Jumaat, 5 Julai 2013

HILANG TANAH OK LAGI...JANGAN HILANG ISLAM@IMAN DALAM DIRI KITA...INI LAGI TERUK

Tanah milik PAS di Raub ‘hilang’ angkara dendam

Khairil Abdul Rahim, 04 Jul 2013
TEMERLOH: PAS Pahang menganggap ‘kehilangan’ tanah miliknya di tengah-tengah bandar Raub sebagai satu tindakan politik berunsur balas dendam oleh kerajaan BN.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tanah berkeluasan 1,700 kaki persegi di Jalan Tengku Abdul Samad itu dikurniakan ketika PAS menyertai Barisan Nasional.

“Pihak PAS Raub mempunyai dokumen membayar hasil tanah sejak tahun 1978, sehinggalah sekitar tahun 2006 pihak pejabat tanah enggan menerima bayaran cukai kerana rekod tanah tersebut tiba-tiba ghaib daripada sistem Pejabat Tanah Raub.

“Di kawasan tersebut juga ada tanah kurnia kepada parti MCA, MIC, Umno dan difahamkan tanah milik mereka masih wujud. Apabila PAS Raub merujuk perkara berkenaan Pejabat Tanah Galian di Kuantan, menunjukkan tidak ada rekod,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, sekarang ini pihak berkuasa seolah-olah berdendam apabila mula memusnahkan tanaman milik pengusaha-pengusaha tanah pertanian di serata negeri Pahang atas alasan tiada geran walaupun sudah diteroka sesetengahnya menjangkau 40 tahun.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika menggantikan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merasmikan Pusat Komuniti Ahli Parlimen Temerloh, di sini malam tadi.

Dalam pilihan raya umum (PRU) lalu PAS Pahang buat pertama kali dalam sejarah memenangi kerusi Parlimen Temerloh melalui calonnya, Ustaz Nasrudin Hasan yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Tuan Ibrahim berkata, politik balas dendam oleh BN berterusan dengan menyekat peruntukan kepada wakil-wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat sedangkan ia berbentuk penganiayaan dan penderaan kepada rakyat sendiri.

Nasrudin yang berucap sebelum itu, berkata beliau sendiri ketika diberi kesempatan berucap di parlimen telah menyebutkan supaya pihak kerajaan tidak berdendam kepada rakyat Temerloh walaupun telah beralih kepada wakil PAS.

“Saya sebutkan bahawa hak pembangunan yang telah dirancang dan dijanjikan di Temerloh janganlah dikhianati kerana hanya akan mendera dan menekan rakyat,” katanya yang baru pertama kali menjadi ahli parlimen.

Turut berucap Ketua Penerangan PAS Pahang, Suhaimi Saad, Pengarah Pilihan Raya Negeri, Abdul Majid Hasan, Yang Dipertua PAS Temerloh, Md Jusoh Darus dan Lai Chee Meng yang mewakili DAP.

Pentadbiran Islam: Selesai bercanggah baru PAS komen

Anis Nazri, 04 Jul 2013
KUALA LUMPUR: PAS menunggu kerajaan menyelesaikan percanggahan yang wujud berhubung cadangan pindaan Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013 sebelum menyatakan pendiriannya.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, berkata PAS hanya akan menyatakan pendirian selepas percanggahan itu diselesaikan terlebih dahulu.

"Bagaimana kami boleh beri pendirian terhadap perkara yang bercanggah antara satu sama lain di kalangan kerajaan. Biarlah percanggahan itu diselesaikan terlebih dahulu. Apabila sudah selesai baru kita komen," kata beliau ketika ditanya media, di lobi parlimen hari ini.

Percanggahan itu wujud apabila cadangan pindaan rang undang-undang membenarkan pengislaman kanak-kanak bawah umur dengan persetujuan hanya daripada ibu atau bapa sahaja.

Sebaliknya, dalam kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz, sebelum ini menyatakan ketika perkara itu dibawa ke peringkat mesyuarat kabinet, pengislaman kanak-kanak bawah umur itu memerlukan persetujuan daripada kedua-dua ibu dan bapa.

Susulan percanggahan tersebut terdapat banyak pihak memberikan respons berhubung isu tersebut.

Cadangan pindaan ke atas Seksyen 107 (b) Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013 telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Syarikat pembekal AES dibayar RM13 juta

Muhammad Faizal, 04 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Sebanyak RM13,550,758.00 telah dibayar oleh kerajaan kepada syarikat pembekal Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sehingga 15 Mei lalu sebagai fi perkhidmatan (contract service fee).

Demikian jawapan bertulis Kementerian Pengangkutan kepada pertanyaan Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin di Dewan Rakyat, semalam.

Mengulas perkara itu, Hanipa berkata, selain itu sehingga 11 Jun lalu, sebanyak 673,339 saman telah dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak AES dikuatkuasa pada 23 September 2012.

Tambahnya lagi, persoalan yang paling besar adalah jumlah yang besar telah dibayar oleh kerajaan kepada syarikat pembekal tanpa perlu dikongsi oleh rakyat.

"Saya melihat di sini terdapat penyalahgunaan kuasa dalam pelaksanaan AES dari segi perundangan.

"Bayaran saman yang dibayar oleh pesalah AES sepatutnya disalurkan keseluruhan kepada Perbendaharaan tetapi ini tidak sebaliknya ia turut diberikan kepada syarikat swasta," jelasnya pada sidang media di lobi parlimen, hari ini.

Tambahnya lagi, untuk mengelak dari kekeliruan, kerajaan perlu mendedahkan perjanjian yang telah dipersetujui antara pihak pembekal dengan kerajaan.
"Awal pelaksanaan kita lihat banyak wang disalurkan kepada syarikat pembekal, sebelum terlambat kita mahu perjanjian itu didedahkan, apa yang terkandung di sebalik persetujuan yang diperolehi," katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar memberitahu selain dari soal perjanjian, isu pelaksanaan AES turut dipertikaikan apabila ia bertentangan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

"Ada dokumen yang jelas mengatakan sebelum pelaksanaan AES, kamera tersebut perlu dibuat ujian terlebih dahulu.

"Apabila ujian terhadap kamera dibuat satu sijil pengesahan dikeluarkan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan mengikut undang-undang.

"Namun persoalannya adalah ujian dilakukan pada 21 September sedangkan kaedah serta syarat dilaksanakan pada 23 September 2012," kata beliau.

Mahfuz yang turut memberitahu, apabila kaedah pengujian kamera jelas bertentangan dengan perundangan maka kesemua saman yang telah dikeluarkan adalah tidak sah dan bayaran saman perlu dikembalikan kepada mereka yang telah membayar saman tersebut.

Tindakan tentera Mesir setelah 24 jam rampas kuasa

http://www.tintaasyraf.com, 04 Jul 2013
Tindakan Yang Dibuat Oleh Tentera Abdel Fattah Al-Sisi Setelah 24 Jam Merampas Kuasa Daripada Presiden Mesir Dr. Muhammad Mursi | Beberapa tindakan telah dibuat oleh tentera Abdel Fattah Al-Sisi setelah 24 Jam merampas kuasa daripada Presiden Mesir Dr. Muhammad Mursi dalam masa kurang 24 jam setelah rampasan kuasa di Mesir:
General Abdel Fattah Al-Sisi

1. Menutup semua saluran siaran Islamik (17 saluran ), yang menyiarkan siaran langsung di medan perhimpunan , terutama di Rabaah Abawiyyah
2. Menyekat surat khabar Al Huriyyah wal 'Adalah (akhbar milik FJP).
3. Menutup siaran Misr 25 (siaran televisyen Ikhwan Muslimin)
4. Menyekat siaran langsung Al Jazeera di Rabaah
5. Menggunakan peluru hidup ke arah penyokong Dr Mursi sehingga ramai yang terkorban.
6. Menahan beberapa pemimpin yang menyokong kepimpinan Presiden Dr Mursi
7. Menangkap ketua pejabat siaran langsung Al Jazeera dan beberapa pemberita. Antaranya Syariff Mansour dan Muhammad Jamal.
8. Merampas semua kamera di tempat persekitaran himpunan Rabaah Adawiyyah (tempat perhimpunan penyokong Dr Mursi).
9. Menghalang wartawan daripada membuat liputan kepada penyokong Dr Mursi di Rabaah Adawiyyah.

Tentera Mesir halang siaran langsung, tangkap pemberita

Harakahdaily, 04 Jul 2013
MESIR: Semua saluran media yang menyiarkan siaran langsung himpunan membantah rampasan kuasa dan menyokong Presiden Morsi diarah tutup dan diambil tindakan.

Dilaporkan semua 17 saluran islamik yang menyiarkan suasana bantahan terutama himpunan di Rabaah Abawiyyah sejak beberapa hari lalu ditutup hari ini.

Facebook Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), melaporkan sekatan turut dibuat terhadap agensi berita yang mahu membuat liputan langsung termasuk Al-Jazeera.

"Menyekat siaran langsung al jazeera di Rabaah. Menangkap ketua pejabat siaran langsung al jazeera dan beberapa pemberita antaranya Syariff Mansour dan Muhammad Jamal," laporan itu dipetik.

Al-Jazeera turut mengesahkan pihak tentera telah mengarahkan siaran langsung stesen itu dihentikan dan beberapa wakil media itu di Mesir ditangkap termasuk seorang penerbit. [Di Sini]

Selain itu, pihak tentera juga didakwa telah menyekat penerbitan ahkbar FJP serta menutup siaran saluran Misr 25 yang menjadi sumber rujukan perkembangan Mesir oleh masyarakat antarabangsa.

Sementara itu, pihak tentera juga didakwa bertindak merampas semua kamera di tempat persekitaran himpunan Rabaah Adawiyyah.

Mereka juga turut menghalang wartawan daripada membuat liputan kepada penyokong Dr.Muhammad Mursi di kawasan terbabit.

PMRAM juga melaporkan pihak tentera turut menggunakan peluru hidup ke arah penyokong Dr.Muhammad Mursi sehingga ramai yang syahid.
Sumber : Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)

Arak: Pemuda PAS gembira bukan Islam beri cadangan

Harakahdaily, 04 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Gombak bersetuju dengan cadangan Adun Seri Andalas, Dr. Xavier Jayakumar bahawa perlu satu enakmen undang-undang melarang perbuatan meminum minuman keras di tempat awam.

Ketuanya, Syarhan Humaizi Abdul Halim berkata, beliau sangat bersetuju dengan cadangan tersebut memandangkan arak boleh mendatangkan kesan membahayakan khususnya masalah sosial.

"Bukan sahaja peminum, tetapi premis jualan juga perlu dipantau. Penjualan arak murah di 7-elevan dan kedai-kedai runcit juga perlu di halang. Malah paling penting penjualan kepada yang beragama Islam adalah satu kesalahan dan perlu diambil tindakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas cadangan Xavier yang berucap di Dewan Negeri Selangor kelmarin.

Xavier memaklumkan, beliau menerima banyak aduan daripada penduduk yang merasa terganggu oleh aktiviti minuman keras oleh pihak tidak bertanggungjawab di sekitar kawasan awam.

Menurutnya, satu enakmen perlu diwujudkan melarang minuman keras di tempat awam dengan memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan anggota polis bagi melaksanakan penguatkuasaan.

Katanya, penguatkuasaan terhadap permohonan permit juga perlu diambil kira sekiranya terdapat permintaan daripada orang ramai untuk membawa minuman keras di tempat awam sewaktu majlis keraian.

Beliau turut meminta kerajaan negeri supaya menghalang penjualan minuman keras berharga murah yang boleh didapati dengan mudah di kedai runcit atau pasaraya seluruh negeri.

Dalam pada itu, Dr Xavier turut mencadangkan supaya kilang-kilang yang menghasilkan minuman keras murah ini dihadkan operasi mereka kepada tiga tahun sahaja.

Mengulas lanjut, Syarhan berharap cadangan ini bukan sahaja diguna pakai di Negeri Selangor, tetapi kerajaan pusat juga turut menyambut baik cadangan ini dan diperluas ke seluruh negeri memandangkan Malaysia adalah negara majoriti Islam.

"Jadi, inilah antara kesan tahalluf siasi PAS-PKR-DAP. Pemimpin bukan Islam mula faham tentang bahaya arak walaupun dalam masa yang sama ada pemimpin Islam yang buat-buat tidak faham. Lebih parah ada yang jadi tauke kilang arak San Miguel.

"Akhir sekali, saya gembira kerana cadangan ini datang dari Adun non-muslim PR," katanya.

Mesir: Puluhan penyokong Morsi terbunuh

Harakahdaily, 04 Jul 2013
MESIR: Puluhan rakyat Mesir dilaporkan terkorban diserang askar dan polis negara itu dalam himpunan dibeberapa buah bandar bagi mempertahan kepimpinan Presiden Morsi.

Insiden tersebut berlaku hanya beberapa jam selepas tentera Mesir mengumumkan rampasan kuasa sekaligus menggulingkan Morsi.

Web Ikhwanonline melaporkan di bandar Iskandariah, sekurang-kurangnya 10 terkorban manakala 200 orang cedera ketika ribuan penyokong Morsi berhimpun di Dataran Sidi Bisyr.

Di Asyut pula, dilaporkan dua orang penyokong Morsi terbunuh manakala 500 yang lain cedera selepas ditembak pasukan keselamatan di hadapan Masjid Omar Makram.

Sementara di Aswan, angka kematian tidak dapat dipastikan namun lebih 100 orang cedera dalam himpunan berhampiran dengan Masjid An-Nasr.

Di Matruh pula dilaporkan seramai 10 orang terkorban apabila polis melepaskan tembakan kepada peserta himpunan yang dihadiri ratusan ribu penyokong Mursi.

Sementara itu, beberapa web pro Morsi melaporkan ratusan waran tangkap dikeluarkan oleh pihak tentera bagi menangkap pemimpin dan anggota kumpulan gerakan Islam Ikhwan Muslimin.

Antara yang dilaporkan telah ditangkap termasuk Naib Mursyidul Am Ikhwan Muslimin, Dr.Rasyad Bayumi serta Presiden Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) sayap politik Ikhwan Muslimin, Dr.Muhammad Sa'ad Katatni.

Menteri Pertahanan, Jeneral Abdul Fatah al-Sisi dalam kenyataannya awal pagi tadi, Presiden Mesir Dr. Muhammad Morsi telah digulingkan oleh tentera Mesir selepas diberi tempoh selama 48 jam untuk memenuhi tuntutan rakyat.

Mereka telah mengumumkan perlantikan Ketua Mahkamah Perlembagaan Agung, Adly Mansour, sebagai ketua interim negara bagi menjalankan urusan negara bagi tempoh peralihan sehingga pilihan raya presiden yang baru.

Morsi tolak rampasan kuasa

Dalam perkembangan berkaitan, Morsi dalam kenyataannya terbaru sejurus pengumuman rampasan kuasa itu menolak tindakan tentera yang membuat rampasan kuasa.

Morsi berkata, beliau masih Presiden Mesir yang sah mengikut saluran demokrasi.

Beliau turut menyeru pasukan keselamatan dan rakyat agar masih berpegang dengan perlembagaan dan tidak patuh kepada rampasan kuasa oleh tentera.

“Bersabarlah kerana kemenangan itu akan tiba, dan Allah telah berfirman ‘adakah kamu rasa kamu akan masuk syurga selagi Allah tidak mengetahui mereka yang berjihad di kalangan kamu dan mereka yang bersabar.” kenyataan Morsi dipetik web ikhwanonline.com.

Rampasan kuasa di Mesir, apa sikap Malaysia?

Dr Azman Ibrahim, 04 Jul 2013
Parti Refah pimpinan Dr Necmettin Erbakan menang besar dalam pilihanraya Turki pada tahun 1996. Dr Necmettin dilantik sebagai Perdana Menteri tetapi hanya bertahan selama 9 bulan kerana digulingkan oleh tentera yang menjadi pelindung setia kepada sistem sekular Turki pada tahun 1997.

Pada tahun 1998, Parti Refah telah diharamkan dengan pelbagai pertuduhan manakala Dr Necmettin tidak dibenarkan aktif dalam arena politik Turki. Beliau dianggap pesalah yang harus dikenakan hukuman penjara 2 tahun tetapi dibebaskan serta mendapat pengampunan selepas itu dari Presiden Abdullah Gul dari Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP).

Sejarah seakan berulang kembali, Dr Mohammed Mursi dari Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP), Mesir dilantik sebagai Presiden pilihan rakyat pada tarikh 30 Jun 2012 setelah memenangi Pilihanraya Presiden dengan mendapat 51.7 peratus undi. Dr Mursi merupakan Presiden Mesir pertama yang dipilih melalui pilihanraya secara demokratik, selain merupakan orang awam pertama yang memegang jawatan tersebut.

Menjelang dinihari pagi 4 Julai 2013, kira-kira setahun empat hari mentadbir Mesir dengan, Ketua Majlis Angkatan Bersenjata Mesir, Jeneral Abdul Fatah As-Sisi dengan disokong Syeikh al-Azhar lantikan Hosni Mubarak, Ahmed al-Tayyeb, mengistiharkan rampasan kuasa.

Walaupun dinafikan oleh pihak tentera bahawa ia adalah rampasan kuasa, apa lagi istilah yang boleh digunakan apabila apabila Pasukan Pengawal Republik menduduki stesyen televisyen, menangkap ketua stesyen TV Misr25, mengarahkan pihak lapangan terbang menyekat perjalanan pemimpin Ikhwan, beribu orang tentera berkonvoi di jalan-jalan utama Kaherah, kereta kebal memenuhi jalan-jalan, maka apa lagi istilah yang sesuai digunakan kalau ini bukan rampasan kuasa.

Berita yang diterima melaporkan Morsi dikenakan tahanan rumah. Kita meyakini susulannya dari rampasan kuasa ini, Mursi, pimpinan FJP dan Ikwan Muslimun akan dihadapkan dengan pelbagai pertuduhan yang direka-reka selepas ini sebagai alasan untuk proses penangkapan secara besar-besaran.

Di kalangan pemimpin Negara ummat Islam, Perdana Menteri Turki kelihatan paling tegas dan bermaruah di dalam isu ini apabila secara jelas mengistiharkan bahawa Turki tidak mengiktiraf rampasan kuasa yang tak bertamaddun ini dan akan terus berurusan dengan kerajaan yang sah pilihan rakyat pimpinan Presiden Mursi.

Kita tentunya memandang sinis dengan kenyataan Presiden Obama yang mengesa supaya dipulangkan semula kuasa pemerintahan Mesir kepada kerajaan pilihan rakyat. Manakan tidak, ketika seluruh dunia memaklumi bagaimana dokongan kukuh Obama kepada Yahudi Israel dan segala polisi zalim mereka terhadap Palestin. Sedangkan polisi Mursi adalah membela Palestin dan anti Israel. Tiba-tiba seolah-olah Obama sebagai bapak pelindung Israel ingin menunjuk baik. Sungguh inilah telunjuk lurus kelinking berkait!

Bagaimana sikap kita Malaysia? Perdana Menteri jangan berlagak bacul tanpa apa-apa penegasan bermakna dalam isu ini. Yang pertama atas nama sesama negara Ummat Islam. Yang kedua atas nama demokrasi. Yang ketiga atas nama hak asasi manusia. Tak kan kita nak melihat sahaja mereka yang tidak bersalah sedang berhadapan dengan tindakan rakus dan agresif polis serta tentera Mesir.

Parlimen sedang bersidang. Ayuh bentangkan satu usul mengutuk rampasan kuasa ini. Kemudian isytiharkan bahawa Malaysia tidak mengiktiraf sebarang tindakan rampasan kuasa yang tak bertamadun. Kalau perlu tarik balik Duta Malaysia di Mesir sebagai menandakan seriusnya bantahan kita sehingga mandat rakyat dikembalikan. Beranikah kita?
Penulias ialah AJK Perhubungan PAS Terengganu.

Pentadbiran Islam: Selesai bercanggah baru PAS komen

Anis Nazri, 04 Jul 2013
KUALA LUMPUR: PAS menunggu kerajaan menyelesaikan percanggahan yang wujud berhubung cadangan pindaan Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013 sebelum menyatakan pendiriannya.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, berkata PAS hanya akan menyatakan pendirian selepas percanggahan itu diselesaikan terlebih dahulu.

"Bagaimana kami boleh beri pendirian terhadap perkara yang bercanggah antara satu sama lain di kalangan kerajaan. Biarlah percanggahan itu diselesaikan terlebih dahulu. Apabila sudah selesai baru kita komen," kata beliau ketika ditanya media, di lobi parlimen hari ini.

Percanggahan itu wujud apabila cadangan pindaan rang undang-undang membenarkan pengislaman kanak-kanak bawah umur dengan persetujuan hanya daripada ibu atau bapa sahaja.

Sebaliknya, dalam kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz, sebelum ini menyatakan ketika perkara itu dibawa ke peringkat mesyuarat kabinet, pengislaman kanak-kanak bawah umur itu memerlukan persetujuan daripada kedua-dua ibu dan bapa.

Susulan percanggahan tersebut terdapat banyak pihak memberikan respons berhubung isu tersebut.

Cadangan pindaan ke atas Seksyen 107 (b) Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013 telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Kerajaan digesa kutuk rampasan kuasa di Mesir

Anis Nazri, 04 Jul 2013
KUALA LUMPUR: PAS mengutuk sekeras-kerasnya rampasan kuasa yang dilakukan pasukan tentera terhadap Presiden Mesir, Dr Mohamed Morsi yang dipilih secara demokrasi.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar, mendesak Malaysia untuk mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan pihak tentera Mesir.

"Sokongan terhadap kepimpinan Morsi ini bukan berpihak kepada pemikiran politik di Mesir, tetapi ia merupakan hak rakyat yang telah digagalkan pihak tentera," tegas beliau yang juga Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar pula berkata kuasa yang diperoleh Mohamed Morsi melalui satu proses pilihan raya yang demokrasi di negara itu.

"Malangnya, proses pemilihan yang begitu demokratik sebelum ini telah dirampas oleh pihak tentera, sekaligus menafikan hak rakyat dan ahli parlimen Mesir," kata beliau pada sidang media, di parlimen hari ini.

Beliau turut melahirkan kekesalan apabila terdapat satu tangan besar lain yang seolah-olah berperanan dalam melakukan rampasan kuasa tersebut.

Dalam masa sama, Naib Presiden PAS itu berharap masyarakat antarabangsa dan Malaysia mengutuk tindakan pihak tentera Mesir atas insiden rampasan kuasa tersebut.

Turut serta pada sidang media tersebut ahli parlimen Kuala Krai, Dr. Hatta Ramli; ahli parlimen Kuala Terengganu, Raja Datuk Kamarul Baharin; ahli parlimen Kubang Kerian, Ahmad Baihaki Atiqullah, dan ahli parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad.

Tiada ulasan: