Ahad, 14 Julai 2013

MEMANG ORANG ISLAM WAJIB MEMPERJUANGKAN ISLAM...BUKANNYA MENENTANG ISLAM ATAU RAGU2 TENTANG SYARIAT ISLAM

Keluarga calon BN sedia sokong Che Long

Aslani M, 13 Jul 2013
BESUT: Biar pun ayah calon BN, Che Ku Abdul Rahman mendakwa mempunyai keluarga besar di sini, sebaliknya sebahagian daripada mereka diberitahu bersedia untuk menyokong calon PAS, Azlan Yusof atau Che Long (gambar).

Adun Chukai, Hanafiah Mat mendakwa berdasar kepada pertemuan dengan anggota keluarga calon BN, sebahagian mereka memberi komitmen bagi menyokong calon PAS

“Saya sudah berjumpa sebahagian daripada mereka, dan ramai menyatakan kesediaan untuk menyokong Che Long kerana lebih dekat dengan masyarakat di Kuala Besut,” katanya pada ceramah di Seberang Barat malam tadi.

Baru-baru ini Che Ku, bekas anggota jawatankuasa Umno Besut mendakwa mempunyai seramai 3,000 anggota keluarga yang memberi kelebihan kepada anaknya.

Seberang Barat sebuah perkampungan nelayan, di mana ramai mendapat bantuan bulanan daripada kerajaan.

Insentif RM200 sebulan membuatkan sebahagian besar nelayan di situ terperangkap dalam jerat Umno. Maka tidak hairanlah ia menjadi kubu kuat Umno di Kuala Besut.

Kira-kira 70,000 nelayan di seluruh negara sejak September 2008 menerima bantuan sara hidup sebanyak RM200 sebulan.

Nelayan diberi kad nelayan bagi melayakkan untuk menikmati elaun terbabit dengan syarat perlu berdaftar dengan Jabatan Perikanan.
Selain itu nelayan juga diberi bantuan bot dan enjin serta pelbagai kemudahan lain. Bantuan tersebut menyebabkan nelayan terpaksa tunduk kepada tekanan Umno.

Tekanan berterusan itu juga menyebabkan tidak ramai penduduk tempatan tampil di hadapan pentas, tempat ceramah diadakan malam tadi.

Sebaliknya mereka dilihat berada dalam gelap di kawasan sekitar. Strategi itu bagi mengelakkan bantuan dinikmati mereka sekarang terjejas.

Ceramah diadakan di Pasti di kampung tersebut. Sepanjang laluan ke tempat ceramah terdapat banyak bendera dacing.

Ada juga petugas BN sibuk  memasang bendera dacing di kiri kanan jalan.

Hanafiah berkata, nelayan di Kuala Besut perlu lebih berani bagi mengelakkan mereka terus dipersendakan pemimpin Umno melalui pelbagai bantuan kebendaan.

“Kalau pemimpin Umno beri apa sahaja ambil, tetapi undi belum tentu bagi kepada BN. Nelayan perlu ada keberanian untuk berubah.

“Tengok projek perumahan untuk nelayan di sini sehingga sekarang tidak boleh diduduki lagi. Rumah flat itu sebanyak 300 unit, namun borang yang dikeluarkan sebelum ini difahamkan sebanyak 5,000 keping,” katanya.

Difahamkan menjelang pilihan raya umum lalu borang memohon menduduki projek perumahan nelayan diedar kepada golongan muda, sebagai senjata menarik undi kepada BN.

Oleh itu Adun Chukai mengajak nelayan di Kuala Besut membuat perubahan dengan memberi sokongan kepada Che Long untuk membolehkan tekanan politik melampau terhadap mereka dibebaskan.

Kata beliau di tangan pengundi Kuala Besut bakal menentukan nasib kerajaan Terengganu pada 24 Julai ini.

Hadir sama pada program berkenaan Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof, Che Long dan wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS dari Perak, Suria.

Ambil tanah rakyat

Sementara itu difahamkan kerajaan BN Terengganu akan melakukan pecah tanah bagi membina apartment mampu milik setinggi 4 tingkat di atas tanah milik penduduk di Kampung Beris Lampu, Tok Saboh.

Tanah tersebut sebelum ini diluluskan kerajaan negeri ketika ditadbir PAS kepada penduduk, namun 'dirampas' semula kerajaan BN bagi melaksanakan projek komersial.

PRK bulan puasa, SPR sengaja sulitkan PAS?

Mat Zain Mat Isa, 13 Jul 2013

SEMAKIN sukar untuk dinafikan bahawa setiap keputusan dan tindak-tanduk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) cenderung mengambil kira keuntungan politik buat Barisan Nasional (BN) selaku kerajaan. Pemilihan hari dan tarikh bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut, Terengganu, seperti mana diumumkannya 5 Julai lalu, seakan mengukuhkan persepsi itu.

SPR telah menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK tersebut ialah pada Jumaat, 12 Julai. Manakala hari pengundian ialah pada 24 Julai nanti. Penetapan itu mengundang rasa tidak senang khalayak umum, terutamanya para pendukung pakatan pembangkang. Bukan semata-mata mahu membangkang apa jua yang dibuat pihak kerajaan, tetapi hujah dan pertikaian mereka agak munasabah. Tempoh itu jatuh di bulan Ramadan al- Mubarak.

Ramadan adalah bulan bagi umat Islam menunaikan ibadat puasa. Umat Islam akan menyemarakkan kehadirannya dengan pelbagai ibadat lain. Jadual umat Islam sepanjang Ramadan selalunya sangat padat dengan ibadat-ibadat khusus, seperti bertadarus al-Quran, berzikir, beristighfar, bertarawih, qiyamullail dan seumpamanya.

Fokus ibadat itu tidak sepatutnya dialihkan kepada aktiviti politik. Namun, dalam kes di Kuala Besut ini, keadaan itu sudah tidak dapat dielakkan. Kesengajaan SPR memilih tarikh-tarikh tersebut untuk PRK ini agak mendukacitakan. Seolah-olah sudah tidak ada tarikh lain lebih sesuai dalam kalendar tahunan badan tersebut. Seolah-olah juga SPR tidak mengambil kira kepentingan memanfaatkan bulan Ramadan untuk ibadat-ibadat khusus tadi.

Sedangkan, berdasarkan tarikh kematian Adun Kuala Besut, Dr A. Rahman Mokhtar dan tarikh pewartaan kekosongan kerusi Dun berkenaan oleh SPR sendiri, badan itu ada masa sehingga akhir Ogos untuk menyelesaikan proses mengisi kekosongan tersebut.

Sebab itu banyak pihak sebelum ini menjangkakan PRK Kuala Besut akan diadakan sejurus selepas umat Islam menyambut Aidilfitri, yang dijangka jatuh pada 8 atau 9 Ogos nanti. SPR ada hampir tiga minggu untuk adakan pilihan raya selepas itu. Justeru, mengapa dipilih bulan puasa?

Tulisan penuh dalam Harakah 6-9 RAMADAN 1434 / 15-18 JULAI 2013

Najib meraban kaitkan Mesir dengan Malaysia

Zulkifli Yahaya, 13 Jul 2013
DATUK Seri Najib Razak mengingatkan rakyat supaya mengambil iktibar daripada konflik di Mesir apabila perubahan yang ingin dituntut tidak menjamin kemakmuran dan kesejahteraan rakyat. Akhirnya, kata Najib, ia menyebabkan rakyat menuntut perubahan sekali lagi.

Siapa pun yang menjadi pemimpin kepada kerajaan tua BN tidak akan mensia-siakan peluang untuk mengeksploit kemelut di Mesir perihal bahayanya menukar kerajaan. Tun Mahathir Mohamad sewaktu berkuasa sehingga kini pun masih bercakap dalam nada yang sama; bahaya menukar kerajaan. Sekalipun, katanya, kerajaan yang ada (BN) bukanlah sempurna.

Walhal situasi di Mesir berbeza sama sekali dengan Malaysia. Pertama kali rakyat bangkit menentang rejim Hosni Mubarak dua tahun lalu setelah merasakan kerajaan pimpinannya tidak membawa apa-apa perubahan dalam menjaga kebajikan rakyat, sedangkan pada ketika itu rakyat mengalami tekanan ekonomi yang sangat teruk.

Isu utamanya masih persoalan ‘bread and butter’ atau periuk nasi, bukan perjuangan berteraskan ideologi. Cuma solidariti kebangkitan rakyat dibantu oleh pelbagai golongan, antaranya yang memperjuangkan keadilan sosial, menuntut demokrasi, yang menolak sekular dan memperjuangkan Islam, pejuang kebebasan bersuara, golongan miskin serta yang sekadar hadir untuk mencatat sejarah. Tanpa dipimpin oleh sesiapa, mereka semua bersatu menumbangkan rejim Mubarak yang tidak pernah mempamerkan model demokrasi sebenar di negaranya.

Di Malaysia, kerangka dan landasan demokrasi sudah pun wujud. Sebahagian rakyat cuma menuntut demokrasi itu dimurnikan supaya pertarungan merebut kuasa berlaku atas padang yang sama rata. Perubahan kepimpinan kerajaan diharapkan berlaku di Malaysia untuk sebuah negara yang lebih baik. Model perubahan dalam skala yang lebih kecil pernah berlaku di peringkat negeri.

Pertukaran kerajaan langsung tiada membawa huru hara atau keadaan yang lebih buruk. Rakyat yang sudah terbiasa dengan sistem demokrasi di Malaysia tahu bahawa pertukaran hanya untuk tempoh sepenggal. Rakyat Malaysia tidak pernah berkira-kira mahu menjatuhkan melalui kekerasan. Mereka hanya turun di jalan raya untuk menuntut demokrasi yang bersih, tanpa senjata di tangan, hanya berbekalkan garam dan air mineral.


Ulasan penuh dalam Harakah 6-9 RAMADAN 1434 / 15-18 JULAI 2013

Ramadhan gamit pejuang Islam

Ustaz Idris Ahmad, 13 Jul 2013
FIRMAN Allah SWT bermaksud: "Wahai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa seperti orang yang sebelum daripada kamu diwajibkan, semoga kamu menjadi orang yang bertakwa." (al- Baqarah:183)

Ramadhan bulan dinanti-nanti oleh orang beriman, lebih-lebih lagi mereka yang terlibat di dalam jemaah Islam. Ini kerana ia merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan daripada Allah. Bulan yang memberi peluang ada nafsu jahat dan nafsu buruk. Ini adalah fitrah yang ada di dalam diri manusia. Nafsu ini sering bertarung antara satu dengan lain. Ada kalanya nafsu buruk menang, dan ada kalanya nafsu baik menang.

Puasa merupakan mekanisme berkesan untuk membersihkan nafsu yang kotor dengan diganti dengan nafsu yang baik.

Ramadhan bulan penyucian jiwa. Jiwa yang lapar agak mudah mengingati Allah. Inilah hikmahnya Allah mewajibkan kita berpuasa supaya hati menjadi ingat kepada Allah.

Penyucian ini perlu terutama kita yang menjadi ahli gerakan Islam seperti PAS. Puasa merupakan satu cara untuk mentarbiyah diri manusia supaya menjadi hamba yang sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah.

Manusia yang berpuasa sentiasa menjadi hamba yang patuh dan taat kepada Allah tanpa berbelah bagi. Mereka sedar bahawa ibadat yang dikerjakan benar-benar kerana Allah. Tidak ada siapa yang mengetahui perihal ibadah puasa seorang, melainkan Allah sahaja. Ibadah lain manusia akan ketahui sama ada kita laksanakan atau tidak.

Contohnya solat, orang lain akan tahu, jika seorang tidak menunaikan solat. Misalnya jika seorang itu daripada sebelum waktu Zuhur hingga Maghrib asyik bermain catur, maka sahlah dia seorang yang tidak menunaikan solat. Tetapi berbeza dengan ibadah puasa, tidak ada manusia yang tahu, hatta isteri kita pun tidak mengetahui sama ada kita berpuasa atau tidak.

Di sinilah melatih diri kita sebagai ahli PAS untuk mentarbiyah diri supaya mengikhlaskan diri kepada Allah dalam semua urusan. Kerana ini adalah asas kepada gerakan Islam. Keikhlasan kunci kepada kejayaan kepada jemaah kita.

Puasa melatih diri kita sebagai anggota jemaah Islam supaya cakna kepada fakir miskin yang kebiasaan mereka orang yang sering lapar dan dahaga. Dengan adanya kewajipan puasa maka menjadikan diri kita sebagai anggota PAS yang akan memberi perhatian yang lebih kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Orang miskin merupakan orang yang akan melakukan apa sahaja, sehingga membahayakan akidah. Seperti sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Hampir kefakiran menjadi seorang itu menjadi kafir." Waliyazubillah.

Mereka yang lemah iman akan buat apa sahaja, asalkan perut mereka terisi, hatta sehingga meninggal agama.

Orang yang lapar juga sering mengingati orang yang susah.

Sebab itu para nabi, mereka merupakan hamba Allah yang sering berlapar. Oleh itu para nabi cukup prihatin terhadap orang yang susah. Rasulullah s.a.w. merupakan hamba Allah yang sering mengikat perut kerana baginda lebih mengutamakan orang susah yang datang meminta kepada baginda.

PRK Kuala Besut penentu hayat BN Terengganu

M Faqih, 13 Jul 2013
BESUT: Sekiranya momentum Pilihan Raya Umum (PRU) 1999 mampu dikembalikan, tidak mustahil Dun Kuala Besut dikembalikan ke pangkuan PAS.

Namun, PAS dan Pakatan Rakyat perlu bertapak kukuh di peti undi Kampung Baru, Seberang Barat, Kampung Nail dan Tok Saboh. Peti undi terbabit ‘lebih berkiblat’ kepada Umno.
Usaha bersungguh-sungguh juga perlu dilakukan di peti undi Seberang Barat Luar, bersempadan dengan Semerak di laluan tepi pantai. Pada pilihan raya umum lalu BN menang dengan majoriti 756 undi.

PAS juga perlu memperkemaskan benteng di peti undi Bukit Puteri, Kampung Baru dan Bukit Nangka. Sekiranya momentum itu dapat dipulih, tidak mustahil fenomena 16:16 benar- benar menjadi kenyataan pada 24 Julai ini.

Di Kampung Baru terletak Markas Besar PAS Dun Kuala Besut. PAS pernah menang dengan majoriti besar di peti undi tersebut pada PRU 1999 iaitu sebanyak 232 undi.

Bagaimanapun andaian tersebut cuba dinafikan Ketua Umno Besut, Datuk Seri Idris Jusoh. Beliau dengan megah menggambarkan BN boleh menang dengan majoriti 4,000 undi.

Idris mungkin tersilap kira, kehadiran Ramadan melahirkan suasana berbeza.

“Bulan Ramadhan, segala syaitan yang merosakkan manusia diikat Allah Taala. Jadi orang Islam tidak mudah dipengaruhi dengan umpan kebendaan,” kata seorang pak cik di Kampung Baru.

Namun Yang Dipertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad bagaimanapun tidak menolak kemungkinan pelbagai bantuan termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) muncul di Besut menjelang 24 Julai ini.

Katanya, Umno dan BN hanya bergantung harap kepada umpan kebendaan bagi mengekalkan pengaruh mereka di Kuala Besut.

“Oleh itu bagi menghadapi kemungkinan itu, PAS Besut menyediakan pasukan peguam untuk memantau politik wang.

“Pasukan peguam daripada Lajnah Guaman dan Hak Asasi Manusia PAS akan datang memantau dan mengambil tindakan lanjut setiap kes ditemui,” katanya di sini.

Selain itu menurutnya, jentera kempen PAS dengan dibantu rakan-rakan Pakatan Rakyat memberi tumpuan khusus kepada peti undi Seberang Darat, Tok Saboh dan Seberang Darat Luar. Ini kerana kawasan itu dimenangi BN dengan majoriti besar pada PRU13.

Biar apa pun strategi, namun ramai melihat potensi calon menjadi senjata akhir. Umpan kebendaan, wang ringgit dan isu tidak akan ke mana sekiranya calon tidak berkenan di hati pengundi.

BN mempertaruhkan nasib bagi mempertahankan kerajaan “majoriti mudah” dengan menampilkan calon muka baru, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.
Beliau sebelum ini bertugas sebagai jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Putrajaya.

Pemilihan Zaihan yang disifatkan orang Idris, sekaligus mengetepikan Pegawai Agama Daerah Dungun, Nik Zuhaiza Ismail dan Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan Majlis Daerah Dungun, Zahanapi Sagaf.

Sebelum ini nama mereka dikatakan berada pada carta teratas sebagai calon BN.
Zaihan memikul tanggung jawab besar bagi mempertahankan kerajaan BN di Wisma Darul Iman. Pengumuman nama calon BN itu dibuat Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Besut, 9 Julai lalu.

Penyelidik Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan, Muhamad Zainal Abidin Hussin berkata, isu calon seakan-akan memberi kesan kelabu kepada BN.

Biar pun pernah bertugas di Besut, namun namanya dikaitkan dengan Idris dan bukan pilihan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Datukí Seri Ahmad Said.

“Sekarang harapan seluruh rakyat Malaysia dipikul pengundi di Besut.
“Undi mereka mampu mengembalikan maruah rakyat Terengganu. Sentimen penolakan BN yang berlaku pada 8 Mei lalu, dan hari ini disambung pengundi di Kuala Besut,” ujarnya.

Apa yang pasti lebih 15,000 pengundi Kuala Besut bakal menentukan masa hadapan kerajaan Terengganu. Fenomena 16:16 tidak mampu dielak.

Tiada ulasan: