna pakai secara umumnya ialah : “Setiap aurat wanita wajib ditutup dan disembunyikan dari pandangan lelaki yang bukan mahram, dan anggota badan wanita yang bukan aurat boleh dinampakkan dan tidak perlu ditutup dari pandangan lelaki yang bukan mahram melainkan jika ada sebab-sebab tertentu”[3]. Apakah anggota badan wanita yang dikira aurat dan apa pula yang bukan aurat? Majoriti para ulama’ mengatakan bahawa seluruh anggota badan wanita ialah aurat kecuali muka dan kedua tapak tangannya. Ibn ‘Abbas radhiyallahu ‘anhu menafsirkan ‘kecuali yang (biasa) nampak daripadanya’ dari ayat 31 dalam surah al-Nuur sebagai muka dan tapak tangan[4].  Jadi setiap wanita Muslimah yang telah baligh wajib menutup seluruh anggota badannya dari pandangan lelaki yang bukan mahram kecuali muka dan kedua tapak tangannya.
Dalam sebuah hadis Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha maksudnya : “Asma’ binti Abi Bakr al-Siddiq masuk menemui Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam dan dia memakai pakaian yang nipis, Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam berpaling daripadanya dan berkata : ‘Wahai Asma’, sekiranya seorang wanita telah didatangi haid, anggota badannya tidak boleh diperlihatkan kecuali ini dan ini’, Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam mengisyaratkan ke mukanya dan kedua tapak tangannya”[5].
Syarat pakaian wanita Muslimah
Menutup aurat bukanlah juga semata-mata tidak menampakkan anggota badan kecuali muka dan tapak tangan, tetapi syariat Islam telah menetapkan beberapa syarat pada pakaian wanita Muslimah. Setiap syarat ini perlu dipatuhi supaya ianya memenuhi maksud menutup aurat itu sendiri. Jika salah satu syarat ini tidak dilaksanakan oleh seseorang wanita itu, maka ia tidak dikira sebagai menutup aurat.
Pertama; hendaklah pakaian itu melitupi seluruh badan kecuali anggota yang bukan aurat. Syarat ini telah dibahaskan serba-sedikit di atas. Di sini, penulis akan menyebutkan jenis-jenis pakaian wanita yang digunakan untuk menutup aurat.
1)       Khimar (tudung). Perkataan khimar ini ada disebutkan di dalam al-Quran dalam surah al-Nur ayat 31. Allah Ta’ala berfirman : وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ. Khimar bermaksud kain yang digunakan untuk menutup kepala. Disebutkan di dalam tafsir al-Qurtubi bahawa sebab ayat ini turun adalah kerana wanita pada masa itu memakai tudung dengan mengikatnya dan melabuhkannya ke belakang, oleh itu ia menampakkan leher dan telinga. Kemudian Allah memerintahkan supaya tudung tersebut dilabuhkan ke atas tempat potongan leher supaya ia menutup dada mereka[6]. Oleh itu, dari ayat ini serta sebab turunnya ayat ini, jelaslah seorang wanita Muslimah itu mesti memakai tudung dengan sempurna dengan tidak menampakkan leher, telinga dan dada.
2)       Jilbab. Perkataan jilbab disebut di dalam al-Quran dalam surah al-Ahzab ayat 59. Allah Ta’ala berfirman : يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا. Ibn al-‘Arabi rahimahullah berkata mengenai tafsir ayat di atas : ‘Manusia berselisih pendapat mengenai makna ‘jilbab’ dengan lafaz yang saling menghampiri maknanya antara satu sama lain. Secara umumnya, ia adalah baju yang dipakai untuk menutup seluruh anggota badan’[7]. Jilbab atau dalam erti kata lainnya, pakaian yang menutup aurat wanita itu wajib dipakai ketika keluar dari rumah supaya aurat wanita terlindung dari pandangan lelaki ajnabi. Selain itu, ia juga wajib dipakai walaupun di dalam rumah sekiranya ada lelaki yang bukan mahram. Ini adalah satu perkara yang sering disalah fahami oleh wanita zaman sekarang. Mereka beranggapan bahawa menutup aurat itu hanya apabila keluar dari rumah sedangkan aurat itu perlu ditutup dari terlihat oleh lelaki yang bukan mahram, tidak kiralah walau di mana jua pun tempatnya.
Kita telah mengetahui bahawa wanita wajib menutup seluruh anggota badannya kecuali muka dan tapak tangan, adakah ini bermakna panjang kain wanita itu tiada hadnya dan dia boleh melabuhkannya sesuka hati? Kita lihat suatu hadis yang berbunyi : ‘Ummu Salamah radhiyallahu ‘anha isteri Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata kepada Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam ketika Baginda menyebut mengenai kain sarung (larangan melabuhkannya bagi lelaki) : Bagaimana pula dengan wanita wahai Rasulullah? Baginda berkata : Labuhkanlah ia sejengkal. Ummu Salamah berkata : Jadi akan terlihatlah kaki kami. Baginda berkata lagi : Labuhkanlah sehasta dan tidak boleh lebih dari itu[8]. Maksud hadis ini ialah wanita boleh melabuhkan kainnya dengan kadar sehasta dari paras tengah betis dan tidak boleh lebih dari itu kerana hadis ini telah jelas melarangnya. Pada zaman Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam, para wanita melabuhkan kain untuk menutup kedua kakinya.
Kedua; hendaklah pakaian itu tebal dan tidak nipis. Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : ‘Dua golongan dari ahli neraka yang tidak pernah aku lihat : satu kaum yang mempunyai cemeti seperti ekor lembu, mereka memukul manusia dengannya, dan wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, mereka jauh dari ketaatan kepada Allah serta mengajar yang lain tentang perbuatan mereka (tidak menutup aurat), kepala mereka seperti bonggol unta, mereka ini tidak masuk syurga dan tidak mencium bau syurga sedangkan bau syurga itu dapat dihidu dari jarak ini dan ini’[9].
                Hadis ini menunjukkan bahawa haramnya bagi seorang wanita untuk memakai pakaian yang nipis yang menampakkan warna kulit. Ibn Abd al-Barr berkata : ‘Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam memaksudkan wanita yang memakai pakaian yang nipis yang menyifatkan badan mereka serta tidak menutupinya, mereka ini secara namanya berpakaian tetapi pada hakikatnya bertelanjang’[10].
                Ketiga; hendaklah pakaian itu longgar dan tidak ketat. Pakaian yang ketat dan menampakkan susuk tubuh wanita tidak memenuhi maksud menutup aurat kerana ia boleh membangkitkan syahwat dan mendatangkan fitnah serta kerosakan. Pakaian yang ketat tetap dilarang walaupun ianya tebal dan tidak nipis. Dalam sebuah hadis dari Ibn Usamah bin Zaid dari bapanya, beliau berkata : ‘Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam memakaikan aku qubtiyyah (sejenis pakaian dari Mesir yang nipis berwarna putih)  yang tebal, yang dihadiahkan oleh Dihyah al-Kalbi. Lalu aku memakaikannya pada isteriku. Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata kepadaku : ‘Mengapa kamu tidak memakai qubtiyyah?’ Aku berkata : ‘Wahai Rasulullah, aku telah memakaikannya pada isteriku’. Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : ‘Pergilah kepadanya dan suruhlah dia memakai ghilalah[11] di bawahnya, sesungguhnya aku takut ia akan menampakkan susuk tubuhnya’[12].
                Apakah faedahnya memakai pakaian lain di dalam sedangkan baju tersebut adalah tebal? Ini kerana ada baju yang boleh menampakkan susuk tubuh walaupun ia tebal kerana tekstur baju tersebut yang lembut dan licin. Maka oleh itu, wanita perlulah memakai pakaian lain di dalamnya supaya tidak menampakkan lekuk tubuh. Begitu juga jika pada asalnya baju tersebut memang ternyata ketat dan mengikut bentuk tubuh badan, maka ia juga tidak memenuhi syarat menutup aurat dan seorang wanita Muslimah tidak boleh berpakaian sedemikian rupa.
                Keempat; pakaian tersebut tidak menyerupai pakaian lelaki. Ibn ‘Abbas radhiyallahu ‘anhu berkata : ‘Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki’[13]. Apabila dalam suatu hadis menyebut perkataan ‘laknat’, ini membawa maksud bahawa perbuatan itu merupakan suatu dosa yang besar. Terdapat banyak lagi hadis yang melarang lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki. Ibn Hajar rahimahullah menjelaskan bahawa perkara yang dilarang serupa antara lelaki dan wanita ialah pakaian, perhiasan, cara bercakap dan cara berjalan[14].
Definisi mahram
                Adalah amat penting bagi para wanita untuk mengetahui siapakah mahram mereka supaya mereka dapat menjaga aurat dari terlihat oleh orang yang tidak sepatutnya. Mahram ialah lelaki yang haram dikahwini oleh seseorang wanita buat selama-lamanya contohnya bapa kepada si perempuan. ‘Kemahraman’ seseorang itu boleh terjadi sebab nasab (keturunan), penyusuan atau al-mushoharah (disebabkan oleh perkahwinan).
                Mahram dari sebab keturunan disebutkan oleh Allah Ta’ala dalam ayat 31 surah al-Nur.  Mereka ialah :
  1. Bapa; iaitu bapa dan ke atas (datuk, moyang dan seterusnya) kepada si perempuan, samada dari sebelah bapa atau ibunya.
  2. Anak lelaki; iaitu anak kepada si perempuan. Termasuk di dalamnya ialah anak lelaki kepada anak (cucu) dan ke bawah, samada daripada anak lelaki atau perempuan.
  3. Adik-beradik lelaki; samada daripada yang seibu dan sebapa, atau seibu sahaja atau sebapa sahaja.
  4. Anak lelaki kepada adik-beradik lelaki dan ke bawah.
  5. Anak lelaki kepada adik-beradik perempuan dan ke bawah.
  6. Bapa saudara dari sebelah ibu dan bapa; mereka adalah mahram yang disebabkan keturunan walaupun tidak disebutkan dalam ayat 31 surah al-Nur. Ini kerana mereka menduduki tempat ibubapa. Bapa saudara turut dipanggil bapa; ini direkodkan dalam al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 133, apabila anak-anak Nabi Yaakob ‘alayhis-salam berkata : ‘Kami (akan) menyembah Tuhanmu dan Tuhan bapa-bapamu (iaitu) Ibrahim, Isma’il dan Ishaq..’. Nabi Isma’il ‘alayhis-salam adalah bapa saudara kepada anak-anak Nabi Yaakob ‘alayhis-salam.
Manakala mahram yang disebabkan oleh penyusuan pula disebut dalam suatu hadis dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha beliau berkata : Selepas turunnya ayat hijab, Aflah, saudara kepada Abu Qu’ais, meminta izin daripadaku untuk masuk, aku berkata : Aku tidak akan benarkan sehinggalah aku minta izin daripada Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam, ini kerana bukan Abu Qu’ais yang menyusukan aku tetapi isterinya yang telah menyusukan aku. Kemudian Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam masuk kepadaku, lalu aku berkata kepada Baginda : Aflah, saudara Abu Qu’ais meminta izin kepadaku tetapi aku tidak benarkan sehinggalah aku meminta izin darimu. Lalu berkata Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam : ‘Apa yang menghalang engkau untuk membenarkan bapa saudaramu masuk kepadamu?’ Aku berkata : Wahai Rasulullah, sesungguhnya bukan lelaki itu yang menyusukan aku tetapi isteri Abu Qu’ais yang menyusukan aku. Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : ‘Izinkanlah dia, sesungguhnya dia adalah bapa saudaramu’. Berkata ‘Urwah : Oleh itu, ‘Aisyah mengatakan apa yang haram disebabkan keturunan itu adalah haram juga disebabkan penyusuan[15].
Dan mahram yang disebabkan oleh mushoharah bermaksud mahram yang disebabkan oleh perkahwinan. Contohnya, bapa kepada si suami (bapa mertua) menjadi mahram dan haram berkahwin dengannya selama-lamanya walaupun perempuan tadi telah bercerai dengan suaminya. Begitu juga anak lelaki kepada si suami yang datang daripada isterinya yang lain juga menjadi mahram kepada perempuan tadi. Dan suaminya juga menjadi mahram kepada ibu perempuan.
Inilah serba-sedikit perincian mengenai hukum-hakam dalam menutup aurat. Semoga para wanita Muslimah dapat memahami apakah tuntutan syara’ yang sebenar dalam kewajipan mereka untuk menutup aurat dan semoga setiap butir ilmu ini dijadikan amalan dan praktikal dalam kehidupan seharian. Allahu’alam.

[1] Mu’jam al-Wasith, hlm. 667. [2] Mustafa al-Bugha dan lain-lain, al-Fiqh al-Manhaji, jil. 1, hlm. 125.
[3] Abdul Karim Zaidan, al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim, jil. 3,  hlm. 183.
[4] Diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim dan al-Baihaqi. Lihat : Al-‘Azhim Abadi, ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, jil. 11, hlm. 98.
[5] Diriwayatkan oleh Abu Daud (hadis no. 4104 & 4106). Hadis ini disahihkan oleh al-Albani.
[6] Al-Qurtubi, Muhammad bin Ahmad, al-Jami’ li Ahkam al-Quran, jil. 12, hlm. 205.
[7] Ibn al-‘Arabi, Tafsir Ibn al-‘Arabi, jil. 3, hlm. 1574.
[8] Diriwayatkan oleh Abu Daud (hadis no. 4117)
[9] Diriwayatkan oleh Muslim (hadis no. 5704).
[10] Lihat : al-Albani, Hijab al-Mar’ah al-Muslimah, hlm. 126.
[11] Pakaian nipis  yang dipakai di dalam.
[12] Diriwayatkan oleh al-Dhiya’ al-Maqdisi, Ahmad, al-Baihaqi dengan sanad yang baik.
[13] Diriwayatkan oleh al-Bukhari (hadis no. 5546) dan Ibn Majah (hadis no. 1904)
[14] Ibn Hajar, Fath al-Bari, jil. 10, hlm. 332.                      
[15] Diriwayatkan oleh al-Bukhari (hadis no. 4518, 4815, 5804); Muslim (hadis no. 3646).


Tiada ulasan: