Sabtu, 7 Jun 2014

BILA KITA JAGA AGAMA ALLAH...ALLAH AKAN JAGA KITA...BEGITULAH SEBALIKNYA


Malaysia akan rayu tambah kuota haji

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia akan membuat rayuan kepada kerajaan Arab Saudi bagi mendapatkan kuota tambahan jemaah haji negara ini untuk tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, seramai 1.5 juta umat Islam di negara ini telah mendaftar untuk haji setakat Mei tahun ini.

"Namun, jumlah pendaftar haji bagi lima tahun kebelakangan ini amat agresif menyebabkan sesiapa yang mendaftar pada hari ini sebagai contoh, mengikut purata, mungkin perlu menunggu sehingga 50 tahun sebelum tiba giliran mereka menunaikan haji," katanya ketika berucap di Ibu Pejabat Tabung Haji di sini, semalam.

Sejak 2009 katanya, Malaysia mendapat kuota sebanyak 27,900 jemaah setiap tahun.

Bagaimanapun kerajaan Arab Saudi telah mengurangkan kuota tersebut sebayak 20 peratus ekoran kerja-kerja pembangunan di sekitar Masjidil Haram.

Pengurangan kuota itu menyebabkab Malaysia hanya dibenar menghantar sebanyak 22,320 jemaah sahaja sejak tahun lepas.

Kerajaan Malaysia pada Mac lalu telah memohon kuota tambahan sebanyak 10,000 jemaah haji lagi. - HARAKAHDAILY 6/6/2014

GST: Menteri akui kecenderungan peniaga naikkan harga barang

BERNAMA | .
PUTRAJAYA: Para peniaga diingatkan agar tidak mengambil kesempatan menggunakan alasan pelaksanaan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) untuk menaikkan harga sewenang-wenangnya, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan (gambar).
Beliau berkata harga yang ditawarkan peniaga haruslah berpatutan dan sepatutnya mencerminkan kadar enam peratus CBP yang ditetapkan.
Peniaga yang didapati menaikkan harga sewenang-wenangnya boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatuan 2011, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) ke-57 di Institut Penilaian Negara (INSPENS) dekat sini semalam.
Ahmad berkata demikian sebagai mengulas cadangan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Azih Muda baru-baru ini agar kerajaan menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 30 peratus sebagai persediaan menghadapi kos kenaikan barangan akibat pelaksanaan CBP.
Beliau berkata, penjawat awam tidak harus terpedaya dengan putar belit fakta pihak tertentu mengenai CBP dan layari laman web rasmi Jabatan Kastam Diraja Malaysia di http://gst.customs.gov.my/ untuk maklumat CBP.
CBP pada kadar enam peratus akan dilaksanakan mulai 1 April tahun depan bagi menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan sedia ada yang berkadar keseluruhan 16 peratus.
Mengenai JPPH, Ahmad berkata JPPH pada Jun tahun lepas merupakan yang pertama di Asia Tenggara menerajui penilaian harta intelek menerusi penubuhan unit penilaian harta intelek.
Beliau berkata unit baharu itu dapat membantu membantu industri kecil dan sederhana dalam mempromosikan hasil produk mereka ke pasaran tempatan dan antarabangsa.
Unit penilaian harta intelek itu ditubuhkan bertujuan menilai kepentingan dari aspek paten, jenama, reka bentuk industri, hak cipta dan lain-lain perkara yang membabitkan harta intelek, kata Ahmad. - Bernama

Banjir: UIA timbang tindakan undang-undang

BERNAMA | .
KUALA LUMPUR: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) akan mencari penyelesaian bagi mengatasi masalah banjir kilat di kawasan kampusnya dan mengambil sebarang tindakan undang-undang, jika perlu.
Presidennya, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata berdasarkan maklumat, UIA mendapati antara punca banjir kilat itu ialah projek pembangunan di hulu sungai yang berhampiran dengan universiti berkenaan.
"Justeru, kita hendak lihat apa tindakan pencegahan yang mereka sudah adakan. Jika tidak ada, kenapa tidak ada?" katanya selepas merasmikan Persidangan Bahasa Antarabangsa Ketiga di UIA Gombak semalam.
Beliau diminta mengulas insiden banjir kilat yang melanda universiti itu kelmarin, setinggi kira-kira semeter berikutan hujan lebat pada sebelah petang, sehingga menenggelamkan lima kenderaan pelajar dan kakitangan.
Rais berkata tindakan sementara mesti dilaksana iaitu meminta kerajaan Selangor membantu UIA mengatasi masalah banjir kilat kerana kampusnya terletak dalam negeri itu.
Sementara itu, Rais dalam ucapan perasmian persidangan berkenaan menggesa Jabatan Bahasa Melayu UIA mengendali sesi pembelajaran menggunakan tulisan Jawi.
"Ini sebagai langkah bagi menyegarkan tulisan Jawi dalam pengajaran bahasa Melayu. Pada fikiran saya, inisiatif ini akan membantu merealisasi matlamat kita untuk membangkitkan semula kegemilangan bahasa Melayu dalam tulisan Jawi dan meletakkannya dalam perspektif yang betul.
"Biarlah bahasa Melayu dipelajari menggunakan tulisan Jawi oleh semua pelajar sama ada rakyat Malaysia atau antarabangsa, dalam usaha mempromosi bahasa Melayu ke seluruh dunia," katanya.
Persidangan tiga hari itu, yang bermula pada 4 Jun dan berakhir esok, membabitkan penceramah jemputan dari Arab Saudi dan New Zealand selain pembentang kertas kerja dari 28 negara. - Bernama

 SEHARI selepas Tun Mahathir kutuk Nik Aziz dan HUDUD di UIA, banjir kilat landa UIA
Posted on Thursday, June 05 @ 15:39:30 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur




Al-Marhum Ustaz Fadzil Noor pernah berkata, bahawa beliau mendoakan agar Mahathir dipanjangkan umur untuk melihat kemusnahan yang telah dilakukannya sendiri. Apakah kini doa Al-Marhum mantan Presiden PAS itu dimakbulkan satu demi satu?

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau menganggap bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai saudara, namun tetap akan menegur beliau sekiranya beliau bersalah.

“Nik Aziz adalah saudara saya tetapi sekiranya beliau membuat sesuatu yang salah, saya tidak boleh menerima. Ini adalah sebab mengapa saya berbeza (pendapat) daripada beliau,” katanya semasa program Syarahan Perdana Presiden di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),  semalam.

“Hukuman boleh dijatuhkan tetapi ia mestilah adil. Kalau anda berkata hudud adalah hanya untuk orang Islam, itu tidak adil.

“Kalau dua orang yang mencuri tertangkap dan kamu memotong tangan salah seorang daripada mereka kerana dia Islam dan seorang lagi dipenjarakan dua bulan, adakah itu adil?

“Itu tidak adil,” katanya.

Beliau berkata di negara ini adalah sukar untuk mencapai keadilan.

Ini contoh ISLAM TUN MAHATHIR!!

Tak hairan selepas sahaja Tun Mahathir bercakap menghina Islam agama dia sendiri, Allah balakan dengan banjir KILAT!!


....
Kangkung
http://tokeikangkung.blogspot.com/

Presiden PAS dibenar keluar wad pagi ini

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah dibenar keluar dari wad pagi ini selepas keadaan kesihatannya semakin baik.

Setiausaha Politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan perkara itu melalui laman Facebook Tuan Guru Abdul Hadi petang semalam.

"Alhamdulillah Tuan Guru telah dibenarkan keluar dari wad hospital pada pagi ini.

"Beliau juga dinasihatkan oleh doktor pakar di hospital supaya berehat beberapa hari sehingga pulih sepenuhnya untuk pulang ke Malaysia dalam masa yang terdekat ini," katanya.

Tuan Guru Abdul Hadi menerima rawatan di hospital Medipol Universite Hastanesi, Istanbul sejak seminggu lalu selelapas mengalami sesak nafas.

Beliau pada Jumaat lalu dimasukkan ke wad ICU sebelum dipindahkan ke wad biasa pada Selasa lalu selepas kesihatannya beransur pulih. - HARAKAHDAILY 6/6/2014

Bayi 9 bulan antara tiga maut kemalangan di Tanah Merah

BERNAMA | .
TANAH MERAH: Tiga sekeluarga termasuk ibu yang hamil tujuh bulan, maut dalam kemalangan jalan raya di Km 55 Jalan Kota Baharu-Jeli, Kampung Bechah Laut di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tanah Merah ACP Mohd Fadzir Manap berkata mereka yang terbunuh dalam kejadian 5 petang itu ialah pemandu kereta jenis Proton Wira Yus Zairi Yusof, 29, isterinya Hafiza Abdul Halim, 30, dan anak lelaki mereka Zafri, sembilan bulan.

Yus Zairi dan anaknya maut di tempat kejadian manakala Hafiza yang sarat mengandung meninggal dunia di Hospital Tanah Merah di sini kira-kira pukul 9 malam, katanya ketika dihubungi malam ini.

Mohd Fadzir berkata kejadian yang melibatkan tiga kenderaan itu berlaku apabila kereta yang dipandu Yus Zairi dari Machang ke Jeli, dikatakan gagal memotong kenderaan yang berada di hadapannya menyebabkan keretanya bergesel dengan sebuah kereta Proton Waja yang datang dari arah bertentangan.

Kereta mangsa kemudian dikatakan bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Fortuner yang berada di belakang kereta Proton Waja juga datang dari arah bertentangan, katanya.

Beliau berkata pemandu kenderaan pacuan empat roda itu hanya cedera ringan manakala pemandu kereta Proton Waja tidak mengalami kecederaan.

Mayat Yus Zairi dan anaknya turut dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk dibedah siasat. - BERNAMA

Isu gerai: Tindakan tatatertib tak wajar - Pemuda PAS

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) tidak bersetuju dengan tindakan keterlaluan pihak Universiti Malaysia Sabah Labuan (UMSKAL) yang mengambil tindakan tatatertib terhadap beberapa orang mahasiswanya baru-baru ini.

Ia berkaitan sekumpulan mahasiswa UMSKAL telah mengadakan himpunan aman pada 21 Februari 2014 di hadapan bangunan pentadbiran kerana membantah keputusan pihak universiti yang mengambil semula pengurusan sebuah kedai di kampus.

Naib Ketuanya, Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, maklumat yang beliau perolehi mendapati kumpulan pelajar terbabit  telah mengusahakan kedai (G-Shop) tersebut selama enam tahun.

"Kedai tersebut telah dibina pada tahun 2008 dengan tujuan untuk memberikan peluang untuk mahasiswa berniaga.

"Namun, pihak universiti telah mengeluarkan notis untuk mengosongkan premis dan dikatakan untuk memberi tender kepada pihak luar," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, pihak mahasiswa terbabit telah terlebih dahulu mengambil tindakan diplomasi untuk berunding namun tidak diendahkan.

Maka kata beliau, pelajar terpaksa untuk berhimpun dan memberikan memorandum kepada pihak universiti.

"DPPM mengecam tindakan pihak universiti yang mengambil tindakan keterlaluan dengan menggantung pengajian 3 mahasiswa pelajar semester akhir, 8 orang telah dibuang kolej kediaman manakala 5 orang lagi masih dalam siasatan.

"DPPM turut menggesa pihak UMSKAL tampil memberikan penjelasan terperinci berhubung kes berkenaan. Mengapa pihak universiti ingin mengambil alih kedai mahasiswa berkenaan dan adakah pihak universiti telah menutup pintu rundingan bersama mahasiswa sebelum ini," soal Khairil.

Dalam pada itu, pihaknya juga menyarankan pihak universiti menyemak semula hukuman berkenaan dan kembali berunding terlebih dahulu untuk mewujudkan situasi menang-menang antara dua pihak. - HARAKAHDAILY, 7/6/2014

Perogol dirotan depan ibu bapa



AINUR ASYRIQ (tengah) diiringi dua peguamnya selepas menjalani hukuman sebat secara terbuka di hadapan galeri awam di Mahkamah Sesyen Ampang semalam.


AMPANG - Seorang pelajar kolej dirotan lapan kali oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mengaku salah atas dua tuduhan merogol kekasihnya berusia 15 tahun di sebuah rumah di Ukay Bistari tahun lalu.
Hakim Manirah Mohd. Nor mengarahkan Ainur Asyriq Azamuddin, 19, disebat di hadapan galeri awam secara terbuka dengan rotan halus yang turut disaksikan ibu bapa di bawah Seksyen 293(1)(c) Kanun Tatacara Jenayah.
Tertuduh yang kelihatan tenang sempat diperiksa oleh pegawai perubatan sebelum disebat di punggung oleh pegawai penjara dari Penjara Kajang.
Sesekali tertuduh yang membongkok badan ke arah meja di sebelah kiri dewan mengaduh kesakitan selepas dirotan.

Mati ditetak dalam kapal nelayan



ANGGOTA polis mengangkat Ah Kok yang cedera parah akibat ditetak seorang warga Indonesia untuk dihantar ke Hospital Miri, Sarawak semalam.


MIRI – Seorang lelaki maut selepas ditetak dengan parang oleh seorang awak-awak asing warga Indonesia di dalam sebuah kapal nelayan tempatan di perairan Miri dekat sini semalam.
Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Jarup berusia 20-an maut selepas ditetak pada kepala dan perut semasa kapal nelayan berkenaan berada di kedudukan kira-kira 15 batu nautika dari perairan Miri-Tukau Link dekat sini.
Tekong kapal berkenaan dikenali sebagai Ah Kok, 40-an, juga mengalami kecederaan parah pada leher dan kepala selepas ditetak suspek yang sama.

Tragedi pulang majlis kahwin



KEADAAn mayat Hafiza selepas tercampak dari kereta dinaikinya yang terbabit dalam kemalangan di Kampung Bechah Laut, Tanah Merah, Kelantan semalam.


TANAH MERAH - Rombongan sekeluarga menghadiri kenduri kahwin bertukar pilu apabila tiga beranak termasuk seorang wanita yang sarat mengandung maut dalam kemalangan di Kilometer 54.6 Jalan Kota Bharu - Machang - Jeli dekat Kampung Bechah Laut, di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, pemandu sebuah kereta Proton Wira, Yus Zairi Mohd. Yusof, 30 dan isterinya yang sedang mengandung tujuh bulan, Hafiza Abdul Halim 32 serta bayi mereka, Yus Ammar Zafril, sembilan bulan maut.
Yus Zairi dan Yus Ammar Zafril mati di tempat kejadian manakala Hafiza meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tanah Merah.
Dalam pada itu, adik kepada mangsa, Yus Azallezie Mohd. Yusof, 23, berkata, dia tidak menyangka hari bersejarah hidupnya membawa satu kisah sedih yang tak mungkin dilupakan.
"Abang hanya datang untuk makan sahaja dan tidak naik pun ke atas rumah.
"Dia juga tidak bersalaman, tidak bergambar dengan saya dan hanya menunggu di dalam kereta serta mendiamkan diri. Tak sangka itu petanda dia akan pergi selama-lamanya," katanya.

Perkenalan bawa ke ranjang

Oleh Mohamad Fahd Rahmat
Johor Bahru: Sudahlah maruah tergadai, wang pula digelapkan kekasih hati. Itu padah menimpa seorang wanita apabila dengan mudah mempercayai seorang duda yang baru dikenali menerusi laman sosial Tagged.
Wanita yang mahu dikenali sebagai Ayu, 38, berkata, dia bukan saja malu selepas maruahnya tergadai, malah bertambah sakit hati selepas wang pampasan diterima kerana berhenti kerja secara sukarela di sebuah kilang berjumlah kira-kira RM10,000 hangus di tangan lelaki berkenaan.
“Kalau ikutkan memang sakit hati dan sedih, tetapi apa boleh buat kerana saya tidak nampak permainannya sebab ketika itu saya sayangkannya kerana dia berjanji mahu menikahi saya.

“Dia sepatutnya berjumpa keluarga saya pada 25 Mei lalu, tetapi batang hidung pun langsung tidak nampak, saya memang menyesal,” katanya ketika ditemui, semalam.
FotoAYU menunjukkan laporan dan mesej pesanan ringkas yang diterima.

Menurutnya, selepas putus tunang tujuh tahun lalu dan tidak mempunyai kekasih sehingga hatinya kembali berbunga selepas mengenali duda dua anak itu pada penghujung tahun lalu.

Panglima tentera akui wujud kelemahan dalam Esscom

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin tidak menafikan berkemungkinan wujud kelemahan dalam kawalan keselamatan di Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom).

Katanya, kelemahan itu akan dikaji dan diperbaiki khususnya dalam aspek penguatkuasaan bagi mengelak kebocoran kawalan sehingga berlakunya kejadian jenayah di kawasan itu.

"Tidak dinafikan berkemungkinan wujud kelemahan...jangan kita mengganggap tiada cabaran dalam diri kita sendiri," katanya semalam.

Beliau berkata demikian semasa mengulas kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam bahawa faktor kelemahan manusia seperti rasuah dan kebocoran maklumat oleh pihak bertanggungjawab mungkin wujud dalam isu keselamatan perairan Sabah dan bukan hanya disebabkan oleh kelemahan aset.

Keberkesanan Esscom terus dipertikai apabila beberapa siri kejadian jenayah khususnya penculikan terus berlaku biarpun ia didakwa dikawal ketat.

Dalam kejadian penculikan terbaru awal Mei lalu, Pengurus Wonderful Terrace Sdn Bhd, sebuah syarikat yang mengendalikan ladang ikan warganegara China, Yang Zailin dilaporkan diculik di Silam, Lahad Datu dan dipercayai bahawa kumpulan lelaki bersenjata itu melarikan diri ke arah selatan Filipina.

Sebelum dari itu, empat lelaki berpakaian seragam ala tentera merompak seorang guru dan tiga rakan beliau yang memancing di perairan Sungai Bilis di Tanjung Labian dengan melarikan dua enjin bot sangkut dan satu enjin bot pam.

Sementara pada 2 April lalu, pelancong China Gao Hua Yuan, 29, dan seorang pekerja resort Marcy Darawan, 40, diculik sekumpulan lelaki bersenjata dari Singamata Reef Resort di Semporna. - HARAKAHDAILY, 7/6/2014



Menteri akui GST ke atas petrol, diesel belum diputus

BERNAMA | .
PUTRAJAYA: Kerajaan belum memutuskan sama ada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dikenakan ke atas pembelian petrol dan diesel, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.
Beliau berkata kemungkinan perkara itu akan diputuskan apabila kerajaan mengumumkan mekanisma baharu rasionalisasi subsidi bahan api tidak lama lagi.
Beliau berkata perkara itu itu perlu menunggu keputusan Kabinet yang juga kini sedang memperhalusi senarai 255 barangan yang mungkin dikecualikan atau dikenakan GST serta mekanisma rasionalisasi subsidi bahan api.
"Jadi saya tidak mahu cakap sama ada minyak akan ada GST atau tidak," katanya pada sesi soal jawab di taklimat GST Media Sosial di sini semalam.
Sebelum ini, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli dilaporkan mendakwa harga bahan api itu akan naik selepas pengenalan GST pada April tahun depan.
"Itu hanya spekulasi, tetapi akan ada skim rasionalisasi subsidi bahan api untuk memastikan subsidi yang disalurkan hanya kepada golongan yang memerlukan," katanya.
Ahmad meminta orang ramai mendapatkan maklumat tepat mengenai pelaksanaan GST dengan melayari laman web Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
GST pada kadar enam peratus akan dilaksanakan mulai 1 April tahun depan bagi menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan sedia ada yang berkadar keseluruhan 16 peratus.
Dalam perkembangan lain, Ahmad, yang juga Ketua Penerangan Umno, berkata parti itu masih menunggu jawapan daripada surat tunjuk sebab yang dihantar kepada Yammy Samat, Selasa lalu, kerana didakwa berkempen untuk anak perempuannya, Dyana Sofya Mohd Daud, calon DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan baru-baru ini.
"Surat sudah dihantar...terpulang kepada dia dan bagaimana jika dia menjawab atau tidak menjawab kita akan pertimbang lagi kerana itu prosedur yang ada dalam Umno," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: