Jumaat, 8 Julai 2011

DIMANA SAJA...KEADILAN PERLU DITEGAKKAN...KERAJAAN ITU ADALAH RAKYAT YG MENENTUKAN...HASIL UNDIAN...JANGAN PULA RAKYAT TIDAK DIKENANG BUDI...

Peranan proaktif dan strategik Agong
Ahmad Lutfi Othman

Sekurang-kurangnya Buletin Utama TV3, malam 4 Julai lalu, tidak lagi dipenuhi momokan tentang "perhimpunan haram golongan pengacau" apabila wakil Bersih yang diketuai S Ambiga bersama A Samad Said dan Zaid Kamarudin diterima menghadap Yang di-Pertuan Agong pada sebelah petangnya, dan mereka bersedia mengadakan perhimpunan menuntut pilihan raya bersih dan adil di dalam stadium.

Kenyataan Perdana Menteri, Najib Razak pula dilihat lebih mendatar (berbanding malam sebelumnya di perhimpunan bulanan JPM), sambil menekankan: "Kita bersedia untuk berjumpa dengan pihak berkenaan bagi mengadakan (perhimpunan) di stadium dengan syarat bahawa mereka akan pergi dengan aman, berhimpun secara aman dan mereka akan balik dengan aman."

Bagaimanapun, siaran berita yang sama melaporkan sidang akhbar polis Selangor dan Kuala Lumpur tentang rampasan sejumlah besar senjata daripada pelbagai lokasi di sekitar Lembah Klang, termasuk 44 molotov cocktails, 23 parang dan 48 baju-T dengan logo Bersih. Polis tidak menolak kemungkinan ia ada kaitan dengan perhimpunan Bersih, 9 Julai. Ketua Polis Selangor, Tun Hisan Hamzah berkata, taktik digunakan dengan golongan komunis semasa zaman darurat.

Saya cuba membayangkan, jika tiada "campur tangan Agong" dan Bersih tetap bertegas mengadakan perarakan membelah kota raya ke Istana Negara, tentulah kes rampasan senjata bersama baju-T Bersih itu akan menjadi isu hangat-panas dan diperbesar-besarkan oleh RTM, TV3 dan pastinya Utusan Malaysia, berhari-hari lamanya. Mutakhir ini media di negara kita, khususnya TV, berulang kali menyiarkan propaganda memburukkan Bersih yang cukup memualkan. Rasanya propaganda pemerintah zaman komunis dulu pun tidak seteruk itu.

Lucu juga mengingatkan penegasan Tun Hisan yang seolah-olah mahu mengaitkan rampasan senjata di belakang tokong Cina di Batu 14, Jalan Gombak Lama Bentong, dengan taktik pengganas komunis. (Masakan tidak, "komunis" tahun 2011 ini begitu alpa dan naif sehingga meninggalkan kesan dan bukti, seperti baju-T Bersih! Kebetulan, ada blogger mengingatkan kemungkinan rampasan gelombang kuning di seluruh negara boleh menyediakan ruang untuk mensabotaj Bersih, terutama membabitkan baju-T kuning itu).

Serta-merta saya terkenang nasib Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar dan empat aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditangkap semula mengikut Ordinan Darurat (EO) selepas dibebaskan daripada tahanan reman pada 2 Julai. Sebelum itu, Jeyakumar bersama 30 yang lain, ditangkap di plaza tol Sungai Dua, Pulau Pinang. Polis mendakwa berdasarkan barangan yang dirampas, ahli-ahli PSM itu mempunyai kaitan dengan fahaman Parti Komunis Malaya (PKM). Mereka disiasat di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan atas tuduhan melancarkan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong.

Penggunaan EO adalah taktik halus polis mahu menahan tanpa bicara dengan tidak menggunakan akta drakonian ISA. Berbanding ISA, tidak wujud suara lantang terhadap EO disebabkan sasarannya bukan ahli politik, tetapi gangster atau penjenayah. Peruntukan penting dalam Ordinan Darurat adalah Seksyen 3(3), iaitu tempoh penahanan oleh polis selama 60 hari dan juga Seksyen 4(1), iaitu arahan menteri supaya ditahan tanpa bicara selama dua tahun.

Setelah tamat tempoh 60 hari tahanan pertama, menteri boleh memerintah perlanjutan tempoh tahanan tanpa bicara selama 2 tahun. Secara alternatifnya, menteri boleh mengeluarkan perintah sekatan untuk menyekat pergerakan tahanan. Menteri mempunyai kuasa melanjutkan perintah tahunan untuk satu jangkamasa berterusan tidak berakhir (undefinitely).

Selain itu, isu yang menjadi bualan ramai adalah sikap keterbukaan Seri Paduka yang bersedia menerima rombongan Bersih dan khabarnya pimpinan Pakatan Rakyat juga ke istana, ketika Timbalan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar mengumumkan pintu rundingan sudah ditutup. Malah, Khalid dengan sombong memaklumkan kepada media bahawa perjumpaan ketuanya, Ismail Omar dengan pimpinan Bersih, termasuk Ambiga, bukannya satu rundingan, tetapi hanya untuk memaklumkan pendirian polis.

Dan bagaimana pula dengan status Bersih selepas menghadap Agong, khususnya merujuk kenyataan Abdul Rahman Othman, Pendaftar Pertubuhan Malaysia, bahawa Menteri Dalam Negeri telah mengisytiharkan bahawa Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram mengikut Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966 berkuatkuasa 1 Julai 2011? Masakan Agong sedia bertemu wakil pertubuhan haram, yang di dalamnya mungkin mengandungi anasir subversif, yang dikaitkan dengan komunis?

Bagaimanapun bagi saya, perkara yang jauh lebih penting adalah menonjolkan peranan istimewa Agong dalam dunia politik, khususnya membabitkan proses pilihan raya. Kedudukan baginda yang unik itu jarang diperkatakan sehinggalah muncul titah diraja, malam 3 Julai lalu. Antara petikan menarik: "Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana ..."; "Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan ...."

Sememangnya penggubal Perlembagaan 1957 kita begitu cermat ketika memasukkan Perkara 114(2): "Pada melantik ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya, Yang di-Pertuan Agong hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan suatu SPR yang mendapat KEPERCAYAAN AWAM." Kedudukan Agong yang nuetral dari segi politik membolehkan baginda melaksanakan tugas strategik bagi memastikan SPR benar-benar berwibawa, diyakini rakyat, bertindak saksama dan tidak menyebelahi mana-mana parti politik.

Menurut Tun Mohamed Suffian Hashim, bekas Ketua Hakim Negara dalam bukunya, Mengenai Perlembagaan Malaysia, "Untuk menentukan bahawa SPR bebas dari campur tangan kerajaan, Perlembagaan memperuntukkan bahawa seseorang ahli SPR tidak boleh dipecat dari jawatannya melainkan atas alasan yang sama dan dengan cara yang sama seperti seorang hakim.

Tiada perutukan lain dalam Perlembagaan yang begini istimewa walaupun terhadap perlantikan hakim, kecuali bagi SPR. Malangnya, pada hemat saya, peranan Agong seperti ditegaskan Perkara 114(2) itu seolah-olah tidak diberi perhatian serius, sedangkan ia kunci kepada masalah yang berbangkit hari ini. Belum nampak satu mekanisme yang jelas dan sistematik tentang perlantikan ahli-ahli SPR yang seharusnya mendapat KEPERCAYAAN AWAM itu, sehingga mereka yang dianggap boleh "diperbudakkan" oleh Umno yang sering dilantik dan ini menyebabkan kontroversi berlaku.

"Tugas politik" Agong yang begitu penting ini, seumpama seorang pengadil pertandingan yang tidak memihak, mesti dibahaskan secara tuntas. Bersih, dalam memorandum kepada baginda, bertarikh 10 November 2007 "menyuarakan kehendak rakyat menuntut pembaharuan pilihan raya termasuk mengutarakan cadangan untuk sebuah Suruhanjaya Diraja untuk mengkaji pembaharuan sistem dan proses pilihan raya".

Sebenarnya, daripada menuntut sebuah suruhanjaya bebas, lebih praktikal untuk mendahulukan peruntukan yang tersedia dalam Perlembagaan. Penubuhan SPR yang mendapat KEPERCAYAAN AWAM ini tidak boleh ditangguh lagi. Perarakan aman membelah Kuala Lumpur, yang dipindahkan ke stadium, tidak akan menyelesaikan isu sebenar sekiranya perkara pokok yang terkandung dalam tuntutan 8 perkara itu terbiar begitu sahaja.

Secara peribadi saya mengharapkan langkah awal Seri Paduka ini akan merintis usaha reformasi menyeluruh terhadap proses pilihan raya dan sistem demokrasi di negara kita. Ini bukan perkiraan siapa kalah atau menang; yang penting ada cahaya di hujung terowong ....

Walaupun dilarang, pemimpin PAS akan hadir
Harakahdaily

SHAH ALAM, 8 Julai: Pemimpin PAS tetap turun menyertai Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai (jam 2 petang esok) meskipun terdapat larangan berada di Kuala Lumpur seperti perintah mahkamah yang dikeluarkan semalam.

Dalam keputusan berdasarkan permohonan sebelah pihak polis kepada mahkamah itu, hampir semua pemimpin tertinggi PAS termasuk dalam 91 individu yang dihalang berada di ibu negara pada esok hari.

Naib Presiden PAS, Haji Salahudin Ayub menegaskan pemimpin dan ahli PAS tetap akan hadir ke perhimpunan rakyat di Stadium Merdeka dalam usaha menuntut pilihan raya bersih dan telus dalam negara.

Beliau menyifatkan tindakan BN menggunakan mahkamah untuk keluarkan larangan menghalang 91 individu berada di KL esok hari sebagai tidak demokratik.

Jelasnya, tindakan menghalang dan mengugut itu jelas bertentangan dengan titah khas Seri Paduka Yang Dipertuan Agong, Sultan Mizan yang mahu semua pihak berunding.

"Tindakan menghalang itu jelas bertentangan dengan ruh dan semangat titah baginda," tambahnya yang juga termasuk dalam senarai 91 individu yang dihalang.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli pula berkata, pimpinan Pakatan Rakyat kekal mantap untuk jayakan himpunan Bersih itu meskipun terdapat berbagai halangan.

Dalam satu kenyataannya, beliau yang juga dihalang berkata, setakat ini belum menerima sebarang surat secara hitam putih tentang keputusan mahkamah majestrit itu.

"Jika benar, ini merupakan satu bentuk pencabulan hak saya untuk bergerak secara bebas dalam negara sendiri.

"Pemerintah semakin tenggelam punca dalam menghadapi kebangkitan rakyat," tegasnya.

Penegasan sama turut dibuat ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Pelancaran Gerakan Pilihan Raya Adil dan Telus di Seksyen 18, dekat sini, malam tadi.

Sementara itu dalam jawapan ringkasnya. AJK PAS Pusat, Haji Khalid Samad berkata, tindakan ini membuktikan pemimpin BN sudah tidak siuman.

Seorang lagi AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman pula hanya ketawa geli hati dengan tindakan ini sambil menyatakan akan terus hadir.


Bersih lonjak kesedaran politik generasi muda
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Julai: Himpunan aman Bersih 2.0 yang diadakan esok telah memberikan satu lonjakan kesedaran politik rakyat Malaysia, terutama generasi muda.

“Mungkin selama ini mereka tidak kisah sangat apa yang berlaku sekeliling mereka. Mereka sibuk dengan kerjaya masing-masing.

“Apabila media BN yang sudah hilang orbit kewarasan dalam pemberitaan, akhirnya menjadi senjata makan tuan, kerana anak muda ialah mereka generasi yang berfikir,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).

Tambahnya, lebih-lebih lagi di era langit terbuka, mereka mendapat maklumat kedua kemudian, mereka membakul sampahkan propaganda BN.

Beliau berkata, hasrat BN cuba memburukkan program Bersih dengan berbagai tuduhan seperti komunis, gerakan kristian, agen asing semuanya gagal.

Menurutnya, generasi muda yang celik maklumat bukan mereka yang boleh dicucuk hidung oleh pemimpim BN.

Mereka, ujarnya mentelaah semua maklumat, kemudian membuat pertimbangan mana yang betul dan yang salah.

Katanya lagi, mereka tidak mahu melanjutkan kepimpinan negara yang separuh abad diberi amanah, tetapi telah mengkhianati amanah negara.

Oleh itu, katanya mereka perlu melantik pemimpin yang amanah dengan jawatan tetapi impian itu tidak akan diperolehi jika perjalanan pilihan raya yang tempang.

Justeru, tegasnya reformasi perlu dibuat dalam perjalanan pilihan raya di negara ini.

Beliau menambah, jika benar BN kuat mereka tidak perlu takut untuk menerima tuntutan Bersih, biarlah rakyat menjadi Hakim Negara untuk memilih pemimpin negara.

“Perkara ini pemimpin BN tidak perlu takut jika mereka menganggap ini adalah amanah, tetapi mereka akan takut jika tujuan menjadi pemimpin sebagai tangga untuk mengumpul kekayaan anak beranak,” ujarnya.


Tak kan ke pejabat sendiri pun tak boleh
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 8 Julai: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) mempersoal kenapa beliau dihalang untuk ke pejabatnya sendiri di bangunan PAS Jalan Raja Laut esok.

Katanya, adalah tidak kena perintah larangan daripada majistret yang diperolehi polis, turut menghalangnya ke tempat kerja.

"Saya tak kisah kalau tidak dibenar ke tempat lain, tapi tak kan pejabat sendiri pun tak boleh," katanya kepada Harakahdaily.

Polis Kuala Lumpur semalam mendapat perintah larangan daripada majistret untuk menghalang 91 pemimpin termasuk Mahfuz memasuki beberapa kawasan di Kuala Lumpur esok, 9 Julai.

Perintah berkenaan melarang semua individu tersebut – daripada Perkasa, Bersih 2.0 dan Patriot supaya tidak hadir atau mengambil bahagian dalam perhimpunan berkenaan.

Seramai 66 orang invididu yang dinamakan dalam perintah larangan bagi kumpulan Bersih 2.0 termasuk pengerusinya Datuk Ambiga Sreenevasan, timbalan presiden PAS Mohamad Sabu dan aktivis Hishamuddin Rais.

Turut disenaraikan adalah beberapa pemimpin Pakatan Rakyat seperti Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Kawasan larangan berkenaan termasuk sekitar kawasan The Mall, KLCC, Sogo, Maju Junction, Jalan Raja Laut, Dataran Merdeka, Masjid Negara dan juga Istana Negara.

Mengulas lanjut, Mahfuz memberitahu empat anggota polis datang ke rumahnya di Kedah malam tadi untuk menyerahkan notis perintah larangan itu.

Beliau bagaimanapun enggan menandatangan notis itu ekoran larangan terhadapnya untuk ke pejabatnya di Jalan Raja Laut.

"Saya tak tanda tangan sebab tak logik, malah saya enggan menerima notis itu.

"Mereka kemudiannya letak notis tu dalam peti surat rumah saya," katanya.


Suhakam gesa bebaskan tahanan Ordinan Darurat
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Julai: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyatakan rasa kebimbangan tentang penangkapan dan penahanan beberapa Ahli Parlimen serta aktivis Bersih baru-baru ini di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 dan menyeru pihak berkuasa untuk membebaskan mereka yang masih ditahan dengan segera.

Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam berkata, mereka seharusnya berhak kepada perbicaraan terbuka dengan diwakili peguam seperti yang disebut dalam Perkara 9, 10 dan 11 UDHR yang menyatakan bahawa tiada sesiapapun boleh dikenakan tangkapan secara sewenang-wenangnya; setiap orang adalah berhak dengan sama rata sepenuhnya kepada perbicaraan adil dan terbuka; dan setiap orang berhak dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Menurutnya, sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyokong standard tertinggi dalam mempromosi dan melindungi hak rakyat.

“Dalam perkara ini, Suruhanjaya telah berulangkali menyeru agar semua undang-undang penahanan pencegahan dimansuhkan dan mengulangi bahawasanya penahanan tanpa bicara adalah melanggar prinsip hak asasi manusia,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau juga mengalu-alukan konsultasi yang sedang berjalan di antara pihak berkuasa dan Bersih berhubung dengan cadangan perhimpunan, yang akan diadakan di stadium, setelah menurut titah DYMM Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 4 Julai dan majlis menghadap yang diperkenankan oleh DYMM Tuanku kepada Bersih pada 5 Julai 2011.

Katanya, walaupun mengalu-alukan perkembangan positif ini, dalam keadaan sekarang, Suruhanjaya ingin mengulangi bahawa kebebasan berhimpun secara aman adalah terkandung dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR), dan kebebasan menyuarakan pandangan dan pendapat adalah terkandung dalam Perkara 19 UDHR.

“Suruhanjaya berharap agar resolusi awal berkenaan perkara ini dapat dicapai antara pihak berkuasa dan Bersih dalam semangat perdamaian, seperti yang dititahkan oleh baginda Tuanku Yang di-Pertuan Agong, dan akan memantau perhimpunan itu sewajarnya,” katanya lagi.


Tiada ulasan: