Jumaat, 12 Julai 2013

TERUS DILINDUNGI...AKHIRAT TERBONGKAR HABIS


Idris: Husam cuba laga saya dengan MB T'ganu
 
Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Kuala Besut, Datuk Seri Idris Jusoh menyifatkan kenyataan Datuk Husam Musa bahawa kemenangan PAS dalam RPK itu memberi keuntungan politik kepada menteri itu, sebagai cuba "melaga-laga" beliau dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.
"Dia (Husam) nak melaga-laga kita tu. Dia tak ada modal. Bila tak ada modal, dia carilah modal. Calon dia pun tak larat, parti pun tak larat. Dia cucuk kita. Dia cucuklah, biasalah," katanya dalam sidang medianya petang ini.
Idris mengulas kenyataan naib presiden PAS pagi tadi bahawa kemenangan PAS "membantu" Idris yang didakwanya "bertembung" dan mempunyai perbezaan pendapat dengan Ahmad.

Husam berkata kemenangan itu akan menyebabkan kedudukan Ahmad tergugat dan sehingga sekarang Ahmad tidak boleh ditukar kerana didakwanya "terlalu kuat".

"Kita dapat kerusi, dia (Idris) dapat keuntungan politik," kata Husam kepada pemberita di Kompleks Rakan Muda pada penamaan calon hari ini.

Bagaimanapun Idris yang juga menteri pelajaran dan pengajian tinggi II menafikan bahawa beliau mempunyai masalah dengan Ahmad yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu

"Saya tidak ada masalah dengan dia (Ahmad Said). Saya makan sekali dengan dia. Tak ada masalah," katanya dalam sidang medianya di Hotel Primula Pointray Besut.

Isu pergeseran kedua-dua pemimpin Umno itu menjadi rahsia umum selepas Idris tidak lagi dilantik menjadi menteri besar selepas pilihan raya umum 2008 dan diganti oleh Ahmad.

Dalam pilihan raya umum lalu, BN pimpinan Ahmad gagal mendapat dua pertiga majoriti kerusi DUN apabila mendapat 17 kerusi DUN manakala Pakatan Terengganu menguasai 15 kerusi. Hal demikian mengundang persoalan pelbagai berhubung kemampuan Ahmad menguruskan parti dan negeri.

Kerusi DUN Kuala Besut kosong ekoran kematian wakil rakyat dari BN, Datuk A Rahman Mokhtar. Jika BN berjaya mengekalkannya, maka ia dilihat memberi kelebihan kepada Idris yang juga ahli parlimen Besut.

Dalam sidang media yang sama juga, Idris menjelaskan bahawa beliau mengenali calon PAS Azlan Yusof yang pernah menjadi ahli jawatankuasa Pemuda Umno cawangan Gong Nering, Besut.

Katanya, Azlan telah dipecat daripada Umno kerana "menunjukkan kecenderungannya kepada parti lain" dan beliau tidak ingat bila tindakan itu dibuat.

Bagaimanapun, Idris yang juga Ketua Umno Besut enggan mengulas lanjut mengenai Azlan kerana menghormati kemuliaan bulan Ramadan.

"Kita nak bercakap tentang kehebatan kita. Kehebatan calon, prestasi parti baik, pembangunan kita tahu. Komen terhadap orang ni kita 'reserve' sikit," katanya.



-
PERKASA, JATI mahu pejabat Vatican M'sia ditutup
5:25PM Jul 12 2013  
Dua NGO Melayu yang lantang hari ini menggesa perdana menteri agar menutup pejabat wakil Vatican di Malaysia jika beliau tidak menarik balik kenyataannya tentang kalimah Allah dalam masa seminggu.

NGO Jalur Tiga (JATI) dan kumpulan pendesak Melayu PERKASA berpendapat, Ketua Biskop Joseph Marino tidak wajar menyokong pendirian gereja Katolik Malaysia dan usaha Persekutuan Kristian Malaysia dalam isu itu.

"NGO Islam Melayu seluruhnya meminta duta Vatican itu menarik balik kenyataan itu.

"Ini kerana ia dibuat seorang diplomat yang menyalahgunakan imuniti yang diberikannya dengan menyentuh hal-hal dalam negara kita, hal-hal yang fundamental dalam Perlembagaan, dan menyentuh hal yang majoriti rakyat Islam Malaysia tidak mahu kalimah Allah itu digunakan oleh orang Kristian dan dalam Bible bahasa Melayu.

"Kalau dia tak tarik dalam masa tujuh hari, kita akan adakan satu perwakilan untuk bertemu kerajaan bagi meminta perdana menteri melalui Wisma Putra untuk menutup pejabat Vatican City itu dan meminta duta yang baru dilantik sebulan setengah itu dibawa pulang ke Vatican City," kata Presiden JATI Datuk Dr Hassan Ali mewakili kedua-dua NGO.

Beliau berkata demikian sewaktu ditemui selepas sidang media bersama PERKASA di Kuala Lumpur petang ini.

Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali pula ketika dihubungi Malaysiakini berkata, NGO pimpinannya menyokong dan berkongsi pendirian dengan Hassan dan JATI.

Marino semalam dilaporkan menyifatkan pendirian kumpulan Kristian di negara ini sebagai "logik dan boleh diterima" walaupun menyedari ia adalah urusan dalaman Malaysia.
NGO Melayu gesa wakil Vatican diusir dari M'sia
5:11PM Jul 12 2013  
Sekumpulan aktivis NGO Melayu mendesak kerajaan mengusir wakil Vatican City ke Malaysia Archbishop Joseph Marino kerana menyokong pendirian gereja Katolik tempatan menggunakan kalimah Allah apabila merujuk kepada Tuhan.
Gabungan NGO Islam-Melayu (GNIM) berhujah, kenyataan "biadap dan kurang ajar" itu jelas membuktikan kehadirannya di negara ini bukan dengan niat yang baik menjalin hubungan diplomatik tetapi tersirat agenda licik.

"Marino sudah melangkaui bidang tugasnya sebagai seorang diplomat yang mewakili Paus dengan mengeluarkan kenyataan yang berbaur hasutan serta memihak kepada penganut Kristian di negara ini dengan menekan umat Islam," menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataannya hari ini, GNIM berkata, mereka bimbang jika perbuatan itu tidak ditangani dengan segera dan tegas, ia akan menjurus kepada campur tangan yang lebih serius.

Ini menurut mereka lagi termasuk mendokong gerakan Kristianisasi yang disasarkan kepada umat Islam di negara ini.

NGIM akan akan menulis surat bantahan kepada Paus Francis berhubung perkara itu.
Ikhwan berdoa tiada lagi pertembungan berdarah
3:03PM Jul 12 2013  
Penyokong presiden Mohamed Mursi yang digulingkan menggesa diadakan satu lagi tunjuk perasaan pada Jumaat dan mahu rakyat Mesir berdoa supaya tiada lagi pertembungan seperti minggu lalu yang mengorbankan 90 nyawa.

Pergerakan Ikhwanul Muslimin menuntut supaya Mursi sebagai pemimpin pertama yang dipilih secara demokrasi di republik itu dikembalikan ke tampuk kuasa, lapor Reuters.

NONEMaklumat rasmi menyebut Mursi (kanan) ditahan di perkarangan berek tentera elit Pengawal Republik di Kaherah, tempat tentera menembak mati 53 penunjuk perasan pada Isnin, yang tambah membangkitkan kemarahan penyokongnya.

Empat tentera turut terbunuh dan pasukan seragam itu mendakwa ia dimulakan oleh "pengganas".

Penyokong Mursi mendakwa sebaliknya.

Tembakan itu mengejutkan 84 juta rakyat Mesir selepas gambar grafik insiden itu muncul di kaca televisyen dan media sosial.

Ditambah pula ia berlaku tiga hari, selepas 35 terbunuh dalam pertembungan antara kumpulan pro dan anti-Mursi dalam demonstrasi di seluruh negara.

"Ia masa yang sungguh sukar kepada rakyat Mesir, untuk melihat sedutan filem berdarah dan keganasan semasa bulan mulia Ramadan, dan semua yang berbual dengan sama bercakap perkara yang sama," kata Fateh Ali, 54, seorang penjawat awam di Kaherah.

Bekalan gandum tinggal 2 bulan
Sementara itu, agensi berita antarabangsa juga melaporkan, Mesir kini hanya mempunyai bekalan stok gandum import untuk tempoh dua bulan sahaja, kata menteri bekalan dalam kabinet Mursi sebelum ini.

azlanBercakap kepada Reuters di khemah tempat ribuan pengikut Mursi berkumpul, Bassem Ouda berkata, hanya 500,000 tan sahaja gandum import yang tingggal berbanding kebiasaan 10 juta tan setahun.

Krisis politik lebih dua tahun setengah lalu turut menyumbang kepada masalah ekonomi serius Mesir sehingga menakutkan pelabur dan pelancong.

Ia sekali gus mengeringkan simpanan matawang asing dan menyukarkan pengimporta makanan dan bahan bakar.
Azlan: Dulu tak cerdik masuk Umno, tapi dah baligh dah
 
Calon PAS untuk pilihan raya kecil Kuala Besut Azlan Yusof hari ini mengakui pernah bergiat sebagai ketua pemuda Umno cawangan di kampungnya tetapi menegaskan ia dilakukan masa "tidak cerdik"

NONE"Zaman dulu orang kampung saya, orang PAS ada lapan orang sahaja," katanya ketika diminta mengesahkan perkara itu oleh pemberita dalam sidang media selepas penamaan calon hari ini.

Diasak oleh wartawan supaya beliau mengakuinya, Azlan (kanan) berkata:

"Betullah... Tapi sekarang ini orang muda kampung saya boleh dikatakan semua bersama saya. Malam tadi hampir semua orang kampung keluar pasang bendera.

"(Masuk Umno) dulu masa tak cerdik, tapi dah baligh dah. Tapi sekarang dah cerdik dah," katanya sambil diiringi ketawa kecil.

Menurutnya ahli perniagaan dan kontraktor itu, beliau menyertai PAS pada 1997.

Azlan juga berkata beliau bersedia berdepan dengan pelbagai tohmahan kepada beliau sepanjang kempen pilihan raya kecil ini dan menganggap tindakan itu "perkara biasa".

"Kita bersedia, janji kita tak buat benda yang dilarang oleh Allah. Orang kata apa, silakan.

'Harap (kurang tohmahan). Calon sana kita kenal keluarga dia, dia kenal keluarga kita.

"Datuk Idris (Jusoh), kita kenal juga, dia juga sayang dekat kita," katanya yang menolak kempen memburukkan peribadi sepanjang proses berkempen.

NONEPilihan raya kecil itu akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Azlan dan calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (kiri).

Dalam pilihan raya umum lalu, allahyarham A Rahman Mokthar daripada BN menewaskan calon PAS Napsiah Ismail dengan majoriti 2,434 undi. Pilihan raya itu diadakan ekoran kematian A Rahman akibat kanser.

Husam tuntut liputan RTM

NONESementara itu, pengarah jawatankuasa induk pilihan raya kecil Kuala Besut PAS Datuk Husam Musa (kiri) menuntut Menteri Penerangan dan Komunikasi Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memberi liputan kepada calon PAS di RTM.

"Kita harap mendapat liputan. Jangan footage sahaja, tetapi adalah sikit suara-suara, yang molek-molek," katanya dalam sidang media sama.

"(Tapi) Kita seganlah nak minta, itu eksklusif untuk parti pemerintah," sindir naib presiden PAS itu.
Husam: Kita menang, Idris untung
8:37AM Jul 12 2013  
Hari ini bermula kehangatan di Kuala Besut dengan penamaan calon bagi menggantikan bekas ADUN Datuk A Rahman Mokhtar yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru.

azlanCuaca mendung, hujan renyai-renyai serta tiupan angin Laut Cina Selatan bakal menambah lagi semangat calon dan penyokong yang tetap berkumpul sekalipun dalam bulan Ramadan.

Calon PAS Azlan Yusof adalah ahli perniagaan bersama kepimpinan parti itu berhimpun di persimpangan lampu isyarat berdekatan Pejabat Agama Daerah Besut.

Mereka bergerak kira-kira satu kilometer ke pusat penamaan calon - Kompleks Rakan Muda, Kampung Raja, Besut.

Manakala calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman diiringi kepimpinan parti berkumpul di Rumah Ahmad Saleh - kira-kira 700 meter daripada pusat penamaan calon.

Masa penamaan calon bermula 9 hingga 10 pagi.

Dalam pilihan raya umum lalu, allahyarham A Rahman menewaskan calon PAS Napsiah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Kawasan itu terkenal sebagai kawasan kubu kuat BN.

Kemenangan kali ini penting bagi kedua-dua pihak memandangkan perbezaan kerusi cuma dua di peringkat negeri.

Ini bermakna, jika PAS menang, keputusan akan menjadi 16-16, sekali gus menyebabkan situasi DUN 'tergantung'.
LAPORAN LANGSUNG

11.15 pagi: Jalan utama yang ditutup untuk lalu-lintas dibuka semula untuk semua kenderaan.

10.25 pagi:
Pegawai Pengurus pilihan raya A Rahim Jusoh berkata beliau berpuas dengan kertas borang pencalon dan tiada kertas calon ditolak.
NONE
Sehubungan itu, katanya, dua calon akan bertanding dalam pilihan raya umum DUN Kuala Besut iaitu Tengku Zaihan dan Azlan Yusof.

Sementara itu, Nik Aziz beredar Kompleks Rakan Muda dan diiringi laungan takbir dan solawat.

10.06 pagi:
Penyokong BN tetap setia menunggu diluar kompleks rakan muda kini mengibar-kibar bendera BN sambil menyanyi lagu Umno.

Tepat jam 10 pagi, SPR mengumumkan penamaan calon secara rasminya tamat. Dengan itu, sahlah pertandingan dua penjuru anara Tengku Zaihan dan Azlan.

NONE9.45 pagi: Perkarangan Kompleks Rakan Muda - Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata kemenangan PAS di Kuala Besut akan "membantu Idris Jusoh" yang didakwanya "bertembung" dengan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

"Ini kerana Mat Said dilihat tidak mempunyai agenda politik yang mantap. Tidak membawa banyak kemajuan.

"Beliau masih kekal jadi MB tetapi berbeza pendapat dengan Idris Jusoh. Dengan kemenangan ini, kedudukan Mat Said akan tergugat... Masih tak boleh tukar MB sebab dia (Mat Said) terlalu kuat.

"Kita dapat kerusi, dia (Idris) dapat keuntungan politik," katanya.

Sementara itu, di luar Kompleks Rakan Muda, penyokong PAS bertakbir, bertahmid, dan bertasbih dan melaungkan hidup Islam.

Penyokong PAS kini mencecah 3,000 orang. Cuaca tadi yang mendung, kini sudah mula panas terik.

NONE9.38 pagi: Abdul Hadi Awang beredar daripada pusat penamaan calon kerana akan bertolak ke luar negara hari ini.

9.23 pagi: Kelihatan seperti pertembungan dua penjuru PAS-BN di Kuala Besut ekoran hanya dua pihak kelihatan di pusat penamaan.

Selepas bercakap kepada media, calon kedua-dua parti kini menunggu pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memuktamadkan proses penamaan calon.

Masa pencalonan sehingga 10 pagi.
NONE
9.20 pagi: Suasana diam penyokong PAS pada awalnya berubah. Mereka mula bertakbir dan melaungkan slogan "hidup Islam" apabila Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sampai ke pusat penamaan calon.

Beliau diiringi dua pengawal dan beberapa kepimpinan PAS, antaranya Setiausaha Majlis Syura Ulama Nik Zawawi Salleh.

Beliau kemudiannya bersalaman dengan kepimpinan Pakatan yang sedia menunggu di dalam khemah di luar pusat mengundi.

Sementara itu, di pihak BN, mereka melaungkan slogan "Gelombang Biru", melambangkan warga parti itu.

NONE9.15 pagi: Pengarah Jawatankuasa Induk PRK Kuala Besut Datuk Husam Musa tiba di kompleks rakan muda.

9.05 pagi: Luar Kompleks Rakan Muda - Pesuruhjaya PAS Terengganu Mohd Abdul Wahid Endut ketika ditemui Malaysiakini bersyukur kerana perjalanan perarakan dan penamaan calon berjalan lancar dalam suasana tenang.

"Hari ini nampak OK, kita akan terus dengan kempen kita berjalan walaupun di bulan puasa. Kita dah susun program Pemuda, Muslimat dan lain-lain.

"Saya selalu kata, pilihan raya ini penting untuk menentukan (calon) Dewan Undangan Negeri... Insya-allah boleh mencapai kemenangan," katanya.

Turut sabar menanti di luar pusat penamaan calon Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, Setiausah Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Turut berada di khemah luar isteri kepada Azlan Yusof, bersama-sama keluarganya.

NONE9.00 pagi: Diketuai Muhyiddin, Tengku Zaihan dan 2,000 penyokong BN berarah ke pusat penamaan calon. Hujan telah berhenti. Mereka senyap tanpa sebarang slogan dan laungan kata.

8.55 pagi:
Sebelum perarakan, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said berucap menggesa para penyokong mengundi calon BN pada 24 Julai.

Beliau berjanji kerajaan negeri akan terus membangunkan Kuala Besut seperti yang diharapkan oleh rakyat.

8.50 pagi: Tiga penyokong BN termasuk ke dalam lorong ke arah penyokong PAS dan disorak oleh penyokong PAS.

Hujan renyai-renyai akhirnya berhenti, tetapi langit masih mendung.

8.44 pagi: Ahli Parlimen DAP Gelang Patah, Lim Kit Siang dan Vincent Wu tiba di pusat penamaan calon, dengan Lim melambai ke arah penyokong PAS, yang telah meningkat kepada lebih 2,000 orang.

Turut memasuki pusat penamaan calon adalah bekas exco Selangor Ronnie Liu.

NONE8.40 pagi: TPM Muhyiddin Yassin bari tiba di tempat perhimpunan BN dengan kereta rasminya, 20 minit sebelum penamaan calon.

Beliau tiba bersama-sama dengan beberapa pemimpin Umno lain, termasuk Setiausaha Agung, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Harun dan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said, Menteri Pelajaran Kedua Datuk Idris Jusoh dan Pemangku Presiden Gerakan Chang Ko Youn juga hadir.
NONE8.30 pagi: Kompleks Rakan Muda - calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman tiba di tempat berhimpun.

Hujan renyai-renyai dan terdapat hanya kira-kira 500 orang berkumpul di sini 30 minit sebelum penamaan calon.

Walaupun banyak kemah disediakan, tetapi ramai kelihatan berdiri di luar dengan memakai payung.

Mereka sedang menunggu kedatangan Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memimpin berarak ke pusat penamaan calon kira-kira 700 meter dari situ.
8:25 pagi: Kompleks Rakan Muda - Calon PAS Azlan Yusof tiba di pusat penamaan calon.

Tiga minit kemudian, beliau diiringi Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Pesuruhjaya PAS Terengganu Mohd Abdul Wahid Endut, Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar dan kepimpinan PAS yang lain, ke pusat penamaan calon.

Penyokong PAS dan BN dipisahkan pada jarak 100 meter.

8:10 pagi: Persimpangan Jln Raja-Jln Tembila - penyokong PAS memasuki Jalan Tembila, sambil melaungkan takbir ketika menuju ke Kompleks Rakan Muda, iaitu kira-kira 1 km dari sini.

Bilangan penyokong mencecah kira-kira 1,500.
8:05 pagi: Persimpangan Jln Raja-Jln Tembila - Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengetuai perarakan calon PAS, Azlan Yusof ke pusat penamaan calon ketika hujan renyai-renyai berterusan. Turut mengiringi Azlan ialah Mengiringi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan kepimpinan PAS Terengganu.

8:00 pagi: Persimpangan Jln Raja-Jln Tembila - Hujan renyai-renyai itu tidak menghalang kira-kira 300 penyokong PAS menunggu ketibaan Abdul Hadi Awang dan Azlan yang kini berada di Masjid Kg Raja menunaikan solat hajat.

7:30 pagi: Kompleks Rakan Muda - Sekurang-kurangnya 200 anggota polis dilihat sama ada berkumpul atau mengawal tempat pemeriksaan di sekitar pusat penamaan calon, termasuk beberapa anggota unit anti-rusuhan (LSF).

Sebuah helikopter polis juga dilihat berligar di udara.

Malaysiakini juga ternampak beberapa trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ketika dalam perjalanan ke pusat penamaan calon, tetapi tidak pasti di mana mereka ditugaskan.

7:30 pagi: Persimpangan Jalan Raja-Jln Tembila - Hujan renyai-renyai turun dan penyokong PAS mula berkumpul di persimpangan tersebut.
Menteri pertahan kerahsiaan pembekal dakwat
 
Nama syarikat pembekal dakwat kekal yang digunakan dalam pilihan raya umum yang lalu tidak akan didedahkan kerana khuatir akan dibeli oleh orang ramai kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau yang berucap semasa ucapan penggulungan titah Diraja di Dewan Rakyat malam tadi berkata, nama syarikat tersebut juga tidak akan didedahkan kerana bimbang akan berlakunya "kekecohan" semasa hari pengundian.

"Kita kena ingat bahawa dakwat ini bukan segalanya tapi yang penting ialah kad pengenalan. Saya nak sebut di sini, kalau sekiranya kita beritahu siapa syarikat pembekal dakwat ini, kalau semua tahu, semua beli dakwat.

"Celup dalam jari dan berbaris (untuk mengundi) dah ada cat dan terus mengundi. Jadi kad pengenalan tak tunjuk.

"Lepas itu akan kecoh bila semua orang tunjuk jari yang ada cat. Kalau cerita syarikat (pembekal) nanti semua beli dakwat," katanya.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendedahkan nama syarikat yang membekal dakwat kekal dalam pilihan raya umum yang lalu.

Pakatan juga mengancam untuk mendedahkan nama syarikat yang membekalkan dakwat kekal kepada SPR sekiranya suruhanjaya itu masih enggan berbuat demikian.

Selain itu, dalam sidang media yang dibuat Ahli Parlimen Bukit Katil Shamsul Iskandar Mat Akin, beliau menggesa Peguam Negara mengambil tindakan ke atas 1,469 laporan polis yang dibuat di seluruh negara berhubung dakwat kekal yang digunakan semasa pilihan raya umum 5 Mei lalu.

Tiada ulasan: