Ahad, 1 Jun 2014

BILA ISLAM DIAMBIL BERPILIH2....BILA ISLAM DIAKUI TAPI TAK MAU BELAJAR.....ISLAM DIFIKIR2 PAKAI AKAL SAJA....BERIMAN SEBAHAGIAN DAN MENOLAK SEBAHAGIAN LAGI

Rogol boleh ditangani dengan hudud dan takzir

. | .

1. Kes melibatkan rogol 2 pelajar wanita berusia 15 dan 17 tahun oleh 38 lelaki di Ketereh, Kelantan 20 Mei 2014 lalu dan kes-kes seumpamanya mengajak seluruh masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia untuk merenung lebih jauh kegagalan undang-undang moden menyekat kesalahan jenayah rogol.

2. Statistik PDRM menunjukkan antara kes jenayah yang paling tinggi di Malaysia ialah jenayah harta melibatkan kecurian dan jenayah kekerasan melibatkan rompak dan rogol.

3. Seksyen 376 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman bagi pesalah rogol ialah penjara minimum 5 tahun dan maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

4. Islam mengkategorikan rogol atau disebut zina paksa sebagai satu kesalahan jenayah Hudud. Hukuman boleh dikenakan ke atas perogol sekiranya kesalahan itu sabit menerusi kesaksian 4 orang atau pengakuan tertuduh. Bentuk hukuman yang boleh dikenakan ke atas perogol yang disabitkan kesalahan:
i - rejam sehingga mati jika pesalah pernah menikmati persetubuhan melalui perkahwinan yang sah.
ii - sebat sebanyak 100 sebatan ke atas pesalah yang belum pernah menikmati persetubuhan melalui perkahwinan yang sah dan penjara selama setahun.

5. Sekiranya tidak dapat dibuktikan melalui 4 orang saksi atau pengakuan tertuduh ia boleh disabitkan berdasarkan keterangan lain seperti DNA, laporan perubatan dan lain-lain keterangan yang boleh dijadikan bahan bukti kes.

Hukuman yang akan dikenakan ialah Takzir iaitu bergantung kepada budi bicara mahkamah.

6. Inilah yang dijelaskan oleh Kanun Jenayah Syariah II Kelantan dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2002. Enakmen Terengganu menyebut;
Seksyen 9. (2) Aduan oleh seorang perempuan yang dia dirogol oleh orang tertentu  tanpa berupaya membawa saksi seperti yang disyaratkan tetapi ada qarinahnya, hendaklah disiasat dan jika syarat-syarat yang dikehendaki Syarak tidak dipenuhi untuk menghukum pesalah di bawah hukuman hudud dan sebaliknya ada cukup bukti yang tidak boleh disangkalkan dengan keterangan sama ada secara langsung atau tidak langsung yang menunjukkan pesalah telah melakukan persetubuhan ke atasnya dengan kekerasan dan tanpa kerelaannya maka pesalah itu hendaklah dihukum dengan hukuman takzir dan perempuan itu tidak boleh dikatakan telah melakukan qazaf.

7. Hukuman Takzir boleh berlaku lebih keras daripada hudud sekiranya Mahkamah berpandangan ada keperluan untuk itu. Sebahagian mazhab Islam meletakkan hukuman Takzir boleh mencapai tahap hukuman mati. Apatah lagi dalam kes rogol berkumpulan yang mendatangkan trauma dan kecederaan besar kepada mangsa dari sudut fizikal dan mental.

8. Lebih menarik, berasaskan Takzir dalam Islam, pesalah rogol boleh dikenakan bayaran pampasan sebagai gantirugi kepada maruah mangsa. Peruntukan seumpama ini tidak terdapat dalam undang-undang sivil hari ini. Mangsa rogol hanya sekadar mendapat malu.

9. Tiba masanya kerajaan persekutuan perlu lebih serius menggubal undang-undang berasaskan hukum jenayah Islam sebagai alternatif kepada undang-undang sivil sedia ada yang terbukti gagal menyekat jenayah rogol. Setidak-tidaknya kerajaan persekutuan boleh membentangkan rang undang-undang membolehkan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2002 dilaksanakan di peringkat negeri sebagai model awal di Malaysia.

YB Datuk Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Pelajar Wanita Dicekup Tanpa Pakaian Dalam Selimut

Written By canang on Isnin, 2 Jun 2014 | 6/02/2014 12:10:00 PG

KUALA DUNGUN – Perbuatan tidak bermoral seorang pelajar perempuan sebuah institut kemahiran tempatan yang memadu asmara bersama teman lelaki di hotel murah, menerima padah apabila dia didenda RM2,800, atau dua bulan penjara kerana berkhalwat.

Pelajar berkenaan, Nurul Akmal Aishah, 19, dari Besut Terengganu menghadapi pendakwaan mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2001.

Dia dicekup sepasukan pegawai penguat kuasa syariah, bersama teman lelakinya, di sebuah bilik di rumah tumpangan, dekat sini, kira-kira jam 1.30 pagi, 10 Februari lalu.

Ketika serbuan dilakukan, Nurul Akmal ditemui dalam keadaan terbaring tanpa pakaian dalam selimut.

Lelaki terbabit, dikenali sebagai Mohd Firdaud Wadu, 30, pula, hanya memakai jeans tanpa baju ketika membuka pintu bilik.

Soal siasat mendapati mereka tiada hubungan muhrim.

Pasangan terbabit juga mengaku telah melakukan persetubuhan sebelum itu.

Turut dirampas, pakaian dalam milik Nurul sebagai bahan kes.

Kedua-duanya yang mengaku bersalah selepas fakta kes dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Shamsuddin Ngah kemudiannya menjelaskan denda masing-masing untuk mengelakkan dipenjara.

Dalam kes berasingan di Mahkamah Rendah Syariah, seorang pemandu lori, Md Zaid Abdullah, 33 dari Kuala Abang Dungun berhadapan satu waran tangkap kerana kegagalannya hadir untuk menghadapi pendakwaan pertudu­han khalwat.

Dia ditangkap pegawai penguatkuasa syariah ketika berada di sebuah bilik hotel di Jalan Baru Pak Sabah bersama seorang wanita bukan muhrim jam kira-kira 1.05 pagi, 10 Februari lalu.

Pasangannya, Noor Aishah Osman, 29, bagaimanapun hadir untuk mendengar pertuduhan lalu didenda RM2,700 atau dua bulan penjara setelah mengaku bersalah atas kesalahan mengikut Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001.

Pendakwaan akan dijalankan semula terhadap Md Zaid pada 11 Jun depan.
Pas Cawangan Pak Kuning's photo.
Like · · Promote ·



 


Patriotisme menurut perspektif Islam dan Barat

DR MOHD ZUHDI MARZUKI | .
SECARA umumnya bolehlah dikatakan bahawa asal-usul patriotisme adalah daripada budaya turun-temurun masyarakat Barat kerana perkataan patriotisme itu sendiri berasal daripada bahasa Yunani ‘Patria’ yang bermaksud tanah air (fatherland or homeland). Secara lebih lengkap maksud patriotisme ialah cintakan kepada tanah air dengan kesanggupan untuk menumpahkan hati-budi kepadanya. Disebabkan perkataan ini berasal daripada bahasa Yunani dan kemudian digunakan oleh bahasa Inggeris maka secara khusus perkataan ini mempunyai hubung kait dengan sejarah perkembangan budaya masyarakat Eropah daripada zaman Yunani sehingga zaman Barat Moden. Bagaimanapun ini tidaklah menafikan kewujudan nilai yang sama dalam masyarakat Timur dan masyarakat Islam.

Selalu disebut bahawa konsep patriotisme dalam masyarakat Eropah dan Barat telah berubah mengikut perkembangan zaman terutama menjelang kurun ke-18. Sekiranya pada zaman Yunani, patriotisme ini merujuk kepada ‘an attachment to the physical features of land’ (rasa kebersamaan dengan tanah air), konsepnya telah berubah selepas itu. Pada Zaman Pertengahan, iaitu sewaktu masyarakat Eropah didominasikan oleh pengaruh golongan eklesiastik (golongan gereja), konsep patriotisme merujuk kepada kecintaan terhadap agama Kristian yang menjadi pegangan Tamadun Rom. Selepas Zaman Renaissance (zaman kebangkitan Eropah), ketika tamadun mula berpecah kepada kewujudan negara-negara bangsa, maka patriotisme merujuk kepada kecintaan kepada bangsa yang dikaitkan dengan nasionalisme. Pada zaman ini juga bermulanya era kolonialisme yang dilebarkan atas semangat patriotisme golongan penjajah.

Pada kurun ke-18, ketika kelahiran pelbagai ideologi seperti demokrasi, sosialisme dan komunisme yang menjadi anutan negara-negara tersebut, konsep patriotisme telah dikaitkan dengan pegangan yang kuat kepada ideologi tersebut sehingga rasa kebersamaan itu telah menggabungkan beberapa negara dalam sesebuah blok ideologi (seperti blok kapitalis dan blok komunis). Pada zaman ini, dalam suasana globalisasi yang begitu kuat selalu dipersoalkan adakah masih wujud rasa patriotisme dan nasionalisme? Yang jelasnya syarikat-syarikat transnasional atau multinasional selalu dipertikaikan semangat patriotisme dan nasionalisme yang ada pada mereka oleh golongan patriotis dan nasionalis. Dengan demikian, agak sukar memberi satu konsep yang tepat kerana konsep patriotisme seharusnya dilihat dari perspektif sejarah perkembangan tradisi, budaya dan politik manusia.

Hubungan Patriotisme dengan Ideologi Negara

Bagaimanapun yang sangat jelas konsep patriotisme itu selalunya berkaitan rapat dengan ideologi yang menjadi teras kepada sesebuah negara, malah boleh dikatakan inilah yang menjadi ciri utama dalam perkembangan patriotisme di Barat. Ideologi sesebuah negara itu kemudiannya dipupuk dalam masyarakat dengan pelbagai cara sama ada melalui simbol, slogan, kempen dan lain-lain. Dalam konteks ini sudah pasti mereka yang menjadi penafsir yang utama kepada patriotisme ialah pemimpin utama sesebuah negara. Dalam sesebuah negara despotisme atau diktator, tafsiran mereka ini kemudiannya dipaksakan kepada masyarakat untuk diterima tanpa soal. Situasi yang seperti ini berlaku semasa kebangkitan negara-negara komunis sehingga rakyat dipaksa berkorban atas nama patriotisme.

Disebabkan konsep patriotisme tidak mempunyai suatu pengertian yang mutlak atau tuntas, maka  seringkali tafsiran pemimpin tentang patriotisme dianggap sebagai tafsiran yang patut diterima. Pemimpin selalu melihat merekalah orang pertama yang mempertahankan ideologi negara maka merekalah yang saharusnya menentukan kehendak sebenar patriotisme. Bagi golongan pemimpin, patriotisme itu adalah mentaati kepimpinan yang secara tidak langsung merupakan ketaatan kepada ideologi negara. Mereka yang tidak bersetuju dengan pemimpin seringkali dianggap sebagai golongan yang tidak patriotik dan pengkhianat. Konsep patriotisme seperti ini telah menular kepada negara-negara yang dikatakan demokrasi dan liberal. Dalam perang yang dilancarkan oleh Amerika ke atas Iraq, George W. Bush telah menggunakan pendekatan yang sama dengan menganggap mereka yang menentang perang tersebut sebagai tidak patriotik.

Patriotisme Buta (Blind Patriotism)

Bekas pemimpin Perancis, Charles De Gaulle pernah menyatakan bahawa “patriotisme ialah mengutamakan kecintaan kepada negara lebih dahulu manakala nasionalisme mengutamakan kebencian kepada negara lain lebih dahulu”. Pandangan ini agak menarik kerana cuba menggambarkan wujudnya suatu semangat yang semacam patriotisme tetapi sebenarnya ‘patriotisme buta’. Tidak dapat dinafikan bahawa cintakan kepada negara adalah sesuatu yang positif tetapi sekiranya kita mendahulukan semangat bermusuh dengan orang lain maka ia merupakan sesuatu yang negatif. Sikap negatif yang seperti inilah yang selalu disebut ‘Patriotisme Buta’. Sepanjang sejarah Eropah kejadian konflik yang berpanjangan mempunyai hubung kait dengan kepimpinan yang selalu meniupkan semangat patriotisme buta.

Sekiranya kita menyorot kepada sejarah bangsa Eropah yang diakui sendiri oleh sejarawan mereka, sikap suka mendominasikan orang lain (jingoism) telah menjadi darah-daging mereka. Sikap inilah yang telah mencetuskan Perang Salib ke atas masyarakat Islam, penjajahan seluruh manusia yang bukan berkulit putih dan lain-lain. Bagaimanapun untuk membenarkan tindakan mereka, pemimpin-pemimpin bangsa Eropah meniupkan semangat memusuhi bangsa lain dan menganggap ini adalah sebagai patriotisme. Sebenarnya ini bukanlah hakikat patriotisme iaitu dengan menindas bangsa lain, mengenepikan keadilan, melakukan kezaliman sesama manusia, menolak kebenaran dan mengikis naluri kemanusiaan. Semangat dan sikap seperti ini adalah disebut patriotisme buta.

Patriotisme yang celik atau ‘celik sivik’ sebenarnya seperti apa yang dibangkitkan oleh Plato (Kanan), ahli falsafah kenegaraan Yunani yang agung iaitu menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman sesama manusia. Perkara inilah yang menjadi intipati karya Plato yang terkenal dalam persoalan kenegaraan bertajuk ‘Republic’ iaitu buah tangannya yang ditulis kerana kecewa dengan hukuman mati yang dijatuhkan kepada gurunya Socrates. Menyedari hakikat tersebut, patriotisme yang sebenar adalah untuk mewujudkan keharmonian sesama manusia, melakukan keadilan dan menegah kezaliman. Semangat mencintai negara dan bangsa yang ditiupkan adalah untuk mengimbangi kecenderungan negatif yang mungkin terdapat pada negara dan bangsa lain bukannya untuk memulakan permusuhan.

Selain itu, Patriotisme yang sebenar juga bukan bermaksud seseorang itu merelakan negara atau bangsanya mencabul dan menzalimi orang lain sebagaimana pernah disebut oleh warga Amerika dalam akhbar The Chronicle; “Sekiranya dengan tidak menyokong perang ke atas Iraq, membunuh orang awam dan memusnahkan harta mereka dianggap tidak patriotik, maka saya rela dikatakan sedemikian”. Secara kesimpulannya, boleh disebut bahawa patriotisme sebenar adalah bersifat positif dengan mengutamakan kebenaran, keadilan, kesaksamaan dan kemanusiaan, manakala patriotisme buta pula ialah bersifat negatif dengan mendahulukan kebatilan, kezaliman, diskriminasi dan penindasan.

Patriotisme dan Islam

Dalam konteks Islam patriotisme sebenarnya merujuk kepada semangat Jihad di jalan Allah. Bagaimanapun jihad bukanlah merujuk kepada satu kepentingan yang sempit tetapi meninggikan kalimah Allah yang kepentingannya lebih sejagat. Jihad dalam konteks ini adalah untuk menegakkan peradaban manusia seluruhnya yang diredhai Allah. Perjuangan yang seumpama ini memerlukan semangat kental yang ditanam dalam diri setiap anggota masyarakat. Selain daripada itu, setiap anggota masyarakat dipupuk untuk mendahulukan kepentingan masyarakat berbanding kepentingan diri sebagai manifestasi daripada semangat pengorbanan (tadhiyah) yang tinggi. Kesemua usaha yang dilakukan dalam membangunkan peradaban manusia seharusnya berterusan yang mungkin melibatkan silih berganti antara generasi.

Perkataan jihad berasal daripada perkataan ‘jahada’ dalam bahasa Arab yang bermaksud melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh. Dari segi pengertiannya yang sebenar di sisi Islam ialah usaha yang bersungguh-sungguh sehingga mengorbankan kepentingan peribadi demi untuk meninggikan kalimah Allah berlandaskan ketentuan syarak. Menurut al-Razi, jihad ialah penggembelingan tenaga oleh umat Islam bagi membantu menegakkan Islam, kestabilan kehidupan dan keutuhan masyarakat. Selain daripada kelima-lima Rukun Islam, jihad merupakan satu kefarduan yang sangat dituntut kerana melalui jihadlah umat Islam akan dipandang mulia dan terhormat. Sekiranya dilihat dari perspektif yang lebih luas, jihad merupakan asas kepada tertegaknya kehidupan berperadaban menurut Islam. Peradaban Islam sebenarnya merujuk kepada sesebuah masyarakat yang berjaya memasakkan mabadi’ (prinsip) Islam dalam kehidupan serta melaksanakan manhaj (sistem) Islam sebagai cara hidup mereka.

Masyarakat yang seperti inilah yang telah dibina oleh Nabi Muhammad SAW selepas baginda berhijrah ke Madinah. Kesemuanya ini memerlukan penggembelingan tenaga yang bersungguh-sungguh yang dinamakannya sebagai ‘jihad’. Lebih daripada itu, jihad juga boleh dilihat sebagai daya ketahanan yang memastikan kelangsungan peradaban Islam. Masyarakat yang menghayati konsep jihad akan sentiasa memastikan faktor-faktor yang boleh memusnahkan peradaban seperti yang dikemukakan sebelum ini, tidak dibiarkan berleluasa di samping terus berusaha untuk memajukan kehidupan menurut ketentuan Islam. Setiap anggota masyarakat Islam akan saling pesan-memesan untuk keharmonian bersama. Segala aspek ini terangkum dalam konsep Jihad sekiranya dilihat dari perspektif Islam yang luas dan lengkap.

Para ilmuwan Islam telah menghuraikan konsep Jihad seumpama ini dalam buku-buku mereka berteraskan kepada sumber al-Quran dan al-Sunnah. Salah seorang daripada mereka ialah Ibn Qayyim al-Jauziah yang telah membahagi Jihad kepada empat kategori:

1.Jihad melawan hawa nafsu, iaitu merujuk kepada usaha yang bersungguh-sungguh untuk membaiki peribadi dengan memupuk nilai-nilai terpuji seperti jujur, rajin berusaha, mencintai ilmu dan berani, serta menghindarkan nilai-nilai terkeji seperti khianat, malas, melakukan perkara lagho dan bacul.
2.Jihad melawan syaitan, iaitu merujuk kepada usaha yang bersungguh-sungguh untuk menghapuskan hasutan syaitan yang mendorong manusia melakukan perkara-perkara yang melampaui batas Allah (taghut).
 3.Jihad melawan golongan munafik, iaitu merujuk kepada usaha yang bersungguh untuk menentang golongan ‘musuh dalam selimut’. Termasuk juga dalam kategori ini ialah usaha yang bersungguh-sungguh untuk menegakkan kebenaran dan menenggelamkan kebatilan, menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran serta menuntut keadilan dan mengenepikan kezaliman.
4.Jihad melawan tentera-tentera musuh, iaitu merujuk kepada jihad memikul senjata bagi menghadapi tentera-tentera musuh yang mengancam kestabilan yang secara langsung boleh memusnahkan sesebuah peradaban.

Keempat-empat kategori ini pada hakikatnya akan berlaku di sepanjang zaman meskipun dalam wajah dan bentuk yang berlainan. Menyedari hakikat tersebut, masyarakat yang berperadaban seharusnya dari semasa ke semasa menanamkan semangat perjuangan dalam setiap peribadi supaya peradaban yang dibina akan sentiasa diperkukuh dan dipertahankan. Bagi mencapai perkara tersebut segala persediaan dalam bentuk keilmuan, perekonomian, pemuafakatan dan persenjataan seharusnya disempurnakan.

Konsep jihad yang diutarakan ini seharusnya dilihat dari kaca mata yang positif, iaitu bertujuan untuk mewujudkan perdamaian dan keseimbangan bukannya perbalahan dan melampau. Melalui semangat perjuangan, pemujaan kepada nafsu, perkara-perkara yang melampaui batas agama, kekejaman atau penindasan, pencabulan hak dan serangan musuh dapat dipatahkan atau dilenyapkan. Sekiranya tiada penghayatan konsep perjuangan kesemua perkara negatif tersebut akan bermaharajalela kerana tiada lagi kuasa pengimbang seterusnya terhapuslah keharmonian dan kesaksamaan dalam kehidupan sejagat.

Dr Mohd Zuhdi Marzuki ialah Pengarah Penyelidikan PAS Pusat (PPP)

http://www.tarbawi.my/ 

Tolak perkauman dan amalan jahiliah

CY MOHAMMAD FAIZAL | .
ANTARA pembaharuan yang ingin dibawa oleh parti-parti dalam Pakatan Rakyat dalam arena politik negara ialah menolak politik perkauman dan mengamalkan politik yang bertunjangkan keadilan dan nilai-nilai sejagat. Setiap parti dalam Pakatan Rakyat sama sekali tidak mengamalkan politik berteraskan kaum atau kepuakan.

Apatah lagi bagi Parti Islam Semalaysia, PAS. Perkauman bukanlah asas kepada perjuangan melainkan Islamlah yang menjadi teras dalam setiap langkahan.

Menolak perkauman bukanlah perkara yang sekadar sambil lewa. Ia adalah amalan jahiliah yang amat dibenci oleh Rasulullah SAW yang tercinta. Ia tergambar bagaimana sabda baginda dalam satu kisah yang diceritakan oleh Jabir RA.

Menurut Jabir RA, beliau pernah mengikuti baginda Rasulullah SAW dalam suatu peperangan al-Muraisi', yang juga disebut sebagai peperangan bani al-Mustaliq. Peperangan ini berlaku pada tahun 6 hijrah.

Dalam peperangan ini, ramai sekali kaum muslimin daripada golongan Muhajirin yang turut serta. Antara mereka termasuklah seorang sahabat yang amat terkenal dengan gurau senda yang sedikit kasar. Jahjah al-Qis al-Ghifari - diceritakan seorang sahabat yang suka bergurau yang kadang kala kasar dan mendatangkan kemarahan. Beliau juga adalah seorang yang bekerja dengan sahabat, Saidina Umar al-khatab RA.

Pada satu masa, Jahjah telah bergurau dengan mencucuk dari belakang seorang sahabat dari kaum Ansar yang bernama Sinan bin Wabrah. Sinan merasa marah dengan gurauan Jahjah yang dirasakan kasar. Maka berlakulah pertelingkahan yang akhirnya menarik perhatian kaum muslimin yang lainnya.

Dalam suasana kecoh itulah terdengar seruan yang bersifat kepuakan. Terdengarlah laungan “Wahai sekalian kaum Muhajirin” di satu pihak, dan “Wahai sekalian kaum Ansar” pada pihak yang lain. Masing-masing cuba meniuap api perkauman dan kepuakan bagi membela Jahjah dan Sinan yang sedang bertelingkah.

Dalam masa kecoh itulah baginda Rasulullah SAW mendatangi mereka setelah baginda terdengar keriuhan seruan “Muhajirin” dan “Ansar”. Sebaik berada di tengah-tengah mereka, baginda bersabda yang mafhumnya “Apakah seruan yang kalian laungkan ini? Ia amat busuk dan menjijikkan”.

Sebaik mendengar tegahan daripada baginda Rasulullah SAW tersebut, baru mereka tersedar sikap keterlaluan mereka yang terbawa-bawa sifat jahiliah yang telah ditinggalkan. Perhatikan, kaum Muhajirin dan Ansar adalah kedua-duanya berbangsa arab. Mereka hanya melaungkan kata-kata yang bersifat kepuakan dan kelompok. Hal yang sedemikian telah disifatkan oleh baginda Rasulullah SAW sebagai busuk dan menjijikkan.

Apatah lagi seruan “bangsa” sebagaimana yang dilaung-laungkan dan dibangga-banggakan seperti hari ini. Bahkan ia lebih buruk apabila satu kaum mencela, mencerca dan mempersoalkan kaum yang selain daripada mereka.

Amalan perkauman dan kepuakan adalah amalan jahiliah. Islam menolak sama sekali perjuangan atas prinsip bangsa dan puak. Seruan Islam hanya satu iaitu berpadu atas prinsip-prinsip Islam yang diredhai Allah SWT.

Lebih dari itu, nilai-nilai perjuangan Islam telah mengambilkira nilai-nilai sejagat yang sesuai untuk setiap manusia. Demikianlah apabila disebut betapa baginda Rasulullah SAW itu pembawa rahmat untuk seluruh alam. Baginda Rasulullah SAW bukanlah untuk bangsa arab sahaja, baginda juga bukan untuk kaum Muhajirin atau Ansar, bahkan baginda diutuskan untuk manfaat seluruh alam hinggalah ke hari kiamat.

Berpegang pada prinsip inilah PAS menagih sokongan daripada seluruh umat Islam. Demikian juga berkawannya PAS dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat iaini DAP dan PKR adalah bagi mendokong nilai-nilai sejagat yang sesuai untuk seluruh rakyat di negara ini.

Ayuh, terus beri sokongan padu kepada Pakatan Rakyat demi memastikan kita benar-benar mencintai baginda Rasulullah SAW! Menambah kekuatan kepada Pakatan Rakyat bermakna menambah kekuatan untuk PAS. Memperkukuhkan kekuatan PAS bermakna memperhebatkan perjuangan meletakkan kalimah Tauhid di negara ini.

Menilai politik maki dan cela-mencela di Malaysia

MUHAMMAD NURUDDIN | .
MARAH benar pemuda Umno apabila parti mereka dikatakan celaka. Malah seperti biasa istilah celaan kepada parti mereka dihubungkait pula dengan bangsa Melayu untuk meraih simpati masyarakat Melayu kepada pertubuhan Umno yang kian suram sokongan dalam kalangan Melayu cerdik.

Misalnya pada tahun 2011, isu celaan pemimpin DAP Perak terhadap susuk tubuh Menteri Besar dengan gelaran hitam metalik dan ungkapan sinis pemimpin DAP bahawa cara pentadbiran BN Perak seperti Perak Darul Kartun. Maka beraraklah NGO yang konon mewakili Melayu bertempik membuat kacau di Pejabat DAP Perak dengan alasan DAP menghina Melayu dan kedaulatan negeri Perak.

Baru-baru ini pula ADUN DAP Seri Delima, R S N Rayer mencela Umno dengan gelaran Celaka Umno. Tidak perlu dikupas sebab musabab istilah ini diungkap kerana kebiasaan makian dan celaan ada dalam mana-mana persidangan DUN dan Parlimen selagi mana akhlak dan etika bercakap tidak diasuh di kalangan rakyat dan pemimpin. Ini lumrah.

Sebelum dikupas lanjut, mari bersama kita menilai kewajaran mengeluar ungkapaan celaan antara parti lawan. Adakah ia benar-benar asing dalam budaya politik negara kita?

Mari kita senaraikan celaan-celaan yang ada untuk dinilai,

Umno adalah parti yang tidak mampu mengawal akhlak ahlinya. Memang parti lain juga sukar mengawalnya, namun Umno kelihatan lebih dahsyat kerana asas perkauman yang menjadi ‘berhala’ Umno cukup menjadikan pejuang Umno taksub dan meluap-luap apabila terbit sahaja isu perkauman.

Lihat sahaja bagaimana mereka bereaksi dengan isu ungkapan ‘Celaka Umno’.

1.Pemuda Umno di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Perak melakukan cubaan provokasi.
2.Tindakan ganas Umno yang memulakan serangan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang merempuh pintu DUN.
3.Mengganggu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Teluk Intan dan mengugut untuk membakar ibu pejabat DAP di ibu kota.
4.Menyerang pejabat DAP Kuantan.
5.50 ahli Pemuda Umno Wilayah Persekutuan bantahan di luar ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur, yang antara lain berbunyi, RSN Rayer "anak haram" dan "tolol".
6.Hantar memorandum ke pejabat DAP Kuala Lumpur kemudian mengoyak memorandum di hadapan penerima dengan cara biadab.
7.Pertubuhan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Dungun buat laporan Polis bahawa ungkapan Celaka Umno adalah menghina melayu.

Bagaimana pula ungkapan Umno kepada DAP, PAS dan PKR?

1.Gabungan NGO Cina, Suqiu, pada 2001, pimpinan Dong Jiao Zong (DJZ) pernah dicap oleh Dr Mahathir Mohamad sebagai "komunis dan al-Maunah.
2.Tuan Guru Nik Abd Aziz digelar Bapa Kafir oleh mantan Ketua Polis Negara
3.Majlis Umno mengatakan Tuan Guru Nik Abd Aziz kafir- Ustaz Mohd Zainal Abidin Pondok Pok Krau, Tumpat, 2011.
4.PAS digelar Parti Ajaran Sesat - diadakan seminar.
5.Timbalan Presiden Umno melabelkan Parti Pas sebagai Parti Ajaran Sesat selepas Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengatakan solat ahli Umno tidak diterima jika tolak Islam.
6.DS Najib- kata peneroka Felda yang menentang penyenaraian Felda.-HARAM JADAH
7.2012- Datuk Hamidah Osman ancam ‘Anwar Ibrahim patut dibunuh’ dalam ceramah PRU-13.
8.2009 - Umno Seksyen 23 Shah Alam buat kecoh dimajlis dialog bersama penduduk mengenai isu 9.Pemindahan kuil ke Seksyen 23, maki YB Rodziah - ‘Rodziah pelacur’, ‘Rodziah saya akan rogol you sekarang !’
10.Penyokong Umno bawa baner Tian Chua Makan Babi, Haram Jadah - Umno spin isu Tuan Chua ucap isu Lahad Datu sandiwara kerajaan. Umno anggap ia hina Melayu.
11.Ulama’ Muda Umno menggelar muslimat PAS yang menyertai demo TURUN-GST sebagai pelacur kelas atasan.

Bagaimana pula celaan PAS kepada Umno?
1.Tahun 2009, Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat pernah mengatakan Pergi Jahanamlah Umno kerana Umno memutar belit kenyataan beliau kononnya beliau ingin bekerjasama dengan Umno sedangkan beliau hanya sebutkan kerjasama kerajaan pusat-kerajaan negeri.
2.PAS tanpa ragu labelkan Umno parti sekular.
3.PAS gelar Umno pengkhianat bangsa.

Berdasarkan senarai yang penulis sediakan sekadar contoh sahaja, jelas isu melabel, mencela dalam perjalanan poitik di Malaysia menjadi lumrah. Malah dalam banyak hal, mengutuk Umno akan segera disensasikan sebagai mengutuk Melayu. Pihak yang mensensasikan itu adalah golongan NGO Melayu dan sewaktu dengannya, yang dilatih dengan silibus perkauman yang dahsyat.

Selepas mereka memutar isu tertentu sebagai mengutuk Melayu misalnya;
1.Isu Tian Chua gelar isu Lahad Datu sebagai sandiwara kerajaan sebagai menghina tentera dan tentera itu Melayu, maka Tian Chua menghina Melayu.
2.Isu Teresa Kok membuat video sinikal mengkritik gaya mewah pemimpin dan isteri pemimpin negara. Kebetulan yang memimpin adalah majoritinya melayu, maka Teresa dianggap hina Melayu.
3.Isu CELAKA UMNO- Umno Melayu maka menghina Umno adalah menghina Melayu.

Selepas isu diatas diputar, juak-juak NGO perkauman akan berarak juga ala-ala samseng Mexico, dengan melakukan tidakan dibawah:
1.Memaki dengan makian lebih perkauman- Cina balik negara asal, Makan Babi, Anak Haram, Haram Jadah dan sebagainya. (Pejabat DAP 2011, Pejabat DAP, 2014, Pejabat PKR 2013)
2.Melempar telur.
3.Merosakkan papan tanda parti lawan.

Bagaimana pula reaksi pembangkang apabila dimaki atau dicela oleh Umno dan sekutunya;
1.Muslimat PAS hanya membuat laporan polis mengutuk kenyataan biadab Setiausaha Ilmuan Malaysia-Umno Muhd Radzi Othman bahawa muslimat PAS bertudung labuh sebagai pelacur kelas atasan hanya kerana turun berhimpun ada 1 Mei 2014.

2.Tiada ugutan, kekasaran, melempar telur dan sebagainya walaupun jelas Umno menghina syariat menutup aurat tudung labuh.
NGO pro-Umno hanya berani dengan kaum bukan Islam walaupun dalam hal perniagaan mereka menyembah taukeh-taukeh kapitalis berbangsa Cina juga. Dalam hal Kassim Ahmad menghina Nabi Muhammad, suara NGO pro-Umno tidak kedengaran langsung.

Mari boikot coklat ada DNA babi

HAMBALI AKRAM | .
ANTARA berita yang menggemparkan beberapa hari lalu ialah pengesahan adanya DNA babi dalam beberapa kategori coklat keluaran Cadbury.

Bagi saya, pendedahan dan perakuan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia ini merupakan sesuatu yang besar dalam masyarakat Malaysia yang majoritinya penduduknya beragama Islam. Hal ini tidak wajar berlaku kerana syarikat pengeluar cadbury bukanlah baru setahun dua berniaga di Malaysia dan negara Islam lain.

Saya berpendapat, umat Islam di Malaysia wajar memboikot semua produk cadbury dan yang sejalur dengannya. Masih banyak lagi makanan yang seumpamanya yang dikeluarkan oleh syarikat lain. Jika kita tidak makan coklat keluaran cadbury pun tidak akan menjejaskan apa-apa.

Pemboikotan itu wajar juga diperluas kepada lain-lain produk daripada syarikat yang sama. Hal ini kerana dilaporkan ada 15 peroduk lagi yang tidak dipastikan halal.

Sudah sampai masanya umat Islam bertegas dalam hal ini. Pihak kerajaan pula jangan beri muka kepada syarikat-syarikat ini, yang seolah-olah bermain tarik tali.

Pihak kerajaan jangan bersikap lembut terhadap syarikat terbabit hanya kerana memikirkan kerugian daripada kutipan cukai dan statusnya bersifat antarabangsa. Kerajaan mesti medahulukan rakyat dalam mendapatkan makanan yang halal dan baik.

Ayuh... Malaysia boleh!

Politik merentas sempadan bangsa dan agama

FENDI MNOOR | .
BUDAYA berpolitik Malaysia akan menjadi lebih matang jika semua rakyat sama-sama memahami kepentingannya sebagai pemacu dalam perjalanan dan hala tuju sesebuah negara. Situasi dan corak pembangunan yang berjalan adalah hasil dari percaturan oleh sekumpulan ahli politik yang mempunyai kuasa eksekutif dalam menentukan undang-undang serta langkah strategik bagi dinikmati oleh rakyat amnya.

Setelah lebih separuh abad negara ini menjadi negara demokrasi berparlimen yang menjunjung perlembagaan sebagai asas persetujuan dalam melahirkan sebuah negara bangsa. Negara yang mempunyai raja-raja sebagai penaung bagi sembilan buah negeri dan dipilih sebagai Ketua Negara (YDP Agung) secara bergilir-gilir yang diputuskan dalam satu mesyuarat majlis raja-raja.

Bagi setiap ahli politik mereka akan memperjuangkan apa yang dipanggil idealisma sama ada secara individu (bebas) atau berkumpulan (kepartian) yang berusaha untuk merealisasikan ideologi tersebut jika berjaya membentuk kerajaan atau bersuara jika menjadi Ahli Dewan Rakyat atau Senator yang dilantik. Secara rasionalnya mereka akan melakukan apa sahaja dan berusaha untuk memenangi pilihanraya.

Selepas pasca kemerdekaan, semua rakyat ditekan oleh penjajah untuk bersatu dalam sebuah organisasi yang berasaskan perkauman (nasionalis) dan bersatu untuk memperlihatkan kata sepakat dalam membentuk sebuah negara serta mengelak daripada menerima sebuah negara berteraskan Malayan Union yang ditolak dan dibantah terutamanya oleh orang-orang melayu. Di sinilah bermulanya parti-parti yang berorientasikan kaum yang boleh dikatakan sebagai bom jangka dalam menggugat keharmonian sebuah negara muda.

Kemudian wujudlah beberapa parti yang berteraskan ideologi dan slogan untuk semua tanpa mengira bangsa, agama seperti Parti Negara yang pernah diasaskan oleh Datuk Onn Jaafar. Di sinlah bermulanya kematangan berpolitik bagi rakyat negara ini untuk keluar daripada kepompong politik memperjuangkan kaum sendiri kepada politik yang mengutamakan nasib bagi seluruh umat manusia. Politik sebenarnya merentasi segalanya bukan hanya kepentingan kaum atau golongan tertentu sahaja kerana itulah kebanyakan parti-parti politik yang wujud di seluruh dunia dan berjaya adalah parti yang memperjuangkan ideologi dan kebaikan kepada seluruh umat manusia bukan hanya sekelompok tertentu sahaja semata-mata.

Pada hari ini di Malaysia, parti-parti berasaskan kaum yang masih berkuasa namun telah bergabung dalam satu skala yang lebih besar dengan berteraskan kebangsaan yang terdiri daripada parti-parti campuran ideologi dalam satu bentuk kumpulan yang dinamakan Barisan Nasional. Begitu juga parti-parti dari blok pembangkang yang bergabung sebagai satu pakatan walaupun mempunyai latar belakang dan hala tuju yang berlainan kerana politik yang matang haruslah mengenepikan semua titik perbezaan dan mencari titik persamaan dalam meraih sokongan dalam mendapatkan mandat untuk membentuk kerajaan.

Kematangannya adalah dalam mengenepikan semua perkara yang menjadi perbezaan dalam membentuk satu budaya berdemokrasi yang lebih maju dan menjunjung tinggi nilai-nilai kemanusiaan. Tiada apa yang perlu ditakutkan kecuali oleh mereka yang masih menebal doktrin hanya kaum itu sahaja yang akan membela kaumnya atau hanya kelompok itu sahaja yang akan menjaga kelompoknya kerana kita lupa sebenarnya kita adalah manusia sesama manusia yang boleh saling bantu-membantu dalam pelbagai perkara, apatah lagi bagi merkukuhkan negara yang telah terbina sekian lama. Politik yang sempit hanya berputar dan berkisar tentang nasib kaumnya semata-mata sehinggakan apabila berasakan parti lain yang majoritinya kaum tertentu juga adalah bersifat seperti parti kaumnya.

Budaya moden manusia hari ini yang sarat dengan kemajuan teknologi tetapi seolah-olah tidak bererti lagi apabila semangat memperjuangkan kaum dan agama semata-mata dalam permainan demokrasi hanya akan menjadi bahan api yang bila-bila masa akan menggugat dan menjerat erti sebenar demorasi itu sendiri. Memang akan wujud kelompok-kelompok picisan yang 'ultra' untuk kaumnya tetapi jika majoriti semua rakyat menolak kumpulan-kumpulan ini maka proses menjumudkan mereka adalah hampir pasti.

JAIS serbu majlis kahwin


PETALING JAYA : Majlis perkahwinan yang dijalankan mengikut adat dan budaya agama Hindu tergendala apabila diserbu sepasukan pegawai dan anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana didakwa membabitkan seorang pengantin wanita yang beragama Islam, di sini, pagi tadi.
Tinjauan wartawan Harian Metro ke lokasi majlis di Jalan SS 1/25 pada jam 10.30 pagi tadi mendapati kira-kira 50 tetamu sudah tiba di majlis berkenaan sebelum empat pegawai penguatkuasa JAIS tiba untuk melakukan siasatan.
Bagaimanapun, keadaan di lokasi terkawal apabila pihak keluarga kedua-dua pasangan pengantin dan tetamu yang hadir memberikan kerjasama kepada pegawai JAIS di samping kawalan ketat kira-kira 10 pegawai dan anggota polis di luar kawasan majlis tersebut.
Menurut sumber, perkahwinan antara lelaki beragama Hindu dan pasangannya yang dipercayai beragama Islam dijangka dilangsungkan pada 10.30 pagi dan ia terpaksa dibatalkan selepas pihak berkuasa mendapat aduan bahawa perkahwinan tersebut melanggar undang-undang.
“Pihak berkuasa menerima maklumat daripada orang awam bahawa ia (perkahwinan) akan dilangsungkan pada hari ini dan hasil siasatan mendapati maklumat itu tepat dan serbuan telah dijalankan,” kata sumber.
Sumber: myMetro

Tiada ulasan: