Sabtu, 9 November 2013

PEMBERI DAN PENERIMA DUA2 MASUK NERAKA....TAPI RASUAH MACAM TAK DAPAT DIBENDUNG

Jutawan Malaysia terlibat skandal rasuah terbesar Tentera Laut
Posted on Saturday, November 09 @ 18:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur



"

Berita ini telah menggemparkan negara kuasa besar dunia Amerika Syarikat, tetapi ramai rakyat Malaysia yang tidak sedar berita ini. Seorang jutawan Malaysia telah didakwa terlibat dalam skandal rasuah Tentera Laut Amerika Syarikat yang melibatkan jutaan dolar, rasuah seks, konsert Lady Gaga serta percutian mewah. Pegawai tinggi Tentera Laut AS didakwa membekalkan maklumat sulit perjalanan kapal-kapal perang Amerika Syarikat kepada jutawan Malaysia tersebut.




Maklumat sulit ini digunakan untuk mengeksploitasi perkhidmatan yang dibekalkan apabila kapal-kapal perang ini berlabuh di Malaysia dan beberapa negara lain.
Di kala negara dikejutkan dengan rahsia yang tidak rahsia apabila kedutaan Amerika menjadi pusat perisikan, dunia dikejutkan dengan berita jutawan Malaysia merasuah pegawai tinggi Tentera Laut Amerika. Ini secara tidak langsung “menghalalkan” kerja-kerja perisikan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat di Malaysia.
Persoalan timbul, jika jutawan Malaysia tersebut didakwa terlibat merasuah pegawai tinggi Tentera Amerika, apakah ada kemungkinan jutawan tersebut boleh melakukan perkara yang sama kepada pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia?

Pendapatan Berkurangan Apabila Kapal Tentera Laut AS Tidak Lagi Berlabuh di Port Klang
9 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia mengalami kerugian jutaan ringgit apabila kapal Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) tidak lagi melakukan persinggahan di Port Klang Cruise Centre yang dimiliki oleh Glenn Defense Marine Asia.
Amerika Syarikat telah menggantung kontrak mereka dengan syarikat berkenaan pada 20 September lalu selepas pemiliknya yang merupakan rakyat Malaysia, Leonard Glenn Francis, ditahan kerana menipu kontrak bernilai jutaan dolar dengan Pentangon serta merasuah pegawai tentera laut AS.
Francis, 49, yang lebih dikenali sebagai Si Gemuk Leonard didakwa di San Diego bersama-sama dua komander tentera laut AS, kerana terlibat dengan skandal pelacuran, persembahan Lady Gaga, pelancongan mewah, serta kontrak kerajaan bernilai jutaan dolar.

Fat Leonard in "sex for US navy secrets" case charged
7 Nov 2013
WASHINGTON (AFP): Malaysian Leonard Glenn Francis was charged along with a third US Navy commander on Wednesday in a widening bribery scandal involving prostitutes, luxury travel and multi-million-dollar government contracts, officials said.
Francis, also known as Fat Leonard, 49, the CEO of Glenn Defense Marine Asia (GDMA) was named in a complaint unsealed Wednesday, the Justice Department said in a statement. He was arrested Sept 16, 2013, in San Diego, California.
Commander Jose Luis Sanchez, 41, was arrested Tuesday in Tampa, Florida and made a first appearance in federal court in Florida Wednesday.
"According to court records, Sanchez allegedly provided Francis with internal Navy information, such as US Navy ship schedules - some of which were classified - and information about husbanding issues that could affect GDMA, in order to help GDMA win and maintain Navy business," the statement added.

"


................................
Dihantar untuk paparan TKO (Tranungkite)
Oleh:
rozmal
Posted on Saturday, November 09 @ 18:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur
 


http://www.slideshare.net/mazlanwisya/rasuah-23762893 

Makan Rasuah dengan Makan Babi: Mana Lebih Berdosa?

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Rasuah adalah isu yang tidak pernah selesai sejak dahulu hinggalah masa kini. Keadaan tidak menjadi semakin baik, malah bertambah tenat. Semakin banyak kita bercakap tentang rasuah, seolah-olah semakin menjadi-jadi pulak ia.


Lebih menarik lagi kenyataan Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas, Ahli Lembaga Disiplin UMNO, pada 31 Mac 2009 mencadangkan 5 perkara untuk memerangi rasuah iaitu, penguatkuasaan, pakej gaji yang menarik kepada kakitangan awam, mengurangkan birokrasi, ketelusan dalam mendapatkan dana politik dan pendidikan berterusan mengenai bahayanya rasuah.


Saya masih ragu-ragu soal penguatkuasaan, kerana agak sukar untuk melaksanakannya. Kadangkala pegawai penguatkuasa turut terlibat dengan rasuah atau mungkin terdapat favouritisme dalam menangani isu rasuah. Saya masih tetap dengan pandangan bahawa pendidikan mengenai betapa jijiknya rasuah mesti ditekankan. Rasuah jauh lebih jijik daripada makan babi. Jika umat Islam berjaya menanamkan jijiknya najis babi sehingga melihat binatang atau menyebut nama binatang inipun sudah menyampah, saya fikir kita perlu lakukan perkara yang sama terhadap rasuah.


Kita perlu ingat bahawa rasuah ini berlaku disebabkan oleh ada penerima. Tidak akan ada pemberi rasuah jika tidak ada yang menerima. Disebabkan ada penerima, maka pemberi terpaksa memberi rasuah. Jika tidak, pemberi rasuah tidak akan dapat ’keistimewaan’ atau ’projek’ yang dijanjikan.


Pendek kata, disebabkan ada penerimalah, maka ada pemberi. Jika kita bekerja dengan penuh integriti, saya cukup yakin tidak ada yang sanggup memberi rasuah. Secara rasional, mengeluarkan wang halal bagi tujuan haram agak berat untuk dilakukan manusia biasa, apatah lagi umat Islam, kecuali dalam keadaan terpaksa.


Malangnya, hari ini rata-rata penerima rasuah dari kalangan orang Melayu yang beragama Islam. Ini kerana, majoriti mereka yang terlibat sektor perkhidmatan awam adalah orang Melayu Islam. Maka, kita dapat katakan bahawa, pemberi rasuah rata-rata orang bukan Islam, sebab mereka banyak terlibat dalam bidang perniagaan. Tidak ketinggalan segelintir orang Islam yang bergiat aktif dalam politik. Dalam kata lain, penerimanya adalah orang Islam dan pemberinya adalah bukan Islam.


Persoalannya, manakah yang lebih haram, walaupun kedua-duanya haram dan balasannya masuk neraka? Yang memberi atau yang menerima? Sudah tentu dalam hal ini yang lebih haram adalah yang menerima. Sebab, tidak ada yang akan memberi, jika tidak ada penerima. Yang menerima tidak perlu bekerja keras untuk mendapatkan wang, sedangkan yang memberi, terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan wang bagi tujuan haram tersebut.


Walaupun kedua-dua perbuatan memberi dan menerima itu haram, umat Islam mesti boleh membezakan bilamana haram bertemu dengan haram, yang mana lebih haram. Atau antara dosa dengan dosa, amalan mana lebih banyak dosa. Atau contoh lebih ekstrim lagi, antara neraka dengan neraka, neraka manakah yang paling azab sekali siksaannya.


Dalam Islam, setiap perbuatan atau amalan, akan dibalas mengikut keseriusan tahap sesuatu amalan itu. Dengan sebab itu, nikmat syurga dan siksaan neraka ada tahap-tahap atau tingkatan-tingkatannya. Jika semua orang masuk syurga, maka rugilah jadi orang Islam. Tidak perlu juga kita berdakwah kepada orang bukan Islam. Begitu juga jika semua amalan baik masuk syurga yang sama, maka rugilah mereka yang beramal mencapai tahap paling baik atau terbaik dan penuh keikhlasan.


Sama halnya jika semua orang jahat masuk neraka yang sama, maka rugi mereka yang buat jahat sekadar ala kadar sahaja, kerana balasannya adalah sama dengan mereka yang buat amalan paling jahat. Maka, logiknya kita akan berfikir, lebih baik buat perkara yang paling jahat sebab balasannya sama dengan mereka yang jahat sikit-sikit.


Islam tidaklah sedemikian sifat. Amalan kita dinilai berasaskan sejauh manakah tahap keseriusan atau tingkatan yang dicapai sama ada baik atau buruk. Dengan sebab itu, syurga, neraka dan azab ada tahap-tahap tingkatannya. Sama juga hukuman di dunia ini, kesalahan ringan, hukuman lebih ringan. Kesalahan berat, sudah tentu hukumannya lebih berat sehinggalah sampai tahap paling serius iaitu hukuman mati.


Begitu dengan juga dengan pemberi dan penerima rasuah. Kedua-dua perbuatan ini haram dan masuk neraka. Yang manakah antara kedua-dua ini yang lebih haram, lebih berdosa dan masuk ke dalam neraka yang paling azab. Pada hemat saya, sudah tentu yang yang lebih azab adalah mereka yang menerima rasuah berbanding pemberi rasuah.


Contoh lain, adalah antara makan rasuah dengan makan daging babi. Yang manakah lebih haram, lebih berdosa dan lebih teruk siksaannya dalam neraka? Sudah tentu makan rasuah lebih haram, lebih berdosa dan lebih teruk siksaan neraka daripada perbuatan makan babi, walaupun kedua-duanya haram dan berdosa.


Perlu diingatkan bahawa dosa makan babi hanya melibatkan individu yang makan babi, tidak melibatkan ahli keluarga, masyarakat, negara dan agama. Dosa individu lebih mudah diampunkan oleh Allah SWT sebab pelakunya antara individu tersebut dengan Allah SWT, Yang Maha Pengampun.


Berbeza dengan dosa mengambil dan memakan rasuah. Terdapat beberapa tahap serius di sini iaitu mengambil (melibatkan yang memberi), kemudian menggunakannya untuk diri, keluarga dan masyarakat, sehingga boleh meruntuhkan agama dan negara.


Menggunakan hasil haram rasuah akan masuk ke perut. Jika dibelanja kepada orang lain, masuk ke perut orang lain seperti anak-anak, ahli keluarga dan rakan taulan yang tidak berdosa. Perut menerima hasil haram, walaupun bukan daging babi yang masuk ke perut.


Hasil haram yang masuk ke perut akan menjadi darah daging penerima rasuah dan keturunannya serta orang lain. Bermakna, dosa rasuah melibat orang ramai. Sedangkan yang memberi rasuah, mungkin hanya memberikan sekali sahaja kepada yang menerima dan tidak menggunakan wang rasuah tersebut.


Pendek kata, dosa menerima rasuah melibat orang ramai yang tidak berdosa. Bermakna dosa rasuah bertali-temali. Dosa kepada orang ramai perlu kepada permohonan maaf. Selagi permohonan maaf itu tidak diterima, selagi itulah dosa itu akan berada di situ. Allah SWT tidak mudah mengampunkan dosa melibatkan orang ramai, selagi tidak dimaafkan. Sedangkan dosa makan babi hanya melibat seorang individu sahaja.


Perkara ini perlu disedari oleh pemimpin dan penjawat awam hari ini. Menjadi pemimpin dalam organisasi (awam) dan politik bukanlah satu perkara yang boleh dibuat main-main, tetapi ia adalah satu tanggungjawab dan amanah. Ia perlu dijaga, sebab pemimpin dahulu yang akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat nanti dan bukannya rakyat yang dipimpin.


Sama juga seperti dosa ibubapa yang menyuapkan rezeki yang haram ke mulut anak-anak. Ibubapa yang akan dipertanggungjawab. Mereka akan adalah yang disoal oleh Allah SWT berbanding anak-anak. Dalam kata lain, pemimpin dalam semua kategori awam, swasta, politik dan bukan politik bertanggungjawab terhadap mereka yang dipimpin.


Justeru, usaha kepemimpinan negara untuk membenteras rasuah dalam segala sektor hendaklah disambut baik oleh semua pihak. Pada masa sama, pemimpin hendaklah menunjukkan contoh terbaik dalam menangani isu ini. Kita tidak jadi seperti kokok berderai-derai, ekor bergemulang tahi. Jika ini berlaku, apa jua visi dan misi murni akan menemui kegagalan.


Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail pernah berkata, alangkah bagusnya kalau rakyat Malaysia satu hari nanti dapat lebih dahulu memantapkan kedudukan dalam profesion dan dunia perniagaan, kemudian baru masuk politik seperti di Britian. Pesan saya kepada kaum pemuda kita jangan masuk politik selagi belum terjamin kedudukan kewangan atau pekerjaan.

Kenyataan ini dari satu segi memang ada kebenarannya. Namun, tidak semestinya mereka yang tidak kukuh kedudukannya dalam profesion dan perniagaan, tidak boleh menjadi pemimpin. Cuma yang perlu dititikberatkan adalah apakah tujuan untuk menjadi pemimpin. Sekadar untuk memenuhkan kocek? Atau memikulkan amanah Allah SWT terhadap agama, bangsa dan negara. Jika amanah Allah SWT itu dijaga, maka kita akan dapat lihat betapa indahnya hidup ini tanpa rasuah, tetapi jika sebaliknya, maka tunggulah kehancurannya.


Kita amat mengharapkan kabinet baru Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak, benar-benar dapat merealisasikan usaha untuk membenteras rasuah hingga ke akar umbi, seterusnya menanamkan rasa jijik rasuah itu lebih hina daripada makan babi.

RIDHUAN TEE

NIKMAT TERBESAR ADALAH DIUTUS PARA RASUL

Dr. Fathul Bari Mat Jahya 
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam, sesungguhnya seluruh kehidupan manusia ini bermula dengan nikmat ALLAH SWT.  Nikmat yang ALLAH gambarkan sejak manusia di alam rahim ibunya, di mana ketika ditiupkan roh, ALLAH SWT telah menetapkan; amal kita, rezeki dan ajal, bahagia atau sengsara, semua telah ditentukan. (Rujuk Al-Bukhari & Muslim)
ALLAH mengajarkan manusia benda yang dia tidak tahu. Oleh itu manusia tidak boleh sombong dengan ilmunya, sebab kalau kita kembali kepada kisah malaikat bertanya kepada Allah tentang penciptaan manusia sebagai khalifah di bumi, “Apakah Engkau hendak menciptakan orang yang akan membuat kerosakan dan menumpahkan darah?”
Allah berfirman kepada malaikat, “Sesungguhnya Aku lebih Tahu apa yang kamu tidak tahu.” Lantas malaikat berkata, “Maha Suci Engkau, tidak ada ilmu bagi kami kecuali apa yang Engkau ajar kepada kami.” (Al-Baqarah: 32)
Malaikat mengakui kebenaran bahawa mereka tidak ada apa-apa ilmu kecuali hanya apa yang Allah ajarkan, apatah lagi kita. Sebab itu jangan kita bangga dengan ilmu dan apa yang kita ada sehingga kita memiliki ciri-ciri takbur seperti sabda Nabi, “Al-Kibr (sombong) iaitu menolak kebenaran dan merendahkan orang lain.” (Sahih Muslim)
Anugerah yang Allah beri kepada manusia sangat hebat dan sangat dahsyat. Nikmat Allah yang paling besar kepada manusia adalah diutuskan para Rasul yang dengannya manusia mendapat petunjuk. Seluruh Rasul membawa petunjuk agama yang benar, lalu risalah itu disempurnakan oleh Rasul penutup, Muhammad SAW.
Ini sebagaimana dijelaskan oleh Nabi SAW sendiri, apabila Baginda mengibaratkan kedudukan Baginda di kalangan para Rasul seperti binaan sebuah istana yang sempurna dan orang melihat istana itu dengan kagum, kecuali ada satu ruang kosong untuk sebiji batu bata yang dengannya ia akan jadi lengkap sempurna. Rasulullah SAW bersabda, “Akulah bata itu, dan akulah penutup para Nabi.” (Al-Bukhari dan Muslim)
Allah memenangkan agama ini dengan petunjuk yang dibawa oleh Rasulullah. ALLAH juga yang mengangkat kedudukan para Rasul atas manusia-manusia yang lain.
Kita lihat berapa ramai Nabi palsu telah muncul sejak zaman Nabi hingga ke hari ini, Musailamah Al-Kazzab dan selainnya, namun akhirnya pendustaan mereka semua terbongkar dan tidak ada seorang pun yang seperti mereka kecuali semuanya pasti mendapat kesudahan yang hina.
Berbeza dengan Rasul yang ALLAH pilih, Allah mengangkat kedudukan mereka dan memuliakan mereka selama-lamanya. Demikian Allah memelihara agama yang benar di sisiNYA. Barangsiapa mencari kemuliaan selain Islam, menyelewengkan risalahNYA, pasti apa yang akan mereka dapat adalah kehinaan. Tiada kemenangan, kemuliaan dan kehormatan kecuali dengan mengikuti petunjuk Rasulullah SAW.
ALLAH SWT mengingatkan hamba-hambaNYA akan tanda-tanda penciptaanNya melalui lisan-lisan para Rasul. Maka mereka yang mendapat petunjuk adalah mereka yang mengikuti ucapan dan perbuatan para Rasul, adapun mereka yang sesat adalah mereka yang menolak dan menyelisihinya.
Imam Al-Qairawani rh. (wafat 386H) berkata, “Orang yang menolak seruan para Rasul telah sesat dengan keadilan yang Allah tentukan untuknya. Dan Allah mudahkan orang yang beriman menikmati kemudahan dalam beriman, iaitu Allah buka dada-dada mereka untuk mereka mudah mengingati apa yang Allah berikan kepada mereka.”
Yakni ciri-ciri orang beriman adalah mereka sentiasa ingat nikmat yang Allah beri kepada mereka dan mereka mensyukurinya. Berbeza orang yang kufur pada nikmat, lalu mereka tidak bersyukur dan Allah menjadikan mereka sesat dengan keadilanNYA. Ini kerana Allah SWT Maha Adil dalam menghukum.
Imam Al-Qairawani melanjutkan, “Maka mereka (orang yang menerima petunjuk) beriman kepada ALLAH dengan lisan-lisan mereka yang mengucapkannya, dan mereka mempelajari apa yang Allah ajar kepada mereka (melalui RasulNYA). Mereka juga menahan diri mereka pada perkara yang Allah tetapkan.”
Misalnya selepas dijelaskan tentang pembahagian harta pusaka, Allah berfirman: “Itulah ketetapan-ketetapan ALLAH, barangsiapa taat kepada Allah dan RasulNya nescaya Allah masukkannya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya dan itulah kemenangan yang besar. Barangsiapa yang menderhakai Allah dan RasulNya dan melanggar ketetapan-ketetapanNya nescaya Allah masukkannya ke dalam neraka dan dia kekal di dalamnya, dan baginya siksa yang menghinakan.” (Al-Nisa’: 13-14)
Orang yang beriman dengan risalah yang dibawa Rasulullah tidak akan melampaui apa-apa yang Allah tetapkan. Sebab itu penting untuk kita sentiasa muhasabah diri kita, bagaimana kita boleh berusaha mematuhi peraturan yang manusia cipta, sedangkan peraturan-peraturan, undang-undang, prinsip yang ALLAH tetapkan kita tidak bertungkus lumus melaksanakannya, baik dalam akidah, ibadah, adab, hukum dan seluruhnya.
Disiarkan di akhbar pada Ahad, 27 Oktober 2013

Rasuah dari Sudut Pandang Hukum Islam

Rasuah merupakan satu tindakan pemerasan yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan untuk mendapatkan pertolongan dan faedah dirinya sendiri. Ini kerana apabila melalui prosedur-prosedur biasa, dia tidak akan memperoleh apa-apa yang dikehendakinya itu. Secara amnya rasuah bermakna kuasa yang telah diberikan kepadanya disalahgunakan dan bertindak untuk kebaikan diri sendiri dan bersikap ‘pilih kasih’ dalam tindakannya.

Perkataan rasuah berasal daripada perkataan Arab “al-risywah”. Di dalam al-Quran, rasuah digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga perkataan jenayah lain seperti merompak, menipu dan memeras ugut. Di negara ini, dari segi undang-undang semua perkataan “ memberi dan menerima suapan” adalah sebahagian daripada perbuatan dan kesalahan jenayah rasuah.

Biasanya, rasuah dijadikan sebagai salah satu jalan pintas seseorang untuk mengecapi kehidupan mewah atau dengan erti kata lain mahu menjadi kaya dalam masa singkat. Kebiasaannya orang yang melakukan budaya ini tidak memikirkan kesan buruk yang akan terjadi, sebaliknya mereka hanya memikirkan keuntungan kepada diri mereka. Sebagai umat Islam, keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT harus dititikberatkan dalam apa juga urusan. Islam sangat melarang umatnya daripada mengamalkan budaya ini. Seperti mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Daripada Abu Hurairah RA. ia telah berkata: “Rasulullah SAW telah mengutuk orang yang suka memberi rasuah dan orang yang suka menerima rasuah dalam soal hukum- menghukum”.Perbuatan rasuah ini adalah perbuatan yang sangat keji dan berdosa. Mereka yang terjebak dalam budaya rasuah akan memperoleh balasan yang setimpal dengan perbuatan mereka ini. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :“ Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya akan masuk neraka”.

Allah telah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:
“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antaranya kamu dengan jalan yang batil (tiada hal) dan (jangan) kamu bawa kepada hakim, supaya dapat kamu memakan sebahagian harta orang yang berdosa sedang kamu mengetahuinya”. (al-Baqarah : 188)
 TEKS KHUTBAH JUMAAT MASJID
SELURUH NEGERI MELAKA

TAJUK KHUTBAH :  RASUAH
TARIKH BACAAN : 9 FEBRUARI 2001 / (15 ZULKAEDAH 1421)
Sidang jumaat yang dihormati Allah,
Khutbah pada hari ini membicarakan tajuk rasuah.
Firman Allah subhanahua ta'ala telah menegaskan di dalam kitab suci Al-Quran, surah Al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud : " dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu membawa urusan harta itu kepada hakim supaya kamu dapat memakan sebahagian harta orang lain dengan jalan dosa padahal kamu mengetahui ".
Dari maksud ayat di atas, Allah subhanahua ta'ala menjelaskan kepada kita agar kita jangan memakan harta orang lain dengan jalan yang salah atau batil, termasuk makan harta orang lain dengan cara yang salah iaitu menerima rasuah. Islam mengutuk semua perbuatan rasuah, menipu, pecah amanah dan mungkir janji atau sebarang sifat negatif yag merosakkan masyarakat. Perbuatan itu mengeruhkan hubungan dalam masyarakat dan mencacatkan hubungan dengan Allah. Mereka yang melakukan jenayah rasuah didunia dan di akhirat, sebaliknya mereka akan menerima siksaan yang berat.
Kaum muslimin yang dikasihi,
Pengamal rasuah akan sentiasa terdedah kepada risiko sakit jiwa, akibat perasaan takut yang sentiasa menghantui diri mereka. Secara tidak disedari mereka akan hidup dalam keresahan dan menganggap orang lain sebagai musuh yang ingin membongkar kesalahan mereka. Hidup pengamal rasuah akan sentiasa diselubungi kebimbangan. Di dalam Islam mereka yang menghadapi masalah seperti ini dianggap menerima bala'. Keadaan ini disifatkan sebagai satu penyiksaan batin di dunia. Seseorang yang melakukan kesalahan samada dengan masyarakat atau melanggar hukum Allah pasti menghadapi tekanan jiwa sehingga dia menghentikan perbuatan itudan bertaubat kepada Allah subhanahua ta'ala.
Sidang jumaat sekalian,
Perbuatan rasuah dianggap sebagai melanggar amanah dan dalam Islam melanggar  amanah termasuk ke dalam golongan munafik, Rasulullah s.a.w. menjelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan muslim yang bermaksud " tanda-tanda orang munafik itu ada tiga, jika dia berkata-kata, dia berdusta, apabila berjanji, dia mungkir, apabila diberi amanah, dia khianati.
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan pembongkaran kes-kes rasuah yang berlaku di agensi-agensi kerajaan. Alangkah malangnya sekiranya rasuah berlaku kepada pegawai-pegawai yang telah diamanahkan untuk menjaga hak rakyat tetapi mengkhianatinya. Mereka bukan sahaja berdosa kepada Allah subhanahua ta'ala, bahkan mereka juga akan disoal di padang mahsyar kerana amanah rakyat yang mereka khianati.
Betapa malang juga, kes rasuah yang dibongkar baru-baru ini melibatkan puluhan ribu orang, mungkin ramai yang berpendapat rasuah sudah menjadi fenomena masyarakat yang sudah tidak dapat dielakkan, ataupun rugi jika dilepaskan, mereka sanggup menderhaka kepada Allah semata-mata untuk mengecap nikmat dunia yang sedikit. Ingatlah, perbuatan rasuah itu membawa kepada kemurkaan Allah dan juga bakal menghancurkan masyarakat, agama dan negara.
Rasulullah s.a.w. menjelaskan hal ini dalam sebuah hadisnya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, bermaksud " bakal datang kepada manusia satu masa, orang tidak lagi peduli terhadap apa yang diambilnya, apakah ini halal atau haram " dan dalam satu hadis yang lain diriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. mengirim seorang utusan untuk mengumpul zakat dari satu kabilah, tetapi setelah utusan itu mengadap nabi, sebahagian barang yang dibawanya itu dipegang dan dia berkata kepada nabi s.a.w., " ini untukmu dan ini pula untuk saya yang diberikan oleh pembayar zakat, sebagai hadiah kepada saya,' mendengar ucapan itu nabi s.a.w. marah seraya bersabda, " mengapa tidak sahaja kamu tinggal di rumah bersama dua ibu-bapa kamu sehingga hadiah itu sampai kepadamu, sekiranya kamu orang yang jujur ".
Kaum muslimin yang berbahagia,
Islam mengharamkan rasuah dalam apa jua bentuk dan nama. Oleh kerana tidak ada dialih dengan menerima suatu yang jelas rasuah dengan niat menerima hadiah. Perbuatan itu tidak akan mengeluarkan dari hukum haram menjadi halal. Saidina Omar Abdul Aziz pernah diberi hadiah sewaktu  beliau menjadi khalifah tetapi ditolaknya, kemudian dia dikatakan kepadanya " Rasulullah menerima hadiah " maka Omar Abdul Aziz menjawab, " apa yang diterima oleh Rasulullah itu memang menerima hadiah, tetapi ini buat saya adalah suapan (rasuah).
Rasulullah pernah bersabda dari riwayat Abu Daud yang bermaksud " Barangsiapa yang kaya, berikan pekerjaan dan kami berikan gaji apa yang diambil selebihnya dari itu bererti penipuan.'
Kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Ambillah pengajaran dari sikap berhati-hati yang ditunjukkan oleh Khalifah Omar Abdul Aziz, akan tetapi pada akhir zaman ini manusia tidak lagi menapis sumber rezeki mereka, asalkan benda itu menguntungkan mereka. Kebaikan manusia ingin cepat kaya dan menganggap harta kekayaan sebagai matlamat penting dalam kehidupan. Lantaran itu mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat masing-masing.
Di zaman ini menyaksikan masyarakat tidak lagi mengamalkan sifat malu dalam kehidupan seharian mereka, sikap tidak malu inilah yang mendorong berlakunya rasuah, pecah amanah, berdusta dan pelbagai lagi. Mereka tidak malu kepada Allah dan tidak malu kepada masyarakat untuk membuat dosa dan maksiat.
Kaum muslimin yang dikasihi,
Oleh kerana itu, pada hari ini sama-samalah kita membina keperibadian diri agar kita tidak terlibat dengan rasuah dan mencari rezeki yang tidak halal samada sebagai pemberi rasuah, penerimanya atau perantaranya. Kerana Allah dan rasulnya melaknat ketiga-tiga golongan tersebut. Dan peringatan Rasulullah s.a.w. yang bermaksud " pemberi rasuah dan penerima rasuah kedua-duanya masuk neraka.'
Sidang jumaat sekalian,
Islam amat menitikberatkan rezeki halal, rezeki yang diperolehi secara rasuah, pecah amanah dan suatu yang negatif adalah haram dan berdoasa. Sedangkan banyak lagi bidang rezeki yang halal di atas muka bumi ini. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 168 yang bermaksud : " Wahai manusia, makanlah yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat dibumi dan janganlah kamu mengikut jejaklangkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata'.

HEP UIAM Biadap
Posted on Saturday, November 09 @ 17:30:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur



Saya, mewakili Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) dahulukan kenyataan ini dengan kecaman dan bantahan terhadap kebiadapan HEP UIAM, Dr. Mizan Hitam yang melakukan pencabulan demokrasi ke atas perjalanan Pilihanraya Kampus (PRK) UIAM dan dalam proses pemilihan Presiden MPP UIAM yang telah diadakan pada Isnin (4 Nov.) lalu.

Tahun lalu, PRK UIAM yang juga dibawah seliaannya telah dicemari dengan peristiwa pembatalan keputusan PRK sehingga terpaksa diadakan semula PRK buat kali kedua. Sebelumnya lagi dan sejak dia berkhidmat di UIAM, telah banyak kali berlaku tragedi malang yang menjatuhkan maruah dan wibawa UIAM dan seluruh warganya sehinggakan UIAM yang dikenali dengan jolokan Taman Ilmu dan Budi bertukar kepada Taman Tangguh dan Batal kerana banyak acara utama yang mendapat sambutan mahasiswa UIAM dibatalkan secara 'adhoc' dan tanpa sebab munasabah.

Tahun ini pula, 'shock news' yang 'diumumkan' oleh Dr. Mizan Hitam ialah dia berkuasa menentukan Presiden, tatacara pemilihan empat jawatan utama MPP UIAM adalah atas budi bicaranya, Timb. Presiden 1 (Antarabangsa) hanya boleh dipilih oleh calon antarabangsa dan dia mengendalikan pengiraan undi membelakangkan MPP yang hadir. Perbuatan-perbuatan ini adalah bercanggah dengan Perlembagaan UIAM dan bertentangan dengan prinsip-prinsip demokrasi. Dari aspek akhlak Islamiyyah pula, dia tidak amanah bahkan khianat terhadap tanggungjawab yang telah dipikulkan ke atasnya. Dia tiada integriti dalam melaksanakan tugasnya.
Meneliti peristiwa ini, saya mendesak supaya :
1. Rektor dan Majlis Senat (Senate Council) UIAM menubuhkan tribunal khas bagi menyiasat salah laku yang dilakukan oleh Dr. Mizan Hitam serta menggantung semua jawatan yang sedang disandangnya.
2. Rektor mengumumkan kebenaran diadakan semula syura pemilihan Presiden dan jawatan lain yang berkaitan serta menyerahkan proses itu sepenuhnya kepada MPP sebagaimana yang telah diperuntukkan oleh perlembagaan UIAM.
3. Pentadbiran UIAM memulihkan perjalanan PRK UIAM dengan cara melibatkan wakil pelajar yang terdiri daripada bekas MPP sebagai anggota dalam Election Committee (EC) dan menyerahkan EC untuk dipengerusikan oleh individu yang dicadangkan namanya oleh bekas MPP.
Apa yang memusykilkan saya ialah, berdasarkan 'track record' buruk yang dimilikinya, mengapakah dia masih dipilih mempengerusikan EC untuk PRK kali ini? Siapakah Dr. Mizan Hitam ini sehingga Rektor selaku orang nombor satu UIAM tidak berani campur tangan dalam urusannya? Kenapa dia bebas pula untuk lakukan apa juga misinya tanpa halangan? Apa juga jawapannya, integriti dan kredibilitinya sudah jelas tiada dan punah ranah. Keberadaannya di UIAM merosakkan nilai ilmu dan budi yang telah dibina oleh warganya sekian lama.
Satu penyelesaian sahaja, "NO MIZAN, NO CORRUPTION". Ayuh, saya seru kepada seluruh mahasiswa dan rakyat Malaysia, untuk gerakkan dan sebarluaskan kempen ini sebagai desakan kepada Dr. Mizan Hitam supaya meletak jawatan dan juga sebagai simbolik bantahan terhadap penyelewengan yang berlaku dalam PRK di semua kampus. Ayuh kempen! "NO MIZAN, NO CORRUPTION" sehingga pemilihan Presiden MPP UIAM kembali diadakan secara telus.
EIKHWAN ALI
Timbalan Presiden,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)


 Gula Murah Di Dun Pelangai Selepas Ini?
Posted on Saturday, November 09 @ 17:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur



SAHIH atau tidak, Wallahu Aklam. Ada aku baca berita bahawa MB Pahang, Tok Nan kita kini sedang uzur. Itulah yang aku dengar, dan tentunya atas dasar kemanusiaan kita mesti doakan Tok Nan sihat. Doa kita agar dia sihat bukan untuk dia menyambung hayat bersama rejim yang zalim cuma kita doakan dia sihat agar sempat bersama golongan yang menentang kezaliman dan menegakkan keadilan bukannya bersekongkol dengan mereka.

Apa yang aku mahu sebut di sini, jika kerajaan rasa perlu mahu jual gula murah sehingga RM1 sekilo seperti di PRK Dun Sg Limau baru-baru ini, kerajaan boleh lakukan sekarang.  Kita tidak mahu jika berlaku PRK di mana-mana tempat walaupun di Dun Pelangai kawasan Tok Nan sekalipun, rakyat terus dipermainkan dengan harga gula ini.  Sekarang boleh mula jual di Dun Pelangai, jangan tunggu PRK.
Alasan utama kerajaan naikkan harga gula adalah demi kesihatan rakyat kononnya walaupun alasan itu menjadi bahan ketawa pakar-pakar kesihatan malahan menjadi bahan lawak pelajar-pelajar perubatan.  Apabila harga gula tiba-tiba turun harga ke paras RM1 sekilo, lebih pelik lagi hanya turun harga di Dun Sg Limau sewaktu kempen PRK berlangsung, maka apa hujahnya pula?  Adakah kerajaan mahu rakyat di Dun Sg Limau mengalami kencing manis kesemuanya?  Atau, adakah gula yang dijual di situ gula keluaran terbaru yang kurang manis dan tidak menjejaskan kesihatan?  Jika begitu, kenapa tiada gula jenis itu dijual di tempat lain?  
Apabila ditanya kepada Jamil Khir, menteri agama Umno yang sepatutnya tahu bahawa kuat berbohong itu sifat-sifat orang Munafik, beliau dengan selamba menjawab itu adalah kebetulan tiada kaitan dengan pilihanraya di Dun Sg Limau.  Ertinya, kebetulan harga gula murah di Sg Limau sahaja tiada di tempat lain.  Maka, itu bukan rasuah lah kononnya.  SPR pun angguk bagitahu kita bahawa bukan rasuah jual harga gula murah walaupun hanya di Sg Limau.  Siapa tidak kenal SPR?  
Jamil Khir kata lagi, bukan pelik harga gula dijual murah kerana sudah kebiasaan ada pasaraya yang kadangkala tawarkan harga barang murah.  Lagi buat kita terkentut mendengar hujah Jamil Khir.  Kita semua tahu bahawa gula adalah salah satu barangan terkawal yang sudah tentunya harga tidak boleh ditetapkan sesuka hati.  Dan, jika benar itu adalah promosi atau tawaran murah dari pasaraya, mengapa tidak dijual di pasaraya agar orang lain boleh membelinya?  Mengapa dibawa ke Sg Limau?  Selalunya kita yang akan pergi ke pasaraya untuk membeli harga murah yang ditawarkan.  Tetapi pelik di Sg Limau, rakyat tidak perlu keluar membeli tetapi gula datang mencurah ke situ.  Bukan rasuah, kata SPR!!
Pelik lagi, tidak pula disebut pasaraya mana yang menawarkan harga gula serendah itu.  Cuba masa sekarang kita pergi ke Sg Limau ada tak lagi tawaran harga gula murah?  Kirim salam ok.  Jelas pada kita Jamil Khir bukan saja sanggup tipu rakyat bahkan secara langsung dia juga turut menipu bapa dan keluarganya sendiri di sana.  Kalau sudah bapa sendiri pun sanggup dia tipu sedemikian, siapa kita pada Jamil Khir?  Tidak peliklah orang seperti ini sanggup guna duit zakat untuk membayar peguam bagi menghalang kes Qazaf. 
Sehubungan itu, sekali lagi kita harapkan agar jualan gula murah seperti di Sg Limau itu dibuat sekarang.  Tidak perlu tunggu PRK di Dun Pelangai kerana kita harap Tok Nan sihat.

Dicatat oleh WFAUZDIN NS
http://wfauzdin.blogspot.com/


 Satu Dekad Hari Integriti Nasional : Integriti Pemimpin Negara Wajar Diberikan P
Posted on Saturday, November 09 @ 16:30:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur



1. Intelek Malaysia merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Institut Integriti Malaysia (IIM) yang telah berjaya melaksanakan tanggung jawab untuk mendidik masyarakat Malaysia ke arah menjadikan masyarakat yang berintegriti dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu.
2. Ia bersesuaian dengan visinya iaitu membentuk masyarakat Malaysia yang beretika, berintegriti dan berdaya tahan di mana warganya mempunyai nilai-nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh dan ditunjangi budi pekerti yang mempunyai nilai-nilai murni sejagat.


3. Pada setiap tahun, tarikh 5 November telah diistiharkan Sebagai Hari Integriti Nasional yang mana tarikh ini dipilih mengambil sempena tarikh di mana penubuhan IIM dan Penggubalan Pelan Integriti Nasional (PIN) diumumkan kali pertama oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi. 4. Walaupun tidak ada sambutan khas sempena sambutan Hari Integriti Nasional pada tarikh 5 November 2013 namun IIM telah pun merancang untuk menganjurkan satu seminar bertema 'Pelan Integriti Nasional: Sedekad Bersama Rakyat' sempena Hari Integriti Nasional 2013 pada 14 November 2013 yang akan datang ini.
5. Melaksanakan tanggung jawab untuk meningkatkan tahap integriti rakyat Malaysia adalah merupakan satu perkara yang cukup mencabar lebih-lebih lagi ia memerlukan satu proses yang lama dan tersusun khususnya di negara Malaysia yang sedang berusaha untuk menigkatkan tahap kesedaran rakyat terhadap jenayah rasuah dan salah guna kuasa.
6. Indeks persepsi rasuah (CPI) Malaysia walaupun bertambah baik tahun lalu iaitu pada kedudukan ke-54 daripada 174 negara dengan skor 49 mata jika ingin dibandingkan pada kedudukan ke-60 tahun 2011 namun kedudukan CPI Malaysia ini masih lagi teruk jika dibandingkan dengan kedudukan Malaysia di tempat ke-43 daripada 179 negara pada tahun 2007 dan jauh lebih teruk daripada kedudukan ke-33 daripada 102 negara pada 2002.
7. Apa yang pasti, isu yang melibatkan penyelewengan dan rasuah berterusan menghantui negara. Ini terbukti dengan Laporan Ketua Audit Negara yang terus melaporkan pelbagai bentuk kelemahan dan penyelewangan dalam urus tadbir kerajaan tetapi ia seolah-olahnya tidak memberikan kesedaran kepada masyarakat secara umumnya.
8. Kewujudan Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi memerangi rasuah masih lagi di lihat tidak cukup kebal, sebagai contohnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak diberikan kuasa untuk mendakwa kes siasatannya di Mahkamah kerana masih bergantung kepada Peguam Negara untuk melakukannya. Jika Peguam Negara ‘membekukan' kes tersebut maka usaha yang dilaksanakan oleh SPRM walaupun kes tersebut telah disiasat dengan teliti tidak akan kemana.
9. NKRA Membanteras Rasuah juga tidak memperlihatkan kemampuan untuk menyelesaikan kes rasuah yang berstatus ‘profil tinggi' besar sehingga menyebabkan ‘jerung-jerung' rasuah terlepas daripada dakwaan seperti yang berlaku baru-baru ini terhadap bekas Menteri Pengangkutan Ling Liong Sik di dalam skandal RM12.6 bilion PKFZ. Begitu juga terhadap kes seorang Menteri UMNO yang berasal dari Sabah, Kasitah Gaddam dan bekas pengerusi Perwaja, Eric Chia, yang mana kedua-duanya didakwa atas tuduhan rasuah dengan riuh sebelum pilihan raya umum 2004 namun kedua-duanya dibebaskan.
10. Skandal "sumbangan politik kepada UMNO Sabah" RM40 juta melibatkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan ahli perniagaan balak Sabah Michael Chia serta pendedahan kekayaan luar biasa yang berjumlah RM64 bilion keluarga Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud sepanjang 30 tahun menjadi Ketua Menteri Sarawak memperlihatkan betapa kepimpinan negara semakin sukar untuk mengelakkan diri daripada terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa.
11. Laporan Ketua Audit Negara berterusan mendedahkan pelbagai penyelewengan dan salah urus pentadbiran agensi kerajaan yang akhirnya menjadi bahan jenaka di dalam masyarakat. Laporan Ketua Audit Negara pernah mendedahkan kes berkaitan dengan pembelian teropong Bushnell Binocular yang nilai harga asal adalah RM2,827 boleh berubah kepada RM 56,350 iaitu peningkatan sebanyak 1,893%. Laporan Ketua Audit Negara juga telah mendedahkan kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang melibatkan keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mendapat pinjaman mudah RM250 juta dan tanah seluas 5000 ekar.
12. Laporan Ketua Audit Negara yang paling akhir iaitu tahun 2012 telah mendedahkan bahawa kerajaan terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM4.89 juta akibat kegagalan Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat tuntutan daripada pihak bank/syarikat insurans terhadap tiga projek yang dimansuhkan. Laporan ini juga telah menegur Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) kerana aset lukisan bernilai RM3.05 juta tidak dipamer dan disimpan dengan teratur. Begitu juga Laporan Ketua Audit Negara ini mempersoalkan bayaran sebanyak RM320,000 oleh Kementerian Kesihatan kepada dua syarikat untuk dua kempen dalam talian menerusi Facebook dan Twitter.
13. Jika salah guna kuasa dan penyelewengan berterusan berlaku di dalam negara maka ia akan memberi kesan yang negatif terhadap masyarakat khususnya golongan muda yang diharapkan supaya hidup berintegriti dan ini akan menyebabkan usaha IIM mendidik masyarakat Malaysia akan menemui kegagalan. Generasi muda, apabila memerhati tingkah laku pemimpin yang tidak melaksanakan amalan integriti sebenar, maka janganlah kita kecewa sekiranya generasi muda akan terikut-ikut ataupun tidak mengambil endah terhadap integriti mereka.
14. Kerana itu, Intelek Malaysia percaya bahawa Integriti adalah merupakan satu nilai yang wajib disematkan dan dilekatkan ke dalam diri seseorang yang bergelar pemimpin, khasnya pemimpin sesebuah negara bukan hanya tertumpu kepada golongan masyarakat biasa kerana pemimpin menjadi contoh kepada mereka yang dipimpinnya. Nilai Integriti seorang pemimpin yang tinggi akan melahirkan seorang pemimpin yang bertanggungjawab terhadap organisasi yang dipimpinnya dan nilai Integriti ini sememangnya wajar dipertingkatkan terhadap pemimpin negara kita.
Membina Negara Berintegriti dan Telus
Sekian, wassalam

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Presiden Intelek Malaysia

http://www.intelekmalaysia.org/

 Jangan lupa isu subsidi harga padi
Posted on Saturday, November 09 @ 16:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur





Ketika membuat tinjauan singkat ke Sungai Limau, sembilan hari sebelum hari mengundi, bertemu rakan-rakan lama wartawan, teman-teman yang dekat dengan Almarhum Ustaz Azizan Abd Razak dan pimpinan parti yang bertanggungjawab langsung dengan kempen, saya yakin kubu kuat PAS itu sukar ditembusi.

Tidak dapat saya bayangkan bagaimana seandainya PAS kalah Sungai Limau selepas melalui kepiluan yang menyayat hati selepas gagal mempertahankan kerajaan negeri dalam PRU13.

Secara tradisinya, kedudukan Dun ini (dulunya Sala) adalah pada ranking kedua terkuat, selepas Tokai (dulunya Bukit Raya), walaupun keputusan pilihan raya umum Mei lalu menunjukkan kerusi Anak Bukit dan Pengkalan Kundor mencatatkan majoriti kemenangan lebih tinggi buat calon PAS; Amirudin Hamzah dan Phahrolrazi Mohd Zawawi. Dun Bukit Pinang (dulunya Langgar Limbong) juga dalam senarai kerusi selamat, lama sebelum masyarakat Tionghua mendekati PAS.

Semasa berehat di Markas PAS Jerai, saya cuba berkongsi kekhuatiran sambil mengambarkan situasi paling sulit. Tidak mudah berdepan pilihan raya kecil, apatah lagi jentera kempen BN yang diketuai Mukhriz Mahathir, yang baru kalah dalam pemilihan naib presiden Umno, pastinya bersedia melakukan apa sahaja untuk mencipta kejutan.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Mahfuz Omar, yang nampak letih menjelang Maghrib, tidak menunjukkan keyakinan tinggi untuk mempertahankan majoriti Ustaz Azizan. Walaupun beliau agak bimbang dengan kempen agresif BN menyalahgunakan jentera, kemudahan dan sumber kerajaan serta agensi berkaitan, termasuk kemungkinan rasuah politik berbentuk wang tunai, Mahfuz lebih selesa menyandarkan kepada kematangan pengundi untuk mengekalkan PAS.

"Ada maklumat kata Umno dah mula agih RM200 setiap pengundi," seorang petugas parti yang bersama kami mencelah.



Tentulah khabar itu langsung tidak mengejutkan, malah ia sekadar membayangkan lebih berganda rasuah secara terang-terangan akan dicurahkan. (Apa tidaknya, menjelang hari mengundi, gula yang naik harga ekoran Bajet 2014 pun boleh dijual RM1 sekilogram, sekampit beras 5 kg hanya ditawarkan harga Rm5).

Ya, tiada rancangan Felda di Sungai Limau tetapi pengerusinya, Isa Samad begitu bermurah hati turun membawa dana memperbaiki rumah! Pelbagai karnival dan pesta anjuran kementerian, yang turun khas dari Kuala Lumpur, semata-mata untuk meraih undi.

Secara peribadi fikiran saya segera terlintas kepada beberapa personaliti besar Sungai Limau, yang menyediakan tapak terbaik buat warganya mencintai ilmu dan menghayati ajaran agama, sekali gus menjadi pendinding kepada asakan dan umpan BN itu. Misalnya, Almarhum Tuan Guru Yahya Junid dan Pak Man Bukit Besar, selain dua bekas Adun, yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Azahari Abd Razak dan Ustaz Azizan Abd Razak.

Petang Sabtu itu, saya turut menjentik idea Zulkifli Yahaya, kolumnis Harakah, yang turut bertanggungjawab dengan jentera penerangan kempen. Zul melihat kepentingan untuk "mengepung" penyokong PAS daripada membazirkan masa dan tenaga untuk melobi pengundi BN.

Namun, Zul kelihatan cuak dengan kemungkinan pengundi luar kawasan yang tidak balik mengundi. Majoriti mereka adalah penyokong PAS. Faktor cuti dan kewangan menjadi penghalang, lagipun PRU13 baru saja berlalu, dan kebanyakan mereka berhari raya haji di kampung. Dia juga bimbang dengan pengaruh rasuah politik.


"Kepada Umno, untuk menang mereka perlukan sokongan penyokong PAS," tambah seorang rakan, "dan sebenarnya cukup baik buat BN jika ada penyokong PAS yang tidak keluar mengundi. Hal ini sudah berlaku dalam PRU13 dan ia sememangnya dirancang oleh BN."

Mengetahui Dr Mahathir Mohamad turun berkempen, seorang kawan menelefon saya: "Kali ini Mahathir sengaja mahu susahkan anaknya, Mukhriz. Orang Sungai Limau kuat pegangan agama, Mahathir ada sejarah lampau yang buruk tentang Islam."

"Tapi Dr Mahathir nampak rapat dengan Ustaz Azizan, dia turun sampai ke kubur hari Ustaz dikebumikan," saya mengusiknya. "Ya, dia mungkin mahu mengelirukan penyokong PAS, tapi Mahathir silap tempat, masanya sudah berakhir," pintas cepat kawan saya itu.

Pada hari mengundi, saya ada rawatan rutin di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras. Menjelang petang, bertali arus SMS bertanyakan mood di Sungai Limau, mungkin mereka menjangkakan, sebagai anak Kedah saya berada di medan. Saya diamkan saja, tidak membalas.

Memang Sungai Limau kritikal dan cukup penting, bukan saja buat PAS Kedah, tetapi imej parti seluruhnya, terutama untuk mengukur kecenderungan mengundi masyarakat Melayu yang dikira tidak memberi sokongan padu dalam PRU13.

Pilihan raya kecil ini juga penting untuk menyuntik semangat dan keyakinan buat petugas parti di peringkar akar umbi. Kehilangan Kedah, Mei lalu, meninggalkan impak besar, terutama dari segi psikologi, sementalahan pula sudah menjadi rahsia umum "pergolakan dalaman" PAS yang agak serius.

Ada pihak cuba menafikan konflik dalaman Ustaz Azizan dan beberapa tokoh penting PAS Kedah, yang memberikan persepsi negatif dan turut menyumbang kekalahan. Bagaimanapun, seorang kenalan yang sempat saya temui di Sungai Limau mempunyai pandangan berbeda, dan serentak itu memberi amaran: "Ia bukan hanya berlaku di peringkat negeri, malah lebih teruk di peringkat kawasan. PAS jangan bermimpi berkuasa semula jika krisis ini tidak diatasi."

"PAS perlu kembali kepada kekuatan asalnya, seperti pada 1999, dengan mengambil berat sokongan pengundi bukan Melayu yang semakin bertambah. Jadilah iktibar pengalaman pahit lalu, untuk bersedia mengukuhkan jamaah. Jangan kita menembak kaki sendiri," tambahnya.

Dalam teksi, dari HUKM ke kediaman di Bukit Ampang, saya menerima SMS yang agak menggusarkan. "Dikesani agak ramai penyokong PAS tidak keluar mengundi, kalau menang pun di bawah 1,000 undi." Mesej itu agak selari dengan kebimbangan awal, tapi saya sendiri keliru, jika benar berlaku, atas faktor apa mereka tergamak "memboikot" parti. Tak mungkin, rungut saya sendiri.

Seorang lagi rakan wartawan berkongsi kerisauannya: "Jangan terkejut kalau kita kalah, ramai pengundi dah dibeli. Pengundi luar pula tak balik, Peratusan mengundi kurang."

"Bukan isu baru, Umno tabur duit, korup dan beli sokongan," balas saya. "Sampai bila kita nak berdepan dengan asakan rasuah politik ini. Mesti fikirkan untuk tamatkannya," saya membalas panggilan telefon rakan yang tidak berpuas hati itu.

"Masalahnya, kita sendiri, aktivis Pakatan, seolah-olah dapat menerima rasuah masa pilihan raya memang kelebihan kepada BN. Kita lawan pun tak bersungguh. Apatah lagi rakyat, majoriti mereka memang menunggu habuan jatuh dari langit masa kempen," saya terus berkhutbah.

Rakan saya di hujung talian tidak bersedia membalas. Mungkin dia, seperti juga saya, lebih risaukan kalau PAS kalah. "Majoriti tak penting, bawah 500 pun okey, asalkan menang," ujarnya sebelum menutup perbualan.

Dalam kesesakan lalulintas, saya semakin rimas. Amaran doktor tentang fungsi ginjal saya yang merosot teruk tidak membekas lagi. Kaki kanan yang kebas ekoran serangan angin ahmar setahun lalu juga tidak terasa.

Isteri yang menemani sekadar tersenyum di sebelah dan meyakinkan saya bahawa kebanyakan orang Sungai Limau mahir berpolitik dan tidak semudah itu mengalihkan sokongan.

Siti Hawa  masih menggengam senaskhah Harakah, dengan tajuk utama "Naikkan Subsidi Padi". Katanya, sebagai anak bendang saya mesti memperjuangkan kebajikan masyarakat pesawah yang terbiar.

Isteri saya tertarik dengan gaya Presiden PAS menabur benih padi, seperti disiarkan di muka depan Harakah, yang turut diedarkan percuma kepada pengundi Sungai Limau.

"Kalau isu peneroka Felda banyak diketengahkan, dan kerajaan terpaksa pandang berat, kenapa masalah pesawah macam tak dipedulikan langsung. Jangan tunggu orang lain, Harakah mesti ke depan," dia seperti mencabar saya.

Segera saya teringat SMS pembaca Harakah yang saya terima 29 Oktober lalu: "Sungai Limau kawasan padi, dulu potongan padi paling tinggi 12%, sekarang paling rendah 18%, berapa ratus ringit petani rugi serelung, kalau 2 tan? Besarkan isu ini, tentu dapat perhatian pusat."

Harakah melaporkan kenyatan Pengerusi Lajnah Asas Tani PAS Pusat, Amiruddin Hamzah yang menekankan kadar subsidi harga padi sekarang hanya RM248 satu tan dan ia tidak pernah dinaikkan sejak 23 tahun lalu. Menjelang PRU13, PAS mencadangkan agar ia dinaikkan 50 peratus kepada RM372.10 satu tan, tetapi tidak dipedulikan kerajaan.

Berdasarkan kajian, ujar Amirudin, jika dinaikkan subsidi dalam kadar yang dicadangkan itu, kerajaan hanya perlu menambah RM250 juta sahaja setahun dan ia akan memanfaatkan hampir 2,200 keluarga pesawah.

Malam itu, sebelum jam 8, bertali arus SMS masuk memaklumkan keputusan tidak rasmi. "Menang, majoriti 1, 200." Alhamdulillah, lega dan menyenangkan sekali.

"Kenapa kurang majoriti, Lutfi?" tanya rakan lama dari Alor Setar, seorang jurutera. Dia tetap yakin Kedah di bawah PAS membawa pelbagai pembaharuan yang positif buat rakyat. Sampai hari ini beliau masih tidak memahami bagaimana PAS boleh kalah di Kedah.


"PAS berlawan bukan saja dengan dua kerajaan, tapi berdepan rasuah dan salahguna kempen BN," jawab saya sahaja, mengulangi alasan lazim.

"Tapi rakyat juga yang untung, 'kan? Sepatutnya Harakah berusaha tingkatkan ilmu dan kematangan politik orang kampung, terima segala bantuan dan hadiah, tapi undi tetap rahsia," jawabnya.

Sebelum tidur seorang wartawan internet meminta pandangan. Saya lebih berminat menimbulkan isu korupsi dalam kempen BN. "Apakah selamanya kita akan berterusan terperangkap dalam lingkaran setan ini, sentiasa berdepan isu sama setiap kali pilihan raya, yang bertungkus lumus berkempen untuk BN adalah orang kerajaan, agensi yang diperalatkan, termasuk perisikan polis dan tentera ... Dan sampai bila ini akan menjadi alasan rutin bila undi kita jatuh atau kita sendiri kalah dalam post mortem nanti ...."

Dia bertanya balik, bagaimana caranya? Apakah sekadar membangkitkan dalam perbahasan Parlimen, terutama mengungkit soal dana awam yang mudah dipergunakan tanpa kelulusan bajet atau membuat kenyataan akhbar menyerang SPR? Atau satu lagi demonstrasi Bersih? Ke mahkamah pun hanya membazirkan wang, yang jumlahnya bukan sedikit.


Saya tidak sedar ada aduan daripada Pemuda PAS Kedah agar Sultan Kedah sendiri "campur tangan" dalam isu salahguna agensi kerajaan negeri semasa kempen.

Belum lagi diperhalusi manipulasi media, khususnya TV. Ramai bosan mendengar isu sama dibangkitkan, tetapi itulah hakikatnya, tahap demokrasi kita masih dalam "liga peringkat bawahan" dan kita terus terperangkap dalam "lingkaran setan" yang tidak berkesudahan ini.


Seorang editor penyiaran memberi komen ringkas kepada SMS saya: "BN buang duit di Sungai Limau tapi rakyat untung. PAS perlu akui ada masalah dalaman di Kedah dan kena atasi segera."

Mengingatkan Sungai Limau yang kini ditinggalkan, di samping keperluan terus mendesak subsidi harga padi dinaikkan, saya terpaku dengan kunci kata rakan baik saya itu, iaitu "masalah dalaman PAS Kedah" yang  harus diakui dan diselesaikan segera ...



AHMAD LUTFI OTHMAN
KETUA EDITOR
HARAKAH


Tiada ulasan: