Mesir: Apabila sekular tergugat
Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat, | 01 Jul 2013 |
Hari ini, Mesir berdepan dengan satu lagi krisis ciptaan golongan sekular yang enggan mengaku kalah di gelanggang demokrasi. Demokrasi ialah ciptaan Barat, ia bukan ciptaan Islam, tetapi nilai-nilai demokrasi diterima dan diiktiraf sebahagiannya oleh Islam. Sayangnya, apabila tiba saat rakyat membuat pilihan menolak pemimpin yang pro-Barat, pada masa itulah demokrasi dinafikan dan sekular akan mengeluarkan pedangnya yang sebenar untuk memancung demokrasi.
Di Mesir, Mursi menang melalui pilihan raya yang bersih. Tanpa penipuan dakwat kekal, tanpa blackout dan tanpa senarai pengundi yang diragui, Mursi ditabalkan menjadi Presiden sekalipun disambut sinis oleh Israel yang bimbang pengaruhnya terhakis. Namun, kerana sekular menjarah begitu lama di bumi anbia ini, bukan satu kerja yang senang untuk membebaskan Mesir dan belenggu sekular. Inilah masalah sebenar Mursi, iaitu membebaskan Mesir dari perhambaan sekular yang sudah berdekad-dekad memenjara rakyat Mesir.
Ini bukan sejarah baru di Mesir, bahkan ia telah berlaku ribuan tahun yang lampau pada saat Nabi Musa alaihissalam mahu membebaskan Bani Israel dari kezaliman Firaun. Mereka dibantu oleh mukjizat yang tidak kecil daripada Allah SWT. Baca sahaja di dalam al-Quran, kita akan dapati peristiwa laut terbelah, tongkat yang menjadi ular, batu mengeluarkan air, turunnya makanan dan minuman dari langit dan banyak lagi peristiwa besar yang berlaku sepanjang dakwah Nabi Musa alaihissalam. Namun, al-Quran merakamkan perangai Bani Israel yang seringkali enggan untuk berubah. Degil dan keras kepala ialah lambang Bani Israel yang digambarkan di dalam al-Quran.
Warisan sikap Bani Israel wujud di Mesir sekarang. Sekalipun sebahagian besar rakyat Mesir kelihatan menyokong Mursi, namun anak cucu Bani Israel yang mewarisi perangai datuk nenek mereka tetap melakukan kekacauan di bumi anbia. Inilah natijahnya apabila sekular dijadikan kiblat, apabila demokrasi yang bersih menghadiahkan trofi kemenangan kepada musuh politik mereka, mereka tidak akan berdiam diri. Ini juga yang berlaku di Turki dan Gaza.
Di Malaysia, saudara mara sekular juga nampak berminat mengikut langkah yang sama. Kekalahan di dalam pilihan raya membawa kepada dasar penindasan dan penafian hak. Ditubuhkan kerajaan di dalam kerajaan, dinafikan bantuan kepada golongan yang memerlukan dan dinafikan hak ke atas hasil mahsul bumi merupakan buah-buah yang lahir dari pohon-pohon sekular yang tidak kenal sempadan dosa dan pahala.
Untuk Mesir ini, kita sama-sama menadah tangan supaya pemimpin yang bersendikan Islam sebagai akidah perjuangan diberikan kekuatan oleh Allah SWT. Gunakanlah peluang pada bulan Ramadhan untuk merayu dan merintih kepada Allah SWT. Dialah Pemilik kepada segala kerajaan.
PRK Kuala Besut: Fakta Azmin tak betul - Mustafa
Harakahdaily, | 01 Jul 2013 |
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, seperti amalan yang sudah difahami umum bahawa bila satu-satu kerusi menjadi kosong, maka ianya diserahkan kepada parti yang telah pun bertanding pada pilihan raya umum sebelum itu.
"Parti mana yang bertanding pada PRK Kuala Besut tak sepatutnya menjadi polemik.
"Mengikut amalan yang difahami semua, calon yang akan bertanding adalah dari parti yang bertanding pada PRU sebelumnya, iaitu calon dari PAS," katanya kepada Harakahdaily.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail bahawa PKR mempunyai calon berpotensi untuk bertanding di kawasan tersebut.
Azan juga berkata, beliau yakin PAS akan pertimbangkan calon daripada PKR bagi memperbaiki kedudukan di Terengganu.
Kenyataan Azan itu turut disokong Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang mendakwa bahawa, kerusi Kuala Besut pernah dimenangi oleh PKR pada tahun 1999.
Mengulas lanjut Mustafa berkata, fakta yang dikemukakan Azmin itu adalah tidak benar kerana PKR tidak pernah bertanding bagi kerusi Kuala Besut.
"Fakta Azmin tu tidak betul, PKR tidak pernah bertanding di Kuala Besut bila-bila sebelum ini.
"Pada tahun 1999 yang menang adalah calon PAS iaitu (Datuk) Nik Zawawi Salleh (Setiausaha Majlis Syura PAS)," katanya.
‘Cukup-cukuplah tipu kami dengan dakwat kekal’
Harakahdaily, | 01 Jul 2013 |
“Cukup-cukuplah dengan penipuan demi penipuan yang dilakukan SPR untuk menutup kegagalan sistem dakwat kekal, rakyat terus diperbodohkan lagi dengan cadangan penggunaan dakwat kekal dalam pilihanraya kecil N.1 Kuala Besut,” ujar Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.
Susulan kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wan Ahmad Wan Omar, SPR akan menggunakan dakwat kekal yang lebih baik dalam pilihan raya kecil Dun Kuala Besut, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) segera membidas cadangan yang mengelirukan rakyat.
Cukup-cukuplah dengan penipuan demi penipuan yang dilakukan SPR untuk menutup kegagalan sistem dakwat kekal, rakyat terus diperbodohkan lagi dengan cadangan penggunaan dakwat kekal dalam pilihanraya kecil N.1 Kuala Besut.
Apakah SPR tidak memahami hukum logik sistem penggunaan dakwat kekal sebelum melontarkan cadangan yang kononnya bertujuan meredakan kemarahan rakyat?
Logiknya penggunaan sistem dakwat kekal ialah untuk memastikan setiap pengundi dicalit dakwat tersebut sebagai tanda sudah mengundi, dan ia melibatkan semua pengundi pada pilihanraya umum.
Dakwat seharusnya kekal selama 7 hari memandangkan hampir 300 ribu pengundi awal dan pengundi pos membuang undi mereka 5 hari sebelum hari mengundi.
Maka jika sistem ini berjalan baik, mereka yang sudah mengundi sama ada pengundi awal atau pengundi biasa, tidak boleh mengundi kali kedua kerana dakwat masih dijari. Ini konsepnya.
Tetapi apa yang berlaku pada 5 Mei lalu ialah ratusan ribu pengundi awal telah terdedah untuk mengundi lebih dari sekali malah pengundi yang membuang undi 5 Mei juga boleh berbuat demikian kerana didapati dakwat kekal itu sebenarnya pewarna tiruan sahaja, tidak mampu kekal walau 5 minit merujuk kepada banyak kes dan laporan polis. Integriti pilihanraya hancur dan undang-undang PRU13 dicemari dengan teruk sekali.
Kini setelah SPR hilang sepenuhnya kepercayaan rakyat dan didesak oleh majoriti rakyat supaya berundur, SPR yang sama telah cuba untuk perbodoh rakyat dengan cadangan sistem dakwat kekal di PRK Kuala Besut.
Mana mungkin sebuah pilihanraya kecil mengamalkan sistem dakwat kekal melainkan pengundi di seluruh negara selain pengundi Dun Kuala Besut ditandakan dakwat kekal terlebih dahulu sehari sebelum hari pengundian N1 Kuala Besut.
Dengan kata lain, menandakan dakwat kekal kepada hanya sekelompok pengundi di Kuala Besut sedangkan berbelas juta pengundi tempat lain bebas untuk masuk dan menyamar sebagai pengundi adalah sangat tidak relevan. Tiada logik sistem dakwat kekal digunakan dalam pilihan raya kecil.
Justeru itu, SAMM melihat cubaan Timbalan Pengerusi SPR membuktikan dakwat yang bakal digunakan di PRK Kuala Besut lebih kekal dari 5 Mei adalah berniat jahat untuk menutup isu sebenar.
Rakyat kini tidak mahu lagi dakwat kekal, rakyat mahu dakwat kekal pada 5 Mei dan kegagalan berbuat demikian sepatutnya kamu dan semua koncu kamu meletakkan jawatan.
Cubaan yang baik dari SPR, namun rakyat semakin bijak dan semakin kental untuk terus melawan! Biarpun ada ahli parlimen Pakatan Rakyat yang menerima keputusan pilihanraya sepertimana ahli parlimen Barisan Nasional, namun rakyat tetap menolak keputusan yang penuh penipuan, menggelapkan demokrasi yang juga merampas kemenangan rakyat.
Anak muda akan lawan sampai menang! Rakyat bersatu tidak akan dikalahkan!
Jangan perbudakkan martabat warga guru
Hilmi Hamdan, |
Tindakan ini mengingatkan saya pada peristiwa pada 2003 lalu di Terengganu yang melibatkan ibu bapa saya selaku warga guru. BN Terengganu telah menganjurkan himpunan Gelombang Biru di Besut untuk kempen PRU 2004 dan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi dijemput sebagai tetamu. BN menggunakan kuasanya untuk mewajibkan semua kakitangan kerajaan termasuk warga guru supaya hadir dan tindakan akan diambil bagi yang ingkar. Lebih daripada itu, pelbagai syarat dikenakan sebelum ke program itu, seperti guru lelaki dilarang berkopiah dan digalakkan bersongkok dan berbaju biru, dilarang berbaju warna hijau, guru wanita dilarang berjubah. Sebagai anak, saya merasakan kerajaan telah menjatuhkan martabat ibu bapa dan guru-guru saya. Guru-guru juga pernah diwajibkan menandatangani surat aku janji untuk tidak terlibat dengan aktiviti parti pembangkang. Ugutan seperti ditukar tempat kerja sering menghantui para guru sehinggakan ada yang takut ke masjid kerana ada ustaz PAS yang menyampaikan kuliah di situ. Sampai bilakah ugutan tolol ini akan berterusan?
Pada saat Akta Universiti dan Kolej Universiti telah dipinda dan membenarkan mahasiswa terlibat secara langsung dalam politik, mengapa para guru masih lagi disekat walaupun hanya menzahirkan sokongan, apatah lagi terlibat secara terus. Kerajaan BN perlu ingat, dalam PRU13 baru-baru ini mereka banyak kalah di kawasan Bandar dan undi dari golongan intelektual. Warga guru adalah golongan intelektual yang wajib diberi kebebasan, bukan seperti bani Israil dahulu yang menjadi mangsa untuk Firaun menunjukkan taring kuasa.
Hilmi Hamdan, graduan UIAM
Letak jawatan sebelum PRK Kuala Besut
Harakahdaily, | 01 Jul 2013 |
Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto (gambar) berkata, ini kerana Abdul Aziz didapati gagal mengurus selia Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu dengan telus.
Katanya, Abdul Aziz wajar meletakkan jawatan seiring dengan Perkara 144 Perlembagaan Persekutuan yang antara lain menyatakan barisan ahli lembaga SPR yang dilantik Yang di-Pertuan Agong perlu mendapat keyakinan awam.
“Beliau kena letak jawatan supaya dengan kepimpinan baru, proses pilihan raya mendapat kepercayaan rakyat sekaligus dapat mengembalikan demokrasi di atas landasannya,” ujarnya dipetik Roketkini.
Beliau turut mempertikaikan adakah SPR yang ditunjangi Abdul Aziz mampu berlaku telus dan adil pada PRK yang bakal diadakan nanti.
“Selepas pelbagai laporan penipuan, tidak adil dan tidak bebas dilemparkan terhadap SPR, adakah mereka mampu meraih keyakinan umum pada PRK Kuala Besut, di Terengganu nanti?” tanya beliau.
Menurutnya, semua protes dan perhimpunan aman yang diadakan di seluruh Malaysia sebelum ini adalah kerana kegagalan agensi itu melaksanakan pilihan raya secara adil, telus dan bersih.
Malu Itu Indah !
Bismillahirrahmanirrahim. Segala puji bagi Allah,tuhan sekalian alam dan selawat serta salam kepada junjungan besar nabi kita nabi Muhammad S.A.W.
Seseorang akan hidup mulia,
Selama dia memiliki rasa malu,
Ranting pohon akan tetap kekal
Selama kulitnya masih ada,
Maka tidak! Demi Allah,
Tiada kebaikan dalam kehidupan,
Dan tidak pula dunia aka nada,
Apabila malu sudah menghilang.
-Dr. Aidh al-Qarni-
Malulah…seganlah…tidak beranilah…adakah anda biasa menggunakan
perkataan ini apabila berhadapan dengan ikhwah? Saya merasakan rata-rata
akhawat sekalian menjawab ya. Kerana apa? Kerana sifat malu itu sendiri
memang khas Allah ciptakan untuk wanita. Bercakap perihal malu,suka
saya ingin sajikan kisah ini bukan untuk dimakan, bukan untuk dinikmati
sahaja tetapi untuk dihayati dan difahami bukan untuk peperiksaan tetapi
untuk kehidupan realiti. Mahukan anda tahu kisahnya?Telah terakam kisah tersebut di dalam al-Quran yang bermaksud:
"Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang daripada kedua perempuan itu berjalan dengan malu-malu, dia berkata: Sesungguhnya ayahku mengundangmu untuk memberi balasan atas (kebaikanmu) memberi minum (ternak) kami". Ketika Musa mendatangi ayahnya (Syuaib) dan dia menceritakan kepadanya kisah (mengenai dirinya), dia (Syuaib) berkata, "Janganlah engkau takut! Engkau telah selamat daripada orang-orang zalim".
(Surah al-Qasas: ayat 25)
Pertama kali saya membaca ayat ke-25 surah ni, mata saya terus tertancap pada kalimah istihya’ (malu-malu). Pada saat itu, hati saya terus terdetik, Subhannallah. Saya tidak menyangka Allah telah datangkan ilham yang cukup bermakna buat saya. Masalah untuk bekerja dengan ikhwah merupakan masalah besar buat saya sejak di bangku sekolah lagi. Saya pernah menolak jawatan bukan kerana tidak sanggup dengan tanggungjawab yang dipikul, tetapi kerana malu bekerja dengan ketua yang semestinya terdiri daripada kaum adam. Tetapi kini Alhamdulillah, sifat malu yang overdose itu dapat saya tangani dari semasa ke semasa atas bantuan guru dan sahabat.
Setelah meneliti ayat ini, malu yang Allah maksudkan adalah malu yang bertempat. Allah s.w.t meletakkan sifat malu wanita sebagai hiasan, dinding untuk menjaga dirinya, maruahnya dan jasadnya. Daripada ayat di atas, ada pengajaran yang kita boleh pelajari sebagai panduan dalam menjaga adab kita dengan yang berlainan jantina iaitu dengan menggunakan kata-kata yang ringkas dan jelas.
(Gambar: credit to Nayzak)
Lihatlah anak perempuan Nabi Syuaib apabila menjemput Nabi Musa a.s,
dia datang dengan sifat malu sambil menyampaikan jemputan ayahnya dengan
ucapan yang ringkas, jelas dan mudah difahami.Dia berkata:
"Sesungguhnya ayahku mengundangmu untuk memberi balasan atas (kebaikanmu) memberi minum (ternak) kami".
(Surah al-Qasas: ayat 25)
Tidak pula dia meleret-leret sambil berkata: "Terima kasih ye tolong kami tadi. Awak ni memang baik hati dan gagah. Awak tinggal kat mana ye. Em, sebenarnya ayah saya jemput awak datang ke rumah, entahlah kenapa..bla bla bla.."
Wahai sahabat yang dikasihi, melihat peribadi Nabi Musa a.s pula, dia tidaklah mengambil kesempatan tersebut untuk berdua-duaan serta berkenal-kenalan dengan lebih lanjut. Terus berjalan menuju ke rumah Nabi Syuaib a.s untuk memenuhi jemputan.
Itulah adab muslimin dan muslimah yang sepatutnya apabila bermuamalat. Mungkin perbuatan di atas tanpa disedari pernah dilakukan oleh kita, termasuklah diri ini yang hina lagi jahil. Meleret-leret bermula daripada pertolongan kepada tujuan untuk berkenal-kenalan, bergurau- senda, lalu terbuka jalan untuk bertemu sambil bertukar-tukar cerita.
Sopannya wanita muslimah apabila mengatur langkah.
Dari sudut lain, ayat di atas juga terkandung gambaran sifat malu wanita yang perlu diikuti oleh wanita muslimah dalam melindungi maruahnya iaitu 'malu ketika berjalan'.
Ahli tafsir menjelaskan tentang keadaan anak perempuan nabi Syuaib a.s berjalan dengan malu-malu adalah ketika menjemput nabi Musa a.s dan ketika pulang bersama menuju ke rumah Nabi Syuaib a.s.
Imam Alusi ketika menafsirkan ayat (عَلَى اسْتِحْيَاء) berkata:
"Anak perempuan Nabi Syuaib a.s berjalan sambil malu-malu ketika berjalan menemui (Nabi Musa a.s) dan ketika pulang.."
(Ruhul ma'ani, 10/273)
Sayyid Qutb pula menambah:
"Wanita yang suci, baik, mempunyai maruah apabila dia berjalan dan bertemu dengan golongan lelaki, dia berjalan (dengan malu-malu)) tanpa dibuat-buat, tanpa berhias berlebih-lebihan dan tidak menggoda."
(Fi zilal al-Quran, 5/2686).
Ringkasnya wanita mukminah apabila berjalan merentasi kaum lelaki:
* Hiasi dengan sifat malu.
* Tidak bertabarruj (berhias) secara berlebih-lebihan.
* Menutup aurat.
* Tidak dibuat-buat.
* Cara jalan yang tidak menggoda
.
Harga sebuah malu…
Kecantikan itu adalah anugerah kurniaan Allah s.w.t kepada wanita untuk diperlihatkan hanya kepada yang hak. Dan sebaik-baik hiasan adalah wanita yang solehah. Jadikanlah malu itu sebagai perisai dikala menghadapi peperangan. Ingatlah wahai akhawat yang dirahmati sekalian, tidak rugi anda membela sifat malu itu kerana malu itu sebahagian daripada iman dan iman itu balasannya adalah SYURGA.
Tetapi, apabila hak ini dicabuli dan tidak diletakkan kepada yang sepatutnya, maka wanita itu secara automatik telah menzalimi dirinya sendiri. Kalau anda pernah mendengar lagu “Puteriku Sayang” dendangan Hijjaz, mesti anda familiar dengan lirik ini,
Malumu mahkota yang tidak perlukan singgahsana,
Tapi ia berkuasa menjaga diri dan nama,
Tiada siapa yang akan boleh merampasnya,
Melainkan kau sendiri yang pergi menyerah diri.
Aduhai akhawat yang dihormati sekalian, dirimu terlalu berharga untuk
diperjudikan. Dirimu terlalu bernilai untuk dipermainkan. Dirimu
terlalu mahal untuk berserah kepada yang bukan halal. Bersyukurlah para
muslimah sekalian, Allah sangat kasihkan hambaNya. Dan malu itu Allah
hadiahkan sebagai tanda sayang-Nya, tanda Dia mahu menjaga maruah kita,
tanda Dia mahu kita selamat dari gangguan yang tidak kita senangi.Orang yang punyai sifat malu terpeliharalah dirinya, akhlaknya, dan maruahnya. Dengan sifat malu, aurat ditutup sempurna, pergaulan dijaga rapi, berasa tidak senang ditatap mesra. Andai hilang malu, takutlah dan sedarlah wahai muslimah. Itu merupakan satu petanda awal bahawa akhlakmu sedang dieksperimentasi oleh syaitan dan nafsu. Belum terlambat lagi untuk anda memupuk nilai malu dalam diri. Semoga kita semua sentiasa berdoa agar berada dibawah peliharaan Allah selalu. Terima kasih dan saling mengingatkan antara satu sama lain. Sirru ala barakatillah..
Rujukan: Kitab Inayah al-Quran wa as-sunnah bi masya'ir al mar'ah dan artikel iluvislam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan