Menteri: Kita mesti peka sensitiviti agama, kaum
Joseph berkata pasangan terbabit jelas tidak menghormati kaum dan agama lain dan tindakan mereka boleh menjejaskan hubungan antara kaum di negara ini.
Beliau melahirkan kekesalan itu ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Bengkel Penyatuan Nasional bertajuk 'Bengkel Perkongsian pelbagai Generasi Malaysia' anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di Universiti Putra Malaysia, Serdang, dekat sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional Datuk Azman Amin Hassan.
Akhbar hari ini melaporkan, pasangan berkenaan yang juga bekas penuntut National Universiti of Singapore mempersendakan bulan Ramadan dengan memuat naik gambar sedang menikmati hidangan dengan kapsyen 'Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh ... wangi enak dan menyelerakan'.
Sebelum ini, pasangan itu pernah mencetuskan kontroversi di Singapura dengan memuat naik gambar dan video lucah mereka ke blog.
Joseph, bagaimanapun, enggan mengulas lanjut mengenai tindakan yang boleh dikenakan terhadap pasangan itu, yang tidak peka terhadap sensitiviti agama dan kaum di Malaysia.
Mengenai Bengkel Penyatuan Nasional, beliau berkata hasil daripada sumbangan idea dan pandangan peserta dalam sesi dialog itu, satu kertas kerja akan dibuat dalam masa terdekat untuk diserahkan kepada kerajaan.
"Objektif bengkel ini adalah untuk mengukur persepsi masyarakat berbilang kaum terhadap dimensi pendorong perpaduan terpilih dengan mencadangkan satu dimensi baharu yang lebih signifikan dan boleh dijadikan amalan masyarakat majmuk di Malaysia," katanya.
Beliau berkata bengkel tersebut dapat merumuskan kaedah dan pendekatan untuk menambah baik dan mengukuhkan hubungan pelbagai kaum dan agama pada masa depan. - Bernama
Protes guling Mursi dirancang
Beliau berkata, rakyat dipergunakan untuk berhimpun menyatakan bantahan kepada Mursi, malah ada yang turut dibayar.
“Protes dirancang dengan rapi dan tersembunyi oleh tangan ghaib kuasa besar dan negara Arab sekitarnya. Protes ini hanyalah mengenai masalah yang belum dapat diselesaikan dalam masa setahun pemerintahan Presiden Mursi.
“Satu lakonan menipu rakyat dan seluruh dunia. Kali ini, rakyat miskin dan bodoh dikerah dengan duit upah dan kenderaan percuma, yang disumbangkan oleh negara minyak Arab,” katanya.
Katanya, adalah tidak adil untuk menghukum Mursi yang baru memerintah selama setahun dan meletakkan bebanan ke atas bahunya sedangkan masalah yang berlaku di Mesir diwarisinya daripada rejim terdahulu.
Menurutnya, bertambah malang apabila wujud dalam kalangan ulama dan pemimpin dunia menyokong penggulingan Mursi.
“Ada kalangan ulama dan pemimpin agama yang menjadi pelakon tambahan, ada pula negara Arab yang mengucap tahniah mengiktiraf drama bohong ini sebagai benar dan adil, sehingga lupa serban di kepala dan lupa berada paling hampir dengan Kaabah,” katanya.
Bekalan air tidak cukup
Adun Chenor, Mohd Ariffin Awang Ismail berkata, keperluan itu semakin mendesak apabila terdapat beberapa taman perumahan baru dibina dalam kawasan berkenaan.
Menurutnya, loji air terbabit kini tidak lagi dapat menampung keperluan penduduk dan situasi itu menjejaskan aktiviti harian terutama ketika musim perayaan.
“Kawasan Chenor dan sekitar Pekan Awah sering mengalami gangguan bekalan air dan saya difahamkan bahawa pihak bertanggungjawab sedia maklum mengenai kesulitan ini.
"Walaupun ada usaha dilakukan untuk mengatasi masalah itu, namun gangguan bekalan air tetap berlaku berikutan kewujudan beberapa taman perumahan baru. Malah ada yang masih dalam proses pembinaan, maka jika loji air ini tidak dinaik taraf dalam masa terdekat, dikhuatiri gangguan akan lebih kerap berlaku,” katanya.
Mohd Ariffin berkata, cadangan membina sebuah loji baru di Bukit Bedong juga diyakini mampu mengatasi masalah bekalan air.
Beliau berkata, penduduk di sekitar jalan utama Temerloh-Maran mendapat bekalan air dari Loji Air Simpang Jengka yang juga merupakan loji utama membekalkan air bersih ke kawasan bandar Maran.
“Jadi kerja naik taraf Loji Air Chenor dan pembinaan loji baru di Bukit Bedong perlu disegerakan supaya penduduk mendapat bekalan air secukupnya,” katanya.
Siasat pasangan blogger melampau
Pengerusi MCA negeri, Datuk Dr Yeow Chai Thiam berkata, pihaknya amat kecewa dengan kelakuan pasa-ngan tersebut dan menyifatkan perbuatan mereka sebagai tidak rasional.
“Bagi kita, ini bukanlah satu perkara lucu yang boleh dibuat main-main. Mereka tidak sepatutnya menghina umat Islam yang sedang menjalani ibadah berpuasa.
“Perbuatan mereka telah menimbulkan kemarahan ramai pihak, termasuk di kalangan kaum Cina sendiri. Sekiranya dibiarkan, kita khuatir akan menjejaskan perpaduan antara kaum dan menimbulkan masalah lebih besar,” katanya kepada pemberita selepas membuat aduan di Balai Polis Jalan Campbell, dekat sini, semalam.
Kata Chai Thiam, beliau berharap pihak polis dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap pasangan terbabit supaya menjadi contoh, sekaligus amaran kepada orang lain agar tidak mengulangi kesalahan sama.
Terdahulu, pasangan blogger berkenaan yang turut mencetuskan kontroversi sebelum ini apabila memaparkan aksi seks mereka dalam laman blog, telah mengepos satu foto memaparkan mereka sedang menikmati juadah tidak halal sambil mengucapkan selamat berbuka puasa kepada umat Islam.
Turut tertera, logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada sudut bawah kiri gambar berkenaan.
Keadaan makin baik, Azizan mahu buat kenduri
Isterinya, Puan Sri Faekah Sheikh Hamzah berkata, keadaannya bertambah baik dan sering dilihat tersenyum setiap kali ahli keluarga dan sahabatnya datang melawat.
"Tan Sri sekarang dalam tempoh pemulihan namun ia mengambil masa untuk beliau kembali pulih sepenuhnya.
"Beliau sudah mampu berkomunikasi namun tidak boleh bercakap dengan lancar sebaliknya akan menggunakan pen dan kertas jika mahu berinteraksi dengan ahli keluarga," katanya ketika ditemui media selepas kunjungan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukriz Mahathir hari ini.
Bersyukur dengan keadaan kesihatan yang semakin baik, Azizan dikatakan berhasrat untuk membuat kenduri dan menyumbangkan seekor lembu kepada HPP.
"Sebelum ini setiap kali Ramadan beliau akan membuat perkara yang sama (menyumbangkan seekor lembu) kepada mana-mana hospital di Kedah namun kali ini beliau memilih memberinya kepada HPP," katanya.
Faekah berkata, Azizan tidak dibenarkan menjalani ibadah puasa tahun ini berikutan keadaan kesihatannya yang memberlukan pemberian ubatan-ubatan secara berterusan.
Beliau berkata, suaminya kini masih lagi makan dan minum menggunakan tiub dan tidak mampu berpuasa sehingga hari ini.
Azizan, 69, yang juga Adun Sungai Limau, menjalani pembedahan memotong kedua-dua belah kakinya pada 9 Mei lalu setelah dimasukkan ke hospital pada 7 Mei akibat komplikasi diabetik.
Beliau dipindahkan ke HPP dari Kedah Medical Centre (KMC) selepas dirawat kerana jangkitan kuman pada kakinya.
PRK Kuala Besut: Mengapa mesti Muhyiddin Yassin?
Apakah begitu genting sekali kedudukan Dun Kuala Besut ini sehingga orang nombor dua negara terpaksa diturunkan bagi menggerakkan jentera BN di sana?
Bagi pemerhati politik, turunnya Muhyiddin ke gelanggang PRK bukan sahaja kerana mahu memastikan kemenangan BN di Dun Kuala Besut sebaliknya ia adalah misi menyelamatkan Terengganu daripada jatuh ke tangan PR.
Menurut pensyarah Sains Sosial dan Kemanusian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Fuad Mat Jali, prestasi 'cukup-cukup makan' BN pada PRU13 lalu menyebabkan nama Ahmad digugurkan daripada skuad perang BN.
“Prestasi Ahmad Said sangat mengecewakan dalam PRU13 yang lalu, beliau tidak berjaya memacu kemenangan yang besar terhadap BN.
“Oleh sebab itu saya rasa beliau tidak dilantik,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Malah dakwanya, timbalan perdana menteri itu juga ke Terengganu dengan membawa satu lagi misi sampingan iaitu menyatukan kembali Umno Terengganu yang sudah retak menanti belah.
“Semua orang sudah tahu wujud perpecahan dalam Umno Terengganu, masing-masing ada kumpulan penyokong masing-masing.
“Jadi kedatangan Muhyiddin Yasin adalah untuk menyatukan semula Umno Terengganu,” katanya.
Kenyataan Fuad itu disokong oleh seorang lagi pemerhati politik tanah air, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain dari Universiti Sains Malaysia (USM).
“Saya lihat perdana Menteri tidak yakin dengan Ahmad Said.
“Setahu saya dalam mana-mana PRK sebelum ini, yang menggalas jawatan tersebut adalah menteri besar negeri tersebut, jadi dalam PRK ini kenapa Ahmad Said tidak dilantik?," katanya.
Umno Terengganu dikatakan berantakan dan berpecah kepada dua kem.
Pada PRU13 lalu, mereka dari kumpulan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dikatakan semakin diketepikan oleh kumpulan Ahmad Said.
Pas dalam siri kempennya di PRK Kuala Besut turut menggunakan isu hubungan dingin antara kedua pemimpin ini sebagai strategi mereka.
"Idris semasa menjadi menteri besar ada program pembangunan untuk Terengganu, Mat Said tiada rancangan," kata Pengarah PRK PaS Kuala Besut, Datuk Husam Musa ketika berceramah di Kampung Pusu Tinggi di Kuala Besut malam tadi.
Idris pernah menjadi menteri besar Terengganu pada 2004 dan hanya bertahan sepenggal hingga 2008 untuk jawatan berkenaan sebelum digantikan Ahmad Said.
"Ahmad Said tidak sebulu dengan Idris. Idris semasa menjadi menteri besar, dia ada program, walaupun kadang kala tiada apa pun.
"Ahmad Said tiada program langsung," kata Husam yang bercakap menggunakan dialek Pantai Timur di hadapan sekitar 200 penyokong parti berkenaan.
Lumrah, musim pilihan raya adalah musim untuk mencari kekurangan lawan demi memenangkan parti sendiri.
Bagi BN, mereka tidak mampu untuk kalah selepas penyandang kerusi itu menang dengan majoriti agak besar pada PRU lalu.
Kehampaan tidak boleh berlaku dalam misi mempertahankan kerusi Dun Kuala Besut.
Lantaran itu, Muhyiddin diturunkan, bergabung dengan Idris Jusoh yang lebih arif tentang isu "ganu kite".
Mapim: Krisis Mesir platform Israel serang Gaza
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tanda-tanda itu termasuk persiapan tentera Israel di sempadan dan operasi tinjauan udara.
"Selain itu, baru-baru ini laporan media Israel secara terbuka mengatakan bahawa Gaza adalah ancaman kepada Israel," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Mohd Azmi berkata, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) wajar mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak banyak lagi nyawa tidak berdosa menjadi korban akibat daripada penutupan sempadan Rafah ini.
Sempadan Rafah ditutup 3 Julai lalu oleh tentera Mesir ekoran krisis yang melanda negara itu.
Mengulas perkara sama, Mapim turut mengecam tindakan Mesir menutup sempadan Rafah kerana ia akan mengancam kelangsungan hidup penduduk Gaza.
Mohd Azmi menambah, sejak pintu sempadan Rafah telah ditutup hampir seminggu lalu, ia telah menyukarkan hidup penduduk Gaza.
“Sempadan Rafah merupakan sumber pembekalan asas seharian yang masih sukar diperolehi seperti makanan, air bersih, ubat-ubatan, peralatan rawatan dan minyak.
“Penutupan pintu Rafah sejak 3 Julai lalu adalah atas arahan tentera Mesir telah menghalang keluar masuk barang dan manusia dari Mesir ke Gaza.
"Tindakan ini telah mendedahkan penduduk Rafah kepada keperitan dan penderitaan yang lebih teruk,” katanya.
Justeru itu, Mohd Azmi mengesa agensi antarabangsa agar mendesak pihak berkuasa Mesir membuka sempadan Rafah untuk mengelak Gaza sekali lagi menjadi medan penjara terbuka.
“Kepada seluruh komuniti antarabangsa, penutupan Rafah sebagai satu-satunya jalan keluar masuk Gaza ke dunia luar.
"Penutupan ini adalah proses pemangsaan ke atas Gaza dan juga membuktikan kolaborasi antara Mesir dan Israel,” katanya.
Dalam pada itu beliau turut meluahkan kekecewaan apabila puak Fatah telah mengguna kesempatan sempadan Rafah yang ditutup dengan propaganda untuk menghasut penduduk Gaza menolak kerajaan Hamas.
“ Ini adalah sangat memalukan orang Palestin dan satu penghinaan yang berniat jahat untuk mengambil alih Gaza,”katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan