Jumaat, 12 Julai 2013

ADAKAH NILA SETITIK

MP PJ Selatan: Tol seluruh negara dijangka naik 2014

(Masdar Wahid)
KUALA LUMPUR, 11 JULAI: Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dijangka menaikkan kadar tol di seluruh negara bermula 2014, merujuk jawapan Kementerian Kerja Raya kepada ahli parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian.
Hee (gambar) dalam soalannya di Dewan Rakyat 9 Julai lalu meminta Kementerian menyatakan langkah pengurangan atau pemansuhan tol di seluruh negara dalam tempoh lima tahun.
Namun, berdasarkan jawapan menteri, kerajaan hanya berjanji bahawa tiada kenaikan tol di lebuh raya kendalian kendalian PLUS Expressway Berhad bagi tempoh 2011 hingga 2015.Hee_Loy_Sian
Manakala di lebuh raya kendalian MTD Capital Berhad bagi tempoh 2011 hingga 2013.
Sementara itu, penurunan kadar tol Kenderaan Kelas 1 di Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) seperti diumum kerajaan 15 Januari lalu hanya sah bagi tempoh 2013 hingga 2015.
“(Ini bermakna) rakyat khususnya pengguna jalan raya tetap akan mengalami kenaikan kadar tol selepas 2014 dan 2015,” katanya lagi.
Justeru katanya, kandungan manifesto BN pilihan raya umum ke-13 kononnya untuk mengurangkan bilangan konsesi tol dalam tempoh lima tahun hanya ‘omong kosong’.
“Ulasan panjang lebar Kementerian Kerja Raya langsung tidak menyentuh pelan pengurangan atau pemansuhan tol seluruh negara,” katanya.
Dakwat kekal: Pembangkang tidak hargai SPR
dakwat kekal
Setiap pengundi dicalit dengan dakwat kekal sebelum dibenarkan mengundi
SHAH ALAM – Pepatah Melayu, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga, demikian nasib yang terpaksa ditanggung Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan penggunaan dakwat kekal pada PRU13 lalu yang didakwa tidak berkesan sehingga kebaikan lain dilakukan badan bebas itu tidak dihargai.

Pensyarah Kanan Politik Islam dan Minoriti Muslim Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Samsu Adabi Mamat berkata, SPR cuba memenuhi kehendak rakyat dalam menambah baik sistem pilihan raya di negara ini namun usaha yang dilakukan badan itu sering kali dipandang negatif.

"Dakwat kekal itu rakyat yang minta, tapi kebaikan SPR memberi respon kepada kehendak rakyat itu tidak dihargai.

"Kalau timbul lagi tidak puas hati dakwat tidak kekal itu, nampaknya terpaksalah SPR kena guna dakwat mati pula,”katanya kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof semalam yang memutuskan untuk menggunakan kaedah mencelup jari telunjuk kiri ke dalam dakwat kekal pada PRK Kuala Besut, 24 Julai ini, berbanding kaedah mencalit jari pada PRU13 lalu.

Abdul Aziz berkata, peraturan tambahan itu bertujuan mengelakkan sebarang percubaan mengundi dua kali oleh pengundi yang tidak bertanggungjawab dan ia akan digunakan untuk pengundian awal pada 20 Julai serta pengundian biasa pada 24 Julai ini.

Dalam pada itu, Samsu Adabi berkata, masalah yang timbul melibatkan dakwat kekal itu hanyalah di kawasan yang dimenangi oleh BN, sedangkan bagi kerusi dimenangi pembangkang pula, dakwat kekal itu nyata tidak membawa sebarang masalah.

"Perkara sebegini rakyat kena berpada-pada, sebenarnya ejen calon sudah ada dalam bilik mengundi, itu pun sudah cukup untuk memuashatikan orang bahawa pilihan raya itu tiada penipuan.

"Bila kalah, mereka (pembangkang) salahkan sistem, tapi di negeri yang mereka menang, calit jari OK saja.

"Inilah masalah dalam demokrasi, kita kena faham betul-betul, kalau dalam perjalanan itu berlaku dakwat cair dan sebagainya, inikan pula melibatkan 13 juta pengundi itu,” tegasnya.

Sementara itu, menurut Pensyarah Kanan Sains Politik dan Kajian Politik Malaysia, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin, langkah yang diambil SPR dengan memperkenalkan kaedah mencelup jari telunjuk itu perlu dilakukan dengan teliti bagi mengelakkan insiden lalu berulang kembali.

"SPR kene buktikan penggunaan dakwat kekal kali ini benar-benar berkesan, jika ada aduan lagi mengatakan boleh tanggal beberapa jam seperti PRU13 lalu, ia akan memalukan dan menjejaskan nama baik SPR sekali lagi.

"Jangan pula kali ini SPR mengulangi kesilapan yang sama dengan menggunakan pewarna makanan, sudah pasti kandungannya tidak kekal seperti yang dikehendaki,” katanya.

Ditanya jika masalah dakwat tidak kekal berulang kembali selepas PRK Kuala Besut, 24 Julai ini, beliau menegaskan dakwat kekal bukan perkara pokok, sebaliknya SPR perlu fokus untuk mengelakkan daripada orang mengundi dua kali yang perlu diberi keutamaan.

"Nyatakan apa jua kaedah untuk elak penipuan, saya rasa pengundi tidak membantah, asalkan sistem pilihan raya negara kita bersih dan adil,” katanya.
Isu dakwat kekal: Jangan perlekeh sistem SPR
calit
Seorang pengundi di calit jarinya dengan dakwat kekal ketika mengundi di Sek Keb Demang Hussin dalam Parlimen Bukit Katil, di Melaka hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan telah berusaha untuk memperbaiki masalah berhubung dakwat kekal dengan mengambil pendekatan mencelup jari ke dalam botol pada Pilihan Raya Kecill (PRK) Kuala Besut.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, SPR akan mencuba pelbagai kaedah untuk memastikan masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan baik.

Menurutnya, rakyat juga perlu berubah sikap yang suka memperlekehkan sistem SPR, walaupun telah berusaha memperbaiki kelemahan dari semasa ke semasa terutamanya dalam isu dakwat kekal.

"Cara celup jari telah dilakukan di kebanyakan negara, jadi SPR turut mencuba pelbagai kaedah untuk menambah baik usaha ini.

"Keberkesanan dakwat itu di kulit bukan di kuku jika dakwat telah dicelup ia akan lebih berkesan dan seragam, bukan calit ada yang sekali ada yang dua kali.

"Negara kita ini kebanyakannya nak perlekeh dakwat ini, negara lain tak ada usaha nak hilangkan dan cuci jari mereka, tapi di negara ini, ada pihak mencuba dengan pelbagai cara untuk hilangkannya kerana tak percaya pada SPR," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Semalam, SPR mengumumkan akan menggunakan kaedah mencelup jari telunjuk kiri ke dalam botol dakwat bagi menggantikan kaedah mencalit pada Hari Pengundian Awal (20 Julai) dan Hari Pengundian Biasa (24 Julai) di PRK Kuala Besut.

Dalam pada itu, Wan Ahmad juga berkata, dakwat kekal yang akan digunakan pada PRK tersebut diperolehi daripada pembekal yang baru.

"Kita telah ambil daripada pembekal baru bagi mengelak perkara yang sama berlaku," katanya lagi.
                                                                                                                                                       
Bagaimanapun apabila diminta mengulas berapa lama dakwat tersebut akan kekal, Wan Ahmad berkata, SPR berharap dakwat kekal yang dicelup itu nanti akan bertahan lama melainkan jika tidak ada usaha untuk membersihkannya.

"Saya tak boleh nak kata berapa hari ia akan kekal, kalau tidak ada usaha hendak bersihkannya ia akan tahan," katanya.
Dakwat kekal: MP kesal tiada tindakan atas laporan

Ahli Parlimen Bukit Katil Shamsul Iskandar Mat Akin menggesa Peguam Negara mengambil tindakan ke atas laporan polis yang dibuat di seluruh negara berhubung dakwat kekal yang digunakan semasa pilihan raya umum 5 Mei lalu.
Shamsul berkata, beliau kesal kerana masih belum mendapat jawapan yang konkrit berhubung tindakan polis dalam kes berkenaan.
Katanya, satu jawapan bertulis yang diperolehinya daripada Kementerian Dalam Negeri menyebut, pasukan polis menerima sebanyak 1,469 laporan berhubung penggunaan dakwat berkenaan sehingga 3 Jun lalu.
Bagaimanapun, beliau berkata, jawapan yang diberikan tidak dinyatakan apakah tindakan lanjut yang akan dibuat oleh pihak polis berhubung berhubung laporan itu.

"Peguam Negara perlu bertindak dalam perkara ini. Ini adalah satu jumlah laporan yang besar," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Polis menerima 1,469 laporan tersebut selepas PKR menggesa orang ramai berbuat demikian atas dalam siri ceramahnya berhubung dakwat.
Dakwat berkenaan didapati dapat ditanggalkan dengan mudah setelah disapukan ke jari pengundi pada hari pengundian tersebut.
3 atlet bola baling tak mengaku rogol pegawai
Mahkamah
Mahkamah
PETALING JAYA -  Tiga atlet bola baling didakwa di tiga Mahkamah Sesyen secara berasingan terhadap tuduhan merogol seorang pegawai tambahan pasukan bola baling Wilayah Persekutuan di perkampungan sukan, Sukan Malaysia (Sukma) Ke-16 di Universiti Putra Malaysia di Serdang, Rabu lalu.

Bagaimanapun kesemua atlet tersebut mengaku tidak bersalah dihadapan Hakim Yasmin Abdul Razak, Hakim Abu Bakar Manat dan Hakim Rozina Ayob.

Ketiga-tiga remaja tersebut didakwa merogol wanita berusia 20 tahun di sebuah bilik di Kolej ke-2 UPM, Serdang, antara jam 4 pagi hingga  4.10 pagi, pada 4 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan  yang memperuntukan hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sabitan.

Mahkamah membebaskan mereka dengan ikat jamin RM10,000 setiap seorang dan dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan .

Mereka bertiga juga diarahkan melapor diri dibalai polis berdekatan setiap bulan sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan 20 ogos untuk sebutan semula.
Harga rumah mungkin RM1 juta
Harga rumah mungkin RM1 juta
TIADA keretaku bawa kau jalan-jalan,
Rumahku pun tiada adapun bapa punya,
Apa lagi belanja mau bayar berian,
Kahwin sama kamu...

Mungkin situasi yang disampaikan di dalam bait lirik lagu Anak Kampung nyanyian Jimmy Palikat itu turut dialami sendiri oleh kebanyakan rakyat di negara ini terutamanya generasi muda dan golongan  kelas pertengahan yang menghadapi kesukaran untuk memiliki kediaman sendiri disebabkan harga rumah yang melambung tinggi.

Memiliki kediaman sendiri sememangnya menjadi impian setiap insan apatah lagi sudah mempunyai keluarga sendiri. Namun, hakikatnya harga rumah terutamanya di negeri Selangor dianggap menakutkan dan ‘tidak masuk akal’ jika dibandingkan dengan purata pendapatan isi rumah majoriti rakyat Malaysia.

Malangnya, tidak kira apa jenis sekalipun sama ada flat, teres, apartmen dan kondominium melambung tinggi bukan hanya di kawasan bandar yang pesat membangun bahkan di pinggir-pinggir bandar di Selangor seperti Kajang, Bangi, Sungai Buloh, Rawang dan Klang menunjukkan trend yang sama.

Tidak kira samada rumah tersebut adalah rumah baru atau penjualan rumah ‘second hand’ atau rumah sekunder,  harga keperluan asas tersebut semakin naik kira-kira 20-30 peratus setahun dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Melihat pasaran sekarang, rata-rata harga rumah yang dijual melalui projek perumahan baru dengan reka bentuk “high –end” dengan keluasan 24 x 70 kaki persegi dijual pada harga RM400,000 ke atas, harga yang ditawarkan tidak banyak beza antara satu pemaju dengan pemaju yang lain.

Di kawasan pinggir bandar, Klang contohnya rumah teres dua tingkat baru yang kebanyakan pemaju lebih gemar menjual rumah dengan reka bentuk moden terkini boleh mencecah RM600,000 ke atas.

Jika ada rumah teres dua tingkat sekunder pun kini harganya dalam lingkungan RM300,000 ke atas, itu pun mengambil kira faktor lokasi, keadaan rumah dan keadaan persekitaran.

Pilihan untuk keselesaan golongan pertengahan terletak pada jenis rumah teres setingkat, bagaimanapun tidak banyak pemaju yang membina rumah jenis tersebut. Mungkin pada pandangan mereka adalah lebih berbaloi pada tanah yang sama dibina rumah teres dua tingkat pada harga pasaran sekarang.

Persoalannya, tawaran harga rumah yang semakin  melambung tinggi dari hari ke hari sekarang ini adakah ia memenuhi keperluan majoriti rakyat di negeri Selangor ini iaitu golongan pertengahan?.

Dengan harga yang begitu tinggi, ia bukan lagi merupakan rumah mampu milik khususnya bagi warga rakyat yang berpendapatan sederhana iaitu purata jumlah isi rumah RM6,000 sebulan.

Rumah jenis apartmen atau kondominium juga tidak kurang hebatnya dan boleh dikatakan agak serupa sahaja harga melambung tinggi walhal ianya tidak melibatkan tanah yang banyak.

Golongan pertengahan terutama golongan muda yang baru berumah tangga menyasarkan memiliki rumah yang berharga dalam lingkungan RM200,000 ke bawah. Namun, masih adakah rumah dengan harga pasaran RM200,000 kini terutamanya di pinggir bandar di Selangor?.

Dengan keadaan peningkatan harga rumah yang tidak selari dengan peningkatan pendapatan rakyat ditambah pula nilai wang semakin mencengkam, adakah layak rakyat berpendapatan sederhana memiliki rumah dengan harga pasaran sekarang yang ditambah dengan komitmen lain seperti bayaran bulanan kenderaan dan lain-lain?.

Cecah harga RM1 juta

Sebuah media tempatan sebelum ini melaporkan  rumah teres dijangka mencecah harga RM800,000 seunit menjelang tahun 2020 berdasarkan unjuran kenaikan purata harga sebanyak tujuh peratus setahun oleh syarikat perunding hartanah CH William Talhar & Wong Sdn Bhd (WTW) selepas mengambil kira harga purata terbaru rumah teres di Selangor iaitu RM480,000 sebuah.

Media tersebut turut melaporkan Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (Macfea), Profesor Dr. Jariah Masud meramalkan harga rumah teres di Lembah Klang bakal mencecah RM1 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Pengarah Urusan WTW, Sr. Foo Gee Jen memberitahu, harga rumah teres di pinggir bandar bakal menjadi lebih kompetitif berikutan kenaikan harga rumah di pusat bandar Kuala Lumpur.

Katanya, untuk memiliki sebuah rumah teres pada tahun 2020 sekurang-kurangnya sebuah isi rumah perlu mempunyai pendapatan sebanyak RM12,000 sebulan.

Jika perkara itu benar, Selangor sebagai yang berada dalam lingkungan Lembah Klang pastinya menerima kesan kenaikan mendadak harga rumah.

Dalam isu ini, nampaknya golongan yang semakin tersepit dan terhimpit adalah golongan berpendapatan sederhana dan pertengahan. Ini kerana, bagi golongan berpendapatan rendah, mereka dibela dengan penyediaan rumah mampu milik kerajaan negeri dan PPR/PPA.

Dilemanya kini ditanggung oleh golongan pertengahan, golongan  berpendapatan RM6,000 ke bawah jika harga rumah semakin naik mendadak saban hari.

Kerajaan Pusat turut merancang strategi holistik untuk menangani isu harga rumah tinggi dengan mengumumkan Program Perumahan Rakyat 1Malaysia, namun program ini masih belum cukup untuk menangani isu ini secara menyeluruh.

Persoalannya, apakah punca peningkatan harga rumah yang semakin mendadak di Selangor sehingga ia membebankan sekali gus menguburkan impian majoriti rakyat di negeri ini untuk memiliki rumah.

Apakah langkah yang dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri untuk menangani isu ini agar harga rumah yang ditawarkan selari dengan pendapatan majoriti rakyat?. Adakah skim rumah mampu milik yang disediakan kerajaan negeri mencapai matlamat?.

Jika kenaikan harga rumah disebabkan kos pembinaan seperti pasir yang meningkat, apakah langkah kerajaan negeri untuk membantu. Adakah rumah mampu milik yang disediakan Kerajaan Negeri mampu menampung kira-kira 5.2 juta penduduk Selangor yang mana kira-kira 1. 56 juta penduduk adalah miskin dan 1.36 juta penduduk adalah miskin bandar sebagaimana data yang dikeluarkan oleh Paras Garis Kemiskinan Selangor terdahulu.

Apakah strategi holistik pihak kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan untuk mengawal kenaikan harga rumah?. Wajarkah menjadikan harga barangan binaan sebagai harga kawalan? Bagaimana pula dengan kawalan harga tanah oleh pihak kerajaan negeri agar ia tidak dimanipulasi menyebabkan kenaikan tidak masuk akal rumah yang dibina?. Semua ini perlu diselesaikan oleh pemimpin yang dipilih rakyat agar majoriti rakyat di negeri ini khasnya dapat menikmati kehidupan selesa, bukannya menumpang di negeri sendiri.
Kelantan tidak keluar lesen untuk shisha
Abdul Fattah Mahmood
Datuk Abdul Fattah Mahmood
KOTA BHARU – Kerajaan negeri tetap bertegas untuk tidak mengeluarkan sebarang lesen penjualan dan penggunaan shisha di mana-mana premis negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, arahan sedia ada itu diteruskan berikutan dengan maklumat yang diperolehi oleh pihak mufti negeri berkaitan salah laku perniagaan tersebut.

“Pihak kami sekarang masih menunggu kata putus mufti yang telah membuat keputusan bertulis kepada kerajaan negeri dan kementerian kesihatan.

“Maka kami ambil keputusan untuk tidak mengeluarkan sebarang lesen bagi perniagaan ini, kalau ada premis atau kedai-kedai yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan, tindakan mengikut Akta di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan dikenakan, termasuklah dirampas,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kota Darulnaim, semalam.

Ketika ditanya mengenai hukum penggunaan shisha kepada orang Islam, beliau yang juga Adun Bukit Panau itu turut menjelaskan pihaknya masih menunggu keputusan Majlis Fatwa tentang jawapan persoalan tersebut.

“Saya tak boleh kata haram atau tidak, saya bukan mufti, hanya Mufti Perlis kata haram, tapi majlis fatwa lain belum beri maklum balas lagi, jadi kita tunggu sehingga keputusan rasmi dari kementerian kesihatan dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyambut baik langkah yang diambil Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha di negeri itu yang didakwa boleh mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk dari merokok.

Selaras dengan itu juga CAP turut menggesa agar Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan kenyataan fatwa untuk mengharamkan penggunaan bahan itu sepertimana rokok sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, beliau turut diminta mengulas tentang wabak denggi yang berpunca dari nyamuk Aedes yang kini dilaporkan semakin meningkat.

“Kita mesti sedar tentang penyakit ini terutamanya dari punca bagaimana ia boleh berlaku, lebih baik menggiatkan usaha untuk mendidik masyarakat terutamanya tentang bagaimana cara untuk kita menghindari dari membenihkan punca penyakit tersebut.

“Kita boleh lakukan pelbagai program kebersihan terutamanya gotong royong sama ada di rumah, tempat kerja dan sebagainya daripada hanya menerima saman dan kompaun yang dikeluarkan pihak penguatkuasa tentang kesalahan yang kita sendiri boleh elak,” katanya.
Pencuri dibelasah
Pencuri dibelasah
Suspek dibelasah orang ramai yang berada di lokasi kejadian selepas tindakannya yang cuba mencuri wang di sebuah kedai runcit berjaya dihidu.
KUALA TERENGGANU - Seorang pencuri bukan sahaja berputih mata apabila cubaannya untuk melarikan wang di sebuah kedai runcit tidak berhasil, malah dia turut menjadi ‘habuan’ orang ramai yang berada di lokasi kejadian, di Kampung Duyung, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam, suspek yang berusia 30-an itu berpura-pura kononnya ingin membeli barang, namun tindakannya yang cuba melarikan sejumlah wang di kaunter pembayaran disedari salah seorang pelanggan.

Menurut pembantu kedai, Shaiza Ismail, 30, semasa kejadian, hanya dia berseorangan di kedai runcit keluarganya itu dan ketika itu, dia sedang sibuk melayan permintaan seorang pelanggan di satu sudut di dalam kedai.

“Saya terpaksa meninggalkan kaunter pembayaran seketika kerana melayan pelanggan dan langsung tidak sedar kehadiran suspek yang ketika itu sudah pun berada di bahagian kaunter pembayaran.

“Tetapi, tindakan suspek yang semasa itu sedang mengambil wang di kaunter telah disedari seorang pelanggan yang baru masuk ke dalam kedai, sebelum menggertak bagi menakutkan suspek,” katanya.

Shaiza berkata, suspek yang terkejut dengan sergahan daripada pelanggan dikenali itu telah cuba melarikan diri, namun gagal apabila berjaya ditangkap orang ramai yang berada di kawasan berkenaan.

Jelasnya, hasil pemeriksaan di dalampoket seluar suspek menjumpai semula wang tunai sebanyak RM350 yang dipercayai sempat dirembat dari dalam laci ketika dia meninggalkan kaunter pembayaran.

Menurutnya, orang ramai yang berang apabila mengetahui suspek cuba membuat onar di dalam kampung itu bertindak membelasahnya sebelum diserahkan kepada polis yang tiba tidak lama kemudian.

Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan lanjut dijalankan.
Kaki ponteng puasa kantoi
Kaki ponteng puasa kantoi
Pegawai penguat kuasa meninjau sebuah kedai makan bukan Islam di Indera Mahkota 3, Kuantan, semalam.
Kaki ponteng puasa kantoi
Poster amaran ditampal di salah sebuah ‘port’ kaki ponteng puasa membeli makanan pada Ramadan.
KUANTAN - Hari pertama bulan Ramadan dicemari dengan tingkah laku seorang kaki ponteng puasa beragama Islam tanpa segan silu menikmati sarapan pagi di sebuah kedai makan bukan Islam di Jalan Besar, kira-kira jam 9.10 pagi, di sini, semalam.

Lelaki berusia 29 tahun itu kantoi dengan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) apabila ditemui sedang menikmati mi goreng dan nescafe ais di bahagian belakang kedai makan berkenaan.

Bagaimanapun, lelaki itu cuba memberi alasan tidak sempat bersahur dan sakit perut ketika ditahan penguat kuasa dalam operasi pada hari pertama Ramadan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Jaip, Ahmad Raffli Abdul Malek berkata, lelaki itu berasal dari Pekan dan bekerja di sebuah kilang di daerah sama.

“Pelbagai alasan diberikan namun kita cukup faham dengan helah kaki ponteng puasa ini.

“Operasi memantau kaki ponteng puasa ini dimulakan sejak awal pagi dan ‘port’ yang menjadi tumpuan diberi keutamaan,” katanya.

Ahmad Raffli berkata, sebanyak 10 lokasi termasuk kaunter pandu lalu restoran segera dipantau dalam operasi pagi semalam membabitkan 12 penguat kuasa yang dibahagikan kepada dua kumpulan.

“Kita akan terus bergerak melakukan pemantauan sepanjang Ramadan supaya kaki ponteng puasa tidak terlepas daripada hukuman.
“Selain itu, ketika operasi dijalankan, kita turut menampal poster peringatan di kedai makan bukan Islam supaya tidak menjual makanan kepada orang Islam pada Ramadan ” katanya.
Lelaki yang ditahan itu akan dikenakan penalti di bawah Seksyen 137 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1980 iaitu denda RM500 atau tiga bulan penjara atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah.

Dalam operasi sama, seorang lelaki berusia 48 tahun turut ditahan ketika membeli nombor ekor di premis judi di Jalan Pasar, kira-kira jam 9.30 pagi.

Lelaki berkenaan ditahan penguat kuasa ketika sedang khusyuk menulis nombor pada borang yang dibeli.

Seksyen 169 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982. Jika sabit kesalahan boleh didenda hingga RM2,000 atau dua bulan penjara atau kedua-duanya sekali.
Tawaran pakej urut dapat khidmat seks
Tawaran pakej urut dapat khidmat seks
Tukang urut yang dicekup diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
PUCHONG – Bayaran dikenakan kononnya untuk urutan badan namun pelanggan di sebuah rumah urut di Bandar Puteri di sini dikatakan akan menerima pakej hubungan seks daripada tukang urut warga Vietnam yang bekerja di premis terbabit.

Difahamkan, pengusaha mengenakan caj sebanyak RM160 kepada setiap pelanggan yang mahu mendapatkan khidmat urutan di premis itu.

Selepas membuat pembayaran tukang urut berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu kemudian akan membawa pelanggan ke ruang kecil yang dipisahkan dengan langsir untuk memberi layanan mereka.

Salah seorang pelanggan yang enggan identitinya disiarkan berkata, dia berkunjung ke rumah urut terbabit untuk mengurut badan.

Namun dia mendakwa terkejut apabila dimaklumkan oleh tukang urut aktiviti urut hanya ‘sikit-sikit’ tetapi perkhidmatan dan layanan adalah lebih kepada hubungan seks.

Bagaimanapun, kegiatan tidak bermoral yang berleluasa dan tidak menghormati Ramadan itu tumpas apabila premis diserbu anggota Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), petang semalam.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ, Mejar (B) Mohd Rasip Rasul berkata, hasil risikan pengusaha didapati menjalankan perniagaan rumah urut tanpa lesen sah daripada pihak majlis.

Lebih dikesali, pengusaha juga menawarkan tukang urut yang memberikan khidmat seks kepada pelanggan mereka.

Katanya, pihaknya bertindak menyita peralatan digunakan untuk mengurut dan tindakan penutupan premis dilaksanakan di bawah Undang-undang Kecil Pusat Kecantikan Dan Penjagaan Kesihatan MPSJ 2007.

“Sembilan tukang urut masing-masing warga Vietnam dan seorang Indonesia serta seorang lelaki warga tempatan dipercayai penjaga premis diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Hilangkan diri akibat panik
Hilangkan diri akibat panik
Orang ramai mengerumuni mayat mangsa yang masih berada di tempat kejadian.
BANDARAYA MELAKA - Seorang kakitangan sebuah bank maut selepas menjadi mangsa langgar lari di Lebuh AMJ, berhampiran persimpangan Lorong Pandan, di sini, malam kelmarin.

Mangsa, Mohd Zin Ja’alam, 43, yang menunggang motosikal jenis Yamaha dipercayai dalam perjalanan dari tempat kerja di Jalan Ong Kim Wee, di sini ke rumahnya di Alor Gajah sebelum terlibat kemalangan kira-kira 8.15 malam.

Mangsa yang menunggang dari arah persimpangan lampu isyarat Jalan Bachang - Lebuh AMJ menghala Alor Gajah dipercayai dilanggar kenderaan dari arah sama.

Menurut sumber, setiba di lokasi kejadian, mangsa berlanggar dengan sebuah kenderan lain sebelum tercampak atas jalan raya.

“Mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di seluruh anggota badan, selain muka. Sementara pemandu kereta terbabit melarikan diri dipercayai kerana ketakutan," katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Ahmad Adnan Basri ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau turut meminta orang ramai yang melihat kejadian supaya tampil memberi maklumat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dengan menghubungi talian 06-2842222.
Padah berani beli kereta curi
Padah berani beli kereta curi
Maliki dipenjara sembilan bulan selepas mengaku bersalah memiliki sebuah kereta curi.
KUALA TERENGGANU - Tindakan berani seorang nelayan membeli sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang dicuri pada Februari lalu terbongkar apabila dia ditahan bersama kenderaan itu semasa terlibat dalam satu kes curi besi di kawasan sekitar daerah Setiu, 7 Julai baru-baru ini.

Susulan perbuatan itu, Maliki Muda, 47, dari Kampung Pantai Merang, Bandar Permaisuri, Setiu, dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Noradila Ab Latiff membuat keputusan itu selepas Maliki mengaku bersalah memiliki kereta Perodua Kancil milik Allimah Muhamat, 62, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Gong Tengah, Merang, pada 1 Julai lalu, jam 10 malam.

Maliki mengaku bersalah di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih tujuh tahun, dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda manakala Maliki tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, pada 27 Februari lalu, kira-kira jam 2 petang, mangsa meletakkan kereta miliknya di tempat letak kereta hadapan Klinik Kesihatan, Pekan Bukit Payong, untuk mengambil ubat di klinik berkenaan.

Bagaimanapun, selepas selesai urusannya iaitu kira-kira jam 4 petang, mangsa dapati kereta Perodua Kancil berwarna biru itu sudah tiada dan mengesyaki ia dicuri, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Bukit Payong.

Pada 7 Julai lalu, kira-kira jam 10 malam, kereta itu ditemui semula selepas Maliki 'kantoi' dan ditahan kerana dipercayai terlibat dalam satu kes kecurian besi di kawasan Setiu.

Hasil soal siasat, Maliki mengaku membeli kereta itu dengan seorang lelaki bernama ‘Zuan’, tetapi mendakwa tidak tahu di mana tempat tinggal si penjual itu serta pada masa sama, dia mengaku mengetahui kereta dibeli itu adalah kereta curi.
Pekerja lombong berdepan hukuman mati
Mohd Zaidi Abdul Hamid
Tertuduh ketika dibawa ke mahkamah, semalam.
KOTA BHARU - Seorang pekerja lombong bijih besi berdepan hukuman mati apabila didakwa di Mahkamah Tinggi di sini, kelmarin atas tuduhan membunuh penyelia lombong itu yang juga rakan serumahnya, 8 September tahun lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohd Zaidi Abdul Hamid, 37, di hadapan Hakim, Datuk Azman Abdullah.

Tertuduh didakwa membunuh Mohd Yusof Zakaria, 41, di hadapan kantin lombong bijih besi Indah Bumi Perfect Mining, Lubuk Stol, Pasir Mas, antara 8 dan 10 pagi, pada 8 September 2012.

Dia yang berasal dari Pontian, Johor, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Julia Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 23 Julai depan untuk lantikan peguam.

Media pada 9 September lalu melaporkan seorang penyelia kualiti bijih besi maut selepas dipercayai ditikam seorang pekerja di hadapan sebuah kantin berhampiran tapak lombong Kampung Rahmat, Lubok Stol.

Dalam kejadian itu, Mohd Yusof disahkan mati ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang akibat kecederaan parah di dada kiri.
Kejadian berlaku selepas mereka dikatakan bertengkar sebelum suspek yang berusia 37 tahun  menikam mangsa dengan sebilah pisau sepanjang 15 sentimeter.

Biodata Lengkap Calon PAS N01 Kuala Besut Pilihan Raya Kecil PRK


POSTER-CALON-N01
Berikut adalah biodata calon PAS yang akan bertanding pada pilihanraya kecil N.01 Kuala Besut sebagaimana yang tela diumumkan oleh Presiden PAs Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awangdi Kampung Nail, Kuala Besut pada Selasa malam;
Nama :
Haji Azlan @ Endut  Bin Yusof
Umur :
48 tahun
Pekerjaan :
Ahli Perniagaan Perkayuan dan
seorang Kontraktor Bangunan dan Kejuruteraan Awam – Kelas A
Asal :
Kampung Baharu, Kuala Besut  (Anak Jati)
Pendidikan:
Sijil Pelajaran Malaysia – Sekolah Menengah Kuala Besut
Sijil Kontraktor Institut Latihan Perindustrian Malaysia
Isteri:
Cik Zabiah Mohammad (44 tahun)
Anak :
6 Orang
Jawatan Dalam PAS:
Bendahari PAS Kawasan Besut
Sumber: Buletin Online

Tiada ulasan: