Jumaat, 12 Julai 2013

ISLAM TU DAH LENGKAP....PERLU KAJIAN DAN PENYELIDIKAN....ISLAM AGAMA ALLAH SWT

Dataran Raba'ah sesak, himpunan raksasa hari ini

Harakahdaily, 12 Jul 2013
MESIR: Puluhan juta para penyokong Dr Muhammad Morsi dari seluruh Mesir dijangka akan memenuhi bandar Kaherah hari ini ekoran pengumuman himpunan raksasa oleh pertubuhan Gabungan Kerjasama Kebangsaan yang dianggotai puluhan pertubuhan dan parti politik.

Himpunan tersebut dijadual bermula sejurus selesai solat Jumaat ini dan epat lokasi telahpun ditetapkan oleh pihak penganjur.

Ianya termasuk Medan Raba'ah Adawiyyah (Madinah Nasr) yang menjadi pusat himpunan sejak rampasan kuasa oleh tentera seminggu lalu yang turut menyaksikan pembunuhan puluhan penyokong Morsi dalam tragedi 'Subuh berdarah'.

Selain itu, tiga lagi tempat termasuk Bangunan Stesen Radio dan Televisyen Mesir (Masbero), Pusat Pengeluar Media (bandar 6 Oktober, Giza) dan Dataran Nahdah, Giza.

(Pandangan dari atas jutaan penyokong Morsi di Dataran Raba'ah malam tadi yang bersedia untuk himpunan rasaksa hari ini)

Himpunan hari ini juga diberi nama Jumaat "Az-Zihaf" atau "Jumaat Kemaraan".

Ekoran himpunan besar-besaran hari ini, Dataran Raba'ah sejak malam tadi sesak dengan lautan manusia yang berpusu-pusu hadir untuk himpunan tersebut.

Beberapa media antarabangsa menganggarkan sudah lebih 4 juta penyokong Morsi berada di Dataran Raba'ah sejak berlakunya tragedi Subuh berdarah Isnin lalu.

Difahamkan, menjelang Subuh pagi ini, Dataran Raba'ah tidak dapat lagi menampung jumlah kehadiran yang begitu ramai.

Jutaan penyokong Morsi khususnya dari luar wilayah Kaherah kini didakwa sedang mara menuju ke kawasan himpunan yang ditetapkan.

Petang semalam turut menyaksikan pihak penganjur mengadakan persiapan secukupnya di dataran Raba'ah.

Antaranya dengan menambah pembesar suara, menukar "back drop" pentas utama dengan tertera tema "Demokrasi Menolak Rampasan Kuasa" dan memasang banner dalam bahasa asing di sekitar dataran bagi menyampaikan mesej kepada dunia apa yang berlaku di Mesir.

Persada teruskan program rai anak yatim, ibu tunggal

Salmiyah Harun, 12 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Majlis berbuka puasa Amal anjuran Persatuan Anak Kelantan Darul Naim Selangor dan Kuala Lumpur (PERSADA) merupakan program tahunan yang diadakan setiap kali tibanya bulan Ramadhan.

Tahun ini merupakan tahun kelima berturut-turut program seumpama ini diadakan dengan mendapat kerjasama penuh tokoh-tokoh koperat dan para penderma yang budiman.

Seramai 30 orang anak yatim dan 15 orang ibu tunggal terdiri dari warga Kelantan yang menetap di sekitar Lembah Kelang bakal diraikan didalam program Iftar Amal Persada tahun ini di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 27 Julai  ini.

Dalam pada itu, Persada mempelawa semua yang berminat untuk bersama-sama memeriahkan majlis dapat mendaftar awal bagi mengelakkan kesulitan disaat akhir.

Menurut Presiden Persada, Ali Hanafiah Mohammad  program ini bertujuan bagi menggembirakan anak-anak yatim agar mereka juga berasa gembira seperti mana kanak-kanak biasa yang mempunyai ibu bapa, lebih-lebih lagi menjelang hari raya.

Sebelum ini, anak-anak yatim dan armalah seperti ini diraikan dalam majlis berbuka puasa di Hotel Vistana, Kuala Lumpur selain itu turut disumbangkan  “duit raya “ untuk perbelanjaan membeli keperluan hari raya.

Katanya, sumbangan bantuan persekolahan dan keperluan harian turut diagihkan kepada anak-anak yatim begitu juga sedikit sumbangan diberikan kepada armalah  bagi meringankan beban mereka menyambut kedatangan Aidilfitri nanti.

“Melalui pendekatan seperti ini, masyarakat terutamanya anak Kelantan di Lembah Kelang dapat mengenali Persada dengan lebih dekat dan bersama-sama kita melakukan amal jariah. Di samping itu juga kita mahu dikenali sebagai persatuan yang mengutamakan kebajikan dan kemasyarakatan sebagai agenda utama kita.” ujarnya lagi.

Justeru, Persada memohon para dermawan untuk sama-sama menyumbang kepada mereka yang memerlukan dan boleh menghubungi wakil Persada iaitu Zainuha (Bendahari) 0123619259,  Razali (017-6242252) dan penyelaras Program Alex (019-6001728).

Saya mahu jadi wakil rakyat, bawa suara rakyat'

Muhammad Faizal, 12 Jul 2013
BESUT: Calon PAS pagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut Endot@Azlan Yusof menegaskan, beliau mahu menjadi wakil kepada rakyat dengan membawa suara rakyat agar hak mereka ditunaikan.

Menurutnya, ia berbeza dengan wakil rakyat yang menjadi "wakil kerajaan" di mana tugas mereka menjadi terbalik dengan membawa apa yang kerajaan mahu dan bukan apa yang rakyat mahu.

"Kalau kita wakil kepada kerajaan, kita hanya bawa hak kerajaan kepada rakyat. Saya nak ubah dan saya mahu menjadi wakil kepada rakyat dan rakyat akan terus dibela," katanya ketika ditemui Harakahdaily sejurus diumumkan sebagai calon bertanding bagi PRK Kuala Besut hari ini.

Endot @Azlan Yusof yang lebih dikenali sebagai Che Long akan berdepan calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Kempen bersih

Mengulas pendekatan kempen yang akan digunakan, Che Long berkata beliau tidak akan menyentuh soal peribadi calon BN dalam kempennya, sebaliknya beliau akan membawa agenda serta perjuangan kebajikan rakyat yang dibawa oleh PAS dan Pakatan Rakyat.

"Saya akan memulakan kempen selepas solat Jumaat iaitu akan bertemu dengan pengundi-pengundi, manakala sebelah petang saya akan ke rumah-rumah pengundi di sebelah pantai dan akan berbuka puasa di situ," katanya.

Beliau juga turut mengulangi penegasanya bahawa tidak akan menggunakan elaun wakil rakyat untuk kepentingan peribadi, tetapi untuk kebajikan rakyat serta memasti kehendak rakyat itu dipenuhi.

Bagi PRK Dun Kuala Besut ini, pengundian awal akan diadakan pada 20 Julai, manakala pengundian biasa pula pada 24 Julai.

PRK Dun Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar dari BN pada 26 Jun lalu akibat komplikasi paru-paru.

PAS yang sebelum ini pada Pilihan Raya Umum ke-13 telah meletakkan Napisah Ismail namun tewas kepada Dr A Rahman dengan majoriti 2,434 undi.

Che Long temui pengundi selepas solat Jumaat

Muhammad Faizal, 12 Jul 2013
BESUT: Calon PAS bagi PRK Dun Kuala Besut, Azlan Yusof memberitahu kempennya telah bermula dan beliau akan bertemu dengan pengundi selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kuala Besut.

Dalam pada itu beliau yang mesra dengan panggilan Che Long sempat berseloroh turut menyatakan perasaan gemuruhnya telah hilang sebaik sahaja SPR mengesahkan pencalonannya bagi PRK kali ini.

"Saya bersyukur kerana dipilih oleh parti bagi memikulkan tanggungjawab untuk PRK kali ini. Saya akan memulakan kempen bertemu pengundi selepas solat Jumaat nanti.

"Perasaan gemuruh saya dah hilang, kalau sebelum ini berdebar-debar tetapi sebaik sahaja SPR mengumumkan pengesahan pencalonan perasaan tersebut terus hilang.

"Fokus saya yang paling utama mendekati semua pengundi sama ada yang mengenali saya secara dekat atau pun tidak," jelasnya yang ditemui selepas selesai proses penamaan calon di pusat penamaan calon di Kompleks Rakan Muda Kuala Besut.

Beliau yang ditentang calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman turut mengulangi penegasan jika dipilih sebagai wakil rakyat nanti, elaun yang diperolehi akan digunakan untuk kebajikan rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai hari membuang undi PRK Kuala Besut sementara penamaan calon pada 12 Julai.

PRK Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr A Rahman Mokhtar pada 26 Jun lalu kerana kanser paru-paru.

Pada PRU13 lalu, allahyarham memperolehi 8,809 undi sementara calon PAS, Napisah Ismail mendapat 6,375 undi.

Tidak sesuai untuk mereka yang kurang rajin membaca

Tuan Ibrahim Tuan Man, 12 Jul 2013



Wahai anakku,
Pada suatu hari, ada seorang lelaki melalui sebuah kawasan perkuburan di suatu malam yang kelam dan sunyi. Dia tetiba dikejutkan dengan suatu cahaya cukup bersilau terang terpancar dari sebuah kubur, dan terus menjulang ke langit. Pandangan itu sungguh cantik tapi juga merasa sedikit ketakutan dan berdebar.

Si lelaki terpegun seketika dan bertanya pada diri apakah kemungkinan kubur ini adalah kubur seseorang yang sangat istimewa? Apakah ia seorang waliyullah atau ulamak atau orang soleh yang istimewa kedudukannya di sisi tuhan? Jika tidak, mengapa kuburnya bercahaya? Si lelaki memberanikan diri dan mengambil sebatang kayu lalu dipacak di atas kuburan yang bercahaya itu kerana ingin melawat kubur itu keesokan harinya.

Wahai anakku,
Pada keesokannya, si lelaki itu datang menyelidik kubur siapakah yang sangat ajaib itu. Dibisik di hatinya, “Mesti allahyarham ini seorang tuan guru atau waliyullah atau alim ulamak atau orang soleh yang terkenal…”

Si lelaki bertanya-tanya kepada orang kampung sekitar dan mendapati kubur itu adalah milik seorang lelaki tua yang meninggalkan seorang isteri di sebuah pondok di hujung kampung. Si lelaki tidak berputus asa dan terus menyelidik dan melawat rumah si mati. Di sana si lelaki terjumpa dengan isteri si mati dan diceritakannya perkara yang ajaib yang berlaku semalam.

Wahai anakku,
Mendengar cerita si lelaki, isteri si mati terasa aneh, terkejut dan kehairanan. Suaminya cuma seorang petani kecil. Tidak pernah seorang yang kaya, lagi bukan seorang ahli ibadah mahupun orang soleh. Juga bukan seorang tuan guru atau waliyullah atau alim ulamak atau orang soleh yang terkenal yang disangka si lelaki. Malah menurut isteri si mati, suaminya tidak pandai membaca Quran dan dia tidak pernah mendengar suaminya membaca Quran.

Si lelaki cukup hairan dengan penjelasan isteri si mati. Apakah beliau bermimpi melihat cahaya di kubur itu? Takkanlah orang yang tak baca Quran boleh bercahaya di kuburnya.

Wahai anakku,
Namun lelaki itu tetap tidak berputus asa. Si lelaki inginkan mencari jawapan di sebalik cahaya di kubur itu dan bertanya apakah perkara-perkara aneh yang si mati selalu lakukan dalam kehidupan sehari-harinya.

Lalu, isteri si mati menjawab, suaminya akan mengambil wuduk setiap malam sebelum tidur, dan bersendirian di dalam bilik. Setelah seketika, isteri si mati baru sedar bahawa setiap malam suaminya selepas mengambil wuduk akan mengambil al-Quran di atas rak, lalu dicium dan dipeluknya dengan penuh kecintaan dan kasih sayang.

Si isteri si mati turut berkata suaminya akan duduk dan membelek al-Quran itu sehelai demi sehelai seperti sedang membaca. Diraba-rabanya ayat-ayat Quran itu di atas Quran dengan tangannya, seolah-olah sedang menyentuh dan membelai sesuatu yang sangat dikasihi. Malah kata isteri si mati, dia pernah dikejutkan tengah malam oleh rintihan dan desakan tangisan suaminya yang sangat sedih, mendayu-dayu dengan penuh penyesalan.

“Tapi suamiku seorang yang buta al-Quran,” terang isteri si mati.

Wahai anakku,
Mendengar penjelasan isteri si mati, si lelaki bertambah hairan. Lalu si lelaki bertanya, apakah yang dirintihkan dan dinangiskan si mati. Isteri si mati menjawab:

“Tuhanku! ampunkanlah aku kerana aku tidak mampu membaca kalimahMu. Janganlah engkau hukum aku di atas kebodohanku ini.”

“Wahai Kalam Allah, maafkan kesalahan ku. Aku tidak mampu membaca kalimahMu. Aku tidak dapat bersahabat denganMu. Aku tidak dapat memahamiMu. Tapi aku sangat mengasihiMu. Aku sangat mencintaimu.”

“Wahai Kalam Allah, jangan lah engkau mendakwa aku, jangan engkau menuduh aku di hadapan Tuhan di akhirat nanti.”

Malah, kata isteri si mati lagi, kadang-kadang suaminya tidak balik tidur bersamanya kerana tertidur di dalam bilik itu memeluk al-Quran dengan penuh erat.

Wahai anakku,
Mendengar penjelasan isteri si mati, si lelaki meminta izin untuk melihat al-Quran yang dimiliki suaminya.

Dibelek al-Quran itu, si lelaki terus bergenang air mata. Melihat naskah yang mulia itu kelihatan lusuh, helaian-helaiannya kelihatan selalu dibelek berkali-kali cukup mengharukan. Dibisik di hati si lelaki, “Aku pun tidak sampai begitu membelek al-Quran.”

Si lelaki tidak dapat menahan air matanya apabila benar melihat ada bekas-bekas air mata di halaman Quran milik si mati. Benarlah apa yang diceritakan isteri si mati, suaminya sering menangis berjurai air matanya tatkala membuka lembaran yang maha suci ini.

Di hati si lelaki, terus tersenyum kerana beliau dah jumpa jawapan mengapa kubur itu bercahaya. Hati si mati telah bersatu dengan roh al-Quran. Dia sangat mengasihi kalimah Tuhannya dengan sesungguhnya dan perkara ini boleh dirasai si lelaki selepas membelek al-Quran milik si mati. Sungguh mulia si mati ini. Ini bererti ia mengasihi Tuhan dengan seluruh jiwa dan raganya.

Wahai anakku,
Aku sengaja menceritakan ini kerana bimbang kamu merasai buku Quran teramat berat untuk dibuka untuk Ramadhan ini. Aku sangat berharap cerita di atas dapat membuka hatimu, menguatkan jiwamu dan meringankan tanganmu untuk mengangkat kalimah Allahmu untuk dibaca.

Wahai anakku,
Jangan sesekali kamu terpedaya dengan bisikan syaitan yang membisikkan perasaan malasmu untuk membaca Al-Quran. Syaitan terkadang menanam perasaan tidak pandai membaca untuk menjauhkan kamu dari Al-Quran. Sedangkan engkau membaca dengan mengeja satu-persatu diganjar pahala dua kali ganda oleh Allah.

Lantaran itu, berusahalah mempelajarinya. Jangan kamu merasa malu mempelajari Al-Quran, kerana tiada manusia dilahirkan dalam keadaan alim. Marilah kita bersama-sama menghidupkan al-Quran di dalam masjid kita, di dalam rumah kita, di dalam diri kita, sepanjang bulan Ramadhan, bulan pengampunan ini.

Senyum.

Masih relevankah pengajian Islam?

Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, 12 Jul 2013
Tiada siapa menafikan.

Ilmu agama pada hari ini sangat mudah diperolehi. Segalanya berada di hujung jari.

Tidak perlu lagi bermusafir ribuan batu untuk menyemak status riwayat yang diperolehi, kesusahan itu sudah banyak dihilangkan oleh kemudahan yang terhasil dari kecerdikan manusia berfikir dan bekerja. Terima kasih kepada segala kemudahan ini. Bermula daripada bekalan elektrik, alat elektrik, surat elektronik dan semua yang terangkum di dalam slogan efektif, efisyen, pantas, tepat dan jelas berpiksel tinggi.

Dalam segala kemudahan ini, sepatutnya banyak masalah umat berjaya diselesaikan.

Namun tiada siapa yang dapat menafikan, baik oleh pertimbangan akal, mahu pun oleh emosi yang merasa, kehidupan hari ini lebih meresahkan.

Suatu ketika, kita pernah diperingatkan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

“Daripada Abu Hurairah Abd al-Rahman ibn Sakhar radhiyallaahu ‘anhu, beliau berkata, aku mendengar Rasulullah bersabda; Apa yang aku larang kamu daripadanya, hendaklah engkau jauhkan diri daripadanya. Apa yang aku perintahkan kamu terhadapnya, maka hendaklah kamu lakukan ia dengan sepenuh kemampuan kamu. Sesungguhnya umat yang terdahulu daripada kamu, mereka menjadi binasa disebabkan oleh banyak persoalan mereka, serta khilaf perselisihan terhadap Nabi-nabi mereka.”
[Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Bagaimanakah lambakan persoalan boleh mengundang binasa?

Mungkin 30 tahun yang lalu, agak sulit untuk kita membayangkan bagaimana persoalan dan perbalahan yang tidak berkesudahan boleh mengundang binasa. Tetapi tidak lagi di hari ini. Kita melihat saban hari, di celah-celah kemudahan mendapatkan ilmu pengetahuan, semakin banyak persoalan yang timbul dan gagal diselesaikan oleh umat.

Andaikata persoalan yang timbul merupakan persoalan semasa, berkaitan dengan penemuan sains yang memerlukan pendirian Islam mengenainya, ia tidaklah menghairankan. Persoalan yang timbul memberikan konotasi perkembangan yang sihat tentang pencapaian umat.

Tetapi apabila persoalan yang timbul itu adalah persoalan yang sudah berusia 500 atau 1000 tahun, dan persoalan yang meletihkan ini berkeliaran menimbulkan resah, gelisah, perbalahan dan perpecahan dalam kalangan umat yang berdaya tinggi pada kebolehan mendapatkan maklumat, ia simptom yang amat jelas terhadap sebuah kebinasaan.

Senaraikanlah khilaf yang membawa perpecahan kepada umat hari ini, hampir kesemuanya berasaskan kepada masalah yang umurnya sudah sama tua dengan usia umat ini.

Jarang sekali umat bertelingkah tentang masalah GM Food di dalam industri pemakanan. Tidak jelas adanya perpecahan yang membelah kesatuan umat pada soal berkaitan dengan mercy killing dalam perubatan.

Khilaf yang membinasakan

Apa yang meretakkan umat ialah pada percakaran tentang soal bid’ah atau tidak bid’ahnya amalan tertentu di dalam masyarakat, soal perbalahan di antara aliran Salaf dan Khalaf, di samping kacau bilau tasawwur tentang asas khilaf di antara Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah dengan Syiah.

Berapakah usia pertengkaran itu?

Isunya bukan timbul semalam atau kelmarin. Tidak juga 100 tahun atau 200 tahun yang lalu. Khilaf itu sudah mengiringi survival umat semenjak di era al-Khulafa’ al-Rashidoon, Bani Umayyah dan Abbasiyyah, membawa ke hari-hari di kehidupan semasa ini.

Apakah kesudahan kepada perbalahan ini?
Saya tiada jawapan yang mudah mengenainya.
Tetapi ada satu tanda tanya yang besar di dalam fikiran saya.

Apakah penyebaran yang meluas terhadap info Islam ini bermaksud berkembang dan membangunnya disiplin Pengajian Islam?

Atau mungkin di sana ada sesuatu yang terjadi, bahawa meluasnya maklumat tentang Islam ini berjalan seiringan dengan kemerosotan disiplin Pengajian Islam, kemerosotan Fakulti Syariah dan Pengajian Islam?

Dan sejauh manakah perkembangan ini menyumbang kepada pertambahan ilmu sama naik dengan pertambahan masalah?

Seandainya segala ilmu pengetahuan di dalam khazanah Islam itu sudah begitu mudah diperolehi di hujung jari, apakah masih relevan disiplin ilmu Pengajian Islam? Andaikata seorang berkelulusan Teknologi Makanan, Kejuruteraan atau Perubatan juga sudah mampu untuk menjadi rujukan umat terhadap permasalahan agama, di manakah letaknya signifikasi Fakulti Pengajian Islam?

Pengajian Islam semasa
Lihat sahaja perkembangan semasa.

Segala-galanya menunjukkan kepada pengecutan disiplin Pengajian Islam. Bermula daripada peringkat sekolah, hinggalah kepada universiti.

Lihatlah sekolah-sekolah agama terkemuka di Malaysia seperti KISAS, SMAP Labu atau SMAP Kajang, berapakah jumlah kelas aliran Pengajian Islam untuk peringkat SPM, berbanding dengan kelas aliran Sains? Bagaimana pula dengan sekolah-sekolah agama kerajaan negeri, Maahad atau SMKA di seluruh negara? Apakah nisbah di antara bidang Sains dan Pengajian Islam masih seimbang, atau berlaku kemerosotan yang signifikan terhadap peluang dan ruang bidang Pengajian Islam?

Bagaimana pula dengan Fakulti Pengajian Islam?

Saya tidak punya sebarang statistik. Justeru saya tidak membuat sebarang dakwaan, sebaliknya melontarkan soalan untuk dijawab oleh mereka yang memiliki jawapan mengenainya.

Apakah saiz Akademi Islam Universiti Malaya, Fakulti Pengajian Islam di UKM, Kulliyyah of Islamic Revealed Knowledge di UIAM dan IPTA serta IPTS lain meningkat, atau masih kekal konsisten, atau mengalami kemerosotan dari segi kuantiti (sebelum isu kualiti)?

Tambahan pula dengan perkembangan terbaru (2013) apabila Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya ditukar taraf kepada Sekolah Pengajian Islam.

Luar negara


Bagaimana pula dengan Pengajian Islam di universiti di luar negara?

Di Mesir, Jordan, Syria, Yaman, Sudan, Arab Saudi, Maghribi, India dan Pakistan?

Saya juga tidak mempunyai statistik yang tepat. Tetapi apa yang pasti, Jordan mengalami kemerosotan yang amat ketara. Daripada jumlah pelajar Pengajian Islam (Syariah, Usuluddin dan lain-lain) serta Kesusasteraan Arab yang pernah mencecah jumlah lebih 4000 orang pada pertengahan 1990-an,  jumlah keseluruhan pelajar Malaysia di Jordan berada di bawah paras 1000 dengan pecahan pelajar Perubatan yang amat besar berbanding pelajar di bidang Pengajian Islam.

Syukur kebelakangan ini, jumlah pelajar Pengajian Islam di Jordan bertambah semula.

Kuantiti.

Bagaimana pula nasib Mesir selepas STAM diperkenalkan?

Apa yang pasti, saya sudah tidak mendengar adanya biasiswa yang ditawarkan oleh JPA atau MARA atau Kementerian Pendidikan, untuk menghantar pelajar ke Negara Arab di bawah program UPU yang berkongsi syarat kelayakan yang sama seperti penghantaran pelajar ke UK, USA, Australia, Jepun dan sebagainya.

Pengajian Islam sudah hilang keutamaan

Jika dilihat kepada kemudahan untuk belajar agama pada hari ini, mungkin kegusaran yang timbul boleh ditepis dengan mudah.

“Apa perlunya dirisaukan hal ini? Seorang doktor yang rajin belajar agama juga boleh jadi sehebat ustaz, malah mungkin lebih lagi,” kata seorang profesional bertaraf ustaz.

“Lihat sahajalah pelajar lulusan bidang agama, tak ke mana pun kemahiran mereka sebenarnya…” tambah seorang yang lain.

Dua pilihan


Ya, kita ada dua pilihan.

Sama ada seseorang itu belajar bidang Pengajian Islam, kemudian menyambung lagi pengajian di peringkat Masters dan PhD di dalam pengkhususan berkemahiran tinggi di bidang Pengajian Islam. Atau juga sebahagiannya menambah kelayakan dengan mempelajari bidang sokongan seperti Psikologi, Pendidikan, Sains Sosial dan sebagainya. Atau pun seseorang belajar di bidang non Pengajian Islam seperti Kejuruteraan, Perubatan, Ekonomi dan seumpamanya, kemudian mereka menambah usaha mempelajari bidang Pengajian Islam bagi menyokong diri.

Yang pasti, kedua-dua pilihan ini, akan hanya dipilih oleh manusia yang bersemangat tinggi, bercita-cita besar dan mempunyai kesediaan prasarana otak, kemahiran belajar dan kesungguhan yang di luar kebiasaan.

Berapa ramaikah manusia seperti ini yang berada di bidang Pengajian Islam, atau berada di bidang bukan Pengajian Islam tetapi memiliki kesedaran Islam yang tinggi?

Jawapannya menimbulkan pelbagai persoalan yang lebih serius.

Kembali kepada persoalan Pengajian Islam dan relevannya ia pada keperluan semasa, saya perlu memikirkan kembali, apakah yang saya tempuhi di dalam sistem pengajian di Fakulti Syariah sebelum diberikan segulung ijazah tanda selesainya satu peringkat proses tersebut.

Melihat ke belakang

Jika ada di kalangan kita yang merasakan kemerosotan perkembangan bidang Pengajian Islam hari ini tidak mendatangkan mudarat kepada umat, saya mahu memulakan proses mencari jawapan kepada pandangan tersebut dengan menyemak kembali apakah subjek yang diajar selama saya dan rakan-rakan menghabiskan pengajian di peringkat Ijazah Pertama Syariah.

Saya percaya, kombinasi 46 subjek ini sangat memainkan peranan dalam menstrukturkan kefahaman seseorang tentang Islam dan legasi keilmuannya.

Berikut adalah subjek-subjek yang saya ambil sebagai pelengkap kepada segulung ijazah Syariah:

1. Arabic Language for Foreigners 099
2. Arabic Language for Foreigners 100
3. Arabic Language 101
4. Tsaqafah Islamiyyah
5. Introduction to Islamic Fiqh (Al-Madkhal ila al-Fiqh al-Islami)
6. Science of Hadith (Uloom al-Hadith)
7. Science of Quran (Uloom al-Qur’an)
8. Al-Seerah al-Nabawiyyah
9. English Language 101
10.Ayaat al-Ahkaam
11. Hadeeth 1
12. Aqeedah 1
13. Ahwal Syakhsiyyah (Fiqh Munakahat – Zawaaj) 1
14. Mabaadi’ fi al-Nahw wa al-Sarf
15. English Language 2
16. Usool al-Fiqh 1
17. Principles of Education (Mabaadi’ al-Tarbiyyah)
18. Study Skills (English)
19. Fiqh al-Qadha’ wa Thurooq al-Itsbaat (Jurisdiction System and Methods of Proofing Evidence)
20. Fiqh al-’Ibaadaat 1
21. Usool al-Fiqh 2 (Dilaalaat)
22. Research Methodology and Islamic Resources
23. Tilaawah wa Tajweed
24. Ahwal Syakhsiyyah (Fiqh Munakahat – Thalaaq) 2
25. Al-Tasyree’ al-Jinaa’ie fi al-Islaam (Penal Code Jurisprudence)
26. Diraasaat fi Kutub al-Tafseer (al-Tafseer wa al-Mufassiroon)
27. Al-Aqidah al-Islamiyyah 2 (Prophethood in Islamic Tradition, Christianity and Judaism)
28. Hadeeth 2
29. Fiqh al-’Ibaadaat 2
30. Al-Arabiyyah Kitaabah (Arabic Writing)
31. Huqooq al-Insaan fi al-Islaam (Human Rights in Islam)
32. Al-Ahwal al-Syakhsiyyah 3 (Fiqh Wasaayaa wa al-Mawaarith)
33. Adyaan Muqaaranah (Comparative Religions)
34. Al-Da’wah al-Islaamiyyah wa al-Khitaabah
35. Military Science
36. Diraasah Nahwiyyah Arabiyyah 1 (Arabic Grammatical Studies 1)
37. Fiqh al-Mu’aamalaat 1
38. Al-Qawaaid al-Fiqhiyyah
39. Al-Tafsir al-Tahlili (Analytical Interpretation of the Quran)
40. Al-Tarbiyyah al-Wathaniyyah (Jordanian Citizenship)
41. Military History
42. Al-Aqidah al-Islaamiyyah 3
43. Al-Quds fi al-Taarikh al-’Arabi wa al-Islaami (Jerusalem in the Arabic and Islamic History)
44. Al-Hadhaarah al-Islaamiyyah (Islamic Civilization)
45. Al-Alaaqaat al-Dauliyyah fi al-Islaam (International Diplomatic Relationship in Islam)
46. Asaasiyyaat al-Idaarah (Principles of Management)

Di samping 46 subjek yang disyaratkan untuk memperolehi ijazah Syariah, para pelajar juga dikehendaki menghafal 6 juzuk daripada al-Quran bermula daripada juzuk 25 hingga ke juzuk 30.

Pasca tamat pengajian


Semasa belajar, ada sesetengah subjek yang menimbulkan persoalan kepada diri saya. Mengapakah subjek-subjek tersebut diajar sedemikian rupa?

Misalnya untuk subjek Fiqh berkaitan dengan Thaharah, Solat, Puasa, Zakat, Haji dan cabang-cabangnya, kami mempelajarinya sebanyak dua pusingan. Satu pusingan di dalam subjek Fiqh dengan menggunakan kitab-kitab Ahli Fiqh khususnya Mazhab Syafi’e dan Hanafi. Kemudian subjek yang sama diulang pembelajarannya tetapi dengan menggunakan kitab Hadith dengan manhaj ahli Hadith.

Sebelum subjek-subjek Fiqh ini dipelajari, para pelajar juga harus belajar satu subjek yang merangkumi keseluruhannya secara tasawwur umum iaitu subjek al-Madkhal ila al-Fiqh al-Islaami. Begitu juga dengan subjek Usul al-Fiqh 1 dan Usul al-Fiqh 2, ketiga-tiga subjek ini memahamkan kepada para pelajar sejarah perkembangan Mazhab, asas-asas yang membawa kepada perbezaan dalam pemerosesan nas malah perbezaan pendekatan di antara Ulama Fiqh dengan Ahli Hadith.

Tetapi setelah pengajian selesai, penyusunan subjek sedemikian rupa membantu kami memahami akan wujudnya pelbagai aliran di dalam masyarakat, yang mana setiap aliran tersebut mempunyai kekuatan dan kelemahannya yang tersendiri di sepanjang zaman. Justeru, khilaf di antara Imam Ahmad bin Hanbal dengan Imam-imam Mazhab yang lain, difahami sebagai perbezaan orientasi Ahli Fiqh dan Ahli Hadith.

Pemahaman seperti ini, menyebabkan saya secara peribadi tidak pernah menyangka yang ia akan disepahkan di tengah-tengah masyarakat sebagai khilaf yang bukan lagi khilaf, sebaliknya pertentangan di antara yang Haq dan Batil hingga membinasakan umat. Hairan sungguh. Kesemua pensyarah, dan buku rujukan tidak pernah menyemai persepsi sedemikian rupa, melainkan penyakit SIKAPlah yang menyelewengkan konotasi asalnya.

Universiti tidak pernah mengajar mana-mana pelajarnya untuk melagakan perbezaan pendapat dan manhaj. Malah universiti menekankan sebaliknya. Biar pun pensyarah tidak terlepas daripada mempunyai kecenderungan tertentu, namun disiplin akademik mencegah satu-satu aliran daripada dimenangkan ke atas satu aliran yang lain. Dalam banyak keadaan, khilaf yang berlaku adalah khilaf antara yang paling benar dengan yang benar, bukan antara yang paling benar dan yang paling batil.

Sikap dan krisis akhlaq jualah yang menjadi punca sistem sebaik ini, tidak terlepas daripada menanggung nasib seperti sawah bendang yang membekalkan beras, tetapi turut membiakkan tikus dan ular sebagai makhluk perosak.

Apatah lagi isu ini dicacamerbakan dengan penglibatan istilah Wahabi, Kaum Muda, Kaum Tua dan seterusnya. Disebarkan oleh agamawan yang berpenyakit akhlaq, kepada pengikut yang kurang peralatan untuk menimbang tara.

Malah ini juga asas kegusaran kita melihat kecenderungan generasi muda belajar ilmu Hadith tetapi tidak menghayati ilmu Usul al-Fiqh. Mereka menjadi sangat keras dan kaku dalam pemahaman, malah berleluasa pandangan yang kucar kacir apabila fenomena itu diperpanjangkan pada memperkatakan bidang seperti Politik, Muamalat dan saringan ideologi moden seperti Demokrasi, Sosialisma, Kapitalisma, Nasionalisma, Liberalisma dan yang seumpama dengannya.

Kegusaran yang serius tentang persoalan-persoalan berkaitan dengan Siasah

Memperkatakan tentang Khilafah, kaedah pemilihan ketua negara, dan cabang-cabangnya tidak mungkin boleh dibuat hanya dengan lintasan hadith berkaitan politik di dalam subjek Hadith 1 dan Hadith 2. Sebaliknya beberapa subjek khusus disediakan untuk membina gambaran yang lengkap tentang apa yang dinamakan sebagai Siasah Syariyyah atau Sistem Politik Islam. Subjek-subjek tersebut juga hanya dipelajari selepas subjek teras dalam Usul dan Fiqh dilunaskan oleh para pelajar.

Tidak dilupakan, tatkala al-Quran mahu difahami akan tafsirannya, ia didahului terlebih dahulu dengan subjek khusus sebagai pra syarat sebelum Tafsir boleh difahami. Uloom al-Qur’aan memberikan asas-asas ilmu memahami al-Qur’an. Kemudian subjek Diraasaat fi Kutub al-Tafseer (al-Tafseer wa al-Mufassiroon) memperkenalkan kami kepada ilmuwan-ilmuwan Tafsir di sepanjang zaman, metodologi mereka serta kekuatan setiap Tafsir mereka dan bagaimana perkembangan zaman ke zaman itu memberikan kesan serta pengaruh kepada kecenderungan tafsiran masing-masing.

Sebelum semua subjek ini dipelajari, kami juga diajar beberapa subjek asas Bahasa Arab. Di dalam subjek ini, para pelajar didisplinkan dengan cara membaca dan menulis dengan betul. Hamzah harus dirumahkan di atas Alif, Wau atau Ya’, Alif Wasal atau Alif Qatha’, bagaimana menggunakan kamus-kamus Arab yang pelbagai dan lain-lain asas berbahasa yang betul.

Tidak sekadar itu, pelajar juga dikehendaki mempelajari tatabahasa Bahasa Arab dengan sebaiknya, mengenali perbezaan di antara Mazhab Bahasa Arab di Kufah dengan Basrah dan hal-hal yang membetulkan penuturan, pembacaan serta penulisan.
Subjek-subjek sokongan

Alhamdulillah sistem pengajian di Jordan juga menitikberatkan keperluan meluaskan horizon para pelajarnya. Maka para pelajar Syariah juga dikehendaki mempelajari subjek-subjek bukan Pengajian Islam dengan jumlah yang agak signifikan.

Antara subjek itu ialah Bahasa Inggeris, Prinsip ilmu Pengurusan, Pendidikan, Sejarah, Sains Ketenteraan dan Sejarah Ketenteraan. Pelajar juga mempunyai pilihan untuk mengambil subjek elektif seperti Sains Komputer, Bahasa Perancis, Sepanyol atau Bahasa Parsi, Sains Sukan, Prinsip Akaun dan sebagainya.

Kombinasi 46 subjek dengan hafalan 6 juzuk al-Qur’an ini adalah suatu proses yang amat panjang, rumit dan jika digarap dengan bersungguh-sungguh oleh para pelajar, ia berupaya untuk menyediakan ASAS yang diperlukan oleh seorang yang mahu berfungsi sebagai ilmuwan di tengah masyarakat.

Inilah yang masih saya fikirkan


Apakah dengan kemudahan akses terhadap ilmu-ilmu Islam pada era ICT ini, kemudahan itu mampu menamatkan signifikasi proses kesarjanaan di dalam bidang Pengajian Islam? Andaikata ilmu mudah diperolehi, saya masih ada persoalan tentang struktur ilmu.

Tatkala seseorang mahu memperkatakan tentang sejauh mana Sirah Nabawiyyah kita bersih daripada pengaruh Syiah akibat wujudnya pengambilan riwayat oleh Ibnu Hisyam daripada Ibnu Ishaq yang diketahui melalui pembacaan artikel bahawa beliau merupakan seorang Syiah, seorang yang melalui proses disiplin ilmu Pengajian Islam akan sedar bahawa isu itu hanya tip kepada sebuah iceberg yang amat besar.

Subjek Sirah Nabawiyyah, Aqidah 1, 2 dan 3, Ulum al-Hadeeth, Tamadun Islam, Perbandingan Agama dan beberapa subjek lain, masing-masing perlu dicantumkan untuk membentuk satu pendirian yang lengkap tentang subjek tersebut. Saya bertemu dengan perbahasan berkaitan ini semasa di tahun 3 pengajian, justeru berasa amat terkejut apabila ia menjadi topik perbualan di internet tanpa mengambil asas-asas yang kritikal itu tadi.

Forum tiada kesimpulan

Mungkin inilah punca utama mengapa apa sahaja tajuk yang dikemukakan di dalam forum-forum diskusi agama, ia jarang berakhir dengan kesimpulan. Biar pun ratusan reply dihantar, ia gagal menghasilkan satu keputusan yang boleh dipegang. Saya yakin, salah satu sebab mengapa situasi sebegini terjadi ialah apabila strutktur ilmu sebagai cerucuk kefahaman itu tidak menjadi sandaran perbincangan.

Terlalu mudah untuk satu-satu pandangan dibuat tentang hal-hal yang memerlukan kepada satu proses pembelajaran yang panjang.

Saya tidak pasti sejauh manakah kemudahan internet mampu melahirkan ilmuwan yang boleh mencegah umat daripada segera terbelenggu dengan fenomena yang diamarankan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

“Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu dengan menariknya daripada dada hamba-hambaNya, tetapi Dia mencabut ilmu dengan mematikan ulama sehingga jika tidak ada lagi seorang ‘alim pun maka manusia akan mengangkat juhalaa’ (orang-orang jahil) sebagai pemimpin mereka. Lalu (jika) mereka ditanya, maka merekapun memberi fatwa tanpa ilmu, (akhirnya) mereka sesat dan menyesatkan orang lain.” [Hadith riwayat al-Bukhari: 100 & Muslim: 2673]

Dengan segulung ijazah Syariah, saya masih jauh daripada bayangan untuk mengisi kehilangan para Ulama yang pergi mendahului kita. Masih banyak yang perlu dikaji, dipelajari dan difahami. Masih kecil dan kerdil untuk menjadi pengganti. Jauh sekali.

Tetapi saya percaya, pemergian alim ulama yang begitu ramai kebelakangan ini, tidak memberi sebarang makna andai ia hanya mengundang tangisan air mata. Kehilangannya perlu diganti, dan saya tidak yakin dalam bahasa realistik, madrasah internet dan kuliah-kuliah Maghrib mampu berperanan menggantikan sebuah proses latihan di Fakulti Pengajian Islam.

Di tahun 90-an, JPA, MARA dan Kementerian Pendidikan berani membuat pelaburan menyediakan biasiswa dan pinjaman berprestij untuk menghantar pelajar-pelajar cemerlang ke bidang Pengajian Islam dan hasilnya sedang dinikmati oleh masyarakat pada hari ini, Alhamdulillah.

Akan tetapi, ketiadaan peluang sedemikian rupa hari ini, dan kemerosotan prioriti terhadap disiplin Pengajian Islam semasa, amat membimbangkan.

Saya tidak begitu bimbang kalau orang memandang remeh kepada bidang Pengajian Islam atas faktor prospek kerjaya. Ia mudah untuk disanggah dan ada banyak jalan untuk mengatasi masalah kerjaya ini. Kebimbangan saya ialah apabila orang memandang remeh kepada bidang Pengajian Islam untuk mendalami Islam. Inilah isu utama di dalam artikel ini.

Sesungguhnya, janganlah dibiarkan kemunduran itu.

Disiplin Pengajian Islam mesti diselamatkan.

Dan dikemas kini mendukung zaman.

http://saifulislam.com/

Tiada ulasan: