Isnin, 9 Jun 2014

HAWA DINGIN PERLU...BESAR PUN PERLU....YANG LAGI PERLU IALAH DATANG UNTUK SOLAT JEMAAH...HADIR MAJLIS2 PENGAJIAN...BANYAK PROGRAM2 AGAMA...LEBIH2 MAJLIS2 ILMU DAN BERI KEBEBASAN PENERANGAN TERMASUK TIDAK MEMISAHKAN SIASAH DENGAN AGAMA

Masjid tak perlu besar, tetapi perlu berhawa dingin – MB T’ganu

BERNAMA | .
HULU TERENGGANU: Masjid baharu yang dibina di Terengganu tidak perlu terlalu besar, tetapi mesti menyediakan sistem pendingin hawa bagi keselesaan jemaah, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.
Menurutnya transformasi perlu dilakukan terhadap pembinaan masjid kerana menerusi pengalaman sebelum ini, masjid yang telah dibina kebanyakannya terlalu besar dan tidak ekonomik memandangkan semasa solat fardu hanya satu atau dua saf sahaja dipenuhi jemaah.
"Bagaimanapun jika hari-hari perayaan yang mempunyai ramai jemaah, masjid itu mestilah boleh dibuka atau diletakkan khemah supaya dapat menampung semua jemaah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan solat hajat dan majlis kesyukuran sempena dilantik sebagai menteri besar ke-14 di sini malam tadi.
Mengenai masjid Pekan Ajil yang dikatakan sudah tidak mampu menampung jemaah yang ramai, Ahmad Razif berkata walaupun kecil, tetapi masjid itu sangat sesuai bagi penduduk sekitarnya.
Bagaimanapun beliau bersetuju agar masjid itu diubah suai sedikit supaya dapat menampung lebih ramai jemaah. - Bernama

Apa yang terkandung dalam rang undang-undang LPHJ?

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Walaupun menerima bantahan pelbagai pihak termasuk pihak dalaman parti, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tetap dengan keputusan membentangkan rang undang-undang bagi menubuhkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Isnin ini.
Menurut Khaled, enakmen baharu tersebut tidak melanggar konsep Raja Berpelembagaan yang digunakan di negara ini kerana akan dibacakan bersama Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor.
“Insya-Allah… kita tengok Isnin ini. Dari segi sama ada ia melanggar konsep Raja Berpelembagaan, saya tidak fikir ia begitu.
“Seperti saya katakan, enakmen ini mesti dibaca bersama-sama Undang-undang Tubuh Negeri Johor di mana dalam undang-undang berkenaan menyatakan tindakan yang dilaksanakan oleh Tuanku adalah dengan nasihat Menteri Besar,” katanya seperti dilapor media tempatan semalam.
Bagaimanapun pandangan Khaled tidak dikongsi bekas Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Johor (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim.
Dalam satu kenyataan media semalam, Muhammad menjelaskan, walaupun Menteri Besar selaku Pengerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) mengakui mempunyai kuasa mutlak seumpama kuasa Pengerusi Jcorp, ia bukan alasan yang boleh diterima untuk meneruskan RUU LPHJ.
“Pengalaman peribadi saya di JCorp jelas membuktikan kuasa mutlak Menteri Besar selaku Pengerusi Jcorp pernah dikompromikan pemimpin politik negeri.
“Pengerusi Jcorp ketika itu, sekali pun berkuasa eksekutif penuh, gagal atau takut menggunakan kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang kepadanya dan lebih berminat mematuhi sepenuhnya apa yang beliau katakan sebagai ‘Titah Sultan Johor’,” jelas beliau.
Sehubungan itu, RUU LPHJ ujarnya adalah cadangan yang tidak dapat diterima rakyat kerana bercanggah dengan Perlembagaan, juga satu duluan (precedent) pentadbiran yang berbahaya kerana ia pasti merosakkan kepentingan besar rakyat dan negara.
Media tempatan melaporkan bahawa Rang Undang-undang Enakmen LPHJ 2014 ini akan memberi kuasa kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk terlibat dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Petikan daripada enakmen setebal 36 muka surat yang dinamakan Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) 2014 menjelaskan lagi kebimbangan pelbagai pihak terhadap campurtangan istana dalam pentadbiran negeri.
Antara peruntukan yang terkandung dalam rang undang-undang LPHJ 2014 adalah:
* LPHJ dipengerusikan oleh Menteri Besar dengan Ahli-ahli Lembaga boleh dibayar elaun seperti ditentukan Raja.
* Fungsi Lembaga adalah:
  • Memberi nasihat kepada Pihak Berkuasa Negeri dengan dasar, cara dan langkah yang hendak diambil untuk menggalak dan memudahkan pemajuan perumahan hartanah.
  • Membina, menyelenggara, membaiki, memulih, mendiami semula dan menggunakan sebarang struktur, bangunan atau kerja-kerja di dalam mana-mana rancangan perumahan atau hartanah.
  • Menetap dan melaksanakan dasar dan panduan bagi memperuntukkan jenis-jenis perumahan dan kategori pembeli di sebarang pemaju perumahan.
* Dengan kelulusan Raja, dari semasa ke semasa boleh menubuhkan suatu perbadanan dengan apa-apa nama yang ditentukan Lembaga untuk menjaga, membangun atau mengurus apa-apa rancangan pemajuan, projek, skim atau perusahaan sebagaimana ditentukan Lembaga.
* Lembaga boleh menjalankan apa-apa fungsi lain, melaksanakan kuasa lain dan mentadbir serta membelanjakan apa-apa wang lain yang diperuntukkan kepadanya oleh kerajaan negeri.
* Lembaga perlu memberikan penyata, laporan akaun dan maklumat kepada Pihak Berkuasa Negeri berhubung dengan harta dan kegiatannya seperti diarahkan oleh Pihak Berkuasa Negeri termasuk membentangkan sebarang cadangan, pelan berhubung sesuatu projek.
* Segala pelantikan Pengarah hendaklah terlebih dahulu mendapat kelulusan Raja.
* Lembaga hendaklah menerima pakai peraturan, kaedah, dasar dan pekeliling serta arahan yang dikeluarkan Kerajaan Negeri.
* Lembaga hendaklah dalam tempoh enam bulan selepas berakhirnya tiap-tiap satu tahun kewangan mengauditkan akaunnya dan menghantar kepada Raja dan Pihak Berkuasa negeri bersama-sama satu salinan.
* Raja atau Pihak Berkuasa Negeri boleh pada bila-bila masa mengarah orang tertentu yang dilantik olehnya untuk membuat penyiasatan terhadap buku, akaun dan urus niaga Lembaga.
* Lembaga hendaklah tidak lewat daripada 30 Jun setiap tahun kewangannya, menghantar penyata kepada raja dan pihak berkuasa negeri yang menyentuh kegiatan Lembaga pada tahun lepas.
* Raja berkuasa untuk mengarahkan Lembaga digulung dan dibubarkan.

Fasal 4(1) LPHJ menyenaraikan struktur Keanggotaan Lembaga yang terdiri daripada:
a) Menteri Besar sebagai Pengerusi.
b) Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri sebagai Timbalan Pengerusi.
c) Lima orang ahli atas nama jawatan, dan mereka hendaklah orang orang yang pada masa itu memegang jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang Undang Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri dan Pengarah Unit Peracangan Ekonomi Negeri.
d) Tidak lebih dari empat orang wakil dari apa apa perbadanan, agensi atau mana-mana orang yang akan membawa munfaat kepada Lembaga yang dilantik oleh Raja. - HARAKAHDAILY, 8/6/2014

Warga Malaysia dirogol di Jaipur

BERNAMA | .
NEW DELHI: Seorang wanita Malaysia yang berkunjung ke Jaipur, Rajasthan atas urusan perniagaan, didakwa dirogol pada Jumaat oleh seorang lelaki yang ditemuinya di sana.
"Kami telah menahan lelaki itu atas dakwaan merogol seorang wanita Malaysia pada Jumaat. Dia penduduk Bhilwara," menurut Indo-Asian News Service memetik Timbalan Pesuruhjaya Polis (Jaipur Timur), Amandeep Singh sebagai berkata.
Lelaki itu berusia 30 tahun.
Menurut laporan itu, wanita terbabit dalam aduannya berkata dia datang ke Jaipur tiga hari sebelum itu atas urusan perniagaan dan berjumpa lelaki berkenaan.
Kedua-dua mereka makan di sebuah hotel lima bintang pada Khamis malam dan dari situ lelaki itu memandunya ke sebuah tempat yang sunyi dan mendakwa dia dirogol di dalam kereta selepas diberi minuman yang dimasukkan dadah.
Lelaki itu kemudian meninggalkannya di hadapan hotel penginapannya, menurut laporan itu.
Wanita itu berjaya menghubungi sebuah kereta polis di kawasan berhampiran Jawahar Circle di bandar raya ini dan membuat aduan. Lelaki terbabit ditahan dalam tempoh tiga jam.
"Kami menerima aduan itu secara bertulis dan sedang menyoal siasat lelaki terbabit," laporan itu memetik Amandeep sebagai berkata.
Sementara itu, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi telahpun menghubungi mangsa.
"Dia selamat dan pihak berkuasa di Jaipur memberi kerjasama penuh kepada kami berhubung insiden ini," kata seorang pegawai ketika dihubungi Bernama semalam.
Bantahan terhadap keganasan seksual di India semakin memuncak sejak insiden rogol beramai-ramai dan bunuh seorang pelajar di dalam sebuah bas di Delhi pada 2012.
Statistik rasmi menunjukkan kira-kira 25,000 kes rogol dilakukan setiap tahun di India, negara yang dihuni 1.3 bilion penduduk.
Pada awal tahun ini seorang wanita warga Denmark berusia 51 tahun mendakwa dirogol beramai-ramai di Delhi. Dia dirompak dan dirogol oleh suspek bersenjatakan pisau.
Dalam tempoh sama, seorang wanita Jerman berusia 18 tahun juga dilaporkan dirogol oleh seorang lelaki yang berkongsi kompartmen dengannya di dalam kereta api ketika dalam perjalanan dari Mangalore ke Chennai di selatan India.
Kejadian rogol berlaku setiap 22 minit di India, bagaimanapun serangan yang kurang dilapor bermakna kekerapannya mungkin lebih tinggi. - Bernama

UMS akui hukum pelajar kerana kedai G-Shop

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengakui mengenakan tindakan tatatertib terhadap 16 pelajarnya pada 26 Mei lalu di bawah peraturan universiti kerana terlibat dengan bantahan di hadapan Bangunan Menara, UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) 25 Februari lalu.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Bahagian Media dan Citra, Jabatan Canselori UMS, tindakan tatatertib itu dibuat ekoran para pelajar terbabit didapati melanggar Kaedah 9 (3) Kaedah-Kaedah Universiti Malaysia Sabah (Tatatertib Pelajar-Pelajar )1999 iaitu; “tiada pelajar boleh menghadiri atau menyertai sesuatu perhimpunan yang diadakan yang berlanggaran dengan subkaedah (1) dan (2)”.
Para pelajar terbabit terlibat dalam perhimpunan membantah tindakan pengurusan UMSKAL memindahkan kedai G-Shop yang dikendalikan mahasiswa ke lokasi lain.
Menerusi  prosiding tatatertib, seramai 15 orang mahasiswa telah hadir manakala seorang mahasiswa tidak hadir dengan alasan munasabah.
“Daripada 15 orang mahasiswa yang hadir, seramai 8 orang telah mengaku bersalah terhadap kesalahan tersebut, sementara seramai 7 orang mahasiswa lagi tidak mengaku bersalah dan memohon untuk dibicarakan,” kenyataan media itu dipetik.
Pelajar yang mengaku bersalah telah diberi amaran dan tidak dibenarkan menggunakan kemudahan asrama selama satu semester.
Pihak Berkuasa Tatatertib Pelajar UMS juga telah membicarakan tiga pelajar pada 3 dan 4 Jun lalu dan mendapati mereka telah melanggar  Kaedah 9(3) Kaedah-Kaedah Universiti Malaysia Sabah (Tatatertib Pelajar-Pelajar )1999.
Para pelajar terbabit telah diberi amaran dan digantung pengajian selama satu semester.
Lima pelajar lagi akan dibicarakan pada tarikh yang akan ditentukan pihak berkuasa tatatertib pelajar.
UMSKAL mengakui bahawa proses tatatertib yang diambil adalah mengikut prosedur usang yang telah ditetapkan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 dan Kaedah-Kaedah Universiti Malaysia Sabah (Tatatertib Pelajar-Pelajar )1999.
Mahasiswa yang telah didapati bersalah, jelas UMSKAL diberi tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan surat keputusan untuk membuat rayuan ke Jawatankuasa Rayuan Tatatertib Pelajar.
Tindakan tataertib yang dikenakan UMSKAL terhadap para pelajar terbabit mendapat bantahan daripada beberapa persatuan mahasiswa.
Satu memorandum juga telah dihantar kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung tindakan UMSKAL yang dianggap menekan suara mahasiswa.
Dewan Pemuda PAS turut membantah  tindakan keterlaluan UMSKAL dan menggesa university terbabit mengkaji semula hukuman tersebut.
Kumpulan pelajar terbabit  telah mengusahakan kedai  G-Shop tersebut selama enam tahun. 
Kedai yang mula beroperasi sejak 2008 itu memberikan peluang untuk mahasiswa mengasah bakat dalam perniagaan.

Namun pihak universiti telah mengeluarkan notis supaya premis itu dikosongkan bagi disewa kepada pihak luar.
Bantahan dilakukan kelompok mahasiswa apabila rundingan yang diadakan dengan pengurusan UMSKAL gagal membuahkan hasil. - HARAKAHDAILY, 7/6/2014

Rais dakwa tindakan saman Malaysiakini hak asasi Najib

BERNAMA | .
KUALA LUMPUR: Tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan saman fitnah terhadap portal berita Malaysiakini dan dua pengarangnya adalah satu langkah yang dituntut dalam menjamin hak asasi manusia presiden Umno itu, kata Tan Sri Dr Rais Yatim.
Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan itu berkata sebagai seorang yang bermaruah dan merasakan dirinya telah dimalukan dengan sangkaan jahat, Najib, yang juga perdana menteri, tentu sekali mahu namanya dan nama partinya dibersihkan.
Venue (tempat) terbaik dan paling sesuai untuk berbuat demikian ialah mahkamah, katanya dalam kenyataan di sini semalam.
"Mengambil tindakan mahkamah lantaran teraniaya, difitnah, ditipu dan sebagainya adalah satu langkah yang dituntut di sisi hak asasi manusia," tegas Rais.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Majlis Peguam Christopher Leong semalam yang menggesa Najib dan Umno membatalkan saman fitnah itu.
Rais berkata kenyataan itu secara jelas menunjukkan badan berkenaan sudah turun padang bermain politik, dan seolah-olah tidak lagi mengambil kira hak asasi manusia seseorang yang mahu mendapatkan keadilan di mahkamah.
"Apakah Majlis Peguam sudah lupa undang-undang yang mereka sendiri dakwa hendak ditegakkan? Kini terbukti peranannya sebagai pengamal politik murahan," katanya.
Pada 30 Mei, Najib selaku presiden Umno dan Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh memfailkan saman fitnah terhadap syarikat, ketua pengarang dan ketua editor laman web portal Malaysiakini menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini berhubung penerbitan dua artikel bulan lepas.
Najib dan Ab Rauf (bagi pihak Umno) menamakan syarikat Mkini Dotcom Sdn Bhd, Ketua Pengarang Steven Gan dan Ketua Editor Fathi Aris Omar sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Dalam pernyataan tuntutan, Najib dan Ab Rauf mendakwa ketiga-tiga defendan telah melapor, mengeluar dan membenarkan penerbitan dua artikel berasingan bertajuk 'A case of the PM reaping what he sows' dan 'How much will Najib spend to keep Terengganu?'.
Kedua-dua artikel itu didakwa diterbitkan pada 14 Mei lalu. - Bernama

Penguasa politik Johor lemah – Tan Sri Muhammad Ali

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor  2014 (LPHJ) yang bakal dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor, Isnin ini turut mendapat kritikan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim (gambar).
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam, Muhammad menyifatkan tindakan memberi kuasa undang-undang kepada Sultan Johor untuk mencampuri urusan pentadbiran negeri secara langsung akan mencemarkan kedudukan Sultan dan merosakkan sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini.
“Ia juga akan memburukkan lagi kecelaruan yang berlaku dalam pentadbiran di negeri Johor, yang sejak kebelakangan ini banyak terjejas setelah terdapat campur tangan secara langsung atau tidak langsung Istana Johor.
“Jika dibiarkan, kecelaruan ini pasti merosakkan kepentingan besar rakyat Johor, terutama apabila terdapat campur tangan dalam pentadbiran tanah atau urusan GLC negeri,” ujar beliau.
Menurut Muhammad,  rakyat Johor semakin bimbang melihat tanah dan harta serta perniagaan strategik milik Johor terlepas kepada kepentingan asing atau milik individu terpilih, dengan mengetepikan kepentingan jangka panjang rakyat dan negara.
Beliau yakin kecelaruan ini berpunca daripada kecuaian kepimpinan serta kelemahan tindakan penguasa politik Johor.
“Perkara ini sepatutnya tidak timbul jika penguasa politik negeri proaktif, terlebih dahulu bertindak tegas mempertahankan Perlembagaan negara dan tidak mengkrompomikan status Sultan Johor sebagai Raja Berperlembagaan tanpa kuasa mutlak,” tegas beliau.
Menurut Muhammad, walaupun Menteri Besar selaku Pengerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) mengakui mempunyai kuasa mutlak seumpama kuasa Pengerusi Jcorp, ia bukan alasan yang boleh diterima untuk meneruskan RUU LPHJ.
“Pengalaman peribadi saya di JCorp jelas membuktikan kuasa mutlak Menteri Besar selaku Pengerusi Jcorp pernah dikompromikan pemimpin politik negeri.
“Pengerusi Jcorp ketika itu, sekali pun berkuasa eksekutif penuh, gagal atau takut menggunakan kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang kepadanya dan lebih berminat mematuhi sepenuhnya apa yang beliau katakan sebagai ‘Titah Sultan Johor’,” jelas beliau.
Sehubungan itu, RUU LPHJ ujarnya adalah cadangan yang tidak dapat diterima rakyat kerana bercanggah dengan Perlembagaan, juga satu duluan (precedent) pentadbiran yang berbahaya kerana ia pasti merosakkan kepentingan besar rakyat dan negara.
Kes duluan ini, ujarnya berpotensi mengancam masa depan JCorp dan agensi negeri kerana apabila kedudukan Raja Berperlembagaan dikompromi, terdapat kemungkinan semua pihak akan tededah tanpa soal kepada campur tangan atau titah perintah istana.
“Rakyat Johor telah banyak menyaksikan keputusan kerajaan kebelakangan ini yang tidak disenangi ramai. RUU LPHJ akan hanya menambahkan kekeruhan situasi di Johor kerana apabila kedudukan Raja Berlembagaan dikompromikan, ia berpotensi lebih merosakkan dan menjejas kepentingan jangka panjang rakyat Johor khasnya dan warga Malaysia amnya,” tegas beliau. - HARAKAHDAILY, 8/6/2014

Panglima tentera akui wujud kelemahan dalam Esscom

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin tidak menafikan berkemungkinan wujud kelemahan dalam kawalan keselamatan di Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom).

Katanya, kelemahan itu akan dikaji dan diperbaiki khususnya dalam aspek penguatkuasaan bagi mengelak kebocoran kawalan sehingga berlakunya kejadian jenayah di kawasan itu.

"Tidak dinafikan berkemungkinan wujud kelemahan...jangan kita mengganggap tiada cabaran dalam diri kita sendiri," katanya semalam.

Beliau berkata demikian semasa mengulas kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam bahawa faktor kelemahan manusia seperti rasuah dan kebocoran maklumat oleh pihak bertanggungjawab mungkin wujud dalam isu keselamatan perairan Sabah dan bukan hanya disebabkan oleh kelemahan aset.

Keberkesanan Esscom terus dipertikai apabila beberapa siri kejadian jenayah khususnya penculikan terus berlaku biarpun ia didakwa dikawal ketat.

Dalam kejadian penculikan terbaru awal Mei lalu, Pengurus Wonderful Terrace Sdn Bhd, sebuah syarikat yang mengendalikan ladang ikan warganegara China, Yang Zailin dilaporkan diculik di Silam, Lahad Datu dan dipercayai bahawa kumpulan lelaki bersenjata itu melarikan diri ke arah selatan Filipina.

Sebelum dari itu, empat lelaki berpakaian seragam ala tentera merompak seorang guru dan tiga rakan beliau yang memancing di perairan Sungai Bilis di Tanjung Labian dengan melarikan dua enjin bot sangkut dan satu enjin bot pam.

Sementara pada 2 April lalu, pelancong China Gao Hua Yuan, 29, dan seorang pekerja resort Marcy Darawan, 40, diculik sekumpulan lelaki bersenjata dari Singamata Reef Resort di Semporna. - HARAKAHDAILY, 7/6/2014

Kebimbangan disebalik RUU Perumahan Johor

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak termasuk dikalangan BN sendiri mula meluahkan kebimbangan dengan rang undang-undang perumahan baharu yang akan dibentang  di Dewan Undangan Negeri Johor, Isnin ini.

Rang Undang-undang Lembaga Perumahan dan Hartanah 2014 ini bakal memberi kuasa meluas kepada Sultan tentang isu perumahan dengan penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor.

Menurut laporan, ia merupakan enakmen pertama seumpamanya yang akan dibentangkan dengan Sultan Johor diberi kuasa untuk melantik ahli lembaga, menyelia akaun dan juga untuk membubar lembaga berkenaan.

Ramai melihat, jika perkara ini berlaku, ianya dibimbangi berlaku pertindihan kuasa istana dengan kuasa eksekutif.

The Star dalam laporannya mendakwa, dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN yang tidak mahu dikenali, mahu Rang Undang-Undang ditangguh untuk membolehkan lebih banyak masa untuk menelitinya.

"Kuasa untuk menubuhkan lembaga ini terletak pada Dewan Undangan Negeri Johor dan oleh itu, kuasa untuk membatalkan atau membubarkan ia perlu di DUN," kata seorang daripada ahli dewan.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang Johor dari DAP Dr Boo Cheng Hau, turut melahirkan kebimbangan berkata, Pakatan Rakyat akan membuat pendirian rasmi selepas mengadakan pertemuan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri pada Ahad.

Sementara itu Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula menegaskan penglibatan Sultan Johor Sultan Ibrahim dalam Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor yang akan ditubuhkan kerajaan negeri bukan menjadi satu isu kerana kuasa eksekutif dipegang menteri besar.
  
Mohamed Khaled berkata menteri besar adalah pengerusi secara automatik dan apa-apa tindakan Sultan Johor adalah atas nasihat menteri besar. - HARAKAHDAILY 7/6/2014

Tiada ulasan: