Datuk Abdul Rahman Othman
Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman
MUFTI berpendapat sebarang bentuk undang-undang yang digubal dan dilaksanakan perlu mengikut syara’ termasuklah  isu  Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2013 berhubung isu status agama anak dalam kes ibu atau bapa memeluk agama Islam.
Mufti Pahang,  Datuk Abdul Rahman Osman berkata jika perkara tersebut berlanggar dengan syara’ kerajaan perlu mengkaji dan berbincang semula dengan golongan cerdik agama termasuk mufti dan pihak berkuasa.
Menurutnya, selalu berlaku di mana keadaan undang-undang Perlembagaan tidak menyamai undang-undang syariah, perkara tersebut perlu dibetulkan.
“Kalau yang kita faham, agama rasmi Persekutuan adalah Islam, jadi apa yang ingin di lakukan kena berbalik kepada Islam.
“Jadi apa yang kita lakukan dan bercanggah dengan syara’ perlu berbincang semula.
“Kalau ikut undang-undang Persekutuan kalau anak-anak yang belum mencecah umur 18 tahun walaupun sudah akhir baligh tak boleh tukar agama, tapi kalau dalam Islam mengikut syara’, ibu atau bapa Islam, anak tersebut mesti mengikut ibu atau bapa yang Islam,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.
Sebelum ini,  Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abd Wahid  berkata Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 yang memperuntuk persetujuan salah seorang ibu bapa memadai untuk tukar agama kanak-kanak di bawah umur kepada Islam tidak boleh dipertikaikan.

Beliau berkata, keputusan Kabinet bahawa agama kanak-kanak tidak boleh ditukar oleh ibu atau bapa secara sepihak tidak boleh diguna pakai kepada penganut Islam.

“...dari segi hukum hadanah (penjagaan anak), anak bawah umur asalnya adalah di bawah penjagaan ibu. Namun, dalam isu berlainan agama, anak itu perlu mengikut agama ibu atau bapanya yang Islam.

“Misalnya, jika si bapa memeluk Islam, tetapi si ibu tidak, maka agama anak mereka yang di bawah umur akan mengikut si bapa,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi satu kenyataan berkata, Rang Undang-Undang tersebut yang dibaca untuk kali pertama di Dewan Rakyat pada 26 Jun yang lalu, telah dibincangkan secara mendalam oleh Kabinet.

"Isu status agama anak dalam kes ibu atau bapa memeluk agama Islam telah dibincangkan secara mendalam oleh Kabinet. Pandangan dari pelbagai sudut telah diperhalusi dengan mengambil kira kebimbangan pelbagai pihak, termasuk parti-parti komponen BN.

"Berdasarkan itu, Kabinet telah bersetuju penarikan balik Rang Undang-Undang ini adalah perlu demi memastikan isu penentuan agama anak dalam kes seumpama itu diselesaikan dengan cara yang adil kepada semua," katanya.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman juga berkata dari segi undang-undang, pihak yang terlibat perlu melihat dari pelbagai segi dan jika bercanggah dengan syara’ perlu disemak semula.
“Kalau kita tengok ada akta bercanggah ken abincang semula, semak smeula sampai ia tepati syara’.
“...mungkin juga Perlembagaan perlu dipinda jika ia tak mengikut syara' atau agama Islam,” katanya.
Sehubungan itu, dipetik daripada satu portal berita,  Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berkata undang-undang Syariah perlu diikuti apabila proses penukaran agama hanya membabitkan sebelah pihak sahaja. "Secara peribadi, saya fikir kita perlu ikut undang-undang Syariah apabila berkaitan perkara ini kerana ia dinyatakan dengan jelas bahawa bapa mempunyai hak untuk menentukan agama anak-anak yang masih belum mencapai akil baligh.
"Jika bapa memeluk Islam, secara automatik kanak-kanak itu akan menjadi orang Islam," katanya.
Cuepacs saran bina rumah bawah RM250,000
 Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman
SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan persekutuan dan negeri menyediakan rumah kos sederhana berharga RM250,000 ke bawah untuk penjawat awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata ini kerana kira-kira 45 peratus daripada 1.4 juta penjawat awam masih tidak mampu memiliki rumah sendiri kerana faktor harga.

"Kumpulan 45 peratus ini masih menyewa rumah dengan kadar RM800 ke RM1,500 sebulan walaupun ada yang sudah lima tahun berkhidmat. Sampai bila mereka nak menjalani kehidupan seperti ini (tidak memiliki rumah sendiri).

"Kita mahu ini (penyediaan rumah kos sederhana) dilaksanakan segera bagi membolehkan penjawat awam tinggal di rumah sendiri dengan selesa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan dan mesyuarat agung tahunan Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) di sini hari ini.

Omar berkata langkah penyediaan rumah kos sederhana yang mampu dimiliki penjawat awam berpendapatan RM7,000 ke bawah secara tidak langsung boleh meningkatkan produktiviti dan prestasi kerja mereka.

Mengambil contoh Putrajaya, beliau berkata majoriti penjawat awam di pusat pentadbiran negara itu tidak memiliki rumah sendiri, sebaliknya hanya menetap di kuarters kerajaan.

Omar turut mencadangkan supaya Jabatan Perumahan Negara dipertanggungjawab menyediakan rumah kos sederhana berbanding pihak pemaju.

Beliau berkata pihaknya bersedia memberi pandangan dan kerjasama kepada kerajaan persekutuan dan negeri bagi menyelesaikan isu itu.

Mengulas mengenai bonus, Omar berharap kerajaan menimbang pemberian bonus dua setengah bulan kepada penjawat awam di seluruh negara seperti yang dicadangkan Cuepacs sebelum ini.

"Kita telah bawa cadangan pemberian bonus ini kepada kerajaan dan telah mendapat maklum balas daripada Ketua Setiausaha Negera (KSN). KSN berkata terpulang kepada perdana menteri untuk memutuskan perkara ini.

"Apapun kita berharap penjawat awam akan menerima bonus setengah bulan gaji sebelum Hari Raya Aidilfitri dan selebihnya diumumkan perdana menteri pada pembentangan Belanjawan 2014, Oktober ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Omar berkata pihaknya akan mengadakan perjumpaan khas dengan semua anggota di bawah Majlis Permuafakatan Kesatuan dan Persatuan Guru Kementerian Pendidikan bagi mendapatkan maklum balas berhubung kesan penggabungan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi di bawah satu kementerian iaitu Kementerian Pendidikan.

Beliau berkata hasil perjumpaan itu yang dijadual berlangsung September ini akan diserahkan kepada kerajaan untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Omar menerima 17 resolusi daripada Presiden Kongres, Datuk Jemale Paiman untuk tindakan kerajaan persekutuan dan Kementerian Pendidikan, termasuk mewajibkan guru dan pensyarah yang mengajar subjek bahasa Melayu untuk mengajar mata pelajaran itu di semua peringkat termasuk sekolah vernakular tanpa kompromi ke arah memupuk keharmonian dan perpaduan kaum di Malaysia.

Ia juga antara lain memohon supaya 27 Institut Pendidikan Guru dinaik taraf sebagai Universiti Pendidikan Malaysia yang berfungsi melahirkan graduan guru yang mempunyai Sijil Profesional Standard Guru Malaysia untuk mengajar di semua sekolah. - Bernama 
 
Kuala Besut: Tarikh mengundi SPR agak tidak mesra pengundi - Dr Hatta Ramli
Posted on Saturday, July 06 @ 11:46:41 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo

Oleh Salmiyah Harun
KUALA LUMPUR: PAS akan memastikan pengundi-pengundi Dun Kuala Besut khususnya pengundi luar tidak melepaskan hak mereka begitu sahaja pada 24 Julai ini.

Ini kerana, pada tarikh membuang undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut itu berlangsung pada hari Rabu iaitu pada hari bekerja.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli merasakan penetapan tarikh mengundi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agak tidak mesra pengundi apabila dibuat pada hari bekerja.

"Sepatutnya SPR perlu meneliti keadaan pengundi termasuk pengundi luar yang mungkin akan menyusahkan mereka untuk balik mengundi pada hari bekerja," katanya kepada Harakahdaily.

Bagaimanapun katanya, PAS akan berusaha memberi pendidikan kepada pengundi luar agar mereka tidak mensia-siakan hak mereka sebagai rakyat yang mendukung demokrasi tulen.

"Kita akan minta mereka menunaikan hak mereka sebaiknya kerana hari tersebut hari bekerja. Apa juga masalah, dalam suasana politik di Terengganu demokrasi diperlukan," katanya.

Sehubungan itu, beliau juga sangsi dengan cadangan Menteri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang mahu menyiarkan proses pengiraan undi PRK Kuala Besut secara langsung.

"Bagi saya agak tidak munasabah kerana kita ada lapan unit peti undi, tidak munasabah akan buat pengiraan secara langsung," katanya.

Jelasnya, apa yang diminta oleh parti-parti yang bertanding adalah kempen dan ucapan-ucapan calon yang bertanding dibuat secara langsung adalah lebih baik.

PRK N01 Kuala Besut diumumkan akan berlangsung pada bulan puasa ini, kerusi ini kosong ekoran penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar, 55, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Terengganu 26 Jun lepas akibat kanser paru-paru.

Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lepas, A Rahman mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2008 apabila mengalahkan calon muslimah PAS Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Sebelum ini, tahun 2010 dua PRK pernah diadakan pada hari bekerja iaitu di DUN Galas dan dan Batu Sapi di mena kedua-dua kerusi ini dimenangi oleh BN