Isnin, 1 Julai 2013

ALLAH LAH PEMBERI REZEKI

Kuala Besut: PAS T’ganu senarai pendek calon

Khairul Azlam Mohamad, 01 Jul 2013
KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu tidak membayangkan cadangan DAP agar Pakatan Rakyat memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut sebagai ketetapan sebaliknya bersiap sedia menghadapinya.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut berkata tidak timbul soal memboikot kerana PAS sedang membuat persiapan untuk bertanding PRK Kuala Besut.

Ini kerana, katanya PAS negeri melihat PRK Kuala Besut kali ini amat penting dan parti akan membuat persiapan rapi.

Bahkan, kata beliau, PAS telah pun mengenal pasti beberapa nama calon dalam senarai pendek untuk dinilai dan diumumkan dalam masa terdekat.

Menurutnya, PAS negeri juga berpandangan pilihan raya tersebut penting kerana melibatkan kedudukan kerusi di Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu.

“Ini penting kerana melibatkan kedudukkan kerusi sama ada (PR) kekal 15 dan 17 (BN) atau akan bertukar jadi 16 (PR) dan 16 (BN) kerusi Dun Terengganu,” ujarnya pada sidang media di pejabat PAS negeri di sini, hari ini.

Abdul Wahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam memberitahu PAS negeri telah Timbalan Pesuruhjaya I PAS negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat sebagai pengarah PRK itu.

Pengendalian sisa elektronik, cadangan AWER

Piarapakaran S, 01 Jul 2013
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah melaksanakan kajian kes penghasilan sisa kesan daripada menghentikan penggunaan produk tidak cekap tenaga secara berperingkat. Kajian ini memfokus dalam menetapkan mekanisme yang sesuai supaya pelaksanaan dasar kecekapan tenaga tidak memberikan impak kepada alam sekitar. Kajian ini adalah sebahagian daripada Projek Pembuatan dan Penggunaan Lestari (Sustainable Production and Consumption) yang ditaja oleh Suruhanjaya Tinggi British, Kuala Lumpur dan Kerajaan British.

Sisa Elektronik (E-waste) ditakrifkan sebagai sisa daripada pemasangan peralatan elektrik atau elektronik (E&E) yang dikategorikan sebagai SW110 mengikut Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Sisa Terjadual) 2005 di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (EQA). Lampu kalimantang dan lampu kalimantang mampat (CFL) yang mengandungi merkuri (raksa) dikelaskan sebagai SW109. Berdasarkan laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS), penjanaan e-waste pada tahun 2008 adalah kira-kira 688,000 tan metrik dan diramal menjadi 1.11 juta tan metrik pada tahun 2020. Walau bagaimanapun, kesan peningkatan penghasilan sisa daripada pelaksanaan program menghentikan penggunaan produk tidak cekap tenaga secara berperingkat tidak termasuk dalam anggaran ini.

Semasa proses perundingan dengan orang ramai, kebanyakan pengguna tidak mengetahui apa yang akan berlaku kepada e-waste atau sisa terjadual (dengan merkuri) selepas di pungut oleh pihak-pihak tertentu. Apabila mereka membeli produk yang baru, pemborong enggan mengambil semula produk yang lama atau rosak. Syarikat pengendali sisa domestik juga enggan mengambil produk-produk ini. Oleh itu, mereka mengambil jalan mudah untuk membuangnya atau menyimpan peralatan lama ini. Kami juga telah bertemu dengan pihak industri dan juga Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) serta JAS untuk mengkaji semula situasi terkini.

Cadangan-cadangan berikut adalah penting untuk memastikan pelaksanaan dasar-dasar kecekapan tenaga tidak memudaratkan alam sekitar.

Cadangan 1: Pendekatan 'Buaian ke Buaian' (Cradle to Cradle Approach)

Membangunkan kitar hayat bagi produk-produk E&E adalah penting untuk menyelesaikan masalah pengurusan sisa. Pada masa ini, pendekatan 'Buaian ke Kubur' iaitu daripada pengekstrakan sumber sehingga pelupusan sisa biasa dipraktikan. Kita perlu menukarkannya untuk mencapai proses Pemulihan Sumber. Ini akan 'mengepam semula' sumber-sumber kepada sektor pembuatan dan mengwujudkan satu kitar. Kita perlu beralih dari model penggunaan linear seperti pendekatan 'Buaian ke Kubur' kerana ia akan menghabiskan sumber asli.

Cadangan 2: Sistem PENGAMBILAN SEMULA Bersepadu Mesti Diperkenalkan

Sistem Pengambilan Semula Bersepadu (Inclusive Take Back System) mesti dilaksanakan untuk merangkumi semua jenis aliran sisa yang telah dikenal pasti oleh AWER. Aliran masuk sisa yang utama adalah pemborong dan pengeluar, kontraktor sisa pepejal, pusat-pusat kitar semula, peniaga barangan terpakai dan juga pembuangan haram. Sebagai contoh, pemborong dan pengeluar boleh memperkenalkan sistem rebat (rebate system) kepada pelanggan yang memulangkan produk lama untuk membeli produk baru. Ini boleh membantu untuk mengumpul jumlah besar e-waste dan sisa terjadual (dengan merkuri).

Cadangan 3: Struktur Kos Sistem PENGAMBILAN SEMULA Mesti Dibangunkan


Kos untuk menguruskan e-waste dan sisa terjadual (dengan merkuri) hendaklah diuruskan bersama oleh industri, kerajaan dan orang ramai. Kawalan keuntungan melalui Perbelanjaan Modal (Capex) dan Perbelanjaan Operasi (Opex) yang telah diaudit perlu ditetapkan. Tambahan pula, untuk memastikan jumlah pengumpulan e-sisa atau buangan terjadual (dengan merkuri) yang tinggi, loji-loji peringkat serantau dan penyelarasan serantau adalah langkah wajar. Penyelarasan antara Malaysia, Singapura, Brunei dan Thailand boleh dilihat sebagai satu langkah segera yang perlu dipertimbangkan. Jumlah aliran sisa yang lebih tinggi untuk pemulihan sumber akan memastikan kos yang rendah dan kejayaan yang baik untuk sistem Pengambilan Semula.

Cadangan 4: Pengawal Seliaan dan Penguat Kuasaan Sistem PENGAMBILAN SEMULA


E-waste dan sisa terjadual (dengan merkuri) mesti dikendalikan dengan betul untuk mengelakkan pencemaran dan larut lesap (leaching) di keseluruhan proses pengumpulan, pengangkutan, penyimpanan, pemulihan separa serta premis pemulihan penuh yang boleh mencemarkan alam sekitar dengan serta merta. Prosedur asas mesti dibangunkan dan pemantauan berkala adalah penting. AWER juga telah memantau beberapa lokasi pengumpulan dan mengenal pasti banyak perbuatan yang salah serta kekurangan kesedaran daripada pihak-pihak berkepentingan. JPSPN dan JAS perlu memastikan maklumat yang mencukupi boleh didapati untuk membantu kedua-dua pengguna domestik dan perniagaan.

Cadangan 5: Daftar Peniaga Barangan E&E Terpakai Serta Hadkan Hayat Produk-produk

Peniaga produk-produk E&E terpakai mesti didaftarkan oleh Suruhanjaya Tenaga. Peniaga-peniaga ini akan memainkan peranan dalam 'penggunaan semula' produk-produk E&E atau bahagian-bahagiannya. Walau bagaimanapun, terdapat kebimbangan terhadap apa yang sebenarnya berlaku seperti isu-isu keselamatan, pelabelan, bahagian-bahagian yang tidak digunakan, dan lain-lain. Produk-produk ini sekurang-kurangnya mesti memenuhi standard keselamatan asas dan direkodkan. Satu sistem pendaftaran juga akan dapat mengawal para peniaga barangan terpakai untuk memastikan tiada pembuangan sisa secara haram yang dilakukan selepas mengambil bahagian-bahagian yang boleh digunakan semula Di samping itu, terdapat juga keperluan untuk menghadkan hayat produk atau bahagian-bahagian yang boleh dijual sebagai barangan terpakai. Langkah ini adalah penting untuk memastikan golongan berpendapatan sederhana dan berpendapatan rendah tidak dibebankan dengan produk-produk yang tidak cekap tenaga dan boleh menyebabkan bil elektrik yang tinggi dalam tempoh masa panjang. Memperkenalkan produk E&E terpakai yang tidak cekap tenaga ke dalam pasaran adalah bertentangan dengan objektif untuk meningkatkan kecekapan tenaga di Malaysia.

Hasil-hasil kajian kami ini juga akan di kongsi bersama-sama dengan kedua-dua JPSPN dan DOE yang telah memberikan kerjasama penuh semasa proses konsultasi. Marilah kita berusaha untuk pelaksanaan dasar kecekapan tenaga yang lebih baik dan menyeluruh di Malaysia.

Piarapakaran S ialah Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

RM55 juta daripada Geran Selangorku sudah dibelanja

Selangorku, 01 Jul 2013
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor sehingga kini sudah membelanjakan lebih RM55 juta daripada RM300 juta yang diperuntukkan dalam Geran Selangorku.

Peruntukan bagi infrastruktur mencatatkan perbelanjaan tertinggi iaitu sejumlah lebih RM32.8.

Selain itu, sejumlah RM5.6 juta turut dibelanjakan di bawah geran infrastruktur sukan.

“Dengan adanya kemudahan infrastruktur lebih baik seperti kerja-kerja menaiktaraf jalan, longkang dan parit, pembinaan jambatan serta lampu jalan banyak membantu memberi kehidupan lebih selesa kepada rakyat.

“Selain menjadikan jalan raya lebih selamat kepada pengguna serta membantu mengatasi masalah banjir kilat yang kerap melanda disebabkan keadaan longkang dan parit yang tidak diselenggara,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menteri Besar berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Abdul Syukur Idrus (BN- Kuang)mengenai penggunaan Geran Selangorku dalam Persidangan Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menurut Abdul Khalid lagi, hampir 66.5 peratus (147 projek) daripada keseluruhan 221 projek infrastruktur melibatkan kerja penurapan jalan, 19.9 peratus (44 projek) kerja menaiktaraf longkang dan 4 peratus (9 projek) untuk mengadakan lampu jalan.

Katanya, projek lain yang dilaksanakan dalam Geran Selangorku, Pengukuhan Demokrasi dengan kos RM4 juta daripada jumlah peruntukan RM5 juta, Pemerkasaan Wanita RM3.4 juta daripada RM30 juta, Sokongan Pendidikan RM3 juta daripada RM30 juta dan 13 program lain.

Selangor harus memimpin usaha bersih sistem p’raya

Harakahdaily, 01 Jul 2013
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor dicadang menerajui usaha untuk melantik dan menubuhkan satu jawatankuasa yang profesional dan berkredibiliti untuk meneliti dan memberikan syor-syor berkenaan urusan persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya di negei ini.
Justeru, Adun Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali ingin menarik perhatian kerajaan negeri berhubung Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 yang memberikan kuasa perundangan yang sama kepada Kerajaan Persekutuan dan juga kerajaan negeri untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja.

“Saya mendesak supaya kerajaan negeri segera menggunakan peruntukan ini bagi maksud menyiasat kecurangan dan penipuan dalam proses Pilihan Raya Umum ke-13 yang turut berlaku di Negeri Selangor,” ujarnya ketika membahaskan Titah Diraja pada persidangan Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Ini, katanya kerana penyelewengan pilihan raya adalah hal yang melibatkan kepentingan awam dan perkara ini termaktub di bawah akta berkenaan.

Menurutnya, ini selaras dengan Seksyen 2(1)(d) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 yang memberi kuasa kepada sebuah suruhanjaya siasatan menjalankan siasatan yang berfaedah bagi kebajikan awam.

Katanya, Seksyen 21 Akta Suruhanjaya Siasatan memberi perlindungan kepada saksi-saksi yang bersedia untuk memberikan keterangan termasuk di kalangan pegawai-pegawai perkhidmatan awam dan juga SPR.

“Suruhanjaya ini juga diberikan kuasa undang-undang untuk mengeluarkan sapina terhadap mana-mana individu yang difikirkan dapat membantu siasatan termasuk Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR dan sekiranya ingkar, maka waran tangkap boleh dikeluarkan,” ujarnya.

Tambahnya, suruhanjaya itu boleh mengeluarkan sapina terhadap media seperti Utusan Malaysia dan TV3 yang digunakan sepenuhnya oleh Umno untuk memaparkan berita-berita fitnah dan pembohongan terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor seperti isu sampah, isu air bersih dan juga program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor.

Menurutnya lagi, fungsi Suruhanjaya Siasatan Diraja ini dapat mencari jawapan melalui keterangan bersumpah daripada saksi-saksi yang boleh membantu siasatan yang menyeluruh terhadap isu kecurangan dan penipuan dalam proses pilihan raya bagi melindungi kepentingan awam dan kedaulatan negeri.

“Justeru itu, saya menyeru rakyat Negeri Selangor khususnya para pengundi untuk bersedia tampil sebagai saksi dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja ini dengan mengemukakan keterangan  dan bukti-bukti yang kukuh kerana mereka akan diberikan jaminan perlindungan mengikut undang-undang,” ujarnya lagi.

Katanya, Negeri Selangor harus memimpin usaha untuk membersihkan sistem pilihan raya,i Malaysia sebagai sebuah negara yang demokratik, pilihan raya yang bersih, adil dan telus adalah tunjang kepada pengukuhan demokrasi.

Azmin menambah, ketempangan sistem pilihan raya yang berlaku wajar diperbetulkan melalui agenda reformasi sistem pilihan raya.

Pakatan Rakyat, ujarnya sebagai sebuah kerajaan negeri yang menjunjung prinsip dan lunas-lunas demokrasi berperlembagaan tuntas mendukung usaha reformasi sistem pilihan raya.

Katanya, ketempangan sistem pilihan raya di Malaysia juga berpunca daripada gerrymandering.

Menurutnya, persempadanan bahagian pilihan raya dibuat secara tidak adil dan tidak memenuhi prinsip sistem demokrasi berperwakilan.

Beliau berkata, Dun Permatang dan Dun Seri Serdang mempunyai jumlah pengundi yang begitu besar perbezaannya yang mana Seri Serdang mempunyai jumlah pengundi seramai 72,769 orang sementara Permatang mempunyai hanya 19,636 orang pengundi.

Jelasnya, ini berlaku apabila urusan persempadanan semula yang dilakukan selama ini tidak bersandarkan kriteria - kriteria tetap sejajar dengan lunas demokrasi.

Katanya, peranan SPR sewajarnya lebih tertumpu kepada urusan pengendalian pilihan raya dan tidak dibebankan dengan tanggungjawab untuk mengemukakan syor-syor persempadanan baru bahagian pilihan raya kerana ianya menggasir kredibiliti dan kebebasan SPR.

“Boundary Commission for England diwujudkan bagi mengemukakan syor sempadan baru bagi kawasan-kawasan pilihan raya dalam tempoh setiap 5 tahun.

“Antara kriteria-kriteria yang menjadi pertimbangan adalah electoral quota and 5 % rule, geographical size, special geographical consideration, local government boundaries, boundaries of existing constituencies and local ties. Garis panduan ini terkandung dalam Laporan Boundary Commission for England 2013,” jelasnya.

Jaga kebajikan guru, tak perlu jadi pembodek Umno

Harakahdaily, 01 Jul 2013
KUALA LUMPUR: PAS menngingatkan Pengarah Pendidikan Johor Mohd Nor Ghani agar tidak bercakap yang boleh menampakkan beliau seperti seorang ketua cawangan Umno.

"En Mohd Nor Ghani jangan jadi seperti ketua cawangan Umno Tampoi untuk hendak membela dan membodek Umno.

"Apa masalahnya, guru juga seorang warga negara dan bebas untuk mengulas hal ehwal politik," katanya AJK PAS Pusat Idris Ahmad.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mohd Nor bahawa semua aktiviti guru dan guru besar di media sosial akan dipantau oleh Jabatan Pelajaran Negeri Johor.

Mohd Nor juga berkata sebuah pasukan pemantau khas juga akan ditubuhkan untuk tujuan itu supaya tidak mengeluarkan kenyataan antikerajaan di Facebook bagi mengelakkan ia mempengaruhi pelajar.

Mengulas lanjut Idris berkata, sebagai seorang pengarah Mohd Nor sewajarnya memberi keutamaan kepada kebajikan guru dan bukan sibuk menjadi 'pembodek Umno'.

Apatah lagi ujarnya, negara ini sebuah negara demokrasi di mana rakyatnya berhak menyatakan pandangan politik mereka.

"Amat malang guru-guru di Johor mempunyai seorang pengarah yang jumud dan tidak memahami geopolitik negara ini.

"Jika ada guru-guru yang menulis di dalam facebook yang berbentuk fitnah, hasutan, maka bolehlah diambil tindakan terhadap guru tersebut, bukan kerana mereka kritik kerajaan. Ini baru adil dan profesional," katanya.

Tiada ulasan: