Rabu, 5 Februari 2014

BIAWAK PUN NAK HIDUP

PAS Kawasan Bintulu (PKB) menyarankan agar Kerajaan Negeri Sarawak memberi tumpuan yang serius dan konsisten dalam membela rakyat Sarawak.

Merujuk kenyataan Tan Sri Datuk Amar Dr James Masing supaya peluang lebih luas diberikan kepada anak Sarawak oleh Petronas untuk mengisi jawatan-jawatan pengurusan dan teknikal, kerajaan negeri patut sedar apa kelemahan dalam pemerintahan mereka lebih 30 tahun ini dan isu rakyat Sarawak tidak mendapat tempat di syarikat besar bukan sahaja Petronas bukanlah isu baru.

Syarikat-syarikat terbabit mungkin mempunyai justifikasi tersendiri dalam membuat keputusan tanpa bersikap prejudis terhadap orang tempatan.

Jika kerajaan negeri sedar anak-anak tempatan Sarawak tidak mendapat tempat yang banyak di syarikat-syarikat besar tersebut, ini membuktikan kegagalan kerajaan negeri sendiri dalam meningkatkan taraf pendidikan tempatan yang memacu kecemerlangan akedemik anak-anak Sarawak untuk menempatkan diri dalam syarikat GLC itu.

Mana tidak, keluar sahaja rumah rakyat Sarawak terpaksa melaui jambatan usang atau jalan raya berlopak dan tidak berturap untuk sampai ke sekolah. Ini belum lagi ditambah dengan prasarana yang tidak memuaskan untuk sekolah-sekolah tersebut. Sungguhpun kerajaan negeri menafikannya, hakikatnya itulah Sarawak yang dikatakan lubuk emas Malaysia.

Capaian akses maklumat yang tidak cukup meliputi peluang pekerjaan ini juga menjadi sebab kenapa anak-anak Sarawak tidak mendapat tempat di syarikat tersebut. Ramai lagi orang-orang Sarawak tidak mengetahui peluang mereka contohnya dalam industry Gas dan minyak ini.

Bagaimana untuk memohon bahkan kita dapat lihat ramai lagi anak-anak tempatan tidak mengetahui apakah kegiatan atau aktiviti pekerjaan gas dan minyak ini.

Mana tidak, maklumat mengenainya pun tidak didedahkan. Isu anak-anak Sarawak yang terpelajar berada di luar Sarawak adalah kerana keselesaan hidup yang menjamin mereka, bagi mereka pulangan gaji yang diberikan kepada mereka tidak setimpal dengan kos sara hidup yang melambung di bandar-bandar industri seperti Bintulu.

Bagaimana mungkin anak-anak muda ini akan kembali ke Sarawak, sedang dilema itu menghantui mereka.

Saranan PKB ialah:

1. Kerajaan negeri mesti serius dalam membela nasib kontraktor di Sarawak agar mendapat peluang di dalam industri Gas dan minyak ini. Peluang ini terbuka luas untuk syarikat terbabit berbincang dengan semua kontrator tempatan untuk meningkatkan mutu perkihdmatan mereka. Ini yang dikatakan usaha gigih.

2. Syarikat-syarikat GLC dan lain-lain syarikat besar perlu dengan kerap untuk turun pada masyarakat untuk mengadakan program peluang pekerjaan sperti Job fair. Ini amat sukar sekali kita dapati diadakan di Sarawak. Sekurang-kurangnya puluang itu ada di depan mata anak-anak Sarawak yang mungkin kebetulan pulang ke kampung halaman setelah tamat pengajian.

3. Membangun Sarawak setara dengan negeri lain di Malaysia, agar rakyat Sarawak yang tinggal di luar Sarawak mempunyai hasrat unutk pulang ke negeri mereka.

PKB mengharapkan sekali lagi agar rakyat mendesak sungguh-sungguh kerajaan negeri untuk mengambil perhatian kepada rakyat Sarawak yang akhirnya akan konsisten membela nasb rakyat.

*Penulis adalah Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Bintulu
PUTRAJAYA: Anggaran kos perbelanjaan bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Kajang ialah RM1.6 juta, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusoff.

SPR mengumumkan hari ini bahawa PRK DUN ditetapkan pada 23 Mac manakala penamaan calon pada 11 Mac.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Putrajaya hari ini, beliau berkata, 39,278 pemilih berdaftar layak mengundi dalam PRK tersebut, termasuk 1,197 pengundi awal dan 26 pengundi dalam kategori tidak hadir atau berada di luar negara.
  
"Anggaran kos perbelanjaan bagi pilihan raya kecil ini ialah RM1.6 juta," katanya dalam persidangan media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan kekosongan kerusi DUN Kajang, Selangor berikutan peletakan jawatan secara mengejut wakil rakyat PKR Lee Chin Cheh pada 27 Januari.
  
Beliau berkata daftar pemilih yang akan digunakan untuk pilihan raya kecil ini ialah Daftar Pemilih Induk 2012 bagi bahagian pilihan raya berkenaan yang digabungkan dengan Daftar-Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2013, Suku Tahun Kedua 2013 dan suku tahun ketiga 2013 yang dikemaskini sehingga 26 Januari 2014, iaitu sehari sebelum peletakan jawatan penyandang.
  
Lee menang kerusi DUN Kajang pada Pilihan raya Umum ke-13 Mei tahun lepas dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru melibatkan Barisan Nasional (BN), Berjasa dan tiga calon bebas.
  
PKR telah menamakan Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya kecil 23 Mac.

Abdul Aziz berkata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang Datuk Hassan Nawawi Abdul Rahman dilantik sebagai pengurus pilihan raya dan beliau akan dibantu oleh tiga penolong pegawai pengurus.
  
Beliau berkata 673 petugas pilihan raya pula dilantik untuk mengendalikan proses pilihan raya dan Kompleks Sukan MPKJ, Seksyen 15 Bandar Baru Bangi dipilih sebagai pusat penamaan calon serta pusat penjumlahan rasmi undi.
  
"Sebanyak 18 pusat mengundi akan dibuka untuk tujuan pengundian, iaitu tiga pusat mengundi bagi undi awal, dan 15 pusat mengundi bagi
pengundian biasa.
  
"Tarikh keluar writ ialah 5 Feb (iaitu) hari ini, manakala tarikh notis pilihan raya pada 6 Feb, tarikh penamaan calon 11 Mac, tarikh pengundian awal 19 Mac dan tarikh pengundian biasa 23 Mac," katanya.
  
Semasa sesi soal jawab, Abdul Aziz berkata pihaknya memerlukan masa untuk membuat banyak perkara bagi memastikan pilihan raya kecil itu berjalan lancar.
  
"...banyak persediaan perlu dibuat. SPR tidak menjangka langsung adanya PRK ini. Kami memberi tumpuan kepada urusan lain di bawah tanggungjawab SPR.

"Bila ada pengumuman yang tidak disangka, ada wakil rakyat meletak jawatan, kita kena ubah ‘gear’, ubah semua sekali untuk membuat persediaan," katanya.- BERNAMA
PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menggalakkan golongan wanita untuk menceburi kerjaya sebagai pemandu bas dalam usaha meningkatkan pendapatan keluarga.

Timbalan Menteri Datuk Azizah Datuk Seri Panglima Mohd Dun berkata kerjaya itu dalam kalangan wanita bukanlah sesuatu yang asing dan ia merupakan senario biasa di negara-negara seperti China, Australia, Singapura, India dan Iran.

"Negara-negara ini merupakan negara membangun yang mengiktiraf peranan wanita sebagai pemandu," katanya ketika berucap melancarkan Seminar Kerjaya Pemandu Wanita Bersama Rapid KL di sini, hari ini.

Menurutnya kajian juga menunjukkan hormon estrogen wanita membantu mereka mempunyai daya fokus lebih baik berbanding lelaki dan bilangan pemandu wanita yang melanggar undang-undang lebih rendah daripada mereka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid) Datuk Ir Zohari Sulaiman berkata penglibatan wanita dalam kerjaya itu masih rendah di mana daripada 3,000 pemandu di syarikat itu, hanya 60 daripada mereka adalah  wanita.
  
"Justeru, kita menggalakkan lebih ramai menceburi bidang ini kerana pada masa ini, kami memerlukan 500 pemandu baharu untuk kawasan Lembah Klang,"katanya.

Menurutnya purata gaji bulanan pemandu Rapid ialah  RM3,000.

Zohari berkata soal jantina tidak menjadi isu dalam pengambilan pemandu bas Rapid dan syarikat itu juga tidak megehadkan bilangan pemandu wanita.

Menurutnya Rapid juga dalam perancangan untuk membuka peluang pekerjaan sambilan sebagai pemandu bas.

Sementara itu, peserta seminar Shiella Tukimin, 41, berkata peluang itu memanfaatkan golongan ibu tunggal seperti beliau.

"Ini cara untuk saya menambah pendapatan keluarga selain bekerja sebagai pemandu teksi dan soal takut bukan menjadi halangan kerana saya sudah biasa membawa kenderaan besar seperti lori," katanya yang juga Pengerusi Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Nur Iman.

Beliau berkata kerjaya sebagai pemandu bas memberi pendapatan tetap dan tinggi berbanding pendapatan sebagai pemandu teksi dan hasratnya menjadi pemandu bas turut disokong anak-anaknya. – Bernama
KUALA LUMPUR: Para pemimpin Umno disaran supaya tidak lagi menyimpan 'biawak hidup' yang hanya berperanan menyerang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Gesaan itu dibuat bekas Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Zaharin Mohd Yasin dalam entri di laman Facebooknya semalam.
Menurut Zaharin, salah satu kesilapan yang dilakukan para pemimpin Umno adalah "banyak sangat menyimpan 'biawak hidup'".
'Biawak-biawak hidup' itu, ujar beliau mendapat berbagai kemudahan dan habuan kewangan sedangkan hanya berperanan mencerca Anwar.
"Tetapi Anwar Ibrahim masih kuat dah 15 tahun tidak bergoncang. Berhentilah pembesar Umno menjaga biawak-biawak  ini. Orang Umno macam saya pun naik menyampah dah dengan 'biawak-biawak' ini," ujar beliau.
Bila ditanya seorang pengunjung laman Facebook siapakah yang dimaksudkan sebagai 'biawak-biawak' itu, Zahrain menjawab: "Dulu-dulu 'biawak' ini panglima Anwar Ibrahim dan sanggup mati."
Zaharin dikenali sebagai ahli Umno yang kritis. Blogger yang lebih dikenali sebagai Sang Kelembai itu dipecat dua kali daripada Umno (1996 dan 2006) kerana lantang mengkritik parti yang dianggotainya.
Beliau diterima kembali sebagai ahli Umno pada Mei 2009 selepas Majlis Tertinggi Umno yang dipengerusikan Datuk Seri Najib Razak menarik balik pemecatannya daripada parti.
Zaharin kini menjawat  Setiausaha Penyelaras BN P124 Bandar Tun Razak dan Ketua Umno Cawangan Sri Labuan.
KUALA LUMPUR: Setelah beberapa kali pembukaan KLIA2 ditangguhkan, rakyat berhak mendapat penjelasan mengapa perkara seperti ini masih lagi berlaku, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Katanya, kenyataan UEMC-Bina Puri menyatakan bahawa mereka gagal untuk mendapatkan Sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (CCC) sebelum 31 Januari disebabkan isu yang ‘tidak dijangka’ tidak boleh diterima pakai.

“Sekiranya dua pertiga bangunan terminal utama tidak menepati piawaian, ini merupakan hasil dari pembinaan kurang berkualiti dan tidak menepati taraf yang telah ditetapkan,” ujarnya yang juga Naib Presiden PKR dalam kenyataan kepada Harakahdaily, sebagaimana di bawah.

The Star hari ini membongkar keadaan yang mana sebahagian besar daripada bangunan terminal utama di KLIA2 masih belum mencapai piawaian keselamatan yang ditetapkan.

Ini merupakan sebuah kontradiksi dengan kenyataan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, yang dalam laporan TV3 7 Januari menyatakan bahawa “pembangunan terminal kos rendah baharu, KLIA2 yang kini 98% siap dijamin akan menerima sijil siap dan pematuhan CCC menjelang hujung bulan ini”.

Menteri Pengangkutan wajib menjelaskan kepada umum atas dasar apakah kenyataan ini dibuat, kerana ia bercanggah dengan dapatan dari pelbagai agensi kerajaan yang memeriksa bangunan tersebut, termasuk Majlis Perbandaran Sepang, Jabatan Bomba dan Indah Water Konsortium yang mendapati bahawa 65 peratus daripada bangunan terminal utama tidak mematuhi piawaian keselamatan.

Malah, pemeriksaan oleh agensi-agensi tersebut juga telah mendapati bahawa paip-paip pembetungan merekah, dan tidak boleh digunakan.

Saya pernah membangkitkan pada Mac 2013 tentang kos pembinaan KLIA2 serta mempersoalkan adakah terminal baru tersebut akan siap dalam masa yang telah ditetapkan.

Sejak isu tersebut dibangkitkan, tarikh pelancaran 28 Jun 2013 telah pun berlalu dan kita masih lagi tidak mempunyai terminal KLIA2 seperti yang telah digembar-gemburkan selama ini.

Pada sidang Parlimen bulan Julai 2013, rakyat juga telah dikejutkan dengan pengumuman oleh YB Timbalan Menteri Pengangkutan bahawa kos pembinaan telah meningkat dari RM2 bilion kepada RM4 bilion.

Lebih malang, pada 12 September 2012 berlaku kegagalan sistem di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah yang terpaksa beroperasi tanpa radar dan frekuensi radio selama dua jam.

Kontroversi rasional penilaian dan pemilihan kontraktor sistem masih belum selesai; adakah sistem yang sama, dibekalkan oleh kontraktor yang sama bakal digunakan untuk KLIA2.

Pengumuman pada Oktober 2013 bahawa KLIA2 - terminal tambang kos rendah yang terbesar di dunia – akan mula beroperasi pada bulan Mei 2014 adalah berita yang dinanti-nantikan oleh semua kerana tarikh siap KLIA2 telah ditangguh berkali-kali sejak ia memberikan tender pada tahun 2009.

Laporan berita terbaru yang bercanggah dengan dakwaan menteri sekali lagi mempertikaikan tarikh selesainya pembinaan KLIA2.

Sekiranya laporan daripada agensi kerajaan menyatakan bahawa sebahagian besar daripada bangunan terminal belum boleh digunakan, ia bertentangan dengan kenyataan Datuk Seri Hishamuddin.

Adakah Menteri cuma mengulangi jaminan yang telah diberikan pihak kontraktor UEMC-Bina Puri, tanpa mengambil kira laporan dari agensi-agensi yang bertanggungjawab?

Setelah beberapa kali pembukaan KLIA2 ini ditangguhkan, rakyat berhak mendapat penjelasan mengapa perkara seperti ini masih lagi berlaku.

Kenyataan UEMC-Bina Puri menyatakan bahawa “mereka gagal untuk mendapatkan Sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (CCC) sebelum 31 Januari disebabkan isu yang ‘tidak dijangka’” tidak boleh diterima pakai.

Sekiranya dua pertiga bangunan terminal utama tidak menepati piawaian, ini merupakan hasil dari pembinaan kurang berkualiti dan tidak menepati taraf yang telah ditetapkan.

Pada sidang parlimen akan datang, saya akan mengusulkan agenda reformasi parlimen bermula dengan penubuhan jawatankuasa parlimen untuk menangani dasar fiskal, pertahanan dan keselamatan dalam negeri, perdagangan domestik dan antarabangsa, pendidikan dan pengangkutan awam.

Ini termasuk juga penubuhkan sebuah Jawatankuasa Terpilih Parlimen berkenaan isu KLIA2, dianggotai oleh wakil-wakil dari Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional - bertanggungjawab untuk memastikan pembinaan Lapangan Terbang ini mematuhi spesifikasi piawaian keselamatan antarabangsa dan memberikan lebih kawalan kepada penyeliaan kos pembinaan KLIA.

Agenda reformasi parlimen ini adalah penting demi mendalami isu-isu secara terperinci untuk menjaga kepentingan rakyat.

Sudah tiba masanya prinsip timbang tara dan pemisahan kuasa dilaksanakan melalui pengupayaan peranan parlimen oleh pelbagai jawatankuasa tetap dan terpilih.
KUALA LUMPUR: Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli (gambar) mendedahkan penyelewengan Skim 1Azam yang dikelola Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Rafizi berkata, Laporan Tahunan Pemandu 2011 menyatakan kerajaan membelanjakan RM690 juta antara 2010 dan 2011 bagi program membasmi kemiskinan.
Katanya, aduan penipuan diterima beliau sejak 2012 dan berlaku melalui dua cara dan sebagai contoh tuntutan beberapa perkakas berjumlah RM5,000 tetapi harga sebenar RM2,500.
“Beza RM2,500 daripada tuntutan dibahagikan antara beberapa orang yang terbabit.
“Harga peralatan bantuan jauh lebih rendah daripada tuntutan dibuat kepada kerajaan kerana pembekal perlu membayar kembali perbezaan antara harga sebenar dan tuntutan kepada pegawai tertentu di kementerian,” katanya yang dipetik daripada Keadilan Daily pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, hari ini.
Rafizi berkata, cara kedua penipuan dibuat apabila peralatan bantuan tidak sampai kepada isi rumah miskin, sebaliknya dihantar kepada pimpinan Wanita Umno setempat.
“Namun saya rasa lega apabila SPRM menahan beberapa individu dikaitkan dengan Yayasan Sayang Malaysia yang ditubuhkan khusus untuk pelaksanaan skim 1Azam,” katanya.
Beliau berkata, Yayasan Sayang Malaysia adalah sebuah syarikat yang dijamin (limited by guarantee) dan tidak banyak maklumat diperolehi beliau.
“Kecuali pengarahnya adalah Datuk Suhaimi Ibrahim, bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Shahrizat Jalil. Wujud campur tangan politik yang menghalang beberapa orang disiasat kerana disyaki menyeleweng dana rakyat di bawah Skim 1Azam daripada didakwa.
“SPRM sudah kumpul data, tetapi sembunyi daripada orang awam. Nampaknya, kerajaan tidak telus dengan projek yang dibuat dan menggunakan nama orang miskin untuk mengkayakan beberapa orang,” katanya. - Selangor Kini
KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dikenal pasti memajukan kawasan seluas 6,000 hektar tanpa mendapat kelulusan kerajaan negeri.

Manakala keluasan kawasan seluas 2,000 hektar lagi terlebih dimajukan agensi terbabit.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, ada tanah yang hanya diberi kelulusan peringkat dasar, namun agensi itu membangunkan lebih daripada kawasan yang diluluskan.

“Malah ada juga kawasan yang tidak dilulus namun agensi tersebut membangunkan tanah berkenaan,” katanya di sini.

Kesedar sebuah Lembaga Kemajuan Wilayah yang ditubuhkan pada 2 Mac 1978 menggantikan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Kelantan (LKTN).

Kesedar mengambil alih peranan LKTN selepas Barisan Nasional (BN) menerajui Kelantan pada pilihan raya umum 1978.

Sehubungan itu Mohd Amar berkata, kerajaan negeri merancang mewujudkan jawatankuasa khas berunding dengan Kesedar untuk menyelesaikan kes-kes yang tertunggak.

“Kita harap selepas ini dapat menyelesaikannya dengan agensi terbabit. Lagi pun dengan Felda dan Felcra sudah banyak penyelesaian dicapai.

“Malah sudah ada premium yang dibayar agensi terbabit kepada kerajaan negeri,” ujarnya.

Beliau juga berkata, ada juga tanah yang dilulus secara dasar, namun Kesedar tidak memenuhi syarat ditetapkan iaitu perlu memasukkan peneroka.

Dan keuntungan daripada ladang tersebut menjadi milik sepenuhnya Kesedar dan bukannya peneroka.

Selain itu katanya juga tiga wakil kerajaan negeri dalam Lembaga Pengarah Kesedar juga belum diselesaikan. Sekarang hanya dua orang sahaja yang telah dilantik.

Dua wakil kerajaan negeri yang dilantik iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pengarah PTG, manakala cadangan pelantikan seorang Exco mengisi jawatan tersebut belum diterima Kesedar sehingga sekarang.


*Ikuti pendedahan lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang.


SEPANG: Ekspedisi saintifik ke Antartika telah memberi peluang kepada peserta rombongan melihat secara dekat kerja-kerja penyelidikan para saintis dari seluruh dunia.
  
Menegaskan demikian, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata dakwaan pembangkang bahawa ekspedisi itu suatu pembaziran adalah tidak benar sama sekali.
  
Katanya, beliau dan peserta rombongan yang lain mengambil risiko yang tinggi mengunjungi kutub selatan itu.
  
"Saya ke Antartika atas undangan Institut Penyelidikan Antartika Chile.

"Ketika di sana kami menaiki kapal tentera laut Chile iaitu 'Aqulies' dan bukannya makan angin (melancong).
  
"Kalau saya nak makan angin, lebih baik saya tidak ke Antartika... nak beli apa di sana? ... nak sentuh dan bawa balik penguin pun tak boleh.
  
"Kami sebenarnya mengambil risiko tinggi kerana cuaca di sana sukar diramalkan dan berubah dalam masa yang singkat," katanya.
  
Beliau bercakap pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam selepas menamatkan ekspedisi itu yang bermula 22 Januari lepas.

Turut hadir Pengarah Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah.  
  
Ahmad Said berkata lawatan itu bertujuan membuka laluan bagi membantu kerajaan menubuhkan sebuah stesen penyelidikan bersama Instituto Antartico Chileno (INACH).
  
Ahmad berkata susulan kepada ekspedisi itu, satu seminar membabitkan saintis dari Malaysia dan Chile dijadual berlangsung pada Ogos depan bersempena 'The Biennial SCAR Open Science Conference and Delegates Meeting 2014'.
  
Lokasi persidangan dan mesyuarat itu akan diumumkan kelak, katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai insiden perlawanan pusingan kedua antara T-Team dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Johor Baharu, pada 1 Februari lepas, Ahmad berkata beliau menyerahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menetapkan perlawanan ulangan.
  
"Saya tak dapat lagi maklumat lengkap... nanti saya bincang dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.
  
"Laporan polis telah pun dibuat maka kita tunggu sahaja apakah keputusan FAM kelak... saya tidak mahu komen lanjut mengenainya," katanya.
  
Akibat insiden itu, perlawanan di Stadium Larkin itu tidak dapat diteruskan pada separuh masa kedua apabila T-Team dikatakan menarik diri.
  
Tindakan itu dipercayai akibat pemain import kelahiran Brazil, Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan Stefano Impagliazzo dikatakan dikasari oleh pihak JDT ketika menuju ke bilik persalinan selepas tamat separuh masa pertama. - Bernama
KUALA LUMPUR: Sentimen agama anti Islam di Myanmar yang berlangsung lebih 18 bulan telah berada di tahap parah, kata Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri.

Menurutnya, laporan terkini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 23 Januari lalu menunjukkan situasi terkini umat Islam di Rakhine berada dalam keadaan yang kronik.

Tambahnya, menurut laporan PBB pada 13 Jan yang lalu 40 orang Islam termasuk wanita dan kanak-kanak dibunuh di perkampungan Du Cheer Yar Tan tambahan kepada 8 orang yang dibunuh sebelumnya pada 9 Jan 2014 di perkampungan sama.

“Sebagai sebuah kerajaan umat Islam, Kerajaan Malaysia mesti memainkan peranan lebih aktif dalam menangani isu antara kaum dan agama di Myanmar,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, permintaan Kementerian Luar agar Kerajaan Myanmar mengambil tindakan konkrit terhadap isu ini pada Oktober lalu masih belum cukup.

Ini kerana, kata beliau rakyat telah dikecewakan oleh Kerajaan Malaysia apabila kerajaan dilihat gagal memberikan mesej penting menerusi Sukan Sea yang berlangsung di Myanmar, Disember lalu.

Justeru, tegasnya bagi memperbaharui tanggungjawab kemanusiaan ini, nota bantahan rasmi kerajaan perlu dikemukakan segera.

Beliau menambah, usul juga perlu dikemukakan oleh kerajaan di Parlimen yang bakal bersidang bermula 10 Mac nanti bagi mengecam sikap dingin kerajaan Myanmar dalam menangani isu ini.

“Saya yakin, jika mahu, Kerajaan Malaysia mampu melakukan lebih jauh lagi seperti mana yang dilakukan dalam proses damai antara Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) tahun lalu,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.

 

 


Tiada ulasan: