Khamis, 11 Julai 2013

KEJAHATAN MANUSIA SERTA KEDEGILAN MANUSIA AKAN BERAKHIR SELEPAS ALLAH KIAMATKAN DUNIA INI

Mesir terus diganggu

Tuan Guru Abdul Hadi Awang, 11 Jul 2013
Dunia terkini telah berubah kepada zaman di mana rakyat mendesak supaya suara mereka didengari dan hak mereka diberikan dengan adil. Manakala  zaman kuku besi di mana sesebuah kerajaan berlagak Tuhan, rakyatnya diperhambakan pula hampir dilupa dan diletakkan dalam lipatan sejarah.

Islam yang dibawa para Rasul adalah pendukung menentang kezaliman di sepanjang zaman. Mesir adalah bumi bersejarah berlakunya pertembungan di antara Fir’aun yang zalim berlagak Tuhan. Fir’aun itulah yang berlagak sebagai penentu rezeki rakyat, bermegah dengan pembangunan hebat, bangunannya tersergam menjadi tarikan pelancong sehingga kini. Semua pembangunan dan monumen hebat yang dibina oleh penzalim seperti Fir’aun telah dilupakan bahawa semuanya dibina di atas mayat rakyat yang di hamba-abdikan, banyaknya darah yang mengalir dan air mata yang dicurah.

Nabi Ya’akob dan puteranya Nabi Yusuf A.S. dikumpulkan di Mesir, daripada zuriatnya ramai para anbiya’, maka Mesir dinamakan bumi para anbiya’. Allah juga telah mengutuskan Rasulnya Musa A.S. untuk melakukan Islah di bumi Mesir. Sebagai satu hikmah dari Allah, Rasul itu menjadi anak angkat yang dibesarkan di bawah mahligai Fir’aun, untuk berdepan secara langsung dengan Fir’aun paling zalim dan ganas. Akhirnya Fira’un dan kerajaannya tamat riwayat bersama amal zalimnya dengan khatimah buruk dilaknat mengikut perhitungan Islam, celaka dunia dan neraka di akhirat. Fir’aun inilah yang dijulang oleh golongan nasionalis Mesir sebagai tokoh tamadun yang dibanggakan.

Kedatangan Rasul akhir zaman juga membawa perubahan besar kepada Mesir sehingga menjadi pusat ilmu Islam dan gerakan Islam menentang penjajah. Kedudukannya yang berada di tempat paling penting dalam peta hubungan antarabangsa dan benua, menjadikannya sasaran kezaliman antarabangsa. Bu,I Mesir menjadi rebutan kuasa besar timur dan barat, sejak sebelum Islam, sehinggalah perang salib, zaman penjajahan, dan menjadi medan dua perang dunia dan perang dingin.

Ketika era perang dingin ramai pemimpin gerakan Islam Ikhwan Muslimin gugur syahid di medan perang Palestin. Ketika berlakunya penubuhan negara haram Israel dan seterusnya rampasan kuasa tentera di Mesir, kalangan Ikhwan Muslimin terus menerus diburu dan dihukum. Sejarah hitam berdarah ini sedang diulangi sekali lagi.

Semua negara kuasa besar dan sekutunya tidak memberi perhatian terhadap seluruh negara dunia seperti perhatian khusus mereka terhadap apa yang berlaku di Mesir. Perubahan telah berlaku di negara bekas komunis dan sosialis lainnya, tetapi kepentingan kuasa besar terhadap geo-politik Mesir tentunya tersangat penting untuk mereka biarkan berlaku begitu sahaja. Mereka mengkaji dengan serius apabila Mesir menerima perubahan kepada demokrasi yang memberi hak kepada rakyat.

Mereka memandang secara tajam dan ganas, apabila Mesir berubah setelah  dicengkam regim diktator kuku besi tentera sejak beberapa dekad. Negara Barat yang kononnya memperjuangkan demokrasi tetap mengiktiraf diktator zalim dan paling tajam kuku besinya di Mesir sejak beberapa dekad. Semuanya kerana kepentingan strategic kuasa besar terhadap sumber tenaga dan kedudukan sekutu rapat mereka negara haram Israel. Akhirnya, perubahan berlaku di Mesir mengikut musim perubahan dunia sehingga tidak mampu dihalang, sehingga Presidennya terpaksa meninggalkan kerusi dan terdedah segala jenayah dan salah laku yang terselindung dilakukan ketika berkuasa.

Apabila Demokrasi dihidupkan, pilihanraya dilaksanakan dengan adil dan telus. Bermulalah era media menjadi saksi yang adil yang diberi peluang kepada semua parti politik dan rakyat mendapat maklumat daripada semua pihak. Maka  rakyat memilih kerajaan dan Presidennya secara langsung, sehingga kumpulan saki bagi penipu besar gagal menyekat pilihan rakyat.  Tiba-tiba kumpulan sekular yang didokong oleh negara luar kalangan kuasa besar dan daripada kalangan negara Arab serantau, sebangsa, se agama, menolak pilihan rakyat Mesir kerana kemenangan berpihak kepada kumpulan Islam.

Rakyat Mesir pernah menjadi mangsa penipuan ketua negaranya ketika kalah perang menghadapi negara haram Israel 1967 yang memalukan, apabila ketua cawangan Parti Sosialis dan ketua kampung (JKKK) diperintah supaya mengerah  rakyat keluar beramai-ramai berdemonstrasi dan bersedih tidak bersetuju Presidennya meletakkan jawatan kerana malu kalah perang. Kerahan dilakukan sebelum Presiden menyampaikan lagi ucapannya, satu lakonan menipu rakyat  dan seluruh dunia.

Akhirnya terkini, diulangi lagi penipuan terbuka yang diketahui umum tanpa maruah dan rasa malu. Kali ini rakyat miskin dan bodoh dikerah lagi dengan duit upah dan kenderaan percuma, dengan  sumbangan duit  negara minyak Arab yang sanggup menyumbangnya. Rakyat yang begitu sifatnya dihimpunkan di Medan Tahrir menunjuk perasaan kerana Presiden Morsi yang baru setahun dilantik tidak berjaya menyelesaikan masalah yang diadakan oleh kerajaan yang lalu sejak enam puluh tahun. Bantahan disertakan dengan kononnya jutaan tanda tangan kalangan yang sebahagiannya buta huruf dan buta akal.

Protes itu berlaku terhadap masalah yang berakar umbi selam enam puluh tahun warisan kerajaan diktator terdahulu. Protes yang dirancangkan dengan rapi dan tersembunyi tangan ghaib kuasa besar dan negara Arab sekitarya hanyalah mengenai masalah yang belum dapat diselesaikan dalam masa setahun pemerintahan Presiden Morsi, itupun dalam  keadaan Presiden dan kerajaannya yang masih baru, tidak dibenarkan bertindak terhadap saki baki penyangak dan penyamun lama yang masih berakar umbi dalam jentera kerajaan dan institusinya.

Seluruh dunia menyaksikan lakonan atau drama terbuka di tengah padang di waktu siang hari yang nyata, kononnya menyokong kehendak rakyat. Malangnya ada kalangan ulama dan pemimpin agama yang menjadi pelakon tambahan, ada pula negara Arab yang mengucap tahniah mengiktiraf drama bohong ini adalah benar dan adil, sehingga lupa serban di kepala dan lupa berada paling hampir dengan Ka’abah. Sedang negara Barat sendiri masih hati-hati membuat kenyataan.

Maka berlakulah pesanan Rasulullah S.A.W.:
سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ قِيلَ وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ قَالَ الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ

سنن ابن ماجه - (ج 12 / ص 44)
(Akan datang masanya manusia berdepan dengan tahun-tahun yang mengelirukan (musimnya tidak menentu), berlakunya dibenarkan (dipercayai) pembohong, dibohongi orang yang benar. Diberi amanah kepada pengkhianat, dikhianati orang yang amanah, Orang-orang yang bebal bercakap. Lalu ditanya apakah maksudnya ?. Sabdanya :” Orang-orang yang terlalu jahil bercakap dalam perkara yang besar).


Berlakunya yang di-sabda Rasulullah S.A.W. menjawab soalan Malaikat Jibril : Apakah tanda-tanda hampirnya Hari Kiamat (Yang membinasakan seluruh alam)”. Sabdanya:
وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ

صحيح مسلم - (ج 1 / ص 87)
(….dan apabila kamu melihat adanya orang-orang yang dahulunya berkaki ayam (tanpa kasut), bertelanjang, yang terlalu miskin, tiba-tiba (kaya raya) berlumba-lumba mendirikan bangunan-bangunan tinggi).

Banyaklah sejarah latar belakang negara kaya raya hasil minyaknya, bagaimana mereka dahulunya dan bagaimana sekarang?

Segala yang berlaku menandakan fajar kemenangan Islam, mereka yang ditarbiyah oleh penjajah berbangga dengan sejarah Fir’aun dan melupai sejarah Nabi Musa dan para Rasul akan menerima nasib Fir’aun dunia dan akhirat.

Islam mustahil dapat dihapuskan dengan kekalahan pilihanraya dan paksaan kerajaan tentera paling besar dan zalim.

Firman Allah yang bermaksud:
137. Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-Rasul).
138. (Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
139. Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman. (آل عمران )


Malangnya ada kalangan yang berbahasa Al Quran mengucap tahniah   bersama pemimpin negara haram Israel kerana kejayaan rampasan kuasa menggulingkan Presiden Mesir daripada kumpulan Islam yang dipilih rakyat secara Demokrasi, ada juga yang munafiq, menunggu dan lihat untuk berpihak kepada siapa sahaja yang menang dalam pertarungan yang berlaku.

Demikianlah Allah membahagikan manusia kepada tiga kumpulan sahaja : (1) Beriman dan beramal soleh, (2) Kufur menentang Islam secara nyata dan (3) Munafiq yang berpura-pura.

Presiden PAS,
11 Julai 2013

MB Kelantan ziarah keluarga guru mati ditembak

Zamani Mohd Zain , 11 Jul 2013


BACHOK: Kesedihan keluarga Allahyarham Hashim Mat Zain yang ditembak di Bachok tiga hari lepas turut mendapat perhatian kerajaan negeri apabila dilawati Menteri Besar hari ini.

Ustaz Datuk Ahmad Yakob meluangkan masa menziarahi keluarga guru terbabit di Kampung Sungai dekat ini. Hadir sama Adun Perupuk, Huzaimi Che Hussin.

Pada kejadian Isnin lalu arwah dilaporkan ditembak sebaik sahaja keluarga dari Sekolah Kebangsaan Beris Panchor, Tawang tempat beliau mengajar.

Tembakan sebanyak tiga das menyebabkan kereta dipandu mangsa terbabas ke kiri jalan dan terhenti di hadapan rumah seorang penduduk. Beliau mati di tempat kejadian.

Arwah meninggalkan seorang balu dan enam anak. Beliau berasal dari Kampung Tok Dosah, Perupok.

Pada kunjungan tersebut Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan kepada balu mangsa, Nur Haziani Deraman.

Beliau berharap keluarga mangsa bersabar menempuh dugaan tersebut, lebih-lebih lagi sekarang umat Islam sedang menjalani ibadat puasa.

Rakyat Kuala Besut, berhati-hati dengan 'makanan segera'

Dr Azman Ibrahim, 11 Jul 2013

Deretan rumah penduduk di kawasan pantai Kuala Besut.

Saya menyanjung tinggi hasrat calon PAS bagi PRK N01 Kuala Besut, Azlan Yusof dengan janji beliau sekiranya dengan izin Allah, pengundi Kuala Besut memilihnya untuk menjadi wakil mereka, semua gaji yang bakal diterima tidak akan diambil walau sesen pun, sebaliknya suatu tabung akan diwujudkan bagi faedah kebajikan rakyat yang memerlukan.

Dengan latar belakang beliau sebagai seorang kontraktor kelas A dan dikenali sebagai insan dermawan selama ini, tentunya beliau komited dengan apa yang diucapkan. Apatah lagi masyarakat Kuala Besut yang bakal diwakilinya, masih sangat ramai yang hidup di bawah paras kemiskinan terutama masyarakat nelayan pantai yang tinggal di kawasan pesisiran pantai.

Ironinya beberapa Pusat Daerah Mengundi Dun Kuala Besut yang merangkumi lokasi pesisiran pantai adalah kubu kuat Barisan Nasional. Sebagaimana juga yang sudah sedia dimaklumi, kawasan penempatan di lokasi pedalaman dengan penduduk yang masih dihimpit kemiskinan di kebanyakkan lokaliti di Terengganu masih merupakan feeder tetap kepada undi BN.

Benarkah ungkapan, kekalkan pergantungan keterlaluan rakyat kepada bantuan kerajaan, sampai masanya ketika undi mereka diperlukan, semuanya akan akur dengan mudah? Kaedah memanipulasi pelbagai program bantuan untuk rakyat dengan tujuan untuk meraih undi bukan lagi statement yang perlu BN nafikan.

Kita mempunyai bukti bagaimana penerima BR1M, bantuan khas awal persekolahan, bantuan elaun sara hidup nelayan, bantuan wang ehsan, dana khas hari raya serta pelbagai lagi penerima bantuan kebajikan yang sebenarnya semua bersumber dari duit rakyat tetapi penerimanya dipaksa mendengar bebelan ucapan panjang berjela dari pemimpin BN kononnya mewajibkan rakyat untuk bersyukur dengan kerajaan BN.

Apabila pemimpin BN setempat tak begitu mempunyai kemahiran untuk membebel, penceramah upahan terdiri bekas-bekas pemimpin buangan dari PAS pula diundang. Untuk apa semua ini?

Bersempena PRK, tentu sekali limpahan janji akan mencurah di Kuala Besut, walaupun mungkin ianya agar sukar dimengertikan oleh masyarakat tempatan seumpama janji seorang pemimpin tertinggi kerajaan pusat untuk menjadikan Manik Urai sebuah ‘bandar metropolitan’ ketika PRK Dun Manek Urai dulu atau seumpama janji ditabur oleh seorang menteri kerajaan pusat untuk memasang kemudahan WiFi di sebuah penempatan orang asli ketika PRK Dun Galas.

Nasib baik kerana janji pilihanraya tak termasuk dalam bab rasuah atau mana-mana akta sehingga pemungkirnya boleh didakwa di mahkamah, kalau tidak akan bertambah lagilah kerja pendakwa, loyar dan para hakim.

Limpahan beranika projek makanan segera pelbagai jenama akan dihidangkan di mana-mana. Bukan hanya setakat mi segera. Apatah lagi kerusi Kuala Besut seakan penentu kelangsungan kuasa BN di Terengganu. Kalah bermakna 16:16. Suatu testimoni perundangan yang unik akan berlaku. Untuk mempertahankan sisa-sisa kudrat yang berada di hujung tanduk, segalanya tentu sanggup dilakukan.

Nasihat saya kepada pengundi Dun Kuala Besut, nikmatilah ia seadanya. Cuma berhati-hatilah, banyak makanan segera atau fast food tidak begitu baik untuk kesihatan kita walaupun rasanya lazat ketika dimakan. Orang Kuala Besut perlu memikirkan kesan kesihatan untuk jangka panjang.

BN telah diberi peluang selama lebih 50 tahun menyediakan resepi untuk rakyat. Apakah juadah yang dihidangkan itu adalah pemakanan seimbang untuk keperluan jasmani dan rohani rakyat?

Doakan keselamatan umat Islam Mesir

Salmah Mat Husain, Foto: Rizal Tahir, 11 Jul 2013
KOTA BHARU: Umat Islam di Malaysia khususnya Kelantan diseru mendoakan keselamatan umat Islam di Mesir yang kini sedang bergolak.

Imam Qaryah Ramadhan, Sheikh Hisyam Abdul Bari berkata, hanya doa yang mampu menyelamatkan umat Islam di sana, kerana tajamnya doa sebagaimana janji Allah sendiri.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat sunat tarawih di khemah Qaryah Ramadan, di sini malam tadi.

Beliau turut menceritakan bagaimana seorang ulama Mesir yang cacat penglihatan telah berani tampil mendoakan kejatuhan Muammar Ghadafi 30 tahun dahulu.

“Dia mendoakan dengan berkata Muammar akan dihina sebelum kematiannya, jenazahnya tidak akan diterima bumi serta dia akan lari membawa diri dengan penuh air di lorong kecil yang penuh najis.

“Selepas kejatuhannya, Muammar sememangnya melalui saat-saat itu, itulah antara berkat doa dari hamba Allah, kerana tajamnya doa,”ujarnya.

Kerana itu, tambahnya sekiranya rakyat Malaysia dan Kelantan bersimpati dengan nasib umat Islam di sana, bantulah mereka dengan doa.

Beliau juga melahirkan keyakinannya apa yang berlaku di Mesir serta pergolakan di negara lain di Timur Tengah akibat konspirasi musuh Islam apa lagi Mesir dan Al Azhar adalah benteng agama suci itu.

Sheikh Hisyam seterusnya berkata Islam tidak akan menang di tangan Arab, sebaliknya orang luar.

Sambungnya, Imam Bukhari, Abu Hanifa dan beberapa orang lagi insan ternama dalam Islam bukan dari Arab.

Sheikh  Ahmad Tamim Mahmood pula berkata, ketegangan dunia khususnya serangan terhadap Islam tidak pernah berakhir sejak dari dahulu  hingga kiamat.

Berlaku di Timur tengah kini satu kospirasi terhadap umat Islam oleh kuffar untuk menjatuhkan umatnya.

Khairy sambut baik syor jemput Ustaz Azhar Idrus

Salmiyah Harun, 11 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin mencadangkan Kementerian Belia dan Sukan mengundang penceramah ikon anak muda, Ustaz Azhar Idrus dalam usaha untuk menerapkan nilai-nilai Islam terhadap belia negara.

Menurut Hanipa, Azhar Idrus yang sangat dikenali di kalangan anak muda dan ia amat sesuai digunakan untuk menarik golongan belia bagi mendekatkan diri dengan Islam.

Katanya, dalam perkara ini kerajaan seharusnya menolak fahaman politik masing-masing demi belia yang kini rosak dengan gejala sosial.

"YB Menteri boleh panggil Azhar Idrus, dia ikon anak muda. Panggil dia untuk menarik anak muda. Dia ada tarikan sendiri ataupun menteri duduk di sebelah dia," celah Hanipa ketika menteri berkenaan menggulung bagi Kementerian Belia dan Sukan.

Menteri berkenaan, Khairy Jamaluddin menyambut baik cadangan Hanipa namun tidak mahu dilihat berpolitik apabila mengundang Ustaz Azhar Idrus.

"Cadangan YB Sepang baik, ada lagi ustaz-ustaz lain yang boleh. Saya tidak mahu dipolitikkan," jelas Khairy.

Sebelum itu, Khairy menyokong cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamd Abduh Nik Aziz yang meminta kerajaan mengislamkan dasar-dasar belia negara bagi mengelakkan masalah sosial terus menjadi serius.

Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan turut melahirkan kebimbangan terhadap insiden yang berlaku dalam perkampungan Sukma baru-baru ini.

Nasrudin juga mempersoalkan bagaimana begitu mudah arak dibawa masuk di dalam perkampungan Sukma dan meminta kementerian terbabit memberi gambaran jelas keadaan di perkampungan itu.

"Saya harap kejadian ini tidak lagi berlaku, arak dibawa masuk akhirnya berlaku pula jenayah. Minta pihak berkuasa ambil tindakan sewajarnya," katanya.

Mesir: Revolusi yang belum berakhir

Khalil Abdul Hadi, 11 Jul 2013
Sebaik saja mendapat maklumat daripada kawan-kawan di Mesir mengenai kemuncak perancangan untuk menjatuhkan Presiden Mohammed Mursi saya terpaku di hadapan television mengikuti perkembangan di sana melalui stesen tv Al-Jazeera. Hampir jam 230 am 3 julai maka keluarlah berita rasmi Presiden Mursi digulingkan oleh tentera. Abdul Fatah As-Sisi, Menteri Pertahanan yang dilantik oleh Mursi muncul bersama-sama dengan pimpinan gerakan tamarrud-rebel mengumumkan berita yang mengejutkan ini. Mesir menambah satu lagi koleksi sejarah selepas Firaun, Namrud dan Qarun iaitu Abdul Fatah As-Sisi adalah jeneral tentera pertama yang menjatuhkan presiden yang dipilih oleh rakyat dengan jalan demokrasi yang diiktiraf oleh negara dan badan-badan dunia. Sejurus selepas penggulingan kuasa ini As-Sisi telah mengumumkan bahawa perlembagaan digantung buat sementara waktu, pelantikan presiden sementara dan dipercepatkan pilihanraya presiden.

Kejatuhan Mursi tidak akan berlaku melainkan dengan sokongan pihak tentera dan gerakan massa daripada rakyat bawahan. Pihak tentera khususnya yang berpangkat tinggi walaupun masih dilihat tergugat cengkaman mereka selepas kejatuhan Hosni Mubarak tetapi mereka hanya menunggu peluang yang baik untuk menunjukkan wajah mereka yang sebenar. Akhirnya peluang itu datang apabila gerakan tamarrud digerakkan oleh Ketumbukan Menyelamatkan Revolusi yang diwakili oleh parti-parti sekular, nasionalis dan kumpulan upahan Islam berjaya mengupah orang awam biasa yang mudah termakan dengan umpan wang ringgit yang sedikit kerana kesempitan hidup, mereka keluar di dalam himpunan dan demonstrasi dalam masa yang sama disokong oleh media upahan yang membesar-besarkan protes ini. Padahal himpunan penyokong Morsi lebih ramai jika dibandingkan dengan himpunan yang dilakukan oleh golongan tamarrud ini.

Tindakan yang dilakukan oleh pihak tentera ini menimbulkan berbagai kemungkinan senario politik yang berlaku di Mesir samaada ianya akan bertambah reda dengan penyertaan pelbagai pihak untuk merangka pelan politik pasca kerajaan pimpinan Mohammad Mursi atau ianya akan berubah menjadi semakin parah dengan pertembungan antara penyokong Mohammad Mursi dan kalangan pembangkang dan lebih bahaya lagi ianya boleh membawa kepada pertempuran berdarah di wilayah-wilayah yang banyak dipengaruhi oleh golongan Islam yang banyak ditindas oleh pihak tentera sejak dari zaman berzaman.

Rampasan kuasa yang berlaku di Mesir ini bukanlah perkara baru, ianya pernah berlaku di Algeria pada awal 1990 an apabila parti Islam FIS menang dalam pilihanraya, pihak tentera ambil alih kuasa dan pimpinan FIS dipenjarakan seperti Abbasi Madani, Ali Belhadj dan lain-lain lagi. Begitu juga ianya pernah berlaku beberapa kali di Turki antaranya ketika parti Refah yang diketuai oleh almarhum Nejmuddin Erbakan mengambil alih kuasa pihak tentera masuk campur dan kerajaan pimpinan parti Refah digulingkan. Akan tetapi tindak balas pihak tentera menggulingkan Mohammad Mursi di Mesir ini berbeza kerana beberapa sebab antaranya:


1- Kuasa yang diperolehi oleh golongan Islam samaada gerakan Islam yang sederhana iaitu Ikhwan Muslimun melalui sayap politiknya parti Hurriyyah wa Al-‘adalah-Freedom and Justice atau yang mengikut aliran-aliran yang lain dalam pilihanraya yang diadakan pada tahun lepas seolah-olah mutlak bukan sahaja menguasai parlimen bahkan juga Majlis Syura dan Presiden yang dipilih juga adalah calon daripada Ikhwan Muslimin. Pengaruh Ikhwan Muslimun di dalam tampuk pemerintahan ini sangat dibimbangi oleh Israel dan Amerika Syarikat dan ianya juga dilihat boleh menggugat negara-negara Arab lain khususnya negara Teluk yang diperintah oleh sistem beraja yang mutlak dan menjadi sekutu rapat Amerika Syarikat. Ini adalah kerana Ikhwan Muslimun adalah Gerakan Islam paling lama yang sudah bertapak lebih daripada 80 tahun dan paling berpengaruh yang mempunyai cabang-cabang di seluruh negara Arab.

2- Kedudukan Mesir yang begitu strategik di dunia Islam samaada dari sudut ketenteraan, sosial politik dan geografi politik. Negara Mesir adalah antara negara yang mempunyai jumlah penduduk Islam teramai di negara Arab khususnya di kalangan Ahl As-Sunnah. Di tambah lagi dengan kedudukan geografinya yang begitu strategik, bersempadan dengan Israel dan juga Gaza yang dikuasai oleh kumpulan Islam HAMAS. Kewujudan Terusan Suez juga adalah yang menjadi penghubung laluan kapal-kapal dari seluruh pelusuk dunia juga memainkan peranan yang penting ditambah lagi dengan kesuburan tanahnya khususnya delta sungai Nil yang menjadi sumber pertanian yang besar.

3- Di sepanjang sejarah kebangkitan Islam, Mesir memainkan peranan yang sangat signifikan ketika umat Islam berada di saat-saat yang cemas dan genting. Pembebasan Baitul Maqdis dari tangan Salibiyyin oleh Sultan Salahuddin Al-Ayyubi bermula di Mesir iaitu setelah baginda mengambil alih pemerintahan kerajaan Fatimiyyah dan akhirnya berjaya menyatukan umat Islam sehingga berjaya membebaskan Baitul Maqdis pada tahun 583 hijrah. Begitu juga Ketika kerajaan Islam Abbasiyyah yang berpusat di Baghdad dibadai oleh bala tentera Tatar, seolah-seolah kerajaan Islam sudah berkubur, ribuan umat Islam dibunuh, masjid-masjid dimusnahkan dan kitab-kitab dijadikan jambatan di atas sungai Furat dan Dajlah sehingga airnya bertukar menjadi hitam. Lalu Sultan Qutuz yang merupakan salah seorang sultan daripada kerajaan Mamalik yang berpusat di Mesir memimpin umat Islam dan mengalahkan tentera Tatar di dalam peperangan Ain Jalut pada tahun 658 hijrah.
Maka di atas dasar ini tidak mungkin samasekali Amerika Syarikat akan berdiam diri dengan perkembangan yang berlaku. Ini juga berkait dengan masa depan negara haram Israel yang begitu tertekan dengan penguasaan golongan Islam di Mesir yang sudah tentu memberikan kekuatan kepada kerajaan HAMAS di Gaza yang menjadi duri di dalam daging kepada Israel. Ringkasnya sesuatu mesti dilakukan untuk menyekat ‘bahaya’ ini.

Setelah berlalunya revolusi 25 Januari yang menjatuhkan Hosni Mubarak dan kemenangan golongan Islam di dalam pilihanraya yang diadakan khususnya kemenangan Dr Mohammad Mursi sebagai presiden, tiada siapa yang menjangka akan berlaku satu lagi revolusi. Seolah-olah semuanya berjalan dengan baik kerana inilah jalan demokrasi, pihak yang kalah mestilah menerima kekalahan walaupun sepahit mana sekali pun tetapi apa yang berlaku mendedahkan wajah sebenar golongan Sekularis, Libralis dan Nasionalis yang tidak boleh menerima samasekali kemenangan golongan Islam. Demokrasi bagi mereka tidak boleh diterima jika sekiranya golongan Islam yang menang, mereka tidak akan berdiam diri kerana mereka tahu mereka disokong oleh kuasa-kuasa besar, inilah sikap hipokrit negara-negara Barat yang kononnya bertuhankan kepada Demokrasi. Setelah Dr Mohammad Mursi disingkirkan tidak ada negara yang mengecamnya melainkan Turki dan beberapa badan seperti Kesatuan Afrika. Mereka yang paling gembira ialah negara-negara Arab Teluk khususnya Arab Saudi dan UAE yang tidak berselindung langsung kegembiraan mereka dengan kejatuhan Mursi dan kerajaan pimpinannya, senada dengan kenyataan di dada akhbar-akhbar utama Israel yang menghemburkan pujian kepada As-Sisi kerana berjaya menggulingkan golongan Islam daripada tampuk pemerintahan.

Pada hari ini genap seminggu rampasan tentera di Mesir, keadaan masih kucar kacir, Adly Mansour presiden sementara yang dilantik masih lagi gagal untuk membentuk kerajaan sementara. Penyokong-penyokong Morsi memenuhi dataran-dataran di seluruh Mesir dalam masa yang sama mereka yang menyokong penyingkiran Morsi semakin surut kewujudan mereka di Dataran Tahrir. Puluhan penyokong Morsi dibunuh dengan begitu kejam ketika mereka menunaikan solat subuh ratusan lagi yang tercedera. Pihak-pihak yang bergabung di dalam gabungan Ketumbukan Menyelamatkan Revolusi pimpinan Mohammed El-Baredai dan lain-lain lagi makin tidak sependapat dengan pelan yang digariskan oleh pihak tentera. Berpuluh-puluh pimpinan Ikhwan Muslimun ditahan dan dipenjarakan, yang masih kekal bersama-sama dengan orang ramai menyatakan bahawa mereka tidak berganjak sehingga kuasa dikembalikan kepada Mursi. Al-Ustaz Mohammad Badi’, Mursyid Ikhwan Muslimun menegaskan bahawa rakyat yang berhimpun dengan aman lebih berkuasa daripada peluru-peluru hidup dan kereta-kereta kebal, kenyataan yang memberikan gambaran revolusi di bumi Mesir belum lagi berakhir.


*Penulis adalah Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan: