Selasa, 2 Julai 2013

SOLAT MEMANG TAK BOLEH TINGGAL...SYAITAN YANG MENGHALANG KITA NAK MELAKUKAN KETAATAN KEPADA ALLAH...SYAITAN PULA MEMUJUK AGAR KITA BUAT MAKSIAT SERTA AGAR KITA TIDAK TAAT KEPADA ALLAH SWT

Mesir: Apabila sekular tergugat

Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat, 01 Jul 2013
Mesir dicemburui oleh musuh-musuhnya bukan kerana Ahram atau Sungai Nil, tidak juga kerana kehebatan binaan Piramid atau keindahan puncak Tursina. Mesir dicemburui kerana al-Azhar. Di sinilah terasasnya tamadun ilmu yang terkenal ke seluruh dunia. Lahirnya di situ bukan seorang dua ulama bahkan ribuan kalaupun bukan jutaan murabbi ummah yang bertebaran ke seluruh dunia. Bangunnya al-Azhar kerana sumber wakaf tanpa bantuan dari dana kerajaan cukup menggelisahkan musuh-musuh Islam. Justeru, kehebatan ini wajib dihancurkan.

Hari ini, Mesir berdepan dengan satu lagi krisis ciptaan golongan sekular yang enggan mengaku kalah di gelanggang demokrasi. Demokrasi ialah ciptaan Barat, ia bukan ciptaan Islam, tetapi nilai-nilai demokrasi diterima dan diiktiraf sebahagiannya oleh Islam. Sayangnya, apabila tiba saat rakyat membuat pilihan menolak pemimpin yang pro-Barat, pada masa itulah demokrasi dinafikan dan sekular akan mengeluarkan pedangnya yang sebenar untuk memancung demokrasi.

Di Mesir, Mursi menang melalui pilihan raya yang bersih. Tanpa penipuan dakwat kekal, tanpa blackout dan tanpa senarai pengundi yang diragui, Mursi ditabalkan menjadi Presiden sekalipun disambut sinis oleh Israel yang bimbang pengaruhnya terhakis. Namun, kerana sekular menjarah begitu lama di bumi anbia ini, bukan satu kerja yang senang untuk membebaskan Mesir dan belenggu sekular. Inilah masalah sebenar Mursi, iaitu membebaskan Mesir dari perhambaan sekular yang sudah berdekad-dekad memenjara rakyat Mesir.

Ini bukan sejarah baru di Mesir, bahkan ia telah berlaku ribuan tahun yang lampau pada saat Nabi Musa alaihissalam mahu membebaskan Bani Israel dari kezaliman Firaun. Mereka dibantu oleh mukjizat yang tidak kecil daripada Allah SWT. Baca sahaja di dalam al-Quran, kita akan dapati peristiwa laut terbelah, tongkat yang menjadi ular, batu mengeluarkan air, turunnya makanan dan minuman dari langit dan banyak lagi peristiwa besar yang berlaku sepanjang dakwah Nabi Musa alaihissalam. Namun, al-Quran merakamkan perangai Bani Israel yang seringkali enggan untuk berubah. Degil dan keras kepala ialah lambang Bani Israel yang digambarkan di dalam al-Quran.

Warisan sikap Bani Israel wujud di Mesir sekarang. Sekalipun sebahagian besar rakyat Mesir kelihatan menyokong Mursi, namun anak cucu Bani Israel yang mewarisi perangai datuk nenek mereka tetap melakukan kekacauan di bumi anbia. Inilah natijahnya apabila sekular dijadikan kiblat, apabila demokrasi yang bersih menghadiahkan trofi kemenangan kepada musuh politik mereka, mereka tidak akan berdiam diri. Ini juga yang berlaku di Turki dan Gaza.

Di Malaysia, saudara mara sekular juga nampak berminat mengikut langkah yang sama. Kekalahan di dalam pilihan raya membawa kepada dasar penindasan dan penafian hak. Ditubuhkan kerajaan di dalam kerajaan, dinafikan bantuan kepada golongan yang memerlukan dan dinafikan hak ke atas hasil mahsul bumi merupakan buah-buah yang lahir dari pohon-pohon sekular yang tidak kenal sempadan dosa dan pahala.

Untuk Mesir ini, kita sama-sama menadah tangan supaya pemimpin yang bersendikan Islam sebagai akidah perjuangan diberikan kekuatan oleh Allah SWT. Gunakanlah peluang pada bulan Ramadhan untuk merayu dan merintih kepada Allah SWT. Dialah Pemilik kepada segala kerajaan.

Pendaftaran pelajar ke IPGM mendukacitakan

Bapa Guru, Pulau Pinang.,
Minggu ini bermula daripada 24hb Jun 2013 adalah minggu pendaftaran pelajar-pelajar baru lepasan SPM 2012 ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). Apa yang menyedihkan ialah bilangan pelajar yang mendaftar turun dengan mendadak di kebanyakan IPG Kampus. Sebagai bukti hanya 25 orang pelajar daripada 60 orang yang dipanggil mendaftar di salah sebuah IPG. Ini bermakna hanya 7-8 orang pelajar sahaja dalam satu kelas.

Kenapa ini berlaku?

Umum sudah mengetahui bahawa pelajar-pelajar IPG dikatakan tiada lagi jaminan kerja pada masa hadapan. Maklumat-maklumat ini disalurkan oleh pegawai dari IPGM sendiri kepada umum. Mereka kononnya perlu bersaing dengan pelajar-pelajar dari IPTA dan IPTS lain dalam pasaran terbuka. Untuk mendapatkan pekerjaan mereka perlu mendaftarkan diri dalam Job Malaysia dan berbagai lagi ancaman terdedah ke atas mereka. Fenomena ini sudah pasti menjadi kerisauan kepada ibubapa dan pelajar itu sendiri. Kenapa mereka perlu melabur dalam satu urusniaga yang tidak menjanjikan pulangan yang diharapkan? Kenapa mereka perlu bersusah payah memenuhkan IPGM yang tidak memberikan keyakinan terhadap peluang kerjaya? Sebagai ibubapa saya akan pastikan anak saya yang cemerlang tidak memohon IPGM jika benar apa yang sedang berlaku.

Lebih melucukan lagi apabila syarat kemasukan ke IPGM sangatlah ketat. Hanya pelajar yang mendapat 7A ke atas sahaja layak memohon. Manakala pelajar yang tidak sampai ke tahap itu hanya gigit jari dan meleleh air liur. Siapa yang merangka syarat-syarat sebegini rupa? Mereka adalah pegawai-pegawai di IPGM yang merasakan diri mereka orang-orang yang cerdik dan berpengalaman dalam pendidikan kononnya. Sebenarnya pegawai-pegawai ini adalah mereka yang tamak, gelojoh dan pendek akal atau kurang cerdik. Mereka lupa siapa diri mereka yang sebenarnya.

Kenapa dikatakan begitu kepada mereka?

Bagaimana mereka boleh meletakkan syarat “straight A” atau sekurang-kurangnya 7A hanya layak memohon. Sedangkan dalam masa yang sama mereka gagal menjanjikan kerjaya kepada produk mereka? Inilah yang sangat melucukan dan melambangkan kelembapan tahap pemikiran pegawai-pegawai pembuat dasar ini. Bagaimana mereka menilai kemampuan pelajar-pelajar ini? Apakah statusnya sama dengan kelulusan pangkat 3 SPM pada zaman mereka dahulu?

Pelajar-pelajar yang cerdik dan cemerlang sudah pasti tidak akan terpanggil untuk ke IPGM. Banyak lagi kerjaya lain yang lebih menarik dan glamor berbanding dengan perguruan. Kenapa mereka perlu mengorbankan masa, tenaga dan peluang untuk mencapai sesuatu yang tidak berdaya saing dan tidak menjanjikan masa depan yang lebih yakin? Inilah sebab utama kenapa pendaftaran pelajar ke IPGM merudum. Ia juga satu jawapan istimewa bagi para pembuat dasar di Kementerian Pelajaran dan IPGM khususnya. Akhirnya IPGM hanya akan dipenuhi oleh pelajar-pelajar kelas ketiga iaitu mereka yang tidak ada peluang ke mana-mana sama seperti yang berlaku sebelum ini. Wal asal balik asal….

Jangan kerana sebiji bola solat tergadai (gambar)

http://naimnikmat.blogspot.com, 30 Jun 2013

Penyokong Kelantan solat berjemaah di stadium....Mungkin inilah hasil tarbiyah ulama' yang mentadbir Kelantan...

Bila Petronas akan bayar royalti kepada Kelantan

Harakahdaily, 02 Jul 2013
KUALA LUMPUR: PAS meminta Menteri Kewangan menyatakan bilakah Petronas akan mula membayar wang tunai royalti Petroleum kepada Kerajaan Kelantan dan berapakah kadar yang akan dibayar. Demikian pertanyaan bagi jawab lisan yang dikemukakan oleh Dr. Mohd Hatta Md. Ramli [PAS-Kuala Krai] pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli-ahli Dewan Rakyat daripada PAS yang turut mengemukakan soalan lisan hari ini sebagaimana di bawah.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang [Marang] minta Menteri Kewangan
menyatakan adakah Kerajaan berhasrat untuk mengkaji dan melaksanakan sistem percukaian berasaskan sistem Islam di Malaysia yang terbukti lebih adil dan saksama.

Datuk Mahfuz Omar [Pokok Sena] minta Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani menyatakan apakah pembaharuan yang dilakukan terhadap perlaksanan program beras nasional gred ST15%.

Siti Zailah Mohd Yusoff [Rantau Panjang] minta Menteri Kerja Raya menyatakan tentang pembinaan lebuh raya yang menghubungkan Kuala Krai ke Kota Bharu sebagaimana yang termaktub dalam tujuh janji BN untuk rakyat negeri Kelantan. Bilakah semua janji-janji akan ditepati.

Datuk Kamarudin bin Jaffar [Tumpat] minta Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar menyatakan perancangan Kerajaan untuk menyelesaikan masalah banjir yang diakibatkan oleh air bertakung yang sering berlaku di kawasan-kawasan sebelah Malaysia di tepi Sungai Golok.

Datuk Takiyuddin Hassan [Kota Bharu] minta Perdana Menteri menyatakan sejauh manakah Kerajaan Persekutuan melaksanakan Konsep Federalisme dalam pentadbirannya dengan Kerajaan-Kerajaan Negeri khususnya berdasarkan peruntukan Jadual 9, Perlembagaan Persekutuan dan bagaimanakah ia dilaksanakan.

Idris Ahmad [Bukit Gantang] minta Menteri Kerja Raya menyatakan bilakah konsesi Lebuh raya Utara Selatan (PLUS) akan tamat. Berapakah keuntungan PLUS sehingga kini.

Ahmad Baihaki Atiqullah [Kubang Kerian] minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan Menteri telah mengeluarkan kenyataan akan memberi kesamarataan kepada semua tanpa mengira fahaman politik.
Apakah Kementerian bersedia untuk membantu Kerajaan Negeri Kelantan untuk membina dan menyiapkan sebuah stadium baru di Bukit Merbau.

Ahmad Marzuk Shaary [Bachok] minta Menteri Kerja Raya menyatakan jumlah kes kemalangan maut yang berpunca daripada keadaan Jalan Persekutuan yang rosak dan nyatakan jumlah kilometer Jalan Persekutuan di negeri Kelantan yang rosak dan serta kos pembaikannya.

Wan Hasan Mohd Ramli [Dungun] minta  Menteri Kerja Raya  menyatakan:-
(a) kos asal dan kos semasa berkaitan pembinaan Jalan Yahya Ahmad, Bandar Dungun (Ruj: Menaiktaraf Simpang Kuala Dungun: Laluan 127 Dungun Terengganu); dan
(b) apakah tindakan Jabatan Kerja Raya Dungun bagi memastikan keselesaan, keselamatan dan keperluan pengguna jalan terlibat selaras dengan taraf Dungun sebagai sebuah Majlis Perbandaran.

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz [Pasir Mas] minta Menteri Belia Dan Sukan  menyatakan apakah sumbangan signifikan yang telah diberikan oleh Parlimen Belia sejak ia ditubuhkan.

Memahami pergolakan politik Kuala Besut

Harakah, 02 Jul 2013
Ada beberapa pemerhatian menarik yang dapat saya simpulkan tatkala meneliti semula keputusan-keputusan pilihan raya lepas bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, Terengganu.

Menghayati pemerhatian dan kesimpulan itu insya Allah sedikit sebanyak akan dapat membantu peminat politik lebih memahami perkembangan terkini perebutan pengaruh dan kuasa di kawasan tersebut. Dun Kuala Besut sekali lagi menjadi tumpuan seluruh negara apabila satu pilihan raya kecil bagi kawasan itu bakal diadakan dalam masa terdekat.

Menurut catatan sejarah pilihan raya negara, ini merupakan pilihan raya kecil kedua berlaku di Dun berkenaan. Kali pertama ialah pada 30 Julai 1979, ekoran kematian wakil rakyatnya daripada Barisan Nasional (BN), Zakaria Muda.

Rabu (26 Jun) lalu, kerusi berkenaan kosong lagi, juga berikutan kematian penyandangnya daripada BN, Dr. A. Rahman Mokhtar, akibat paru-paru berair.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang baru lalu, Allahyarham menewaskan calon PAS, Puan Napisah Ismail dengan majoriti 2,434undi. Anggota Exco Kerajaan Negeri Terengganu itu memperolehi 8,809 undi berbanding Napisah yang mendapat 6,375 undi.

Ini merupakan penggal kedua bagi Allahyarham. Pada 2008, beliau menewaskan calon PAS, Ustaz Muhammad Zawawi Salleh denganmajoriti 2,631 undi. Beliau mengumpul 7,123 undi manakala lawannya mengutip 4,492 undi.

Allahyarham dipilih mewakili BN menggantikan penyandang, Abdullah Che Muda yang memenangi kerusi berkenaan pada 2004 dengan majoriti 2,027. Abdullah mendapat 6,334 undi sekaligus menewaskan Ustaz Muhammad Zawawi yang memperolehi 4,307 undi.

Walau pun sejak tiga PRU lalu (bermula 2004), Dun Kuala Besut menjadi milik BN, ia sebenarnya tidak senantiasa begitu sepanjang sejarah kewujudannya. Malah, sebagai pemerhatian pertama saya, bahawapemenang pertama kerusi Dun Kuala Besut (menerusi PRU 1959) ialah PAS, bukannya BN (atau Perikatan ketika itu).

Bahkan, dalam PRU berkenaan, saingan terdekat PAS bukannya Perikatan, tetapi Front Sosial (SF). Calon PAS, Haji Wan Said Mohd Nor menewaskan calon “Parti Ppalo Kubar” (sepertimana disebut oleh warga tempatan Kuala Besut, secara literal bermaksud “Parti Kepala Kerbau”, merujuk kepada lambang SF), Wan Ali Wan Jusoh denganmajoriti 245 undi.
Wan Said memperolehi 1,303 undi berbanding Wan Ali dengan 1,058 undi. Manakala Abu Bakar Ahmad mewakili Perikatan hanya di tempat ketiga dengan 942 undi.

Kedua, kehadiran Wan Ali selaku tonggak utama SF Ranting Besutmenjadikan Kuala Besut sebagai antara pangkalan utama parti itu di Terengganu. Beliau sendiri bertanding sebanyak tiga kali di situ, iaitu pada 1959 dan 1964 (atas tiket SF), diikuti PRU 1974 (atas tiket Partai Sosialis Rakyat Malaysia - PSRM). Tidak syak lagi mana-mana kawasan yang menjadi tumpuan parti tersebut banyak dicorakkan dengan isu-isu ekonomi dan kemasyarakatan. Kuala Besut tidak terkecuali.

Ketiga, sejarah juga mencatatkan bahawa PAS pernah mewakili Dun Kuala Besut sebanyak empat kali. Selain menerusi PRU 1959, parti itu memenanginya semula pada PRU 1969 menerusi Mohamad Said. Beliau menewaskan calon Perikatan, Zakaria Muda dengan majoriti 257 undi, sekali gus menjadi wakil tunggal pembangkang dari Besut.

Pada PRU 1974, PAS bertanding atas tiket BN. Kuala Besut adalah satu-satunya kerusi di Besut yang difaraidkan kepada PAS. Calonnya,Ustaz Husin Jusoh menang agak besar ke atas pencabarnya daripada PSRM, Wan Ali Wan Jusoh.

Kemenangan PAS kali keempat di situ ialah menerusi Ustaz Zawawi Salleh, iaitu pada PRU 1999. Beliau memperolehi 4,426 undi berbanding Dato’ Wan Zakaria Abd. Rahman, selaku penyandang, yang mendapat 3,939 undi.

Keempat, meski pun BN (Perikatan) lebih kerap menang berbanding PAS, kekuatan kedua-dua pihak kelihatan agak seimbang. Majoriti kemenangan terbesar BN ialah 2,631 yang dicatatkan pada 2008. Manakala pada kesempatan lain, angka itu jauh lebih rendah.

Bahkan, dalam beberapa pertarungan lain, kekalahan dialami PAS tidaklah seteruk mana. Contohnya, pada PRU 1964, ia kalah dengan hanya 330 undi. Begitu juga pada 1978 (875 undi), 1990 (263) dan 1995(811).

Keupayaan PAS memberikan saingan sengit di situ meletakkan Dun Kuala Besut sebagai salah satu kerusi yang sentiasa menjadi sasaran PASuntuk dimenangi dalam perkiraan parti itu menakluki Terengganu.

Kelima, sebahagian besar calon dipilih mewakili PAS di situ ialah pemimpin PAS dari “luar Dun”. Bermula PRU 1964, PAS mempertaruhkan Yusof Mat Sah, yang tinggal di Jertih. Begitu juga dengan Mohamad Said dan Ustaz Husin Jusoh, yang menang masing-masing pada 1969 dan 1974, kedua-dua mereka juga dari Jertih. Ustaz Husin malah turut mewakili PAS dalam dua pilihan raya berikutnya, iaitu pada 1978 dan pilihan raya kecil 1979.

Pada PRU 1982, PAS menjemput Muhammad Jusoh @ Ustaz Stimat, dari Kerandang (sekarang dalam Dun Jabi) pula bertanding di situ. Ini diikuti Ustaz Abdul Latif Muhammad (1986) dan Ustaz Husain Awang (1990), kedua-dua mereka juga dari Jertih.

Malah, Ustaz Zawawi yang menang pada 1999, didatangkan dari Kampung Alor Keladi, dalam Dun Hulu Besut. Alhamdulillah, beliau diterima baik masyarakat setempat (khususnya pendukung PAS) sehingga diberi kepercayaan bertanding lagi pada 2004 dan 2008 di situ.

Ertinya, dari sudut penerimaan masyarakat, faktor “orang luar Dun”nampaknya tidak menjadi masalah utama dalam pemilihan calonmewakili PAS di Kuala Besut. Asal saja tokoh yang dipilih itu dari kalangan kepimpinan PAS di Besut, selain mempunyai hubungan baik sedia terjalin dengan masyarakat di dalam kawasan berkenaan.

Semoga analisa ringkas ini dapat membantu kita memahami latarbelakang pergolakan politik di Kuala Besut sedari dulu. Bahawa peluang di kerusi berkenaan sentiasa terbuka buat kedua-dua pihak – PAS mahu pun BN, bergantung kepada sejauh mana mereka berupaya memanipulasi kecenderungan dan sentimen dalam masyarakat.

7 cara mudah kempiskan perut buncit

http://www.tranungkite.net, 02 Jul 2013
Ramai yang mungkin sedar perubahan fizikal badan mempengaruhi cara pembawakan diri seseorang apabila berdepan dengan orang ramai. Perubahan fizikal seperti ‘perut buncit’ kadang-kadang membuatkan seseorang itu berasa malu atau tidak mempunyai keyakinan diri apabila ingin menonjolkan diri di khalayak ramai. Bukan itu sahaja, perut buncit juga merupakan tanda awal kepada pelbagai jenis penyakit berbahaya.
Malah, apabila tidak mempunyai fizikal yang menarik seperti artis atau pembina badan, mungkin akan membuatkan individu itu berasa lebih tersisih dan berfikir negatif setiap masa. Pun begitu, terdapat cara yang sesuai untuk lelaki mahu pun wanita untukmengatasi masalah mempunyai perut buncit. Tidak salah untuk mencubakan? Antara cara-cara untuk mengempiskan perut adalah:


1. Minum Air Masak Yang Banyak.
Apabila tubuh badan kita menerima sumber air yang banyak, keadaan itu akan mencairkan kuantiti sodium dalam tubuh badan sehingga membolehkan kuantiti air yang keluar dari tubuh badan juga meningkat. Mendapatkan jumlah air yang banyak juga akan menjaminkan fungsi hempedu yang lebih efektif sewaktu proses pembuangan air berjalan dengan lancar.
2. Makan Perlahan-lahan.
Ketika menjamah makanan, kita tidak digalakkan makan dengan cepat kerana udara akan terkepung di dalam usus dan seterusnya membentuk gas yang menggalakkan perut menjadi perut buncit. Makanan yang tidak dikunyah sehingga kecil juga tidak dapat dicerna dengan sempurna yang seterusnya menyebabkan proses kembung perut berlaku.
3. Kurangkan Garam Dalam Makanan.
Terlalu banyak garam dalam proses diet akan menambah ekstrak sodium terhadap cairan dalam tubuh dan melambatkan mekanisme proses pengeluaran air dari sel badan. Akibatnya, perut akan menjadi kembung dengan gas-gas yang terbentuk. Lama kelamaan, perut buncit pun boleh berlaku.
4. Makan Makanan Yang Penuh Serat.
Ramai yang mungkin sedar perubahan fizikal badan mempengaruhi cara pembawakan diri seseorang apabila berdepan dengan orang ramai. Perubahan fizikal seperti ‘perut buncit’ kadang-kadang membuatkan seseorang itu berasa malu atau tidak mempunyai keyakinan diri apabila ingin menonjolkan diri di khalayak ramai. Bukan itu sahaja, perut buncit juga merupakan tanda awal kepada pelbagai jenis penyakit berbahaya (LINK).
Serat adalah elemen yang penting dalam piramid makanan. Untuk mengimbangi kuantiti air dalam tubuh badan, amalan memakan sayur-sayuran hijau dan buah-buahan seperti epal dan pear dapat membantu dalam proses penjagaan dari mendapat penyakit perut buncit ini.
5. Kesan Pengambilan Ubat.
Terdapat juga kajian yang dilakukan mengatakan, pengambilan pelbagai jenis ubat-ubatan menjadi salah satu punca perut menjadi perut buncit. Sebagai contoh, ubat Aspirin yang terlalu kerap di ambil akan menyebabkan timbulnya penyakit lain seperti sembelit.
6. Hindari Sembelit.
Sembelit berlaku apabila seseorang itu mengalami masalah dalam pembuangan danhanya membuang tidak lebih dari tiga kali seminggu. Sebagai akibat dari penyakit ini, perut akan mengumpul gas-gas yang berlebihan dan merangsang isi perut mengumpul lemak-lemak yang boleh menyebabkan kekembungan dan perut buncit. Oleh itu, pengambilan serat adalah digalakkan.
7. Lakukan Senaman atau Bersukan.
Bersukan sebanyak tiga kali seminggu dapat membantu meningkatkan kadar metabolisme dalam tubuh badan yang bagus untuk pembakaran dan pemecahan lemak.Bersukan akan membantu menggerakkan cairan berlebihan dalam perut dan dikeluarkan dari tubuh badan sebagai peluh. Ini seterusnya akan mengekalkan bentuk badan seseorang yang sesuai dengan ketinggian dan berat badan.


.........
http://wanitakini.com

Sultan Muhammad V rasmi Masjid Beijing RM8.8 juta

Aslani M, 02 Jul 2013
RANTAU PANJANG: Masjid Beijing yang diilhamkan bekas Menteri besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menonjolkan seni bina Cina pada 2005, dirasmikan Sultan Muhammad V malam tadi.

Masjid berharga RM8.8 juta itu dinamakan secara rasmi Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra, kelihatan dari jauh seperti tokong cina.

Siap dibina pada 2009, kini ia menjadi tumpuan pelancong, memandangkan kedudukannya di pintu masuk dari selatan Thailand.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakub berkata, kewujudan masjid seni bina Cina mencerminkan Islam milik pelbagai kaum dan bukan milik orang Melayu semata-mata.

"ini sesuai kerana Kelantan dikenali dengan imej Islam zaman lampau yang bermula daripada sultan-sultan sebagai payung agama kepada rakyat.

"Malah tuanku sultan menjadi pemangkin kepada rakyat ," katanya ketika berucap pada majlis perasmian masjid berkenaan.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, anggota-anggota Exco, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, Mufti Datuk Shukri Mohamad dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Program bermula dengan solat Maghrib berjemaah. Acara perasmian berlangsung di pekarangan masjid selepas itu.

Program perasmian yang dihadiri ramai penduduk tempatan berakhir dengan solat Isya.

Ahmad juga berkata kerajaan negeri berjaya menyiapkan pembinaan Masjid Jubli Perak di Paloh, Gua Musang membabitkan kos sebanyak RM3 juta.

Selain itu, Masjid Jubli Perak di Lojing sedang dalam pembinaan pula melibatkan kos sebanyak RM3.8 juta.

Manakala masjid di Kampung Chenulang, Kuala Krai pula yang dijangka siap tidak lama lagi melibatkan kos sebanyak RM500,000.

"Tahun ini kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi membina dan membaiki masjid," katanya.

Media sosial: Kenapa halang aktiviti luar guru?

Harakahdaily, 02 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) terkejut dengan usaha Jabatan Pendidikan Negeri Johor yang menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memantau media sosial guru-guru seluruh Johor.

Tindakan itu untuk memantau lebih dekat pergerakan guru-guru terutamanya jika terlibat dengan parti politik khasnya.

Naib Ketuanya, Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata media sosial seperti Facebook dan Twitter antara yang akan dipantau oleh jawatankuasa khas yang akan ditubuhkan kelak dan ini adalah usaha terdesak menyekat hak asasi manusia yang menyekat hak individu dalam negara kita.

“Bagi kami, adalah menjadi hak kepada mana-mana pihak selepas waktu bekerja untuk bergerak tanpa disekat atau dihalang untuk terlibat dengan sebarang aktiviti luar mereka,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Justeru, katanya Pemuda PAS merasakan percabulan hak telah dilakukan oleh Jabatan Pendidikan Johor dengan memperkenalkan jawatankuasa khas tersebut.

“Kami membantah pembentukan jawatankuasa khas ini kerana atas sifat kemanusian dan hak asasi manusia kerana jelas menyekat peranan guru dengan masyarakat setempat,” tegasnya.

DPPM juga, katanya bersedia memberikan khidmat guaman percuma kepada mana-mana guru yang akan diambil tindakan jika jawatankuasa khas itu melaporkan untuk mengambil tindakan disiplin kepada guru yang terlibat.

“Kami juga akan berusaha membuka Pusat Aduan Khas kepada guru-guru bagi tujuan membantu guru yang tersenarai jika akan diambil tindakan,” katanya lagi.

Tiada ulasan: